Tuesday, January 3, 2012

Selamat Ulang Tahun Kelahiran....Jan's

Text Colour

Tahun baru, bulan baru, usia juga baru.

Januari meraikan ulang tahun kelahiran empat orang ahli keluarga terdekat.

Pembuka tirai tahun ini ialah adinda MUTIA ANGGEREK, puteri ke-6 HJ JUSOH DAUD & HJH CHE HALIMAH CHE YUSOFF yang akan menyambut ulang tahun kelahiran hari ini, Rabu, 3 JANUARI 2012....


Buat Adinda Anggerek,

Masih segar dala
m ingatan, saat adinda Anggerek hadir dalam keluarga kita 29 tahun yang lalu. Ketika itu Kak La masih menuntut di Lembah Pantai dan sedang bergelut untuk menghadapi peperiksaan akhir Tahun Pertama sesi 1982/1983. Cepatnya masa berlalu meninggalkan kita. Semoga adinda Anggerek terus cemerlang dalam kerjaya dan sentiasa ceria menempuh perjalanan hidup yang penuh dengan ujian ini....

Adinda Anggerek, ingatlah, janganlah kita sentiasa mengharapkan terbitnya 'pelangi' di siang hari kerana kadang-kadang awan mendung akan muncul tanpa diundang. Tapi percayalah, awan mendung yang menurunkan hujan rahmat akan berlalu juga apabila tiba masanya dan akan munculah pelangi yang indah. Fenomena ini akan menjadikan panorama hidup kita lebih indah dan berwarna warni....

23 Januari 1997 pula merupakan hari ulang tahun kelahiran buat anakanda saudara, AIN FEETREYNNA. puteri kepada ROSLENA JUSOH & MD ZAINUDDIN.

Istimewa untuk Fify yang kian menginjak usia remaja, Cik La sekeluarga mengucapkan selamat menyambut hari lahir yang ke-15. Semoga janji Fify yang diungkapkan sempena Tahun Baru 2012 beberapa hari lepas dikotakan. Doa daripada kami semua agar Fify dapat mengulangi kecemerlangan dalam PMR 2012 nanti....


Buat SHAWALTUL NAJWA, puteri kedua NORBANILAWATEY JUSOH & SAHAZALI AD yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-14 pada 30 Januari nanti, Cik La sekeluarga mengucapkan SELAMAT HARI LAHIR, B. Cik La doakan agar Bee yang semakin ayu dalam meniti usia remaja ini terus menjadi anak yang solehah, yang sentiasa patuh kepada perintah Allah dan hormat akan orang tua. Semoga Bee juga akan melakar kejayaan dalam pelajaran.

Ucapan hari lahir juga ditujukan kepada adik sepupu DR HANIAH YUSOFF yang lebih dikenali dengan Kak Chek Ani, nama manjanya dalam kalangan keluarga kami. Kak Chek Ani akan menyambut ulang tahun kelahirannya pada 21hb JANUARI 2012...

SELAMAT HARI JADI untuk kalian berempat, semoga sejahtera sentiasa, dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki.

Monday, January 2, 2012

Tahun Baru, Bah dan Kenangan....


Musim tengkujuh belum berakhir....



Kini, negeri-negeri di Pantai Timur masih berada dalam musim tengkujuh. Negeri Kelantan dan Terengganu dilanda bah sekali lagi. Amaran hujan lebat lebat peringkat jingga telah dikeluarkan oleh Jabatan Meteologi pada pagi tahun baru 2012. Setakat ini belum ada lagi banjir yang betul-betul besar sebagaimana beberapa tahun lepas.... Sehari dua lagi, tak pastilah pula perkembangannya.

Jabatan Meteorologi menjangkakan hujan sekejab-sekejab kadang kala lebat mela
nda beberapa daerah di Negeri Kelantan dan Terengganu mulai semalam sehingga hari ini, Isnin 2 Jan 2012. Keadaan ini akan menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah. Setakat ini sudah ada jalan yang tidak boleh dilalui oleh kenderaan ringan di kawasan yang terlibat. Harap-harap tak ada banjir besar kerana esok lusa sesi persekolahan 2012 akan bermula.

