Wednesday, May 25, 2011

Cuti Sekolah dan kenangan....


Cuti sekolah datang lagi....

Cuti Persekolahan Penggal @ Semester Pertama 2011, selama 2 minggu., bermula 28 MEI, Sabtu ini... Kerja-kerja
menanda kertas peperiksaan sudah hampir selesai. Harap-harap dapat menyiap dan merekodkan markah sebelum cuti bermula.

Walaupun sudah mula bercuti, pada hari Sabtu, 28 Mei nanti ada program PPS di sekolah. Jadi, kenalah berada di sekolah untuk mengendalikan program tersebut bers
ama guru-guru Pusat Sumber yang lain. Hari Isnin dan Selasa minggu depan, saya bercadang untuk ke sekolah menyemak Kerja Kursus Sejarah murid 3K4. Hari persekolahan biasa memang tak sempat untuk membelek tugasan mereka itu....

Pertengahan minggu nanti kami bercadang untuk balik ke kampung menjenguk keluarga. Musim cuti begini, bolehlah berlama sedikit bersama ayah bonda dan sanak saudara yang lain...dan yang pasti cuti nanti...banyaknya 'bekwoh'...!

Cuti sekolah... seringkali menggamit memori zaman kanak-kanak @ zaman sekolah rendah. Dulu, cuti sekolah merupakan saat-saat yang dinanti-nantikan. Dunia kanak-kanak kami penuh ceria dan terisi dengan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan. Waktu itu kami tidak dibebankan atau disogok dengan 'tusyen' dan segalanya... kami cuti sungguh-sungguh....!

Hampir saban hari kami bertiga beradik menghabiskan masa dengan bermain... 'out-door & in door games' bersilih ganti bergantung kepada masa dan keadaan. Walaupun begitu, kami ada tugas yang perlu diselesaikan sebelum dan selepas bermain...

Pagi-pagi lagi sebelum Papa bertolak ke tempat kerja, kami 3 beradik (saya, Kak Roslena, Noni) sudah siap mandi dan menyiapkan diri. Kadang-kadang, kami bertiga akan berjalan beriringan ke rumah Che Daud (Atok sebelah Papa) yang letaknya tidak jauh daripada rumah kami. Kami akan bertandang di rumah Atok sehingga petang, atau sekurang-kurangnya sehingga selesai makan tengah hari....

Waktu cuti sekolah, (termasuk setiap hari minggu) pada setiap pagi, aku dan Noni ditugaskan menyapu daun-daun kering di kawasan halaman rumah. Daun-daun kering yang gugur daripada pokok rambutan 'Che Mbong' yang rendang dan juga 2 pohon pokok bacang @ macang di halaman rumah kami. Kami agihkan kawasan yang perlu dibersihkan. Kami gunakan lidi yang terhasil daripada daun kelapa yang diraut daunnya... diikat dan hujung lidi itu dipotong agar lebih mudah untuk menyapu daun-daun kering.

Aku masih ingat lagi, selepas selesai menyapu sampai @ daun-daun kering, atau pada waktu sebelum tengah hari kami hanya bermain di sekitar halaman rumah kami. Kami bermain nusut , main selambut @ batu seremban, bermain 'skipping' guna getah urat yang disambung-sambung @ 'zero point' di atas simen depan rumah kami. Kami juga bermain bola kaki tiga dan juga bola wa (bola awal), 'cari anak', 'dek chok' @ teng-teng @ rumah batu di halaman rumah kami yang berpasir. Pada waktu-waktu begini kami bertiga hanya bermain bersama-sama 2 atau 3 orang kawan yang lain. Biasanya anak-anak Kak Nik Moh jiran kami, iaitu Mek Esah, Senani dan juga Senah.

Jika tidak ada kawan-kawan lain, terutama kalau musim hujan, kami bertiga akan 'main masak-masak' dan 'main anak patung'. Kadang-kadang main menyanyi dan menari ikut seperti dalam cerita-cerita Melayu lama... Habislah kain selendang Mama jadi sasaran kami... rasanya ketika ni umur kami antara 6 - 8 tahun.

Pada sebelah petang, kami biasa juga bermain di padang (petak sawah / tanah rang) di seberang jalan berhampiran tali air, di belakang rumah Tok Wan Yusof Towke kain. Kawan-kawan seperti Zelan, Mek Esah, Senani, Zahari, Runi, Ita, Mek Na dll akan memenuhi gelanggang ini. Di tapak permainan kami ini juga, kadang-kadang ada orang bermain wau.... remaja dan orang dewasa. (Cerita tentang tali air akan ditulis dalam entri selepas ini...)

Selain itu, kami juga bermain di tanah kosong di sebelah rumah Pok Weil (kini, tapak rumah Cikgu Wan Rahimah dan rumah Cikgu Md Embong) untuk bermain bola wa dan bola kaki tiga. Di sini juga kami bermain 'rounders' atau bola katok... Rakan-rakan sekampung (lain daripada kumpulan di atas), seperti Ana, Jali, Din, Siah, Zamini, Yie dan ramai lagi akan setia berada di gelanggang ini untuk menghidupkan alam kanak-kanak kami. Ke manakah mereka semua... sudah lama tidak bertemu walaupun sekali-sekala balik ke kampung...

Jika cuti jatuh pada musim buah-buahan, cuti sekolah kami dihabiskan di kebun durian Atuk Che Yusof berhampiran tebing sungai Kelantan, di belakang rumah kami. Acara panjat-memanjat pokok menjadi satu kemestian. Selain durian, aktiviti mencari @ memetik buah rambutan sekiat, rambai, kerian, manggis, kecupu dan lain-lain memenuhi aktiviti harian kami...

Walaupun kami 'galak' bermain pada setiap hari, sebelum Papa balik dari kerja, atau selewat-lewatnya pukul 6.00 petang kami sudah berada di rumah. Ini seperti sudah menjadi peraturan lisan yang perlu dipatuhi. Kadang-kadang, kalau kami 'terlalai' dan terlewat balik kerana terlalu asyik bermain, Mama akan cari. Cari bersama dengan 'upah'nya sekali!

Tugas rutin kami, iaitu menyiram pokok bunga pada waktu petang, iaitu selepas balik daripada bermain akan kami dilakukan tanpa gagal.... Di halaman rumah Mama dulu memang terdapat banyak pokok bunga. Sekarang pun masih ada, cuma halaman rumah sudah semakin sempit akibat beberapa kali terlibat dengan projek perluasan jalan raya... Kami akan mengarai air daripada telaga di tepi rumah, dimasukkan ke dalam baldi dan dibawa ke halaman rumah. Ini diulang beberapa kali sehingga semua bunga habis disiram. Dengan menggunakan bekas / tin yang ditebuk dengan paku, kami akan siram pokok-pokok bunga sehingga selesai.

Setelah selesai menyiram pokok bunga, kami terus mandi di telaga dan bersiap-siap untuk aktiviti malam... pergi mengaji Quran. Dulu, kami mengaji Quran di rumah Tok Wan Dollah. (Bermula darjah 4, saya mula mengaji di madrasah Pok Nik Weil, tidak jauh daripada rumah kami... pada sebelah petang). Berbekalkan sebuah lampu picit, kami bertiga akan berjujuk menuju ke rumah Tok Guru. Dulu, jalan raya tidaklah sesibuk mana, kereta tak banyak dan kalau ada pun tidaklah memecut laju seperti sekarang. Jadi, Papa & Mama tidaklah risau pasal keselamatan kami. Orang jahat pun jarang, hampir tidak ada. Cuma kami takut kalau-kalau ada orang gila sahaja...kami akan jalan laju-laju, terutama pada waktu balik. Kalau agak lewat, Papa akan jemput kami...

Balik daripada mengaji Quran, barulah kami buka buku sekolah. Baca buku untuk seketika... yang kakak akan ajar adiknya...Kami jarang-jarang menonton televisyen kerana di rumah tidak ada televisyen, kecuali pada malam minggu. Untuk menonton filem Melayu pada malam mingngu, kami akan ke rumah Mak Ngah Dah @ Pak Ngah Loh ataupun ke rumah Su Yusof @ Su Limah atau ke rumah Tok Wan Yusof, tawke kain batik di seberang jalan depan rumah kami.

Sapu daun-daun kering pada waktu pagi.... Rutin yang akan dilakukan tanpa gagal... saya sudah lupa sehingga bila rutin ini berterusan. Rasanya semasa aku di Std 5, rutin waktu pagi hanya dilakukan pada hari Jumaat kerana pada hari-hari lain aku ke sekolah untuk menghadiri Kelas Tambahan bagi menghadapi Std 5 Assessment Test 1973...!

Mulai Std 6, aktiviti bermain bersama-sama rakan sekampung juga semakin berkurangan... Diri sudah terasa semakin menganjak ke usia awal remaja, sudah mula ada rasa malu. Hobi lain pula yang mengambil tempat... aktiviti dalam rumah, iaitu mengumpul seni kata lagu dan gambar-gambar artis...!


Indahnya waktu cuti sekolah dulu-dulu...

Monday, May 23, 2011

seketika di SIC...(2) : Mrs Siew @ Mdm Lim



Sebelum kertas jawapan peperiksaan sampai ke tangan, lebih baik saya sambung kenangan di SIC.... kali ini secebis kenangan bersama guru kelas semasa di 4A5 & 5A5....

Lebih kurang 2 bulan di 4A2, kami diarah pindah ke kelas baru kerana kelas tingkatan 4 dibubar menjadi 5 kelas sahaja (daripada 6 kelas sebelumnya). Yang dibubar ialah kelas 4A2, mungkin kerana (agaknya) Cikgu Wan Ahmad yang menjadi guru kelas kami pada awalnya sudah tidak lagi mengajar kami subjek Physic dan digantikan dengan Mr. Wincent Walsh... jadi untuk memudahkan pengurusan kelas, maka murid dari 4A2 diagih-agihkan ke kelas-kelas lain.

Dalam entri sebelum ini, sudah diceritakan perpindahan saya dan beberapa orang rakan sekelas ke kelas 4A5.... Waktu itu, waktu ke-2, Cikgu Zaiton sedang mengajarkan Geografi di kelas tersebut....

Mrs Siew menjadi guru kelas kami selama 2 tahun. Beliau mengajarkan subjek English. Sebagai guru kelas, perkara pertama yang beliau akan uruskan atau buat ialah mengutip yuran. Pada zaman kita sekolah dulu, kalau English Medium, kita dikenakan yuran tahunan, yuran bulanan dan yuran PIBG. Yuran tahunan termasuklah bayaran untuk majalah, peperiksaan, sukan dll (dah lupa apa lagi....). Yuran bulanan pula, kalau tak silap berjumlah RM9.00 sebulan. Waktu itu, RM9.00 sebulan sudah besar jumlahnya. Betul ke RM9.00 atau lebih...? Boleh sesiapa tolong betulkan jika silap. Agaknya, boleh juga kalau nak bayar terus untuk 12 bulan. Saya dan kakak yang ketika itu di tingkatan 5 akan bayar pada setiap awal bulan. Maklumlah, Papa hanyalah seorang kerani dengan tanggungan yang ramai, tentulah kami tidak mampu untuk menyelesaikan semuanya untuk setahun...! Tetapi setakat yang masih saya ingat, semua kawan sekelas membayar secara bulanan dan resit akan dikeluarkan untuk setiap bulan.

Kemudian, semasa tingkatan 5, guru kelas akan sibuk pula kutip yuran peperiksaan MCE yang jumlahnya melebihi RM100.00. Tentulah banyak masa habis untuk perkara-perkara "wajib" ini.... (sekarang pun lebih kurang seperti ini jugalah kalau jadi Guru Kelas...)

Mrs Siew yang kecil molek orangnya, berasal dari Kuala Kubu Baru mengikut suami ke KB kerana suaminya merupakan 'orang penting' atau mubaligh Kristian di sebuah gereja di KB. Apabila saya bertemu semula dengan beliau pada tahun 2005, sebagai rakan sekerja beliau memberitahu 10% daripada pendapatannya diserahkan kepada institusi agamanya itu.

Mrs Siew yang masih saya ingat, beliau selalu memakai maxi atau skirt labuh, iaitu di bawah paras lutut. Keadaan fizikalnya yang kecil molek, ditambah dengan suaranya yang kurang lantang, menyebabkan timbul masalah untuk mengawal murid. Kadang-kadang saya kesian melihat beliau yang tidak boleh mengawal "kenakalan" murid-murid lelaki yang suka "mengusik" beliau. Dulu, nakal murid tak seperti nakal hari ini. Mereka tidak bersikap kasar atau biadab terhadap guru. Cuma mereka suka menyakat dan usik-usik...

Ketika itu, murid perempuan dalam satu kelas tak ramai, dan kami murid perempuan merupakan kumpulan terakhir pengambilan murid perempuan di tingkatan 4. Tahun berikutnya (1979), semua murid tingkatan 4 terdiri daripada murid lelaki. Pelajar perempuan hanya ada di Tingkatan 6.

Selepas SIC menjadi sekolah kawalan dan pengambilan murid bermula seawal Tingkatan 1, rasanya keadaan makin jauh berbeza berbanding 30 tahun yang lalu.

Selepas meninggalkan SIC pada akhir 1981, saya tidak pernah bertemu Mrs Siew lagi. 22 tahun kemudian, ketika saya balik bertugas di KB (2004 - 2005), saya bertemu beliau di SMK Sultan Ismail (SMSI).

Hari Mesyuarat Guru Pertama 2004 diadakan pada 30 Disember 2003. Ketika saya masuk ke bilik mesyuarat pandangan saya tertumpu kepada seseorang yang agak familiar dan tidak banyak berubah. Saya sudah agak dan amat yakin guru yang masih cute dan comel itu pernah menjadi guru kelas saya suatu ketika dahulu. Cuma saya tidak pasti setelah melihat namanya bukan lagi Mrs Siew tetapi Mdm Lim. (memanglah, pada pertengahan tahun 1990-an, semua guru diwajibkan guna "madam name"....).

Sebelum mesyuarat bermula, saya mendekati beliau dan bertanya khabar... (maklumlah, guru lama di sekolah baru, kenalah tahu bawa diri....) Setelah berbual seketika, memang sahlah, Mrs Siew / Mdm Lim ialah guru kelas saya dulu. Beliau masih ingat beberapa nama seperti Tajuddin Abdul Aziz (ketua kelas) dan beberapa orang muridnya dahulu... mungkin kerana selalu kena usik....!

Dua tahun saya bersama Mrs Siew di SMKSI. Dalam bilik guru saya duduk berhadapan dengan beliau, jadi banyak cerita yang kami kongsikan, kisah zaman sekolah dan kisah keluarga beliau. Beliau memang tidak banyak berubah, masih seperti dulu... peramah dan mudah berurusan dengan beliau.

Kemudian, pada tahun 2005, dia menjadi guru Bahasa Inggeris anakanda saya MOHD FARIS NAIN.... dan selalu juga kena usik oleh anak-anak muridnya. Salah seorang anak muridnya yang agak rapat dan sering menyakat beliau ialah anak saya sendiri yang memang tersohor banyak loyar buruknya....!

Mrs Siew telah bersara wajib pada tahun 2006. Ketika itu saya sudah berpindah ke Kuantan.

foto : Mrs Siew pada tahun 2005 & 1979....


Friday, May 20, 2011

seketika di SIC...(1)

Kalaulah jarum jam boleh diputar kembali, rasanya ingin sekali saya kembali ke zaman persekolahan yang indah dan menyeronokkan....

Mengenang alam persekolahan,
pasti ingatan kepada guru-guru akan singgah dalam memori tanpa sedar.... membuatkan hati jadi terharu.

Terharu oleh kesabaran dan kegigihan mereka yang tidak pernah kenal jemu menitipkan ilmu walaupun kadang-kadang ada tingkah kita yang boleh membuatkan mereka "merajuk"...

1978... bermula satu lagi episod baru dalam hidup seorang murid sekolah. Saya bersama-sama beberapa orang rakan dari SMK Kota... antaranya, Normah, Che Norizam, Nab @ Norhayati, Haliza Hussin, Hasmawati, Wan Norizan Noor, Zaleha Yaacob, Nik Roslina....mula menjejakkan kaki di Maktab Sultan Ismail @ SIC untuk meneruskan pelajaran menengah atas.

Pada asalnya, pada tahun 1978 wujud 6 kelas Tingkatan 4. Semuanya sama kerana mata pelajaran yang ditawarkan adalah sama. (... tidak seperti hari ini, yang mempunyai banyak mata pelajaran elektif setelah sistem KBSM dilaksanakan/ diperkenalkan di sekolah-sekolah menengah mulai tahun 1993). Yang berbeza, hanya kelas 4A4 khusus untuk mereka yang mengambil subjek Commerce. Tidak ada istilah "streaming" di SIC ketika itu.

Saya ditempatkan di kelas 4A2. Amalan biasa ketika itu, kami akan berada di kelas yang sama selama dua tahun, iaitu sehingga tingkatan 5. Begitu jugalah untuk pelajar Tingkatan 6. Tingkatan 6 Rendah dan 6 Atas pada tahun berikutnya, "dihuni" oleh pelajar yang sama. Inilah yang menjadikan hubungan kami akrab seperti satu keluarga....

Daripada 6 kelas, lebih kurang 2 bulan selepas itu kelas tingkatan 4 dikurangkan menjadi 5 kelas sahaja. Kelas yang bakal dibubarkan ialah kelas 4A2. Murid-murid dari kelas tersebut diagih-agihkan ke 5 kelas yang lain... Lebih kurang 6 atau 7 orang murid akan berpindah ke kelas yang lain... Saya dan beberapa orang kawan, termasuk Normah, Tajuddin @ Joe, dan Hisyamuddin @ Sam... diarahkan ke kelas 4A5. Kekallah kami di situ selama 2 tahun, 1978 - 1979....

Saya masih ingat lagi, waktu kami ke kelas 4A5, Cikgu Zaiton sedang mengajar Geografi. Beliau seperti tidak begitu senang hati dan agak cuak ketika kami mengetuk pintu untuk masuk ke kelas itu. Mungkin disebabkan oleh kehadiran kami secara tiba-tiba itu mengganggu pengajaran beliau. Kami terasa seperti "menumpang" ketika itu kerana ada kata-kata sinis yang dikeluarkan (mungkin hanya perasaan seorang murid yang belum begitu matang ketika itu, first impression....!) Semuanya masih segar dalam ingatan walaupun sudah lama berlalu. Ah, "secebis cerita luka" yang sudah menjadi sejarah. Sesiapa yang pernah belajar dengan Cikgu Zaiton akan faham akan sikapnya.... Apabila kita lama mengenali seseorang itu, kita akan lebih memahaminya. Betullah kata orang "tak kenal maka tak cinta", begitulah juga hubungan kami dengan Cikgu Zaiton. Walaupun beliau agak "laser" tetapi beliau seorang yang baik hati, sebenarnya. Cikgu Zaiton akhirnya menjadi antara guru "favourite" saya selepas itu. Beliau juga mengajarkan subjek Geografi semasa saya di Tingkatan 6 Atas. Apa khabar agaknya Cikgu Zaiton sekarang...?

Guru kelas saya yang pertama semasa Form 4 (4A2) ialah Cikgu Wan Ahmad yang mengajarkan subjek Physic. Orangnya tinggi kurus, rambut mencecah kolar, berkulit hitam manis dan mempunyai mata yang agak sepet, lebih-lebih lagi ketika beliau tersenyum. Beliau nampak serius tetapi sebenarnya baik hati. Beliaulah yang mencalonkan nama saya untuk hadir temuduga pemilihan pengawas sekolah....

Lebih kurang sebulan selepas itu, subjek Physic kelas kami diambil alih oleh Mr. Wincent Walsh, seorang guru Peace Corps. Cikgu Wan Ahmad hanya menjenguk kami ketika hendak mengambil kedatangan murid setiap hari. Mr. Wincent kelihatan segak dengan kaca mata berbingkai sederhana tebal. Tentu sekali beliau berkulit putih dan bermata biru kerana "Mat Salleh" katakan! Beliau selalu memakai kemeja berlengan pendek berwarna pastel. Mula-mula Mr. Wincent masuk ke kelas, memang susah nak faham dengan slang English Americannya itu. Ingat lagi semasa beliau mengajar tentang "colours" dan "light" yang diejanya ala English American, iaitu 'colors' dan 'lite'. Sebutan untuk 'magenta' juga agak aneh bunyinya di telinga kami... dan beliau menerangkan dengan jelas warna yang dikatakan "magenta" itu. Sebelum itu kami hanya tahu beberapa jenis warna sebagaimana yang terdapat pada pelangi...VIBGYOR...tak pernah pun dengar warna "magenta".... "Darat"nya terasa diri ketika itu....! Walau bagaimanapun, kami dapat menyesuaikan diri dengan cepat....

Guru Geografi kami ketika itu ialah Cikgu Osman yang terkenal dengan bengkengnya dan beliau juga merupakan guru disiplin sekolah. Beliau yang mempunyai ketinggian yang sederhana, berkulit cerah, sentiasa kelihatan kemas dengan kemeja berlengan panjang. Rambut di bahagian dahi beliau agak jarang menampakkan dahinya dan rambut di bahagian belakang juga sudah bubus...

Yang paling saya masih ingat, beliau amat pantang sekiranya murid tidak membawa atlas semasa waktu Geografi. Saya rasa kebanyakan guru Geografi ketika itu sangat mementingkan atlas, sebab itulah, generasi dahulu kebanyakannya mahir melukis dan membaca peta. Tahu lokasi negara-negara di dunia. Ini tidak berlaku kepada kebanyakan murid hari ini. Sorry to say, tetapi inilah realitinya. Ada yang tidak tahu apa itu "atlas" walaupun sudah berada di Tingkatan 5, apatah lagi yang lain-lain. Nak suruh lukis peta sendiri, jauh sekali....

Berbalik kepada Cikgu Osman, sesiapa yang terlupa membawa atlas ke kelas pasti akan dapat habuannya.... pulas perut. Murid-murid lelaki memang bersedia dengan habuan daripada Cikgu Osman. Kawan-kawan yang datang dari SMSI memang sudah maklum dan faham benar dengan Cikgu Osman. Dua bulan sahaja belajar Geog dengan beliau sebelum berpindah ke kelas 4A5.

Guru BM kami pula ialah Puan Rosni Yusoff. Beliau juga mengajarkan subjek Kesusasteraan Melayu. Hari pertama beliau masuk ke kelas, kami diminta menulis sebuah karangan yang bertajuk (lebih kurang...) "Peranan Seorang Murid Untuk Berjaya Dalam Pelajaran". Kami dikehendaki menulis karangan itu di atas sehelai kertas kajang. Latihan karangan tersebut tidak dipulangkan semula kepada kami. Tahu-tahu, pada penghujung 1978, setelah membelek-belek "The Kijang 1978" terselitlah sebuah karangan tajuk yang sama, yang ditulis oleh seorang murid Ting. 4A2.... rupa-rupanya, karangan saya telah dipilih oleh Cikgu Rosni untuk dihantar ke bahagian redaksi "The Kijang" bagi mengisi ruangan karya bahasa Melayu....

Guru Modern Maths kami ialah Cikgu Nik Aziz. Beliau yang sederhana tinggi dan berambut lurus dibelah tengah merupakan seorang guru lepasan UTM. Beliau berseluar "bell bottom" dan sesuai sekali dengan kasut kulit "Johnson"nya, gaya terkini pada ketika itu. Kalau tak silap, setahun selepas itu, beliau telah menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah di universiti yang sama...

Siapakah yang mengajar kami subjek Sejarah, Chemistry, Bio, English dan Agama Islam selama 2 bulan di kelas 4A2? Betul-betul sudah lupa... sekiranya ada rakan-rakan 4A2 (1978) yang "singgah" di sini, diharap dapat mengembalikan kenangan itu....

Foto : 1) Mr. Wincent Walsh 2) Entrance utama 3) Foyer dewan tempat kami berkumpul semasa hari pendaftaran...

Cukup dulu nostalgia lebih kurang 2 bulan di 4A2.... bersambung di kelas 4A5 pula selepas ini....

Monday, May 16, 2011

SM Kota : Kenangan yang masih tersisa... (3)


Saya cuba mengingati beberapa nama untuk menyambung catatan kenangan bersama guru-guru yang pernah mendidik saya di SM Kota. Tidak banyak yang masih saya ingat tentang guru-guru yang mengajar saya semasa di Form 3. Entahlah, mungkin faktor masa sudah tidak memihak kepada saya

Pada mulanya saya cuba mengingati nama guru kelas saya, iaitu guru Form 3 Red, tetapi gagal. Ada 2 orang nama yang pada mulanya tidak tersenarai atau tidak terlintas langsung dalam minda saya. Nasib baiklah, sehari selepas saya post entri SM Kota : Kenangan yang masih tersisa...(1), bekas murid SM Kota, iaitu Zamini Seman yang juga rakan sekampung dan sebaya dengan adik saya, Noni telah memberi respon terhadap entri tersebut. Dalam komen Zamini, dia telah menyelitkan 2 nama ini yang memang hilang terus daripada ingatan saya. Dua orang guru suami isteri itu ialah Cikgu Kamariah dan Cikgu Isa. Terima kasih Mini kerana mengembalikan kenangan yang sangat bermakna kepada saya.

Berikut antara kenangan yang masih tersisa sebelum saya meninggalkan SM Kota pada penghujung 1977....


1) Cikgu Kamariah

Beliau menjadi guru kelas 3 Red. Sederhana tinggi dengan rambut pendek potongan "bob" paras leher, berkulit agak cerah. Rasanya Cikgu Kamariah memakai tudung berbentuk segi tiga, yang menutupi sebahagian atas rambutnya....agaknya trend ketika itu. Matanya yang agak juling menjadikan wajahnya tambah manis. Kadang-kadang semasa mengajar, kami tidak pasti kepada siapakah pandangan ditujukan oleh beliau. Mudah tersenyum dan tidak pernah meninggikan suara. Beliau mengajarkan mata pelajaran Sejarah. Sebenarnya Cikgu Kamariah tinggal tidak jauh daripada rumah Atok Che Daud di Kg. Kota.

2) Cikgu Hassan Dagang

Tinggal di Kg. Kota, tak sampai 1km jaraknya dari rumah saya. Sejak kecil, kami mengenali beliau dengan panggilan Cikgu Hassan Dagang... tak tahu bagaimana dapat gelaran "dagang" di hujung nama beliau. Dikenali sebagai orang kuat UMNO di Kg. Kota, sejak dulu, kini dan agaknya selamanya...! Beliau mengajarkan mata pelajaran Geografi. Muka Cikgu Hassan agak kelakar dan suka berjenaka.... tidak kering gusi dibuatnya....kami sangat seronok dengan cara beliau yang santai.

Pada tahun 1990-an beliau menjadi Pengetua di SMK Kangkong, Pasir Mas. Kalau tak silap, di bawah kepimpinan beliau, sekolah tersebut telah mencapai banyak kemajuan dan muncul Sekolah Harapan Negara bagi kategori Sekolah Luar Bandar.

3) Mr. Chong


Orangnya tinggi lampai, sentiasa berkemeja lengan panjang, berseluar slack potongan "bell-bottom" yang popular ketika itu... dan berambut lurus berbelah di tepi. Beliau mengajarkan subjek English (dan kalau tak silap, Modern Maths juga...). Sesuatu yang paling saya ingat tentang Mr. Chong ialah, beliau suka "bermain-main" dengan gigi palsu (bahagian hadapan) dengan lidahnya sambil menunggu murid menjawab soalan yang dikemukakan....

4) Cikgu Isa 


Beliau ialah suami kepada Cikgu Kamariah. Bagi saya, Cikgu Isa seorang yang agak pendiam dan kurang bercampur dengan masyarakat setempat. Saya berpendapat sedemikian kerana di kampung beliau jarang-jarang berada bersama dengan masyarakat setempat sekiranya ada sesuatu aktiviti, seperti bekwah kenduri kahwin, gotong-royong pindah rumah dll. Dulu, jika pindah rumah, maksudnya memindahkan rumah dari satu tapak ke satu tapak yang lain dan tidaklah terlalu jauh. Beliau mengajar kami subjek Bahasa Melayu lebih kurang selama 5 atau 6 bulan sebelum beliau menyambung pelajaran ke peringkat ijazah... kalau tak silap beliau bercuti setahun untuk menamatkan pengajian luar kampus beliau di USM. Sepanjang tempoh beliau mengajar kami, Cikgu Isa sebenarnya baik orangnya dan mudah didekati...

5) Cikgu Mustafa


Beliau menggantikan Cikgu Isa dan mengambil alih subjek Bahasa Melayu di kelas Form 3 Red pada penggal kedua persekolahan. Seorang yang berkulit sawo matang, sederhana tinggi, sentiasa nampak segak dan kemas sejak beliau mengajar di SK Kota lagi. Rambutnya agak kerinting dan dipotong pendek. Beliau seorang yang tidak kedekut dengan senyuman membuatkan murid-murid cukup senang dengan beliau.

Semasa saya di sekolah rendah, Cikgu Mustafa mengajar di SK Kota (bersebelahan dengan sekolah saya ... SRJK (I) Kota). Isteri beliau juga mengajar di situ. Rumahnya juga di Kg. Kota, lebih kurang setengah batu jauhnya dari sekolah. Beliau telah menyambung pelajaran ke peringkat ijazah selama 3 tahun di UM.

Setelah tamat pengajian, beliau ditempatkan di SM Kota untuk mengajarkan subjek Bahasa Melayu. Peringkat awal beliau mengambil alih kelas kami daripada Cikgu Isa sekembalinya beliau daripada melanjutkan pelajaran, selalulah beliau bercerita tentang pengalaman beliau di UM. Pelbagai cerita kehidupan di kampus yang indah dan menarik. Kami asyik dan terpegun mendengarnya...lalu, tersimpan jauh di lubuk hati impian untuk menjejakkan kaki di Lembah Pantai... dan 5 tahun selepas itu, impian seorang murid biasa di sekolah menengah harian biasa telah menjadi kenyataan....


Kini, Cikgu Mustafa masih menetap di kampung yang sama, di rumah yang sama di tepi jalan raya menuju ke rumah saya di Kg. Kota. Setiap kali melintasi di hadapan rumahnya, yang sudah beberapa kali diubah suai itu, dalam hati sentiasa berbisik...."suatu ketika dahulu, aku pernah berguru dengan tuan rumah agam ini.... semoga Cikgu Pa sekeluarga terus diberi kesejahteraan dunia dan akhirat...." 

Tidak lengkap rasanya catatan ini tanpa menyebut dua orang peneraju sekolah selama 3 tahun saya di SM Kota. Beliau ialah :

CIKGU IDRIS, Penyelia Petang @ sekarang dikenali sebagai GPK Petang 


Daripada anakandanya NORHAYATI BT. IDRIS, yang merupakan rakan sekelas untuk beberapa tahun sejak di sekolah rendah dan menengah rendah, saya mendapat tahu bahawa ayahanda beliau sudah beberapa tahun pulang ke rahmatullah (alfatihah untuk arwah). Sebenarnya, saya "mengenali" Cikgu Idris (sebagai ayah kepada rakan sekelas) sejak di bangku sekolah rendah lagi kerana kerap ke rumah beliau di Kg. Surau Kota atau ke dusun durian milik keluarga beliau atas ajakan anakandanya, Tie. Beliau ialah seorang yang sentiasa kelihatan tenang, berwibawa dan lembut tutur katanya. Semoga arwah ditempatkan di tempat yang tinggi darjatnya bersama-sama mereka yang beriman dan yang beramal soleh.

MR. BACHAN SINGH, Guru Besar SM Kota (kini disebut Pengetua).


Daripada pandangan sisi seorang murid peringkat menengah rendah, Mr. Bachan seorang yang kelihatan tegas kerana beliau tidak banyak bercakap. Kami boleh dengar suara beliau semasa perhimpunan rasmi, dan bukannya diadakan pada setiap minggu seperti sekarang....! Sebenarnya, kami tidak berani berhadapan dengan beliau. Seingat saya, selama di Form 2 dan Form 3, hanya beberapa kali beliau masuk ke kelas kami.... Beliau yang berkereta Peugeot model seperti kereta "Superman" berwarna putih kekelabuan itu menjadi antara yang terawal sampai awal ke sekolah pada setiap pagi... Lama juga beliau menjadi HM di SM Kota.

Sebenarnya, ada satu peristiwa yang telah membawa kami ke rumahnya di Jalan Telipot, melalui jalan kecil bersebelahan Maktab Sultan Ismail @ SIC....

Sebelum tahun 1978, biasanya semua murid English Medium dari SM Kota akan menyambung pelajaran Ting. 4 ke SIC, sama ada aliran Sastera ataupun aliran Sains. Kami merupakan kumpulan terakhir yang menduduki peperiksaan LCE... Semasa kami pergi mendapatkan keputusan LCE penghujung 1977, kami juga diarah untuk melaporkan diri di SIC.

Pada awal 1978, seperti tahun-tahun sebelumnya, bersama slip keputusan peperiksan, kami ramai-ramai ke SIC untuk melaporkan diri, waktu itu lebih kurang pukul 1.30 tengah hari, bermula waktu persekolahan sesi petang. Kami bersama-sama murid baru dari sekolah lain, seperti dari SMKB, SM Tumpat, SIS Pasir Mas, SM Hamzah Machang, SMYP Kuala Krai dan lain-lain diminta berkumpul di foyer dewan SIC. Setelah tiba giliran kami di tempat pendaftaran (sebenarnya, tak ada meja pun, hanya melaporkan diri kepada guru yang bertugas di luar pintu dewan SIC) , kami dimaklumkan bahawa, nama-nama murid dari SM Kota tidak terdapat dalam senarai nama murid baru yang dihantar oleh pihak PPD Kota Bharu. Kami agak terkejut atas makluman tersebut.

Apa lagi, kami pun beramai-ramai ke rumah Mr. Bachan Singh (kalau tak silap, salah seorang guru SIC yang memberitahu kami lokasi rumah HM kami itu)... ketika itu, beliau baru sahaja balik dari sekolah dan baru keluar dari kereta. Beliau tidak dapat memberi kepastian kerana beliau juga tidak dimaklumkan oleh pihak yang berkenaan. Jadi, beliau meminta kami balik dahulu dan datang ke SM Kota pada esok pagi. Beliau berjanji untuk menghubungi pihak PPD atau JPN.

Pada keesokan paginya, kami ke SM Kota...barulah jelas duduk perkara yang sebenarnya. Kami dimaklumkan bahawa murid aliran Sains lepasan LCE 1977 dari SM Kota akan kekal di SM Kota dan murid lepasan LCE 1977 aliran Sastera akan meneruskan pelajaran Tingkatan 4 di SIC...

Begitulah antara kenangan yang masih tersisa dalam ingatan setelah sekian lama melangkah keluar dari SM Kota. Kadang-kadang kenangan itu datang dan pergi bersilih ganti; sekejab timbul; sekejab tenggelam... sehingga tidak sempat dikutip untuk disimpan dalam memori.... Walau bagaimanapun, sedikit kenangan yang masih tersisa itu masih terlekat kukuh alam minda.

Kenangan bersama-sama guru yang telah membimbing kami dengan ikhlas dan tidak jemu-jemu mencurahkan segala ilmu buat bekalan masa depan kami, lebih-lebih lagi pada setiap kali tibanya SAMBUTAN HARI GURU, akan tetap kami kenang selagi hayat dikandung badan.... "terima kasih, Cikgu...."

menyusul nanti... pengalaman dan secebis kenangan di SIC (1978 - 1981)....

Foto : sebahagian daripada guru SMK Kota (1975/1976) dipinjam daripada album Wee Saw Lan... Mr. Amir Thalingam, Mr. Peter Poh, En. Ariffin (Lab Ass) dan Mr. Chong... yang lain-lain tak berapa jelas....

Friday, May 13, 2011

SM Kota : Kenangan yang masih tersisa... (2)


Sambungan nostalgia bersama guru-guru yang telah banyak membimbing kami, yang masih tersisa di celah-celah ingatan walaupun sudah lama ditelan waktu....

1) Mr. Amir Thalinggam (betul ke ejaan ni...?)

Guru Kelas Ting. 2 Red (1976), berasal dari utara Semenanjung. Beliau mengajar kami Modern Maths. Yang saya tidak boleh lupa ialah beliau ialah guru saya yang pertama yang dapat menyebut nama penuh saya dengan betul. Pertama kali sebut, sudah dapat sebut dengan tepat, tanpa tertinggal satu suku kata pun...! Mr. Amir selalu berkaca mata hitam walaupun berada di dalam bilik darjah. Rasanya kami tahu antara sebab beliau suka berkaca mata hitam... ! Mr. Amir dikenali sebagai seorang guru yang garang, lebih-lebih lagi dengan misal tebalnya itu, lagilah nampak bengkeng...! Walau bagaimanapun selama setahun beliau menjadi guru kelas Form 2 Red, beliau baik-baik sahaja dengan kami....

2) Cikgu Nik Azizah

Beliau mula mengajar kami sejak di Form 1. Waktu itu kami di sesi petang. Beliau mengajar subjek Home Science untuk kedua-dua bahagian, Cooking and Sewing. Setelah kami naik ke sesi pagi semasa Form 2, beliau juga pindah ke pagi kerana sesi petang sudah tidak ada aliran Inggeris dan mengajar kami Sewing @ Jahitan. Cikgu Nik Azizah juga mengajarkan mata pelajaran Seni Lukis untuk kelas kami. Cikgu Nik Azizah berkulit putih, berkaca mata dan seorang yang lemah lembut serta sangat penyayang. Tidak pernah sekali pun beliau memarahi murid-muridnya secara berlebihan.

Saya masih ingat, suatu hari ketika di Ting. 1, sambil-sambil mengajar Home Science, beliau memberitahu kami bahawa dia kerap berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris di rumah jika hendak merahsiakan sesuatu kepada adik-adiknya yang 'kecil', kerana mereka belum begitu memahami bahasa orang putih ni....! Beberapa tahun selepas itu, semasa saya di SIC, ditakdirkan saya satu sekolah dengan adiknya. Kami sama-sama menjadi Pengawas Sekolah dan berkawan baik semasa di tingkatan 6 sehingga ke uni. Rupa-rupanya, adik bongsu Cikgu Nik Azizah itu ialah Nik Mohd Adeeb dan pernah menjadi Ketua Murid di Maktab Sultan Ismail @ SIC pada tahun 1981.

Kali akhir saya bertemu Cikgu Nik Azizah adalah pada tahun 1987 di Pusat Kesihatan Wakaf Che Yeh. Kami sama-sama ke sana untuk memenuhi janji temu pemeriksaan kesihatan bulanan "Ibu dan Anak". Ketika itu saya sedang mengandungkan anak yang kedua dan Cikgu Nik Azizah pula mengandungkan anak bongsu (mungkin...). Selepas itu, kami tidak pernah bertemu lagi. Beliau agak lama juga berkhidmat di SM Kota.


3) Cikgu Zubaidah

Beliau mengajar kami subjek masakan semasa Form 2. Semasa Form 3, kalau tak silap Cikgu Zubaidah mengajar kami kedua-dua komponen subjek HS, sewing and cooking. Pada pertengahan tahun 1970-an, masih ramai yang tidak bertudung, tetapi waktu itu Cikgu Zubaidah sudah memakai skarf tiga segi menutupi rambutnya. Sesuailah dengan tugasnya sebagai guru masakan. Walaupun mulutnya becok sekali semasa memberi arahan, tetapi beliau seorang guru yang baik sangat. Biasalah, kalau ada murid-muridnya yang tak ikut arahan, pastilah dimarahinya.... maklumlah di bilik masakan bukannya boleh main-main. Kalau ada yang cuai menggunakan gas dapur semasa memasak, atau 'agak lembab' semasa menyiapkan sesuatu tugasan, pastilah akan terdengar omelan Cikgu Zubaidah, tentulah dalam bahasa Inggeris kerana kami belajar subjek ini menggunakan bahasa Inggeris. Saya tidak pernah berjumpa dengan Cikgu Zubaidah yang rumahnya di Cabang Tiga Pengkalan Chepa ini, selepas meninggalkan SMK Kota pada penghujung 1977.

4) Cikgu Mek Yam

Saya mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Cikgu Mek Yam. Mek Yam bt. Seman nama yang didaftarkan, manakala nama di rumah atau panggilan dalam kalangan keluarga ialah Cikgu Jarah atau Kak Rah. Beliau ialah dua pupu Papa, tinggal bersebelahan dengan rumah Atok Che Daud. Opsyen Kak Rah atau Cikgu Mek Yam ini ketika di Maktab mungkin subjek BM dan BI. Ketika beliau mengajar kami BM semasa Form 2, beliau baru sahaja tamat pengajian di Maktab Perguruan Perempuan Melaka. Beberapa tahun di SM Kota, Kak Rah bertukar ke SM Zainab. Di SM Zainab beliau mengajarkan subjek Bahasa Inggeris dan bersara wajib beberapa tahun lepas di SMZ. Beliau yang mewarisi kepakaran memasak daripada neneknya (Tok Nik Sipoh) dan bondanya (Tok Su Munah) kini, tidak menang tangan memenuhi tempahan pelbagai jenis juadah daripada sanak saudara dan juga sahabat-sabahatnya, termasuklah keluarga saya sendiri....

5) Ustazah Sabariah

Tidak banyak yang saya tahu tentang Ustazah Sabariah. Tidak pasti ketika itu beliau sudah berkahwin atau belum. Yang saya ingat, di pipinya (lupa sebelah kiri atau kanan) ada tanda lahir yang agak jelas kelihatan. Beliau mengajarkan subjek Pendidikan Agama Islam semasa saya Form 2. Suaranya yang lunak dan bersemangat setiap kali menyampaikan isi pelajaran, terutamanya ketika menceritakan sirah Nabi, amat terkesan di hati. Kami juga terhibur dengan sebutan ayat-ayat suci al-Quran untuk bahagian al-Quran dan Hadis (sukatan pelajaran ketika itu dipetik dari Surah al-Baqarah) yang dibacanya. Kami sentiasa ternanti-nanti mata pelajaran Agama Islam untuk mendengar kelunakan suaranya, ditambah dengan sikapnya yang 'sporting' sebagai seorang ustazah. Kami kagum dengan penyampaian beliau. Masih tergambar dalam minda, pengisahan peristiwa Perang Badar, Perang Uhud, Perang Khandak dan peranan pahlawan-pahlawan Islam ketika itu, yang disampaikan dengan menarik sekali.

6) Guru Bahasa Inggeris (maaf, sudah lupa namanya... Geeta...?, Puspa...? rasanya bukan...!)

Beberapa tahun selepas saya meninggalkan SM Kota, saya masih ingat nama guru BI ini. Kini, setelah lebih 3 dekad meninggalkan SM Kota, puas saya cuba mengingati nama beliau, tetapi masih gagal. Mungkin ada rakan-rakan sekelas yang 'singgah' di sini boleh mengembalikan ingatan itu.

Beliau berbangsa India, seorang yang mempunyai perawakan menarik, senyuman sentiasa menghiasi wajahnya yang sawo matang dan sentiasa kelihatan ceria. Berambut pendek agak ikal paras leher dan sering memakai skirt kembang paras bawah lutut serta berblaus pendek. Seingat saya, beliau suka baju bercorak petak-petak. Mungkin trend ketika itu. Menurut ceritanya, beliau yang berasal dari luar negeri Kelantan ini berpindah ke KB kerana mengikut suaminya, kalau tak silap seorang pegawai perubatan di Hospital KB. Seronok dengar beliau menyebut "Droopy" satu watak kartun yang sering 'muncul' dalam buku teks BI kami ketika itu. Ada dua watak, berpasangan, tetapi yang satu lagi saya sudah lupa namanya.


Tanpa diduga, 7 tahun selepas itu, saya berjumpa semula dengan beliau, pada akhir tahun 1983. Ketika itu saya di tahun kedua pengajian di UM. Suatu hari, ketika saya bersama rakan-rakan baru sahaja keluar dari Dewan Kuliah F (DKF), dan sedang menuruni tangga, tiba-tiba saya terpandang sekumpulan siswi tahun satu sedang menunggu di ruang legar (bawah DKF) untuk mengikuti kuliah selepas itu. Saya amat yakin saya tidak tersalah orang. Saya menghampiri beliau dan menegurnya walau pun saya tahu beliau mungkin tidak berapa ingat kerana bekas muridnya ramai. Saya memperkenalkan diri dan memberitahu beliau, saya muridnya di SM Kota, Form 2 Red tahun 1976. Beliau yang baru menyambung pengajian di peringkat Ijazah itu sangar teruja dan memperkenalkan saya kepada rakan sekuliahnya yang ada bersamanya di situ. Selepas itu, saya tidak lagi berkesempatan bertemu dengan beliau walaupun kami berada di kampus Lembah Pantai yang sama....!

7) Guru Geografi - (ada dua orang semasa kami Form 2... Mrs...dan Puan Norhanani)

Mula-mula kami diajar oleh seorang guru berbangsa Cina... Mrs...(lupa nama)... Berambut pendek dan bercermin mata tebal dengan "power" yang tinggi. Saya anggap begitu kerana cermin matanya nampak berlapis-lapis. Beliau yang tidak banyak bercakap ini merupakan guru baru lepasan universiti. Sebenarnya, ketika itu tidak ramai guru yang mengajar di peringkat Menengah Rendah dari kalangan guru berijazah. Kami sangat 'admire' cara beliau menyampaikan isi pelajaran. Ketika beliau mengajar tentang negara Australia dan New Zealand terasa seolah-olah kita berada di sana, jelas dan sangat mengujakan...! Perkataan seperti Murray Darling Downs, Great Barrier Reef dll, berserta lakaran peta di papan tulis dengan kapur yang berwarna warni - biru, pink @ merah dan hijau yang sangat jelas dan 'hidup' memberi kesan yang mendalam kepada kami. Pada waktu itu teknik fotostat belum ada di peringkat sekolah, jadi kami akan menyalin nota yang beliau tulis di papan tulis. Dengan bahasa Melayunya yang agak pelat, beliau akan memberi penerangan yang jelas sekali. Dari pandangan sisi seorang murid, beliau baik tetapi kurang mesra. Mungkin kerana beliau kurang fasih berbahasa Melayu (berbanding bahasa Inggeris) ketika itu.

Yang menariknya, pada akhir 1986 - awal 1989, kami menjadi rakan sejawat di SM Puteri, Kota Bharu (bersama-sama dengan Mrs Yeap @ Mdm Lee Wan Hang). Barulah saya tahu, rupa-rupa Cikgu Geografi saya ini agak peramah orangnya. Agak kelakar dan suka bercerita... mungkin dulu beliau tak nak 'bagi muka' kepada murid-murid atau mungkin disebabkan oleh faktor masa... (di atas, foto semasa kami di SM Puteri)

Seorang lagi guru Geografi kami semasa Form 2 ialah Cikgu Norhanani (kemudian beliau menjadi suri kasih kepada Cikgu Mustafa - yang sebelum itu, digosipkan dengan Cikgu Noriah semasa kami Form 1....). Cikgu Norhanani mengajar kami hanya beberapa bulan terakhir, jadi tidak banyak kenangan yang melekat di minda... cuma yang saya ingat, beliau yang berkulit putih dan tinggi lampai ini berambut pendek dengan style tersendiri. Beliau gemar memakai blaus pendek dan berkain 'A-line'.

Akhirnya, di celah-celah kenangan bersama guru yang pernah mengajar kami semasa Form 2 ini, ada seorang guru yang sentiasa melekat dalam ingatan saya walaupun beliau tidak pernah mengajar saya secara formal di bilik darjah. Beliau ialah Cikgu Zaharah Omar. Beliau ialah guru kelas Form 3 Red. Kakak saya (Roslena Jusoh) merupakan salah seorang muridnya di Form 3 Red. Saya mengetahui banyak perkara tentang Cikgu Zaharah melalui cerita-cerita yang disampaikan oleh Kakak. Setiap awal pagi, sesampainya di sekolah beliau akan menghantar anak lelaki (sulung?) nya ke sekolah rendah yang berhampiran, iaitu di SRK Kota. Suami beliau, Cikgu Habib pula merupakan guru Ekonomi saya semasa di Tingkatan 6 di Maktab Sultan Ismail. Kakak beliau pula, Puan Anisah Omar merupakan GPK1 semasa saya mengajar di SMK Puteri tahun 1987.

Inilah antara kenangan yang masih terlekat di minda.

Semoga mereka diberi kesihatan yang baik dalam meniti alam persaraan pada usia emas, terus diberkati dan bahagia dunia dan akhirat. Terima kasih, Cikgu...!


Thursday, May 12, 2011

SM Kota : Kenangan yang masih tersisa... (1)


1975... bermula satu episod baru dalam hidup seorang murid yang kian menginjak usia remaja. Keterujaan untuk belajar di sekolah menengah tiba jua.

Setiap kali saya melihat kakak sepupu menggunakan pen berdakwat hitam dan biru atau ball pen ketika menulis nota atau membuat kerja sekolah...setiap kali itu jugalah saya bermonolog,
"Suatu hari nanti apabila naik ke sekolah menengah, saya juga akan dapat menggunakan pen untuk menulis. Boleh guna dakwat biru, hitam, merah, purple, hijau.... Pasti tulisan saya akan menjadi lebih kemas dan cantik.... boleh guna 'water colour" di dalam tiub yang disusun kemas dalam kotak, guna pallet kecil berbentuk bulat... tidak seperti di sekolah rendah, guna warna debu yang dibancuh dengan air dalam pallet yang berlubang enam itu.... saya juga akan dapat mengikuti kelas jahitan dan masakan... dan macam-macam lagi...."

Dulu, hari pendaftaran sama ertinya dengan hari pertama persekolahan. Tidak ada taklimat panjang atau minggu suai kenal. Pandai-pandailah menyesuaikan diri dengan sekolah baru, persekitaran baru dan rakan-rakan baru....

Hari pertama, kami dikumpulkan (lupa di mana, agaknya di kantin....) dan terus diagihkan kelas. Kalau tidak silap, murid yang mengikuti aliran Inggeris hanyalah dari SRJK (I) Kota dan SK Salor. Yang lainnya, seperti dari SK Pintu Gang, SK Bunut Payong, dan beberapa sekolah lagi mengikuti kelas aliran Melayu.

Pada hari pertama pendaftaran, ada 4 kelas Form 1 - EM1, EM2, EM3 dan EM4 (EM = English Medium). Saya ditempatkan di kelas EM4. Pada minggu kedua, kelas EM4 dibubar dan saya dipindahkan ke kelas EM1. Akhirnya ada 3 kelas sahaja, sama seperti kelas Form 2 dan Form 3. Kelas-kelas ini kemudiannya menjadi Form 1 Red, White dan Green (?). Ini bermakna, pada tahun 1975 ada 9 kelas aliran Inggeris di SM Kota untuk 3 tingkatan.

Dalam ingatan yang sudah kian samar-samar ini, saya akan cuba mengingati dan mencoret kenangan sepanjang 3 tahun berada di SM Kota. Kenangan bersama-sama guru yang banyak berjasa dalam mewarnai masa depan kita. Antaranya ialah, Mr. Peter Poh Chung Ti, Miss Lee Wan Hang, Cikgu Noriah, Cikgu Sahabuddin, Cikgu Wan Hanisah, Ustazah Sabariah, Cikgu Nik Azizah, Cikgu Zubaidah, Mr. Amir Thalingam, Cikgu Hassan dan beberapa orang lagi guru yang masih jelas terbayang rupa paras mereka, tetapi saya sudah lupa nama mereka... Saya juga tidak dapat mengingati ustaz /ustazah yang mengajar PAI semasa saya di Ting. 1. Ah, nampaknya ingatan saya sudah semakin terhakis...! Tidak lupa juga, ingatan kepada HM @ Guru Besar, Mr. Bachan Singh dan Penyelia Petang, Cikgu Idris....Ada sesuatu yang akan saya catatkan.

Saya amat berbesar hati, sekiranya ada kalangan rakan-rakan yang 'singgah di sini' dapat mencatatkan sesuatu atau membetulkannya seandainya apa-apa yang saya tulis ini kurang tepat. Segala catatan daripada rakan-rakan semua diharapkan dapat menambahkan warna nostalgia kita terhadap guru-guru yang suatu ketika dahulu telah membimbing dan mendidik kita, khususnya di SM Kota....

Saya akan mulakan dengan guru-guru yang mengajar saya ketika di Tingkatan 1. Harap-harap, sambil saya mengetuk papan kekunci ini, secara beransur-ansur kenangan selama tiga tahun di SMK Kota akan 'terpanggil' dan terhimpun dalam minda tanpa sedar... dan bolehlah saya kongsikan dengan rakan-rakan dalam entri seterusnya....

Saya mulakan dengan :

1) Mr. Peter Poh ialah guru kelas semasa saya Form 1EM1. Beliau mengajar kami Modern Maths dan Integrated Science. Beliau yang tinggal di Jalan Pintu Pong, KB menunggang motosikal Honda ke sekolah. Beliau seorang yang berbadan tegap dan bercermin mata 'tinted' merupakan seorang guru yang baik dan mudah mesra dengan anak-muridnya. Yang paling saya ingat tentang Mr. Peter ialah cara beliau berjalan dengan mengheret kasut kulitnya yang sudah agak haus dan lusuh, berwarna coklat kehitaman itu, yang akan kedengaran jelas beberapa langkah sebelum sampai ke kelas kami. Beliau masih di SM Kota beberapa tahun selepas kami meninggalkan sekolah itu.

2) Miss Lee (kalau tak silap, nama penuhnya, Lee Wan Hang/ Lee Wang Han...?) - masih single ketika itu, berambut panjang lurus melepasi bahu. Beliau suka 'bermain-main' dengan rambutnya sementara menunggu kami menyiapkan latihan. Mata pelajaran yang diajar ialah English dan Geografi. 10 tahun selepas itu, saya menjadi rakan sekerja dengan beliau apabila kami sama-sama bertugas di SMK Puteri, Kota Bharu. Beliau yang dikenali sebagai Puan Yeap ketika itu merupakan isteri Mr. Yeap yang pernah mengajar saya mata pelajaran Biology semasa Form 5 di Maktab Sultan Ismail. Walaupun tidak lama bersama beliau di SMK Puteri, ia meninggalkan kenangan yang manis yang terus melekat dalam minda. Pernah semasa menyambut Tahun Baharu Cina (1987), kami guru-guru SMK Puteri dijemput ke rumahnya di Jalan Padang Garong dan kami dijamu dengan nasi dagang (yang ditempah khas).

3) Cikgu Shahabuddin - guru baru yang berasal dari Negeri Sembilan ini mengajar kami mata pelajaran Sejarah dan Seni Lukis semasa di Tingkatan 1. Antara tajuk awal yang diajarnya ialah Tamadun Awal Dunia - Indus - Sungai Ganges, Chandragupta Maurya, Asoka. Tamadun Rom - Julius Ceasar, Augustus dll... Seronok walaupun kadang-kadang tak berapa melekat dalam minda... salin sahaja nota yang diberi... Buku teks tebal dan tidak begitu membantu kerana kurang menarik... banyak tulisan. Masa tu, satu-satunya buku rujukan yang ada, ialah keluaran Preston... tebal juga. Tajuk-tajuk ini kemudiannya terkandung dalam sukatan pelajaran Sejarah KBSM mulai 1993 - Tamadun Awal Manusia. Hampir 20 tahun selepas itu, setiap kali saya mengajar tajuk ini kepada murid-murid saya di SMK Taman Maluri, saya akan teringat kepada seorang guru Sejarah yang berkulit hitam manis, mempunyai perawakan sederhana, agak kelakar dan sentiasa tersenyum walaupun berhadapan dengan anak-anak muridnya yang kadang-kadang agak 'nakal'...itulah Cikgu Shahabuddin...!

4) Cikgu Noriah pula mengajar kami Bahasa Melayu, juga guru baru. Berambut pendek paras leher, selalu memakai baju pendek berlengan panjang dengan A-line atau kain kembang. Kadang-kadang ada 'orang luar' yang datang 'melihat' beliau mengajar. Ketika itu beliau banyaklah membawa masuk ke kelas bahan yang ditulis pada kad manila. Kami memberi kerjasama yang amat baik kepada beliau. Pada masa itu kami tidak tahu tujuan 'orang luar' itu datang. Beberapa tahun selepas itu, barulah saya faham bahawa beliau masih dalam latihan amali @ praktikum mengajar.... Saya sangat suka apabila beliau menggunakan kaedah kuiz. Secara berkumpulan, kami akan berlawan untuk mendapat markah yang tertinggi. Beliau seorang yang lemah lembut sama ada dari segi pertuturan ataupun pergerakan. Kami pernah berbasikal beramai-ramai ke rumah beliau di Kg Bt. 4, Jalan Kuala Krai. Kata beliau, dia menumpang di rumah ibu saudaranya sementara bertugas di SMK Kota.

