Saturday, November 1, 2014

secebis kenangan....kacar sugho di bulan Muharam....


Hari ini 1 NOVEMBER 2014, bersamaan dengan 8 Muharam 1436H.  2 hari lagi, 10 Muharam menandakan tibanya hari yang dikenali sebagai Hari Asyura.

Dah lama rasanya saya tidak merasai “sugho” @ bubur asyura ala Kelantan ni...tahun ni rasa teringin sangat untuk merasainya... Chek Yah kata, sugho Hjh Nik Meriam, Jalan Kelocor tempat saya selalu beli murtabak frozen dan akok tu paling best... nampaknya nak kena telefon untuk tempah sugho dengan Hjh Nik.

Teringat semasa zaman kanak-kanak dulu, melihat Nenek buat sugho bersama-sama jiran tetangga. Sehingga kini, masih ada masyarakat kampung yang meneruskan tradisi membuat bubur asyura beramai-ramai dalam bulan Muharam...

Dulu-dulu, orang kampung juga memanggil bulan Muharam sebagai bulan sugho... di sana-sini pasti ada kumpulan yang berpakat secara gotong-royong 'mengacar sugho' ni. Memang meriah sungguh walaupun mengambil masa yang lama, sehingga 8 - 9 jam untuk menukarkan bahan-bahan yang dijerang di dalam kawah itu menjadi sugho... Malangnya, anak-anak saya kini sudah tidak berkesempatan melalui pengalaman seperti itu....malah, mereka tidak begitu menyukai juadah turun-temurun ini...

Paling akhir, pengalaman bersama-sama (melihat orang) kacar sugho adalah semasa bertugas di SMK Sultan Ismail, Kota Bharu beberapa tahun lepas. Sudah menjadi tradisi warga SMKSI mengadakan majlis keagamaan begini bagi merapatkan hubungan silaturahim antara guru-murid-ibu bapa. Kalau tak kacar sugho, kami bekwah potong lembu sempena Maulidur Rasul.

Walaupun hanya sempat 2 tahun (2004-2005) bertugas di SMKSI sebelum berpindah ke Kuantan, kenangan bersama-sama rakan guru amat meninggalkan kesan di hati. Kami diagihkan tugas untuk menyediakan ramuan sugho tu. Kalau tidak silap, saya da
n beberapa orang teman guru diberi tugas menyediakan daging untuk digunakan sebagai ramuan sugho itu. Setiap orang menyediakan 1 @ 2 kilo daging. Daging ini kami rebus. Kemudiannya tongkolan daging yang telah direbus itu disiat-siatkan menjadi urat daging yang halus. Semua ni kami buat di rumah.

Keesokan paginya, kami bawa semua bahan yang telah disediakan itu ke sekolah. Hari kami buat majlis 'kacar sugho' tu kebetulannya jatuh pada hari Khamis, hari pakai baju batik ke sekolah. Jadi, berbaju batiklah kami pada hari itu. Tak sangka pula, ramai yang berbatik biru....macam uniform pula. Kami sama-sama berkumpul di atas wakaf berbumbung atap nipah di tepi kantin SMKSI untuk menyediakan apa-apa yang patut. Semuanya menjadi kenangan yang indah walaupun sudah lebih 8 tahun berlalu...


kenangan buat sugho di SMKSI...2005

Sebenarnya, bubur Asyura @ sugho ini ialah bubur yang dibuat dengan pelbagai campuran ramuan pada 10 Muharam iaitu pada Hari Asyura. Setiap negeri, terutama negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, mempunyai Bubur Asyura yang berlainan rasa dan ramuan. Bubur asyura @ sugho di Kelantan berbeza dengan bubur asyura yang terdapat di tempat lain…

Antara bahan yang digunakan untuk buat sugho ni ialah beras, ubi keledek, kacang merah, kacang hijau, kacang putih, jagung, rempah "sugho" (ramuan yang paling penting yang boleh membezakan rasa...), santan, daging , bawang merah, bawang putih, halia, gula dan garam secukup rasa. (Tak pasti pula, kalau-kalau ada yang tertinggal...!)

Tempoh mengacaunya ialah selama 7-8 jam... Mula-mula tidaklah terasa penat sangat kerana ramuan masih cair dan berwarna putih (campuran santan dan beras). Tetapi, selepas beberapa jam, setelah (telah dicampurkan dengan bahan-bahan di atas), sugho tadi menjadi semakin pekat, barulah mula terasa kepenatannya. Sugho ni perlu dikacau sehingga betul-betul sering, supaya tahan lama dan lambat basi. Selepas 7 atau 8 jam, dan sugho ni betul-betul sering, barulah disejukkan di dalam bekas... Masa kecil-kecil dulu Nenek akan sejukkan sura ni di dalam tempurung kelapa. Dulu, manalah ada bekas-bekas plastik yang tahan panas seperti hari ini...

Peristiwa Asyura berkaitan dengan peristiwa Nabi Musa a.s.,
Ibn Abbas r.a. menceritakan bahawa Nabi s.a.w. tiba di Madinah dan melihat orang Yahudi berpuasa pada hari 10 Muharam. Nabi s.a.w. bertanya apa yang yang mereka lakukan? Orang Yahudi menjawab bahawa hari ini (10 Muharam) ialah hari soleh (baik). Allah s.w.t. menyelamatkan pada hari ini Musa a.s. dan Bani Israel daripada musuh mereka. Maka Musa berpuasa pada hari tersebut. Maka Nabi s.a.w. bersabda bahawa baginda lebih berhak dengan Musa daripada kamu (orang Yahudi). Nabi s.a.w. berpuasa pada hari itu dan mengarahkan sahabatnya berpuasa. (Riwayat Bukhari).

Ada juga anggapan bahawa hari Asyura berkait dengan peristiwa Nabi Nuh.
Kononnya, selepas diselamatkan daripada banjir besar, maka dibuatlah makanan daripada apa yang ada. Makanan yang dimasak itu ialah bubur. Lalu terbitlah satu makanan namanya bubur Asyura. Apa pun yang pasti hari 10 Muharam berkait dengan peristiwa Nabi Musa dan ada anggapan ia berkaitan dengan juga dengan Nabi Nuh.

Puasa hari Asyura pula merupakan sunah Nabi Muhammad s.a.w. Ini ditegaskan dalam satu sabda maksudnya: Sesungguhnya hari ini hari Asyura dan tidak diwajibkan atas kamu puasa padanya. Sesiapa yang mahu maka berpuasalah, dan sesiapa yang tidak mahu maka berbukalah. (Riwayat Bukhari).


....Makan sugho makan juga, tapi penghayatan itu lebih penting. Menggabungkan kedua-dua niat itu alangkah lagi bagus. "Memasak dengan niat menjamu dan sedekah + menghayati peristiwa dan Kisah Nabi Nuh as".

Saturday, October 11, 2014

Seketika di meja tulisku....


Meja tulisku
sarat kertas dan buku
pena gagah menari

tangan bersimpang siur
memikirkan tugas dan peranan
merenung arah dan tujuan
mengelamun sedetik rasa.

Meja tulisku
menjadi saksi
bahawa aku memerah minda
mencari jawapan dan penyelesaian
kekadang hilang pertimbangan
apabila menuntut kesegeraan
apabila mengejar masa
sedangkan diri dimamah lelah.

Meja tulisku
juga saksi kelegaan
pabila kerja dibereskan
idea dapat dicurahkan
dapat memecah kebuntuan
dapat menyulam kegigihan
dalam keterbatasan


Tuesday, September 9, 2014

Kakak sudah mula ke sekolah....


3 SEPTEMBER  
Kakak mula ke sekolah.  
The Little Caliphs. 


Permulaan yang baik buat Kakak.  
Pada usia baru melewati 25 bulan Kakak sudah belajar berdikari.  Kakak menjadi murid yang paling muda di 'The Little Caliphs'.

hari pertama Kakak ke sekolah....

Seperti yang dijangka, Kakak 'menyanyi' sekuat hati apabila ditinggalkan oleh Mummy pada hari pertama.... 
Mummy tunggu di dalam kereta.  

