Saturday, July 15, 2017

Musim Haji Tiba Lagi... Kenangan Kapal Haji


'Menyabung nyawa' untuk ke Tanah Suci


MENGHARUNGI lautan, terpaksa meredah ombak dan badai merupakan antara cabaran para jemaah haji yang mahu ke Tanah Suci Mekah bagi menunaikan rukun Islam yang kelima itu satu ketika dahulu.
Seawal abad ke-15 sudah terdapat jemaah haji dari negara ini yang pergi menunaikan haji dengan menggunakan kapal layar yang memakan masa berbulan-bulan.
Ada antaranya kembali semua ke tanah air dengan selamat. Ada pula yang terus bermastautin di Mekah dan tidak kurang juga yang disemadikan di laut akibat meninggal dunia sama ada dalam perjalanan pergi mahupun perjalanan pulang.
Biarpun sukar dan menuntut pelbagai pengorbanan panggilan Baitullah itu tetap disahut.
Namun, apabila dunia semakin maju dengan teknologi pengangkutan semakin berkembang maka perjalanan untuk menunaikan fardu haji juga turut berevolusi.
Daripada perjalanan menggunakan kapal layar ketika zaman kesultanan Melaka, rakyat negara ini mula berubah menggunakan kapal stim dan kemudian berubah kepada yang menggunakan enjin diesel.
Perjalanan mengerjakan ibadat haji kini yang mengambil masa sekitar lapan hingga sembilan jam dengan menggunakan kapal terbang cukup mudah berbanding dahulu yang perlu menempuh lebih sebulan pelayaran pergi dan balik.
Mungkin ramai yang tidak mengetahui kapal laut bernama Mendam Berahi dan Subulus Salam dari Tanah Melayu pernah berlabuh di pelabuhan Yuddah (Jeddah) sebelum adanya kapal terbang.
Bagai telur di hujung tanduk. Demikian diibaratkan kesungguhan bakal haji ketika itu. Apa tidaknya, mereka bukan sahaja meninggalkan keluarga tetapi 'menyabung nyawa' dengan menumpang kapal dagang yang belayar mengelilingi Asia Tenggara dengan memakan masa berbulan-bulan untuk menuju ke Tanah Suci.
Jemaah haji tanpa mengira jantina, warga tua dan golongan kelainan upaya bersesak-sesak di samping terdedah dengan cuaca yang tidak menentu dalam kapal yang serba kekurangan terutama daripada segi jaminan kesihatan.
Bagaimanapun, segala kesusahan itu bukan halangan kepada umat Islam di negara ini yang bertekad menyahut seruan ilahi ke Baitullah. Biarpun berhadapan kesukaran, jumlah bakal haji tidak pernah berkurang. Malah meningkat saban tahun tanpa mengira musim kecuali pada waktu tertentu seperti berlaku peperangan.
Menjelang abad ke-19 Masihi, pelayaran jemaah haji dari Tanah Melayu ke Mekah mula berkembang apabila kerajaan mengambil inisiatif memperkenalkan Pejabat Hal Ehwal Haji.
Jabatan tersebut bertanggungjawab menguruskan segala hal jemaah haji dan perjalanan haji termasuk menyediakan kapal laut bagi membawa jemaah ke Mekah.
Antara lokasi tumpuan adalah Masjid Melayu, Lebuh Acheh di Pulau Pinang.
Apabila tiba musim haji, kawasan masjid itu dipenuhi dengan orang ramai bukan sahaja dari seluruh pelosok tanah air malahan juga dari Singapura, Indonesia dan Thailand. Mereka menjadikan kawasan masjid itu sebagai tempat tidur sementara menunggu kapal bertolak ke Mekah.
Dahulu, jika seseorang ingin menunaikan haji, sheikh haji atau ejen penjual tiket hanya menyediakan bilik yang mampu menampung sehingga lima orang di hotel-hotel murah di sekitar masjid itu.
Bagaimanapun, sanak saudara yang mengiringi seseorang bakal haji kadangkala mencecah dua bas.
Pada tahun 1936, Pejabat Hal Ehwal Haji bekerjasama dengan syarikat Blue Funnel Line untuk membawa jemaah haji ke Mekah dengan 21 kapal laut.
Bagaimanapun, pada tahun 1951 hingga 1952, urusan tersebut dipindahkan kepada syarikat kapal laut China Navigation Line yang bernama Anshun dan Anking.
Bayaran tambang pergi dan balik termasuk penginapan di Mekah pada tahun 1970-an berbeza mengikut kelas yang diambil oleh jemaah.
Bayaran bagi Kelas I RM1,150 (satu bilik berdua di tingkat satu); Kelas II RM1,063 (empat orang sebilik di tingkat satu); Kelas III RM941 dan pelancongan adalah RM764 di (konsep dorm di tingkat dua dan tiga).
Pada tahun 50-an dan 60-an pula, bagi Kelas I, tambang pergi dan balik dari Pelabuhan Swettenham ialah RM875, kelas II (RM800). Jika mahukan tambang murah jemaah boleh duduk di atas dek hanya dengan bayaran RM600.
Jemaah haji terutama yang kurang berkemampuan terpaksa menggadaikan harta, tanaman, tanah, haiwan ternakan dan sebagainya untuk membayar tambang kapal laut ke Mekah.
Bagaimanapun, selepas 27 tahun, perjalanan haji adalah lebih sistematik. Ia berikutan penubuhan sebuah organisasi iaitu Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji (PWSBH).
Fungsinya mengurus kewangan dan simpanan bakal-bakal haji supaya mereka tidak perlu lagi menggadai harta benda untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.
PWSBH menggunakan tiga kapal laut untuk membawa jemaah haji ke Mekah iaitu Malaysia Kita, Malaysia Baru/Ratu Timur, Malaysia Raya dan Kuala Lumpur yang mampu memuatkan kira-kira 2,000 jemaah dalam setiap kapal pada satu masa.
Bagi memantapkan lagi operasi pengurusan haji, kerjasama strategik antara PBSBH diwujudkan dengan Pejabat Hal Ehwal Haji. Ia membawa kepada terhasilnya Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH) pada 1969 sebelum menjadi Lembaga Tabung Haji (LTH) pada tahun 28 Ogos 1997 dengan menggunakan singkatan nama TH.
Kejayaan TH mengurus jemaah haji negara mendapat pujian malah diiktiraf sebagai antara agensi terbaik di dunia termasuk oleh kerajaan Arab Saudi.



Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1021&sec=Rencana&pg=re_09.htm#ixzz4qOyoztWC 
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Boleh juga singgah di sini....

http://budakhutankampung.blogspot.my/2013/02/cara-orang-orang-dahulu-ke-mekah.html




No comments: