Monday, June 7, 2010

JEJAK BERTAPAK



PERSAHABATAN kami bermula sejak awal 1970-an... 1972 @ 1973....? Semasa masih di bangku sekolah rendah. Sahabatku ini pindah ke SRJK (I) Kota dari sebuah sekolah rendah di bandar Tanah Merah.

Keramahannya membuatkan kami dalam kelas mudah kenal dan mesra. Aku dan dia serasi dan cepat akrab. Mungkin kerana kami mempunyai banyak persamaan.

1975... kami sama-sama melangkah ke sekolah menengah, SMK Kota. Hubungan kami terus diwarnai biru ungu alam persekolahan....

1978... aku ke Ting. 4 di SIC. Dia kekal di SMK Kota, tetapi kami masih berhubung, walaupun tidak sekerap sebelumnya. 1981... kami kembali belajar di bawah satu bumbung, SIC sehingga aku meninggalkan bangku sekolah untuk ke Lembah Pantai. Persahabatan kami terus mewangi walaupun dari jauh... Dalam sibuk mengejar cita-cita, kami tetap akan bertemu setiap kali tiba musim libur untuk berkongsi cerita zaman remaja yang indah lagi mengasyikkan... !

September 1985... sahabatku ini hadir meraikan hari istimewaku sebagai "Ratu Sehari"... rupa-rupanya, itulah kali terakhir kami bersua muka. Jarang bertemu atau tidak bertemu dalam tempoh yang singkat adalah perkara biasa. Tidak pernah terfikir, perpisahan pada hari itu akan menjadi terlalu lama. 

Minggu bertukar bulan, bulan berganti tahun... sehingga bertahun-tahun lamanya. Tempoh awal perpisahan, kami masih bertukar berita walaupun dari jauh. Sekali-sekala masih terdengar khabar mengenainya, khabar yang dibawa oleh rakan taulan yang lain....!

Bertahun-tahun kami terpisah jauh membawa haluan diri setelah masing-masing membina keluarga sendiri.... akhirnya hubungan kami terputus terus tanpa sedar.... tanpa khabar dan berita.

Walau apapun, yang pasti, setiap kali menjelang SEPTEMBER, ingatanku akan singgah kepadanya. Hati meronta-ronta untuk menitipkan ucapan sebagaimana musim persahabatan kami pada usia remaja dahulu. Kad dibeli tetapi tersimpan rapi tanpa dikirim kerana jejaknya tak dapat dikesan. Akhirnya, di angin lalu kusampaikan ucapan ''SELAMAT HARI LAHIR"... kami sebenarnya, berkongsi tarikh lahir yang sama... 19 SEPTEMBER 1962 !

Aku tidak pernah jemu atau lelah menjejak dan mencarinya. Aku percaya, suatu waktu pasti pencarian ini akan bertapak jua.

Dengan izin-Nya, beberapa bulan lepas, setelah bertahun-tahun hilang di mata, kami bertemu di alam maya..... terima kasih yang tidak terhingga kepada dunia fb yang telah menamatkan pencarianku yang sudah telalu lama.  Mulai saat itu, kami terus berhubung melalui tinta maya, menunggu kesempatan untuk bertemu bagi melepaskan rindu yang sarat...

Hujung minggu yang santai, setelah hasrat dihati tertangguh beberapa kali... setelah zaman muda belia kami sudah jauh ditinggalkan... setelah anak-anak kami mula menginjak usia remaja menuju alam dewasa... Atas kehendak-Nya, kami dipertemukan semula.

Dengan izinNya juga, semuanya berlaku dengan mudah. Berpandukan alamat yang tersimpan dalam memori telefon, aku yang ditemani suami yang banyak memberi dorongan, mudah sahaja sampai ke destinasi walaupun malam agak kelam. Dari rumah persinggahanku di Sentul, tidak sampai 15 minit kami tiba di kediamannya di hujung jalan Datuk Keramat yang permai bersempadan dengan MINDEF. 5 JUN 2010 pasti tidak akan kulupa.

Syukur kepada-Mu Ilahi... semoga keakraban yang telah terjalin hampir 4 dekad yang lalu dengan sahabatku SARIMAH OMAR, tidak akan luntur walaupun dimamah usia.

Biarlah persahabatan ini terus mekar mewangi di sepanjang jalan pulang...

Sunday, June 6, 2010

Kisah Di sebalik RP KEMUBU

KAMPUNG KEMUBU terletak di tebing Sungai Kelantan, 30km dari Kota Bharu telah disemadikan namanya dalam lipatan sejarah KADA. Di situlah terbina sebuah rumah pam membekalkan air ke Rancangan Pengairan Kemubu (RPK), rancangan terbesar dalam gugusan rancangan-rancangan pengairan lain yang dipersatukan di bawah kuasa pengendalian KADA.

Dalam entri kali ini, saya ingin berkongsi cerita di sebalik pembinaan Rancangan Pengairan Kemubu oleh KIEN HUAT milik Tan Sri Lim Goh Tong .... mungkin ada yang sudah membacanya, mungkin juga masih ramai yang belum tahu kisah ini ....

Buat tatapan adik2 dan anak2ku.... tahukah kalian bahawa ....

RANCANGAN KEMUBU : NYARIS MUFLIS
(dikongsi daripada "Cerita Saya" @ "My Story", Lim Goh Tong, 2004)

RANCANGAN PENGAIRAN KEMUBU, yang kedua terbesar di Malaysia selepas Rancangan Pengairan Muda di Kedah, dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dengan pinjaman RM30 juta daripada Bank Dunia untuk membolehkan para petani menanam dua kali setahun di 47,000 ekar tanah padi di Kelantan.

Kien Huat memenangi kontrak itu dengan tawaran RM54 juta, RM10 juta lebih rendah daripada tawaran RM64 juta saingan terendah. Keputusan tender mengejutkan semua orang termasuk saya. Sejenak saya terfikir mungkin saya tersilap perkiraan, tetapi selepas itu saya yakin semula bahawa tawaran saya itu wajar.

Ramai orang dalam bidang perniagaan yang sama mentertawakan 'nasib malang' saya dan meramalkan saya akan mengalami kerugian teruk dalam projek itu. Saya tidak gentar. Ejek ketawa mereka saya jadikan daya pendorong untuk berjaya dan membuktikan mereka silap.

Projek itu rumit, memerlukan pembinaan rangkaian kira-kira 570KM tali air yang silang menyilang. Lebih daripada sembilan juta hela padu tanah perlu digali dan 2,000 struktur konkrit bertetulang perlu dibina untuk mengubah haluan air ke sawah-sawah padi. Selain itu, kami perlu membina lebih daripada 200 jambatan yang menggunakan kira-kira 20,000 kaki paip konkrit yang garis pusatnya dari tiga hingga enam kaki.

Berdasarkan perkiraan saya, mungkin sekali saya mendapat untung RM3 juta daripada projek itu; jumlah ini akan membantu membiayai projek tempat peranginan Genting, usaha impian saya yang telah saya mulakan pada tahun 1965.

Dirundung Masalah :

Kerja bermula pada 1 Ogos 1968 setelah kontrak bagi projek itu ditandatangani. Sebuah firma Perancis, Sogreah, menjadi perunding projek. Dalam bulan-bulan berikutnya, projek ini dirundung masalah : kelewatan pemerolehan tanah oleh kerajaan; pencurian alatan dan bahan dari tapak kerja; banjir teruk kerana hujan monsun; dan peristiwa 13 Mei. Kerja-kerja menjadi lambat sekali.

Semua masalah ini bererti kerugian RM5 juta di akhir tahun pertama dan kesempitan wang tunai yang serius. Ketika saya hampir muflis, seorang wira telah datangmenyelamatkan saya. Encik Chin Sophonpanich, yang ketika itu merupakan pengerusi Bangkok Bank, memberi saya overdraf. Sewaktu krisis memuncak, akaun overdraf saya dengan Bangkok Bank dalam keadaan debit RM5 juta. Saya amat berterima kasih kerana Encik Chin memberi saya sepenuh kepercayaan. Tanpa pertolongan beliau, tidaklah mungkin saya mengelakkan kemuflisan.

Krisis Keyakinan :

Selain masalah alir tunai, saya juga terpaksa menangani krisis keyakinan. Disebabkan terhalang oleh masalah-masalah yang tidak dijangka, kerja berjalan begitu lambat sehingga di akhir tahun pertama Kien Huat hanya dapat menyiapkan 5% daripada projek. Tidak dapat tidak, Jabatan Kerja Raya dan para perunding projek tidak senang hati dan mula hilang keyakinan kepada saya. Para perunding, terutamanya, tidak bersikap waras. Dalam dua bulan berikut, mereka asyik menghantar surat-surat amaran kepada saya, mengatakan saya bertanggungjawab atas akibat-akibat kelewatan dan mengugut akan mengambil tindakan menamatkan kontrak saya.

