Monday, March 19, 2012

Majlis Kesyukuran dan Pertemuan....

Alhamdulillah, majlis kesyukuran sempena perkahwinan anakanda MOHD FAHMI dan NURUL AINA AWANG selamat dijalankan dua hari lepas, iaitu pada 17 MAC 2012.  


peneraju utama


Majlis bertemakan "Apple Green" ini tidak akan sempurna tanpa kerjasama dan sumbangan tenaga serta buah fikiran daripada seluruh ahli keluarga.  
"apple green"


Papa, Mama, Mok Abe, adik beradik, adik ipar, anak-anak saudara, sepupu sepapat , dan jiran tetangga banyak membantu.... jutaan terima kasih diucapkan.  

Mama & Kakandanya Hjh Fatemah @ Mok Abe sehari sebelum majlis berlangsung
Jasa kalian tidak terungkap dengan kata-kata dan tidak terbalas rasanya.... 



terima kasih, semua...

 Semoga keluarga besar kita ini dapat berkumpul lagi dalam suasana yang harmoni... InsyaAllah....



Majlis ini juga menemukan kami dengan sanak-saudara dan teman-teman lama yang sudah lama tidak bertemu kerana masing-masing sibuk dengan urusan kerja dan keluarga.  

bersama emak & ayah sepupu.... Li dan Sah...
Pok Soh dan keluarga, Saie dan isteri, Yusof Omar dan isteri, Nik Norhashimah dan keluarga, Ma dan Kak Zah, rakan-rakan sekampung, rakan-rakan sekolah dan ramai lagi... tidak tertulis nama-nama mereka di sini.  

Terima kasih semua....

sahabat mewangi sepanjang jalan....
Kehadiran kalian semua menambakan seri majlis ini.  Yang paling mengharukan saya ialah kehadiran beberapa orang sahabat yang terpisah lebih 30 tahun lamanya.... 


Syukur alhamdulillah.




Thursday, March 15, 2012

Sepetang di pondok Poksu Din....

Sudah lama kami berhajat untuk singgah di pondok Poksu Din.  Baru petang tadi hajat kami kesampaian....

Pondoknya bukan sebarang pondok.  Poksu Din menetap di pondoknya dalam kebun getah seluas 7 ekar.  Lokasinya tak jauh daripada rumah Mek Nik Zakiah.  Rumah Mek di Bt. 8, Batang Merbau.  Pondok Poksu Din pula di Bt 7.  

pintu pagar yang berkunci
Orang kata, untuk ke pondoknya, kena masuk melalui jalan berdekatan dengan sarang atau rumah burung layang-layang di tepi lebuh raya TM - Jeli di Bt. 7.  Jadi, mula-mula kami masuk melalui jalan tersebut.  Adalah buah rumah. Sebuah rumah banglo yang masih dalam pembinaan di sebelah kanan jalan.  Sebuah lagi di sebelah kiri jalan sebuah rumah yang telah lama didiami.  Lepas itu tak nampak bayang rumah lagi.  Kami cuba masuk lagi ke dalam. Dalam hati berkata, betul ke jalan ni?  Tapi kami cuba juga melalui jalan yang di kiri kananya ditumbuhi rumput dan lalang yang panjang.  

Lebih kurang  30 meter ke dalam, kami sampai di jalan mati.  Dah tak boleh masuk jauh ke dalam kecuali dengan berjalan kaki.   Kami memberhentikan kereta dan melihat ada pintu pagar daripada kawat berduri yang sudah berkarat. Berkunci.  

Kemudian kami nampak papan notis terpampang nombor telefon Poksu Din dan Moksu Hasmah.  Kami tak nampak pun bayang-bayang pondok @ rumah Poksu Din di dalam kebun @ ladang getah itu.  Kami mengandaikan Poksu Din tidak ada di rumah.

Lalu, suami menelefon Poksu Din.  Rupa-rupanya, Poksu Din sudah tidak menggunakan jalan tersebut.  Patutlah seperti sudah lama tidak ada kenderaan keluar masuk.  Poksu Din meminta kami keluar semula ke lebuh raya TM-Jeli dan menghala ke arah TM.  Setelah nampak rumah kedai 3 pintu yang baru siap dibina di sebelah kanan lebuh raya, Poksu Din minta kami masuk melalui lorong di tepi rumah kedai tersebut.  Kata Poksu Din rumahnya beberapa meter di belakang rumah kedai itu.  Kami melalui jalan sempit itu yang hanya muat sebuah kereta. Bukan jalan bertar, tapi dilitupi batu-batu granit.  Dari jauh, kami nampak sebuah pondok yang jarang-jarang kelihatan hari ini, waima di kampung-kampung.  Poksu Din sudah sedia menunggu kami di tangga pondoknya.

Di hadapan pondoknya ada sebuah perigi. Kami dijemput naik ke rumah.  Ketika menaiki tangga, teringat zaman kanak-kanak dulu, tangga rumah Tok Nik di Kg. Bukit Panau....guna kayu bulat dan ada pemengang di sebelah kiri, juga menggunakan kayu bulat.  Poksu Din gunakan batang kayu bulat untuk pelantaian dan juga dinding serta tiang rumah.  Katanya sudah lebih 6 tahun usia pondok itu.  Daripada perbualan kami, rupa-rupanya rumah kedai tiga pintu itu adalah kepunyaan Poksu Din. Sudah disewakan.  Kata Poksu Din, getah di dalam kebunnya yang seluar 7 ekar itu sudah boleh ditoreh.  Selepas ini dia akan pindah dan menetap di kebun @ ladang getahnya yang baru, iaitu di Panbola, Lawang, Tanah Merah pula.  Kebun getah yang seluas lebih kurang 9 ekar itu akan dijaganya sehinggalah mengeluarkan hasil.

Itulah Poksu Din.  Adik Papa seibu berlainan ayah.  Dilahir dan dibesarkan di Kg Kawat, dalam sebuah daerah di Selatan Thailand.  Poksu Din berhijrah ke kampung tanah kelahiran bondanya @ nenda kami, Membunga @ Mok Menga di Tanah Serendah Sekebun Bunga ketika usianya mencecah awal 20-an.  Poksu Din merupakan seorang insan yang sangat merendah diri.  Seawal usia 16 tahun Poksu Din sudah mula menuntut ilmu di beberapa daerah di Selatan Thailand, termasuklah di Patani.   Ilmu dunia dan ilmu akhirat.  

Tidak jemu berbual-bual dengan Poksu Din.  Banyak nasihat dan petua yang diberikan.  Kalaulah bukan disebabkan kekangan masa, mahu kami terus bersembang dan mencungkil banyak lagi cerita tentang perjalanan hidupnya....

Ketika suria petang sudah hampir tenggelam, kami meminta diri untuk pulang.  Kami berjanji pada diri, kami akan singgah lagi di pondok Poksu Din....

Monday, March 5, 2012

Sekolah ganti dan hujung minggu yang padat...

Sabtu lepas, 3 MAC 2012 merupakan sekolah ganti sempena CNY yang lalu.  Kesihatan saya masih belum pulih sepenuhnya.  Walau bagaimanapun beberapa urusan keluarga perlu dilaksanakan.

Usai waktu persekolahan, kami terus ke KL.  Anakanda akan memulakan pengajian semester akhirnya bermula pada 5 MAC.  Kami sampai di Taman Bukit Serdang pada pukul 4.00 petang.

Keesokan harinya, saya bersama adinda Anggerek, anakanda Nadiah dan anak saudara, Along Aina ke Nilai 3 untuk 'mencari' barangan bagi majlis kesyukuran yang akan diadakan pada 17 MAC nanti.  Kami tidak mengambil masa yang lama di sana.  Pukul 2.00 petang, saya dan suami sudah berada di Sentul Villa.  

Usai solat zohor, suami terus ke Quality Hotel, KL kerana ada mini reunion dengan rakan-rakan sekolahnya.  Saya mengambil kesempatan untuk berehat @ tidur kerana kesihatan belum betul-betul pulih.

Kami bertolak balik ke Kuantan selepas solat maghrib.  

Hujung minggu yang padat dan minggu ini merupakan minggu terakhir sebelum cuti pertengahan semester pertama 2012.

Saturday, February 25, 2012

berehat di KMC buat seketika....

Sudah lebih dua minggu saya tidak menulis di sini kerana keadaan tidak mengizinkan.  Saya dan suami diminta 'berehat' di KMC....

Hari Ahad, 12 Feb, tiba-tiba suami berasa tidak sedap badan sebaik sahaja selesai makan tengah hari.  Demam tiba-tiba dan dia mengadu sakit seluruh anggota badan.  Kami beranggapan kemungkinan disebabkan aktiviti lasak yang dilakukan semasa dia menghadiri kursus "team building" seminggu sebelum itu di JB.  Tidak terfikir langsung disebabkan oleh panahan cinta berbisa daripada Cik Aedes...! 

Ketika itu, saya sendiri masih seperti biasa, masih boleh mengadap kerja-kerja sekolah yang perlu diselesaikan kerana pada minggu berikutnya terdapat beberapa sesi taklimat yang perlu dihadiri.  Sehingga pukul 11.30 malam, tiba-tiba saya rasa seperti hendak demam.  Dalam fikiran saya, ini merupakan perkara biasa.... harap-harap saya akan kembali seperti biasa pagi besok setelah mengambil panadol dan tidur.  Rupa-rupanya tanggapan saya meleset.  Tengah malam badan menggigil dan terasa sakit seluruh badan.... belum terfikir apa-apa, tetapi dalam hati terdetik "adakah pengalaman 15 tahun yang lalu berulang kembali...?

Keesokan paginya, demam semakin menjadi-jadi.  Kami terus ke klinik swasta untuk diperiksa.  Apa yang mengejutkan kami ialah, doktor yang memeriksa kami mengatakan bahawa kami hanya demam virus biasa.  Tidak serius dan beliau ingin memberi satu hari sahaja cuti rehat.  Lalu, saya menjelaskan bahawa saya tidak pernah MC sejak 2006 kecuali satu hari sekembalinya dari mengerjakan umrah pada tahun 2009 kerana batuk.  Saya meminta doktor tersebut menyemak rekod saya.  Doktor yang sudah agak veteran ini seolah-seolah tidak percaya dan mengatakan bahawa saya pasti ada mengambil  MC di klinik lain...! Alangkah tidak profesionalnya dia.   Setelah mendengar alasan suami yang mengatakan saya memang tidak berdaya untuk ke sekolah, barulah doktor itu memberi cuti sakit selama 2 hari dengan hati yang tidak ikhlas....  Ah, tak kisahlah, bukannya kita terima rawatan secara percuma.   Rasanya ini merupakan kali pertama dan terakhir saya bertemu doktor ini...!

Setelah mengambil ubat yang diberi, keadaan masih tidak berubah.  Lalu kami ke Pusat Rawatan Al-Farabi untuk membuat ujian darah.  Sah, gigitan Cik Aedes memaksa kami berehat di KMC untuk mendapat rawatan dan pemantauan segera daripada doktor pakar. 

Kekesalan kami terhadap seorang doktor yang tidak profesional di Klinik Sentosa itu semakin menebal setelah diberitahu oleh doktor yang merawat kami di KMC (beberapa hari selepas direhatkan di dalam wad) bahawa kami sebenarnya menghidap demam denggi berdarah dan menghadapi beberapa komplikasi yang hanya dapat dikesan melalui proses Sinaran 'X' dan endoscopy.

Alhamdulillah, setelah dirawat dan dipantau oleh Dr. Suhaimi di KMC, kami dibenarkan pulang dan diberi cuti rehat sehingga 24 Feb 2012.   Selepas itu, kami perlu melalui beberapa sesi janji temu dengan doktor pakar tersebut untuk memastikan kesihatan kami kembali normal seperti biasa.  Pagi tadi sesi temu janji pertama kami dengan doktor pakar dan sekali lagi pada 10 Mac nanti.

Sebenarnya, saya pernah terkena gigitan Cik Aedes 15 tahun yang lalu  ketika bertugas menjadi penguji  Ujian Lisan BM peringkat SPM di SMK Stella Maris, Pudu. Kuala Lumpur.
Waktu itu banyak projek mega di Kuala Lumpur terbengkalai kesan daripada kemelesetan ekonomi yang melanda negara, termasuklah bangunan Plaza Rakyat yang letaknya berhampiran dengan bangunan Sekolah Stella Maris. Bangunan terbengkalai merupakan antara lokasi yang menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Saya akan kembali bertugas pada 27 Februari.  Terasa lama sangat meninggalkan sekolah.  Terasa banyak kerja yang tertangguh.  Daripada pengalaman lepas, saya tahu untuk pulih sepenuhnya akan mengambil masa yang agak lama.  Sebenarnya, kesan penyakit  demam denggi ini lebih 'hebat' selepas kita keluar dari hospital.


Sakit juga merupakan ujian daripada Allah s.w.t. Yang penting, kita perlu berikhtiar dan berdoa. DIA-lah yang berkuasa menyembuhkannya. Sesungguhnya, ujian sakit menjadikan kita bertambah hampir dengan-NYA....

Sunday, February 12, 2012

Kerinduan 2 : Makam Rasulullah s.a.w.


Makam @ pusara Rasulullah s.a.w. terletak di sudut Timur Masjid Nabawi yang dahulunya dinamakan Maqshurah.

Di situ dahulu terdapat dua buah rumah, iaitu rumah Nabi bersama Aisyah dan rumah Ali dengan Fatimah. Sejak Rasulullah wafat pada tahun 11 Hijrah (632M), rumah Nabi terbahagi dua, iaitu bahagian arah kiblat (Selatan) untuk makam Nabi, dan yang bahagian Utara untuk tempat tinggal Aishah.

Sejak tahun 678H (1279M), di atas Makam Nabi dipasang Kubah Hijau (green dome) sampai sekarang. Kalau jemaah melihat Green Dome, bererti mereka melihat makam Nabi, begitu juga makam kedua-dua sahabat Nabi (Abu Bakar r.a dan Umar Al-Khattab r.a) yang dimakamkan di bawah kubah itu berdampingan dengan makam Nabi. Lokasi yang dahulunya terdapat rumah Nabi kini dikenali juga sebagai "makam 3 manusia mulia".

Menurut riwayat, pada awalnya makam tersebut tidak ada sedikit simen pun dan tidak diletakkan batu bata. Permukaan makam mereka bertiga itu di tanah terbuka.

Kemudian, pada tahun 91 Hijrah, ketika pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz, makam Rasulullah dan dua sahabatnya dibina tembok, berbentuk segi lima kerucut, berdiameter panjang sekitar 8 meter dan lebar sekitar 6 meter.

Kini, tembok yang dikenali sebagai "tembok lima segi" itu ditutup dengan tabir kain kelambu yang berwarna hijau. Tembok segi lima yang memagari makam Rasulullah ini masih tetap berbentuk seperti asalnya, iaitu seperti pada masa Umar bin Abdul Aziz.  


Semoga suatu saat nanti kami diberi kesempatan untuk menziarah makam Rasulullah s.a.w sekali lagi....



Wednesday, February 8, 2012

Kerinduan 1 : Raudhah ar-Rasul




Raudhah ialah suatu bahagian yang terdapat di bahagian Masjid Nabawi yang letaknya di antara rumah atau makam Nabi dan mimbar. Ini didasarkan pada hadis Nabi s.a.w. yang berbunyi :

"Di antara runahku dan mimbarku adalah sebahagian taman syurga."

Sesuai dengan hadis Nabi yang menyatakan bahawa letak Raudhah adalah di antara rumah dan mimbar baginda, maka luas Raudhah itu berdiameter sekitar 22 m x 15 m, iaitu jarak antara rumah Nabi dan mimbarnya lebih kurang 22m dan panjang ke belakang lebih kurang 15m.

Di pelantaran Raudhah ini terdapat beberapa tiang sejarah. Berdasarkan tiang-tiang yang ada, maka luas Raudhah ini dikira dari dinding makam Rasulullah s.a.w yang ada sekarang, 5 tiang ke samping (arah ke mimbar) dan 4 tiang ke belakang. Sesungguhnya Raudhah dan tiang-tiangnya mengandungi sejarah di dalamnya...

