Monday, November 1, 2010

Kaabah : Rumah Allah

Tidak dapat digambarkan perasaan hatiku pertama kali melihat Kaabah dan berdiri di depannya. Air mata mengalir tanpa sedar semasa melakukan tawaf bagi menyempurnakan umrah wajibku.

Kaabah juga disebut Baitullah (Rumah Allah) atau Baitul-'Atiq (Rumah Kemerdekaan). Binaan berupa tembok bersegi empat yang dibuat daripada batu-batu besar berwarna kebiru-biruan yang berasal dari gunung-ganang di sekitar Makkah.

Kaabah yang kita lihat sekarang berbeza dengan Kaabah yang telah dibina oleh Nabi Ibrahim a.s. Rumah Allah ini dibina di atas satu landasan yang kukuh dibuat daripada batu marmar yang tebalnya kira-kira 25cm. Kaabah, bangunan yang menyerupai bentuk kubus ini merupakan bangunan pertama di atas bumi yang digunakan sebagai tempat menyembah Allah s.w.t.

Firman Allah, surah Ali Imran ayat 96 yang bermaksud :

"Sesungguhnya permulaan rumah yang dibuat manusia untuk tempat beribadah itulah rumah yang di Bakkah (Makkah) yang dilimpahi berkat dan petunjuk bagi alam semesta."

Sesiapapun yang berdiri di depan Kaabah pasti teringat pertelingkahan para kabilah Quraisy selepas selesai membina Kaabah mengenai siapa orang yang akan meletakkan Hajarul Aswad pada tempatnya.

Sunday, October 31, 2010

Kota Suci Pertama




Alhamdulillah, selepas 3 hari berada di Madinah, pada 2 Jun 2009, kami bertolak ke Kota Makkah. Impianku selama ini untuk menjejakkan kakiku di kota suci pertama itu tertunai juga akhirnya.

Makkah terletak kira-kira 330 meter di atas permukaan laut, menempati sebuah lembah kering yang dikelilingi gunung-ganang karang yang tandus. Panjang lembah ini dari barat ke timur sekitar 3km dan dari utara ke selatan sekitar 1.5 km.

Makkah ialah kota yang pertama kali ada di muka bumi, kerana di sinilah manusia pertama Nabi Adam diturunkan dan hidup bersama pasangannya Siti Hawa. Dari sinilah keturunan anak manusia itu berkembang ke segenap penjuru dunia.

Ketika Nabi Adam pertama kali tinggal di sini, beliau memohon kepada Allah agar diselamatkan daripada godaan iblis yang telah memperdayakannya di syurga. Doa Adam terjabul, kemudian para Malaikat turun ke bumi mengelilingi tempat Nabi Adam untuk menjaganya agar iblis tidak dapat mencapainya. Tempat para Malaikat berjaga itulah kemudiannya menjadi batas Tanah Haram.

Sehingga tahun 8H (623M), Makkah masih boleh dikunjungi oleh orang-orang Nasrani, Yahudi dan bukan Islam lainnya. Tetapi kerana orang-orang kafir banyak melakukan tindakan munafik, ingkar janji dan memusuhi serta menodai syiar Islam, maka pada tahun 9H berdasarkan firman Allah s.w.t. , mereka sama sekali dilarang masuk Makkah. Firman Allah tersebut berbunyi :

"Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis, maka janganlah mereka mendekati Masjidil Haram sesudah tahun ini (9H)"

Kota Makkah akan terus berkembang, namun Tanah Haram atau Tanah Suci Makkah tidak akan ikut berkembang kerana batasnya sudah ditetapkan, iaitu dari :

* arah utara Masjidil Haram lebih kurang 7km
* arah selatan lebih kurang 13km
* arah barat lebih kurang 25km

Di sinilah Kaabah dan Masjidil Haram ditempatkan oleh Allah s.w.t., di sini Adam dan Hawa dipertemukan dan yang lebih penting lagi, di sini juga haiwan buruan tidak boleh diburu, pepohonan tidak boleh dirosakkan, tanah dan batunya tidak boleh dibawa keluar, dan orang bukan Islam tidak boleh memasuki kota suci ini.

MASJIDIL HARAM

Masjid ini merupakan masjid tertua di dunia yang dibina oleh Nabi Muhammad s.a.w. Masjid ini berbentuk empat persegi dan dibina mengelilingi Kaabah.

Saf Masjidil Haram ini berbentuk lingkaran, semuanya menghadap ke Kaabah yang berada di tengah-tengah. Ini merupakan keunikan yang tidak ada pada masjid mana pun di dunia.

Dari semasa ke semasa, masjid ini selalu mengalami pembaharuan dan perluasan. Pembaharuan yang paling besar dan menonjol dalam sejarah adalah yang digerakkan oleh Raja Fahd Bin Abdul Aziz yang bergelar "Pelayan Dua Tanah Haram", Raja Arab Saudi yang memerintah mulai tahun 1982.

Kini, bentuk masjid ini agak bulat dan sangat luas sehingga memerlukan banyak pintu untuk masuk dari setiap arah. Jumlah pintunya ialah sebanyak 49 terdiri dari 4 pintu utama, dan 45 pintu biasa.

Masjid yang terletak di sebuah lembah ini sentiasa terasa ajaib. Betapa tidak, jumlah jutaan jemaah dari pelbagai pelosok dunia masih dapat tertampung masuk masjid itu. Bertingkat tiga dengan 7 buah menara besar yang tinggi menjulang ke langit. Ketujuh-tujuh menara dengan ukiran tingkap yang khas itu siang dan malam ditaburi cahaya hingga nampak terang benderang seperti siang.

di sepanjang jalan pulang, ingin kubertandang ke rumahMu lagi...




Saturday, October 30, 2010

Kerinduan 4 : Umrah Wajib....


Sekali lagi kami bermusafir dari satu bandar Nabi yang diharamkan Dajjal memasukinya ke sebuah lagi tempat suci yang sama... Makkah al-Mukarramah.

Rancangan awal, kami akan bertolak dari Madinah ke Makkah sebelum solat Asar, tetapi atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, kami bertolak agak lewat. Kelewatan ini ada hikmahnya. Sempatlah kami menunaikan solat Asar berjemaah sekali lagi di Masjid Nabawi. Kami bertolak ke Makkah pada 2 Jun 2009, melewati pukul 4.30 petang waktu tempatan .

Selamat tinggal Madinah. Pasti kami akan berkunjung lagi ke kotamu....

Kami memulakan perjalanan yang cukup selesa walaupun mengambil masa agak lama. Perjalanan yang dipenuhi rasa berdebar-debar sambil ditenangkan dengan kalimah zikir dan talbiah. Di dalam bas, aku duduk bersebelahan anakanda Siti Nadiah @ Adik, manakala suami duduk bersama anakanda Fahmi.

Bas yang kami naik berhenti di Bier Ali untuk mengambil miqat. Bier Ali merupakan sebuah kampung yang terletak 7 km dari Kota Madinah. Jemaah lelaki menukarkan pakaian dengan memakai ihram dan kami berniat umrah di sini.

Jarak dari Madinah ke Kota Makkah lebih kurang 450 km. Dalam perjalanan, kami singgah di sebuah masjid (tak pasti nama masjid ini) untuk solat jamak Isya' dan Maghrib. Ada sebuah restoran berhampiran masjid dan ramai jemaah yang dalam perjalanan ke Madinah berhenti minum serta makan di sini. Kami sekeluarga hanya minum tea-o panas.

Selepas hampir 7 jam perjalanan, lebih kurang pada pukul 11.30 malam, sampailah kami di destinasi yang dituju....

Setibanya di tempat penginapan di Makkah, kami berehat sekejab, makan dan terus menyiapkan diri menuju ke Masjidil Haram untuk melakukan umrah wajib kami. Tidak sabar rasanya untuk melihat Kaabah. Hayunan kaki yang tidak sampai pun 10 minit telah membawa kami berada di pintu masuk Masjidil Haram. Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, tanpa sedar air mata berlinangan, mengalir tanpa dapat ditahan-tahan lagi... air mata tanda rasa syukur kepada Ilahi kerana memberi peluang kepada kami untuk beribadat di Masjidil Haram.... hajat yang sudah sekian lama terpendam, akhirnya tertunai juga....

Kami memulakan tawaf hampir pukul 1.30 pagi waktu tempatan. Kami tidak mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan 7 pusingan kerana jemaah tidak begitu ramai pada waktu itu. Selepas sembahyang sunat dan berdoa di hadapan multazam, kami terus menuju ke bukit Safa untuk memulakan Saei. Semasa kami menghala ke tempat Saei, barulah kelihatan berbondong-bondong jemaah secara berkumpulan masuk untuk melakukan tawaf. Jangkaan kami, mereka ialah jemaah dari Turki.

Kami memulakan saei dengan tenang dan selesai sahaja pusingan ke-4, kedengaran azan subuh yang pertama berkumandang di udara. Kami meneruskan saie dan selesai bertahalul setelah azan kedua dilaungkan. Kemudian, kami terus mengambil tempat di dalam ruang masjid untuk menunaikan solat subuh. Jemaah sudah agak ramai ketika ini.

Aku berasa sangat gembira dan sangat bersyukur kepada Ilahi atas kurniaan kesihatan yang baik sehingga dapat menunaikan umrah wajib dengan sempurna bersama suami, dan dua orang anak, Emi dan Adik.

Selesai solat subuh, kami balik ke hotel untuk berehat buat seketika...

Subhanallah, timbul rasa yang sungguh menakjubkan apabila menjadi tetamuNya. Semuanya menjadi ringan. Mudah untuk bangun malam, mudah untuk berjemaah, mudah untuk mengerjakan fardhu, mudah untuk melakukan yang sunat, mudah untuk beriktikaf. Tiada langsung ingatan keduniaan. Seingatku, kami tidak pernah menghitung jumlah jam untuk tidur, tidak pernah mengeluh kerana mengantuk.

Betullah, semua yang pernah menjadi tetamuNya akan rindu untuk kembali ke sana. Bukannya rindu atas sebab-sebab lain, tetapi rindu akan perasaan 'mudah untuk beribadat' dan terasa amat dekat denganNya.
"Ya Allah, jadikanlah aku tetamuMu lagi Ya Allah, menjadi tetamu pada musim Haji Ya Allah...."

Hakikatnya, bukannya semata-mata 100,000 kali pahala bersolat di Masjidil Haram, bukannya 1,000 kali pahala bersolat di Masjid Nabawi yang kami kejar untuk dicongak, dikira, dicampur, ditolak dan dibahagi dan dilangsaikan di situ. Itu adalah pahala ganjaran yang telah dijanjikan Allah. Aku mencari keredhaanMu, aku mengharapkan penerimaan taubatku dan bukan untuk membuat perhitungan denganMu. Sesungguhnya, Engkaulah Yang Maha Mengetahui...

Aku bersyukur untuk menjadi tetamuMu ya Allah. Sesungguhnya tidak semua yang dapat memenuhi syarat istiqa'ah, Ya Allah ampunilah dosa kedua-dua ibu bapaku Ya Allah....

... betapa rindunya aku untuk ke rumahMu lagi....

Friday, October 29, 2010

SELAMAT BERANGKAT KE TANAH SUCI




Kesempatan ini diambil untuk menitipkan doa kepada ahli keluarga dan sahabat handai yang telah dan yang akan berangkat ke Tanah Suci dalam masa yang terdekat ini. Semoga kalian menjadi tetamu Allah s.w.t yang paling istimewa.

Kepada sahabatku yang pernah bersama-sama di SMKJ2 : JULIA, RAHAYU dan ROHANA yang akan berangkat ke Tanah Suci pada awal pagi 31 Oktober ini, selamat menjalani ibadat haji, semoga kalian memperoleh haji yang mabrur... dan selamat kembali ke tanah air pada 13 Dis 2010....

Untuk Julia, semoga 1 DISEMBER 2010 memberi makna yang sangat besar kepada anda. SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN KELAHIRAN DI TANAH SUCI....

Untuk Ayu, semoga jemputan ke Tanah Suci bersama Ayahanda dan Bonda akan melimpahkan lagi keberkatan hidup anda.

Untuk Ana, segala yang terjadi ada hikmahnya yang tersembunyi, yang di luar pandangan mata kasar kita....

Semoga selamat semuanya... Insyallah.

Saya terpanggil untuk berkongsi 'Mutiara Bicara' dengan rakan-rakan yang singgah di sini. Mutiara Bicara ini ditulis oleh Dr. Ridzwan Bakar dalam "HAJI MUDA" (2008),... sekadar untuk mengingatkan diri saya sendiri.....

"Tawaf dan Kaabah mengikat hati jemaah haji supaya terus mengingati kebesaran Allah. Di sinilah titik tolak cabaran haji. Ia perlu direalisasikan dengan melaksanakan amalan-amalan di Tanah Suci apabila kembali ke tanah air. Semoga kita semua istiqamah dan berusaha mempertahankan amalan-amalan semasa haji dalam kehidupan kita."

Semoga hari ini kita akan menjadi insan yang lebih baik berbanding semalam.....


Miqat di Bier Ali @ Zulhulayfah


Bier Ali, ialah suatu daerah yang terletak di luar kota Madinah arah menuju Makkah dan Jeddah, kira-kira 12 km dari Masjid Nabawi. Daerah ini dikenali pula dengan sebutan Zulhulaifah, sebagai tempat miqat (memulai niat ihram) bagi orang yang akan melaksanakan umrah atau haji dari arah Madinah. Di sini terdapat sebuah masjid.

Daerah masjid ini menjadi penting dan sangat berhubungan dengan pekerjaan haji atau umrah bagi orang yang datangnya dari arah kota Rasul ini, kerana di sinilah Rasulullah memulai niat ihram haji atau umrahnya. Baginda memulai niat itu setelah menunaikan sembahyang sunat ihram 2 rakaat.

"Ketika nanti tiba di Zulhulaifah, ia sembahyang dua rakaat, kemudian selepas untanya tegak berdiri di samping masjid Zulhulaifah (Masjid Bir Ali), baginda bertarbiah : Labbaika Allahumma labbaik, labbaika laa syarika laka labbaik, innal hamda wannikmata laka walmulk laa syarika laka." (Riwayat Muslim)

Masjid Bier Ali dikenali juga dalam sejarah dengan sebutan Masjid asy-Syajarah' pohon kayu. Di sebut demikian kerana di situ, dahulunya ada pohon (thamrah) yang besar, lalu Nabi Muhammad s.a.w. ketika itu berlindung di bawah pohon itu. Di sanalah letaknya hamparan tampat sembahyangnya yang kemudiannya dibina masjid. Sampai saat ini, masjid itu terkenal dengan Masjid Ihram, Masjid Miqat, Masjid Bier Ali, Masjid Zulhulaifah, dan Masjid asy-Syajarah.

Perjalanan kami ke Kota Makkah Al-Mukarramah bermula pada 2 Jun 2009 selepas Zohor dan kami sempat melakukan ziarah wida' dengan doa:
"Ya Allah jadikanlah perpisahan dengan Tanah Suci Madinah dan RumahMu Masjidil Al Nabawi ini adalah sementara, dan dikurniakanlah aku hidayahMu, RahmatMu dan rezeki yang halal untuk aku sampai ke sini lagi...."

Miqat Bier Ali ialah tempat kami bermiqat dan berihram, perjalanan memakan masa lebih daripada 6 jam dan kami bertalbiah, berzikir seperti yang dianjurkan sepanjang perjalanan. Sungguh ramai jemaah yang bermiqat dari Madinah dan Bier Ali dapat menampung jemaah yang ramai dan berbilang kaum @ bangsa ini.

...lalu, kami meneruskan perjalanan dari satu bandar Nabi yang diharamkan Dajjal memasukinya ke sebuah lagi tempat suci iaitu, Makkah al-Mukarramah....

Thursday, October 28, 2010

Pasar Kurma





Pasar kurma yang terletak di Kota Madinah ialah sebuah pasar yang khusus untuk menjual kurma. Letaknya lebih kurang 600m ke sebelah Selatan Masjid Nabawi. Di pasar inilah para jemaah dapat mencari dan menemukan 26 jenis kurma termasuk Ajwa, kurma kesayangan Nabi Muhammad s.a.w.

Pasar ini dibina oleh Kerajaan Arab Saudi pada tahun 1982 untuk menampung sekaligus menjadi pasar bagi penduduk setempat mahupun jemaah (umrah & haji) yang datang dari jauh.

Berbeza dengan Makkah yang benar-benar gersang, di Madinah terdapat banyak tanah subur dan mata air yang dapat ditanami buah dan sayur-sayuran. Kesuburan tanah itu tidak akan musnah atau berkurang, sebaliknya akan terus bertambah dan berkembang untuk mengimbangi pertumbuhan dan keperluan muqimin dan jemaah yang datang ke Madinah.

Tanah Madinah itu sebenarnya memiliki mukjizat atau sekurang-kurangnya 'berkat' khusus kerana Rasulullah s.a.w. pernah memohon kepada Allah s.w.t. seperti berikut "

"Ya Allah, berilah Madinah ini dua kali berkat yang Engkau berikan kepada Makkah."

Jadi, semua yang ada dan tumbuh di Madinah memiliki nilai keberkatan dua kali berbanding yang ada di Makkah. Padahal Makkah sendiri sudah demikian besar berkatnya kerana Allah s.w.t telah memakbulkan permintaan Nabi Ibrahim a.s agar Makkah tidak kekurangan dari segala keperluan hidup termasuk buah-buahan.

Diriwayatkan, kurma di Madinah mempunyai nilai istimewa kerana mutu zatnya sangat tinggi, bahkan dapat digunakan sebagai ubat. Salah satu sabda Nabi Muhammad s.a.w. tentang kurma adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim :

"Sesiapa makan kurma Ajwa tujuh buah pada pagi hari, dia akan selamat daripada racun dan guna-guna pada hari itu."

Hari kedua di Madinah, kami berjalan kaki ke Pasar Kurma, melalui dataran masjid sambil menghirup udara malam dan menikmati keindahan Masjid Nabawi.

Wednesday, October 27, 2010

Nostalgia : Pertemuan di bumi Madinah



Beberapa pertemuan tidak diduga berlaku semasa mengerjakan umrah pertengahan tahun lepas.

Di Madinah, selepas solat sunat di Majid Qiblatain, aku terserempak dengan Neng. Neng, nama timangan bagi ROHANA BT. HAMZAH, yang sama-sama bertugas di SMK Taman Maluri, KL. Beliau yang berasal dari Perlis, merupakan 'anak buah' yang sangat komited dengan tugasnya sebagai KP BM. Selepas aku pindah ke Jengka (2000), Neng pindah ke Labuan pada tahun 2001 mengikut suami yang bertugas di sana.

Beliau yang kini masih menetap di Labuan mengerjakan umrah bersama suami dan 5 orang cahaya mata.

Tuesday, October 26, 2010

Masjid Qiblatain


Perkataan 'qiblatain' bererti 'dua kiblat'. Letak masjid ini sekitar 4m sebelah barat dari Masjid Nabawi.

Pada awalnya, tempat ini adalah rumah seorang penduduk Madinah di kawasan kabilah Bani Salamah. Pada suatu hari Rasulullah menziarahi rumah Ummu Basyir bin Bararah hingga waktu zohor tiba. Rasulullah melaksanakan solat zuhur di rumah itu. Ketika mereka sembahyang dan telah selesai dua rakaat, datanglah perintah untuk memutar arah sembahyang dari arah Masjidil Aqsa ke Kaabah. Maka, pada satu sembahyang itu, Rasulullah dan para sahabatnya menghadap 2 arah kiblat.

Disebabkan bersejarahnya tempat itu, didirikan masjid dengan nama Masjid Qiblatain.

Monday, October 25, 2010

dari Sara Thai ke Amin Thai....

Minggu lepas anakanda Siti Nadiah @ Adik sudah tidak ada kuliah. "Study leave". Setelah selesai menyiapkan semua tugasan yang diberi oleh pensyarahnya, berbaki beberapa hari lagi sebelum menjelangnya peperiksaan akhir semester, Adik 'curi-curi' balik ke rumah. Adik balik dengan bas Transnasional dari Shah Alam ke Kuantan....

Sementara Adik ada di rumah, kami bercadang untuk keluar makan malam bersama-sama. Saya, suami, anakanda Fahmi @ Emi dan Adik. Kami menyarankan agar Emi menjemput beberapa orang rakan sekampusnya untuk bersama-sama....

Hari Jumaat lepas, lepas solat maghrib, tepat pada waktu yang dijanjikan, Emi bersama 4 orang rakannya, iaitu 3 orang muslimat dan seorang muslimin menyertai kami.... Saya bersama suami dan Adik tiba lebih awal di Restoran Sara Thai, Jalan Teluk Sisek. Kami menikmati juadah dengan penuh rasa syukur.

Semalam, Ahad kami bertandang ke KL. Petang tadi barulah kami bertolak balik ke Kuantan. Kebetulannya, hari ini (Isnin - 24 Okt 2010) merupakan cuti umum di negeri Pahang sempena ulangtahun keputeraan DYMM Sultan Pahang....

Sebelum ke Shah Alam untuk hantar Adik, kami berehat di Sentul Villa terlebih dahulu. Sekitar pukul 6.00 petang kami beredar ke Shah Alam. Anakanda Faris @ Abe dan adinda Anggerek turut serta. Setibanya di destinasi yang dituju, azan maghrib berkumandang. Jadi, kami singgah di salah sebuah surau di Seksyen 7 untuk menunaikan solat maghrib.

Usai solat maghrib, kami menuju ke Restoran Amin Thai yang tidak jauh dari surau tersebut. Jarang-jarang kami dapat bersama begini dengan anak-anak. Kesempatan yang ada, kami gunakan sebaik-baiknya untuk bersama ahli keluarga terdekat. Alhamdulillah, syukur kepada Ilahi kerana memberi rezeki dan ruang waktu yang amat bernilai ini.

Selesai makan, kami terus hantar Adik ke rumah sewanya di sek.7 dengan pesanan agar sentiasa menjaga solat dan mendoakan agar Adik dapat mengekalkan prestasinya dalam peperiksaan seperti tahun-tahun sebelum ini....

Esok, Selasa (27 Okt 2010) Emi akan mulai menduduki peperiksaan di UIAM, Kuantan sebelum bercuti satu minggu pada minggu hadapan. Adik juga akan menduduki peperiksaan akhir semester 1/2010 mulai esok dan berakhir pada 8 Nov 2010. Abe pula akan menduduki peperiksaan sebelum menjelang Aidil Adha....