Keadaan meruncing apabila, dalam satu hari sahaja, iaitu 19 OGOS 1969, saya telah menerima 29 pucuk surat berdaftar, semuanya dengan kandungan yang sama: mereka akan mendakwa saya dan menjadikan saya muflis. Saya tidak tersabar lagi; saya membuat keputusan untuk menyerang balas.

Dengan permintaan saya, ketua jurutera projek dari Sogreah memanggil mesyuarat pada pukul 10 pagi, 29 OGOS 1969. Saya menghadiri mesyuarat itu bersama-sama pengurus saya Wong Yong Chak. Terdapat kira-kira sedozen lagi hadir, termasuk ketua jurutera projek, pengurus besar Sogreah dan pegawai-pegawai kerajaan.

Saya memberitahu mesyuarat dengan tegas bahawa tiada gunanya menghantar kepada saya surat-surat berdaftar dengan kandungan yang sama. Semuanya sudah saya campakkan ke dalam bakul sampah. Malah saya berkata bahawa jika mereka ingin menamatkan kontrak saya, ambillah peguam untuk mendakwa saya. Setelah saya menerima surat peguam mereka, esoknya juga saya akan melancong keliling dunia, kemudian pulang lalu mendakwa pihak berkuasa.

Seterusnya saya menyatakan dengan terperinci masalah yang telah saya hadapi. Saya menegaskan bahawa pemerolehan tanah merupakan masalah terbesar. Di 16 lokasi, Kerajaan tidak dapat menyerahkan tanah pada masa yang ditetapkan dalam jadual kerana penghuninya menentang pemerolehan. Akibatnya, mesin dan pekerja-pekerja saya tidak dapat bergerak meneruskan kerja. Hal ini bukan sahaja melambatkan projek malah juga menyebabkan saya menanggung kerugian wang yang besar. Semua ini disokong dengan dokumen. Oleh itu, tidak adil sama sekali menyalahkan saya, sehingga ada yang tergamak berkata saya tidak akan dapat menyiapkan projek ini dalam 30 tahun.

Saya juga menegaskan bahawa pada saat tersebut, yang penting bukanlah memastikan siapa yang bersalah, tetapi mencari penyelesaian bagi masalah ini. Saya meminta tempoh 6 bulan untuk membuktikan keupayaan saya. Jika dalam tempoh itu saya hanya dapat menyiapkan 5 atau 6 % daripada projek itu, saya tidaklah akan menyimpan dendam jika mereka mendakwa dan menjadikan saya muflis. Mereka menerima permintaan saya setelah saya mengemukakan kes yang kukuh menyokongnya.

Perubahan Reka Bentuk :

Spesifikasi projek KEMUBU menghendaki pembinaan lebih daripada 2,000 pintu percabangan untuk menyalurkan air. Struktur-struktur konkrit ini beratnya sampai 80 tan bagi yang besar dan 20 tan bagi yang kecil. Saya rasa struktur-struktur ini telah direkabentuk terlalu besar kerana tiap satu hanya dikehendaki mengendalikan aliran dua kaki air. Pada perkiraan saya, pintu-pintu percabangan yang beratnya 12 tan dan 8 tan masing-masing akan menjalankan fungsi tersebut dengan berkesan. Dalam cadangan saya kepada para jurutera perunding, saya menegaskan juga betapa banyaknya kos dan masa dapat dijimatkan dengan mengubah reka bentuk menjadi lebih kecil.

Hujah saya meyakinkan mereka dan mereka meluluskan cadangan saya. Saya pun dengan tidak berlengah-lengah terus membawa masuk mesin-mesin dan kelengkapn berkenaan. Struktur2 yang lebih kecil itu membolehkan pembikinan di tapak. Berbeza daripada struktur2 asal yang begitu besar dan perlu diangkat dengan susah payah serta dikendalikan dengan kelengkapan berat, struktur2 kecil itu mudah diangkat dengan kren untuk dipasang. Perubahan itu menghasilkan cara kerja yang jauh lebih mudah dan cepat serta menjimatkan kos sebanyak RM4 juta untuk Kerajaan.

Satu Lagi Cadangan Yang Menjimatkan :

Projek itu juga menghendaki pembinaan lebih daripada 200 batang jambatan, tiap satu 7 kaki tebalnya. Oleh sebab tidak ada lalu lintas kenderaan berat ke kawasan itu, saya telah mencadangkan kepada para jurutera perunding supaya tebal jambatan itu dikurangkan menjadi 3 kaki. Cadangan saya kemudiannya dihantar dan diluluskan oleh ibu pejabat Sogreah di Perancis. Perubahan reka bentuk itu menjimatkan kira-kira RM7 juta untuk Kerajaan.

Perubahan2 yang saya cadangkan itu menjadikan kerja-kerja jauh lebih cepat. Tidak sampai 4 bulan daripada tempoh 6 bulan yang diberi, saya telah menyiapkan lebih daripada 320 km tali air, kira-kira 1,000 pintu percabangan dan 100 batang jambatan lagi, iaitu kira-kira 60% daripada seluruh projek itu.

Pada pukul 10 pagi, 24 DISEMBER 1969, suatu mesyuarat diadakan. Selain saya dan pengurus saya Wong Yong Chak, kira-kira 20 orang yang hadir termasuklah ketua jurutera dan pengurus besar Sogreah, dua orang pengarah Bank Dunia, Ketua Pengarah Kementerian Pertanian Khoo Yang dan pegawai2 kerajaan lain.

Dalam ucapan beliau yang mengambil masa 90 minit, ketua jurutera Perancis yang telah mencemuh saya dan mengugut saya hendak menamatkan kontrak saya hanya 4 bulan dahulu, kini menyatakan rasa kagumnya melihat projek itu maju demikian pesatnya dan memberi saya pujian melangit. Malah beliau menyanjung prestasi saya sebagai pencapaian yang mengharumkan nama Malaysia.

Apabila sampai giliran saya berucap, saya berkata secara jenaka bahawa sekiranya mereka membawa saya ke mahkamah dahulu, pasti saya pergi berkaki ayam kerana seorang muflis tidak boleh berkasut. Tentu juga saya mempertahankan diri dengan tegas, menyalahkan Kerajaan terang-terang kerana kelewatan dalam pemerolehan tanah yang telah menghalang saya daripada memulakan kerja pada masa yang dijadualkan. Selepas itu, saya pun memohon izin daripada hakim untuk memanggil peguam saya. Hakim bertanya mengapa saya memerlukan peguam sedangkan sudah jelas saya akan memenangi kes itu. Saya menjawab bahawa kerana saya yakin akan menang, saya telah berpesan kepada peguam saya supaya membawakan sepasang kasut emas; dapatlah saya berlagak ketika melangkah keluar dari mahkamah. Semua orang tertawa dan bertepuk memberi saya penghargaan.


RANCANGAN PENGAIRAN KEMUBU berjaya disiapkan pada masa yang dijadualkan. Dari segi kewangan, Kien Huat bukan sahaja mengatasi kerugian dan mendapat untung kira-kira RM4 juta, tetapi juga menolong Kerajaan menjimatkan kos lebih daripada RM10 juta.

