Tuesday, August 1, 2017

MUSIM HAJI TIBA LAGI... Nostalgia TokBae gi Haji

Di sana-sini ramai orang memperkatakan tentang ibadat haji yang bakal bermula tidak lama lagi. Pada tahun ini ramai kenalan dan sanak saudara yang mendapat jemputan untuk ke rumah Allah. Alhamdulillah. Saya turut gembira dengan perkhabaran tersebut. Bilakah pula giliran saya....?

Setiap kali musim haji tiba, saya sering teringat pengalaman buat pertama kalinya menghantar ahli keluarga terdekat ke tanah suci. Kenangan hampir 5 dekad yang lalu....

Saya masih ingat lagi, pada tahun 1968, ketika itu saya masih belum bersekolah. Saya bersama rombongan keluarga terdekat menghantar Tok Bea Saadiah dan suaminya yang kami panggil Wak Aji untuk pergi menunaikan haji ke Mekah melalui jalan laut. Kami menghantar Tok Be di Stesen Kereta Api Tumpat. Tok Bea akan menaiki kereta api terus ke Kuala Lumpur sebelum bertolak ke Jeddah dengan kapal di Pelabuhan Kelang. 


Barangkali, masih ada generasi kita yang tidak tahu bagaimana nenek moyang kita dahulu mahu menunaikan haji di Makkah setiap kali menjelangnya Musim Haji. Sebelum Sistem penerbangan udara diperkenalkan, bakal jemaah kita ke sana dengan menaiki kapal laut dan perjalanan mengambil masa sebulan atau lebih barulah tiba ke destinasi, bergantung pada keadaan cuaca dan angin dilaut. Tapi berbeza zaman sekarang ini, bakal Jemaah Haji hanya perlu naik kapal terbang dan dalam masa yang singkat sahaja untuk sampai ke sana. 
Sebenarnya, terdapat dua buah kapal Haji yang masyhur iaitu "Malaysia Kita" dan "Malaysia Raya".
Kapal "Malaysia Kita"
Nama asal kapal "Malaysia Kita" ialah "Vietnam" dan ia dilancarkan pda 14 Oktober 1951 bagi perkhidmatan Indo-China-Pacific. Pada bulan September 1967 nama "Vietnam" ditukar kepada "Pacific" dan menjalankan perkhidmatan Australia - Tahiti. Pada tahun 1967 kapal ini dibeli oleh syarikat Great Malaysian Lines dan namanya ditukar kepada "Malaysia Kita" dan digunakan untuk mengangkut Jemaah Haji dari Malaysia ke Jeddah. Nasib malang menimpa kapal ini apabila mengalami kebakaran pada tahun 12 Mei 1974 ketika sedang berlabuh di Teluk Katong, Singapura dan akhirnya tenggelam.
Kapal "Malaysia Raya" 
Nama asal kapal "Malaysia Raya" ialah "Laos" dan ia mula dilancarkan pada 21 Disember 1952. Sebagaimana "Vietnam", Laos ialah milik Messageries Maritimes bagi perkhidmatan Indo-China-Pacific.  Pada tahun 1971 "Laos" dibeli oleh syarikat Great Malaysia Line untuk dijadikan "Kapal Haji" dan ditukar namanya kepada "Malaysia Raya". Kapal ini juga mengalami nasib yang sama dengan "Malaysia Kita" iaitu mengalami kebakaran pada 23 Ogos 1976 di Pelabuhan Kelang dan tenggelam. Selepas peristiwa itu, sistem penerbangan diperkenalkan untuk membawa jemaah haji ke Makkah dan sistem pengangkutan laut terus dilupakan.

Tok Bea (Saadiah) merupakan kakak sulung kepada nenek Lijah. Nenek Lijah mempunyai 5 orang adik beradik. 4 perempuan dan seorang lelaki. Yang lelaki saya tidak sempat kenal. Kata nenek, dia pernah dikerah menjadi buruh paksa membina Jalan Kereta Api Maut (semasa Zaman Pendudukan Jepun di Tanah Melayu) dan meninggal dunia tidak lama selepas itu. Nenek Lijah merupakan adik bongsu. 2 lagi ialah Tok Chik (Zainab) dan Tok Ngah (Esah). Dalam empat beradik ni, Tok Be merupakan orang yang pertama sekali ke Mekah dan dialah yang paling akhir kembali ke rahmatullah. Tok Bea meninggal dunia pada tahun 2005.

Ingat-ingat lupa, kami menaiki bas @ menyewa kereta untuk ke Tumpat. Di stesen kereta api Tumpat (stesen paling akhir), orang sangat ramai. Pada masa tu, kalau ada orang pergi haji, hampir satu kampung akan turut serta mengiringi keberangkatan mereka. Maklumlah, bukan mudah untuk ke sana pada waktu itu, dalam satu kampung tu tak ramai yang pergi; tidak seperti hari ini.

Sebaik sahaja Tok Bea menaiki kereta api menuju stesen Kuala Lumpur, saya ingat lagi, kami melambai-lambai dengan kain sapu tangan kecil sehingga kereta api hilang daripada pandangan mata. Mereka akan meneruskan perjalanan ke Pelabuhan Kelang kerana pada masa tu, bakal haji pergi ke Mekah menaiki kapal laut. 

Perjalanan dengan kapal laut mengambil masa berbulan-bulannya   lama. Berbulan-bulan lamanya jika diambil kira pergi dan balik. Tabung Haji belum ada lagi waktu tu untuk menguruskan jemaah haji, jadi semuanya diuruskan sendiri dengan bantuan kenalan, biasanya yang dah lama menetap di Mekah (mungkin orang yang mengetuai rombongan haji).   Jemaah haji kena bawa bekalan makanan seperti ikan kering, beras dan lain-lain, kain baju dan perkakas memasak. Semua barang itu itu dimasukkan ke dalam kotak kayu yang besar. 

Perpisahan di stesen kereta api, kadang-kadang dirasakan sebagai perpisahan terakhir.  Hanya doa dan air mata yang mengiringi TokBea agar selamat pergi dan kembali. Daripada apa yang diceritakan oleh Mama, Tok Bea terpisah dengan Wak Aji (suami TokBea) ketika di Mekah. Mereka bertemu semula setelah kembali ke tanah air.

Pada masa tu, kami yang masih kecil tidak begitu faham erti perpisahan...

Buat sahabat yang akan / telah berangkat ke tanah suci, selamat menunaikan fardu haji dan selamat menyempurnakan ibadah, semoga mendapat haji yang mabrur....

No comments: