Thursday, April 30, 2009

May Day


Esok, 1 MEI - cuti umum sempena Hari Pekerja. Kami merancang untuk balik KB. Ada beberapa perkara yang perlu diuruskan. Yang paling penting untuk berjumpa dengan Papa & Mama serta Mek Kiah.

Hari Pekerja atau Hari Buruh adalah satu nama untuk pelbagai cuti tahunan yang diraikan pada 1 Mei (atau dalam permulaan bulan Mei). Hari ini juga disebut sebagai Hari Pekerja Antarabangsa, yang diraikan bagi memperingati kejayaan pergerakan buruh melalui mogok umum dan Mogok Haymarket pada tahun 1886 yang menuntut lapan-jam waktu bekerja di Amerika Syarikat.

Foto : Mogok Haymarket 1886 di Chicago, Illinois.

HARI KARNIVAL PENDIDIKAN

Semalam, 29 APRIL sekolah telah mengadakan Hari Karnival Pendidikan bagi tahun 2009. Antara aktivitinya ialah jualan, kokuria dan pameran pendidikan. Membeli sambil menderma. Program ini bertujuan untuk mengisi dana sekolah. Di samping itu, murid didedahkan dengan info berkait dengan pelajaran melalui aktiviti kokuria mengikut mata pelajaran. Terhad untuk murid SMK Tanah Putih sahaja.

Macam-macam jenis makanan dijual. Permintaan lagu juga agak menggalakkan.

Dulu, aktiviti seumpama ni, kita panggil Pasar Ria. Kalau nak dibandingkan, masa zaman kita sekolah dulu rasanya lagi meriah...

Hari ni belum hilang lagi rasa penat !

Wednesday, April 29, 2009

LHDN selesai sudah...



Jumpa lagi

Awal pagi ni, saya telah selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pembayar cukai..he..he..he.

Selepas ke JHDN hari Isnin lepas untuk reset ID no, dan dapat kata laluan yang baru, 'line' menjadi amat sibuk. LHDN menyarankan agar login antara pukul 1.00 pagi hingga 7.00 pagi. Memang, sebelum pukul 12.00 tengah malam, tak boleh masuk langsung. Hanging...

Alhamdulillah, pukul 4.00 pagi tadi, saya dapat juga melunaskan tanggungjawab itu.

Lepas ni, nak kena buat bayaran baki cukai yang dikenakan...

Monday, April 27, 2009

BANK PITIS


Bank Pitis merupakan sebuah bangunan batu tertua yang terletak di luar pintu masuk ke Istana Balai Besar, Kota Bharu, Kelantan. Bangunan ini telah dibina pada zaman pemerintahan Sultan Muhammaad III (Long Kundur bin Sultan Ahmad 1889- 1890). Tujuan utama bangunan ini adalah untuk menyimpan pitis-pitis (pitis dalam dialek Kelantan bermaksud wang) perbelanjaan negeri Kelantan pada masa itu.

Bangunan ini berbentuk empat segi sama dengan berukuran 12 kaki lebar dan tingginya 12 kaki. Daun pintunya diperbuat daripada kayu cengal dan dipasang dengan tiga penyelak (kunci) yang diperbuat daripada besi.

Pemerintah Kelantan, Sultan Muhammad IV pada tahun 1903 telah menghantar "pohon duit" kepada Raja Siam. Pada masa itu, Kelantan masih merupakan negeri di bawah perlindungan Siam. "Pohon Duit" ini juga dikenali sebagai Pohon Pitis. Berdasarkan dialek Kelantan, "pohon" merujuk kepada "pokok" manakala "Pitis" atau "Pitih" pula merujuk kepada wang. Berdasarkan sejarah, Kelantan menggunakan Pitih sebagai matawang sehingga tahun 1920.

"Pohon Pitis" Kelantan dibuat daripada logam timah yang mengandungi 13 syiling menggunakan teknologi acuan yang diperkenalkan oleh pedagang dari China. Pada bahagian muka syiling tertulis “Thuriba Fi Zul-Hijjah Sanat 1321” bermakna bulan Zul–hijjah 1903 dan dibelakangnya pula tertulis perkataan “Belanjaan Kerajaan Kelantan” untuk mengesahkan bahawa ia adalah mata wang rasmi kerajaan Kelantan.

Sekiranya anda berhasrat ke Bazar Buluh Kubu atau Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu dan meletakkan kenderaan di tempat letak kereta di hadapan Istana Balai Besar, anda akan dapat melihat Bank Pitis ini terlebih dahulu.

Negeriku, negeri warisan budaya zaman-berzaman...

Foto : Bank Pitis

PITIS


Mengikut Kamus Dewan, pitis bermaksud mata wang pada zaman dahulu, duit, wang. Dalam dialek Kelantan, disebut pitih. Maksudnya sama juga - duit atau pitis.

Pitis-pitis pula ialah sejenis tumbuh-tumbuhan (pokok memanjat). Pokok pitis. Pokok Pitis juga dikenali sebagai pokok duit-duit, merupakan sejenis pokok epifit yang menjalar. Ia menjalar pada batang pokok bagi mendapatkan cahaya matahari. Daunnya yang tebal dan berlilin digunakan bagi menyimpan air.

Masa kecil-kecil dulu, kalau main pondok-pondok, kami gunakan daun pitis-pitis ni sebagai 'pitih', selain daripada kulit etak!

Pokok pitis turut merujuk kepada duit lama negeri Kelantan dan Terengganu. Acuan membuat pitis (siling) berbentuk pokok.


Foto : Pokok pitis

Bank Pitis menyusul nanti ...

Tentang Kehidupan ...

Hidup adalah suatu pengembaraan yang panjang.

Setiap tindakan yang diambil hari ini menentukan nasib masa hadapan. Pepatah Melayu ada menyebut "menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna". Kata-kata ini sememangnya memberi maksud yang begitu bermakna untuk dihayati kerana ia bukan sahaja melambangkan kehidupan yang dilalui, tetapi ia turut merangkumi segala tindak-tanduk yang akan diambil oleh seseorang untuk menyelesaikan masalah...

Dalam kehidupan seharian, kita tidak mungkin dapat mengubah permulaan yang sudah kita buat, tetapi kita boleh menentukan bagaimanakah bentuk penghujung kehidupan yang ingin kita jalani kelak. Sama ada kita memilih untuk bersusah payah dahulu dan bersenang-senang kemudian ataupun sebaliknya.

Tepuk dada tanya hati !

Sunday, April 26, 2009

Adoi ! LHDN...


Sekejab tadi nak buat e-filling. Cari dalam fail tak jumpa pula password untuk login. Yang hubby punya, adalah pula. Pada hal saya yang simpan semuanya. Tapi cuba juga. Tiba-tiba ID kena gantung, kerana kata laluan yang digunakan tak sah. So, esok kena pergi ke LHDN yang terdekat untuk 'release' ID dan dapatkan semula kata laluan. Nak buat macam mana, terpaksalah pergi juga. Ingatkan hari ni dah boleh selesaikan urusan yang tertangguh ini. Sabar ajelah.

BANK KERAPU ?


Tahukah anda bahawa Bank Kerapu merupakan sebuah bangunan bersejarah di negeri Cik Siti Wan Kembang.

Bangunan ini terletak di sebelah hilir Padang Merdeka, Kota Bharu, Kelantan. Pada tahun 1912, bangunan ini siap dibina dan mula digunakan sebagai bank oleh "The Mercatile Bank of India Ltd". Bangunan ini merupakan bank pertama yang dibuka di Kelantan.

Tahukah anda, bangunan ini juga merupakan sebuah binaan bangunan batu yang pertama di Kelantan.

Masyarakat tempatan Kelantan lebih mengenali bangunan ini sebagai bangunan Bank Kerapu kerana sebahagian daripada permukaan bangunaan ini disimen dengan menggunakan batu-bata kecil yang menyebabkan permukaannya tidak rata dan menggerutu. Dalam dialek Kelantan keadaan tidak licin itu disebut 'kerapu'. Daripada itu bank tersebut telah dikenali sebagai Bank Kerapu hinggalah sekarang ini.

Bank Kerapu dibina di atas sebidang tanah yang dimiliki oleh Nik Yusoff bin Nik Abd. Majid yang bergelar Dato' Sri Paduka Raja. Beliau lebih dikenali dengan Pak Nik Soh Pak Nik Ad atau disebut juga Sri Paduka Nik Yusoff atau Nik Sri Paduka. Beliau adalah seorang Pembesar Kelantan yang terkenal sejak zaman pernerintahan Sultan Ahmad (1886-1889) dan zaman Sultan Muhammad 111 (1889-1890). Beliau telah dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan dari tahun 1894 hingga 1900.

Tanah tapak bangunan itu telah dibeli oleh syarikat bank "The Mercantile Bank of India Limited" untuk dibina sebuah bangunan bank cawangannya di Kelantan. Bangunan bank itu dibina dan siap serta digunakan pada tahun 1912. Pengurusnya yang pertama ialah Encik Muir iaitu seorang Inggeris.

Semasa Perang Dunia Kedua, pasukan polis rahsia Jepun telah menggunakan bangunan ini sebagai ibu pejabat mereka. Bangunan ini juga dijadikan penjara, tempat siasatan, tempat penderaaan dan lain-lain aktiviti keganasan mereka. Apabila Jepun menyerah kalah dan Inggeris kembali memerintah negeri ini, bangunan ini digunakan semula sebagai bank.

Pada tahun 1977, nama bank tersebut bertukar kepada "The Hong Kong & Shanghai Banking Corporation", dan pada 1981 bangunan ini dijadikan pula sebagai Balai Seni Lukis dan Kraftangan Kelantan. Mulai tahun 1992, bangunan ini digunakan sebagai Memorial Perang Dunia Ke II di Kelantan

Bermula pada tahun 1992, bangunan ini digunakan sebagai Memorial Peringatan Perang Dunia Kedua sebagai mengenang peristiwa pendaratan tentera Jepun di Tanah Melayu yang bermula di Pantai Sabak, Pengkalan Chepa Kelantan pada 8 Disember 1941.

Memorial ini memiliki dan mempamerkan lebih daripada 1,000 bahan pameran yang berkaitan dengan peperangan yang terdiri daripada gambar-gambar, artikel dan artifak. Pameran lain termasuk foto Sultan Ismail Petra sebagai Kolonel Kehormat Rejimen Artileri DiRaja Malaysia, sejarah hubungan Kelantan-Thai sebelum kemerdekaan Tanah Melayu, dan kehidupan rakyat British di Kelantan sebelum dan selepas perang.

Basikal yang pernah digunakan oleh tentera Jepun semasa memasuki bandar Kota Bharu juga dipamerkan di sini.

Mengenali sejarah, memperkasa akar budaya bangsa...

BRONTOK






Pagi Ahad yang mendamaikan. Kami tak ke mana-mana hari ni, hanya habiskan masa di rumah. Buat apa-apa yang patut. Minggu depan, kami akan balik KB pula untuk uruskan beberapa perkara...

Pada pagi yang santai ini, saya membuka Brontok setelah sekian lama tersusun dalam rak buku.... 'Brontok : Virus yang merosakkan sebuah pentadbiran' - sebuah buku motivasi tulisan Norbi Husin belum lagi terusik walaupun ada dalam simpanan sejak Disember 2008. (Buku-buku yang terkemudian sebahagiannya sudah habis dibaca...)

Dua buah buku Puan Norbi, yang pernah saya baca dalam masa 2 tahun ini ialah 'Asam Pedas Gula Melaka' dan 'Gurukah Aku Atau ...'. Buku 'Asam Pedas ...' menceritakan pengalaman pengarang semasa memegang jawatan pengetua sekolah. Saya telah menghadiahkan buku ini kepada Julia, rakan baik semasa sama-sama bertugas di Jengka dulu. (Selain itu, saya juga telah hadiahkan buku THMSI dan TDMHE kepada beliau). Tujuannya hanya satu, iaitu untuk berkongsi ilmu yang banyak memberi kebaikan.

Dalam buku 'Gurukah Aku...' pula, pengarang merakamkan pengalamannya semasa menjadi pelajar kemudiannya menjadi guru. Kedua-dua buku ini banyak memberi manfaat kepada saya sebagai seorang guru.

Pagi ni sambil bersantai, saya telah membaca beberapa tajuk dalam buku Brotok. Brontok merakamkan pengalaman pengarang semasa bertugas sebagai Ketua Sektor Pengurusan di Jabatan Pelajaran Negeri Melaka. (Pengarang berasal dari Melaka.)

Brontok ditulis dalam bentuk cerita pendek atau episod yang dipetik daripada sesuatu peristiwa yang dilihat. Semua cerita dan episod yang ditulis, disusun mengikut kronologi dan ada kaitan antara satu sama lain. Cerita-cerita yang boleh menyuntik semangat pembaca dan boleh dijadikan ikhtibar.

Memetik kata-kata beliau : "Satu perjalanan yang jauh dan lama seharusnya menempuh pelbagai dugaan dan untuk sampai ke garisan penamat, kita haruslah kuat dan tabah menghadapinya."

Membaca Memperkaya Minda...

Saturday, April 25, 2009

Kota Jelasin - Kota kampungku

Kota Jelasin. Sebuah kota yang melakar sejarah penting di Negeri Cik Siti Wan Kembang. 'KOTA' yang menjadi sebutan sampai bila-bila... Kampung Kota. Kampung tempat aku dilahirkan hampir 47 tahun yang lalu. Sebuah kampung yang indah lagi permai.

Kampung Kota yang letaknya dalam daerah Kota Bharu, sebenarnya mendapat namanya daripada Kota Jelasin - Kota yang telah dibina oleh Raja Abdullah, suami dan sepupu kepada Puteri Saadong.

Alkisahnya, apabila meningkat remaja, Puteri Saadong menjadi seorang Puteri yang sangat cantik paras rupa dan tingkah lakunya. Puteri Saadong juga dikenali sebagai "Puteri Vijaya Mala". Kecantikan Puteri Saadong ini termasyhur ke seluruh negeri sehingga sampai ke pengetahuan Maharaja Siam iaitu Raja Prasat Thong yang memerintah di Ayudhia. Baginda telah menghantar utusan ke Jembal untuk meminang Puteri Saadong. Setelah Raja Loyar berbincang dengan Cik Siti Wan Kembang, maka pinangan Raja Siam itu telah ditolak. Setelah rombongan Siam itu kembali, baginda Raja Loyar dan Cik Siti Wan Kembang berserta pembesar-pembesar telah bermesyuarat untuk mengahwinkan Puteri Saadong dengan sepupunya Raja Abdullah iaitu anakanda Raja Bahar.

Setelah istiadat perkahwinan itu selesai, Raja Abdullah telah membina sebuah kota di hilir Negeri Kelantan dan dinamakan "Kota Jelasin". Setelah beberapa lama bersemayam di Kota Jelasin, mereka terpaksa berpindah pula ke Kota Mahligai (di Kampung Mahligai, Melor sekarang) apabila mereka diganggu oleh tentera Maharaja Siam yang ingin memiliki Puteri Saadong yang cantik itu.

Kampung Kota tempat tumpah darahku ini mendapat namanya daripada Kota Jelasin. Tapak Kota Jelasin sebenarnya terletak di Wakaf Che Yeh sekarang iaitu di tapak stesen RTM Kota Bharu (Radio Malaysia Kelantan) dan SK Kota, SK Seri Kota & SMK Kota.

Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula KOTA warisan nenek moyangku...

LADAP (2) @ HARI KELUARGA




Hari ini guru-guru SMKTP menghadiri LADAP siri ke-2 untuk tahun 2009 yang berlangsung di Pantai Balok, Kuantan. LADAP kali ini fokus kepada 'Team Building', melalui Hari Keluarga.

Pada keseluruhannya, bolehlah...

Antara slot yang menyeronokkan dan memberi banyak manfaat ialah senamrobik dan sesi Ceramah Pemakanan Sihat yang disampaikan oleh Dr. Azman dari HTAA. Lepas tu tengok anak-anak kecil menyertai acara Sukaneka.

Seronok lihat anak-anak kecil berdiri di tepi pentas menunggu nama diumumkan sebagai pemenang bagi setiap acara yang dipertandingkan. Dunia kanak-kanak, walaupun berpanas, mereka tak kisah. Asalkan dapat hadiah, kecil pun tak apa....

Teringat Hari Keluarga semasa Abe, Emi & Nadia kecil-kecil dulu. Mereka sangat teruja bila ada Hari Keluarga...main acara cari gula-gula dalam tepung, pecah belon, bawa bola ping-pong... dan yang pasti main kolam sampai merah mata.

Bila mereka kian meningkat dewasa, semuanya tu menjadi nostalgia.

Foto : Family Day Affin Bank di A' Famosa Water World Resort, Melaka (1996), di Bayu Beach Resort PD (1994) & Family Day SMK Taman Maluri, KL di Mimaland, Gombak (1993)

Wednesday, April 22, 2009

Cakna Ilmu sempena Hari Buku Sedunia

23 April dianggap satu tarikh simbolik kepada dunia penulisan dan dunia kesusasteraaan. Pada tarikh yang sama juga pada tahun 1616, Cernvantes, Shakespeares dan Inca Garcilaso De La Vega meninggal dunia. Pada tarikh ini jugalah telah lahir dan matinya penulis-pelulis besar yang lain termasuklah Maurice Druonj, K. Laxness, Vlamir Nabokov, Josep Pla dan Manuel Mejia Vallejo. Atas sebab-sebab itulah, UNESCO mengisytiharkan 23 APRIL sebagai HARI BUKU SEDUNIA mulai tahun 1995.

Dalam konteks Islam, kita mungkin meletakkan wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. di Gua Hira' itu (dalam 40 tahun selepas kelahiran baginda) sebagai tarikh yang meletakkan manusia dan ilmu pada tempatnya. Tidak ada agama lain, baik agama wahyu atau agama budaya yang memberikan satu penekanan dan penghormatan yang besar kepada ilmu dan kitab.

Namun demikian, adalah sesuatu yang malang bagi umat Islam apabila ajarannya yang mengangkat darjat ilmu ini tidak benar-benar dihayati dan dibudayakan oleh umat Islam. Kita tidak perlukan seperti hari Saint George untuk menghargai pembacaan buku atau menunjukkan hormat kita kepada ilmu, tetapi dalam konteks dunia Islam kini, adalah wajar untuk kita mula hasilkan sesuatu yang baru ke arah menggalakkan masyarakat Islam terutama golongan muda untuk membaca dan menghargai ilmu.

Di Malaysia, tarikh ini tidak dianggap sepenting tarikh-tarikh lain yang diraikan dengan penuh meriah di seluruh negara seperti sambutan Hari Valentine, Sambutan Tahun Baharu dan lain-lain. Bagi kebanyakan anak muda negara ini, mereka akan membuat persiapan tertentu bagi menyambut ketibaan hari valentine dan sambutan tahun baharu. Lazimnya, tarikh ini akan disambut dengan pesta tari menari dan sambutan penuh meriah termasuk persembahan artis-artis ternama tanah air. Budaya sebegini telah sebati dalam diri anak-anak muda kita. Mungkin bagi mereka tiada ertinya sambutan Hari Buku Sedunia yang tidak disajikan dengan pesta sambutan dan perayaan seperti sambutan hari-hari lain.

Di negara kita, hari keagungan ilmu yang seharusnya didukung dengan gelombang sambutan meriah di seluruh dunia seakan-akan suram dan sepi tanpa sebarang sambutan. Masyarakat tidak langsung maklum betapa keramatnya tarikh ini. Lebih menyedihkan apabila masyarakat tidak langsung menghargai keajaiban dan keagungan ini.

Tamadun Islam yang mencapai mercu kegemilangan ketika zaman pemerintahan Rasulullah s.a.w. dan Khilafah sangat mementingkan soal ilmu, malah menuntut ilmu itu satu kewajipan bagi setiap muslim di sisi agama Islam. Kedudukan ilmu yang cukup tinggi darjatnya ini terjamin melalui wahyu yang pertama diterima oleh Rasulullah s.a.w. daripada Allah s.w.t. dalam surah Al-Alaq. Ayat pertama itu menyeru Rasulullah dan umat manusia dengan seruan ‘bacalah…!’.

Rasulullah juga bersabda bahawa manusia yang tidak berpengetahuan (Alim) dan tidak berusaha untuk mendapatkan ilmu adalah seperti binatang parasit yang hanya hidup dengan menghisap darah binatang lain. Oleh sebab itu, kekuatann dan kegemilangan tamadun Islam diasaskan dengan kegemilangan tradisi intelektualnya.

Malah kota Islam Baghdad umpananya pernah dinobatkan sebagai “The Craddle of Civilization” atau paksi peradaban kerana telah menghasilkan karya-karya ilmu yang agung tulisan al-Ghazali, Ibn Khaldun dan nama-nama besar yang lain.

Tamadun yunani juga dianggap sebagai tamadun yang cukup gemilang terbentuk kerana tradisi keilmuannya yang cukup tinggi. Hasil keilmuan Yunani terutama yang berpusat di Athens telah memberi pengaruh yang besar ke atas Rom dan bangsa lain sehingga ke hari ini. Bidang-bidang ilmu seperti logik, matematik. Falsafah dan sains yang dibentuk sewaktu ketamadunan Yunani banyak mempengaruhi tamadun-tamadun lain termasuklah ketamadunan Islam sendiri. Pengaruh pemikiran dan karya-karya tokoh-tokoh yunani seperti Plato, Aristotle dan Socrates turut ditekuni dan memperaruhi pemikiran tokoh besar Islam seperti ibn Sina, al-Farabi dan Ibn Rushd.

Usaha ke arah memartabatkan ilmu haruslah dijalankan dengan bersungguh-sungguh oleh semua pihak. Amat rugi sekiranya kita tidak cakna tentang keanggunan dan keajaiban ilmu dengan tidak melakukan apa-apa untuk menambahkan ilmu. Kita boleh membiarkan tarikh 23 April sebagai Hari Buku Sedunia berlalu dengan begitu sahaja, tetapi jangan kita izinkan kekontangan dan kegersangan ilmu menyelubungi masyarakat kita.

Seharusnya kita jadikan tarikh ini sebagai batu loncatan untuk kita pelajari lebih banyak ilmu dan membaca lebih banyak buku atau sekurang-kurangnya mula sedar tentang keagungan ilmu dan buku.

Bersama-samalah kita menyambut Hari Buku Sedunia pada tahun ini sebagai langkah pertama ke arah mengiktiraf kepentingan ilmu untuk masa depan diri dan bangsa yang lebih gemilang...

HARI BUKU SEDUNIA

Hari Buku Sedunia dan Hari Hakcipta (World Book and Copyright Day / International Day of the Book / World Book Days) disambut pada 23 APRIL setiap tahun di seluruh dunia.

Sambutan yang dianjurkan oleh UNESCO ini bertujuan untuk menggalakkan masyarakat dunia terutamanya golongan muda untuk membudayakan pembacaan dan menyanjungi mereka yang dihormati kerana sumbangan besar mereka kepada masyarakat dunia.

Hari Buku Sedunia ini mula disambut untuk pertama kalinya pada tahun 1995. Pada tahun ini UNESCO telah memilih Bogota, Columbia sebagai tuan rumah atau pusat buku sedunia (World Book Capital).

Di peringkat sekolah, KPPM telah mengarahkan semua sekolah di seluruh negara untuk merancang dan mengadakan aktiviti sempena Hari Buku Sedunia ini. Di SMK Tanah Putih, beberapa program telah dirancang oleh Pusat Sumber Sekolah, antaranya ialah 'Seketika Bersama PSS', Resensi Buku, dan Pertandingan Melukis Poster. Sambutan kemuncaknya ialah pada hari Jumaat ini.