Friday, December 10, 2010

Gelang Hitam Dari Makkah

Sekarang musim jemaah haji kembali ke tanah air. Hampir sebahagian besar jemaah sudah pulang daripada menunaikan ibadat haji di Tanah Suci Makkah.

Mengenang musim jemaah kembali daripada menunaikan haji, teringat kenangan semasa zaman kanak-kanak, lebih 40 tahun yang lalu. Gelang hitam bergelung buah tangan dari Makkah.

Saya belum bersekolah lagi ketika itu, agaknya baru berusia 6 tahun. Masa kecil-kecil dulu, kalau pakai gelang hitam plastik/ damar?- bergelung, rasa bangga sekali. Ada juga gelang hitam daripada akar bahar. Terasa bangga kerana itu merupakan buah tangan dari Makkah, biasanya pemberian daripada ahli keluarga terdekat yang baru balik dari menunaikan ibadah haji. Saya juga mendapat sepasang gelang hitam bergelung daripada TokBe. Rasanya kini, sudah tidak ada lagi gelang hitam bergelung seperti itu. Yang ada sekarang, reka bentuknya pelbagai dan agak moden

Kalau masa TokBe (Kakak sulung Nenek Lijah) pergi Makkah lebih 40 tahun dahulu, kami menghantarnya di Stesen Kereta api Tumpat, tetapi semasa balik kami tunggu TokBe di sSesen Kereta api Kuala Krai. Agak jauh dari bandar Kota Bharu. Nak tunggu di Tumpat atau Wakaf Baru rasa terlalu lambat. Tak sabar nak jumpa. Apatah lagi apabila mendapat berita TokBe terpisah dengan Wak Aji (suami Tok Be) ketika di Tanah Suci Makkah. Saya bersama nenek Lijah, Papa, Mama dan kakak (Kak Ros) serta adik (Noni) juga turut serta ke stesen kereta api Kuala Krai. Mok Abe, Pok Muda Leh, sanak saudara di Kg Surau Kota dan di Kg Pasir Kota juga ikut serta. Kami ramai-ramai menunggu Tok Be di Stesen Kereta Api Kuala Krai.

Dari Kuala Krai, saya ikut nenek balik ke rumah TokBe di Kg. Pasir Kota, dekat Pintu Geng. Jarak rumah TokBe dengan rumah kami di Kg Kota, Jalan Salor lebih kurang 3 km sahaja. Papa, Mama, kakak dan adik tak ikut sekali, mereka terus balik ke rumah. Saya sejak kecil lagi selalu 'mengekor' nenek jika bertandang ke rumah sanak saudara sebelah nenek Lijah. Kak Ros agak 'perumah', tak boleh bermalam rumah orang, Noni pula masa tu, masih kecil, baru berumur 4 tahun. Jadi, saya seorang sajalah yang ikut nenek bermalam di rumah TokBe.

Keesokan paginya, ketika sedang bersarapan, TokBe senyap-senyap menyarungkan gelang hitam itu ke pergelangan tangan saya. kenangan itu masih hijau dalam ingatan saya sampai sekarang. Terasa seronok sangat. Naluri seorang kanak-kanak... Agaknya pada masa itu, hanya saya seorang cucu saudara yang ada bersamanya. Yang lain, rasanya sudah balik ke rumah masing-masing kerana rumah mereka berdekatan sahaja.

Lama saya pakai gelang hitam dari Makkah itu.....


Wednesday, December 8, 2010

Tepung Sema


Tugas fasa pertama yang diamanahkan bagi bulan Disember 2010 sudah bermula....seterusnya akan disambung sebaik sahaja balik ke rumah nanti....

Sementara menunggu suami keluar sarapan dengan sahabat lamanya Encik Ruslan Wook, bolehlah 'update' blog ni. Entri kali ni santai sahaja. Kisah kuih tradisional yang kian dilupakan oleh generasi kini terutama 'anak Kelantan & Terengganu'. Ada yang tidak kenal @ tidak tahu @ tidak pernah makan... termasuk anak-anak saya...!

Ketika kami sembang2 sambil menikmati juadah di meja makan beberapa hari lepas di Summit, timbullah cerita tentang kuih tradisional ni.... Kalau di meja makan, memang tak ada cerita lain, pasti tentang makanan... entah macam mana terkeluar nama-nama makanan tradisional masyarakat di Pantai Timur...timbullah nama-nama kuih seperti beko, akok, ... dan satu lagi ialah tepung sema.


Adinda Wan Khairiah rupa-rupanya tahu serba sedikit cara untuk membuat tepung sema ini. Walaupun Wan tidak pernah buat sendiri, sekurang-kurangnya dia pernah melihat arwah bondanya menyediakan pelbagai jenis makanan tradisional, termasuk sema semasa zaman kanak-kanaknya. Cara Wan menjelaskan kaedah membuat sema itu memang menarik dan menunjukkan dia tahu betul. Saya sendiri tidak pernah terfikir untuk mengetahui tentang itu... yang saya tahu, beli yang dah siap di pasar Siti Khadijah.


Sebenarnya, sema ini juga dikenali sebagai kuih tepung sema, atau kuih gula tarik dan di sesetengah tempat, terutamanya di Terengganu dikenali sebagai
slemang. Ada juga yang menggelarnya sebagai kuih semak dalam mulut! Kuih sema ialah kuih tradisional di Kelantan dan di Terengganu. Ia merupakan gula terurai yang dibebat dalam tepung.

Semasa kecil-kecil dulu kami selalu makan kuih ini. Biasanya kuih ini berwarna merah jambu atau merah samar dan mempunyai rasa yang manis. Semasa makan, kita tidak boleh banyak bercakap, kena 'lemah-lembut' tak boleh buka mulut luas-luas, nanti tersembur keluar kerana kuih ini macam berdebu sedikit. Kalau tidak berhati-hati, habis putih mulut dan muka terkena tepung yang terdapat dalam kuih sema ni.

Memang saya betul-betul tidak tahu cara untuk membuat kuih ini. Setelah mendengar 'cerita' daripada Wan tempoh hari, saya terpanggil untuk 'mencari'nya ... akhirnya dapatlah resepi serta cara-cara untuk membuat sema. Resipi ini saya petik dan diubahsuaikan daripada
: Yusnida Mohd Yusof, myresipi.net .

KUIH / TEPUNG SEMA

a) Peralatan:

2 batang buluh (sederhana panjang dan leper)
1 biji biji periuk tembaga
1 periuk biasa(kecil)
1 biji pengayak
1 biji besen sederhana diisi air

1 helai kertas minyak

1 biji kuali

1 senduk kayu

b) Bahan-bahan:
2 keping gula kelapa/gula gerek
1 kg tepung gandum

1 mangkuk sedang air

1 botol kecil minyak jagung

c) Cara-cara memasak :

1) Goreng tepung gandum sehingga naik bau harum kekuningan, angkat dan ayak ke dalam bekas.
2) Masukkan air ke dalam periuk biasa (kecil) dan masakkan dengan gula kelapa sehingga gula cair dan berbuih.
3) Ambil 1 batang buluh dan celup ke dalam air gula yang mendidih, angkat dan lihat sama ada gula agak bersarang apabila terkena udara, maka ia sedia diangkat.
4) Kecilkan api, masukkan 1-2 titik minyak jagung ke dalam periuk tembaga, sapu sehingga rata, kemudian tuang adunan didih tadi.
5) Biar dan lenggang sehingga agak kelihatan beku, sapu minyak pada 2 batang buluh tadi. Angkat dengan menggunakan 2 batang buluh, kemudian tarik gula sehingga kelihatan keemasan. 6) Panaskan tepung yang telah digoreng jangan sampai hangit, kemudian ayak atas kertas minyak, gula yang ditari-tarik tadi, diletakkan di atas tepung yang diayak atas kertas minyak tadi.
7) Kemudian tarik- tarik gula tadi di atas tepung, dan selang seli ditabur tepung gandum panas seperti cara membuat mi wantan. Tarik gula sehingga kelihatan teksturnya halus dan kelihatan seperti bihun, sedia dihidangkan.

Cara untuk membuat sema memerlukan masa yang tepat,tangan yang tahan panas dan pantas supaya gula tidak cepat sejuk dan berketul.

Bolehlah tengok sekiranya ada kawan-kawan yang nak cuba buat.... Wan Khairiah pun katanya nak cuba buat....

Selamat mencuba....


Monday, December 6, 2010

Salam Maal Hijrah 1432



Dalam hitungan jam maka tahun hijriah akan terganti dari 1431 menuju 1432, dan dalam hitungan hari maka tahun masehi juga akan terganti dari 2010 menuju 2011. Alangkah eloknya jika HIJRAH dijadikan iltizam TAHUN BARU 1432H / 2011M...

UMUMNYA hijrah bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain atau berubah daripada satu keadaan kepada satu keadaan lain. Dari sudut istilah pula, hijrah bermaksud meninggalkan sesuatu yang dilarang.

Ia berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Habsyi, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah." (Hadis riwayat Abu Dawud)

Maknanya, hijrah difahami sebagai perpindahan daripada suatu keadaan tidak baik kepada keadaan yang lebih baik. Contohnya, meninggalkan ajaran bertentangan dengan Islam dan kembali kepada ajaran Islam sebenar.

Penghijrahan komuniti Muslim pada zaman Rasulullah S.A.W berlaku sebanyak tiga kali. Pertama, hijrah ke Habsyah pada 615 Masihi, kedua juga ke Habsyah pada 617 Masihi dan ketiga ialah hijrah Rasul SAW ke Yathrib pada 622 masihi.

Sesungguhnya penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah telah memberi nafas baru kepada suatu perubahan yang besar dalam sejarah kebangkitan ummah. Penghijrahan beberapa orang sahabat ke Habsyah misalnya adalah sekadar penghijrahan biasa saja bagi melarikan diri dari kezaliman, cemuhan dan seksaan Musyrikin Makkah, dan penghijrahan Rasulullah SAW ke Yathrib adalah penghijrahan yang dilakukan atas arahan dan perintah Allah bagi meneruskan perjuangan untuk menegak, mengukuh dan mempertahankan Islam

Kalangan ulama bersepakat meletakkan peristiwa hijrah sebagai ‘ZAMAN BARU' yang memberi ‘nafas baru’ kepada misi penyebaran Islam. Selain daripada tahun hijrah diguna pakai sebagai penanda TAKWIM BARU umat Islam,
hijrah juga menandakan bermulanya method kehidupan baharu melalui pembinaan semula sahsiah dan keperibadian Muslim seperti yang dibentuk dan diperkasakan agama. Perpindahan daripada amalan yang memaparkan kejahilan setelah hilang panduan hidup kepada amalan yang berasaskan disiplin agama yang berpandukan al-Quran.... jadi elok sangatlah HIJRAH dijadikan iltizam tahun baru...

Hari ini dan ketika ini, cerita penghijrahan Rasulullah SAW hanya sekadar catatan yang diabadikan dalam buku sejarah. Seperti cerita-cerita sejarah yang lain, cabaran penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah menjadi rakaman sejarah sekadar untuk dibaca sebagai bekalan bagi menjawab soalan peperiksaan. Lebih malang lagi amalan membaca berasaskan orientasi itu akan lupus selepas zaman persekolahan berakhir. Maka jadilah sejarah penghijrahan yang memberi implikasi yang besar maknanya kepada penyebaran Islam itu dilupakan secara berperingkat, jauh sekali untuk dihayati. Sedangkan inti pati dan mesej penghijrahan itu sangat besar dan amat mendalam pengertiannya di sisi agama.

Sabda Rasulullah yang bermaksud:
“Tiada lagi hijrah sesudah pembukaan kota Makkah, tetapi yang tetap ada ialah jihad dan niat untuk berhijrah (apabila keadaan memaksa) dan apabila dipanggil untuk berjihad (atau sebagainya) hendaklah kamu bersiap sedia.”
– (Hadis Riwayat Bukhari)

Fajar tahun Hijrah 1432 yang bakal menjenguk kita nanti diharapkan dapat mengubah persepsi Muslim berkaitan isu itu melalui iltizam yang penuh untuk diterjemahkan ke dalam bentuk pelaksanaan.

Sabda Rasulullah yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang mukmin apabila melakukan dosa bererti ia membuat noda dengan sebuah titik hitam di dalam hatinya. Apabila ia bertaubat, meninggalkan perbuatannya, dan memohon ampun kepada Allah, maka hatinya jernih kembali. Tetapi apabila ia menambah dosanya, maka bertambah pulalah titik hitam itu hingga menutupi seluruh hatinya.” – (Hadis Riwayat Ahmad)

...mengingatkan pada diri ... HIJRAH - iltizamku sambut tahun baru....

"Ya ALLAH jadikanlah sebaik-baik umur saya pada hujungnya, dan sebaik baik amal an saya adalah pada akhirnya dan sebaik-baik hari adalah pada saat saya menemuiMU... Jika esok atau pada tahun hadapan nafas tidak lagi ENGKAU titipkan kepada saya, maka permudahkan saya pada saat sakaratul maut ya ALLAH dan terimalah segala ibadah saya yang tak sempurna ini..." Amin.



Sunday, December 5, 2010

Erti Kebahagiaan


Kadang-kadang kita tidak tahu apa yang kita cari dalam hidup. Walaupun mungkin usia sudah menjangkau setengah abad, tapi jiwa masih dalam pencarian. Apakah yang kita cari...?

Sukar untuk kita menilai erti kebahagiaan buat diri seseorang. Mungkin ada yang mengukur kebahagiaan dari segi material, dan ada juga yang melihatnya daripada aspek lain. Kadang-kala kita perlu reda, menerima sesuatu seadanya tanpa meminta lebih barulah rasa bahagia itu datang. Yang penting, hati mesti sentiasa dekat dengan Tuhan, barulah jiwa kita akan tenang dan tenteram. Kita juga akan rasa lebih berlapang dada dalam menerima sesuatu keadaan; tidak akan mengharapkan sesuatu yang menjangkaui kemampuan diri.

Jangan juga cuba mengukur kebahagiaan anda dengan kebahagiaan orang lain! Setiap orang ada sebab berbeza-beza yang membuatkan mereka bahagia. Oleh itu jangan sekali-kali menganggap anda akan bahagia jika jadi seperti mereka. Mungkin andainya benar terjadi, anda seperti mereka, tidak mustahil anda tetap tidak bahagia!

Kita akan sentiasa berasa bahagia jika kita... *** tidak menyimpan dendam *** tidak hidup dengan masa lalu *** sentiasa bersyukur

Semoga kita semua berbahagia dengan cara kita....

Thursday, December 2, 2010

Berdoalah untuk kesejahteraan....


Berdoa ialah amalan yang dituntut oleh Islam. Seorang hamba yang berasa hina di sisi Tuhannya akan memanjatkan permohonan dan doa ke hadrat Allah s.w.t. agar ditunaikan segala hajat yang diperlukannya. Ia berasa amat kerdil dan tidak ada pergantungan dan pengharapan yang lain melainkan ditujukan kepada yang Maha Esa.

Sebagai seorang Mukmin yang yakin atas Qada' dan Qadar Allah s.w.t., kita perlu berfikiran positif dan yakin terhadap apa-apa sahaja keputusan Allah s.w.t. Kita perlu yakin, itu ialah keputusan yang terbaik, yang hanya Allah s.w.t. sahaja Maha Mengetahui atas kehidupan kita pada masa sekarang dan pada masa akan datang.

Saya ingin berkongsi sebuah artikel yang dipetik daripada http://abubasyer.blogspot.com/2010/11/bersabarlah-dengan-ujian-penyakit.html

TAJUK : BERSABARLAH DENGAN UJIAN PENYAKIT DARIPADA ALLAH

Setiap manusia yang hidup di dunia ini tidak akan terlepas daripada menghidapi penyakit. Ada masanya penyakit datang sekali sekala seperti demam panas, pening kepala dan sakit gigi . Ada penyakit datang berterusan menyebabkan penghidapnya hidup menderita hingga membawa kepada kematian. Penyakit yang datang berpunca daripada kuman, virus atau bakteria yang menyerang organ manusia hingga menyebabkan kerosakan organ-organ tersebut seperti buah pinggang, hati, jantung, paru-paru, usus dan lain-lain. Penyakit seperti kanser, sakit kencing manis, sakit jantung, paru-paru berair dan penyakit-penyakit lain ialah penyakit yang sering menyerang manusia sama ada orang dewasa, remaja atau kanak-kanak.


Sebagai seorang Mukmin kita kena redha bahawa penyakit itu datangnya daripada Allah s.w.t. dan Dia juga yang akan memulihkannya. Setiap penyakit itu pasti ada ubatnya yang disediakan oleh Allah s.w.t. Dia mendatangkan penyakit kepada hamba-Nya adalah semata-mata Dia ingin menguji kesabaran dan keimanan hamba-Nya; Adakah dengan penyakit itu seseorang hamba akan berasa kecewa dan putus asa? Atau dengan penyakit yang dihadapinya dia akan redha dengan Qada' dan Qadar Allah s.w.t.?


Walau apa-apa saja yang kita alami di dunia ini, ia merupakan sunnatullah yang telah ditetapkan menurut hikmah-Nya sebagai cubaan dan ujian. Dalam al-Qur'an banyak disebut mengenai ujian Allah ini. Dengan kata lain, manusia sentiasa diuji oleh Allah dengan pelbagai bentuk sama ada manusia suka atau tidak Allah tetap mengujinya.

Al-Qur'an dalam surah Al-Anbiya ayat 35 Allah berfirman yang bermaksud:
“Tiap-tiap diri akan merasai mati dan Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.”

Dalam surah Al-A’raf ayat 168 pula Allah berfirman yang bermaksud:
“Dan, Kami cuba mereka dengan (nikmat) yang baik-baik dan (bencana) yang buruk, agar mereka kembali (kepada kebenaran).”

Sebenarnya ada hikmah bagi orang Mukmin bila ditimpa sakit kerana dalam sakit itu terkandung pahala dan keampunan serta sekali gus mengingatkan kepada kita akan kekuasaan dan kebesaran Allah. Darjat yang tinggi Allah berikan kepada mereka yang tabah dan sabar dalam menghadapi musibah sakit ini, dengan syarat pesakit tidak melupakan kewajipan solat lima waktu. Betapa pun sakit itu tidak membolehkan kita untuk berdiri atau bersuci, namun kita tidak boleh meninggalkannya hanya atas sebab itu.

Dari Abu Hurairah r.a. dia berkata, Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Allah tidak menurunkan penyakit melainkan pasti menurunkan ubatnya.” (Hadis riwayat Al Bukhari)

Selain ubat, doa juga penting untuk cepat menyembuhkan penyakit.
Berdoa bererti memohon kepada Allah yang Maha Mengetahui penyakit yang kita deritai dan Dia yang Maha Berkuasa dapat menyembuhkannya. Bersungguh-sungguhlah berdoa kepada Allah s.w.t..

Firman Allah dalam al-Quran surah Al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud:
“Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) mengenai Aku, maka sesungguhnya Aku ini dekat. Aku mengabulkan permintaan orang yang berdoa, jika ia benar-benar memohon pada-Ku.”

Daripada Abu Hurairah r.a. dan Abu Sa’id r.a, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Tidaklah seorang Muslim ditimpa keletihan, penyakit, kesusahan, kesedihan, gangguan, kegundah gulanaan hingga duri yang menusuknya melainkan Allah akan menghapuskan sebagian dari kesalahan-kesalahannya (dosa-doasnya)."
(Hadis Riwayat Bukhari)

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
“Tidaklah seorang Muslim tertusuk duri atau yang lebih dari itu, melainkan ditetapkan baginya dengan sebab itu satu derajat dan dihapuskan pula satu kesalahan darinya” (Hadis Riwayat Muslim)

Nabi s.a.w melarang kita mencaci maki akan marah kerana ditimpa penyakit demam seperti sabda baginda yang bermaksud :
“Janganlah kamu mencaci maki penyakit demam, kerana sesungguhnya (dengan penyakit itu) Allah akan menghapuskan dosa-dosa anak Adam sebagaimana tungku api menghilangkan kotoran-kotoran besi.” (Hadis Riwayat Muslim)

Allah s.w.t mengasihi hamba-Nya supaya Dia dapat mengembalikan hamba-Nya untuk mengingati-Nya. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud :
“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul-rasul kepada umat-umat sebelummu, kemudian Kami timpa mereka dengan kesengsaraan dan kemelaratan, supaya mereka bermohon (kepada Allah) dengan tunduk dan merendahkan diri.”(Surah .Al-An’am ayat 42)

Allah s.w.t. menimpakan cubaan berupa penyakit dan penderitaan kepada orang Mukmin agar dia mengingat saudara-saudaranya yang ditimpa kesulitan, sehingga rasa simpati untuk membantunya.

Allah s.w.t. menjadikan penyakit yang dihadapi adalah sebagai ubat pembersih untuk mengeluarkan semua kotoran dan penyakit hati yang ada pada hamba-Nya, yang kalau seandainya kotoran dan penyakit tersebut tidak dibersihkan maka seseorang itu akan celaka (kerana dosa-dosanya), atau paling kurang, berkurang pahala dan darjatnya di sisi Allah s.w.t.. Oleh sebab itu, hendaklah kita bersabar supaya meraih pahala yang sempurna dan kedudukan yang tinggi di sisi Allah s.w.t.

Sabda Rasulullah s.a.w maksudnya :
“Alangkah mengagumkan keadaan seorang mukmin, karena semua keadaannya (membawa) kebaikan (untuk dirinya), dan ini hanya ada pada seorang mukmin; jika dia mendapatkan kesenangan dia akan bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya, dan jika dia ditimpa kesusahan dia akan bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.” (Hadis Sahih Riwayat Muslim)

Imam Ibnu Qayyim berkata :
“Hati dan roh boleh mengambil manfaat dari penderitaan dan penyakit yang merupakan urusan yang tidak boleh dirasakan kecuali jika di dalamnya ada kehidupan. Kebersihan hati dan roh bergantung kepada penderitaan badan dan kesulitannya." (Tuhfatul Mariidh hal 25)

Allah s.w.t. menjadikan ujian penyakit di dunia sebagai sebab untuk menyempurnakan keimanan seorang hamba terhadap kenikmatan sempurna yang Allah s.w.t. sediakan bagi hamba-Nya yang bertaqwa di Syurga kelak. Inilah keistimewaan Syurga yang menjadikannya sangat jauh berbeda dengan keadaan dunia, kerana Allah menjadikan Syurga-Nya sebagai negeri yang penuh kenikmatan yang kekal abadi, serta tidak ada kesusahan dan penderitaan padanya selamanya. Sehingga kalau seandainya seorang hamba terus-menerus merasakan kesenangan di dunia, maka tidak ada ertinya keistimewaan Syurga tersebut, dan dikhuatirkan hamba tersebut hatinya akan terikat kepada dunia, sehingga lupa untuk mempersiapkan diri menghadapi kehidupan yang kekal abadi di akhirat nanti.

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud :
“Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau orang yang sedang melakukan perjalanan.” (Hadis Sahih Riwayat Al Bukhari)

Akhirkata perlulah sama-sama kita berbaik sangka kepada Allah dan redha di atas Qadha' dan Qadar-Nya sekiranya Allah s.w.t. menguji kita jadikanlah sabar dan solat itu penolong kita.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyu’, (yaitu) orang-orang yang meyakini bahwa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya”. (Surah Al-Baqarah ayat 45-46)





Wednesday, December 1, 2010

Selamat Panjang Umur....




Buat suami,
insan yang penuh dengan cinta dan sayang,
ingin kutitipkan ucapan
...

"SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN KELAHIRAN YANG KE-50..."

Kupanjatkan rasa penuh kesyukuran pada Allah s.w.t. kerana memberikan masa untuk aku mengenali erti kasih sayang dari insan dan Tuhan, menghayati pengorbanan luar biasa yang mencetus keinsafan dan memberikan aku waktu untuk mengecap cinta sedingin salju.

Buat suami tercinta, kutujukan doa khusus buatmu. Tika sujud yang panjang, aku memohon agar kehidupanmu sentiasa dalam rahmat Tuhan. Semoga Allah panjangkan umurmu, diberikan kesihatan yang baik dan rezeki yang penuh keberkatan....

Kudoakan, biarlah hanya yang terbaik berlaku dalam kehidupan, dunia dan akhirat bersama kita gapai penuh kesyukuran. Harapan dan impianku, agar aku mampu membuatmu sentiasa tersenyum dan tertawa saat kita bersama meniti usia. Moga Allah berikan aku kekuatan untuk membekalkan tenang dihatimu walaupun tika hidup kita dihempas gelombang.

Terima kasih Tuhan kerana Kau jadikan dia untukku....
Terima kasih sayang kerana hadirmu begitu membahagiakan....

Tuesday, November 30, 2010

Raikan rasa syukur bersama....




Bulan November sudah di penghujung. Kemuculan DISEMBER menandakan tidak lama lagi kita akan meninggalkan tahun 2010 Masehi dan juga tahun 1431 Hijrah.

Di penghujung November yang baru berlalu, tepatnya pada 27 - 29hb Nov keluarga besar kami diberi kesempatan untuk berkumpul ramai-ramai... Alhamdulillah, 6 daripada 8 beradik berkampung di rumah adinda Noni di Taman Bukit Serdang. Mama dan Papa tiba di LCCT dari KB pada petang 27 Nov itu juga.

Saya, suami dan anakanda CT bertolak dari Kuantan pada pagi 27 Nov. 4 orang adik yang memang menetap di sekitar Lembah Kelang (Cik Sue dan anakanda Aiman, Melisa serta suami dan 2 orang puteri, Anggerek dan Wan @ Nadia) juga ke TBS. Anak saudara, Along Aina yang masih menuntut di peringkat Sarjana di UiTM Shah Alam juga tiba pada pagi 27 Nov. Anakanda Fahmi tiba lewat sedikit (kerana bertolak dari Kuantan sudah agak petang) bersama-sama Abe.

Selepas Isyak, kami semua sudah berkumpul di laman pejabat Technolab Group , Jln. PBS 14/10. Kami adakan sedikit majlis makan-makan. Santai. Tanda rasa syukur. Syukur dengan segala anugerah yang dikurniakan Allah s.w.t kepada kami selama ini.


Alangkah meriah dan seronoknya malam itu. Papa dan Mama nampak begitu teruja bergurau senda dengan cucu-cucunya (Faris, Aina, Fahmi, Nadiah, Natasha, Najwa, Eika, Aiman, Syamimi, dan baby Safia). Apatah lagi melayan telatah Eika yang memang tidak reti diam...!

Kami berasa amat bersyukur kerana masih diberi ruang waktu untuk berkumpul ramai-ramai bersama Ayahanda dan Bonda, lebih-lebih lagi kami tidak berkesempatan bertemu mereka semasa Hari Raya Haji yang lepas kerana kami tidak dapat beraya di kampung.

Jauh di sudut hati mereka, Papa dan Mama juga teringin sangat untuk ama-sama meraikan Majlis Konvokesyen cucunda mereka di Shah Alam pada 28 NOV. Kata Papa lagi, perjumpaan keluarga ini juga adalah bagi menyampaikan rasa syukur sempena menyambut Maal Hijrah tidak berapa lama lagi....


Alang-alang berkumpul, kami gunakan kesempatan ini, untuk meraikan hari ulang tahun kelahiran menantu serta cucu-cucu Papa dan Mama yang bakal disambut pada bulan Disember.
Yang mendahului senarai ialah suamiku pada 1 Dis dan diikuti oleh 4 orang anak saudara iaitu :
* AISYA BALQIS juga pada 1 Dis
* NUR HANIS SYAFIQAH SAHAZALI pada 11 Dis

* AINA ZAIREYNNA ZAINUDDIN pada 14 Dis
* MUHAMMAD AIMAN SYAKIR pada 23 Dis
Pada keesokan pagi pula, iaitu pada 28 Nov. kami ramai-ramai ke UiTM Shah Alam bagi meraikan majlis konvokesyen anakanda SITI NADIAH NAIN.

Papa dan Mama 'terbang' balik ke KB pada petang 29 Nov. Saya dan suami balik ke Kuantan pada pagi 30 Nov. Adinda Anggerek dan Wan @ Nadia Hanum yang mengambil cuti rehat untuk bersama-sama Papa dan Mama juga telah kembali bekerja seperti biasa semalam.

Begitulah besarnya erti sebuah keluarga. Kita semua bermula dari keluarga. Walaupun kawan-kawan mengisi lebih banyak waktu dalam hidup kita, tetapi kita akan sentiasa rindu dan berharap untuk bersama ahli keluarga terdekat. Yang penting, kita perlu ingat, pada saat kita susah, pada saat kita sakit, hanya keluarga yang tidak jemu-jemu berada dalam hidup kita...
.

Hargailah, sayangilah, gembirakanlah, luangkanlah waktu bersama 'keluarga'...
Semoga, pada tahun-tahun yang mendatang, kami masih diberi kesempatan untuk berkumpul dalam suasana begini....




Thursday, November 25, 2010

SMKTM : Sepanjang jalan kenangan (1)



Membelek gambar-gambar REUNION SMKTM yang telah diadakan di Kelab Darul Ehsan baru-baru ini membawa saya mengimbau nostaligia ketika berkhidmat di SMK Taman Maluri, KL (Feb 1989 -Mac 2000) .... Jika diizinkan dan jika ada kelapangan masa, saya akan merakamkan kenangan di SMKTM dalam beberapa entri. Coretan kenangan ini mungkin tidak tersusun mengikut kronolgi... semuanya bergantung kepada ilham yang muncul dalam minda. Ia mungkin berlaku secara spontan dan tiba-tiba..... Insyaallah.

Banyak kenangan sebenarnya selama lebih 10 tahun saya menabur bakti di SMKTM. Ketika saya melaporkan diri pada minggu kedua Februari 1989, usia SMKTM belum genap 5 tahun... Semasa saya melaporkan diri di SMKTM, pengetua pada masa itu ialah TUAN HAJI ABU BAKAR BIN OSMAN. Saya menggantikan tempat Puan Habsah, seorang guru senior yang bertukar ke Temerloh, Pahang. Semua tugas beliau terpaksa diambil alih kerana sesi persekolahan 1989 sudah sebulan lebih berjalan. Salah satu daripadanya ialah Ketua Panitia Sejarah.

Kebetulannya, pada masa itu, JPWP bersama Persatuan Sejarah Malaysia sedang dalam proses memantapkan "Sudut Sejarah Sekolah". Mahu tidak mahu, saya dengan bantuan beberapa orang guru lain perlu melengkapkan maklumat Sejarah SMKTM. Mujur jugalah, usia sekolah masih 'kanak-kanak', jadi tidaklah terlalu rumit untuk mengumpulkan bahan. Saya mula bertanya guru-guru yang lebih awal daripada saya bertugas di SMKTM, seperti Toh Puan Zakiah Che Din, Puan Rashibah, Puan Zaidah, Puan Teh Swee Kee, dan beberapa orang lagi .... Saya juga bertanya kepada GPK1 ketika itu, Puan Hjh Rokiah Kassim.

Melalui temu bual saya dengan Tn. Hj Burn (Abu Bakar Osman - Pengetua ke-3) saya mendapat gambaran yang jelas tentang sejarah penubuhan SMKTM. Bangunan 2 tingkat itu asalnya asrama SAB. Asalnya menggunakan SM San Peng (2).... Pengetua pertama ialah Mr. Noel Chow....bla..bla..bla...

Saya akan mengemaskini maklumat penting sekolah apabila difikirkan perlu walaupun saya tidak lagi ditugaskan memegang KP Sejarah. Saya rasa bertanggungjawab dan rasa sayang saya pada sejarah SMKTM begitu kuat sekali. Betullah kata orang, tak kenal maka tak cinta. Saya rasa SMKTM begitu dekat di hati saya. Saya lakukannya dengan rela hati.... bukannya berat sangat, kita hanya perlu tambah mana-mana yang perlu dari semasa ke semasa....bukannya selalu. Saya bimbang jika tidak diteruskan, kesinambungan 'episod' sejarah SMKTM akan terputus... Rasa sayang kerana kita telah memulakannya, membuatkan saya terus mengambil tanggungjawab ini....

Sesungguhnya, sejarah sekolah SMKTM tidak akan lengkap tanpa sumbangan rakan-rakan guru yang lain. Saya hanya menyambung usaha yang telah dimulakan pada peringkat yang paling awal... peringkat penubuhan SMKTM pada akhir 1983....

Profil sekolah sebagaimana yang diperlukan oleh IAB telah diserahkan beberapa tahun selepas sejarah sekolah dilengkapkan.... Saya dibantu oleh KP Sejarah ketika itu, Pn. Bavanee untuk menterjemahkan ke bahasa Inggeris kerana Profil Sekolah tersebut perlu dibuat dalam dwi bahasa mengikut format yang telah disediakan. Sayangnya, saya tidak membuat salinan peribadi untuk disimpan sebagai kenangan. peribadi....

Sebelum saya meninggalkan SMKTM pada Mac 2000, saya telah menyiapkkan profil @ biodata Pengetua SMKTM bemula dengan Tn. Hj Abu Bakar Othman sehinggalah Puan Che Rohani Ismail. Saya tidak dapat mencari maklumat tentang Pengetua pertama (Mr. Noel Chow) dan Pengetua kedua, Puan Khairul Bariah (maaf, kalau tersilap nama....) Saya telah menyerahkan semua bahan berkait dengan sejarah SMKTM kepada PUAN WAN MAS, Ketua Bidang Kemanusiaan ketika itu.

Setelah saya mula memohon bertukar kerana mengikut suami ke Jengka, dalam hati terdetik hasrat untuk meninggalkan sesuatu yang boleh dikenang di SMKTM. Saya berhasrat untuk menghadiahkan gambar-gambar pengetua SMKTM untuk dilengkapkan di Bilik Gerakan sekolah. Beberapa minggu sebelum permohonan pindah saya diluluskan, saya telah berusaha mendapatkan gambar2 tersebut. Pada awal tahun 2000, kaedah ICT belum meluas berbanding hari ini.... jadi, kenalah guna cara lama....

Foto pengetua kedua (Puan Khairul Bariah) saya 'scan' daripada majalah MUTIARA 1987, dalam bentuk hitam putih. Saya masih ingat lagi, saya telah 'meminjam' negatif foto pasport Tn. Hj Abu Bakar Osman melalui kerani sekolah, Pn. Kintan Mahfoz.

Saya juga menghubungi Tuan Hj Abdul Rashid Ahmad dan Tuan Haji Abu Bakar Ismail untuk mendapatkan foto bersaiz pasportnya. Puan Che Rohani Ismail, Pengetua SMKTM ketika itu menyerahkan sekeping gambar pasportnya dan saya simpan sehingga sekarang dalam ALBUM KENANGAN SMKTM.

Gambar2 ini saya scan dan dibesarkan menjadi size 12R sebelum dihantar ke kedai gambar untuk dibingkaikan di Bandar Pusat Jengka. Akhirnya, 5 gambar pengetua SMKTM yang siap dibingkaikan saya serahkan kepada PUAN CHE ROHANI ISMAIL pada April 2000. (Saya tidak berjaya mendapatkan sebarang maklumat tentang Mr. Noel Chow kerana waktu beliau menjadi Pengetua, majalah MUTIARA belum diterbitkan).

Kini, setelah 10 tahun saya meninggalkan SMKTM, saya tidak pasti adakah gambar-gambar itu masih 'menghiasi' Bilik Gerakan sekarang.

Semuanya amat indah untuk dikenang....

Sunday, November 21, 2010

5 Tahun Berlalu....




Dua hari lagi, iaitu pada 23 NOVEMBER 2010, peperiksaan SPM akan bermula.

Kesempatan ini, saya ambil untuk mengucapkan selamat menempuh peperiksaan SPM kepada semua murid SMKTP, terutama sekali yang pernah saya ajar semasa mereka di Tingkatan 1 (2006) dan Tingkatan 3 (2008).

Sekejap benar masa berlalu. 5 tahun yang lalu, buat pertama kali saya menapak di SMK Tanah Putih, mereka baru sahaja memasuki alam sekolah menengah, tetapi kini mereka sudah hampir meninggalkan SMKTP. Sudah lima tahun berlalu... sudah lima tahun saya di Tanah Putih.... Harapan semua guru agar mereka akan berjaya dalam peperiksaan nanti.
Sesungguhnya kejayaan itu akan datang seiring dengan usaha yang berterusan....

Dalam kamus kehidupan seorang (khususnya muslim), sepatutnya sudah tidak ada pengharapan... "yang bulat datang bergolek, yang pipih datang melayang...."


Peribahasa Melayu ada menyatakan bahawa "kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya", begitu juga dengan kejayaan... tidak mungkin akan dapat diraih dan dikecapi tanpa adanya usaha dan pengorbanan.


Dalam menentukan usaha yang dilakukan membuahkan kejayaan yang diharapkan, beberapa perkara perlu diperhati dan diambil kira.
Antaranya ialah :
1. Doa
2. Tidak mudah berputus asa

3. Istiqamah

4. Tawakal
5. Ehsan

6. Sabar

7. Tidak bertangguh

8. Menjaga masa
Setiap kejayaan memerlukan usaha yang gigih dan tekun untuk mencapainya. Kejayaan tidak akan menjelma dengan sendiri. Oleh itu, kita perlulah melakukan usaha yang dapat melepasi halangan untuk sampai kepada kejayaan yang diinginkan....

Selamat berjaya semuanya....

Wednesday, November 17, 2010

Hikmah Pengorbanan...


Menghayati hikmah berkorban...

AIDILADHA yang juga dikenali sebagai Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban mempunyai siratan makna dan falsafah yang begitu mendalam dan menuntut setiap umat Islam untuk melakukan pengorbanan.

Sesungguhnya, Hari Raya Aidiladha yang disambut pada setiap 10 Zulhijjah adalah bersempena dengan ibadat haji yang merupakan rukun Islam kelima. Ia juga suatu usaha ke arah mewujudkan perpaduan dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia.

Pada hari yang mulia ini, seperti kebiasaannya kita sebagai umat Islam akan memanjatkan kesyukuran kita kepada Allah s.w.t atas segala nikmat yang telah dikurniakan-Nya dengan menyempurnakan acara penyembelihan korban oleh mereka yang mempunyai kemampuan seperti mana yang disunatkan oleh agama kita.

Walau bagaimanapun, acara penyembelihan ini sebenarnya merupakan satu simbol sempena peristiwa Nabi Ibrahim a.s. yang diperintahkan oleh Allah s.w.t untuk menyembelih anaknya sendiri iaitu Ismail sebagai menguji ketaatan Nabi Ibrahim a.s. terhadap perintah Allah. Kita semua mengetahui bahawa dalam peristiwa itu Allah s.w.t telah menggantikannya dengan seekor kibas untuk dijadikan korban.

Pada hari ini, kita juga melaksanakan ibadah korban dengan menyembelih lembu, kambing dan yang seumpama dengannya yang kemudiannya diagih-agihkan kepada fakir miskin dan orang Islam lain sebagai tanda kesyukuran kita terhadap nikmat yang diberikan kepada kita oleh Allah s.w.t.

Begitu banyak pengajaran yang boleh kita hayati daripada kisah Nabi Ibrahim a.s. tersebut. Pengertian korban bukan sekadar menyembelih binatang korban dan dagingnya disedekahkan kepada fakir miskin, tetapi falsafah korban itu merangkumi aspek yang lebih luas.

Berkorban memberi interpretasi tentang kesanggupan kita untuk menyerahkan harta atau apa-apa yang disayangi dan dihargai kerana menginsafi akan keperluan orang lain yang lebih memerlukan atau untuk tujuan kebaikan. Begitu juga dengan nyawa sendiri kadangkala terkorban demi mempertahankan agama dan umat Islam.

Di samping itu, ibadat korban yang dituntut oleh Islam bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t dengan mematuhi segala titah perintahnya. Islam juga menuntut umatnya berkorban demi menegakkan kalimah Allah, mengabdikan diri seutuhnya kepada Allah dan menjadikan Islam sebagai peraturan hidup (nizamul hayah) iaitu suatu sistem hidup yang lengkap dan sempurna. Kesanggupan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail untuk menyembelih dan disembelih itu bukan semata-mata didorong oleh perasaan taat setia yang membuta tuli, tetapi sebaliknya meyakini bahawa perintah Allah itu mengandungi falsafah yang begitu tersirat.

Allah s.w.t memberi perintah sedemikian sebagai peringatan kepada umat yang akan datang bahawa adakah mereka sanggup mengorbankan diri, keluarga dan harta benda yang disayangi demi menegakkan perintah Allah dan adakah mereka juga sanggup memikul amanah sebagai khalifah Allah di muka bumi.

Hidup ini juga adalah satu perjuangan dan setiap perjuangan memerlukan pengorbanan dan tidak ada pengorbanan tanpa kesusahan...

Begitulah, kita di Malaysia akan sama-sama turut menyambut Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Haji yang jatuhnya pada tanggal 10 Zulhijjah setiap tahun. Pada hari itu juga di Tanah Suci Makkah berkemuncaknya perhimpunan raksasa umat Muslimin yang datang dari seluruh dunia kerana menyahut seruan Allah.

Dari sini menunjukkan bahawa ibadat haji dan amalan korban mempunyai kaitan yang rapat, malah para ulama berpendapat amalan korban mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Selain ganjaran pahala yang dijanjikan, amalan ini juga akan dijadikan sebagai kenderaan ketika menyeberangi titian Siratul Mustaqim di akhirat nanti.

Selaras dengan semangat pengorbanan yang dianjurkan oleh Aidiladha ini, kita harus menjauhi sikap mementingkan diri sendiri atau puak yang boleh menjurus kepada perpecahan dan perbalahan sesama kita.

Pada hari yang mulia ini, kita sebagai umat Islam diseru dan diingatkan supaya selalu insaf dan bersyukur atas segala nikmat dan membuktikan keinsafan dan kesyukuran ini dengan mengorbankan kepentingan diri dan merapatkan hubungan silaturahim sesama orang Islam di negara ini. Pada masa yang sama juga perlu kita elakkan daripada bersengketa dengan kaum-kaum lain.

Tahun ini kami sekeluarga menyambut Hari Raya Aidiladha di Kuantan...


SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA ...

Tuesday, November 16, 2010

Catatan buat SAHABAT....



Hari ini 16 NOVEMBER 2010, hari terakhir persekolahan untuk sesi 2010.

Secara rasminya, sekolah akan bercuti mulai 20 NOVEMBER 2010. Esok merupakan cuti umum sempena Hari Raya Aidil Adha. Hari Khamis pula ialah cuti peristiwa, manakala hari Jumaat merupakan cuti tambahan tanpa ganti... Ini bermakna sekolah akan bercuti mulai hari ini. Cuti sekolah bukan bermakna cuti segala-galanya. Masih ada tugasan yang perlu dilaksanakan oleh sebahagian warga pendidik... "BERKHIDMAT UNTUK NEGARA...."

Beberapa orang sahabat yang memohon untuk berpindah sekolah atas pelbagai alasan telah mengetahui keputusannya mulai semalam. Permohonan ke luar negeri telah diketahui pada 15 November, manakala permohonan di dalam negeri diketahui pagi tadi.

Catatan ini ditujukan kepada semua sahabat...khasnya rakan-rakan yang akan berpindah ke sekolah baru mulai sesi persekolahan 2011.

- Puan Sh.Murshida berpindah ke Kuching,Sarawak
- Puan Nurul Aida berpindah ke KL
- Puan Nasfuziellah berpindah ke daerah Maran
- Puan Sarimah berpindah dalam daerah Kuantan...

Yang pasti, selepas ini kita akan saling merindu.... Sesungguhnya, kerinduan menjadi sebahagian daripada kehidupan bersahabat.

Apa yang kita lalui demi SAHABAT, kadang-kadang menyeronokkan, kadang-kadang melelahkan, dan kadang-kadang menjengkelkan… tetapi itulah yang membuat persahabatan mempunyai nilai yang indah. Persahabatan sering berdepan dengan dugaan @ ujian, tetapi persahabatan sejati pasti dapat mengatasi setiap dugaan yang mendatang, bahkan menjadikannya bertambah mekar dan keharumannya mewangi di sepanjang perjalanan hidup kita...

Persahabatan tidak terjalin secara sendirinya. Persahabatan memerlukan proses yang panjang, ibarat besi menajamkan besi, demikianlah sahabat menajamkan sahabatnya. Persahabatan diwarnai dengan pelbagai pengalaman suka dan duka, dihibur-disakiti, diperhatikan-dikecewakan, didengar-diabaikan, dibantu-ditolak...namun, semua ini tidak pernah sengaja dilakukan dengan tujuan kebencian.

Sepanjang perjalanan kehidupan ini, teman-teman datang silih berganti, namun begitu bukan mudah untuk kita tahu huluran persahabatan sejati. Saat air mata berguguran dan masalah muncul menjenguk diri, saat itu sesiapa yang ada bersama, itulah sahabat sejati.

Marilah sama-sama kita renung dan hayati indahnya erti persahabatan melalui sajak di bawah ini....

SAJAK PERSAHABATAN,

".... Sahabat adalah keperluan jiwa, yang mesti dipenuhi. Dialah ladang hati, yang kau taburi dengan kasih dan kau tuai dengan penuh rasa terima kasih dan dia pulalah naungan dan pendianganmu kerana kau menghampirinya saat hati lupa dan mencarinya saat jiwa mahu kedamaian...

...bila dia berbicara, mengungkapkan fikirannya, kau tiada takut membisikkan kata “Tidak” di kalbumu sendiri, pun tiada kau menyembunyikan kata “Ya”. dan bilamana dia diam, hatimu berhenti dari mendengar hatinya; kerana tanpa ungkapan kata, dalam persahabatan, segala fikiran, hasrat, dan keinginan dilahirkan bersama dan dikongsi, dengan kegembiraan tiada terkirakan


Di kala berpisah dengan sahabat, tiadalah kau berdukacita; kerana yang paling kau kasihi dalam dirinya, mungkin kau nampak lebih jelas dalam ketiadaannya, bagai sebuah gunung bagi seorang pendaki, nampak lebih agung daripada tanah ngarai dataran.


...dan tiada maksud lain dari persahabatan kecuali saling memperkaya roh kejiwaan. Kerana cinta yang mencari sesuatu di luar jangkauan misterinya, bukanlah cinta , tetapi sebuah jala yang ditebarkan: hanya menangkap yang tiada diharapkan. dan persembahkanlah yang terindah bagi sahabatmu.

Jika dia harus tahu musim surutmu, biarlah dia mengenali pula musim pasangmu.
Gerangan apa sahabat itu jika kau sentiasa mencarinya, untuk sekadar bersama dalam membunuh waktu? Carilah ia untuk bersama menghidupkan sang waktu! Kerana dialah yang bisa mengisi kekuranganmu, bukan mengisi kekosonganmu.

...dan dalam manisnya persahabatan, biarkanlah ada tawa ria dan berkongsi kegembiraan

...Kerana dalam titisan kecil embun pagi, hati manusia menemui fajar dan ghairah segar kehidupan......"


- dari pandangan mata hati Sdr Khalil Gibran


Sesungguhnya, bukan mudah untuk seseorang yang asing sanggup untuk bersusah dan bersenang dengan kita; persahabatan dihulur tanpa mengharapkan balasan atau ganjaran, bukan juga kerana status yang dipegang, kadang-kala itu menyukarkan kita untuk mengenali siapa sahabat dan siapa teman. Banyak juga orang yang telah menikmati indahnya persahabatan, namun ada juga yang begitu hancur kerana dikhianat sahabat sendiri... sahabat, kadang-kadang sukar ditelah...

Sahabat semua, biar badai menerajang, biar gempa menghadang...pastikan persahabatan antara kita tetap kukuh di hati... dan tidak bisa dikalahkan hanya dengan keegoan diri....

Untuk Pah, Nurul, Nas, Imah, dan Fakri.... semoga kalian lebih cemerlang di tempat baru....jangan lupakan kami di Tanah Putih....



Selamat Hari Raya Aidil Adha

10 Zulhijjah 1431H, seluruh umat Islam akan meraikan Hari Raya Aidil Adha. Aidil Adha juga dikenali sebagai Hari Raya Haji atau Hari Raya Qurban. Ini bermakna peluang berkorban datang lagi. Sekali lagi kita berpeluang untuk beramal di samping membantu mereka yang memerlukan.

Amalan yang bukan sahaja disukai malah dicintai oleh Allah s.w.t. seperti mana yang disebutkan dalam hadis di bawah :


"Tidak ada suatu amalan yang paling dicintai oleh Allah daripada Bani Adam ketika hari raya Eidul Adha selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi) dengan tanduk, bulu dan kukunya... dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak di suatu tempat di sisi Allah sebelum mengalir di tanah, kerana itu bahagiakan dirimu dengannya..." (Riwayat Tarmizi, Ibn Majah dan Hakimi)


Pengorbanan hanya dilakukan oleh orang-orang yang terpilih oleh Allah s.w.t. Semoga dengan ibadah korban ini akan lahirlah keinsafan dalam diri kita untuk turut berkorban ke jalan Allah.

Ucapan selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua pengunjung blog ini.... dan ucapan selamat kembali ke tanah air kepada sanak saudara serta sahabat handai yang telah selesai mengerjakan ibadah haji....kembali dengan mendapat haji yang mabrur.

Sunday, November 14, 2010

Ubi dan kenangan....


Ubi ... makanan yang enak suatu ketika dulu terutama pada musim bah...makan ramai-ramai adik- beradik. Ada pelbagai jenis ubi... ubi kayu, ubi setelor (keledek), ubi sare, ubi badak, ubi itik, dan ubi keling. Yang paling utama ialah ubi kayu. Pada musim tengkujuh semua ubi perlu digali / dicabut takut ditenggalami air bah.

Masih segar dalam ingatan, kami duduk mengelilingi mangkuk besar berisi ubi kayu yang masih berasap serta semangkuk kelapa parut... kadang-kadang sambil berselimut @ berbaju tebal kerana kesejukan....

Ubi kayu ni cukup sinonim dengan orang kampung. Pelbagai masakan yang boleh hidangkan. Daripada pucuk mudanya boleh dicelur dan dicicah budu atau dibuat kerabu dimakan dengan nasi. Cukup menggodakan selera bila dimakan dengan nasi panas terutama pada musim hujan begini. Suasana makan kena ada, misalnya makan di anjung rumah. Atas pelantar. Tapi hari ni tak banyak rumah moden yang ada pelantar. Kalau di kampung, pelantar sengaja dibuat untuk dijadikan tempat sembang2 pada waktu petang. Sambil bersembang sambil makan, walaupun secawan kopi 'O'.