Saturday, November 13, 2010

Ikan Budu....




Musim-musim hujan begini, teringat akan ikan budu. Bukannya ikan + budu @ ikan cicah budu ... tetapi ikan yang dijeruk @ diperap dengan garam kasar dan disimpan dalam tempoh tertentu sehingga sebati dengan isi ikan. Tidak ada kena mengena dengan budu sebenarnya..! Tetapi mungkin disebabkan proses membuatnya itu hampir sama dengan cara membuat budu, jadi dapatlah gelaran ikan budu. Ada yang dibuat daripada ikan kembung dan ada juga daripada ikan aya @ tongkol. Ikan ini dijeruk @ diperap lama sebelum musim tengkujuh tiba. Ikan ini hanya dijual pada musim tengkujuh atau musim bah di Kelantan. Selain musim bah, memang tak ada ikan budu ini....

Kesempatan balik KB sempena cuti Deepavali yang lepas, saya ke Pasar Siti Khadijah untuk 'mencari' ikan budu. Terdapat beberapa gerai yang menjual ikan budu. Kami bukannya mahir untuk memilih ikan budu yang elok isinya. Yang elok, biasanya isi ikan 'gebu' setelah digoreng; isinya tidak keras..... Kami singgah di sebuah gerai. Ada satu besen ikan budu. Menurut adik yang menjual ikan budu tu, ada yg dari Thailand dan ada yang tempatan. Saya memilih ikan budu tempatan... ikan aya @ ikan tongkol. Pada pengamatan kami, nampak elok...

Satu 'bunga', satu riyal kata adik yang menjual ikan budu tu.... Saya memilih 6 ekor ikan budu @ ikan aya jeruk... buat dua bungkus... setiap satu bungkus 3 ekor. 1 bungkus saya bawa balik ke Kuantan, dan satu bungkus lagi saya berikan kepada Mama. 6 ekor tu setelah ditimbang, beratnya 8 'bunga' lebih. Jadi, adik yang menjual itu kata, dia genapkan menjadi 8 ringgit untuk 6 ekor ikan aya yang telah dijeruk menjadi ikan budu.

3 ekor ikan budu yang dibawa balik ke Kuantan. Satu ekor sekali goreng. Ikan budu digoreng dengan telur = telur dadar ikan budu. Sudah dua ekor ikan budu menjadi 'mangsa'... tinggal seekor sahaja lagi yang menanti giliran...

Resepi ikan budu goreng ini lebih kurang seperti berikut :

Bahan-bahannya :
- telur ayam (3 atau 4 biji)
- seekor atau sebelah ikan budu
- bawang merah (dihiris /mayang)
- cili (dihiris)

Cara memasak :
- Pecahkan telur ayam. Masukkan hirisan bawang merah dan cili.
- Ikan budu dibelah secara melintang dan dipotong kecil-kecil. Masukkan ikan budu ini ke dalam telur dan gaulkan supaya agak sebati.
- Campuran telur + ikan budu tadi digoreng dengan menggunakan minyak yang banyak (untuk mendapat kerangupan telur tadi); boleh juga digoreng seperti biasa (minyak yang sederhana). Biar garing sedikit dan pastikan isi ikan @ telur betul-betul masak.

Sedia untuk dihidangkan. Boleh juga diperah asam limau jika mahu. Enak dimakan dengan nasi yang masih panas.... Pasti membuka selera terutama sekali pada musim hujan...!



Friday, November 12, 2010

Peperiksaan, Proses Pembelajaran, Ilmu & Hikmah....


Musim demam peperiksaan kembali lagi. Setelah UPSR dan PMR berlalu, kini datang pula SPM dan STPM. Pelbagai program telah dirancang dan dilaksanakan oleh pihak sekolah untuk membantu murid memantapkan persiapan mereka bagi menghadapi peperiksaan tersebut.

Calon SPM : sudahkah anda bersedia...?

Tinggal hanya lebih kurang seminggu lagi bagi semua murid Tingkatan 5 untuk menduduki Peperiksaan SPM. Diharapkan semua calon SPM sudah bersedia dari segi mental dan fizikal. Kebanyakan daripada mereka sudah mula membuat persiapan awal sama ada belajar secara bersendirian ataupun dalam kumpulan, selain mendapat nasihat guru serta mengikuti bengkel dan seminar.
Dalam membicarakan isu peperiksaan, saya terpanggil untuk berkongsi maklumat berkait dengan peperiksaan. Sama-samalah kita fikir dan renungkan....

KERANGKA UJIAN PERLU DIBENTUK SELARAS DENGAN KEPERLUAN SISTEM PENDIDIKAN MODEN

Oleh : Dr Zaini Ujang

SELAIN menentukan pencapaian seseorang pelajar, peperiksaan perlu dirangka supaya menjadi sebahagian kaedah menggalakkan pembelajaran, penyuburan budaya ilmu dan pemantapan budaya inovasi. Banyak kajian merumuskan bahawa peperiksaan untuk tujuan penanda aras pencapaian semata-mata tidak dapat mendorong minda dan minat pelajar untuk bersifat kreatif dan inovatif.

Sehubungan itu, Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) menganjurkan bengkel pengurusan skenario selama dua hari bermula 3 Ogos lalu untuk mendapatkan pandangan pakar dan pihak berkepentingan. Ini selari dengan inisiatif Kerajaan Malaysia untuk mengkaji semula kaedah pelaksanaan sistem penilaian pendidikan, terutama pada peringkat sekolah.

Memang dimaklumi bahawa peperiksaan masih diperlukan. Namun peperiksaan tidak lagi boleh dilaksanakan secara konvensional dan berorientasi kertas soalan semata-mata. Dalam konteks pendidikan, banyak kaedah penilaian pencapaian pelajar boleh digunakan seperti pengujian secara anjal termasuk penilaian berasaskan aktiviti di sekolah dengan penekanan lebih terhadap aspek praktikal.


Peperiksaan juga perlu dirangka agar menjadi pendorong supaya pelajar sentiasa ingin belajar dan meningkatkan kefahaman ilmu secara berterusan, tidak hanya terikat kepada musim peperiksaan untuk menjawab kertas soalan. Di samping boleh memahami sesuatu kandungan dalam sesuatu disiplin ilmu, peperiksaan juga perlu dirangka bagi meningkatkan integriti. Bukankah salah satu etika dalam peperiksaan ialah menjawab secara jelas berasaskan kefahaman, tidak meniru apatah lagi menipu.


Jika difahami dengan setepatnya dan dirangka sebaiknya, peperiksaan dapat menyuburkan minda kreatif dan inovatif. Menerusi kaedah penilaian berterusan sepanjang tahun sebagai contoh, maka seluruh aktiviti pelajar dalam dan luar bilik darjah boleh diolah supaya proses pembelajaran dapat dijalankan secara lebih bersahaja, holistik dan menyeronokkan.
Kita perlu adil terhadap semua pelajar kerana setiap individu mempunyai keupayaan dan keistimewaan tersendiri.

Kadang kala bakat besar dalam sesuatu bidang hanya menyerlah jika bakat itu disuburkan menerusi aktiviti pembelajaran berterusan, bukan di atas kertas peperiksaan yang perlu dijawab dalam tempuh dua atau tiga jam. Itulah rasionalnya maka seluruh aktiviti pembelajaran perlu dirangka supaya penilaian dapat dilaksanakan secara lebih holistik, adil dan seimbang.


Di sinilah perlunya kita memahami sifat dan tabii manusia dalam konteks penilaian proses pembelajaran. Selain perlu disesuaikan dengan pelbagai tuntutan zaman seperti permintaan pasaran kerja, kemahiran baru dan trend semasa dari segi penggunaan teknologi, kita juga perlu kembali kepada hakikat keinsanan manusia adalah sebaik-baik kejadian oleh Allah Yang Maha Pencipta
Oleh itu, fakulti keinsanan meliputi fizikal, intelektual, emosi, spiritual dan bermasyarakat perlu digabungkan secara sepadu dalam semua aspek kehidupan, apatah lagi proses pembelajaran untuk menyerlahkan komponen sebaik-baik kejadian itu. Tidak tepat jika proses pembelajaran, termasuk penilaian dalam pendidikan formal hanya tertumpu kepada aspek intelektual.

Besar kemungkinan hasilnya ialah manusia tidak seimbang yang mengabaikan tuntutan beretika, berintegriti dan beramal salih.
Islam mengajar kita bahawa keistimewaan dan kemuliaan insan sebagai khalifah di bumi hanya boleh direalisasikan dengan ilmu pengetahuan.
Oleh itu, sejak Nabi Adam di alam syurga, baginda diajarkan nama ciptaan Allah. Dengan ilmu itulah Nabi Adam mengajar malaikat. Kemudian Allah mengarahkan malaikat sujud kepada Nabi Adam tanda kemuliaan insan dengan ilmu dan takwa. Al-Quran merakamkan peristiwa ini secara naratif (Al-Baqarah: 30-35).

