Monday, October 25, 2010

Masjid Quba



Masjid ini terletak di barat daya Madinah, jaraknya sekitar 4km dari Masjid Nabawi.

Diriwayatkan bahawa sebelum Nabi Muhammad s.a.w hijrah ke Madinah, kaum muslimin yang terlebih dahulu ke Madinah bermukim di daerah Quba.

Sewaktu Nabi tiba di Madinah, baginda berehat beberapa hari di daerah Quba ini. Rasulullah tiba di Quba pada hari Isnin. Pada hari Jumaat, Rasulullah meninggalkan Quba menuju kota Madinah. Di daerah Quba ini, Rasulullah disambut oleh kaum Ansar yang telah menantikan ketibaannya.

Selama di Quba, Rasulullah telah membina masjid yang dianggap masjid yang paling awal dibina oleh Rasulullah. Baginda sendiri yang mengangkat batunya, kemudian diikuti oleh para sahabat. Ketika itu, kiblatnya ke Masjidil Aqsa.

KEUTAMAAN MASJID QUBA :

Dalam sebuah hadis Nabi disebut :

"Sesiapa yang bersuci (berwuduk) di rumahnya kemudian pergi ke Masjid Quba, lalu melaksanakan sembahyang di sana, maka ia memperoleh pahala satu umrah." (Riwayat al-Tabrani)

Sunday, October 24, 2010

Menara Masjid Nabawi


Sebelum diperluas, Masjid Nabawi hanya memiliki 4 menara. Namun, selepas proses peluasan, setiap sudut bangunan masjid yang megah ini telah didirikan menara-menara baru, yang berjumlah 6 buah, termasuk 2 menara besar yang mengapit pintu gerbang utama "Pintu Raja Fadh bin Abdul Aziz"

Di setiap puncak menara baru yang berketinggian 104 meter itu terdapat ornamen "bulan sabit" daripada bahan perak yang dilapisi emas tulen 24 karat dengan tinggi 7 meter dan beratnya 4.5 tan. Pada ketinggian 87 meter, dipasang 'sinar laser' yang memancarkan cahaya ke arah Makkah sejauh 50 km, untuk menunjukkan arah kiblat dinyalakan pada saat-saat tertentu (waktu sembahyang).

Kini, Masjid Nabawi memiliki 10 menara yang sangat indah dan mahal.

Saturday, October 23, 2010

Kubah hijau di Masjid Nabawi


Kubah hijau atau green dome yang terdapat di Masjid Nabawi sangat dimuliakan kerana dibina di atas Makam Rasulullah s.w.t dan dua sahabatnya.

Ramai penziarah datang ke kota Madinah bertujuan untuk melakukan sembahyang Arba'in dan berziarah ke Makam Rasulullah. Jemaah yang sembahyang di Masjid Nabawi tidak lupa untuk melakukan ziarah ke Makam Rasulullah, kerana makam Rasulullah ada di dalam Masjid Nabawi. Di samping makam Rasulullah, terdapat makam sahabat baginda, iaitu Abu Bakar as-Siddiq r.a dan Umar bin Khattab r.a.

Friday, October 22, 2010

Kubah di Masjid Nabawi


Untuk pengaturan udara dalam bangunan masjid yang sedemikian besar dan luas, dibina 27 ruang terbuka dengan ukuran masing-masing 18 x 18m. Sebagai atap, dibina kubah yang yang dapat dibuka dan ditutup secara automatik (elektronik) dan juga secara manual.

Berat setiap kubah ialah 80 tan, dibuat daripada kerangka waja dan simen yang dilapisi kayu pilihan dengan hiasan 'relief' bertatahkan batu permata jenis firus yang sangat indah.

Bahagian atasnya pula dilapisi dengan seramik tahan panas.


Thursday, October 21, 2010

Masjid Nabawi : Pendingin Udara Raksasa


Tiang pengalir udara sejuk yang canggih dan fantastik merupakan ciri khas Masjid Nabawi, kerana pengaturan posisi yang rapi dan keindahannya yang tiada bandingan.

Untuk menyejukkan Masjid Nabawi, dibangunkan satu unit pendingin udara raksasa di atas tanah seluas 70,000m persegi yang terletak 7 km sebelah barat Masjid. Hawa sejuk yang dihasilkan sistem itu dialirkan melalui paip bawah tanah dan dibahagikan ke setiap penjuru Masjid melalui bahagian bawah setiap tiang yang berjumlah 2,104 buah semuanya.

Tiang-tiang bundar ini dibuat daripada simen bergaris tengah 64 cm, kemudian dilapisi marmar tebal berwarna putih susu. Di kakinya yang kukuh itulah dipasang ventilasi untuk mengalirkan hawa sejuk. Jarak antara satu tiang dengan tiang yang lain adalah 6 meter dan 18 meter. Tinggi dari lantar dasar sampai lengkungan lantai atas adalah 5.6 meter dan pada batas lengkungan itu dipasang lampu hias yang indah dan 'dikurung' dalam 'sangkar' bersalut emas.

Indahnya Masjid Nabawi.

Wednesday, October 20, 2010

Masjid Nabawi : 674 Lampu Kristal


Untuk menambah pencahayaan dan keindahan di dalam Masjid yang lama (ruangan bertiang warna kuning), dipasang 674 lampu-lampu kristal pilihan yang tidak membiaskan panas. Lampu yang cantik itu diisusun dengan kerangka daripada bahan kuningan bersadurkan emas berjumlah 674 buah, terdiri daripada 3 jenis ukuran.

Lampu yang besar berukuran garis tengah 343 cm dengan berat sekitar 485 kg (seperti yang terdapat di Raudhah). Yang sedang berukuran garis tengah 140 cm, seberat 145 kg, manakala yang kecil pula berukuran garis tengah 120 cm, berat 125 kg. Lampu-lampu ini dipesan khusus dari Italy, pengeluar kristal terkenal di Eropah.

Tuesday, October 19, 2010

Perluasan Masjid Nabawi


Raja Fahd yang bergelar "Pelayan Dua Tanah Haram" telah meletakkan batu pertama projek perluasan Masjid Nabawi pada bulan Safar 1405H (Nov. 1984M). Detik ini merupakan peristiwa yang paling signifikan dan termegah dalam sejarah. Selepas tertangguh satu tahun, tepat pada bulan Muharam 1406H (Okt 1985), bermulalah projek besar ini dengan penggusuran semua bangunan yang ada di sekitar Masjid Nabawi.

Penggusuran pertama meliputi lebih kurang 100,000m persegi berupa bangunan hotel-hotel bertingkat, pasar atau kompleks kedai. Di atas tanah itu, dibangunkan suatu bangunan masjid baru seluas 80,000m persegi yang mengelilingi dan bersatu dengan bangunan Masjid Nabawi yang sudah ada.

Dengan tambahan bangunan baru ini, luas lantai dasar Masjid Nabawi kira-kira 98,000m persegi yang dapat menampung 167,000 jemaah. Sedangkan lantai atas (sky roof) dapat digunakan untuk sembahyang seluas 67,000m persegi dapat menampung seramai 90,000 jemaah.

Apabila halaman masjid dipenuhi jemaah sembahyang, maka Masjid Nabawi dan halamannya dapat menampung 650,000 jemaah pada musim biasa (low season) dan lebih 1 juta jemaah pada musim haji atau bulan Ramadhan (high season).

Keluasan halaman masjid ini kini sama dengan keluasan kota Madinah ketika kehadiran pertama Rasulullah s.w.t.

Monday, October 18, 2010

Masjid Nabawi Asal


Masjid Nabawi asalnya dibina oleh Nabi Muhammad s.a.w. bersama para sahabat dan kaum muslimin di tengah kota Madinah. Pembangunannya dimulai pada bulan Rabiul Awal tahun Pertama Hijrah (Sept. 662M). Masjid ini dibina di atas tanah milik dua anak yatim (Sohal dan Suhail) yang dibeli dengan harga 10 dinar, dan ditambah tanah wakaf daripada As'ad bin Zurarah serta tanah bekas makam kaum muslimin yang rosak. Pada awalnya, masjid ini sangat kecil (1,050m persegi), tiang-tiang dan atap daripada batang kurma.

Sembahyang di Masjid Nabi ini lebih utama dari 1000 kali sembahyang di tempat lain.

Sabda Rasulullah :

"Sembahyang di masjidku lebih utama daripada 1000 sembahyang di tempat lainnya, kecuali Masjid Haram dan sembahyang di Masjid Haram lebih utama daripada 100,000 kali sembahyang di tempat lainnya"

Sunday, October 17, 2010

Payung Raksasa Artistik


Di bahagian tengah Masjid Nabawi terdapat 2 ruang terbuka. Di setiap ruang dilengkapi 6 buah payung artistik, hasil gabungan senibina moden dan teknologi canggih. Dengan dana yang tidak sedikit, lahirkan sebuuah ciptaan yang patut dibanggakan berupa "12 Payung Raksasa" peneduh panas yang dapat dibuka dan ditutup secara automatik yang diatur dengan sistem komputer.

Semasa menunggu untuk masuk ke Raudhah, saya mendapati payung raksasa terbuka secara automatik kerana bahang cuaca panas sudah mula terasa. Waktu itu, lebih kurang pukul 9.15 pagi waktu tempatan.

Selain itu, melalui tiang yang terdapat pada payung raksasa itu, dipasang pendingin udara yang secara automatik pula mengeluarkan hawa sejuk.

Kini, payung raksasa ini juga dipasang di luar bangunan masjid, iaitu di dataran Masjid Nabawi.


Saturday, October 16, 2010

Jabal Uhud






Jabal @ Bukit Uhud ialah nama gunung atau kawasan yang terletak sekitar 2.5 km dari Masjid Nabawi ke arah utara.

Daerah ini menjadi sangat terkenal selepas terjadinya peristiwa Perang Uhud dan diabadikan dalam al-Quran surah Ali Imran (ayat 153 - 154) dan pelbagai hadis yang memberikan gambaran tentang kedudukan Jabal Uhud itu. Antara sabda Sabda Rasulullah s.a.w ialah :

"Gunung Uhud ialah gunung yang mencintai kita dan kita pun mencintainya." (Riwayat Bukhari, Ahmad dan Tabrani)

"Gunung Uhud adalah salah satu gunung syurga" (Riwayat Baihaqi)


Gunung Uhud nampak diliputi oleh warna kemerah-merahan berbeza dengan gunung-gunung lain yang ada di sekitar Madinah yang berwarna kehitam-hitaman. Gunung ini kelihatan melintang panjang. Panjangnya lebih daripada 6km yang membentuk beberapa puncaknya.

Kelihatan dengan jelas sekali, di pelataran Bukit Uhud terdapat perkuburan para syuhada Uhud, iaitu para sahabat yang gugur dalam pertempuran Uhud, termasuklah ialah bapa saudara Nabi Muhammad s.a.w., Hamzah ibn Abdul Muttalib.

Friday, October 15, 2010

PROGRAM SELEPAS PMR





Selepas PMR, para pelajar hadir ke sekolah seperti biasa bagi menghabiskan sesi persekolahan bagi tahun 2010. Walaupun sukatan pelajaran Ting. 3 sudah selesai, mereka bertanggung jawab untuk hadir ke sekolah sehingga tamat penggal persekolahan. Untuk itu, pihak sekolah telah menyediakan aktiviti bermanfaat bagi mengisi masa terluang sebelum mereka naik ke persekolahan menengah atas pada tahun hadapan.

Aktiviti yang telah rancang itu akan dijalankan mulai minggu hadapan. Pada minggu ini yang berbaki 3 hari selepas tamatmya PMR, diisi dengan urusan pemulangan buku SPBT dan aktiviti bebas yang diselia oleh guru mata pelajaran masing-masing.

Hari ini saya ada kelas bersama murid-murid 3K7, 3K4 dan 3K3. Mereka dibenarkan melakukan beberapa aktiviti permainan dalaman. Ada yang bermain 'JUTARIA' @ 'Monopoly', catur, congkak, karom dan sebagainya. Ada yang mereka bawa sendiri dan ada yang mereka dapatkan daripada KB Kemanusiaan, Pn. Megawati. Dalam pada itu, ada juga murid yang rajin membuat latihan 'word puzzles'. Sebarang permainan berasaskan 'cards' adalah tidak dibenarkan sama sekali, termasuk kad UNO...! Perkara ini sebenarnya sudah dimaklumkan oleh Mr. Choy semasa perhimpunan pada pagi Rabu lepas.

Pada minggu hadapan pelbagai aktiviti menarik menunggu mereka. Semoga 'anak-anak' kesayanganku ini akan terus hadir ke sekolah dan memanfaatkan program yang telah dirancang untuk mereka....

Perkuburan Baqi'






Perkataan baqi' (al-baqi') pada mulanya bererti 'tanah' yang tidak berbatu atau tanah yang gembur dan mudah digali. Kemudian, perkataan ini menjadi sebuah nama perkuburan kaum muslimin yang ada di kota Rasulullah s.a.w. Madinah Munawwarah.

Kawasan perkuburan Baqi' terletak di sebelah timur dari Masjid Nabawi. Kini, selepas Masjid Nabawi diperluas, kedudukannya bersebelahan (dataran) dengan masjid tersebut. Ia menjadi perkuburan awam, khususnya jemaah haji atau umrah yang meninggal dunia di Madinah.

Kedudukan Perkuburan Baqi' menjadi agung dan mulia kerana kebanyakan hadis Rasulullah s.a.w. ada menjelaskan tentang itu. Antaranya ...

"Siapa yang meninggal dunia di Madinah, akulah yang akan menjadi saksi dan penolong baginya pada hari kiamat." (Riwayat al-Tabrani)

"Engkau lihatkah perkuburan yakni Baqi' ini? Dari sini Allah akan membangkitkan sebanyak 70,000 orang wajah mereka bercahaya seperti bulan purnama, lalu mereka dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab." (Sabda Rasulullah kepada Ummu Qaish, riwayat Tabrani, Ibnu Hibban dan Tayalusi)

Monday, October 11, 2010

Kerja yang tertangguh : Resensi Buku LADAP






Cepatnya masa berlalu. Kini kita sudah hampir tiba di pertengahan Oktober. Esok merupakan hari yang terakhir peperiksaan PMR 2010 . Selepas ini kami akan sibuk dengan Program Selepas PMR. Harap-harap aktiviti yang dirancang dapat memancing murid-murid untuk terus hadir ke sekolah sehingga hari terakhir sesi persekolahan 2010.

Dalam sibuk menumpukan perhatian kepada murid-murid yang akan menduduki peperiksaan, terlupa pula untuk menyiapkan ulasan buku bagi memenuhi aktiviti LADAP pada tahun ini. Sebenarnya, banyak buku yang dibaca. Cuma, buku yang mana satukah yang akan dipilih untuk diulas....?

Antara buku yang telah saya siap membuat ulasan dan telah diserahkan kepada Pn. Mega ialah :
- WARNA-WARNA PENGALAMAN SEORANG GURU (Prof. Awang Had Salleh),
- GURUKAH AKU ATAU...? (Puan Norbi Hussin), dan
- BUKAN KERANA PANGKAT : TUN DR ISMAIL DAN MASANYA (Ooi Kee Beng).

Dalam sehari dua ini saya telah siapkan ulasan untuk beberapa buah lagi buku yang telah dibaca... sesetengahnya, telah diulang baca beberapa kali. Buku-buku tersebut ialah :
- TRAVELOG CINTA ABADI : MASA YANG BERLALU (Roza Roslan),
- CERITA SAYA (Lim Goh Tong),
- HAJI MUDA : TIP-TIP MENJADI TETAMU ALLAH (Ridzwan Bakar), dan
- MEMOIR SHAMSIAH FAKEH : DARI AWAS KE REJIMEN KE-10 (Shamsiah Fakeh).

Buku-buku yang dipilih mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Banyak yang boleh dipelajari dan diambil ikhtibar daripadanya.

Sesungguhnya dengan membaca kita dapat membuka minda.... MEMBACA JAMBATAN ILMU....