Kakak balik dari sekolah pada hari kedua....

Hari kedua, Kakak masih 'menyanyi' tetapi sekejab sahaja.  
Hari demi hari, 'nyanyian' Kakak semakin kurang kenyaringannya....  
Kakak dengan uniform... agak besar, saiz untuk yang berumur 4 tahun....

Hari ini setelah empat hari ke sekolah, 
Kakak sudah mula berbual-bual dengan kawan-kawan.

 gembira... sebelum ke sekolah pada hari ke-4....



Semoga Kakak cepat menyesuaikan diri di sekolah.





Monday, September 8, 2014

Nostalgia Musim Haji....


Di sana-sini ramai orang memperkatakan tentang ibadat haji yang bakal bermula tidak lama lagi. Beberapa orang rakan dan sanak saudara telah mendapat jemputan untuk ke rumah Allah pada tahun ini. Alhamdulillah. Saya turut gembira dengan perkhabaran tersebut. Bilakah pula giliran saya....?

Setiap kali musim haji tiba, saya sering teringat pengalaman buat pertama kalinya menghantar ahli keluarga terdekat ke tanah suci. Kenangan lebih 40 tahun yang lalu....
Saya masih ingat lagi, pada tahun 1968, ketika itu saya masih belum bersekolah. Saya bersama rombongan keluarga terdekat menghantar Tok Be Saadiah dan suaminya yang kami panggil Wak Aji untuk pergi menunaikan haji ke Mekah melalui jalan laut. Kami menghantar Tok Be di Stesen Kereta Api Tumpat. Tok Be akan menaiki kereta api terus ke Kuala Lumpur sebelum bertolak ke Jeddah dengan kapal di Pelabuhan Kelang.
Tok Be (Saadiah) merupakan kakak sulung kepada nenek Lijah. Nenek Lijah mempunyai 5 orang adik beradik. 4 perempuan dan seorang lelaki. Yang lelaki saya tidak sempat kenal. Kata nenek, dia pernah dikerah menjadi buruh paksa membina Jalan Kereta Api Maut (semasa Zaman Pendudukan Jepun di Tanah Melayu) dan meninggal dunia tidak lama selepas itu. Nenek Lijah merupakan adik bongsu. 2 lagi ialah Tok Chik (Zainab) dan Tok Ngah (Esah). Dalam empat beradik ni, Tok Be merupakan orang yang pertama sekali ke Mekah dan dialah yang paling akhir kembali ke rahmatullah. Tok Be meninggal dunia pada tahun 2005.
Ingat-ingat lupa, kami menaiki bas @ menyewa kereta untuk ke Tumpat. Di stesen kereta api Tumpat (stesen paling akhir), orang sangat ramai. Pada masa tu, kalau ada orang pergi haji, hampir satu kampung akan turut serta mengiringi keberangkatan mereka. Maklumlah, bukan mudah untuk ke sana pada waktu itu, dalam satu kampung tu tak ramai yang pergi; tidak seperti hari ini.
Sebaik sahaja Tok Be menaiki kereta api menuju stesen Kuala Lumpur, saya ingat lagi, kami melambai-lambai dengan kain sapu tangan kecil sehingga kereta api hilang daripada pandangan mata. Mereka akan meneruskan perjalanan ke Pelabuhan Kelang kerana pada masa tu, bakal haji pergi ke Mekah menaiki kapal laut. Perjalanannya jauh dan tentu sekali mengambil masa yang lama. Berbulan-bulan lamanya jika diambil kira pergi dan balik. Tabung Haji belum ada lagi waktu tu untuk menguruskan jemaah haji, jadi semuanya diuruskan sendiri dengan bantuan kenalan, biasanya yang dah lama menetap di Mekah (mungkin orang yang mengetuai rombongan haji).
Perpisahan di stesen kereta api, kadang-kadang dirasakan sebagai perpisahan terakhir. Hanya doa dan air mata yang mengiringi TokBe agar selamat pergi dan kembali. Daripada apa yang diceritakan oleh Mama, Tok Be terpisah dengan Wak Aji (suami TokBe) ketika di Mekah. Mereka bertemu semula setelah kembali ke tanah air.
Pada masa tu, kami yang masih kecil tidak begitu faham erti perpisahan...
Buat sahabat yang akan / telah berangkat ke tanah suci, selamat menunaikan fardu haji dan selamat menyempurnakan ibadah, semoga mendapat haji mabrur....

