Sunday, June 3, 2018

Pensel @ Kalam dan Kehidupan




Rasanya sudah beberapa minggu aku tidak meninggalkan catatan di sini. Bukannya terlalu sibuk, cuma ruang waktu kebelakangan ini tidak begitu mengizinkan... ada perkara lain yang perlu diberi keutamaan....

Aku baru sahaja selesai memeriksa kertas ujian 2. Aku dapati masih ramai murid T3 yang menggunakan pensel untuk menjawab soalan subjektif. Terdetik di hati untuk mencoretkan sesuatu berkait dengan PENSEL. Murid-muridku selalu berkata "takut salah dan susah untuk dipadamkan jika guna pen". Itulah jawapan mereka setiap kali apabila disuruh menggunakan pen.... Berbeza dengan zaman kita bersekolah pada zaman 70-an dahulu... kita sangat teruja untuk 'naik' sekolah menengah, kerana di sekolah menengah nanti barulah kita boleh menggunakan pen sepenuhnya untuk membuat nota atau semasa menjawab soalan....

Sebenarnya, di sepanjang jalan pulang, kita banyak bergantung kepada kebolehupayaan kita melihat sesuatu. Dalam kehidupan ini kalau kita boleh meneladani 5 kualiti yang ada pada PENSEL, kita akan sentiasa berdamai dengan diri, hidup harmoni di dunia dan berjaya mencapai banyak kejayaan dalam kehidupan.

Kualiti pertama : kita berupaya untuk mencapai banyak kejayaan besar dalam kehidupan. Dalam pada itu, jangan sesekali kita lupa akan 'Tuhan' yang membimbing takdir kehidupan kita. Tuhan sentiasa ada untuk membimbing kita dengan rahmat dan kasih sayangNya. Kita boleh merancang perjalanan dalam kehidupan tetapi setiap kali kaki kita melangkah tentu saja dengan keizinanNya. "SEUMPAMA PENSEL, YANG AKAN HANYA MENULIS JIKALAU ADA TANGAN YANG MENGGERAKKANNYA..." 

Kualiti kedua : Kini dan pada bila-bila masa pun, sebaik sahaja mata PENSEL tumpul, pensel perlu dipertajamkan dengan menggunakan "sharpener". Kebolehan pensel 'menahan sakit' tatkala sedang ditajamkan, akan menjadikan pensel lebih tajam dan elok penulisannya. Sama seperti perjalanan hidup kita, kebolehan mengharungi dugaan dan cubaan dalam kehidupan akan menjadikan kita seorang insan yang sentiasa lebih baik pada masa hadapan.

Kualiti ketiga PENSEL sentiasa ada kawan kedua, iaitu "eraser". Eraser akan bertindak segera memadamkan kesalahan yang ada. Hakikatnya, kehidupan ini penuh liku dan simpang. Memperbetulkan keadaan dan memadam kesilapan, bukanlah suatu kesalahan. Semua ini akan memudahkan kita mencari jalan yang lebih lurus dalam kehidupan.

Kualiti keempat : Apa-apa yang menjadikan PENSEL berguna bukanlah kayu luaran yang membentuk rupa wajah pensel, sebaliknya graphite di dalam pensel yang menentukan kualiti tulisan kita sama ada jelas atau tidak untuk dibaca. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa memberi tumpuan kepada isian dalaman diri kita. Itulah hakikat yang asas dan paling utama dalam kehidupan.

Akhirnya, kualiti kelima PENSEL sentiasa meninggalkan catatan terindah yang akan terus kekal untuk dibaca. Begitu juga kehidupan kita nanti... setiap perkara yang kita lakukan pasti meninggalkan bekas dan ingatan. Oleh itu, jadilah insan cemerlang yang meninggalkan tapak gemilang dalam kehidupan yang akan dikenang sampai bila-bila....

...inilah hakikat kehidupan... sekadar mengingatkan diri sendiri.....

No comments: