Sunday, March 21, 2010

Sungai Buloh & Kenangan (3)




MENGENANG TRAGEDI KILANG MERCUN MELETUP…

Letupan paling kuat dan dahsyat dalam sejarah Malaysia berlaku pada petang Selasa, 7 Mei 1991 di Sungai Buluh, Selangor. Anggaran Masa Letupan ialah pada pukul 3.45 petang yang mengorbankan 26 orang di samping 83 orang yang cedera. Jumlah Kutipan Derma Tabung Bencana dianggarkan sebanyak RM935,688.18

Kekuatan letupan dan kesan kemusnahan yang dihasilkan menyebabkan tragedi itu turut digelar ‘Hiroshima Sungai Buluh’ berikutan ledakan menggegarkan itu diibaratkan seakan-akan peristiwa bom atom dijatuhkan pesawat Amerika ke wilayah Jepun itu semasa Perang Dunia kedua.
Begitulah andaian kesan letupan 200 tan belerang yang berpunca dari sebuah kilang mercun di kawasan itu sehinggakan percikan bunga api dan serpihan bertebaran jauh malah kesan gegaran dirasai sehingga tujuh kilometer dari lokasi tragedi. Bunyinya yang kuat bagaikan letupan bom berkuasa tinggi dan kesan gegarannya memecahkan cermin tingkap rumah di bandar Seri Menjalara dan Selayang, yang terletak kira-kira tujuh kilometer jauhnya dari kilang itu.

Jika kawasan sejauh itu mampu musnah dan rosak, dapatkan anda bayangkan keadaan mangsa yang berada hanya beberapa kaki dari bahan letupan itu ketika ia meletup?


Tragedi kilang mercun itu meninggalkan kesan sejarah besar kepada negara, sekali gus mengubah polisi negara untuk terus mengharamkan sebarang aktiviti mercun termasuk sempena perayaan walaupun sebelum ini dibenarkan malah dihasilkan kilang di negara ini. Cerita tragis itu bermula kira-kira jam 3.45 petang apabila tanpa diduga, secara tiba-tiba saja satu letupan besar terhasil dari satu kawasan di dalam kilang itu. Bukan sekali, letupan kedua seterusnya menyusul kira-kira 10 minit kemudian.

Sengsara itu masih belum berakhir apabila letupan ketiga dan yang paling kuat, berlaku jam 4 petang dan dirasai lebih empat kilometer. Lebih 20 letupan kemudian terus berlaku sehingga kepulan asap yang dipercayai paling dahsyat dalam sejarah negara boleh dilihat dari jarak lapan kilometer. Berpuluh-puluh pekerja yang kebanyakannya baru memulakan sesi tugas petang pada 45 minit sebelum itu kelihatan menyerbu pintu keluar kilang bagi menyelamatkan diri daripada dibakar rentung atau terus hancur akibat letupan berkenaan.

Kekuatan letupan itu memang menakutkan, ia menggegarkan kawasan sekeliling menyebabkan banyak rumah runtuh atau terbakar. Bukan sekadar rumah, beberapa kilang termasuk kilang makanan haiwan, kilang papan dan kilang bahan pewarna makanan yang berada berdekatan turut terbakar. Berpuluh kenderaan termasuk kereta dan motosikal musnah. Letupan itu turut menggemparkan penduduk sekitar termasuk anggota tentera di Kem Tentera Sungai Buluh yang hanya terletak kira-kira 300 meter dari kilang berkenaan. Keadaan kelam-kabut terus berlaku apabila penduduk dan beberapa pihak yang berada berhampiran kilang melarikan diri bagi mengelak terkena serpihan batu, batang kayu dan besi yang berterbangan akibat letupan itu selain bahang api.

Beberapa pihak yang gagal menyelamatkan diri akhirnya cedera terkena serpihan dan api itu.
Kemalangan jalan raya turut berlaku sewaktu pemandu bergegas menyelamatkan diri ketika kebakaran ini. Seorang wanita cedera di kepala apabila terlanggar sebuah kereta di jalan raya dalam cubaan menyelamatkan diri itu. Selepas letupan demi letupan itu semakin berkurangan, kedengaran raungan kesakitan di mana-mana. Berpuluh-puluh mangsa berlumuran darah merah, manakala ratusan orang ramai mula memenuhi kawasan kejadian untuk mencari sanak-saudara yang dikhuatiri menjadi mangsa tragedi. Wajah cemas dan sugul mengiringi pertanyaan demi pertanyaan yang diajukan kepada sesiapa saja yang dijumpai untuk mengetahui nasib sanak-saudara masing-masing yang bekerja di kilang berkenaan. Bimbang mereka jika insan disayangi menjadi korban tragedi itu. Tangisan dan raungan semakin kuat kedengaran tatkala melihat keadaan ngeri mangsa yang rentung dan sudah tidak lengkap anggota badan dibawa keluar dari bangunan kilang yang hangus terbakar.

Lapan jentera bomba termasuk dua dari Kem Tentera Sungai Buloh, Wilayah Persekutuan(2), Petaling Jaya (2) dan masing-masing sebuah dari Damansara Utama dan Shah Alam tiba seketika kemudian untuk memadamkan kebakaran dan menyelamat mangsa.


Lebih 50 anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran dalam kepayahan lantaran pelbagai masalah timbul. Tekanan air terlalu rendah, pili jauh, api merebak terlalu cepat, angin kencang serta beberapa letupan menghalang tugas memadam dengan lebih mudah. Apabila pasukan bomba tiba, api sudah merebak ke tiga buah rumah berhampiran kilang. Akhirnya pasukan bomba terpaksa menggunakan air yang dibawa sendiri dan selepas bertungkus lumus selama dua jam, mereka akhirnya berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah lain di sekitar kawasan berhampiran.

Sembilan ambulans dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), lima dari Hospital Sungai Buloh berulang alik mengangkut mangsa yang parah untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Keprihatinan orang ramai menyebabkan ada mangsa dibawa ke hospital menggunakan lori dan van dalam keadaan berlumuran darah.

Walaupun kebakaran sudah dipadamkan, anggota bomba tidak dapat meneruskan operasi mencari mangsa dengan mudah kerana khuatir letupan akan kembali berulang berikutan masih ada tiga tempat simpanan letupan bawah tanah di kilang itu. Dua daripada stor simpanan itu sudah meletup dengan meninggalkan kesan seperti kawah sedalam kira-kira enam meter.

Bomba dan pasukan penyelamat lain terus memantau keadaan di tapak kilang itu sehinggalah ke malam. Api menyala semula di beberapa bahagian bangunan itu kira-kira jam 2.30 pagi dan anggota bomba terpaksa menyembur air bagi memadamkannya.
Bagaimanapun, sehingga jam 5 pagi, tiada lagi letupan berlaku.

Sehari selepas letupan, gerakan mencari yang dilakukan bomba menemui 21 mayat yang terbunuh dalam tragedi letupan dan kebakaran kilang mercun di Sungai Buluh itu. Satu daripada mayat itu iaitu seorang ahli kimia dari Hong Kong yang bekerja di kilang itu, rentung. Pemeriksaan awal juga mendapati 83 orang cedera dan dirawat di beberapa buah hospital sekitar Kuala Lumpur. Polis juga menerima aduan mengenai kehilangan enam orang penduduk tempatan. Selain itu, 37 buah rumah dan kilang serta tujuh buah motosikal musnah dalam kejadian ngeri itu.

Polis bagaimanapun mengalami kesukaran mengesan jumlah sebenar pekerja yang hilang dalam letupan itu berikutan majikan tidak mempunyai daftar kehadiran tugas harian dan ada pekerja kilang berhampiran yang cedera atau belum melaporkan diri. Kemudian satu persatu kisah yang terselindung di sebalik tragedi itu mula terbongkar. Kilang mercun dan bunga api itu disahkan beroperasi secara haram sejak 1978 malah ia juga bertindak menyalahi undang-undang apabila menggaji pekerja di bawah umur!

Siasatan juga mendapati kebakaran di kilang mercun itu disahkan berpunca daripada bahagian makmal yang menjalankan kerja-kerja menguji mercun yang siap untuk dipasarkan. Ia berpunca daripada kelalaian pihak kilang yang menjalankan ujian bunga api di luar tempat khas sehingga terkena longgokan simpanan mercun dan bunga api yang terletak berhampiran seterusnya letupan semakin merebak.

Keadaan semakin sukar dikawal ketika kebakaran berlaku kerana tiada usaha awal memadamkan api dan juga peralatan pencegahan kebakaran tidak disediakan secukupnya di kilang itu.
Hari ketiga gerakan mencari mangsa dijalankan, pasukan penyelamat menghadapi ancaman baru berikutan hujan lebat selama sejam kira-kira jam 2.30 petang menyebabkan berlakunya tindak balas kimia di lokasi letupan sehingga menghasilkan gas beracun.

Keadaan itu menyebabkan kira-kira 200 orang anggota penyelamat diarahkan beredar dari kawasan itu kerana khuatir gas itu memberi kesan kesihatan terhadap mereka di samping mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Bagaimanapun, penyebaran gas beracun itu semakin buruk sehingga menyebabkan lebih 50 anggota pasukan penyelamat dilaporkan mengalami kesukaran bernafas, bengkak dan gatal di muka, tangan dan badan kerana terkena gas beracun itu.

Kemudian operasi diteruskan dengan anggota penyelamat terpaksa mengenakan topeng gas dan pakaian khas. Pasukan penyelamat juga menggunakan dua jentolak bagi membersihkan tapak kilang.
Pada 16 Mei, pihak berkuasa melancarkan ‘Operasi Api Buluh’ untuk membersih dan memindahkan sisa bahan kimia dari kilang berkenaan. Dalam operasi itulah, petugas menjumpai beberapa lagi mayat dalam keadaan yang mengerikan, iaitu hangus terbakar sehingga menjadi rangka dan tengkorak di kawasan letupan dan jumlah mangsa terkorban dalam tragedi itu meningkat kepada 26 orang.

Walaupun sudah beberapa hari berlalu, gas toksid masih tidak menghilang, malah semakin merebak kepada penduduk berhampiran. Tujuh anggota penyelamat turut pengsan selepas tersedut gas itu.
Keadaan semakin bahaya apabila walaupun sudah masuk hari ke-11, masih terdapat bara api yang muncul di tapak letupan itu tetapi ia berjaya dikawal oleh pihak berkuasa yang segera memadamkannya.

... ketika tragedi itu hangat diperkatakan, terdengar desas-desus bahawa kilang mercun Bright Sparklers, Sg Buloh. yang beroperasi secara haram ini milik VVIP negara suatu ketika dahulu. Sejauh manakah kebenarannya….

Wednesday, March 17, 2010

Sungai Buloh & Kenangan (2)


Kusta & Pusat Kawalan Kusta Negara....

84 tahun yang lalu, di lembah Bukit Lagong, Sungai Buloh, Selangor , sekumpulan masyarakat Melayu, Cina, India dan Eurasians telah menjadi sebahagian daripada penghuni di sini...

`Valley of Hope’ atau penempatan pesakit kusta ini mula ditubuhkan pada tahun 1926 di atas tanah seluas 500 ekar. Tujuannya adalah untuk mengasingkan pesakit-pesakit kusta daripada masyarakat sepanjang mereka mendapat rawatan di sini.

Menurut Wikipedia, penyakit kusta atau juga dikenali sebagai penyakit Hansen, merupakan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh jangkitan Mycobacterium leprae. Nama penyakit Hansen datang daripada orang yang menjumpai Mycobacterium leprae, G. A. Hansen. Pengidap penyakit Hansen biasanya dipanggil pesakit kusta atau dalam bahasa Inggeris lepers, walaupun penggunaan istilah lepers semakin ditinggalkan kerana jumlah pesakit yang berkurangan dan sebagai mengelak stigma buruk yang dikaitkan dengan pesakit kusta.

Kusta dahulunya tidak dapat diubati dan amat mencacatkan. Pesakit kusta akan disingkir dan dikurung di penempatan kusta. Pada masa kini, kusta mudah dirawat dengan menggunakan terapi pelbagai antibiotik. Selain manusia, haiwan lain yang diketahui mengidap kusta adalah armadillo.

Penyakit ini disebabkan oleh basilus yang membiak amat perlahan dan kebanyakkannya menjejaskan kulit, saraf, dan membran mukus. Organisma ini tidak pernah dibiakkan dalam media bakteriologi atau kultur sel, tetapi telah dibiakkan dalam tapak kaki tikus.

Kaedah penularan kusta kekal tidak jelas. Kebanyakan penyiasat beranggapan bahawa M. leprae disebarkan dari seseorang kepada seseorang dalam titisan pernafasan. Apa yang diketahui, kadar penularan adalah amat perlahan.

Penyakit jangkitan kronik ini biasanya memberi kesan kepada kulit dan saraf pinggir tetapi mempunyai manifastasi klinikal yang luas. Pesakit dikelaskan sebagai mempunyai penyakit kusta pausibakilari atau multibakilari. Penyakit pausibakilari adalah serdehana dan bercirikan satu atau lebih makules kulit hipopigment. Penyakit kusta multibakilari dikaitkan dengan lesion kulit sekata, nodule, lendir (plaques), kulit menebal, dan peningkatan lendir hidung menyebabkan hidung tersumbat dan epistaxis (hidung berdarah).

Sg Buloh merupakan pusat penempatan pesakit kusta atau Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) yang terbesar di tanah jajahan British sejak penubuhannya pada tahun 1926, dan yang kedua besarnya di dunia. Pusat ini dilengkapi kemudahan asas yang terancang berdasarkan 'garden city', yang merupakan projek 'pioneer' bagi memulihkan pesakit kusta dan melatih mereka berdikari...

Dengan penemuan ubatan dan perawatan penyakit ini, pesakit-pesakit kini tidak lagi perlu terasing daripada masyarakat. Lalu fungsi pusat rawatan ini telah dinaiktarafkan menjadi Hospital Daerah pada tahun 1971, dengan panggilan Hospital Daerah Sungai Buloh.

Semenjak tahun 1971 sehingga awal 2000, penambahbaikan telah dilaksanakan terhadap wad-wad utama di bahagian barat Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) ini. Namun begitu, wad-wad di bahagian timur masih kekal wujud sebagaimana awal penubuhannya. Selepas pembukaan Hospital Sungai Buloh yang baru pada September 2006, PKKN sudah tidak berfungsi sebagai Hospital Daerah lagi. Yang tinggal di wad-wad PKKN sekarang hanyalah pesakit HIV / AIDS, pesakit kusta dan bekas pesakit kusta.

Hari ini, PKKN sudah berfungsi sebagai `step down hospital’ untuk membantu Hospital Sungai Buloh yang baru, iaitu bagi rawatan pesakit selepas fasa acute. Demi menjayakan fungsi ini sebagai `step down hospital’ atau `extended care facility’, Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan bersetuju untuk melaksanakan pembangunan secara terancang ini dalam Rancangan Malaysia Ke9. Antara komponen-komponen projek RMK-9 yang dirancangkan ialah: merekabentuk, membina dan menyiapkan kompleks kediaman bekas pesakit kusta.

PKKN ini merupakan warisan sejarah negara. Meskipun pembangunan akan dilaksanakan, pihak Kementerian akan berusaha sedaya mungkin mengekalkan keunikan pusat ini kerana Pusat Kawalan Kusta Negara Malaysia di sini merupakan satu-satunya Pusat Kawalan Kusta di rantau ini.

Sehingga tahun 2009, bilangan penghuni pesakit dan bekas pesakit kusta di sini semakin berkurangan, iaitu daripada 398 orang pada tahun 2002 kepada 268 orang sekarang. Daripada bilangan 268 ini, seramai 129 orang di tempatkan di chalet PKKN, dan selebihnya dirawat di wad PKKN. Dari sudut pecahan bangsa, terdapat seramai 28 orang berbangsa Melayu, 233 orang berbangsa cina dan hanya 7 orang berbangsa India. Antara kemudahan yang disediakan untuk pesakit ialah plot-plot tanah di laman chalet pesakit untuk menjalankan aktiviti rehabilitasi, iaitu `Nursery Flower Growing’ untuk sumber pendapatan mereka.

Mereka yang berada di sini sebenarnya sudah sembuh sepenuhnya daripada penyakit kusta. Mereka sebenarnya sudah boleh pulang ke pangkuan keluarga dan masyarakat, tetapi dek stigma yang ada pada masyarakat dan diri pesakit yang merasa inferior, maka mereka terus kekal di sini sehingga akhir hayat mereka.

Sejak penubuhannya pada 1926, Sg Buloh merupakan pusat penempatan pesakit kusta yang terbesar di tanah jajahan British dan ramai yang tidak tahu bahawa pusat ini adalah satu-satunya kawasan yang mempunyai mata wang sendiri pada sekitar 1930-an, setelah wujud kebimbangan orang ramai bahawa akan berlaku jangkitan akibat sentuhan penghidap kusta

Kini, Sungai Buloh lebih dikenali sebagai tempat bekalan pokok bunga dan pokok hiasan berbanding dengan pusat kawalan kusta pada suatu ketika dahulu….

... entri seterusnya ... tragedi kilang mercun meletup....

Tuesday, March 16, 2010

Sungai Buloh & Kenangan... (1)



Hujung minggu lepas, 2 hari berturut-turut 13 & 14 Mac, kami ke Sg Buluh. Bukan untuk membeli bunga di 'nurseries' yg memang tersohor di situ... bukan juga untuk melawat sahabat handai atau kaum keluarga yang dirawat di hospital..., tetapi kami ke Sg Buloh atas urusan keluarga....

Tempat kami berkumpul sebelum ke destinasi seterusnya adalah di hadapan Hospital Sungai Buloh. Agak lama juga menanti.... Sambil menunggu ahli keluarga yang lain tiba, saya dan suami meninjau ke kawasan berhampiran. Terdetik di hati, jika ada kesempatan, saya akan rakamkan kenangan di Sg Buloh ini dalam 'SEPANJANG JALAN PULANG...".

(sebelum itu, saya memohon maaf kepada pengunjung blog ini sekiranya terdapat fakta yang kurang tepat, yang tertulis tanpa saya sedar mengenai Sg Buloh...)

Sungai Buloh merupakan salah satu mukim yang terletak di antara sempadan Petaling dengan Gombak, dan terletak lebih kurang 26 km dari Bandaraya Kuala Lumpur arah utara yang mengambil masa antara 20 - 25 minit perjalanan dari Kuala Lumpur.

Sungai Buloh boleh diakses melalui Jalan Kepong-Sungai Buloh dan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menyusuri laluan keluar plaza tol Sungai Buloh ke arah Kuala Selangor. Sekiranya memandu dari Bandaraya Shah Alam melalui Guthrie Corridor Expressway, boleh keluar melalui plaza tol Elmina arah Utara. Sungai Buloh berada di bawah pentadbiran Majlis Bandar raya Shah Alam.

Kini, Sungai Buloh mempunyai sebuah hospital yang moden, yang dulunya terkenal sebagai Pusat Kawalan Kusta Negara serta perusahaan tanaman bunga hiasan. Memandu ke arah utara , satu lagi penempatan transit paling terkenal, ialah Penjara Sungai Buloh yang mempunyai banyak sejarah. Hutan Simpan Sungai Buloh yang diwartakan pada tahun 1898, merupakan hutan simpan yang tertua di Malaysia.

Dulu-dulu, masih saya ingat, sebut sahaja Sg Buloh, pasti akan tergambar dalam minda... tempat pesakit kusta... kemudian tempat menjual pokok2 bunga... selepas tahun 1990-an pula, tempat berlakunya tragedi ngeri letupan kilang bunga api. Kini, Sg Buloh semakin pesat membangun dengan pelbagai kemudahan moden, termasuk kawasan penempatan elit dan sekolah antarabangsa.....

Kunjungan ke Sg Buloh hujung minggu lepas merupakan kunjungan kami yang keempat. Biasanya kami hanya melewati lebuh raya PLUS untuk ke destinasi nun jauh ke utara. Kali pertama kami ke Sg Buloh adalah pada awal tahun 1990-an. Kami ke rumah seorang sahabat karib sejak zaman sekolah lagi... Noorliza & Azmi. Ketika itu, mereka menetap di Kg Melayu Sg Buloh. Beberapa tahun selepas itu, sekali lagi kami ke rumah Za yang telah berpindah ke Kg Kubu Gajah, Sg Buloh.

1998, kami ke rumah bekas Pengetua SMKTM, Tn Hj Abu Bakar Ismail, di Kg Kubu Gajah juga. Beliau kemudiannya telah berpindah ke Taman Tasik Puteri, Rawang setelah tapak rumahnya terlibat dengan projek pembinaan lebuh raya....

Hujung minggu lepas sekali lagi kami berada di Sungai Buloh untuk menghadiri majlis perkahwinan anak saudara kami, Abdul Muiz dengan cinta hatinya, Anum di Kg Sri Indah, Sg Buloh...

Nampaknya Sg Buloh kian dekat di hati keluarga kami....

.... entri seterusnya... Sungai Buloh & Kusta....

Wednesday, February 24, 2010

Rindunya akan kampung halamanku .....


Sudah agak lama aku tidak pulang menjenguk kampung halamanku. Hampir 4 purnama berganti hari, siang dan malam....

Sepanjang bulan November / Disember, walaupun pada musim libur yang panjang, tugas yang menghambat hari-hari sunyiku tidak mengizinkan aku untuk pulang ke kampung. Tambahan lagi, sepanjang dua bulan kebelakangan ini, aku pula banyak menghabiskan hujung mingguku di kota raya KL.

Esok kami bercadang untuk balik ke kampung.... Kampungku di Kota Jelasin @ Wakaf Sena, KB dan kampung mertuaku di Batang Merbau, Tanah Merah. Jumaat merupakan cuti umum sempena Maulidur Rasul.... dan aku memohon CRK pada hari Isnin. Dapatlah aku berlibur beberapa hari di negeri kelahiranku...

Kampung halaman adalah bingkai kenangan dan harapan yang tidak pernah usang. Selalu kuat menahan erat gambar rangkaian perjalanan kehidupan. Betapa jauh sekalipun seseorang itu merantau, di sudut hati pasti akan kembali ke kampung halaman jua. Seolah-olah telah terpikat dan tidak bisa melompat, memudar hasrat.

Kembali ke kampung halaman, mengimbau memori kala bersama leluhurku yang makin hari kian jauh meninggalkan dunia yang fana ini.... Ah... rindunya aku ... Che Yusof, Mok Lijah, Che Daud....Papa, Mama, Mek dan semua yang sentiasa dekat di hatiku....

Terpahat dalam memori, rakan-rakan sepermainan.... sama-sama berlari meniti permatang sawah, menangkap belalang kala musim menuai sudah berakhir... bermain bola 'kaki tiga' dan 'bola wa' dengan penuh gaya... berkejaran bermain 'to jail'. Sering kali juga bersama Noni menyusuri tali air melihat Pakcik menjala ikan atau menangguk udang.... entah di mana mereka sekarang....

Sesekali pulang ke kampung, teringat akan sepat dan puyu yang digoreng garing oleh Mama, di makan dengan nasi panas berasap... tapi kini, hanya tinggal kenangan .... sepat dan puyu sudah kian pupus, tidak seperti zaman kanak-kanakku dahulu....

Di antara kota yang telah menjadi saksi perjalanan kisah, kampung halaman akan tetap ramah untuk menumpahkan kerinduan yang indah. Meski hanya sesekali dijengok, tetapi kampung halaman takkan merengek. Kampung halaman tetap menanti kita kembali, untuk diinjak, meski hanya berpuluh hentakan kaki.

Pulang ke desa kelahiranku, sesekali terasa ingin berlari tanpa alas kaki di atas tali air atau di sepanjang permatang sawah. Tersenyum pada awan biru yang terhias kepakan sayap merpati, nuri dan sejenisnya. Bukankah kedamaian ada di sini, di hati yang berbisik mesra pada hembusan angin,

“Tuhan betapa indah dunia-Mu.”

Lalu rasa lelah pun dibasuh, dengan air jernih yang masih tersisa. Di sana, di kampung halaman.

Thursday, February 18, 2010

Indahnya Persahabatan

Hari ini sekali lagi, terdetik di hati untuk menulis sesuatu tentang SAHABAT. Pertemuan yang baru berlalu Isnin lepas, mengingatkan saya akan beberapa episod perjalanan hidup berhubung dengan SAHABAT...

Sesungguhnya, kerinduan menjadi sebahagian daripada kehidupan bersahabat. Pertemuan lepas, walaupun hanya untuk seketika, cukup untuk meleraikan rindu yang sekian lama sarat di hati...rindu seorang SAHABAT...

Apa yang kita lalui demi SAHABAT, kadang-kadang menyeronokkan, kadang-kadang melelahkan, dan kadang-kadang menjengkelkan… tetapi itulah yang membuat persahabatan mempunyai nilai yang indah. Persahabatan sering berdepan dengan dugaan @ ujian, tetapi persahabatan sejati pasti dapat mengatasi setiap dugaan yang mendatang, bahkan menjadikannya bertambah mekar dan keharumannya mewangi di sepanjang perjalanan hidup kita...

Persahabatan tidak terjalin secara sendirinya. Persahabatan memerlukan proses yang panjang, ibarat besi menajamkan besi, demikianlah sahabat menajamkan sahabatnya. Persahabatan diwarnai dengan pelbagai pengalaman suka dan duka, dihibur-disakiti, diperhatikan-dikecewakan, didengar-diabaikan, dibantu-ditolak...namun, semua ini tidak pernah sengaja dilakukan dengan tujuan kebencian.

Sepanjang perjalanan kehidupan ini, teman-teman datang silih berganti, namun begitu bukan mudah untuk kita tahu huluran persahabatan sejati. Saat air mata berguguran dan masalah muncul menjenguk diri, saat itu sesiapa yang ada bersama, itulah sahabat sejati.

Marilah sama-samalah kita renung dan hayati indahnya erti persahabatan dari pandangan mata hati Sdr. Khalil Gibran dalam sajaknya : SAJAK PERSAHABATAN,

".... Sahabat adalah keperluan jiwa, yang mesti dipenuhi.
Dialah ladang hati, yang kau taburi dengan kasih dan kau tuai dengan penuh rasa terima kasih dan dia pulalah naungan dan pendianganmu kerana kau menghampirinya saat hati lupa dan mencarinya saat jiwa mahu kedamaian...

...bila dia berbicara, mengungkapkan fikirannya, kau tiada takut membisikkan kata “Tidak” di kalbumu sendiri, pun tiada kau menyembunyikan kata “Ya”.
dan bilamana dia diam, hatimu berhenti dari mendengar hatinya; kerana tanpa ungkapan kata, dalam persahabatan, segala fikiran, hasrat, dan keinginan dilahirkan bersama dan dikongsi, dengan kegembiraan tiada terkirakan

Di kala berpisah dengan sahabat, tiadalah kau berdukacita; kerana yang paling kau kasihi dalam dirinya, mungkin kau nampak lebih jelas dalam ketiadaannya, bagai sebuah gunung bagi seorang pendaki, nampak lebih agung daripada tanah ngarai dataran.

...dan tiada maksud lain dari persahabatan kecuali saling memperkaya roh kejiwaan. Kerana cinta yang mencari sesuatu di luar jangkauan misterinya,
bukanlah cinta , tetapi sebuah jala yang ditebarkan: hanya menangkap yang tiada diharapkan. dan persembahkanlah yang terindah bagi sahabatmu. Jika dia harus tahu musim surutmu, biarlah dia mengenali pula musim pasangmu.

Gerangan apa sahabat itu jika kau sentiasa mencarinya, untuk sekadar bersama dalam membunuh waktu? Carilah ia untuk bersama menghidupkan sang waktu! Kerana dialah yang bisa mengisi kekuranganmu, bukan mengisi kekosonganmu.

...dan dalam manisnya persahabatan, biarkanlah ada tawa ria dan berkongsi kegembiraan...Kerana dalam titisan kecil embun pagi, hati manusia menemui fajar dan ghairah segar kehidupan......"


Sesungguhnya, bukan mudah untuk seseorang yang asing sanggup untuk bersusah dan bersenang dengan kita; persahabatan dihulur tanpa mengharapkan balasan atau ganjaran, bukan juga kerana status yang dipegang, kadang-kala itu menyukarkan kita untuk mengenali siapa sahabat dan siapa teman. Banyak juga orang yang telah menikmati indahnya persahabatan, namun ada juga yang begitu hancur kerana dikhianat sahabat sendiri... sahabat, kadang-kadang sukar ditelah...

Sahabat semua, biar badai menerajang, biar gempa menghadang...pastikan persahabatan antara kita tetap kukuh di hati... dan tidak bisa dikalahkan hanya dengan keegoan diri....

Tuesday, February 16, 2010

Dulu & Sekarang... setelah 25 tahun berlalu...






Pertemuan selepas 25 tahun meninggalkan Jabatan Pengajian Melayu, UM ... memberi 1000 makna.....

Semoga kita semua diberi kesempatan untuk berkumpul lagi pada masa akan datang....

Terima kasih Ina, Zana & Jamal... serta semua yang hadir...

Sunday, February 14, 2010

Lembah Pantai Menggamit Memori



Esok 15 FEBRUARI 2010, buat ulung kalinya selepas 25 tahun berpisah, satu majlis santai 'reunion' akan di adakan di Dewan Muruh, Kolej Kediaman Ke-10, UM. Idea untuk mengadakan majlis ini sebenarnya sudah lama timbul, cuma 2 bulan lepas Puan Zarina Zainol Abidin (yang bertugas di UM) mengambil tanggungjawab untuk merealisasikannya. Dengan inisiatif beberapa orang rakan lagi, insyaallah majlis reunion ini akan menjadi kenyataan esok...!

Majlis ini sangat signifikan bagi semua bekas penutut Jabatan Pengajian Melayu @ Budaya 1982/1985 kerana 'reunion' ini akan mengembalikan nostalgia lama semasa mengharungi suka duka menjadi penghuni kampus biru ini. Perjumpaan ini juga diharapkan dapat mengeratkan semula silaturahim yang sudah kian jauh....

Dengar khabar, pertemuan kali ini tidaklah besar, tetapi sudah cukup membuatkan hati saya tidak sabar dan berdebar-debar. Jika sebelum ini kami hanya berhubung melalui telefon @ fb dan hanya menatap foto-foto kenangan yang berusia lebih 25 tahun... hati bertanya, bagaimanakah suasana pertemuan pada hari esok...?

Yang akan hadir nanti bukan sahaja dari kalangan rakan-rakan yang menetap di Lembah Kelang, tetapi ada yang datang dari jauh... dari Kedah, Kota Bharu, Batu Pahat, Kluang, Kuala Terengganu, Kuantan dan lain-lain tempat semata-mata untuk bertemu kembali teman-teman lama yang sama-sama menghuni kampus biru di Lembah Pantai. Walaupun tidak semua yang dijemput dapat hadir esok, tetapi jumlah 15 hingga 20 orang yang bakal hadir untuk perjumpaan selama 3 - 4 jam adalah suatu kejayaan bagi saya...pertemuan pertama kali selepas 25 tahun...

Barangkali ada dalam kalangan teman-teman yang tidak pernah menjejakkan kaki di Lembah Pantai ini selepas graduate pada tahun 1985... Kembali semula ke sini esok, hati pasti berbicara sendiri...menggamit nostalgia silam...

Saturday, February 13, 2010

Raya Cina.... Cina Kelantan @ Teluk Kandis - Pendek...



Tidak jauh dari rumah saya di
Kg Kota, terdapat beberapa petempatan masyarakat Cina yang lebih dikenali sebagai Cina kampung. Penempatan ini letaknya di Kg Teluk Kandis dan di Kg Pendek. Ada antara anak-anak mereka yang sebaya dengan kami dan menjadi rakan baik semasa bersekolah. 2 orang sahabat yang nama mereka masih dalam ingatan ialah WEE SAW LAN dan KANG GET NEE.

Saw Lan, tinggal di Kg Pendek, Jalan Salor, KB (merupakan kawan baik kakak saya), kami sama-sama belajar hingga ke menengah atas, dan sama-sama ‘graduate’ pada tahun 1985 di UM.

Get Nee pula yang dikenali sebagai ‘Ani’ di kampungnya merupakan rakan sekelas saya semasa di sekolah menengah rendah. Sudah ebih 30 tahun lamanya kami terpisah. Selepas LCE saya meneruskan persekolahan di SIC dan Get Nee kekal di SMK Kota.

Get Nee tinggal di Kg Teluk Kandis. Kami selalu berbasikal untuk ke rumah Get Nee, melalui lorong berbatu kecil (kini sudah bertar) menghala ke tebing Sungai Kelantan. Lorong ni hanya muat sebuah kereta dan tidak boleh berselisih. Dari jalan utama, iaitu Jalan Salor, lebih kurang 400 meter ke dalam, kita akan sampai ke sebuah perkampungan masyarakat Cina, yang kami kenali sebagai Cina kampung…

Salah seorang penghuni keturunan Cina di sini, yang kami kenali dengan nama Melayunya 'Mek Ngo', mempunyai hubungan yang agak rapat dengan keluarga saya. Mek Ngo merupakan seorang peraih di Pasar Besar Kota Bharu. Mek Ngo sudah agak berumur pada masa saya masih bersekolah. Setiap hari dia akan berulang-alik ke KB dengan teksi/ beca roda tiga. Masih jelas tergambar dalam ingatan senyuman Mek Ngo yang manis, setiap kali teksi yang ditumpangi Mek Ngo lalu di depan rumah kami. Biasanya teksi tersebut sarat dengan barangan yang akan dijual di pasar Kota Bharu nanti.

Apabila tiba Hari Raya Cina, saya bersama beberapa orang kawan sekelas akan berbasikal ramai-ramai ke rumah Get Nee. Kami mengambil masa selama lebih kurang 20 - 30 minit untuk sampai ke destinasi. Sekarang, jika menaiki kenderaan bermotor, dalam masa kurang daripada 10 minit sampailah kita ke Teluk Kandis. Lebih 30 tahun dulu, jalan raya tidaklah sesibuk sekarang. Di rumahnya, kami dihidangkan dengan pelbagai jenis makanan kering, buah limau mandarin dan air oren atau sarsi atau lemonade atau ice cream soda di dalam botol (botol warna hitam seperti botol kicap). [Dulu, di rumah kami sendiri pun, hidangan air dalam botol seumpama ini, juga menjadi kemestian semasa hari raya]. Kami akan diberi ‘ang pau’ sebelum beredar pulang.

Sebenarnya, kaum Cina di Kelantan terbahagi kepada dua golongan, iaitu Cina Peranakan dan Cina Bandar. Orang Melayu memanggil golongan Cina Peranakan sebagai Cina kampung, Cina Kelantan atau Orang Cina kita. Bagi golongan Cina yang tinggal di bandar, mereka dipanggil Cina benua atau Cina Bandar.

Bagi saya, Mek Ngo, ‘Mek Yah’ dan ‘Ani’ mewakili masyarakat Cina kampung yang mengamalkan budaya Melayu. Dulu, mereka bercakap dialek Kelantan sesama sendiri, bercucuk tanam, berbual di anjung rumah, memakai kain pelikat bagi lelaki, dan memakai kain batik bagi kaum wanita. Ada juga yang berkelubung kepala jika keluar rumah. Cina Peranakan ini juga makan budu dan ulam-ulaman. Mereka juga menggunakan nama Melayu, seperti Che Husin, Che Hassan, Mek Su dan nama-nama lain yang mencerminkan proses asimilasi telah merubah dan membentuk budaya tersendiri dalam kalangan masyarakat tempatan.

Walau bagaimanapun, mereka tetap mengamalkan budaya mereka sendiri ketika berada di dalam rumah. Mereka masih lagi mengekalkan budaya Cina seperti sembahyang, adat perkahwinan dan juga upacara pengkebumian.

Dulu, bila berkunjung ke perkampungan masyarakat Cina kampung di Kg Teluk Kandis atau di Kg Pendek, (banyak lagi tempat lain di Kelantan sebenarnya) kita akan dapat melihat senibina rumah asal Cina yang amat unik dan menarik. Rekabentuk, jenis kayu, malah ukiran yang dipahatkan adalah seni Melayu, cuma tulisan kaligrafi Cina yang mempunyai ciri ke”Cina”an menghiasi ruang tamu dan anjung. Namun begitu, kini, kesenian dan kehalusan senibina rasanya sudah tidak ada lagi kerana kebanyakan rumah sudah dibina semula dengan rekabentuk moden.

Terdapat kajian yang mengatakan bahawa orang Cina mempunyai petempatan awal di Pulai, Gua Musang. Semasa menutut di UM dulu, dalam kuliah Sejarah Malaysia, Prof Khoo Kay Kim pernah mengatakan bahawa generasi pertama yang datang ke Tanah Melayu bermula di Kelantan dan bukannya di Melaka. Buktinya, terdapat sebuah patung lama - Ma Chor Bew di tokong Sui Yek Khong di Pulai, Gua Musang. Patung ini yang dikesan berasal dari zaman Dinasti Ming yang memerintah Negeri China antara 1368 sehingga 1644.

Di Kelantan sahaja, terdapat 24 tokong dengan tokong tertua berusia 600 tahun dikesan di Kampung Pulai, Gua Musang dan tokong yang berusia 300 tahun di Kampung Tokong, Kemubu (kampung adik ipar saya… Sahazali Awang Deraman...) Sehingga kini, masyarakat Cina kampung di Kg Tokong masih kekal mengamalkan budaya Melayu dan mempunyai hubungan yang erat dengan masyarakat setempat.

Walau bagaimanapun, dalam mengharungi arus pemodenan hari ini, generasi baru sekarang sudah semakin jauh dengan amalan generasi terdahulu, tidak kira sama ada masyarat Cina kampung atau masyarakat Melayu sendiri.

Anak-anak muda sekarang sudah tidak lagi suka pakai kain pelikat atau makan sireh…!

Monday, February 8, 2010

SEJARAH : Gedung Pengalaman & Khazanah Bernilai





Keagungan sesuatu bangsa itu ditentukan oleh kepentingan yang diberikan pada sejarah. Sejarah merupakan suatu khazanah yang amat bernilai. Sejarah ialah gedung pengalaman. Bangsa yang agung ialah bangsa yang menempah sejarah dan yang mahu mempelajari daripada sejarah.

Sesuatu bangsa yang tidak mempelajari daripada sejarah akan terus melakukan kesalahan berkali-kali yang akan berakhir dengan keruntuhan bangsa itu. Daripada sejarah kita menghargai kehormatan diri kita. Daripada sejarah juga kita dapat menginsafi kedudukan kita dalam sejarah kemanusiaan dan alam semesta. Sejarah akan memberi kita tenaga dan landasan dalam menempa dan membentuk tamadun baru.

Pendidikan sejarah adalah asas penting dalam pembinaan bangsa Malaysia. Mempelajari sejarah bukanlah semata-mata untuk mendapatkan pengetahuan, tetapi ia boleh menjadi pedoman dan memberi iktibar kepada sesuatu bangsa mengenai sesuatu perkara yang telah berlaku. Apa yang telah berlaku perlu dinilai semula bagi tujuan merancang perubahan masa depan.

Oleh sebab sejarah memberikan banyak pengajaran yang berkait dengan jatuh bangunnya sesuatu bangsa dan negara, maka sejarah patut dijadikan garis panduan untuk pembinaan semula kedudukan dan kekuatan bangsa dan negara.
Burckhardt (1986) dalam bukunya `Reflections On History' menyorot kepentingan sejarah bagi menonjolkan berbagai perkara penting mengenai perkembangan aspek kemanusiaan seperti krisis Negara-Bangsa, Pembinaan Bangsa dan Negara, perjuangan tokoh terbilang dan sebagainya.

Sejarah memberi kita satu kemahiran intelektual yang amat bernilai bagi memahami dan mencungkil perkara yang telah berlalu dan membantu seseorang membuat andaian-andaian di sebalik apa yang berlaku.
Mengikut Butterfield (1973) kepentingan sejarah dalam kehidupan manusia atau sesuatu bangsa ialah, SEJARAH melibatkan pertimbangan nilai (judgement of values) dan pertimbangan moral (moral judgement) bagi membolehkan kita memperoleh iktibar dan kefahaman mengenai perkara yang telah berlaku.

Sejarah merupakan
satu disiplin ilmu sains sosial yang mengenengahkan pelbagai kejadian, perkembangan dan idea-idea yang penting dalam kehidupan individu, masyarakat dan mengenai negara, ia mengenai masa silam dan masa hadapan, ia merupakan fakta dan realiti kejadian, ia mengenai kebudayaan, perubahan, kemoralan dan etik, ketamadunan, konflik, kemusnahan masa silam dan kehancuran masa hadapan.

Sejarah memperlihatkan pelbagai kekuatan dan kelemahan manusia, seperti nasionalisma, patriotisma, keperwiraan, perjuangan dan pengorbanan, kolonialisma, feudalisma, imperialisma, kemunculan kuasa besar dan kebangkitan bangsa terbilang, kelemahan, kejahilan, kemiskinan dan kemunduran yang merupakan temaptema mengenai kemanusiaan dan ketamadunan sesuatu kaum, bangsa dan negara. Perkembangan sejarah bangsa boleh dilihat dari perspektif global ataupun dalam perspektif rumpun geo-budaya dan geo-politik yang seragam ataupun yang bersifat kepelbagaian.

"Pengetahuan SEJARAH mengajar kita supaya tidak mudah lupa pada liku-liku perjuangan bangsa. Kejayaan bangsa tidak terhasil dengan sendirinya. Kejayaan terhasil kerana tekad, perpaduan, dan kepintaran dalam menghadapi pelbagai cabaran perjuangan..."

Friday, February 5, 2010

HIDUP IBARAT RODA


Sebut pasal roda, ada pelbagai jenis roda. Ada roda kereta lumba, roda kereta lembu, roda kereta mainan, roda basikal dan pelbagai jenis roda lagi…

Hidup kita juga ibarat roda, kadang-kadang berada di bawah, kadang-kadang di atas. Kalau di atas tu, kita boleh tengok ke hadapan, tetapi bila kadang-kadang hidup kita berada di bawah… terasa susah dan beratnya bebanan. Kalau tayar kereta tu kecil, tidaklah terasa sangat, tapi bayangkan jikalau ‘tayar’ kereta kebal atau tayar bulldozer atau steamroll… Walau apa jua keadaan, kita kena hadapi...itulah lumrah perjalanan hidup…

Apa-apa yang telah berlaku ke atas kita adakalanya membahagiakan, adakala menyakitkan, ada yang membawa keuntungan dan adakalanya membawa kerugian. Namun begitu, setiap keburukan dan kerugian yang berlaku pasti ada kebaikan yang tersembunyi. Jadi jangan sekali-kali menggelabah apabila berlaku sesuatu kejadian yang tidak diingini kepada kita.

Kadang-kadang kita akan dapat melihat kebaikan yang tersirat serta-merta, kadang-kadang setelah sekian lama, baru kita akan sedar dan dapat mengetahui kebaikannya. Itu adalah lumrah alam.
Yang paling penting, apabila kita menerima kesusahan dan musibah kita hendaklah menerimanya dengan sabar, jangan cepat melatah, kerana dalam keburukan ada kebaikan yang tersembunyi, dalam keuntungan ada kerugian yang tersembunyi.

Jadikan setiap yang berlaku bukan sahaja pada diri anda, tetapi juga pada diri orang lain sebagai satu pengajaran positif dalam hidup anda, kerana selagi kita hidup, kita mesti belajar, sama ada daripada pengalaman sendiri, persekitaran dan orang yang berada di sekeliling kita.

Kita tidak tahu bagaimana nasib kita pada hari esok... Hari ini kita gembira, belum tentu esok kita masih bergembira. Jadi..sediakan diri kita untuk menempuh kehidupan dengan penuh kematangan, kecekalan dan kesabaran, kerana kehidupan kita ibarat roda.

Kita hendaklah bersedia untuk berada di mana-mana sahaja posisi kehidupan dan menghadapinya dengan tabah dan tenang.

Wednesday, February 3, 2010

BERSYUKURLAH SEMENTARA MASIH ADA ....












Banyak pendapat mengatakan bahawa untuk menjadi seorang yang berjaya dan seorang yang hebat kita perlu tahu untuk
bersyukur. Bukan bersyukur yang dibuat-buat, tetapi rasa syukur dan berterima kasih dengan penuh keikhlasan. Hal ini demikian kerana, perasaan syukur yang penuh ikhlas merupakan asas untuk menghasilkan persepsi yang positif dalam diri kita.

Sekiranya kita sentiasa membiasakan diri kita dengan selalu mengucapkan terima kasih dan bersyukur tentang perkara-perkara kecil, maka secara tidak sedar kita semakin terbiasa untuk menerima hal-hal positif dan dengan ini akan menghasilkan diri kita yang baru, iaitu diri yang lebih positif.

Adakah Anda:
• Berasakan anda ialah insan yang paling derita dalam hidup?
• Berasa sering tidak puas dengan apa yang sudah Anda miliki?
• Berasa cemburu ketika melihat kehidupan rakan-rakan lebih bahagia daripada anda?
Masih mengeluh kerana tidak memiliki apa yang orang lain ada?
Sering lupa perkara yang patut disyukuri dalam hidup ini?

Seandainya satu-satunya doa yang kita amalkan dalam hidup kita ialah `terima kasih`, itu sudah lebih daripada cukup.

Rasa syukur membuat hidup kita sempurna.
Rasa syukur mengubah apa yang sudah kita miliki menjadi cukup, bahkan berlebihan.
Rasa syukur mengubah penolakan menjadi penerimaan, kekacauan menjadi keamanan, kekeruhan menjadi kejernihan.
Rasa syukur dapat mengubah hidangan sederhana menjadi pesta, sebuah bangunan menjadi rumah yang nyaman, seorang asing menjadi kawan.
Rasa syukur membuat masa lalu masuk akal, memberi kedamaian bagi hari ini, dan menciptakan visi untuk masa depan.

Jadi sekiranya kita mengkaji dan meneliti secara jujur, kita akan sedar, betapa banyaknya hal yang seharusnya kita syukuri pada setiap hari. Terima kasih kepada tubuh badan kita yang normal dan sempurna. Terima kasih kerana kita masih boleh menyedut udara yang segar ini dan mempunyai kesempatan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang manusia.

Jika anda sering berdepan dengan dugaan serta ujian hidup, dan dugaan itu seringkali membuat anda benci dan meratapi hidup ini, mungkin itu tanda untuk anda perlu lebih kerap berterima kasih dan mensyukuri apa yang sudah anda miliki dalam hidup.

Sekiranya kita selalu bersyukur, kehidupan kita akan sentiasa diselubungi rasa gembira dan bahagia. Bersyukurlah dengan penuh keikhlasan, bersyukurlah sehingga anda mengeluarkan air mata sebagai tanda keikhlasan anda. Anda pasti akan berasa nikmat di sebalik perasaan syukur itu.

Bersyukurlah dengan setiap nikmat yang diberikan oleh Allah s.w.t.

“Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu ingin dustakan?”

Sunday, January 31, 2010

Sepanjang Jalan Pulang ...



Pelbagai jalan yang kita lalui dalam hidup. Ada jalan yang tiada rintangan, cukup senang kita melaluinya...tetapi ada juga jalan yang banyak lopaknya, banyak curamnya yang banyak mengajar kita tentang erti hidup sebenarnya...Yang banyak mematangkan diri menjadi yang lebih baik. Mungkin mengajar kita menjadi sabar, tabah, yakin dan mungkin juga mengajar kita untuk menginsafi diri, untuk kita renung ke dalam diri, apakah usaha kita selama ini berbaloi dan membantu diri..

Mungkin langkah perjalanan kita semakin keliru, semakin tidak pasti ke mana arahnya. Walaupun cantik aturnya, cantik pemandangannya, tetapi kadang2 langkah kita terhenti di tengah jalan. Kita tidak berasa yakin lagi dengan apa yang kita lakukan; pengorbanan kita selama ini dirasakan cuma sia-sia...

Kita sudah cuba yang terbaik, sudah mempersembahkan suatu yang mulia tapi kita rasakan perjalanan kita itu cukup singkat dan pilu rasanya...Iltizam yang padu dengan ketepatan yang jitu kita lakukan, tetapi perjalanan itu harus ditamatkan jua. Perjalanan yang kita rasakan dulu cukup manis, yang cukup cantik tetapi kenapa ia harus terhenti begitu?

Perjalanan kini, telah banyak onak dan duri yang kita lalui. Perjalanan yang cukup bererti bagi diri, terpaksa kita tamatkan bagi meneruskan perjalanan yang baru...Suatu perjalanan yang mungkin akan lebih memberikan manfaat pada diri, tetapi sanggupkah kita untuk menempuh suatu perjalanan yang baru? Sanggupkah? Mungkin oleh keterpaksaan kita harus juga melangkah ke suatu perjalanan yang baru...Mungkin juga perjalanan yang kita cuba elakkan sebelum ini, tetapi akibat keterpaksaan kita harus juga melangkah...Mungkin longlai dan lemah langkah kita, mungkin juga cukup perlahan langkah itu, tetapi sentiasa berharap langkah itu akan menjadi laju...

Dalam tiap langkah yang kita aturkan, kita mempelajari sesuatu. Sesuatu yang amat bermakna yang akan memandu hidup kita ke suatu arah atau destinasi yang sama. Manfaatnya mungkin kita tidak nampak sekarang, tetapi mungkin suatu hari manfaatnya akan muncul...

Kita rasakan mungkin ini takdirnya yang membuatkan perjalanan itu terhenti, tetapi ada yang menyalahkan takdir terus kerana menghentikan perjalanan...Tetapi tidakkah kita sedar tentang hikmah sesuatu kejadian? Hikmah untuk kita menjadi lebih baik. Bila tercapai hikmah itu, barulah kita tahu dan sedar apa yang berlaku sebenarnya dalam perjalanan hidup ini...

Sepanjang jalan pulang, kita pasti akan berdepan dengan pelbagai cabaran. Cabaran yang akan memberi pengalaman dan menjadi kenangan sepanjang hayat. Semuanya kita kendong walau dalam susah atau senang. Kita pasti pulang. Sepanjang jalan pulang, bawalah bekalan secukupnya, demi kesejahteraan yang abadi....

Friday, January 29, 2010

CINTA : terkenang kala keseorangan...


Bersendirian pada malam yang hening ini, sambil membelek album kenangan bersama rakan-rakan, membawa saya mengimbau memori indah di kampus biru, biarpun sudah lama berlalu....

Menyusuri jalan kehidupan di Lembah Pantai, terkumpul kisah suka duka yang masih hijau dalam ingatan. Yang pasti, hati sentiasa berlagu riang walaupun tugasan menimbun tunggu diselesaikan. Panggung Eksperimen dengan persembahan teater yang menghiburkan mewarnai malam-malam yang sepi.... tidak kurang juga penghuninya yang sempat menyemai cinta di Varsity Green lalu menuai rindu, akhirnya memateri janji - susah senang bersama sehingga ke hujung usia... Di sini jugalah bermula episod cinta yang panjang....

C-I-N-TA - setiap insan mempunyai sejarahnya masing-masing. Ada yang kecewa akibat putus cinta, ada yang cintanya tidak berbalas, ada yang berkorban kasih demi menurut pilihan keluarga, dan macam-macam lagi panahan cinta.

Melodi cinta juga berbeza antara satu sama lain. Ada yang cintanya menjelma pada pandangan pertama, ada yang mencanai rasa secara 'secret admirer', ada yang berjumpa di perhentian bas, ada yang bertemu setelah melanggar keretanya, ada yang hanya kenal selepas bernikah, dan macam-macam ceritera lagi.

Dalam mengenang pelbagai episod cinta ini, ada insan yang sangat bertuah kerana 'cinta monyet' ketika zaman persekolahan masih mampu bertahan hingga kini. Biasanya 'cinta monyet' ini hanya berkisar semasa zaman sekolah. Sebenarnya, tidak ramai yang mampu mempertahankannya lantaran masing-masing membawa haluan setelah meninggalkan alam persekolahan.

Melewati usia yang kian meniti senja ini, setiap kali mengingatkannya, pasti membuatkan kita tersenyum sendirian. Secara tidak langsung membuatkan kita sedar bahawa kita sangat mencintainya suatu ketika dahulu. Jika insan itu masih berada di sisi kita kini, cintailah dia selamanya. Jangan biarkan waktu yang berlalu itu membuatkan hubungan menjadi hambar.

Ada yang berpendapat bahawa mengingati kisah cinta lalu mampu menghangatkan kembali hubungan pada usia begini. Setiap pengorbanan, suka duka yang dilalui bersama sudah tentu membuatkan kita tidak mudah melupakannya begitu sahaja.

Jika adapun yang 'bertemu' dengan orang baru kini, belum tentu kesetiaan dan ketulusan yang pernah dicipta bersama-sama suatu ketika dahulu mampu dikecapi.

Hargailah cinta sementara masih bersisa di hati... sesungguhnya cinta sejati yang abadi hanyalah CINTA KEPADA YANG ESA...