Monday, September 1, 2014

BULAN YANG KE-9 TAHUN 2014....


yang terindah....


September datang lagi....

Terkenang lagu " Ingatan Manis di Bulan September" yang dinyanyikan oleh biduanita Sharifah Aini sekitar awal 1970-an:
"Kumasih ingat
perkenalanku
di bulan,
September...
September...."


Sesungguhnya, September merupakan bulan merayakan beberapa hari istimewa dalam keluargaku.

2 September 2014, genap tiga tahun perkahwinan anakanda kami MOHD FAHMI NAIN dan NURUL AINA AWANG yang telah melangsungkan perkahwinan pada 2 Syawal 1432H, bersamaan 2 September 2011 dan cahaya mata mereka yang pertama FARHAH HANNAN sudah melewati usia dua tahun dan adindanya FALISHA SALSABILA sudah menjangkau usia 7 bulan.  





September... sebagaimana tahun-tahun sebelum ini, banyak hari istimewa yang diraikan dalam keluarga....

09 SEPTEMBER, NATASHA ALIA BT. SAHAZALI genap usia 20 tahun. Natasha Alia, puteri sulung kepada Norbanilawatey Jusoh dan Sahazali Awang Deraman, dilahirkan di HKL sebelum dibawa balik ke kampung yang permai dan indah  "HAPPY BIRTHDAY ALONG TASHA".  

Semoga Along Tasha akan terus melakar kecemerlangan sebagai penuntut IPTA.... Doa Cik La agar Along Tasha akan menjadi seorang anak yang berjaya dunia dan akhirat, bertanggungjawab dan lebih matang menghadapi segala dugaan hidup...



Pada 14 SEPTEMBER, adik iparku SAHAZALI B. AWANG DERAMAN akan menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke- .... ?  Semoga terus tabah dengan ujian-Nya....

Tambah manis lagi, pada 19 SEPTEMBER ini bertambah lagi usiaku - melewati setengah abad...! 

Pada tarikh itu juga 28 tahun yang lalu aku telah disahkan menjadi suri hidup kepada insan yang tersayang setelah beberapa musim menyemai kasih dan menganyam rindu ketika bersama-sama di Lembah Pantai.... 


Cepatnya masa berlalu. Sudah menghampiri 3 dekad rupa-rupanya kami mengharungi pahit manis bersama, menempuh duri dan ranjau hidup menuju jalan pulang .... 


21 SEPTEMBER pula adik bongsu kami, RATNA IDAYU BT. JUSOH akan menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-29 tahun.  Dilahirkan 2 hari selepas Papa dan Mama 'bekwah' kahwinkan anak perempuan keduanya, yang julung kali dalam keluarga kami pada tahun 1985.



23 SEPTEMBER,  adik iparku yang ke-3, JAILANI B. ABDUL MANAF pasangan kepada adindaku MELISA KAMELIA akan menyambut hari ulangtahun kelahirannya yang ke- ..... ?


SEPTEMBER yang sentiasa bertamu tanpa jemu, banyak merakamkan saat manis yang sangat indah untuk dikenang.... yang diraikan bersama keluarga....

Alhamdulillah.



Tuesday, August 26, 2014

Kenangan 26 OGOS 1984


Tarikh yang tetap akan dikenang.

Pada tarikh tersebut, aku menghadiri Majlis Konvokesyen bakal 'teman seiring jalan sepanjang hayat' yang berlangsung di DTC, Universiti Malaya. Saat itu belum 100% pasti!  Setahun selepas itu, ia menjadi suatu kepastian yang nyata dan kekal hingga kini... dan setelah 29 tahun berlalu, ia menjadi semakin pasti...