Kini, kawasan Raudhah ditandai dengan tiang-tiang berwarna putih dengan hiasan yang khusus, lantainya dilapisi permaidani 'wool' yang sangat cantik dan unik. Silingnya pula dihiasi dengan lampu-lampu kristal yang cantik.

Raudhah merupakan antara tempat yang mustajab / makbul untuk berdoa.

Syukur alhamdulillah, dengan izin-NYA, kami pernah diberi kesempatan untuk berada di Raudhah buat seketika. Sempat sembahyang sunat dan berdoa dalam keadaan yang selesa. Aku berada dalam saf kedua daripada dinding Raudah.

Rindunya untuk ke sana lagi....

Saturday, January 28, 2012

Katak puru



Hari ini saya masih dalam 'mood' bercuti'.  Cuti seminggu sempena perayaan Tahun Baru Cina.  

Beberapa hari lepas ketika balik KB, sempatlah kami 'merayau-rayau' di Pasar Besar Siti Khadijah.  Ketika melalui gerai tempat menjual sayur dan buah-buahan tempatan  (serta beberapa jenis buah nadir), pandangan saya 'tersinggah' pada selonggok buah nadir ini.  Buah katak puru.  

Buah katak puru mengembalikan nostalgia ketika masih bergelar budak-budak sekolah rendah... Dulu, di kampung banyak katak puru... katak yang berbunyi ketika hujan dan buah katak puru yang boleh dimakan... 
 

Katak puru ; buah katak puru @ nam nam

Katak Puru (bahasa Inggeris: toad) atau juga dikenali sebagai kodok merujuk kepada beberapa spesies amfibia, terutamanya "katak puru benar" dalam famili Bufonidae. Bagaimanapun, beberapa spesies daripada famili amfibia yang lain biasa juga digelarkan "katak puru", termasuknya famili Bombinatoridae, Discoglossidae, Pelobatidae, Rhinophrynidae, Scaphiopodidae, dan sebilangan spesies daripada famili Microhylidae. Ini disebabkan ciri-ciri yang biasa digunakan untuk membezakan katak puru daripada katak yang biasa (bahasa Inggeris: frog) tidak sama dengan ciri-ciri yang digunakan untuk pengelasan saintifik.

Hampir semua katak puru dalam famili Bufonidae mempunyai dua biji bonggol di kedua-dua belah pada belakang kepala yang dipanggil kelenjar parotid. Kelenjar-kelenjar ini mengandungi racun, yang mengalir keluar jika katak puru menghadapi tekanan. Beberapa jenis katak puru, seperti kodok Bufo marinus (bahasa Inggeris: Cane Toad), adalah lebih toksik berbanding yang lain. Sebilangan "kodok psikoaktif", umpamanya kodok Bufo alvaris (bahasa Inggeris: Colorado River Toad), telah digunakan sebagai drug rekreasi melalui menyalai rembesan kulitnya atau merebus kodok untuk dimakan, disebabkan kesan-kesan bufotoxinnya.

Katak puru merupakan sejenis haiwan amfibia yang berdarah sejuk dan bertelur. Telur katak puru akan menetas sebagai berudu, sebelum berubah menjadi katak puru dewasa. Kulit katak puru lebih kering berbanding katak dan pada kebiasaannya berbonggol-bonggol (lihat gambar). Katak puru memakan serangga kecil, dan cacing. Apa beza katak puru dengan katak kembung......?

Selain haiwan, katak puru juga merupakan nama bagi sejenis buah nadir, terutama dalam kalangan masyarakat di Pantai Timur (Kelantan & Terengganu). Di negeri-negeri lain ia dikenali sebagai buah nam nam. Nama saintifiknya ialah Cynometra Cauliflora... Dikenali sebagai buah katak puru mungkin kerana bentuk fizikal buah ni yang menggerutu sama seperti katak puru...agaknya lah. (lihat foto)



Saya rasa ada orang yang tak pernah tengok atau rasa buah katak puru @ Nam-nam ni ..... dan ada juga yang kurang suka atas pelbagai sebab ....

Pokok ni mengingatkan saya kisah masa kecil dulu. Buahnya lebat bergayut di batang pokok macam buah belimbing buluh. Rasanya masam manis. Bila masak, warna kuning kecoklatan. Bentuknya macam kuih karipap. Kalau yang muda, rasanya masam-masam kelat tapi rapuh. Buah ni lebih sedap jika dimakan dengan 'colek' (kicap + gula + garam + belacan + cili padi)

Ada nilai sentimental buah ni..waktu kanak-kanak dulu, ada 3 tempat yang selalu jadi tumpuan untuk kami dapatkan buah ni, di rumah Tok Su Munah (bersebelahan pagar rumah Atok - Che Daud), di rumah Mama berhampiran telaga, dan di belakang rumah Mak Abe. Kami selalu pergi tengok kalau-kalau ada buah yang masak. Kalau ada kami akan petik. Kalau tak dimakan dengan 'colek', kami gigit macam tu aje...

Sekarang ini, kalau rajin menjajah di Pasar Wakaf Che Yeh atau di Pasar Siti Khadijah , pasti akan nampak 'kelibat' buah katak puru ini...

Alangkah besarnya ciptaan Ilahi...

Monday, January 23, 2012

Tali air : kenangan yang semakin menjauh....

Sudah dua hari saya pulang.   Pulang untuk melepaskan kerinduan kepada keluarga tercinta.  Pulang setelah lebih dua purnama tidak menjejak kaki di kampung kelahiran.

Sesekali pulang ke kampung halaman, ingatan singgah pada kenangan zaman kanak-kanak apabila melihat tali air terbentang di tengah-tengah sawah padi ketika melalui lebuh raya KB - Pasir, melalui persimpangan Jalan Bt. 4, Jelutong - Tunjung, Kampung Kota hingga ke persimpangan lampu isyarat untuk ke Mulong, Pasir Mas atau ke Tendong.  Walaupun pemandangannya landskap geografinya sudah berubah berbanding lebih 30 tahun yang lalu, namun kenangan itu tetap singgah di minda.   

"Tali Air" - kata yang tidak memberi apa-apa makna kepada seorang kanak-kanak yang baru berusia 6 - 7 tahun lebih 4 dekad yang lalu... kanak-kanak itu hanya tahu menyebut, tetapi tidak pasti maksud sebenarnya tali air.

Di Kg Kota, salah satu aktiviti ekonomi masyarakatnya ialah menanam padi. Sekali setahun. Bermula dengan kerja-kerja menenggala (membajak tanah dengan tenggala), menabur benih, mencabut semai (anak padi) dan mencedung atau menanam semula anak padi di tapak semaian. Sementara menunggu padi masak, penduduk kampung yang terlibat akan melakukan aktiviti lain seperti menoreh getah, menanam sayur, bertukang rumah dll. Setelah padi masak bertukar warna menjadi kuning keemasan, bermulalah proses mengetam atau memukul @ membanting padi.... Penanaman padi bergantung kepada bekalan air, jadi "tali air" telah membawa perubahan kepada masyarakat petani di seluruh negara, termasuklah petani di Kg Kota. Penanaman padi 2 kali setahun bermula dengan adanya tali air.

Dulu, di seberang jalan depan rumah kami terbentang luas sawah padi yang menghijau. Berpetak-petak dengan keluasan yang berbeza-beza. Pernah suatu ketika, pada pertengahan tahun 1960-an kerajaan berura-ura untuk membina sebuah sekolah menengah di situ, tetapi tidak dipersetujui oleh penduduk setempat. Sawah inilah punca ekonomi sebahagian besar penduduk Kg Kota pada waktu itu. Pembinaan sekolah mengorbankan kawasan sawah padi yang luas. Ini bermakna mereka akan kehilangan mata pencarian. 


Awal tahun 1969... penduduk kampung, lebih-lebih lagi kanak-kanak begitu teruja melihat beberapa buah jentera berat, terutama sekali jentolak dan jengkaut masuk ke kampung kami meredah sawah padi yang sedang 'berehat' kerana musim menuai baru berakhir. Di seberang jalan, di belakang rumah Tok Wan Yusof Tauke Kain, dengan jarak serelung bendang padi, kerja-kerja menggali tanah dijalankan tanpa henti. Di luar musim menanam, tapak sawah di belakang rumah Tauke Kain ini tidak digunakan. Tanah rang ini akan bertukar menjadi gelanggang untuk kami bermain bola wa atau bola kaki tiga pada waktu petang sehingga musim menanam padi kembali semula pada tahun berikutnya.

Jentera-jentera berat ini terus gagah menukar lanskap bumi. Daripada seela menjadi serantai dan seterusnya berantai-rantai, berangkai-rangkai.... Hari bertukar minggu, minggu bertukar bulan... Sambil bermain, kami asyik melihat dari jauh kerja-kerja pengorekan @ penggalian tanah.... Kadang-kadang, pada hari-hari mereka tidak bekerja, naluri ingin tahu telah membawa kami untuk menjenguk lubang panjang yang siap digali... tidak terfikir oleh minda kanak-kanak seusia 6 @ 7 tahun, apakah sebenarnya yang hendak dihasilkan....? Tanah di sebelah kiri dan kanan korekan itu diratakan menjadi laluan bertebing @ jalan tak berturap. Kami sering kali berkejar-kejaran di atas laluan itu.

Pernah pada suatu petang, kami masuk ke dalam terowong yang menghubungkan antara dua tali air. Panjang terowong ini lebih kurang 20 meter. Sesuatu yang baharu bagi kami. Sebagai kanak-kanak, sebenarnya kami masih belum mengerti fungsi atau tujuan terowong itu ada di situ....

Setelah beberapa bulan berlalu... sedar-sedar, korekan tanah yang panjang berantai-rantai panjangnya, dengan kedalamannya lebih daripada 10 kaki itu telah dipenuhi air. Tidak pernah terlintas di minda kami untuk ambil tahu, bagaimana talian korekan tanah itu dipenuhi air. Pada kami, itu berlaku secara semula jadi. Kanak-kanak, apalah sangat yang boleh mereka fikirkan. (Beberapa tahun selepas itu, setelah belajar Geografi semasa di sekolah menengah, baharulah terjawab semua persoalan zaman kanak-kanak dahulu...)

Akhirnya, oh, begini rupanya yang dikatakan "TALI AIR ". Panjang seperti tali, kemudian dipenuhi air....! Tali air yang dibina di bawah Rancangan Pengairan KEMUBU ini merupakan salah satu projek Rancangan Pembangunan Ekonomi negara yang bertujuan untuk meningkatkan pendapatan golongan petani di luar bandar melalui DEB, iaitu penanaman padi dua kali setahun...!

Aku masih ingat, aku juga sering menghabiskan masa bersama Noni mengikut bapa saudara (Arwah Che Abe) menangguk udang @ anak-anak ikan di tali air. Kadang-kadang aku dan Noni curi-curi mandi (walaupun tidak tahu berenang) di tali air. Langsung tidak terfikir akan bahaya bermain di tali air.... memang tidak tahu takut...!

Dalam tempoh 12 tahun pertama selepas pembinaannya, tali air ini 'terpelihara' dengan baik. Dari rumah Mama kami boleh lihat ibu bapa membawa anak-anak bersiar-siar di atas tali air pada waktu petang sementara menunggu senja, terutama sekali pada musim menuai padi.

Yang paling aku suka ialah meniti di atas titi kayu atau titi yang dibuat daripada 2 batang pokok kelapa yang merentangi tali air..... Kenangan hampir 30 tahun yang lalu... selepas melanjutkan pelajaran ke luar daerah, aku sudah tidak berkesempatan lagi berjalan-jalan di atas tali air ini, apatah lagi setelah berkeluarga dan sekali-sekala pulang ke kampung ...!

Kini, persekitaran tali air tidak seindah 30 tahun yang lalu. Airnya keruh dan banyak rumput dan rumpai air tumbuh sehingga menjadikan alirannya tersekat! Di sesetengah tempat, tali air kini dijadikan tempat membela ikan dalam jaring. Sawah bendang yang memisahkan jalan raya dengan tali air sudah dipenuhi rumah-rumah kediaman. Jadi, dari rumah Mama kami sudah tidak dapat melihat tali air yang dahulunya menjadi tumpuan kami bersama adik-adik bersiar-siar sebelum menjelang senja.

Kini, tiada lagi kelihatan penduduk kampung berjalan-jalan petang di tali air sambil melihat kanak-kanak bermain wau... semuanya sudah berubah.  Kenangan ini tetap indah di hati dan sering menggamit kerinduan akan zaman kanak-kanak....

Tali air... tersimpan banyak memori di sepanjang jalan pulang... tali air yang memberi rezeki.... tali air yang merentap nyawa ...





Saturday, January 21, 2012

main kutu....


Kutu...kutu...kutu... Bukan kutu di kepala tetapi kutu yang menjadi amalan sebahagian besar daripada kita. Main kutu ini bukanlah suatu yang baru dalam hidup masyarakat kita, sebaliknya sudah menjadi amalan sejak lama dahulu.

Sebenarnya, beberapa orang sarjana antropologi telahpun membicarakan tentang "kutu" ini dalam buku mereka. Antaranya ialah M.G Swift di Jelebu, Negeri Sembilan, dan Mokhzani di Perlis.

Istilah "kutu" ini berasal dari istilah Tamil iaitu "kutthu" (Mokhzani, 1973:363). 'Kutu' terbahagi kepada 2 jenis, iaitu kutu wang dan kutu barang-barang. Secara asasnya, kutu dimainkan oleh sekumpulan individu yang akan meletakkan sejumlah wang tertentu (secara mingguan/ bulanan), dan wang yang dikumpulkan akan diberikan kepada individu dalam kumpulan tersebut mengikut giliran.

Amalan bermain kutu ini sudah banyak berubah dan mengalami anjakan paradigma yang begitu menonjol. Jika dahulu ia menjadi amalan wanita-wanita di desa, kini wanita di bandar adalah yang paling banyak terlibat. Jumlah wang yang terlibat juga bukan sedikit nilainya, hingga ada yang mencecah sehingga ribuan ringgit.

Melalui kutu wang, ahli-ahlinya dapat menabungkan wang mereka dalam satu kumpulan yang agak besar. Kutu dianggap sebagai suatu cara untuk menyimpan atau membeli sesuatu barangan dengan cara yang mudah. Misalnya, dengan menyimpan RM100, hatta RM10.00 sekalipun bukanlah mudah. Tetapi dengan bermain kutu mahu atau tidak kita perlu menjelaskan jumlah wang yang ditetapkan, dan yang seronoknya dalam masa yang ditetapkan kita akan dapat sejumlah wang seperti mana yang kita inginkan.

Selain itu, main kutu tanpa disedari dapat membina jati diri seseorang dengan menjadikan mereka yang terlibat dalam permainan ini lebih berdisiplin, jujur, amanah, bertanggungjawab dan bekerjasama.

Ibu kutu bersama-sama 'anak-anak' kutunya (2011)... 
Di SMKTP, main kutu merupakan 'acara' yang ditunggu-tunggu pada setiap awal tahun. Ramai yang ingin menjadi pesertanya. Kalau lambat, nampaknya kena tubuh pasukan baru. Ibu kutu yang paling sibuk di SMKTP ialah Cik Fuziellah - menjadi 'ibu' untuk 40 orang 'anak' ...! Satu unit bernilai RM200.00. Aku juga tidak ketinggalan untuk mengambil bahagian pada setiap musim. Di sini bukan sahaja golongan wanita, malah beberapa orang guru lelaki juga mengambil bahagian dalam permainan ini.... 

Seorang  ibu kutu ialah Puan Marina... ini kutu kecil-kecilan...





Wednesday, January 18, 2012

Nostagia CNY di kampung....

Setiap tahun menjelang Tahun Baru Cina, pasti kenangan semasa zaman persekolahan dulu menjengah minda tanpa sedar.

Sebenarnya, tidak jauh dari rumah saya di Kg Kota, terdapat beberapa petempatan masyarakat Cina yang lebih dikenali sebagai Cina kampung atau Cina Peranakan. Penempatan ini letaknya di Kg Teluk Kandis dan di Kg Pendek. Ada antara anak-anak mereka yang sebaya dengan kami dan menjadi rakan baik semasa bersekolah, antaranya ialah WEE SAW LAN dan KANG GEK NEE, 2 orang sahabat yang nama mereka masih dalam ingatan. Beberapa orang rakan lelaki yang sama-sama bersekolah sehingga di SIC, saya sudah lupa nama mereka.... termasuklah rakan sekelas semasa di Ting.5 yang juga menetap di Kg. Pendek @ Kg. Teluk Kandis.

Saw Lan yang kini bermastauti
n di Singapura, berasal dari Kg Pendek, Jalan Salor, KB. Menurutnya, neneknya tinggal di Pasir Mas. Saw Lan merupakan kawan baik kakak saya dan senior setahun semasa di SRJK (I) Kota, SMK Kota dan di SIC. Kami sama-sama ‘graduate’ pada tahun 1985 di UM.

Gek Nee pula yang dikenali sebagai ‘Ani’ di kampungnya merupakan rakan sekelas saya semasa di sekolah menengah rendah. Sudah lebih 30 tahun lamanya kami terpisah. Selepas LCE saya meneruskan persekolahan di SIC dan Gek Nee kekal di SMK Kota. Kami terus terputus hubungan setelah tamat Tingkatan 5.  Baru beberapa bulan lepas kami 'bertemu' di alam maya via fb....

Gek Nee tinggal di Kg Teluk Kandis. Saya dan beberapa orang kawan selalu berbasikal untuk ke rumah Gek Nee, melalui lorong berbatu kecil (kini sudah bertar) menghala ke tebing Sungai Kelantan. Lorong ini hanya muat sebuah kereta dan tidak boleh berselisih. Dari jalan utama, iaitu Jalan Salor, lebih kurang 400 meter ke dalam, kita akan sampai di sebuah perkampungan masyarakat Cina, yang kami kenali sebagai Cina kampung…

Salah seorang penghuni keturunan Cina di sini, yang kami kenali dengan nama Melayunya 'Mek Ngo', mempunyai hubungan yang agak rapat dengan keluarga saya. Mek Ngo merupakan seorang peraih di Pasar Besar Kota Bharu. Mek Ngo sudah agak berumur pada masa saya masih bersekolah. Setiap hari dia akan berulang-alik ke KB dengan teksi/ beca roda tiga. Masih jelas tergambar dalam ingatan senyuman Mek Ngo yang manis, setiap kali teksi @ beca roda tiga yang ditumpangi Mek Ngo lalu di depan rumah kami. Biasanya teksi tersebut sarat dengan barangan yang akan dijual di pasar Kota Bharu nanti.

Apabila tiba Hari Raya Cina, saya bersama beberapa orang kawan sekelas akan berbasikal ramai-ramai ke rumah Gek Nee. Kami mengambil masa selama lebih kurang 20 - 30 minit untuk sampai ke destinasi. Sekarang, jika menaiki kenderaan bermotor, dalam masa kurang daripada 10 minit sampailah kita ke Teluk Kandis. Lebih 30 tahun dulu, jalan raya tidaklah sesibuk sekarang. Di rumahnya, kami dihidangkan dengan pelbagai jenis makanan kering, buah limau mandarin dan air oren atau sarsi atau lemonade atau ice cream soda di dalam botol (botol warna hitam seperti botol kicap). [Dulu, di rumah kami sendiri pun, hidangan air dalam botol seumpama ini, juga menjadi kemestian semasa hari raya]. Kami akan diberi ‘ang pau’ sebelum beredar pulang.

Sebenarnya, kaum Cina di Kelantan terbahagi kepada dua golongan, iaitu Cina Peranakan dan Cina Bandar. Orang Melayu memanggil golongan Cina Peranakan sebagai Cina kampung, Cina Kelantan atau Orang Cina kita. Bagi golongan Cina yang tinggal di bandar, mereka dipanggil Cina benua atau Cina Bandar.

Bagi saya, Mek Ngo, ‘Mek Yah’ dan ‘Ani’ mewakili masyarakat Cina kampung yang mengamalkan budaya Melayu. Dulu, mereka bercakap dialek Kelantan sesama sendiri, bercucuk tanam, berbual di anjung rumah, memakai kain pelikat bagi lelaki, dan memakai kain batik bagi kaum wanita. Ada juga yang berkelubung kepala jika keluar rumah. Cina Peranakan ini juga makan budu dan ulam-ulaman. Mereka juga menggunakan nama Melayu, seperti Che Husin, Che Hassan, Mek Su dan nama-nama lain yang mencerminkan proses asimilasi telah merubah dan membentuk budaya tersendiri dalam kalangan masyarakat tempatan.

Jangan terkejut, Saw Lan pandai memasak nasi kerabu Kelantan ala Siam, walaupun sudah lebih 20 tahun bermastautin di Singapura…!

Walau bagaimanapun, mereka tetap mengamalkan budaya mereka sendiri ketika berada di dalam rumah. Mereka masih lagi mengekalkan budaya Cina seperti sembahyang, adat perkahwinan dan juga upacara pengkebumian.

Dulu, bila berkunjung ke perkampungan masyarakat Cina kampung di Kg Teluk Kandis atau di Kg Pendek, (banyak lagi tempat lain di Kelantan sebenarnya) kita akan dapat melihat senibina rumah asal Cina yang amat unik dan menarik. Rekabentuk, jenis kayu, malah ukiran yang dipahatkan adalah seni Melayu, cuma tulisan kaligrafi Cina yang mempunyai ciri ke”Cina”an menghiasi ruang tamu dan anjung. Namun begitu, kini, kesenian dan kehalusan senibina rasanya sudah tidak ada lagi kerana kebanyakan rumah sudah dibina semula dengan reka bentuk moden.

terkenang semasa dulu....

Foto : Saw Lan semasa majlis Hari Raya Aidilfitri di rumah kami September 2011.....

Saturday, January 14, 2012

Dari Dapur Chef In....



Pagi tadi, ta
pi tidaklah pagi sangat... dah hampir pukul 10.00 pagi hubby ke pasar basah di atas bukit IM2. Dia kata nak cari ikan segar, nak masak singgang. Lama dah tak makan ikan singgang, katanya.

Tapi apabila sampai di rumah, katanya tak ada ikan yang 'segar' kerana sudah agak lewat.... Dia beli ikan cencaru, ayam, sedikit daging, (katanya untuk digoreng dengan mihun malam nanti) dan ketam. Nak gulai lemak cili padi padi, katanya.

Selepas selesai membasuh ikan, ayam dan menyimpan ketam serta daging ke dalam peti ais, kami mengambil sarapan walaupun sudah melewati pukul 11.00 pagi. Sarapan dengan air kopi panas dan roti fiber gardenia bakar yang disapu dengan sedikit marjerin + kaya. Sambil-sambil tu sempatlah ber'fb' dan membuka emel....

Pukul 1.00 tengah hari, kami masuk ke dapur. Tugas saya hanya menyediakan bahan-bahan untuk menggulai ketam lemak cili padi. Bahan-bahan seperti bawang merah, bawang putih, lengkuas dan kunyit ditumbuk menggunakan lesung batu. Selebihnya hubby yang selesaikan.

Ikan cencaru yang agak besar dilumur garam kunyit dan digoreng biasa. Daging pula digoreng kicap campur dengan ubi kentang goreng yang dibelah bersegi lima atau empat.


Inilah juadah makan tengah hari dan malam untuk kami bertiga hari ini. Alhamdulillah, syukur kepada Ilahi atas rezeki yang diberi....


Sunday, January 8, 2012

Refleksi Diri : BRONTOK....

Pagi Ahad yang mendamaikan. Kami tidak ke mana-mana hari ni, hanya habiskan masa di rumah. Buat apa-apa yang patut. Minggu depan, minggu kedua persekolahan pasti banyak perkara yang perlu diuruskan....

Pada pagi yang santai ini, saya membuka semula Brontok setelah sekian lama tersusun di rak buku....
'Brontok : Virus yang merosakkan sebuah pentadbiran' - sebuah buku motivasi tulisan Norbi Husin. Banyak kisah yang boleh dijadikan teladan dalam menjalani tugas harian.

Dua buah buku Puan Norbi, yang pernah saya baca dalam beberapa tahun ke belakangan ini ialah '
Asam Pedas Gula Melaka' dan 'Gurukah Aku Atau ...'. Buku 'Asam Pedas....' menceritakan pengalaman pengarang semasa memegang jawatan pengetua sekolah. Dalam buku 'Gurukah Aku...' pula, pengarang merakamkan pengalamannya semasa menjadi pelajar kemudiannya menjadi guru. Kedua-dua buku ini banyak memberi manfaat kepada saya sebagai seorang guru. Pagi ini sebagai terapi minda, saya telah membaca beberapa tajuk dalam buku Brontok ini sekali lagi.

Brontok merakamkan
pengalaman pengarang semasa bertugas sebagai Ketua Sektor Pengurusan di Jabatan Pelajaran Negeri Melaka. (Pengarang berasal dari Melaka.) Brontok ditulis dalam bentuk cerita pendek atau episod yang dipetik daripada sesuatu peristiwa yang dilihat. Semua cerita dan episod yang ditulis, disusun mengikut kronologi dan ada kaitan antara satu sama lain. Cerita-cerita yang yang dipaparkan boleh menyuntik semangat pembaca dan boleh dijadikan ikhtibar.

Memetik kata-kata beliau :
"Satu perjalanan yang jauh dan lama seharusnya menempuh pelbagai dugaan dan untuk sampai ke garisan penamat, kita haruslah kuat dan tabah menghadapinya."

Membaca Memperkaya Minda...



Wednesday, January 4, 2012

Selamat Kembali Ke Sekolah : Ikhlas dalam kerja.......



4 JANUARI 2012.... SELAMAT PAGI SMK TANAH PUTIH....

Ingatan kepada diri...


Semua perkara akan menjadi susah sekiranya kita tidak melakukannya dengan ikhlas. Sekiranya kita melakukan sesuatu perkara dengan ikhlas, setiap perkara yang dianggap sukar oleh orang lain, tetap mudah bagi kita.

Sekiranya kita ikhlas melakukan sesuatu perkara, kita pasti akan melakukannya dengan bersungguh-sungguh dan penuh bersemangat. Oleh itu dahulukan keikhlasan dalam melakukan sesuatu perkara.

Tahun ini merupakan tahun ke 26 saya dalam perkhidmatan awam dan masuk tahun ke-7 di SMKTP. Semoga SMKTP akan terus meninggalkan kenangan indah dalam perjalanan kerjaya saya....

Kelas yang saya masuk pada hari pertama sesi 2012 ini ialah 3K3 dan 3K4. Daripada 'pandangan pertama' saya pagi tadi, mereka nampak ok....Harap-harap ini berterusan sehingga akhir tahun.



(sumber ilustrasi : daripada buku "Gurukah Aku Atau...." Pn. Norbi Husin)