Saturday, September 26, 2009

Syawal yang penuh erti....




Setiap kali menjelang hari raya, akan terdetik di hati ."....sempat lagikah aku untuk bersama keluarga pada Aidilfitri yang akan datang...?"

Tahun ini kami sekeluarga menyambut 1 Syawal di rumah Mama di Wakaf Sena setelah beberapa tahun menyambutnya di Batang Merbau. Selepas zohor barulah kami bertolak ke rumah mertua.

Pada pagi 1 Syawal 1430 hanya ada 4 orang adik beradikku bersama Papa & Mama. Anak Papa & Mama yang ke-2 (aku), ke-3 (Noni), ke-6 (Anggerek) & ke-7 (Nadia). 7 orang cucu yang bersama Papa & Mama pada pagi 1 Syawal pula ialah Abe, Emi, Adik CT (anak--anakku), Tasha, Najwa, Ika (anak-anak Noni) dan Fifi (anak K.Roslena). Papa & Mama juga merayakan pagi 1 Syawal tahun ini bersama 2 orang sahaja menantunya - Nain & Sahazali ...

Kak Roslena (kakak sulung) hanya akan tiba pada petang 1 Syawal. Ini merupakan rutinnya pada setiap tahun; Suzlena (adik ke-4) beraya di rumah keluarga suaminya??? ; Melisa (adik ke-5) beraya di Jengka 2 - rumah mertua dan balik ke KB pada raya ke-3; Idayu - adik bongsu pula kena giliran beraya di rumah mertuanya di Kemaman setelah hampir 3 minggu dalam bulan ramadhan berada di KB bersama Mama.

Jadi, pada pagi 1 Syawal tahun ni tak berapa ramai ahli keluarga yang dapat berkumpul bersama. Walau bagaimanapun, pada 3 Syawal kami berkumpul ramai-ramai (kecuali adik bongsu) di rumah Kakak sulung (yg tidak jauh dari rumah Mama) untuk menyemarakkan hari yang bahagia ini. Banglo Kak Roslena kini menjadi tempat kami berkumpul pada setiap hari raya. Pada hari2 lain, banglo ini ditinggalkan sepi tanpa penghuni kerana Kak Roslena masih menetap di Bkt Tiu, Machang. Sekali-sekala pada hujung minggu Kak Roslena akan pulang untuk menjenguk banglonya itu.

Pada 2 Syawal kami sekeluarga ke Kg Kuala Tiga ... (lihat entri akan datang).

Lewat malamnya, aku dan hubby bertolak ke rumah Mama. Anak-anakku yang bertiga tu balik ke rumah Mama sebelum Asar lagi. Sengaja kami bertolak malam untuk mengelakkan kesesakan kenderaan, terutama di atas jambatan Pasir Mas.


Pada petang 4 Syawal, kami bertiga (aku, hubby & anak perempuan) telah bertolak ke KL.

Sebelum meninggalkan rumah Mama, aku bersalam dengan Papa, mencium tangannya, memeluknya dan mencium pipinya. (Biasanya aku hanya memeluk dan mencium pipi Mama. Dengan Papa aku hanya mencium tangannya). Hal yang tak pernah kulakukan sejak aku dewasa. Entah mengapa, aku ingin sekali memeluk dan mencium pipi Papa.... Papa nampak gembira sekali.

Kami beredar dari rumah Mama lebih kurang pukul 4.00 petang. (terasa berat dihati untuk meninggalkan Mama yang kurang sihat sejak petang hari raya ke-3). Jarak dari traffic light Wakaf Che Yeh ke traffic light Bt 4, Jln Kuala Krai yg biasanya mengambil masa lebih kurang 5 minit, jadi hampir 40 minit pada hari kami bertolak ke KL. Jalan sesak mungkin disebabkan ramai yang keluar untuk beraya ke rumah saudara-mara.

Pada 4 Syawal, rupa-rupanya sudah ramai perantau dari Negeri Cik Siti Wan Kembang yang beransur pulang ke rumah masing-masing nun jauh di Kota Metropolitan KL. Kereta banyak di atas jalan raya. Kami mengambil masa selama hampir 2 jam setengah untuk sampai ke Kuala Krai (biasanya hanya 1 jam lebih). Dari Kuala Krai hujan mula turun tetapi tidaklah lebat sangat. Kena berhati-hati kerana jalan licin ! Kami tiba di Sentul Villa melewati pukul 12.30 tengah malam.

5 Syawal, Khamis - hubby menghadiri mesyuarat di Ibu Pejabat ABB di Kuala Lumpur. Aku dan Adik bertapa di Sentul Villa. Nak keluar untuk 'window shopping' rasa malas pula! Sebelah petangnya, kami terus balik ke Kuantan.

5 Syawal juga majlis kenduri kahwin anak sepupu. Anak sulung Kak Sah. Terkilan juga kerana tidak dapat hadirkan diri.

Sehari sebelum Syawal menjelma, aku menyambut hari jadi yang ke-47 tahun... tak lama lagi masuk setengah abad...! Pada tarikh yang sama kami juga menyambut ulang tahun perkahwinan yang ke-24. Syukur kepada Ilahi kerana memberi kami kesejahteraan dan kebahagiaan sehingga kini...

Sesungguhnya, Syawal meninggalkan 1001 kenangan ....

Tuesday, September 15, 2009

Nostalgia Balik Kampung Menjelang Hari Raya

Terkenang semasa kami sekeluarga menetap di KL semasa musim raya. Balik kampung pada musim raya merupakan suatu kemestian.

Dulu... semasa anak-anak masih kecil, kami akan bertolak awal pagi, paling lewat pun pada pukul 4.00 pagi untuk balik KB. Tak panas dan tidak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Kami akan singgah sembahyang subuh di masjid Raub. Pernah juga kami bertolak sebelum pukul 12 tengah malam. Kalau hubby mengantuk, dia akan tidur skjb di pertengahan jalan, dlm 10 - 15 minit sebelum meneruskan perjalanan. Kami akan sembahyang subuh di masjid Gua Musang. Masa tu belum ada R & R selepas bandar Gua Musang.

Dari KB ke KL pula, kami akan bertolak awal pagi juga... dlm pukul 3 atau 4 pagi. Anak-anak mudah dikejutkan, dan mereka lebih suka balik awal pagi. Masuk kereta mereka terus tidur, tak adalah nak bising dlm kereta. Kami akan berhenti di Gua Musang untuk solat subuh dan breakfast di Taman Melawati sebelum balik ke rumah di Ampang.

Balik kampung menjelang hari raya memang dinanti-nantikan oleh semua orang. Yang penting selamat pulang dan selamat kembali ke tempat kerja ... Ibu bapa dan sanak saudara pasti ternanti-nanti kepulangan perantau ke kampung halaman.

Sunday, September 13, 2009

Nostalgia menjelang raya... (ii)

Dulu, sehari sebelum raya, iaitu hari 'buat ketupat', nenek Lijah akan buat ketupat palas. Yang paling dinantikan ialah makan pulut 'arung' (pulut yang diarung dengan santan secukup rasa untuk dibungkus dalam daun palas). Nenek akan tinggalkan sedikit untukku untuk dimakan selepas berbuka nanti. Ketupat yang telah dibungkus dengan daun palas itu akan direbus di dalam periuk tembaga (bertelinga) yang besar. Periuk tembaga yang diisi dengan ketupat dan sedikit air ni diletakkan di atas dapur kayu...

(rindunya pada Nenek Lijah... terasa baru sahaja nenek meninggalkan kami, walaupun sebenarnya sudah lebih 15 tahun Nenek Lijah kembali ke rahmatullah...!).

Pada 'hari ketupat' , kami 3 beradik sibuk menolong Mama di dapur. Tolong apa-apa yang patut sesuai dengan usia kami ketika tu. Ada yang mengoreng kacang tanah, selepas tu asingkan kulit 'ari'nya dan ditumbuk hancur (tahun-tahun 70-an belum guna blender..!); ada yang ditugaskan untuk mengacau santan agar tidak berketul-ketul. Kacang yang ditumbuk tadi akan dimasukkan ke dalam santan yang telah 'pecah minyak' untuk dibuat kuah nasi impit. Kami juga akan tolong Mama potong daging untuk dibuat sate. Semua ni dibuat sehari sebelum raya.

Pada malam menjelangnya hari raya, kami mula mencucuk sate dan setelah lewat malam kami akan membakar sate beramai-ramai. Sebelum kerja-kerja membakar sate dilakukan, kami akan bermain bunga api di laman rumah dan memasang lilin di celah-celah pokok bunga.

Mama pula akan menanak nasi untuk dijadikan nasi impit. Mama akan masukkan nasi yang telah masak ditanak itu ke dalam periuk yang telah dialas dengan daun pisang. Nasi tersebut akan ditindih dengan benda yang berat, biasanya alat pengisar (kisar beras utk dijadikan tepung). Selain nasi impit & sate, Mama juga akan sediakan nasi dagang sebagai juadah hari raya.

Pada malam hari raya Mama akan masuk tidur setelah semuanya beres. Biasanya melewati pukul 2 pagi. Kadang-kadang kami akan turut menemani Mama. Yang pasti sebelum tidur kami akan letakkan baju, kasut dan stokin baru di tempat yang mudah untuk kami ambil keesokan paginya. Kami tidur sekejab sahaja, itupun tak lena sangat kerana tak sabar nak bangun untuk menyiapkan diri dan mengenakan baju baru...!

Kenangan semasa zaman kanak-kanak hampir 4 dekad yang lalu... sentiasa menggamit memori setiap kali tiba hari raya.

Nostalgia menjelang raya... (i)



Dulu-dulu...

Menjelang hari raya Mama akan sibuk membuat persiapan untuk keluarga kami. Mama akan jahit baju raya untuk kami, masa tu 4 beradik aje. Kami bertiga (Ciksu masih kecil) pakai baju sama fesyen & coraknya. Boria. Paling kurang 2 pasang mama sediakan. Beli kasut baru dan berstokin net panjang jaring-jaring macam jala ikan. Ataupun stokin biasa hingga ke paras lutut. Sesuai dengan baju mini skirt! Kat kampung masa tu, kami antara yang 'bergaya' semasa hari raya. Maklumlah, tukang jahit sendiri, kreatif pula tu... Siap dijahit manik dan labuci. Lengkap dengan beg kecil sangkut di bahu.. semuanya sama.

Papa pula akan pastikan dinding rumah (luar dan dalam) akan dicat baru. Tapi bukanlah setiap tahun.

Mama juga akan sediakan kuih raya 2 @ 3 hari sebelum raya. Yang selalu mama buat ialah marble cake, ambon (apong), biskut dahlia/ samprit. Buat kek masa awal tahun 70-an tak guna mixer electric, guna manual. Mama akan 'pukul' marjerin + castor sugar sehingga kembang, kadang-kadang sampai dekat 1 jam. Kata Mama, barulah kek akan jadi 'gebu'. Sekarang ni senang, masukkan aje dalam mixer dan dalam masa yang sama boleh buat kerja lain. Mama akan bakar cake tu menggunakan oven empat segi hitam cap butterfly, letak atas dapur minyak tanah. Pertengahan 70-an, barulah guna ovennet elektrik berbentuk bulat tu. Dengan kehidupan kami yang sederhana ni, itulah aje kemudahan yang ada.

Semasa kami bersekolah menengah, kami pula yang sama-sama dengan Mama buat biskut raya... Lepas sahur sebelum bersiap ke sekolah, kami bertiga akan buat; (kadang-kadang berdua aje dengan Noni); lepas balik sekolah buat lagi biskut. Masa tu tengah 'gila' buat biskut raya... Masa adun bahan, seronok lagi, tapi bila time tunggu nak bakar, masa ni tinggallah aku sorang. Kalau tak jaga, rentunglah biskut tu nanti. Banyak jenis biskut juga yang kami buat. Tak ada dalam kamus hidup untuk beli yang dah siap...

(Tapi kini, semuanya ditempah. Kat sekolah tu, macam-macam pilihan ada, pilih aje mana yang berkenan dan sediakan RM... menjana ekonomi katakan. Kalau semua orang buat sendiri, macamana orang berniaga nak hidup .... Aku ada juga tempah dengan Cikgu Fauziah sikit dan dengan Cikgu Ruslina sikit. Rasa dengan Cikgu Roslina T.Arus pun ada sikit. Sikit + sikit + sikit = banyak juga. Yelah, buah tangan utk hari raya di kampung...)

Tuesday, September 8, 2009

Indahnya laman rumah Mama



Terkenang kisah dulu-dulu menjelang Aidilfitri...

Hujung minggu terakhir menjelang hari raya, kami 3 beradik membantu Mama membersihkan halaman rumah. Rumput di dalam pasu bunga dan di sekitarnya dicabut. Mama akan mencantas pokok-pokok bunga yang didapati tidak kemas.

Di halaman rumah Mama sejak dahulu sehingga sekarang penuh dengan pokok bunga... Pelbagai jenis & spesis. Kini, selain pokok bunga, Mama juga banyak menanam pokok-pokok herba di dalam pasu.

Masih kuingat lagi, Aku, Kak Ros dan Noni akan mulakan kerja-kerja membersihkan halaman rumah awal pagi, sebelum matahari terik. Kalau dah lewat, penat dan dahaga pula kerana berpuasa... Kami 'diberi' kepada kawasan masing-masing untuk 'dijaga'. Dah tahu dah mana tempatya. Kami akan pastikan kawasan tersebut betul-betul bersih. Dah jadi rutin.

Sebenarnya, kami akan menyapu sampah (daun-daun kering yang gugur - daun daripada pokok bacang...) pada setiap pagi, jika hari cuti @ cuti sekolah, tidak semestinya ketika menjelang hari raya. Waktu petang pula, kami ditugaskan untuk siram pokok bunga. Kerja-kerja ini aku dan Noni yang buat dan ada kawasan masing-masing.

Dulu halaman rumah Mama agak luas. Kini, setelah beberapa kali jalan raya lebarkan, ditambah pula dengan sedikit renovation pada rumah Mama, laman rumah menjadi semakin kecil. Muat untuk parking 2 buah kereta sahaja...! Itupun sudah bersimen. Tak ada lagi tempat untuk rumput tumbuh.

Jadi, semua aktiviti kami dahulu, kini hanya tinggal kenangan.

Friday, August 28, 2009

Nostalgia Ramadhan di Pekan


Mei 1986. Aku melaporkan diri di SMK Ahmad, bandar Diraja Pekan beberapa hari sebelum Ramadhan menjelang. Ini merupakan penempatanku yang pertama sebagai PPPS.

Walaupun semasa masih menuntut aku pernah berjauhan dengan keluarga di bulan Ramadhan, namun kali ni berbeza sekali.... Di Pekan, dalam keadaan sarat mengandung anak pertama, aku hanya ditemani oleh Makcik Esah. Makcik Esah yang berasal dari sebuah kampung jauh nun di pedalaman Jeli, mempunyai hubungan rapat dengan keluarga mertua. Pada waktu itu, hanya Makcik Esah yang boleh menemani aku di Pekan kerana ibu mertua - Mek Kiah terpaksa menunggu (arwah) ayah mertua di hospital Tanah Merah. Mama pula diperlukan di rumah kerana adik-adik masih kecil. Hubby waktu itu, memang bekerja di KB.

Berpuasa berdua dengan Makcik Esah tidak menjadi masalah kepadaku. Makcik Esah sangat mengambil berat tentang keperluanku... Waktu bersahur, aku dikejutkan oleh Makcik Esah dan kami sama-sama menjamu selera (walaupun sebenarnya taklah berselera sangat...!). Waktu sahur, Makcik akan bertanya apa juadah yang aku nak makan masa berbuka nanti. Selalunya, aku akan minta tolong jiran sebelah rumah (dah lupa nama...juga orang KB) membeli bahan basah untuk dimasak oleh Makcik. Pernah suatu hari Makcik pergi mencari pucuk kayu untuk dijadikan kerabu, hingga sampai ke gelanggang Polo.

Pada hujung minggu, Makcik akan mengajak aku ke Pekan Sehari. Kami berjalan kaki ke sana, Jaraknya 1km lebih jg dari rumah sewa kami. Walaupun dalam keadaan sarat mengandung, tak terasa sangat penatnya sebab waktu tu aku masih muda belia... Sempatlah 2 kali berjalan kaki ke Pekan Sehari...! Aku akan belikan Makcik apa-apa yang dia berkenan untuk dibawa balik menjelang Aidilfitri kelak.

Beberapa hari sebelum menjelang Syawal, Abg Aziz (arwah) yang menetap di KL, singgah di Pekan untuk membawa aku dan Makcik balik ke kampung. Sekolah akan dibuka semula pada hari Isnin minggu berikutnya. Sarat kereta Subaru Abg Aziz. Aku membawa balik semua keperluan 'baby' kerana aku dijangka akan bersalin dalam tempoh yang terdekat. Aku memaklumkan kepada Pengetua, walaupun aku belum bersalin sehingga sekolah dibuka, aku tetap tidak akan kembali ke Pekan selepas Aidilfitri nanti....

Alhamdulillah, dalam umat Islam masih meraikan kemeriahan Aidilfitri, aku selamat melahirkan putera sulungku pada hari Ahad, 22 Jun 1986, sehari sebelum sekolah dibuka! Maka akupun terus bercuti panjang....

(Nota : Hari ke-10 cuti bersalin, aku mendapat surat dari KPM permohonanku bertukar sekolah ke Kelantan telah diluluskan. Aku telah melaporkan diri di SMK Puteri, KB pada 1 Ogos 1986).





Tuesday, August 25, 2009

Kisah Pisang

Pisang (nama botani: Musa spp.) merupakan sejenis tumbuhan yang tergolong dalam famili Musaceae.

Pisang mempunyai buah yang sedap dan lazat serta mudah ditanam. Di Malaysia, kultivar seperti pisang mas, berangan, cavendish dan rastali ditanam untuk dimakan segar. Kultivar seperti pisang nangka, raja, lang, relong, tanduk, nipah dan pisang awak pula sesuai untuk dimasak atau diproses sebagai makanan ringan. Pisang yang pada mulanya merupakan sejenis tumbuhan liar di Asia Tenggara, kini telah dikomersialkan.

Semasa balik kg baru2 ni, Papa bekalkan pisang kelat keling @ pisang rastali yang belum 'masak' benar untuk dibawa balik ke Kuantan. Mama kata, perlu diperam dulu. Esoknya, pisang tu dah boleh dimakan. Buah pisang kelat keling ni besar-besar. Papa ambil dari pokok pisang di depan rumah Kak Ros. Di rumah Mama pun bukannya ada orang yang nak makan...

Sebelum tu, Papa bagitahu, pokok pisang di tanah tapak rumah di Kg. Parit Cina, Salor telah masak ranum. Pisang (jelai) berangan. Buahnya Papa kata elok sangat. Papa bawa balik ke rumah dan dapat pula dihidangkan kepada tetamu semasa majlis cukur jambul baby Kakak Melisa baru-baru ni.

Hubby pula setiap kali bulan puasa, tak sah kalau tak ada pengat atau sira pisang. Jadi kalau dia ke Pasar Ramadhan, itulah juadah yang dicari dulu.

Rezeki... berbudi kepada tanah, dapat juga makan hasilnya...

Monday, August 24, 2009

Ahli Baru Keluarga Nik Zakiah


Pada malam Jumaat, 20 Ogos lepas, Mek Kiah telah menerima menantu baru dan bertambahlah ahli dalam keluarga kami. Semuanya berlangsung tanpa dirancang. Allah s.w.t sahajalah yang berkuasa menentukannya.

Kebetulan kami boleh balik awal kerana sekolah ditutup awal... kalau tidak, selepas sekolah hari Jumaat barulah kami boleh balik ke kampung.

Hubby, salah seorang saudara lelaki dalam keluarga, bertanggungjawab untuk mewalikan pernikahan Su Aynun dengan Che Rahim b. Che Omar. Akhirnya, terbuka juga hati Su Aynun untuk membina mahligai baru setelah lebih 15 tahun menggalas tanggungjawab sebagai ibu tunggal. Kami berasa sangat terharu dan gembira, sekurang-kurangnya ada orang yang boleh menjaga Su dan juga Mek jika sakit demam. Anak-anak lelaki Mek berada jauh diperantauan atas sebab tugas.

Sebenarnya, tanggungjawab menjaga Mek terletak atas bahu 3 orang puteranya, tetapi Su Aynun yang tinggal bersama Mek telah banyak berkorban untuk menjaga Mek di kampung ... Selain itu, Su juga berkorban untuk membesarkan anak saudara yang menjadi yatim piatu setelah kehilangan ummi (birasku) semasa berusia 4 bulan, dan 4 tahun selepas itu, abahnya (abang iparku) pula pergi menyahut panggilan Ilahi....Kini, NADHIRAH sudah bersekolah dalam darjah tiga!

Kami sentiasa memberi sokongan kepada Su untuk memulakan hidup baharu.

Selamat Pengantin Baru, Su. Semoga kekal bahagia sehingga akhir hayat...

Tuesday, August 18, 2009

Permata Hati Tok Pa & Tok Ma




























23 tahun yang lalu, Mama & Papa menerima cucu yang pertama. Seorang putera.

Kehadiran cucu lelaki pertama ini menceriakan keluarga besar kami. Apa taknya, anak-anak Mama & Papa yang seramai 8 orang semuanya puteri. Setahun selepas itu, hadir 2 orang cucu lagi, seorang putera dan seorang puteri. Selang 2 tahun kemudiannya, hadir seorang lagi cucu Mama & Papa, memeriahkan lagi keluarga kami. Cucu yang keempat ini ialah seorang puteri.

4 orang cucu dengan pelbagai ragam dan peel menghidupkan suasana di rumah Mama & Papa, terutama menjelangnya lebaran. Keempat-empat mereka ini dimanjai oleh makcik-makciknya yang hampir sebaya itu, sehingga sekarang.... termasuklah Along Tasha, Bi, Eka, Aiman... ! Yang lain-lain tu masih kecil lagi...

Semua cucu Mama & Papa yang hadir selepas itu cukup mewarnai hidup keluarga kami... Cucu Mama & Papa yang paling bongsu belum pun sampai sebulan usianya.

Permata hati Tok Pa & Tok Ma :

1) MOHD FARIS B. NAIN (Jun 1986)

2) MOHD FAHMI B. NAIN (Jun 1987)

3) AINA ZAIREYNNA BT. MD ZAINUDDIN (Dis 1987)

4) SITI NADIAH BT. NAIN (Julai 1989)

5) NATASHA ALIA BT. SAHAZALI (Sept 1995)

6) AIN HAFEEZA FITREYNNA BT. MD ZAINUDDIN (Jan 1997)

7) SHAWALTUL NAJWA BT. SAHAZALI (1998)

8) NURUL HANIS SHAFIQAH BT. SAHAZALI (2001)

9) AIMAN SYAKIR B. MOHD AZEMI (Disember 2004)

10) TUAN MOHD AFIQ HAIKAL B. TUAN SANI (April 2006)

11) NURUL SYAMIMI FARIHA BT. JAILANI (Jun 2006)

12) TUAN BALQIS AISYA BT. TUAN SANI (Februari 2009)

13) NURUL HUSNINA SUFFIA BT. JAILANI (Julai 2009)

* Ya, Wan, Along - tolong betulkan maklumat di atas...

Sunday, August 16, 2009

Hujung Minggu yang Padat


Selama lebih sebulan, hujung minggu kami padat dan agak memenatkan...

Bermula pada 8 Julai 2009 - Hari Anugerah Kecemerlangan Akademik & Hari Pelaporan di sekolah. Lepas tu terus ke Jengka, jumpa adik dan bermalam di Mercu View Resort.

Petang Rabu (22/ 7- 26/7/2009) ke KL kerana Abe dimasukkan ke PUSRAWI. Habiskan hujung minggu bersama Abe di KL. Minggu berikutnya, 1/8/2009 ke KL lagi kerana Abe masih di PUSRAWI dan dia dibenarkan keluar pd 2/8/2009, terus bawa Abe balik ke Kuantan .

Sabtu berikutnya, 8/8/2009 bawa Abe sekali lagi ke PUSRAWI untuk rawatan susulan. Terus balik pada hari yg sama. Kebetulan Emi balik ke Kuantan kerana pd hari Jumaat dia ada lecture di HTAA. Adik pula bersama MPP UiTM Pahang ada program Khidmat Masyarakat di surau Indera Mahkota 5, Kuantan. Jadi, kami ambil keputusan utk tidak bermalam di KL, terus balik ke Kuantan utk bersama Emi & jumpa Adik . Keesokan harinya, pergi jumpa adik di surau IM5.

Adik ajak ke PC Fair, katanya nak beli notebook cool pad. Pada mula kami agak keberatan utk pergi memandangkan situasi H1N1 di Kuantan akhir-akhir ini agak membimbangkan! Tetapi demi memenuhi permintaannya, kami pergi jg dengan agak berhati-hati....