26 OGOS 1985...

Pada tarikh yang sama juga, lahir seorang lagi puteri dalam keluargaku. Dinamakan NADIA HANUM oleh ayahanda tercinta. Semasa kecil sangatlah lain daripada yang lain... terkena sawan tangis... menangis aje kerjanya... menangis dan berguling-guling sehingga berhenti sendiri. Papa & Mama tak mampu berbuat apa-apa semasa dia menangis... biarkan dan hanya tengok serta berdoa sahaja, setelah penat, berhentilah dia menangis.... 

Esok @ lusa akan berulang lagi... macam dalam filem AHMAD ALBAB pula !

26 OGOS 1984 - 18 SEPTEMBER 1985.... ketika berusia setahun lebih

Jikalau bapa 'Mastura' menamakan anaknya yang kuat menangis itu dengan nama AHMAD ALBAB lalu terus hilang tangisannya, NADIA HANUM juga ada ceritanya yang tersendiri.

Setelah sawan tangisnya berlarutan dalam tempoh yang agak lama juga, lalu Papa & Mama terfikir untuk meletakkan gelaran 'WAN' dipangkal namanya = WAN NADIA HANUM... (mungkin juga ilham daripada Nenek Lijah, ni nak kena tanya Mama...) barulah hilang sawan tangisnya itu...! Nampaknya, dia nak juga gelaran WAN yang dibawa oleh moyang sebelah Mama, WAN JEMILAH BT. WAN SAID.

Inilah asal-usulnya adikku yang sorang ni yang lebih dikenali dengan 'WAN' dalam kalangan keluarga terdekat berbanding dengan namanya yang sebenar. Hilang nama asalnya, kecuali anak-anak buah aje memanggilnya 'CIK HA'. Itulah alkisahnya!



2010....
Tak tahulah pulak, tuan empunya diri masih ingat ke tidak....


Pada tarikh yang sama juga, lahirlah HUFZAIDAH, puteri sulung dalam keluarga arwah Abang Aziz (abang ipar). Kini, dia serta 4 orang adiknya telah menjadi yatim piatu sejak beberapa tahun lepas.

Selamat menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-30 Wan dan Adah....

Kenangan yang mewarnai hidup keluarga kami ini tetap kekal dalam ingatan ...



Saturday, August 23, 2014

SELAMAT TAMBAH UMUR....

Bulan Ogos, hampir menutup tirai....

3 saudara terdekat menyambut ulangtahun kelahiran pada bulan Ogos.  Hari ini, 23 Ogos, ulang tahun kelahiran MELISA KAMELIA yang ke-33. 



Pada 26 Ogos pula, ulangtahun kelahiran NADIA HANUM yang ke-30. Pada tarikh yang sama, ulang tahun anak saudara HUFZAIDAH BT. ABDUL AZIZ, juga yang ke-30 tahun.
 
Bertambah umur, bermakna usia kita semakin pendek... semakin dekat tempoh masa untuk kita kembali ke alam abadi.... 

SELAMAT HARI JADI untuk kalian bertiga... semoga sejahtera sentiasa, dimurahkan rezeki dan terus cemerlang dunia akhirat.

Monday, July 28, 2014

Selamat Ulang Tahun Kelahiran, Adik....

 

Hari ini , 28 JULAI 2014 bersamaan 1 Syawal 1435 Hijriah, genaplah 25 tahun usia Adik. 

 
Ucapan SELAMAT HARI LAHIR daripada kami sekeluarga untuk Adik....

Mak dan Ayah berharap agar Adik akan lebih matang dan kuat menghadapi cabaran hidup. 


Jangan lupa berdoa kepada Yang Esa. Selalu ingat DIA.  





Teruskan kecemerlangan untuk mencapai cita-cita Adik....

Diploma....2010

Ijazah Pertama...2012


Cepatnya masa berlalu...

Friday, June 27, 2014

Ramadan datang lagi : Puasa dan Takwa...



Tenggelamnya matahari 30 Syaaban esok, bermakna bermulalah Ramadan yang ditunggu-tunggu saban tahun.  Bulan yang menjanjikan 1000 rahmat.


Jika pada usia kanak-kanak, hari raya menjadi motivasi untuk kita berpuasa, apakah pula yang menjadi motivasi kepada golongan yang sudah melewati dunia kanak-kanak....?

Kini, apabila kita sudah menginjak usia dewasa, hari raya mesti dilihat dari perspektif ibadah dengan menitikberatkan prinsip-prinsipnya yang lebih hakiki. Tujuan berhari raya mesti dikaitkan dengan ibadah puasa yang dijalani sebelumnya.

Hakikatnya, ukuran kejayaan amalan puasa seseorang adalah kejayaan melahirkan sifat takwa dalam diri orang yang berpuasa.  Takwa ialah matlamat utama berpuasa.

Mereka yang berjaya mendapat sifat takwa layak bergembira. Dengan takwa mereka akan mendapat bantuan daripada Allah s.w.t., dilepaskan daripada tipu daya musuh, mendapat jaminan rezeki, diberikan jalan penyelesaian kepada masalah melalui jalan yang tidak disangka-sangka, dan pelbagai nikmat lagi. Selayaknya mereka bergembira dan bersyukur kepada Allah pada hari raya atas kelebihan-kelebihan itu.

Sebaliknya, jika takwa tidak terhasil, bermakna puasa itu gagal. Orang yang gagal, layakkah bergembira....?

Walaupun kita belum bertakwa dan puasa kita masih bertatih di tahap puasa orang yang sedang bermujahadah, namun tidak salah untuk kita "tumpang gembira" dengan kegembiraan orang yang bertakwa pada hari raya. Walaupun hati kita sedih mengenangkan puasa kita yang masih terumbang-ambing, tetapi itu tidak menghalang kita untuk bergembira pada hari raya...!

Semoga dengan meniru mereka, kita akan tergolong dalam golongan orang yang bertakwa juga.

Yang peliknya, mereka yang tidak layak bergembira ini pula yang bergembira. Bergembira dengan cara yang berlebih-lebihan sehingga roh Ramadan tercalar seawal Syawal.

....sekadar mengingatkan diri sendiri...

Syukur alhamdulillah, kita masih diberi kesempatan dan berpeluang bertemu Ramadan lagi pada tahun ini.... 

Sunday, June 22, 2014

Bertambah lagi umur Abe....

Abe ketika berusia 2 bulan....
Pada 22 JUN lebih dua dekad setengah yang lalu, pada usiaku hampir mencecah 24 tahun, aku mula bergelar 'Mak' dengan hadirnya Abe dalam hidup kami, yang kami namakan MOHD FARIS B. NAIN

Kami sangat bersyukur kerana dalam usia yang masih muda, kami sudah bergelar "Mak" dan "Ayah". Kehadiran Abe juga telah menceriakan lagi keluarga Papa dan Mama yang selama ini dikelilingi oleh 8 orang cahayamata yang kesemuanya puteri. Abe merupakan cucu pertama Tok Pa dan Tok Ma. Hadir seorang lagi putera dalam keluarga besar Papa, selain menantu pertamanya..., suamiku!
24 tahun yang lalu....

Abe hadir pada musim masyarakat dunia 'demam' bola sepak Piala Dunia. Kebetulan pada waktu itu, di Mexico berlangsung perlawanan Bola Sepak Piala Dunia kali ke-13 yang bermula dari 31 Mei hingga 29 Jun 1986. Aku masih ingat lagi, Abe selamat dilahirkan di rumah Mama tepat pukul 10.30 malam, beberapa jam sebelum perlawanan peringkat separuh akhir Piala Dunia 1986.

Ini bermakna, suamiku yang baru beberapa jam bergelar "Ayah" tidak lagi diselubungi resah gelisah menunggu 'orang baru'; dapat duduk dengan selesa, di depan kaca televisyen untuk menonton perlawanan separuh akhir antara Jerman dengan Perancis yang diadakan pada pukul 2.30 pagi (waktu Malaysia). Piala Dunia 1986 dimenangi oleh Argentina yang telah mengalahkan Jerman 3-2, dan Diego Maradona dinobatkan sebagai pemain terbaik pada musim itu.


22 JUN 2014 genaplah 28 tahun usia Abe....tatkala demam Perlawanan Bola Sepak Piala Dunia 2014 baru di peringkat pusingan awal..... 


Kini Abe telah memasuki fasa baru dalam kehidupan.  Tanggungjawab Abe makin bertambah kerana telah menjadi ketua keluarga yang baru dibina lebih setahun yang lepas.   

Semoga Abe akan terus diberkati Ilahi. Jangan lupa berdoa kepada-NYA, selalu ingat Allah s.w.t dalam apa-apa jua keadaan, susah atau senang.... Tingkatkan usaha untuk membina masa depan yang bahagia bersama anakanda SITI NUR AISHAH...


Untuk Abe,

Mak dan Ayah sentiasa mendoakan agar Abe terus tabah dan kuat menghadapi cabaran hidup. Perjalanan masih jauh dan panjang. Setiap yang Abe lalui merupakan ujian daripada Yang Maha Esa. Kita perlu redha dan bersyukur kerana masih diberi peluang untuk meneruskan kehidupan ini.

Semoga Abe menjadi ketua keluarga yang bertanggungjawab.  Rajin-rajinlah bekerja dan sentiasalah ringan tulang untuk menimba lebih banyak pengalaman dalam dunia kerjaya....

SELAMAT HARI JADI, ABE.... 

Sunday, June 15, 2014

BERTAMU & BERTANDANG DI KG PINTU PADANG


Segalanya merupakan perancangan Allah.

Majlis bertandang atau blarock atau hantar menantu ke Seri Iskandar memungkinkan kami bertamu di Kg. Pintu Padang, Gopeng.  Kami bertamu untuk bertemu muka beramah mesra dengan kaum keluarga sanak saudara daripada leluhur kami Tn. Hj Wan Muhammad Said....

Segalanya berlaku dengan izin Allah s.w.t.  Syukur alhamdulillah, kami sempat membawa Mama dan Papa bertemu dengan tiga orang Bonda sepupu Mama yang masih ada.

13 JUN 2014, kami bertolak dari TBS lebih kurang pada pukul 8.30 pagi membawa bersama Papa dan Mama berkonvoi dua buah kereta.  Melewati tol Jalan Duta terus menuju lebuh raya PLUS dan lebih kurang 2 jam perjalanan kami masuk melalui tol Gopeng.  
WRJ & WQP....
singgah sekejab di  R & R tol Gopeng....
Petunjuk jalan yang jelas yang diberi oleh Mak Teh memudahkan kami tiba di tempat yang dijanjikan.  Pak Teh yang berkapcai sedia menunggu kami di situ.  Kg Pintu Padang menyambut kami dengan penuh mesra....


teratak tradisional tinggalan arwah Hj Mustafa B. Lokman B HM Said




Terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada Pakteh Norhadi kerana menunggu kami di bawah laluan lebuh raya PLUS menuju ke Kg Pintu Padang.  Kami di sambut oleh Mak Teh Norhuda dan Mak Ngah Norasmara dan Mak Long Noraini sebaik sahaja kaki melangkah keluar dari kereta....bertamu di rumah tinggalan arwah Haji Mustafa B. Lokman B. Hj. Wan Muhammad Said. 


Suasana kampung yang mendamaikan.  Kami dijamu dengan pelbagai juadah yang enak dan istimewa.

Ketika kaum bapa ke masjid menunaikan solat sunat Jumaat, kami keluar meninjau Gaharu TeaValley.

Papa membonceng kapcai Pok Teh untuk ke masjid berdekatan

Encik Kasihku seronok menjadi pasanger  Pakcik ke masjd....