... semoga Allah s.w.t memberi kelapangan fikiran kepada anakanda semua untuk menjawab soalan dengan tenang dan penuh yakin.... Selamat berjaya....

Masjid Quba



Masjid ini terletak di barat daya Madinah, jaraknya sekitar 4km dari Masjid Nabawi.

Diriwayatkan bahawa sebelum Nabi Muhammad s.a.w hijrah ke Madinah, kaum muslimin yang terlebih dahulu ke Madinah bermukim di daerah Quba.

Sewaktu Nabi tiba di Madinah, baginda berehat beberapa hari di daerah Quba ini. Rasulullah tiba di Quba pada hari Isnin. Pada hari Jumaat, Rasulullah meninggalkan Quba menuju kota Madinah. Di daerah Quba ini, Rasulullah disambut oleh kaum Ansar yang telah menantikan ketibaannya.

Selama di Quba, Rasulullah telah membina masjid yang dianggap masjid yang paling awal dibina oleh Rasulullah. Baginda sendiri yang mengangkat batunya, kemudian diikuti oleh para sahabat. Ketika itu, kiblatnya ke Masjidil Aqsa.

KEUTAMAAN MASJID QUBA :

Dalam sebuah hadis Nabi disebut :

"Sesiapa yang bersuci (berwuduk) di rumahnya kemudian pergi ke Masjid Quba, lalu melaksanakan sembahyang di sana, maka ia memperoleh pahala satu umrah." (Riwayat al-Tabrani)

Sunday, October 24, 2010

Menara Masjid Nabawi


Sebelum diperluas, Masjid Nabawi hanya memiliki 4 menara. Namun, selepas proses peluasan, setiap sudut bangunan masjid yang megah ini telah didirikan menara-menara baru, yang berjumlah 6 buah, termasuk 2 menara besar yang mengapit pintu gerbang utama "Pintu Raja Fadh bin Abdul Aziz"

Di setiap puncak menara baru yang berketinggian 104 meter itu terdapat ornamen "bulan sabit" daripada bahan perak yang dilapisi emas tulen 24 karat dengan tinggi 7 meter dan beratnya 4.5 tan. Pada ketinggian 87 meter, dipasang 'sinar laser' yang memancarkan cahaya ke arah Makkah sejauh 50 km, untuk menunjukkan arah kiblat dinyalakan pada saat-saat tertentu (waktu sembahyang).

Kini, Masjid Nabawi memiliki 10 menara yang sangat indah dan mahal.

Saturday, October 23, 2010

Kubah hijau di Masjid Nabawi


Kubah hijau atau green dome yang terdapat di Masjid Nabawi sangat dimuliakan kerana dibina di atas Makam Rasulullah s.w.t dan dua sahabatnya.

Ramai penziarah datang ke kota Madinah bertujuan untuk melakukan sembahyang Arba'in dan berziarah ke Makam Rasulullah. Jemaah yang sembahyang di Masjid Nabawi tidak lupa untuk melakukan ziarah ke Makam Rasulullah, kerana makam Rasulullah ada di dalam Masjid Nabawi. Di samping makam Rasulullah, terdapat makam sahabat baginda, iaitu Abu Bakar as-Siddiq r.a dan Umar bin Khattab r.a.

Friday, October 22, 2010

Kubah di Masjid Nabawi


Untuk pengaturan udara dalam bangunan masjid yang sedemikian besar dan luas, dibina 27 ruang terbuka dengan ukuran masing-masing 18 x 18m. Sebagai atap, dibina kubah yang yang dapat dibuka dan ditutup secara automatik (elektronik) dan juga secara manual.

Berat setiap kubah ialah 80 tan, dibuat daripada kerangka waja dan simen yang dilapisi kayu pilihan dengan hiasan 'relief' bertatahkan batu permata jenis firus yang sangat indah.

Bahagian atasnya pula dilapisi dengan seramik tahan panas.