Beginilah putaran alam. Musim panas dan musim tengkujuh yang silih berganti adalah antara tanda kebesaran ciptaan Ilahi. Hujung tahun, bermakna musim bah akan tiba. Mereka yang tinggal di kawasan yang sering dilanda banjir @ bah pasti akan sentiasa berjaga-jaga untuk menghadapi kemungkinan banjir. Yang tak pasti adalah sama ada bah itu besar atau kecil..!
Sebenarnya, ada bah besar, ada bah kecil. Ada bah disebabkan oleh air hujan yang bertangkung kerana sistem saliran yang tidak baik. Ada bah disebabkan oleh limpahan air sungai yang banyak. Ada bah yang disebabkan oleh fenomena pasang besar yang berlaku dibeberapa tempat baru-baru ini. Bah air hujan cepat surut. Apabila hujan reda, bah pun akan surut. Semua yang berlaku ini adalah dengan kehendakNya. DIA lah yang Maha Berkuasa menentukan segala kejadian sama ada di langit ataupun di bumi....
Di Kelantan, bah air sungai akan berlaku setelah isi padu air sungai Kelantan bertambah akibat hujan lebat berterusan di kawasan Ulu Kelantan. Air sungai berbeza dengan air hujan... lebih sejuk dan warnanya juga lain. Keadaan akan menjadi lebih gawat apabila angin monsun bertiup kencang menyebabkan aliran air ke muara menjadi sebak. Akibatnya, tempat yg rendah akan ditenggelami air dalam tempoh masa yang lama, contohnya di Kg Tingkat dan di Kg Penambang yang menghala ke PCB.

Boleh dikatakan saban tahun pasti berlaku bah, tetapi bah besar tidak semestinya berlaku pada setiap tahun.

Musim bah banyak meninggalkan kenangan kepada sesiapa sahaja. Dulu, kalau musim bah, di KB jadi macam pesta... Bagi mereka yang terpaksa berpindah tu, lainlah pula ceritanya - bukan pesta lagi tapi dah jadi mimpi negeri ..... !

Dulu masa zaman kanak-kanak, kami selalu mengikuti perkembangan banjir melalui siaran radio... bila air di Tangga Bradley, Kuala Krai -tempat sukat banjir (kini, Tangga Krai) turun, bermakna kawasan hilir akan siap sedia untuk banjir. Di rumah Mama biasanya paling teruk pun, hanya tenggelam 2 anak tangga. Bila bah, jalan ke KB terputus, iaitu di Jambatan Paloh (Pintu Geng) dan di Bunut Payong. (Sekarang jambatan di Bunut Payong dah tinggi). Dari rumah ke Pasir Mas pula, akan tersekat di beberapa tempat, antaranya di Chabang Tiga Pendek dan di Gertak Lembu, dekat Salor. Masa ni Papa pun kenalah bertugas bergilir-gilir 24 jam di Bilik Gerakan Banjir KB.

Tahun 1967, banjir besar di Kelantan dan beberapa negeri lain di Malaysia... saya ingat2 lupa, Papa bawa jalan2 main air... masa tu belum sekolah lagi. Tahun 1971, bah berlaku sehari selepas sesi persekolahan tahun baru 1971 bermula. Pada tahun ini adinda Noni baru masuk darjah 1. Sekolah diisytihar tutup. Sesi persekolahan ditangguhkan buat sementara waktu sehingga banjir besar ini pulih. (Apabila membaca kisah tentang sejarah KL beberapa tahun kemudiannya, barulah saya tahu rupa-rupanya pada tahun 1971, KL dan beberapa buah bandar lagi juga dilanda banjir besar....! ).

Tahun 1979, bah besar berlaku akibat hujan lebat di kawasan Ulu Kelantan sehingga meruntuhkan Bukit Puteri di Lubok Bongor, Jeli, meranapkan sebuah klinik desa di situ . Dalam tragedi Bukit Puteri ini ramai juga yg terkorban. Bah pada tahun 1979 berlaku di beberapa buah negeri di Pantai Timur sehari selepas semua calon SPM/ MCE menduduki kertas terakhir. Ada kawan2 yang bersekolah di SBP @ MRSM @ SMT terkandas dalam perjalanan untuk pulang ke kampung masing2 sebaik sahaja selesai peperiksaan.

Sekali bah, pasti pantai akan berubah; berubah akibat hakisan....

Kolam mandi awam di PCB sudah bertahun-tahun lamanya 'terkubur'. Kubu Pertahanan Jepun semasa Perang Dunia Ke-2 di Pantai Sabak juga sudah jauh tenggelam ke dasar laut....! Dalam Rhu @ Pantai Semerak sudah tak boleh dipanggil Dalam Rhu lagi... kerana pokok ru sudah tidak ada. (Yang ada sekarang, yg baru ditanam semula).
Begitulah juga dengan resam hidup kita. Setiap kali tiba tahun baharu, sama ada tahun baharu Hijrah ataupun tahun baharu Masehi, pasti ada yang berAZAM untuk melakukan perUBAHhan atau pemBAHARUan. Tak kiralah apa-apa istilah pun yang digunakan, yang penting biarlah perUBAHan, pemBAHARUan atau AZAM baru itu membawa kepada sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada hidup kita....


Sunday, January 1, 2012

01.01.12 DI BANDAR KUANTAN...


Mentari awal 2012 cerah dan ceria menyinari bumi Kuantan.

Kami bercadang untuk keluar jalan-jalan ke pusat bandar.... saja-saja nak tengok suasana pada hari pertama 2012. Kami menjangkakan orang tidak ramai kerana kemungkinannya masih ramai yang bercuti di luar Kuantan.

Sejak cuti sekolah bermula pada pertengahan November yang lalu, inilah kali pertama saya keluar 'saja-saja' ke bandar pusat Kuantan. Sebelum ini, kalau pergi pun atas urusan rasmi dan penting sahaja.

Pagi ini kami keluar kononnya untuk meninjau sesuatu di pusat beli belah... manalah tahu kalau-kalau ada yang berkenan di hati.... Selepas singgah "brunch" di Restoran Rasa Kampung, kami terus menuju ke ECM. Jangkaan kami agak meleset kerana banyaknya kereta, sampai penuh tempat letak kereta. Kat depan penuh, basement hampir penuh, Aras 3 juga nampak penuh... nasib baiklah ada kereta yang mahu keluar kerana sudah selesai membeli keperluan mereka....

Lepas satu aras ke satu aras yang lain, berjalan-jalan sambil memerhati pengunjung yang sibuk membeli belah barang-barang keperluan untuk persekolahan anak-anak yang akan bermula dua hari lagi. Ada juga pengunjung yang sibuk membeli persiapan untuk menyambut CNY. Setelah lebih 2 jam kami berlegar-legar di ECM, kami keluar dengan 2 helai T-Shirt untuk putera sulung kami.... Nampaknya, tak ada yang tersangkut di hati... banyak jualan untuk perabis stok, barang yang dicari nampak seperti sudah agak lama, jadi kena tunggu minggu depan atau minggu berikutnya. Mungkin banyak barang baru akan masuk sempena perayaan CNY nanti....

Sekali-sekala berjalan berdua-duaan sambil memerhatikan gelagat orang ramai agak menyeronokkan. Jalan-jalan santai begini boleh dijadikan terapi minda. Sambil-sambil tu dapat menguji kekuatan 'kaki' yang sudah lama 'direhatkan', sebagai persiapan untuk menghadapi tugas rutin 'bertemu' anak-anak didik tersayang yang akan bermula beberapa hari lagi....

Saturday, December 31, 2011

CORETAN PENGHUJUNG TAHUN 2011....

Alhamdulillah, saya baru sahaja selesai menyempurnakan tugasan rutin akhir tahun. Lega rasanya....

Syukur juga kerana saya masih diberi kesempatan untuk menghirup udara segar tahun 2011 yang disulami hujan yang mula turun renyai-renyai membasahi bumi....

Kita semua tahu, mentari 2011 bakal terbenam dan akan diganti dengan fajar 2012 beberapa jam lagi. Tentu sekali banyak kenangan yang terakam dalam memori sepanjang 12 bulan kita berada di tahun 2011. Pasti ada yang manis dan ada juga yang pahit. Semuanya akan terpahat kukuh dalam ingatan sampai bila-bila.

Secara peribadi, 2011 membuka lembaran baru kepada kami sekeluarga. Yang paling indah, tahun ini kami menerima ahli baru dan bakal bertambah lagi ahli baru pada tahun hadapan. Beberapa hari lepas, keluarga kami diceriakan dengan kehadiran anak saudara yang baru, MOHAMMAD ZARIF ZIKRY... hadiah penutup tirai 2011....

Dalam pada itu, kami juga kehilangan seorang ahli keluarga... kakak ipar sulung telah kembali menemui Penciptanya buat selama-lamanya pada 11 Zulhijjah 1433 yang lalu. Kami tidak henti-henti diuji sehinggalah saat-saat 2011 akan berakhir.... Sesungguhnya, semua peristiwa yang berlaku akan kami jadikan teladan dan sempadan buat menempuh perjalanan menuju jalan pulang yang masih jauh....


Mungkin ada yang beranggapan bahawa tahun yang bakal berlalu sebagai tahun yang tidak pernah diduga akan hadir di dalam diari hidup mereka, lantaran ujian dan cabaran yang betul-betul menekan. Jangan lupa, seperti yang selalu diperkatakan orang, ujian dan cabaran ialah rempah ratus kehidupan.

Tanpa ujian dan cabaran, hidup kita akan berlalu bak air yang mencurah keluar daripada pancur, sekadar mencurah turun, tak ada langsung nilai-nilai yang boleh dikenang dan dijadikan teladan.

Sebaliknya jika perjalanan hidup kita seperti air sungai yang sekejap cetek dan sekejap melimpah ke tebing, kemudian perlu mengharung segala batu, kayu termasuk sampah sarap… ketibaan kita di muara nanti merupakan sesuatu yang amat bermakna.

Paling penting juga, ingatlah, bukan kita sahaja diuji. Ada insan lain yang lebih teruk ujiannya daripada kita. Lantas, jadikan ujian Ilahi sebagai pendekat diri kita kepada-Nya dan percayalah…. YANG PAHIT AKAN MANIS AKHIRNYA…

Tak kisahlah apa-apa sekali pun peristiwa yang kita lalui di sepanjang 2011, yang pasti kita perlu bersyukur ke hadrat Ilahi kerana kita masih diberi kesempatan untuk terus melihat fajar tahun baharu yang bakal muncul nanti....

Tahun baharu bermakna usia sudah tidak baharu lagi. Hayat bertambah menjadi semakin lama... SELAMAT TAHUN BAHARU 2012 dan ucapan untuk diri sendiri "selamat menempuh usia separuh abad....

Semoga kita semua terus diberi kelapangan dan kekuatan mental serta fizikal bagi membolehkan kita memantapkan amal ibadat buat bekalan di akhirat kelak...juga dapat kita berbakti kepada keluarga, agama dan negara. Semoga kita terus berada dalam peliharaan dan keberkatan-Nya... Amin.


- pantun SELAMAT TAHUN BAHARU nukilan Cikgu Naim Daipi...


Wednesday, December 21, 2011

DIA yang menentukan segala-galanya...

Terasa lama sungguh tak singgah di sini... Ilham tak kunjung tiba dek minda sarat dengan tugasan yang lebih penting... demi melaksanakan amanah dan misi negara....

Alhamdulillah, tugasan penting hampir selesai. Tinggal lagi kerja-kerja perkeranian yang perlu disiapkan. Yang ini kena tunggu "sampul misteri" dulu daripada anak-anak buah. Selepas cuti Hari Natal nanti barulah boleh selesaikan.... jadi bolehlah 'terapi minda' di sini buat seketika.

Sebenarnya, banyak peristiwa berlaku seminggu dua ini yang tidak sempat dikongsikan di sini. Ada yang menggembirakan, tak kurang juga yang mengharukan.... Semuanya DIA yang menentukannya... dan sesungguhnya, setiap yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya....

Ujian daripada Allah...



ISNIN pertama Disemb
er 2011, lebih kurang pukul 10 malam.... sedang saya sibuk menyiapkan bahan untuk mesyuarat, tiba-tiba saya dikejutkan dengan panggilan telefon daripada adinda MUTIA ANGGEREK yang ketika itu sedang bertugas di luar KL....
"Kak La dah tahu ke pasal Abe..." perlahan aje suara Ya, walaupun sebenarnya orang lain tak akan dengar perbualan kami....

"Apa cerita...?" Hati memang berdebar-debar kerana baru semalam kami bertemu di Danau Kota, Setapak sebelum saya bertolak balik ke Kuantan.

"Abe accident...., tapi tak serius. Kalau nak tahu lebih, telefon Wan..."
Saya terus menghubungi adinda NADIA HANUM untuk mengetahui perkembangan selanjutnya.... Ketika itu Wan dan ALONG AINA ada bersama Abe di HKL... setelah mengetahui sedikit sebanyak keadaan sebenar dan boleh bercakap sendiri dengan Abe, barulah lega sikit rasa hati. Tulang belakang T12 Abe patah sedikit akibat terjatuh daripada motosikal yang dilanggar dari belakang.... Kata doktor, nasib baik patah ke luar; jika patah ke dalam, akan memberi kesan pada saraf ....

Saya amat terkilan juga kerana tidak dapat bersama Abe, malah tidak sempat untuk menjenguknya selama 4 hari Abe di HKL kerana terpaksa menjalankan amanah negara. Kebetulannya pada waktu itu saya bermesyuarat dengan 'anak-anak buah' selama 3 hari di SMKTP Kuantan. Hati meronta, Tuhan sahajalah yang tahu naluri seorang Ibu ketika berada dalam situasi begini. Hanya doa yang dapat saya titipkan dari jauh, semoga Abe reda dan tabah dengan ujian ini.

Walau apa sekalipun ujian yang mendatang, kami tetap memanjatkan rasa syukur
kepada Ilahi kerana keadaan Abe tidak serius. Abe perlu memakai 'brace' untuk menstabilkan tulang belakangnya ketika hendak berdiri atau duduk.

Selepas 4 hari di hospital, Abe dibenarkan pulang. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga untuk Ibu Jam, Adinda Bariyah dan Adinda Nadia kerana meluangkan masa untuk membawa Abe balik ke rumah adinda Noni di Taman Bukit Serdang....
Abe dinasihatkan berehat selama 1 bulan sebelum pemeriksaan susulan dibuat pada 4 Jan 2012. Harap-harap dalam masa beberapa minggu ini Abe akan kembali pulih... Nampaknya, kena cuti lagilah, Abe.

Kepada adinda SAHAZALI AD dan NORBANILAWATEY JUSOH, terima kasih banyak-banyak. Walaupun sibuk dengan tugasan harian di pejabat, tetapi kalian masih punya waktu untuk menjaga makan minum Abe...

Kepada Anak-anak saudara yang tersayang... A B C yang dengan rela hati menjadi misi @ jururawat separa terlatih untuk menjaga Abe dengan tunjuk ajar anakanda AISYAH... Tidak lupa kepada ahli keluarga yang lain, termasuk sahabat-sahabat Abe yang turut bersusah payah menjaga Abe, terima kasih banyak-banyak...Hanya Allah sahaja yang akan membalas budi baik kalian.


Sesungguhnya kita semua tidak pernah terlepas daripada ujian Allah....

Allah Maha Mengetahui dan Maha Mengasihani....


2 hari selepas Abe kemalangan, dalam keadaan resah gelisah dan rasa terkilan bersilih ganti - antara tugas dengan melawat Abe di HKL, kami dihadiahkan satu perkhabaran lagi.... Kali ini khabar yang menggembirakan. Khabar yang dinanti-nantikan oleh seluruh ahli keluarga....

Tidak lama lagi Papa HJ JUSOH DAUD dan Mama HJH CHE HALIMAH CHE YUSOFF bakal menerima cicit pertama.... Anakanda MOHD FAHMI NAIN dan NURUL AINA AWANG bakal menimang cahaya mata yang pertama pada pertengahan Ramadan tahun depan. Sebagaimana Syawal tahun ini, kami sekali lagi akan mendapat ahli baru dalam keluarga menjelang Syawal 1433....

Alhamdulillah... DIA-lah yang menentukan segala-galanya....




Sunday, December 11, 2011

Eeka genap sepuluh tahun....



11.12.2011...

genaplah 10 TAHUN usianya...

NUR HANIS SHAFIQAH

puteri bongsu

NORBANILAWATEY JUSOH

dan

SAHAZALI AWANG DERAMAN...



Semoga Eeka akan terus menjadi

anak yang solehah.



Selamat

menyambut

ulang tahun

kelahiran.....



Eeka yang sentiasa menghiburkan.....


Daripada : Cik La, Ayah Chik, Abe Faris, Abe Emi & Kak Aina dan Kak Uti....




Saturday, December 3, 2011

Warna Cermin Diri

Warna merupakan ciptaan Allah s.w.t yang sangat cantik. Warna yang terbaik adalah warna pelangi, warna yang Allah s.w.t pamerkan selepas hujan.

Mengapa ketika solat Nabi galakkan memakai pakaian berwarna putih? Ketika peperangan, Nabi memakai pakaian berwarna hitam?

Semua orang mempunyai warna kegemaran. Warna kadang-kadang mencerminkan diri seseorang. Warna juga boleh mempengaruhi seseorang dalam melakukan sesuatu. Setiap orang mempunyai warna diri.

Warna diri ini berkait rapat dengan ragam, perangai, tingkah laku, cara berfikir, perasaan, semangat, perlakuan dan tindak tanduk setiap individu. Apabila tidak mengetahui warna diri atau warna alah kepada dirinya, seseorang itu akan menyukai warna-warna tertentu sebagai warna kegemaran yang tanpa disedari itulah lambang kelemahan yang sedang dilaluinya.

Setiap individu mempunyai warna yang melindungi dirinya. Warna pelindung diri ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian luaran dan dalaman. Warna luaran mendominasikan 80% sifat individu berbanding warna dalaman. Warna diri ini dikenali sebagai aura yang tidak kelihatan yang bertindak sebagai perisai halus atau benteng diri manusia. Warna-warna tersebut mewakili empat level diri manusia iaitu Spiritual (Putih), Emosi (Merah Jambu), Mental (Hijau) dan Fizikal (Biru).

Atas segala sesuatu yang berlaku, hanya Allah s.w.t yang menentukannya...Dekatilah diri kepada-NYA sentiasa.


Thursday, December 1, 2011

Selamat Ulang Tahun Kelahiran, Sayang....

Buat suami,
insan yang penuh dengan cinta dan sayang,
ingin kutitipkan ucapan...

"SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN KELAHIRAN YANG KE-51..."

Kupanjatkan rasa penuh kesyukuran pada Allah s.w.t. kerana memberikan masa untuk aku mengenali erti kasih sayang dari insan dan Tuhan, menghayati pengorbanan luar biasa yang mencetus keinsafan dan memberikan aku waktu untuk mengecap cinta sedingin salju. Lebih bermakna lagi kerana 2011 diraikan bersama ahli baru dalam keluarga, anakanda NURUL AINA AWANG. Kita memasuki fasa baru dalam melayari hidup bersama....

Buat suami tercinta, kutujukan doa khusus buatmu. Tika sujud yang panjang, aku memohon agar kehidupanmu sentiasa dalam rahmat Tuhan. Semoga Allah panjangkan umurmu, diberikan kesihatan yang baik dan rezeki yang penuh keberkatan....

Kudoakan, biarlah hanya yang terbaik berlaku dalam kehidupan, dunia dan akhirat bersama kita gapai penuh kesyukuran. Harapan dan impianku, agar aku mampu membuatmu sentiasa tersenyum dan tertawa saat kita bersama meniti usia. Moga Allah berikan aku kekuatan untuk membekalkan tenang dihatimu walaupun ketika hidup kita dihempas gelombang.

Terima kasih Tuhan kerana Kau jadikan dia untukku....
Terima kasih sayang kerana hadirmu begitu membahagiakan....