Dengan ilmu maka bercambahlah hikmah, iaitu tahap lebih tinggi daripada sekadar mengetahui. Dari sudut bahasa, hikmah mempunyai sembilan pengertian iaitu keadilan, menahan marah, kenabian, lawan kepada kejahilan, kebenaran, meletakkan sesuatu pada tempatnya, perkataan yang betul, mencegah kerosakan dan mengetahui sebaik-baik perkara dengan sebaik-baik ilmu. Sebagai contoh, pengertian hikmah mengenai mengetahui sebaik-baik perkara dijelaskan dalam doa Nabi Ibrahim: “Ya Tuhanku, berikanlah kepadaku hikmah dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang yang salih” (As-Syuara’: 83).

Dalam konteks semasa, kreativiti dan inovasi boleh disuburkan menerusi konsep dan aplikasi hikmah. Dalam bidang perundangan misalnya, kreativiti dan inovasi diserlahkan dalam bentuk perumusan fatwa baru. Dalam bidang sains fundamental pula, kreativiti dan inovasi membabitkan paradigma, teori, formula dan klon baru. Sementara dalam bidang sains gunaan, kejuruteraan dan perubatan pula, kreativiti dan inovasi membabitkan kaedah, prosedur, sistem, produk dan jenama baru.
Menerusi kefahaman jelas mengenai tabii keinsanan maka mudahlah kita merangka sistem penilaian bagi proses pendidikan pada pelbagai peringkat. Pada prinsipnya, ilmu dalam pelbagai perlu digarap sebaiknya, kemudian dinilai secara berterusan, holistik dan adil bagi memungkinkan seluruh dimensi pembelajaran dan fakulti keinsanan disuburkan sebaiknya sehingga terhasil hikmah dan bercambah budaya inovasi.

Demikian pertalian antara peperiksaan, proses pembelajaran, ilmu dan hikmah dalam konteks budaya inovasi. Secara konstruktif, budaya inovasi merujuk kepada kesediaan berubah, mencuba perkara baru dan cara baru dalam seluruh aspek kehidupan untuk kemakmuran, kedamaian, kesenangan, kesejahteraan dan kelestarian menerusi penyelesaian kreatif. Hasilnya ialah masyarakat yang kukuh dengan nilai ilmu dan hikmah yang memungkinkan bukan saja terbina sistem ekonomi berasaskan inovasi, malah negara maju dan tamadun besar.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Kepada semua calon SPM, khususnya di SMKTP... "SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN SPM 2010... "


Thursday, November 11, 2010

Ladang & Susu Unta...





Kenangan umrah 2009.... Dalam perjalanan pulang dari Hudaibiyah, kami sempat singgah di ladang unta. Unta yang dibela di sini khusus untuk menghasilkan susu. Menurut ustaz yang bawa kami ke situ, harga unta susu ni boleh mencecah 20 - 40 ribu Riyal seekor. Berbanding unta biasa yang harganya lebih kurang 6 - 8 ribu Riyal.

Ini merupakan pengalaman saya yang pertama minum susu unta. Kalau tak minum, bila lagi nak cuba. Bukan mudah nak datang semula.

Apabila sampai di ladang unta kami tengok orang Badwi tu perah susu unta. Susu yang diperah tu keluar macam 'water squirt' yang laju. Susunya berbuih – foamy, ibarat teh tarik lah..berlemak. Lepas tu ditapis buihnya dan dimasukkan ke dalam botol. Boleh juga kita ceduk terus daripada mangkuknya, masukkan ke dalam gelas dan minum. Yang ni halal... free.

Susu unta yang diisi ke dalam botol air mineral kecil, harganya 5.00 Riyal sebotol. Tak menang tangan orang Badwi ni nak melayan, kerana banyak permintaan. Kebetulan semasa kami sampai sudah ada sebuah bas membawa rombongan jemaah sedang menunggu giliran untuk membeli susu unta.

Rasanya? Lemak, seperti minum 'coconut shake' aje, tak ada bau unta langsung; tak seperti minum susu lembu yang fresh! Lebih enak daripada minum susu alpha lipid! Susu ni bagus untuk mereka yang tinggal di padang pasir. Tanpa susu unta tidak mungkin orang Arab dapat hidup di padang pasir yang gersang ni. Dengar-dengar, susu unta ni banyak khasiatnya.

Alhamdulillah, syukur akan nikmat Allah s.w.t....

Wednesday, November 10, 2010

Hudaibiyah





Dalam sesi ziarah semasa di Makkah 2009 dulu, kami sempat ke Hudaibiyah untuk berniat umrah. Hudaibiyah terletak bersempadan dengan Tanah Haram.

Masih terdapat tinggalan kesan masjid / bangunan yang menjadi tempat Perjanjian Hudaibiyah ditandatangani.

Perjanjian Hudaibiyah (bahasa Arab: صلح الحديبية) berlaku pada bulan Zulkaedah tahun keenam hijrah (Mac 628 M) dan ditandatangani antara pihak Musyrikin Makkah dengan Rasulullah. Pada tahun itu, Rasulullah bersama-sama 1400 orang Islam Madinah menuju ke Mekah untuk menunaikan ibadah haji dan umrah. Apabila pihak Musyrikin mendapat tahu hal ini, wakil mereka datang menemui Rasulullah untuk mengetahui tujuan kedatangan orang Islam ke Makkah. Maka, Rasulullah menghantar Uthman bin Affan ke Makkah untuk menjelaskan tujuan tersebut kepada wakil pihak Musyrikin itu.

Uthman bin Affan ditahan dan tersebar berita bahawa beliau telah dibunuh. Orang Islam pun berikrar untuk menuntut atas kematian it. Ikrar ini dikenali sebagai 'Baiátin ridhuan'. Apabila mendengar brita ini, pihak Musyrikin pun membebaskan Uthman bin Affan dan menghantarSuhail bin Amru untuk berunding dengan orang Islam.

Perundingan ini membawa kepada berlakuanya "Perjanjian Hudiaibiyah". Dinamakan perjanjian Hudaibiyah sempena nama tempat perjanjian ini ditandatangani.

Kini, bersebelahan dengan tapak tinggalan masjid lama (lokasi perjanjian tersebut ditandatangani), dibina sebuah masjid - Masjid Hudaibiyah baru.

Tuesday, November 9, 2010

Nostalgia Umrah : Jabal Rahmah





Jabal Rahmah merupakan bukit batu di Padang Arafah yang terletak sekitar 25 km sebelah Tenggara Kota Makkah.

Di puncak bukit tersebut terdapat 'tugu' yang dibina untuk mengenang peristiwa sangat penting bagi umat manusia, iaitu pertemuan yang sangat mengharukan antara kedua-dua moyang manusia Nabi Adam a.s dan Siti Hawa selepas turun dari syurga dan dipisahkan Allah selama 200 tahun.

Monday, November 8, 2010

Ma'la







Perkuburan Ma'la atau lengkapnya Jannatul Ma'la terletak di kawasan Hujun, sekitar 600 meter sebelah utara Masjidil Haram.

Teringat semasa melakukan umrah pada tahun 2009...... Pada hari ke-3 berada di Makkah, kami sempat melawat kawasan perkuburan Ma'la. Dari tempat penginapan, kami berjalan kaki beramai-ramai ke sana.

Kubur Ma'la merupakan perkuburan awam untuk penduduk Makkah, tetapi ramai juga jemaah haji yang meninggal dunia di Makkah dikuburkan di sini. Sejak sebelum Islam, Ma'la sudah dijadikan makam keluarga besar Bani Hashim, iaitu nenek moyang Nabi Muhammad s.a.w.

Pada zaman Rasulullah, Ma'la ini dijadikan perkuburan bagi umat Islam Makkah. Di perkuburan inilah antara lain terdapat kuburan Siti Khadijah r.a, isteri Nabi Muhammad s.a.w., putera baginda Qasim dan Abdullah yang meninggal dunia ketika masih kecil. Datuk Nabi Muhammad, Abdul Muttalib, dan bapa saudarnya iaitu Abu Talib juga dikuburkan di Ma'la. Selain itu, ramai juga sahabat Nabi yang dikuburkan di sini.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah pernah bersabda :

"Allah akan membangkitkan dari bumi ini (perkuburan Ma'la) 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab. Setiap seorang daripada mereka dapat membawa (membantu) 70,000 orang, wajah mereka cerah dan bersinar bagaikan bulan purnama..." (Hadis riwayat Abu Hafs)

Kini, perkuburan Ma'la telah diatur dengan rapi. Setiap kuburan secara bergantian telah dibuat secara tetap dan mayat dapat dikuburkan secara bergantian pada setiap satu lubang. Oleh itu, tidak perlu perluasan kawasan yang ada.

Kuburan Ma'la juga tidak menggunakan nisan dan tidak ada bangunan di atas kuburan. Jenazah yang yang dikuburkan di Ma'la biasanya disembahyangkan di Masjidil Haram oleh jemaah yang hadir sembahyang ketika itu.

Pada musim haji, kegiatan pengurus perkuburan bersiap sedia 24 jam siang malam. Perkuburan itu diterangi lampu yang terang benderang. Ada banyak lubang kuburan yang sudah disediakan.

Dalam perjalanan pergi dan balik ke Ma'la dapatlah kami lihat kawasan persekitarannya, termasuk Jabal Qubais dan kawasan Masjid Kucing (ramai jemaah Malaysia menginap di kawasan Masjid Kucing).

Di Jabal Qubais yang dahulunya perkampungan setinggan kini tersergam Istana Raja Saudi yang megah dan mewah...

Sunday, November 7, 2010

Perigi & Air Zam-Zam




Perigi Zam-zam - mata airnya tidak pernah kering walaupun berjuta manusia minumnya setiap hari terutama pada musim haji. Bahkan sekarang dengan teknologi canggih, orang-orang di Masjid Nabawi boleh minum air zam-zam setiap saat!

Di dalam masjid, terdapat banyak tangki atau tong berisi air zam-zam sama ada yang sejuk atau 'not cold' yang siap untuk diminum. Di luar masjid pun, air zam-zam sangat mudah diperoleh melalui paip-paip yang disediakan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Teringat semasa mengerjakan umrah dahulu, saya lebih suka minum air zam-zam 'not cold'. Rasanya lebih asli....Setiap kali ke masjid, aku akan membawa botol air mineral kecil untuk diisi dengan air zam-zam. Kadang-kadang bawa 2 botol kosong untuk membawa balik air zam-zam ke hotel. Sepanjang masa, kami minum air zam-zam.

Di muzium Makkah, kami dapat melihat replika perigi zam-zam. Perigi zam-zam yang asalnya berada di lantai atas dataran Kaabah sangat mengganggu kelancaran jemaah yang ingin bertawaf, kini sudah dibongkar dan dibina di bawah tanah.

Sesungguhnya, air zam-zam mempunyai banyak khasiatnya dan kelebihannya...

Abadi. Tidak kering hingga ke hari kiamat, kerana ia menjadi bukti keagungan dan kebesaran Allah s.w.t.





Saturday, November 6, 2010

Daar Maulid Nabi


Maulid Nabi, iaitu rumah tempat kelahiran Rasulullah yang terletak di Kampung Suqul Lail, Makkah yang jaraknya hanya 150 meter dari Masjidil Haram, arah depan pintu Babussalam. Di situlah Rasulullah dilahirkan pada hari Isnin, 12 Rabiul awal 571M Tahun Gajah.

Diriwayatkan bahawa dahulu di tempat itu para pembesar kota Makkah mengadakan berbagai-bagai acara untuk memperingati hari lahir Rasulullah s.a.w. antara lain dengan mengunjungi tempat kelahiran tersebut. Di tempat itu pernah dibina sebuah masjid untuk sembahyang. Pada masa pemerintahan Khalifah Malik al-Muzaffar pada tahun 666H, di tempat itu dibina bangunan yang lebih megah dan besar.

Sekarang di sana berdiri sebuah gedung perpustakaan tetapi tidak banyak jemaah haji yang berkunjung ke sini, mungkin kerana tempat tersebut tidak menjadi objek sejarah rasmi. Namun begitu, ada beberapa bangsa yang tidak akan melepaskan kesempatan naik haji tanpa singgah di tempat ini dan selalu tertutup untuk umum. Bangsa Turki umpamanya, banyak di antara mereka menangis sambil mengelus pintu atau dinding bangunan tersebut. Ada yang hanya berdoa dan ada juga yang melakukan sembahyang sunat.

Friday, November 5, 2010

MULTAZAM

Dinding multazam letaknya antara dinding Hajarul Aswad dengan pintu Kaabah, yang lebarnya kurang daripada 2 meter. Multazam merupakan salah satu daripada 3 lokasi atau tempat paling mustajab untuk memanjatkan doa kepada Allah s.w.t.

Jemaah yang sudah selesai melakukan tawaf biasanya berebut untuk mencurahkan isi hati dan menghadap Allah dengan doa-doa yang biasanya diucapkan dengan air mata yang bercucuran.

Thursday, November 4, 2010

Makam Ibrahim



Kata 'makam'memang memiliki beberapa erti, namun yang dimaksudkan di sini ialah makam yang bererti tempat pijakan orang berdiri. Makam Ibrahim ialah batu yang digunakan oleh Nabi Ibrahim berpijak pada waktu baginda membina Kaabah.

Makam Ibrahim atau batu "bekas tapak kaki" ini merupakan suatu benda ajaib yang dikurniai Allah s.w.t. sebagai mukjizat kepada Nabi Ibrahim. Batu ini dapat naik ke atas dan turun sendiri sesuai dengan kemahuan Nabi Ibrahim ketika membangun tembok Kaabah.

Makam Ibrahim dan juga Hajarul Aswad merupakan dua permata dari syurga.


Wednesday, November 3, 2010

Kiswah & Pintu Kaabah





KISWAH atau dikenali juga sebagai kelambu (kain penutup) Kaabah, dibuat daripada kain sutera hitam. Sejak zaman Nabi Ismail lagi, Kaabah sudah dibajui atau diberi penutup dari luar.

Kiswah digantung dari atap sampai ke kaki, diikatkan pada gelang-gelang tembaga agar tidak mudah dicapai tangan nakal yang hendak mengoyak atau menyayat kain kiswah untuk dijadikan 'azimat'.

Setiap tahun kiswah diganti semasa upacara haji akan bermula dan untuk menyemarakkan upacara agung tahunan itu, Kiswah dipasang lapisan dan disambung dengan kain putih sebagai simbol bahawa Kaabah dalam keadaan Ihram.

Pada 18 Zulhijjah, ketika Makkah kosong kerana jemaah haji masih berada di Mina, kiswah dan kain penutup makam Ibrahim diganti dengan yang baru.

Kiswah dihiasi tulisan-tulisan ayat suci al-Quran yang disulam secara khusus dengan benang emas.

PINTU KAABAH

Pada dinding sebelah Timur di samping Hajarul Aswad terdapat pintu Kaabah yang diberi nama al-burk. Tingginya kira-kira 2 meter dan dibuat daripada campuran timah, emas, dan perak. Di pintu Kaabah ditatahkan ayat-ayat al-Quran, tentang Kaabah, haji, sembahyang dan tauhid. Di dalam Kaabah terdapat 3 batang tiang untuk menahan atap dan sebuah tangga melalui pintu kecil untuk naik ke atas atap.

Monday, November 1, 2010

Kaabah : Rumah Allah

Tidak dapat digambarkan perasaan hatiku pertama kali melihat Kaabah dan berdiri di depannya. Air mata mengalir tanpa sedar semasa melakukan tawaf bagi menyempurnakan umrah wajibku.

Kaabah juga disebut Baitullah (Rumah Allah) atau Baitul-'Atiq (Rumah Kemerdekaan). Binaan berupa tembok bersegi empat yang dibuat daripada batu-batu besar berwarna kebiru-biruan yang berasal dari gunung-ganang di sekitar Makkah.

Kaabah yang kita lihat sekarang berbeza dengan Kaabah yang telah dibina oleh Nabi Ibrahim a.s. Rumah Allah ini dibina di atas satu landasan yang kukuh dibuat daripada batu marmar yang tebalnya kira-kira 25cm. Kaabah, bangunan yang menyerupai bentuk kubus ini merupakan bangunan pertama di atas bumi yang digunakan sebagai tempat menyembah Allah s.w.t.

Firman Allah, surah Ali Imran ayat 96 yang bermaksud :

"Sesungguhnya permulaan rumah yang dibuat manusia untuk tempat beribadah itulah rumah yang di Bakkah (Makkah) yang dilimpahi berkat dan petunjuk bagi alam semesta."

Sesiapapun yang berdiri di depan Kaabah pasti teringat pertelingkahan para kabilah Quraisy selepas selesai membina Kaabah mengenai siapa orang yang akan meletakkan Hajarul Aswad pada tempatnya.