Sampai di PC Fair Mega Mall, bukan Notebook cool pad saja yang dia nak, tapi beberapa benda lain lagi. Bila tel tanya Abe apa yang dia nak, dia kata nak notebook cool pad jg. Emi pula bila ditanya, nak notebook cool pad dan pen drive (dia kata 4GB pn tak apa...!). Saya sendiri pula ambil kesempatan utk beli external (sebenarnya dah lama nak beli, ttp tertangguh...) Nak simpan fail kerja2 sekolah sebagai back-up ! Jadi hari tu, daripada nak beli 1 notebook cool pad, dah jadi 3 + pen drive + ear phone + mouse + external 250GB. Fening...fening....!!!!

Apabila bawa balik ke rumah, rupa-rupa ada miscomunication - Emi kata dia ada beritahu via phone bahawa Abe nak external baru. Yang dia ada sekarang hanya 80GB, jadi dia nak yang lebih besar. Tak perasan pula bila masa Emi beritahu ketika menelefon dia. Jadi, terpaksalah bagi yg baru tu kpd Abe, dan yang 'antik' tu tu saya ambil. (sebenarnya pd asalnya, Adik yg punya, bila dia dibeli yang baru, yg itu diberi kpd Abe...)

Hujung minggu ini 15/8/2009, sekali lagi kami ke KL bawa Abe utk follow -up di PUSRAWI. Kami bertolak awal pagi selepas singgah di sekolah sekejab. Sabtu baru ni merupakan hari persekolahan ganti untuk cuti Deepavali. Selepas selesai semua urusan, kami terus balik, dptlah rehat di rumah sepuas-puasnya hari ini! Next appointment dengan doktor ialah pada 12 Sept 2009, seminggu sebelum raya. Harap-harap masa tu Abe dah pulih 100%. Bolehlah dia jadi driver utk auntie & cousin dia yg nak balik beraya di kg...he..he..

Minggu depan, hari Jumaat 21/8/2009 hari akhir persekolahan pertengahan semester kedua. Lepas sekolah hajat hati nak balik KB, jengok kedua-dua orang tuaku termasuk ibu mertuaku. Dah lama tertangguh kerana terpaksa berulang-alik ke KL. Minggu depan juga bermula bulan Ramadhan. Jadi sempatlah berpuasa dengan Papa, Mama & Mek Kiah sehari dua. Tak boleh balik lama walaupun cuti sekolah 1 minggu sebab hubby kena reserve cuti utk hari raya. Lagipun, minggu depan Emi tidak akan ke Hospital Temerloh, dia akan menjalani praktikal di HTAA utk satu minggu. Kenalah bersama dia, bolehlah kami bersahur & berbuka bersama...!

Hujung bulan bersambung cuti hujung minggu + Hari Kebangsaan, mungkin Adik balik ke Kuantan. Mungkin dia balik dengan kawan baik dia Che Wan Fatin. Jadi, dapatlah bersahur & berbuka bersama Adik 2 @ 3 hari tanpa perlu ke Jengka & bermalam di Mercu View !

Foto : Papa, Mama & Mek Kiah

Monday, August 10, 2009

Lega... dah siap edit...

Setelah lebih kurang seminggu, baru sekejab tadi aku dapat siapkan mengedit soalan latih tubi Sejarah Ting. 3. Setelah edit, terhasillah sebanyak 112 muka surat untuk 709 soalan. Kalau tak edit, pasti 3 kali ganda bertambah helaian kertas...! Lega rasanya. Cuti nanti bolehlah hantar untuk dicetak.

Soalan-soalan ini akan diberi kepada murid-murid selepas Trial nanti. Walaupun aku ajar 2 kelas (3K12 & 3K4), namun aku sediakan juga soalan ni - kalau ada kelas-kelas lain yang nak guna sama.

Thursday, August 6, 2009

Main Kutu


Kutu...kutu...kutu... Bukan kutu di kepala tetapi kutu yang menjadi amalan sebahagian besar daripada kita. Main kutu ini bukanlah suatu yang baru dalam hidup kita, sebaliknya sudah Justify Fullmenjadi amalan sejak lama dahulu.

Sebenarnya, beberapa orang sarjana antropologi telahpun membicarakan tentang "kutu" ini dalam buku mereka. Antaranya ialah M.G Swift di Jelebu, Negeri Sembilan, dan Mokhzani di Perlis.