Dengan MYVI Cik Anggerek, kami menuju ke Gaharu Tea Valley yang letaknya di sebelah Kg. Pintu Padang.  Berjalan kaki pun boleh sampai.  Dengan berkereta tak sampai 5 minit.  Rupa-rupanya di sini ada ladang gaharu yang sangat luas saujana mata memandang.  Ramai pengunjung dari dalam dan luar negara singgah di sini.  Kayu gaharu yang tinggi nilainya; teh gaharu yang banyak khasiatnya.



kayu gaharu yang berusia 200 tahun....

mencuba ais krim gaharu... awesome
di pintu gerbang Gaharu Tea Valley
Kami diberitahu oleh Mak Teh bahawa satu perjumpaan keluarga akan diadakan di rumah Opah Nahariah yang letaknya di laluan masuk ke rumah keluarga Mak Teh.  Semasa kami masuk, sudah ternampak khemah terpasang siap untuk majlis pertemuan keluarga nanti.


Papa tidak dapat menahan sebak apabila Opah Nahariah berbari tentang anak cucu Hj. Wan Muhammad Said.  Apabila Opah Nahariah menyebut nama puteri sulung Hj. Wan Said di KB, iaitu WAN JEMILAH BT. WAN SAID, moyang saya dan nama Moksu Jah iaitu nenek saya, air mata Papa terus berlinangan.  Mungkin kerana Papa tidak pernah menduga (walaupun sebenarnya tahu ada saudara mara di Perak) akan bertemu ramai kaum kerabat di Perak, khususnya di Gopeng dalam usianya yang semakin lanjut ini.

Mama bersama Bonda sepupunya, Opah Nahariah
 Pertemuan dengan Pakcik Tuah juga mengundang sebak di hati Papa dan Pokmuda Leh.  Pakcik Tuah pernah menetap di KB, tetapi sejak kembalinya Pakcik Tuah ke Gopeng pada pertengahan tahun 1970-an, Papa tidak pernah bertemu dengan Pakcik Tuah lagi.  Pakcik Tuah merupakan dua pupu Mama.
Papa bersama Pakcik Tuah, Opah Hawa dan Opah Nahariah
Sementara menunggu rombongan rombongan kakanda Roslena seramai lebih kurang 30 orang dewasa dan kanak-kanak yang bertolak dari KB dengan bas tiba, kami menuju ke kediaman Opah Nahariah.  Pertemuan penuh emosi, gembira bercampur rasa terharu yang dalam antara Papa, Mama dengan Opah Nahariah serta saudara-mara yang lain.  Kaum kerabat yang belum pernah bertemu sebelum ini, kecuali Pakcik Tuah.  Sebahagian daripada kaum keluarga di sini berkumpul di rumah Opah Nahariah, termasuk Opah Hawa....

bersama Opah Hawa, sepupu nenda kami, Moksu Joh, Kota

Bersama Pakcik Tuah dan anak-anaknya...
 

Majlis pertemuan keluarga ini dimulakan dengan bacaan doa selamat dan tahlil buat semua leluhur dan kaum keluarga yang telah lebih awal kembali ke alam abadi menemui Penciptanya.

Makanan yang terhidang penuh meja tidak terjamah kerana kami asyik bertanya khabar dan bercerita tentang leluhur kami.  Majlis yang sangat bermakna ini dipenuhi rasa sebak, tawa hilai silih berganti.  Hanya gambar yang menjadi kenangan.




Anak-anak inilah yang akan  meneruskan keturunan leluhur kami Hj. Wan Muhammad Said....

bersama Opah Nahariah... Nenek sepupu kami
 Jika diikutkan hati, kami ingin lebih lama lagi bercerita dan mendengar celoteh Opah dan juga Makcik Pakcik tentang diri keluarga masing-masing, tetapi apakan daya hari sudah hampir menjelang senja.   Kami terpaksa memohon diri untuk meninggalkan majlis ini untuk meneruskan perjalanan ke Seri Iskandar....

berpamitan sebelum meninggalkan Kg. Pintu Padang

Sesuatu yang di luar kotak pemikiran biasa untuk memungkinkan pertemuan ini.  Anak cucu cicit piut HJ WAN MUHAMMAD SAID di Gopeng dan Kota  Bharu bertemu di Kg. Pintu Padang....  Semuanya adalah dengan kekuasaan dan keizinan-Nya.  Syukur alhamdulillah. 


Semoga kami diberi kesempatan untuk bertemu lagi.  Insya-Allah.  

Terima kasih semua....