Saya bangga bahawa kerja pembinaan projek itu dijalankan sepenuhnya oleh orang Malaysia tanpa bantuan orang asing. Projek itu juga dicatatkan sebagai yang terbesar di negara ini yang dapat disiapkan menurut jadual dalam 3 tahun.

~~~~+++~~~~


"Sesungguhnya, keyakinan diri yang tinggi dan usaha yang gigih, berserta dengan doa yang berterusan, penting untuk membina kejayaan..... "

..

Friday, June 4, 2010

Nostalgia Musim Cuti Sekolah


Cuti sekolah datang lagi.... Cuti Persekolahan Penggal @ Semester Pertama 2010, selama 2 minggu., bermula 5 JUN, Sabtu ini... Kerja-kerja menanda kertas peperiksaan sudah hampir selesai. Selasa minggu depan, sambil bertugas di sekolah, bolehlah rekodkan markah ke dalam Buku Markah...

Hujung minggu nanti kami bercadang untuk balik ke kampung menjenguk keluarga. Musim cuti begini, bolehlah berlama sedikit bersama ayah bonda dan sanak saudara yang lain...dan yang pasti cuti nanti...banyaknya 'bekwoh'...!

Cuti sekolah... seringkali menggamit memori zaman kanak-kanak @ zaman sekolah rendah. Dulu, cuti sekolah merupakan saat-saat yang dinanti-nantikan. Dunia kanak-kanak kami penuh ceria dan terisi dengan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan. Waktu itu kami tidak dibebankan atau disogok dengan 'tusyen' dan segalanya... kami cuti sungguh-sungguh....!

Hampir saban hari kami bertiga beradik menghabiskan masa dengan bermain... 'out-door & in door games' bersilih ganti bergantung kepada masa dan keadaan. Walaupun begitu, kami ada tugas yang perlu diselesaikan sebelum dan selepas bermain...

Pagi-pagi lagi sebelum Papa bertolak ke tempat kerja, kami 3 beradik (saya, Kak Roslena, Noni) sudah siap mandi dan menyiapkan diri. Kadang-kadang, kami bertiga akan berjalan beriringan ke rumah Che Daud (Atok sebelah Papa) yang letaknya tidak jauh daripada rumah kami. Kami akan bertandang di rumah Atok sehingga petang, atau sekurang-kurangnya sehingga selesai makan tengah hari....

Waktu cuti sekolah, (termasuk setiap hari minggu) pada setiap pagi, aku dan Noni ditugaskan menyapu daun-daun kering di kawasan halaman rumah. Daun-daun kering yang gugur daripada pokok rambutan 'Che Mbong' yang rendang dan juga 2 pohon pokok bacang @ macang di halaman rumah kami. Kami agihkan kawasan yang perlu dibersihkan. Kami gunakan lidi yang terhasil daripada daun kelapa yang diraut daunnya... diikat dan hujung lidi itu dipotong agar lebih mudah untuk menyapu daun-daun kering.

Aku masih ingat lagi, selepas selesai menyapu sampai @ daun-daun kering, atau pada waktu sebelum tengah hari kami hanya bermain di sekitar halaman rumah kami. Kami bermain nusut , main selambut @ batu seremban, bermain 'skipping' guna getah urat yang disambung-sambung @ 'zero point' di atas simen depan rumah kami. Kami juga bermain bola kaki tiga dan juga bola wa (bola awal), 'cari anak', 'dek chok' @ teng-teng @ rumah batu di halaman rumah kami yang berpasir. Pada waktu-waktu begini kami bertiga hanya bermain bersama-sama 2 atau 3 orang kawan yang lain. Biasanya anak-anak Kak Nik Moh jiran kami, iaitu Mek Esah, Senani dan juga Senah.

Jika tidak ada kawan-kawan lain, terutama kalau musim hujan, kami bertiga akan 'main masak-masak' dan 'main anak patung'. Kadang-kadang main menyanyi dan menari ikut seperti dalam cerita-cerita Melayu lama... Habislah kain selendang Mama jadi sasaran kami... rasanya ketika ni umur kami antara 6 - 8 tahun.

Pada sebelah petang, kami biasa juga bermain di padang (petak sawah / tanah rang) di seberang jalan berhampiran tali air, di belakang rumah Tok Wan Yusof Towke kain. Kawan-kawan seperti Zelan, Mek Esah, Senani, Zahari, Runi, Ita, Mek Na dll akan memenuhi gelanggang ini. Di tapak permainan kami ini juga, kadang-kadang ada orang bermain wau.... remaja dan orang dewasa. (Cerita tentang tali air akan ditulis dalam entri selepas ini...)

Selain itu, kami juga bermain di tanah kosong di sebelah rumah Pok Weil (kini, tapak rumah Cikgu Wan Rahimah dan rumah Cikgu Md Embong) untuk bermain bola wa dan bola kaki tiga. Di sini juga kami bermain 'rounders' atau bola katok... Rakan-rakan sekampung (lain daripada kumpulan di atas), seperti Ana, Jali, Din, Siah, Mini, Yie dan ramai lagi akan setia berada di gelanggang ini untuk menghidupkan alam kanak-kanak kami. Ke manakah mereka semua... sudah lama tidak bertemu walaupun sekali-sekala balik ke kampung...

Jika cuti jatuh pada musim buah-buahan, cuti sekolah kami dihabiskan di kebun durian Atuk Che Yusof berhampiran tebing sungai Kelantan, di belakang rumah kami. Acara panjat-memanjat pokok menjadi satu kemestian. Selain durian, aktiviti mencari @ memetik buah rambutan sekiat, rambai, kerian, manggis, kecupu dan lain-lain memenuhi aktiviti harian kami...

Walaupun kami 'galak' bermain pada setiap hari, sebelum Papa balik dari kerja, atau selewat-lewatnya pukul 6.00 petang kami sudah berada di rumah. Ini seperti sudah menjadi peraturan lisan yang perlu dipatuhi. Kadang-kadang, kalau kami 'terlalai' dan terlewat balik kerana terlalu asyik bermain, Mama akan cari. Cari bersama dengan 'upah'nya sekali!

Tugas rutin kami, iaitu menyiram pokok bunga pada waktu petang, iaitu selepas balik daripada bermain akan kami dilakukan tanpa gagal.... Di halaman rumah Mama dulu memang terdapat banyak pokok bunga. Sekarang pun masih ada, cuma halaman rumah sudah semakin sempit akibat beberapa kali terlibat dengan projek perluasan jalan raya... Kami akan mengarai air daripada telaga di tepi rumah, dimasukkan ke dalam baldi dan dibawa ke halaman rumah. Ini diulang beberapa kali sehingga semua bunga habis disiram. Dengan menggunakan bekas / tin yang ditebuk dengan paku, kami akan siram pokok-pokok bunga sehingga selesai.

Setelah selesai menyiram pokok bunga, kami terus mandi di telaga dan bersiap-siap untuk aktiviti malam... pergi mengaji Quran. Dulu, kami mengaji Quran di rumah Tok Wan Dollah. (Bermula darjah 4, saya mula mengaji di madrasah Pok Nik Weil, tidak jauh daripada rumah kami... pada sebelah petang). Berbekalkan sebuah lampu picit, kami bertiga akan berjujuk menuju ke rumah Tok Guru. Dulu, jalan raya tidaklah sesibuk mana, kereta tak banyak dan kalau ada pun tidaklah memecut laju seperti sekarang. Jadi, Papa & Mama tidaklah risau pasal keselamatan kami. Orang jahat pun jarang, hampir tidak ada. Cuma kami takut kalau-kalau ada orang gila sahaja...kami akan jalan laju-laju, terutama pada waktu balik. Kalau agak lewat, Papa akan jemput kami...

Balik daripada mengaji Quran, barulah kami buka buku sekolah. Baca buku untuk seketika... yang kakak akan ajar adiknya...Kami jarang-jarang menonton televisyen kerana di rumah tidak ada televisyen, kecuali pada malam minggu. Untuk menonton filem Melayu pada malam mingngu, kami akan ke rumah Mak Ngah Dah @ Pak Ngah Loh ataupun ke rumah Su Yusof @ Su Limah atau ke rumah Tok Wan Yusof, tawke kain batik di seberang jalan depan rumah kami.

Sapu daun-daun kering pada waktu pagi.... Rutin yang akan dilakukan tanpa gagal... saya sudah lupa sehingga bila rutin ini berterusan. Rasanya semasa aku di Std 5, rutin waktu pagi hanya dilakukan pada hari Jumaat kerana pada hari-hari lain aku ke sekolah untuk menghadiri Kelas Tambahan bagi menghadapi Std 5 Assessment Test 1973...!

Mulai Std 6, aktiviti bermain bersama-sama rakan sekampung juga semakin berkurangan... Diri sudah terasa semakin menganjak ke usia awal remaja, sudah mula ada rasa malu. Hobi lain pula yang mengambil tempat... aktiviti dalam rumah, iaitu mengumpul seni kata lagu dan gambar-gambar artis...!


Indahnya waktu cuti sekolah dulu-dulu...

Thursday, June 3, 2010

Pasti Menjadi Kenangan : Dataran & Menara ...




Alaf baharu... Bandar Hilir juga bertukar wajah dengan pelbagai cerita baharu....!

Padang Pahlawan yang menyimpan seribu satu sejarah kemerdekaan negara telah hilang dari pandangan mata... Jika beberapa tahun yang lalu, Padang Pahlawan masih gah dengan rumpunan hijau dan pokok yang rendang, tetapi kini telah diganti dengan DATARAN PAHLAWAN. Tapak gerai makan dan gerai menjual pelbagai kraftangan juga sudah tiada... berganti dengan tapak MENARA TAMING SARI... Gerai makan dan jualan kraftangan itu ditempatkan di lokasi baharu yang lebih tersusun dalam bangunan bersebelahan Muzium TUDM, dan bersetentangan Muzium Samudera.

Jika dahulu, kita boleh melihat para pelancong menaiki kereta lembu, sekarang segalanya berubah sama sekali dengan pelancong lebih banyak melihat gerai-gerai pekedai ala Hong Kong dan beberapa galeri butik Melayu. Tidak ubah seperti berada di Berjaya Times Square di Ibu Kota KL dan di butik mewah sepanjang Jalan Bukit Bintang....

Sabtu lepas, ketika berjalan di laluan dari A Famosa menghala ke pekarangan Dataran Pahlawan, jauh di sudut hati terasa seperti ada yang tertinggal, seperti ada yang hilang.... Unsur-unsur moden sudah banyak mengambil tempat mengisi ruang sejarah yang seolah-olah kian sirna.

Kini, di bawah DATARAN PAHLAWAN terdapat sebuah pusat beli belah, iaitu DATARAN PAHLAWAN MEGAMALL, selain terdapat Pasar Raya Carrefour dan sebuah panggung wayang, Golden Screen Cinemas. Bersetentangan dengan Dataran Pahlawan terdapat sebuah lagi pusat beli belah, iaitu Mahkota Parade dan sebuah hotel di sebelah dataran, iaitu Hotel Equatorial Melaka.

Tidak jauh daripada DATARAN PAHLAWAN, terpacak MENARA TAMING SARI, yang kini menjadi tarikan terbaharu para pelancong yang datang ke bumi Hang Tuah ini sejajar dengan pemilihan Melaka sebagai "World Heritage Sites" pada Julai 2008. Menara ini dilihat sebagai gabungan elemen tradisional dan moden yang terbaharu di Melaka. Bangunan utamanya dibina dengan reka bentuk tradisional ala istana Melaka, menempatkan kaunter jualan tiket, kedai cenderamata dan Pejabat Urusan.

Lokasi Menara Taming Sari kelihatan begitu strategik, iaitu betul-betul bersebelahan DATARAN PAHLAWAN MEGAMALL (tapak Padang Pahlawan suatu ketika dahulu...). juga terletak berhampiran dengan Kompleks Beli Belah Mahkota Parade. Dengan hanya berjalan kaki dari Kota A Famosa, kita cuma mengambil masa selama 10 minit. Kita juga boleh menggunakan perkhidmatan beca yang dihias cantik dengan bunga-bungaan yang ada di sekitar Bandar Hilir.

Menara Taming Sari yang mempunyai ketinggian (termasuk puncaknya) iaitu 110 meter ini dibina menggunakan teknologi dari Switzerland dengan kos hampir RM23 juta (melalui modal pelaburan sebuah syarikat dari Singapura & anak syarikat kerajaan Negeri Melaka). Menara yang pertama seumpamanya di Malaysia ini dilengkapi kabin pemerhati yang berputar 360 darjah; membolehkan pengunjung menikmati pemandangan bandar raya Melaka dari paras hampir 100 meter.

Kabin pemerhatinya dilengkapi sistem pendingin hawa dan mampu memuatkan seramai 66 orang untuk satu-satu masa. Kabin akan mula berputar apabila mencecah puncak menara dan untuk turun ke bawah. Setiap sesi pula akan mengambil masa kira-kira selama 7 minit. Para pengunjung akan dapat menikmati panorama indah bumi Melaka apabila tiba pada ketinggian 80 meter dengan ruang jarak penglihatan sejauh hampir 5 km.

Menara Taming Sari yang diberi nama bersempena dengan nama keris lagenda milik Hang Tuah ini mula beroperasi pada 18 APRIL 2007 merupakan satu-satunya menara yang menggunakan sistem Gyro di Malaysia...

patah tumbuh hilang berganti... rupanya masih jauh perjalanan kita menuju jalan pulang....

Wednesday, June 2, 2010

Sepanjang Jalan Kenangan : Kereta Lembu, Cahaya & Bunyi



Masih saya ingat... lebih 20 tahun yang lalu PADANG PAHLAWAN @ PADANG MERDEKA dipisahkan dengan Selat Melaka oleh sebatang jalan raya yang menjadi laluan kepada pengunjung untuk bersantai sambil menaiki kereta lembu mengelilingi Padang Pahlawan.

Di tepi jalan itu terdapat binaan tembok atau benteng bagi memisahkan laut @ pantai dengan daratan. Ramailah yang duduk-duduk di situ menghirup udara laut yang nyaman sambil bergambar kenangan...


Sehingga akhir tahun 1990-an, di sepanjang jalan tersebut, (yang mengadap ke Selat Melaka) dipenuhi dengan gerai menjual makanan dan gerai menjual pelbagai jenis hasil kraftangan. Tidak sah datang ke Melaka kalau tidak membawa balik replika kereta lembu sebagai buah tangan....

Sebelum 1989, kita boleh melihat para pengunjung termasuk pelancong asing menaiki kereta lembu menglilingi Padang Pahlawan dengan dikenakan sedikit bayaran. Dahulunya, kereta lembu digunakan sebagai pengangkutan oleh orang-orang kaya di Melaka. Ciri-ciri yang membezakan kereta lembu Melaka ini dengan yang lain adalah bumbungnya yang berbentuk seperti tanduk lembu yang berwarna-warni. Paling tidak pun, pengunjung akan 'berposing' kenangan di atas kereta lembu...

Itu dulu, kini sudah tidak kelihatan lagi kereta lembu di Padang Pahlawan. Pada akhir 1980-an, lanskap Padang Pahlawan mula mengalami perubahan. Sudah tidak ada lagi trek untuk laluan kereta lembu di sekeliling Padang Merdeka. Para pengunjung termasuk pelancong asing sudah tidak berpeluang untuk 'makan angin' dengan kereta lembu di Padang Pahlawan. Yang ada hanyalah replika kereta lembu yang sinonim dengan negeri Hang Tuah ini. Kini, jika ingin mengalami pengalaman naik kereta lembu, pengunjung perlu ke Taman Rekreasi Ayer Keroh.

Akhir 1980-an, telah dibina sebuah pentas khas serta tempat duduk bertingkat di Padang Pahlawan, mengadap kota A Famosa sebagai satu usaha untuk memperkenalkan pertunjukan CAHAYA DAN BUNYI.

Pertunjukan Cahaya dan Bunyi yang mula diperkenalkan pada tahun 1989 ini merupakan cara yang terbaik untuk mengenali dan belajar tentang Melaka.
Pertujukan ini merupakan projek cahaya dan bunyi yang pertama di Asia Tenggara dan dianggap setaraf dengan pertunjukan di Gaza yang dinamakan Egyptian Pyramid, Acropolis di Athens dan juga Red Fort di Delhi. Sejarah Melaka digambarkan oleh cahaya berserta penceritaan hikayat melalui dialog, muzik dan kesan bunyi khas yang memaparkan drama kehidupan sebenar masyarakat di Melaka yang berusia 600 tahun yang lampau.
Malang sekali, saya tidak berkesempatan menikmati keindahan pengkisahan sejarah Melaka melalui teknik moden ini kerana Pertunjukan Cahaya dan Bunyi tentu sekali diadakan pada sebelah malam... Kini, pertunjukan cahaya dan bunyi dihentikan untuk sementara waktu, tidak pasti sampai bila... adakah untuk selama-lamanya memandangkan Padang Pahlawan sudah hilang pada pandangan mata khalayak sekarang...!

Menurut rekod PERZIM, sejak pertunjukan itu dimulakan pada Mac 1989 sehingga 1998, seramai 265,488 penonton terdiri daripada rakyat tempatan dan pelancong asing menyaksikan persembahan itu dengan kutipan tiket bernilai RM1.064 juta. Bagaimanapun, ia dihentikan sekitar tahun 2000 kerana masalah audio dan untuk pembaikan pentas dan kemudahan lain melibatkan kos sebanyak RM2 juta...

Bermula akhir 1980-an, telah menampakkan perubahan yang ketara dari segi lanskap di persekitaran Padang Merdeka seiring dengan pembangunan Negeri Melaka. Pantai di seberang jalan Padang Merdeka telah ditambak. Pembangunan di kawasan tapak yang ditambak itu pesat sekali. Terbinalah bangunan bertingkat-tingkat. Wujudlah pusat beli belah Mahkota Parade, deretan rumah kedai, hospital, hotel dan pelbagai kemudahan lagi seiring dengan Pengisytiharan Melaka sebagai Bandar Raya Bersejarah pada 15 April 1989.

Benarlah, tamadun sesuatu bangsa itu dapat dikenali melalui sejarahnya...

Sepanjang Jalan Kenangan : Padang Pahlawan dan Memorial ...


Terapi untuk diri yang sibuk adalah menulis dan menulis. InsyaAllah, dalam diri sentiasa berfikir, moga coretan-coretan ini ada yang mungkin boleh dibuat kenangan untuk anak-anak. Ingin saya bercerita semua, selalu.... siapalah kita untuk begitu pasti yang kita akan masih bernafas sesaat lagi. Saya tinggalkan dalam bentuk tinta maya, mungkin satu hari anak-anakku akan baca dan akan berdoa buat ayah dan bonda... InsyaAllah.

Sepanjang jalan pulang... kenangan di Padang Pahlawan suatu ketika dahulu menggamit memori tanpa sedar....

Beberapa kali singgah dan bersantai di sini... kali pertama bersama rakan karib sejak zaman persekolahan, Maheram Hassan Nordin ketika masih bergelar siswi pada tahun 1982. Tahun berikutnya bersama Tuan Hasnah 'mengintai' kereta lembu di sini ketika berkunjung ke IPG Durian Daun... dan usai sahaja Peperiksaan Akhir Tahun terakhir di UM, aku bersama Nah dan Tuan Ilham sekali lagi berehat minda sambil menjejak warisan sejarah di bumi Hang Tuah ...

Akhir 1987, singgah seketika menghabiskan cuti sekolah di sini bersama suami dan 2 orang putera yang masih kecil. Keadaan masih sama seperti kunjunganku beberapa tahun sebelumnya.

Kunjunganku pada awal 1990-an bersama keluarga, sudah mula menampakkan sedikit perubahan pada lanskapnya. Perubahannya semakin pesat dari tahun ke tahun. Melewati Bandar Hilir setahun dua kebelakangan, dan yang terakhir pada hujung minggu lepas, menjadikan diri terpinga-pinga... mencari sesuatu yang sudah ghaib pada pandangan mata. Kini, kawasan di persekitaran Padang Pahlawan ini termasuk kawasan yang ditambak sudah bertukar wajah dengan sekelip mata. Padang Pahlawan sudah menjadi Dataran Pahlawan. Paling ketara, persekitarannya menjadi semakin sesak dan sempit !

PADANG PAHLAWAN juga dikenali sebagai PADANG MERDEKA, terletak di Bandar Hilir Melaka. Padang Pahlawan menyimpan banyak kenangan dan perisitiwa bersejarah yang mungkin tidak diketahui oleh anak-anak generasi baru hari ini... atau mungkin juga sudah hilang dalam memori segelintir generasi muda walaupun pernah disebut oleh guru Sejarah mereka ! Padang Pahlawan melalui beberapa fasa sejak sebelum merdeka sehinggalah ke hari ini. Banyak perubahan dialaminya seiring dengan perkembangan dan pembangunan Melaka Bandar Bersejarah...

Di sinilah pada 20 FEBRUARI 1956, bekas Perdana Menteri Malaysia, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj buat julung kalinya mengisytiharkan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Setelah pulang daripada rundingan selama 3 minggu dengan pihak British di London, YTM Tunku Abdul Rahman telah menaiki konvoi kereta dari Ayer Keroh ke Bandar Hilir, Melaka sebelum mengumumkan pada satu perhimpunan bertempat di Padang Pahlawan, Bandar Hilir Melaka bahawa kerajaan British bersetuju untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu secara rasminya pada 31 OGOS 1957.

Mengikut catatan sejarah, Allahyarham Tun Ghafar Baba telah melobi YTM Tunku Abdul Rahman supaya pengisytiharan bersejarah itu diadakan di Padang Pahlawan yang bersetentangan dengan Kota A Famosa sebagai simbolik tempat pertama yang ditawan oleh kuasa asing pada tahun 1511. Ghafar telah berjaya mengumpulkan bukan sahaja penduduk Melaka, bahkan penduduk seluruh negara. Hasilnya, telah berhimpun seramai 100,000 orang di Padang Bandar Hilir, yang kemudiannya dikenali sebagai PADANG PAHLAWAN bagi menyambut Tunku dan rombongannya dari London.

Datuk Panglima Bukit Gantang, Menteri Besar Perak mewakili Raja-raja Melayu, Tun Tan Cheng Lock wakil masyarakat Cina, dan Tun Sambanthan, wakil masyarakat India memberi ucapan alu-aluan sebelum Tunku mengisytiharkan tarikh kemerdekaan.
Di hadapan Padang Pahlawan tersergam Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan berhampiran dengan kesan-kesan sejarah yang lain, seperti A Famosa dan Istana Kesultanan Melaka. Bangunan Memorial ini pada asalnya ialah bangunan Kelab Melaka yang dibina pada tahun 1911. Bangunan ini juga digunakan untuk kegiatan sosial oleh golongan atasan dan pegawai-pegawai kerajaan pada zaman penjajahan British. Setelah merdeka, kelab ini dibuka kepada orang ramai. Kemudian, pada tahun 1985, bangunan ini dijadikan memorial memuatkan segala dokumen tentang kemerdekaan. Memorial ini ditubuhkan untuk menyimpan dokumen tentang kemerdekaan negara. Selain itu, pameran di bangunan ini meliputi Zaman Kesultanan Melayu Melaka sehinggalah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Barang-barang yang dipamerkan meliputi dokumen, gambar, peta, perjanjian, teks ucapan, pita rakaman, minit-minit mesyuarat, majalah, keratan akhbar dan bahan-bahan artifak yang berkaitan dengan perjuangan untuk mencapai kemerdekaan.
Sesungguhnya, sejarah mengajar kita supaya tidak mudah lupa akan liku-liku perjuangan bangsa. Kejayaan bangsa tidak terhasil dengan sendirinya. Kejayaan terhasil kerana tekad, perpaduan, dan kepintaran dalam menghadapi pelbagai cabaran perjuangan....

Menjejak Warisan Sejarah (3) : Bukit Cina & Puteri HLP

Bukit Cina yang terletak di tengah-tengah bandar Melaka mewarisi peninggalan sejarah Negeri Melaka. Bukit Cina ialah sebuah bukit dalam kompleks Bukit Cina mengandungi 5 buah bukit, iaitu Bukit Tempurung, Bukit Cina, Bukit Tinggi, Bukit Tengah dan Bukit Gedong. Walaupun terdapat 5 buah bukit dalam kompleks Bukit Cina, namun hanya Bukit Cina yang disebut dalam sejarah.

Sejarah Melayu menceritakan bahawa Maharaja China ingin merapatkan hubungan dengan empayar Melaka, menghantar anaknya Puteri Hang Li Po dengan 500 orang dayang ke Melaka untuk dikahwinkan dengan Sultan Mansor Shah (1457 - 1477). Baginda memilih salah sebuah bukit yang berhampiran dengan Bukit Melaka (kini, disebut Bukit St. Paul) bagi kediaman isterinya.

Di kaki bukit tersebut terdapat sebuah perigi untuk kegunaan isteri serta dayang-dayangnya yang dinamakan Perigi Raja atau Perigi Hang Li Po dan semenjak itu, bukit ini dikenali sebagai Bukit Cina.
Perigi ini tidak pernah kering dan merupakan satu-satunya punca air semasa musim kemarau. Pihak Belanda membina tembok di sekelilingnya pada tahun 1677 untuk memeliharanya sebagai 'perigi permintaan' (wishing well).

Bukit Cina menjadi sasaran hampir semua penyerang Kota Melaka sebagai lokasi strategik untuk menakluki Kota Melaka daripada Portugis. Misalnya pada tahun 1528 - 1564, Sultan Alauddin Riayat Syah II dan para pengikutnya menggunakan Bukit Cina sebagai lokasi strategik untuk menyerang pertahanan Portugis di Bukit St. Paul. Johor, Acheh dan Belanda juga menggunakan bukit ini untuk melancarkan serangan ke atas Kota Melaka.

Pada pertengahan kurun ke-17, Bukit Cina yang seluas 26 hektar dibeli oleh Li Kup @ Kapitan Li Wei King dan diserahkan kepada Tokong Hoon Teng untuk dijadikan tempat pengkebumian orang-orang Cina. Inilah permulaannya Bukit Cina menjadi tanah perkuburan orang-orang Cina di Kota Melaka. Semenjak itu hanya sekali sahaja Bukit Cina ini menjadi sasaran serangan, iaitu pada tahun 1784 apabila Raja Haji menyerang orang-orang Belanda. Raja Haji yang mendarat di Teluk Ketapang sendiri yang menawan Bukit Senjuang, Bukit Cina dan kemudiannya membedil Kota Melaka.

Tuesday, June 1, 2010

Menjejak Warisan Sejarah (2) : Banda Kaba

Dalam perjalanan ke Banda Hilir dari Bukit Cina, melalui celah-celah jalan yang agak sempit yang di kiri kanannya terdapat bangunan-bangunan lama, terjumpalah Jalan Banda Kaba sebelum tiba di hadapan Sekolah Tinggi Melaka di sebelah kanan jalan. Rasanya inilah pertama kali saya terjumpa dengan nama Banda Kaba, atau mungkin sebelum ini, saya tidak begitu perasan akan jalan ini...

Banda Kaba yang terletak berhampiran dengan Sekolah Tinggi Melaka dikatakan mendapat nama daripada perkataan Portugis 'Jakaba'. Daripada perkataan inilah lahirnya Banda Kaba.

Menurut cerita pada masa dahulu, di kawasan Banda Kaba terdapat banyak pokok kelapa. Apabila orang hendak masuk ke kawasan Banda Kaba, maka jalan yang hendak ditempuhi itu gelap sehingga membuatkan mereka yang lalu di situ teraba-raba dan dari peristiwa itulah dipercayai wujudnya nama Banda Kaba.

Terdapat dua andaian mengenai sejarah pembukaan Banda Kaba. Andaian pertama mengatakan bahawa Banda Kaba telah dibuka oleh Pak Bakar yang berasal dari Daik. Menurut cerita sebahagian tanahnya telah dibahagikan kepada anak-anaknya. Walau bagaimanapun, tanah-tanah tersebut telah dijualkan kepada orang-orang Cina.

Andaian kedua pula mengatakan bahawa Banda Kaba telah dibuka oleh keturunan Tuan Haji Bachik. Tuan Haji Bachik ketika itu merupakan orang kaya di Banda Kaba. Sebahagian daripada masyarakat yang mendiami Banda Kaba terdiri daripada masyarakat Melayu dan selebihnya masyarakat India (India Muslim), Cina dan Jawa.

Sumber : Siri Jejak Sejarah, Fauziah Abdul Ralip, 2002.

Monday, May 31, 2010

Menjejak Warisan Sejarah (1)


Porta De Santiago atau lebih dikenali sebagai A Famosa ialah bangunan bekas sebuah kubu pertahanan Portugis.

Sudah lama tidak singgah di sini. Kali pertama berkunjung ke Kota A Famosa ialah pada 1982. Selepas itu ketika menetap di KL, kami beberapa kali datang ke sini bawa anak-anak ketika mereka masih kecil. Perjalanan dari KL - Melaka tidaklah mengambil masa yang lama.

Setelah anak-anak mula menganjak usia remaja, kami tidak pernah singgah lagi ke sini ketika sekali-sekala berkunjung ke Melaka. Hanya lihat dari jauh. Paling akhir kami jejak kaki di tapak kota itu ialah lebih kurang 15 tahun yang lalu.

Kesempatan pada hujung minggu lepas membawa saya sekali lagi menjejak warisan sejarah sambil bersantai.... Kami berdua menghabiskan masa tengah hari Sabtu itu berjalan-jalan sambil melihat orang ramai termasuk pelancong asing berkunjung di kawasan sekitar dan sibuk merakamkan foto kenangan. Berbanding 15 tahun yang lalu, memang banyak perubahan di sekitar Bandar Hilir Melaka. Kawasan menjadi semakin sesak. Padang Merdeka sudah digantikan dengan Dataran Pahlawan. Kalau dulu, di sinilah tempat pengunjung mengelilingi padang dengan kereta lembu, tetapi kini hanya ada replika kereta lembu....

A Famosa ialah bangunan bekas sebuah kubu pertahanan Portugis. Kota ini dibina oleh Alfonso d'Albuquerque pada tahun 1512. Kota ini diletupkan oleh William Farquhar pada tahun 1807. Yang tinggal kini hanyalah pintu gerbangnya sahaja.

Menurut catatan sejarah, kedatangan Diego Lopez de Sequiera yang bertindak membina sebuah gudang di Melaka pada tahun 1509, tanpa kebenaran daripada Kerajaan Melaka telah menimbulkan kemarahan Sultan Melaka. Lalu, orang-orang Lopez de Sequiera ditangkap dan dipenjarakan. Peristiwa itu dijadikan alasan oleh Alfonso d' Albuquerque untuk menyerang dan menakluki Melaka. Kebetulan pula, Kerajaan Melayu Melaka ketika itu sedang mengalami perpecahan. Sultan Mahmud Shah telah menjatuhkan hukuman bunuh terhadap Bendahara Tun Mutahir atas tuduhan merancang untuk merampas kuasa dan menggulingkan Sultan.

Akhirnya, pada tahun 1511, Sultan Mahmud Shah dan sebahagian rakyatnya terpaksa berundur ke Johor dan akhirnya membuka negeri di Pulau Bintang, di Selat Melaka.

Apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis, Sultan Mahmud Shah cuba mendapatkan takhtanya kembali di Melaka. Malangnya, serangan yang dilakukan tidak dapat menembusi kubu Portugis, iaitu
Kota A Famosa, malah percubaan Acheh juga menemui kegagalan. Percubaan terbesar untuk mengalahkan Portugis oleh Melaka dibuat pada tahun 1558. Armada Acheh yang membabitkan 300 buah kapal perang dan 15,000 orang askar dengan bantuan pasukan meriam yang dibawa oleh Turki mengepung A Famosa selama sebulan, tetapi digagalkan oleh ketibaan ribuan bantuan tentera Portugis dari Goa.

Ketika Belanda mula berkuasa, Belanda telah membuat serangan ke kubu ini. Dalam serangan itu, kubu ini telah dimusnahkan. Walau bagaimanapun ia telah dibina semula. Oleh sebab itulah, tercatat tarikh 1670 pada pintu kubu ini. Di atas tarikh ini tertera lencana Syarikat Persekutuan Belanda Timur India @ Syarikat Hindia Timur Belanda @ VOC...

Kubu yang dinamakan
'A Famosa" ini dimusnahkan lagi pada tahun 1807 oleh William Farquhar, seorang berbangsa Inggeris apabila Melaka jatuh ke tangan mereka. Pihak Inggeris juga ingin memusnahkan kubu lama ini, tetapi diselamatkan pula oleh Sir Stamford Raffles.

Di hadapan Kota inilah, pada 26 Februari 1956,
berita tentang tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah diumumkan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra di Padang Bandar Hilir, Melaka dan didengari oleh kira-kira 50,000 orang. Berita itu telah 'didengari' oleh gerbang A Famosa, Kota Melaka yang telah terpaku di negeri ini sejak 1512....

Teringat lirik lagu masa nyanyi koir zaman sekolah rendah dulu....
Kalau roboh Kota Melaka.. trek... tek... tek...
Papan di Jawa saya dirikan...trek... tek...tek..
kalau sungguh bagai dikata,
..... lupa lirik ..... .. trek... tek... tek...

Jadi, yang ada kini hanyalah sisa-sisa peninggalan Kota A Famosa yang tersirat 1000 makna untuk kita jadikan renungan dan ikhtibar....

Thursday, May 27, 2010

KERANA HEADCOUNT...

Sebagaimana yang dijanjikan, saya akan paparkan secebis kisah yang dipetik daripada buku BRONTOK, yang ditulis oleh PN. HJH NORBI HUSIN (2008).

Sama-samalah kita hayati cerita ini ....

++++++

Petang ini saya didatangi sekumpulan tetamu. Saya membawa mereka semua ke Bilik Mesyuarat Kesidang yang tidak jauh dari pejabat saya agar kami mudah berbincang. Setelah mengambil tempat duduk masing-masing, Encik Harry (Setiausaha NUTP) memperkenalkan ahli-ahli jawatankuasa kesatuannya kepada saya. Walaupun saya memandang setiap ahli yang datang namun dalam kepala saya masih terus memikirkan mengapa mereka ini semua mahu berjumpa saya.
"Boleh beritahu saya mengapa ramai sangat yang hendak berjumpa saya ni ?" tanya saya sebaik-baik sesi perkenalan selesai. Dalam hati terus berdoa agar perbincangan yang bakal berlaku sebentar lagi akan berjalan lancar.
"Ini pasal headcount lah Puan Hajah," jawabnya.
Sepantas kilat saya sudah dapat meneka mungkin headcount yang saya minta semua sekolah melaksanakannya tahun ini telah menimbulkan masalah kepada guru-guru sekolah. Pasti ramai yang membantahnya. Walau bagaimanapun, saya berazam akan terus mempertahankan sekiranya mereka berkeras membantahnya.
"Kenapa pula dengan headcount? Ada masalahkah?" tanya saya berpura-pura tidak mengetahui perasaan mereka.
"Beginilah Puan Hajah, sejak Puan Hajah meminta semua guru melaksanakan headcount, kami guru-guru berasa beban tugas kami sudah semakin bertambahlah! Banyak rungutan yang kesatuan terima. Kami mahu Puan Hajah jelaskan sedikit kepada siapa headcount ini hendak dijalankan, sebab lain pengetua lain penerangannya," katanya. Tersenyum saya mendengar kata-kata Encik Harry.
Ahli yang lain nampaknya mengangguk tanda bersetuju dengan kata-kata rakannya itu.
"Oh, begitu!" saya terbayang muka beberapa orang pengetua ketika saya menyampaikan taklimat headcount kepada mereka di Hotel Blue Wave tempoh hari.
Ada antara mereka sangat serius mendengarnya dan mencatat penerangan yang saya sampaikan tetapi ada segelintir yang sentiasa keluar masuk dewan, resah bagai ibu ayam yang sedang mengeram telur. Barangkali yang sering keluar masuk dewan inilah agaknya yang kurang faham, lalu apabila menerangkan kepada guru-guru mereka, penerangannya juga menjadi tidak jelas, fikir saya.

Sebelum saya menjawab soalan Encik Harry, saya mahu beliau dan rakan-rakannya itu menerangkan kepada saya, apa antara rungutan guru-guru yang mereka dengar. Daripada situ saya lebih mudah menjawab soalannya. Wah, banyak yang saya dapat tahu daripada mereka ini!
"Saya rasa apabila headcount ini diperkenalkan, beban tugas kami semakin bertambah. Sudahlah kami terpaksa menyediakan Buku Adab Belajar setiap pelajar, kami kena pula buat headcount! Bukankah itu menambah beban kami?" kata si A.
"Apa pentingnya kami buat headcount Puan Hajah? Selama ini pun kami mengajar dan menguji pelajar mengikut tajuk-tajuk pelajaran yang kami ajar!" kata pula si B.
Saya ni ketua panitia mata pelajaran Sejarah. Sudah bertahun-tahun saya memegang tugas itu. Kerja saya beres, habis kenapa kami kena buat headcount?" kata si C.
"Saya fikir headcount dibuat kepada pelajar kumpulan target sahaja. Tak perlu buat kepada semua pelajar. Mana guru ada masa hendak buat headcount, kerja yang sedia ada pun sukar hendak dihabiskan!" kata pula yang lain.
Pendek kata hampir semua yang datang ini menyatakan rasa tidak senang mereka dengan projek saya ini. Saya membiarkan mereka bebas bercakap, setidak-tidaknya apa yang terbuku di hati mereka sudah dapat diluahkan. Sekiranya saya menutup pintu perbincangan, sudah tentu kesannya akan lebih buruk lagi. Lagipun bukankah negara kita ini mendukung demokrasi? Semua orang bebas memberi pendapat.

Sebaik sahaja mereka selesai memberikan komennya, saya meminta Encik Harry menjawab beberapa soalan saya secara jujur bukan kerana mahu mempertahankan pendapat rakan-rakan gurunya. Encik Harry tersenyum mendengar permintaan saya.
"Encik Harry mempunyai seorang anak yang belajar di darjah 2. Gurunya tidak pernah memarahi anak Encik Harry walaupun anak Encik Harry tidak membuat kerja sekolah yang diberi, atau tidak masuk ke kelas atau mencuri duit rakannya. Guru itu takut hendak menegur atau menasihati anak Encik Harry kerana Encik Harry orang kuat kesatuan. Apa pendapat Encik Harry kalau sikap guru seperti ini?" kata saya.
"Eh, tak bolehlah Puan Hajah. Gurunya tak bolehlah buat macam ni!" jawabnya selamba.
"Kalau anak Encik Harry lemah dalam sesuatu mata pelajaran dan markah ujian bulanannya juga sentiasa menurun tetapi guru tidak pernah mengambil tahu kelemahannya, jauh sekali melihat aspek mana yang anak Encik Harry itu lemah untuk dibuat pengukuhan, alasannya beliau tidak ada masa, sukakah Encik Harry dapat guru seperti ini?"
"Gurunya tak patut buat macam tu! Beliau patut ajar anak saya sampai faham! Tetapi kami semua bukan macam tu!" Saya tertawa mendengar jawapannya
"Okay, kalau Encik Harry tidak suka sikap guru seperti itu, maknanya Encik Harry dan rakan-rakan Encik Harry suka guru bertanggungjawab dan komited dengan tugasnya bukan! Tentu Encik Harry suka guru-guru yang mengenali murid-murid atau pelajarnya, tahu kelemahan pelajar mereka dan kemudian membantunya. Kalau Encik Harry suka guru seperti ini, inilah yang dimaksudkan guru ini membuat headcount ke atas murid-muridnya. Mereka bukan sahaja mengenali murid-muridnya, malah tahu kekuatan dan kelemahan muridnya dan membantu. Headcount ini bukan sesuatu yang baru. Datuk nenek kita dahulu pun kalau mereka menjadi guru, mereka sudah buat headcount ini. Mereka kenal anak-anak muridnya secara mendalam sehingga emak bapa dan datuk nenek muridnya pun mereka tahu ! Sebab itu mereka rapat dengan anak muridnya. Tidaklah anak muridnya jahat dan biadab dengan gurunya," jelas saya panjang lebar.
Encik Harry dan rakanrakannya terdiam, tetapi saya tahu mereka masih belum dapat menyokong projek saya ini kerana mungkin mereka bukan seperti guru yang mengajar anak Encik Harry. Saya harus terus mempengaruhi mereka ini.
"Saya tahu, mungkin Encik Harry dan rakan-rakan Encik Harry memang mengambil tahu setiap pelajar Encik Harry. Tetapi ramai guru di luar sana, tidak kisah pun hal tersebut. Bagi mereka, datang sekolah, tugasnya mengajar pelajar. Dapat atau tidak apa yang diajar, itu bukan tanggungjawabnya. Malah ada guru kita, nama pelajar pun mereka tidak tahu!" Kata saya.
Saya kemudian memberi beberapa contoh yang kami temui semasa kami membuat penyeliaan dan pencerapan di sekolah. Saya nampak Encik Harry dan rakan-rakannya mula mengerti mengapa saya perkenalkan headcount ini ke sekolah-sekolah tahun ini.
"Okaylah Puan Hajah, sekarang saya fahamlah. Tetapi kerja kami sudah semakin bertambah. Banyak borang yang perlu diisi," jawabnya.
"Encik Harry, kerjaya guru ni satu kerjaya yang profesional, macam juga doktor. Kalau kita pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan, tentulah doktor itu akan melihat rekod kesihatan kita dan kemudian memeriksa kita. Mereka tidak terus memberi ubat kepada kita tanpa melihat rekod kesihatan dan menjalankan pemeriksaan. Rekod kesihatan tu penting bagi membantunya melihat perkembangan penyakit kita. Macam tu jugalah guru. Mereka patut menyimpan rekod murid-muridnya. Setiap ujian, turun naik markah perlu direkodkan agar mereka tahu prestasi muridnya. Kalau mengikut rekod, markah markah murid itu sentiasa menunjukkan penurunan, guru harus siasat mengapa keadaan itu berlaku sebelum buat rawatan ke atas murid itu. Kalau guru tidak menyimpan rekod turun naik markah murid-muridnya, bolehkah guru itu ingat setiap prestasi anak muridnya?"
Banyak lagi yang saya huraikan. Tujuan saya menghuraikan panjang lebar hal ini kerana saya mahu mereka semua sedar bahawa kerjaya guru ini ialah satu kerjaya yang profesional. Bukan jadi guru kerana tidak dapat kerja lain.

Saya bersyukur, berkat kami berbincang secara jujurdan ikhlas ini, akhirnya mereka semua bersetuju menjayakan projek headcount yang sudah lama dipraktikkan oleh guru-guru pada zaman penjajah tatapi telah dilupakan pada zaman ini.

Itulah secebis coretan pengalaman seorang Ketua Sektor Pengurusan Akademik di JPN. Melaka) ... yang baik jadikan teladan.... berguru dengan buku....

PKKP & Kenangan...




Dalam Mesyuarat Guru awal minggu ini, Tuan Pengetua sekali mengingatkan semua guru tentang 'headcount'. Dulu-dulu masa di SMKJ2, pengetua pada waktu itu, PUAN HJH MAIMUNAH TAIB (kini, Ketua Sektor Unit Penilaian & Peperiksaan di JPNP) dan juga GPK1, Tn Hj Ansari Noorudin seringkali mengingatkan guru-guru tentang PKKP - TOV, HC, AMP1, AMP2, AMP3, AMP 4, Folio A & Folio B... bla..bla..bla...

Teringat masa mula-mula bertugas di SMKJ2, tahun 2000. Masa tu saya ditempatkan di sebelah petang. Mengajar Ting. 1 & 2. Apabila KP menyebut Folio A dan Folio B, tergambar dalam minda saya... Folio KH! Betapa ketinggalannya saya ketika itu....!Setelah beberapa minggu bertugas, barulah saya tahu apa sebenarnya Folio A & Folio B dan PKKP. Waktu itu, saya rasa saya tidaklah ketinggalan sangat, kerana ada juga rakan-rakan guru yang sudah lama diperkenalkan dengan PKKP ni, masih lagi 'teraba-raba'...!

Di mana-mana JPN, pasti terdapat program peningkatan pendidikan seumpama itu, cuma namanya sahaja yang berbeza. Ikut pengurusan tertinggi di JPN masing-masing. Pernah suatu ketika program peningkatan pendidikan di JPWP dikenali sebagai 'OPERASI CERDIK'. Prestasi sekolah akan ditentukan mengikut warna bagi 5 bidang utama iaitu pengurusan, kurikulum, kokurikulum dan keceriaan, bina insan. Warna biru, hijau, kuning dan merah. Sudah lupa susunan warna tu. Pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa oleh pegawai-pegawai JPWP. Itu lebih 10 tahun yang lalu. Beberapa tahun lepas, semasa saya sempat berkhidmat di Kelantan, program peningkatan pendidikannya dikenali sebagai Program JUARA... sekarang tak pastilah pula apa nama programnya...sekali bah, sekali pantai berubah...!

Walau apa nama program sekalipun, guru-guru memang diminta untuk sentiasa membuat Headcount, iaitu satu kaedah melakukan penyemakan ke atas calon berpotensi (cemerlang - sederhana - HALUS). Kaedah ini hendaklah dilakukan secara berterusan untuk mengetahui sama ada sekolah atau murid mencapai target yang ditetapkan.