Istilah "kutu" ini berasal dari istilah Tamil iaitu "kutthu" (Mokhzani, 1973:363). 'Kutu' terbahagi kepada 2 jenis, iaitu kutu wang dan kutu barang-barang. Secara asasnya, kutu dimainkan oleh sekumpulan individu yang akan meletakkan sejumlah wang tertentu (secara mingguan/ bulanan), dan wang yang dikumpulkan akan diberikan kepada individu dalam kumpulan tersebut mengikut giliran.

Amalan bermain kutu ini sudah banyak berubah dan mengalami anjakan paradigma yang begitu menonjol. Jika dahulu ia menjadi amalan wanita-wanita di desa, kini wanita di bandar adalah yang paling banyak terlibat. Jumlah wang yang terlibat juga bukan sedikit nilainya, hingga ada yang mencecah sehingga ribuan ringgit.

Melalui kutu wang, ahli-ahlinya dapat menabungkan wang mereka dalam satu kumpulan yang agak besar. Kutu dianggap sebagai suatu cara untuk menyimpan atau membeli sesuatu barangan dengan cara yang mudah. Misalnya, dengan menyimpan RM100, hatta RM10.00 sekalipun bukanlah mudah. Tetapi dengan bermain kutu mahu atau tidak kita perlu menjelaskan jumlah wang yang ditetapkan, dan yang seronoknya dalam masa yang ditetapkan kita akan dapat sejumlah wang seperti mana yang kita inginkan.

Selain itu, main kutu tanpa disedari dapat membina jati diri seseorang dengan menjadikan mereka yang terlibat dalam permainan ini lebih berdisiplin, jujur, amanah, bertanggungjawab dan bekerjasama.

Di SMKTP, main kutu merupakan 'acara' yang ditunggu-tunggu pada setiap awal tahun. Ramai yang ingin menjadi pesertanya. Kalau lambat, nampaknya kena tubuh pasukan baru. Ibu kutu yang paling sibuk di SMKTP ialah Cik Fuziellah - menjadi 'ibu' untuk 40 orang 'anak' ...! Satu unit bernilai RM200.00. Aku juga tidak ketinggalan untuk mengambil bahagian pada setiap musim. Di sini bukan sahaja golongan wanita, malah beberapa orang guru lelaki juga mengambil bahagian dalam permainan ini...

Harap-harap tahun depan Zie akan terus jadi 'ibu kutu' yang produktif....

Foto : 'Ibu Kutu' bersama sebahagian daripada 'anak-anak'nya...

Wednesday, August 5, 2009

Buah Perah


Lama tak terdengar sebutan 'buah perah'.

Pagi tadi di kantin, Hjh F dan Mr A bercakap-cakap pasal buah perah. Rupa-rupanya Mr. A bawa selepas balik bercuti hujung minggu di kampungnya di Kuala Berang yang permai itu... Rupa-rupanya ramai juga peminat buah perah ni... atau yang tahu kewujudannya dan pernah merasai 'keunikan' serta 'keenakan' buah yang sudah hampir dilupakan oleh generasi muda hari ini.

Dulu, masa kecil-kecil selalu juga makan buah perah. Apabila Mak Aji atau Mak Yam yang mudik ke Ulu Kelantan untuk melihat kebun getahnya di sana, mereka akan bawa balik buah perah sebagai 'buah tangan' di samping hasil hutan yang lain seperti petai .... Kebunnya terletak di Kg. Lubuk Bongor, dalam daerah Dabong, Ulu Kelantan. Tahun-tahun 70-an memang susah untuk ke sana. Mereka akan mudik menggunakan pengangkutan air.

Sebenarnya, kita tak boleh makan banyak buah ni dalam satu masa. Jika makan banyak, boleh membuatkan kepala kita rasa berpusing-pusing. Ada orang kata, seelok-eloknya jangan lebih daripada 12 biji sekali makan. Patutlah Mr. A masukkan hanya 12 biji buah perah dalam bungkusan plastik tadi...

Buah perah yang dikategorikan sebagai buah nadir ni sebenarnya hanya terdapat di kawasan pedalaman. Bagi memastikan agar buah nadir ini tidak dilupakan oleh generasi hari ini, POS Malaysia Bhd. telah memilih buah perah (selain buah cermai, setol, dll) untuk dijadikan setem (kategori buah-buahan nadir) yang bernilai 30 sen.

Bila? Tak ingat dah.....