Saya mula betul-betul mengenali PKKP setelah saya secara langsung terlibat dengan program tersebut pada tahun berikutnya di SMKJ2. Ketika itu, saya mula 'menggali' apa sebenarnya PKKP ini.

Saya difahamkan bahawa program PKKP mula diperkenalkan oleh JPNP pada sesi tahun akademik 1994/1995 sebagai satu usaha untuk mempertingkat prestasi pendidikan di Pahang yang tidak begitu membanggakan sebelum itu. Mendahului program ini ialah Program Perancangan Lima Tahun atau "Blue Print" Sekolah (BPS) yang dilaksanakan semenjak 1986 di semua sekolah di Malaysia.

Semasa saya mula bertugas di SMKJ2, Program PKKP sudah melalui fasa kedua pelaksanaannya. PKKP Edisi Kedua ketika itu telah melalui proses penambahbaikan dalam konsep dan dokumen perancangan berbanding dengan edisi pertama dengan memberi penekanan kepada kemajuan Kurikulum, Bina Insan, Kokurikulum, Keceriaan dan Pengurusan Sekolah. Walau bagaimanapun, kesinambungan semangat PKKP yang berteraskan 'kolaboratif, partisipatif' dan 'ownership' diteruskan kerana kejayaan PKKP bergantung kepada kesedaran, iltizam dan semangat kerja sepasukan.
Saya masih ingat lagi ketika di SMKJ2, sesi debriefing kerap dilakukan. Debriefing ialah satu kaedah pelaporan, guru-guru akan melaporkan tindakan kepada Pengetua / GB atau Pengetua kepada PPD atau PPD kepada JPNP. Debriefying dilakukan hasil daripada pemantauan yang dibuat oleh pihak yang telibat. Ini bermakna, pegawai-pegawai dari PPD Maran keraplah 'menjenguk' kami di sekolah untuk melakukan pemantauan ketika itu... (selain pemantauan daripada pihak pentadbir sekolah)!

Seingat saya ketika itu, Pengetua sekolah dalam PPD Maran secara bergilir-gilir akan menjadi Pengerusi bagi sesi pelaporan itu. SMKJ2, SMK Maran dan SMKJP merupakan antara sekolah yang kerap dipilih menjadi pengerusi... Saya masih ingat, Bilik Gerakan kenalah sentiasa'hidup' dan 'bergerak' dengan data dan info terkini. Bilik PKKP juga diwujudkan bersebelahan dengan Bilik Ketua Bidang... semua fail panitia ditempatkan di Bilik PKKP mengikut Bidang. Pemantau akan membuat pemantauan fail panitia di bilik ini tanpa perlu mencari Ketua Panitia di Bilik Guru, kecuali ada perkara yang perlu dibincangkan. Papan Kenyataan Umum sekolah hendaklah dilengkapkan dengan maklumat PKKP (Target sekolah, TOV, HC dll) dan dikemaskini dari semasa ke semasa.... Itu dulu, mungkin kini SMKJ2 semakin ke hadapan dalam memantapkan Program PKKP ini.

Kini, PKKP telah masuk fasa ketiga. Konsepnya masih sama tetapi terdapat beberapa penambaikan selari dengan perkembangan semasa. Istilah juga ada yang baru... OTI, ETR... TOV & HC masih kekal. Program pengisian terkini memberi ruang untuk saya menambah ilmu... Di sini, di SMKTP saya masih belajar... berguru dengan guru... terima kasih Mr. Choy , sifu PKKP di SMKTP... terima kasih kepada barisan pentadbir yang memberi ruang untuk saya menimba ilmu...

Pengalaman yang ditimba dan dikutip di beberapa 'persinggahan' dalam tempoh hampir 2 dekad setengah ini merupakan ilmu yang tidak ternilai yang akan saya kendong dan manfaatkan demi tugas yang diamananahkan....
Terima kasih semua.

bersambung dalam entri seterusnya... masih tentang 'headcount' ... yang dipetik dari buku "BRONTOK", tulisan Pn. Hjh Norbi Husin.

Monday, May 24, 2010

Kang Kong @ Pekong Tin


Zaman kanak-kanak dahulu kita bebas bermain. Suasana kampung yang semulajadi serta selamat membenarkan.

Daya kreativiti, kelasakan dan ketahanan fizikal dibentuk dan diasah tatkala kita bebas belajar. Belajar daripada alam. Alam yang hidup. Alam yang berzikir. Membuatkan ingatan terus kepada Pencipta Alam. Indah!

Tidak ada permainan, permainan difikirkan.
Tidak ada alat mainan, alat mainan dihasilkan.

Tidak ada swimming pool, sungai medan latihan.
Itulah nikmat dan kelebihan zaman dahulu yang bebas belajar dari alam semulajadi.
Kini, segalanya terhad. Kebebasan terhad, keselamatan tergugat, masa bersama anak-anak tidak sempat. Hasilnya, kreativiti tersekat. Namun, masih punya alternatif. Sesuaikan pembelajaran dengan zaman. Andai bermain di luar rumah kurang selamat, ruangnya terhad, banyakkan aktiviti bermain di dalam rumah. Sekali sekala ke luar, belajar dari alam boleh diusahakan.

Sebagaimana yang dijanjikan, entri saya kali ini ialah tentang permainan Kang Kong atau pekong @ petong tin ialah sejenis permainan mencari orang yang menyorok yang dimainkan pada zaman kanak-kanak dahulu. Lebih kurang sama dengan main nusut, cuma permainan ini memerlukan sebuah tin kosong bertutup dan diisi dengan beberapa ketul batu kecil. Kawasan permainan ialah kawasan yang banyak pokok atau tempat berselindung supaya mudah pemain bersembunyi. Jumlah pemain sekurang-kurangnya 5 orang terdiri daripada kanak-kanak lelaki dan perempuan dalam lingkungan umur 7 -12 tahun...

Sebelum permainan dimulakan, pemain melukiskan satu bulatan bulat di atas tanah dan meletakkan tin di tengah-tengah bulatan. Para pemain membuat undian untuk menentukan pemain yang akan menjadi pencari. Para pemain, termasuk pencari berdiri di dalam bulatan. Salah seorang pemain akan mengambil tin dan melontarkannya seberapa jauh yang boleh, oleh sebab itulah permainan ini juga dikenali sebagai pekong @ petong tin...! Pencari akan pergi mengambil tin yang dipekong itu sementara pemain lain akan menyembunyikan diri masing-masing. Pencari akan meletakkan kembali tin itu di tengah-tengah bulatan dan mula mencari pemain yang bersembunyi.

Apabila pencari dapat mencari salah seorang daripada pemain yang bersembunyi tadi, dia memanggil nama pemain tersebut sambil menuding jarinya ke arah tempat pemain itu bersembunyi. Pencari berlari semula ke bulatan dan menyentuh tin dengan kakinya. Pemain yang telah dijumpai ini tidak boleh bermain lagi. Pencari akan terus mencari pemain yang lain.


Permainan ini mempunyai beberapa peraturan :

1) pemain yang telah dijumpai boleh bermain semula sekiranya dia dapat menyepak tin keluar daripada bulatan terlebih dahulu sebelum daripada pencari.
2) sekiranya pemain dapat menyepak tin keluar dari bulatan tanpa dilihat oleh pencari, permainan akan dimainkan semula dengan pencari itu juga menjadi pencari.
3) sekiranya pencari berjaya mencari semua pemain, pemain yang pertama dijumpai akan menjadi pencari pula.

Begitulah seterusnya permainan diteruskan seberapa banyak pusingan yang mungkin sehingga permainan tamat. Pemain yang paling banyak kali menjadi pencari dikira kalah...

Dulu semasa zaman kanak-kanak, gelanggang @ venue yang paling kerap menjadi tempat kami main petong @ pekong tin adalah di pekarangan rumah Pok Long.,.. sebelah rumah Nenek Lijah. Tin berisi anak-anak batu itu akan dibaling @ dipekong ke arah semak di dalam kawasan tanah Nenek Lijah (yang kini menjadi pekarangan rumah Pok Muda Leh)... Sesiapa yang menjadi pencari, jenuhlah mencari tin itu.

Kami pula akan berlari ke segenap tempat di sekeliling rumah Pok Long untuk bersembunyi. Banyak juga tempat yang strategik... antaranya di sebalik rimbunan pokok katak puru @ nam-nam, di sebalik telaga, di bawah rumah (rumah Pok Long agak tinggi),di belakang rumah padi, dll... Masih saya ingat lagi teman-teman sepermainan yang sama-sama memeriahkan permainan... antaranya ialah Cucu-cucu Pok Long (Ana, Norma, Che Hasim, Che Hassan, Siah, Hasbullah), saya bertiga beradik, dan beberapa orang lagi...

Walaupun anak-anak zaman kini tidak sempat menikmati suasana kampung yang punya keunikan tersendiri lagi semulajadi, mereka masih boleh menontonnya menerusi "KAMPUNG BOY" di tv. Terima kasih Dato` Lat, terima kasih Kampung Boy.


...secebis kenangan di alam kanak-kanak...