5) Cikgu Wan Hanisah pula merupakan guru penasihat Kelab Pengakap. Pada hari Sabtu kami akan berkumpul di sekolah dan mengajar kami cara-cara mengikat tali, aktiviti kumpulan dan sebagainya. Antara yang masih saya ingat ialah beliau mengajar kami lagu Zulu Zamba Lulu.... dan jenis-jenis tepukan yang mempunyai makna tertentu. Beliau yang tinggal di Kg Larak, Pendek, merupakan kakak sulung kepada rakan sekelas, Wan Mohamad Nizam yang sangat pemalu sifatnya itu...! Kami juga pernah berbasikal beramai-ramai ke rumah Cikgu Wan Hanisah. Dari jalan raya utama, kami mengayuh @ menggatih basikal penuh hati-hati di atas batas bendang untuk sampai di rumahnya. Masih terkenang, kami dijamu makan tengah hari yang sangat enak.... beras baru dari bendang di tepi rumahnya.Di manakah guru-guru kita ini sekarang... apa khabar mereka semua...?

Cukup dulu untuk seketika.


Foto : bersama Miss Lee @ Puan Yeap... 1988 ketika sama-sama bertugas di SMK Puteri.
Entri seterusnya... Cikgu Nik Azizah, Cikgu Zubaidah, Mr. Amirthalingam....


Wednesday, May 11, 2011

Sekolah aneka @ SM Kota yang pernah kukenal.....


SEKOLAH ANEKA


Pada akhir tahun 1960-an, sekitar 1967 @ 1968 ketika itu saya belum lagi bersekolah, baru berumur 5 atau 6 tahun - 2 orang kakak sepupu – Kak Yah dan Kak Sah, sudah masuk sekolah menengah. Kak Yah 10 tahun lebih tua daripada saya, manakala Kak Sah pula, 8 tahun lebih tua daripada saya. Saya selalu dengar mereka menyebut sekolah aneka. Setiap petang, selepas pulang dari sekolah Kak Sah selalu bercerita tentang sekolah aneka ini.... Kadang-kadang saya tertanya-tanya, apakah itu sekolah aneka. Terasa sekolah aneka sangat istimewa. Teruja untuk ke sekolah aneka, walaupun tidak tahu apa-apa sebenarnya sekolah aneka ini.

KETIKA saya mula menapak ke darjah satu pada tahun 1969, yang saya nampak sekolah aneka ini, bangunannya 2 tingkat, ada tangga tinggi. Besar. Berbeza dengan SRJK (I) Kota, yang mempunyai 2 bangunan setingkat sahaja.... Murid-murid perempuan di sekolah aneka memakai baju sekolah (pinafore) warna biru muda. Murid lelaki pula memakai seluar pendek berwarna putih…. 

Waktu itu, sekolah aneka yang berdekatan ialah Sekolah Menengah Kota, bersebelahan dengan SRJK (I) Kota, tempat saya mula mengenal ABC-123-alif-ba-ta.... Kak Sah bersekolah di situ kerana dia belajar dalam aliran Inggeris, manakala Kak Yah yang mengikuti kelas aliran Melayu bersekolah di SM Mulung...

Istilah sekolah aneka ini hilang begitu sahaja daripada ingatan saya beberapa tahun selepas itu…....Apabila saya sudah belajar di peringkat yang lebih tinggi, hasil daripada pembacaan luas, barulah saya tahu bahawa sekolah aneka rupa-rupanya satu Sistem Aneka Jurusan di sekolah menengah rendah (SMR) sebagaimana yang tercatat dalam Penyata Rahman Talib. Sistem ini mula diperkenalkan pada 1 Januari 1965...3 tahun selepas saya dilahirkan...!

Berikut sedikit sebanyak maklumat tentang SISTEM SEKOLAH ANEKA JURUSAN yang diperoleh daripada 'encik google'... untuk dikongsi dengan rakan-rakan yang 'singgah di sini'.

Menerusi sistem ini, murid-murid di SMR terpaksa mengikuti pelajaran Aneka Jurusan – pelajaran am dan pelajaran persediaan pekerjaan dengan tujuan menolong diri mereka untuk mengetahui apakah bakat dan kecenderungan, dan jenis pelajaran (aliran akademik atau lain-lain) yang baik sekali untuk kebolehan masing-masing. 

Pelajaran am termasuklah mata pelajaran wajib dan mata pelajaran asas seperti Bahasa Kebangsaan, bahasa Inggeris, Ilmu Hisab dan Sains Am. Pelajaran Pendidikan Persediaan Pekerjaan pula termasuklah mata pelajaran Sains Pertanian, Sains Rumahtangga, Ilmu Perusahaan, Ilmu Perniagaan Am, dan lain-lain lagi.  

Menurut sistem ini, pada akhir tahun ke-9, murid-murid itu akan mengambil peperiksaan SRP / LCE. Berdasarkan keputusan peperiksaan itu, mereka akan dipilih untuk masuk sama ada pelajaran Menengah Atas Aneka Jurusan dalam aliran akademik, teknik, pertanian, perdagangan atau pertukangan dan sekolah-sekolah pekerjaan, yang sesuai.

Apabila mereka tamat pelajaran menengah itu, kebanyakan murid itu tentulah telah menerima latihan cukup untuk mencari kehidupan mereka dan tentu berumur 17 atau 18 tahun, iaitu umur yang sesuai untuk mencari pekerjaan dalam perdagangan, perusahaan atau pertanian, atau bekerja sendiri, mengkut kesukaan masing-masing. Sementara mereka yang berbakat untuk pelajaran dalam aliran akademik pula akan meneruskan pelajaran mereka ke maktab-maktab dan lain-lain yayasan.
Secara ringkasnya, sistem aneka jurusan ni bertujuan :

a) memberi pelajaran asas dan am selama 9 tahun kepada setiap murid hingga berumur 15 tahun lebih.
b) Mengadakan peluang belajar yang sama bagi setiap orang murid supaya mereka boleh menerima pelajaran dan latihan yang sesuai dengan bakat dan kebolehannya;
c) Menjamin cukup tenaga orang ramai.


SM KOTA (dulu belum diselitkan perkataan KEBANGSAAN...)


SM Kota yang dulunya dikenali sebagai sekolah aneka dalam kalangan penduduk di Kg Kota didirikan pada tahun 1965

Daripada cerita Papa, pada asalnya sekolah ini hendak didirikan di tapak sawah padi berhampiran tempat kami tinggal. Penduduk setempat yang 90% hidup mereka bergantung kepada tanaman padi tidak bersetuju dengan rancangan awal itu. Akhirnya, tapak SMK Kota dipindahkan ke satu kawasan berhampiran dengan stesen RTM Kota Bharu. Satu lokasi yang paling tepat kerana SM Kota juga berjiran dengan 2 buah sekolah rendah, iaitu SK Kota dan SRJK (I) Kota (kini, SK Seri Kota). Rancangan pembinaan sekolah itu digantikan dengan pembinaan tali air.
Sambung cerita SM Kota....

Pada peringkat awal penubuhannya pada tahun 1965, Sekolah Menengah Kota menumpang di bangunan Sekolah Kebangsaan Kota, tetapi tiga tahun kemudian iaitu pada tahun 1968, dua buah bangunannya sendiri siap dibina. Bangunan tersebut ialah Blok A dan bangunan Blok B.

Pada peringkat awal penubuhannya, Sekolah Menengah Kota terdiri dari 2 aliran iaitu Aliran Melayu dan Inggeris. Kumpulan pertama muridnya adalah seramai 230 orang yang datang dari sekolah rendah di sekitarnya seperti SK Kota, SRJK (I) Kota (kini, SK Sri Kota), SK Bunut Payong, SK Pendek, SK Pintu Geng dan lain-lain lagi. Murid-murid tersebut diagihkan kepada tiga kelas aliran Inggeris. Tenaga pengajar adalah seramai 7 orang termasuk 5 orang guru terlatih dan 2 orang guru yang dipinjamkan dari SM Mulong dan SM Ismail Petra (SMIP).

Semasa saya mula melangkah ke sekolah menengah pada tahun 1975, sudah ada satu blok bangunan baru dua tingkat yang menempatkan bilik darjah, perpustakaan dan makmal sains (paling hampir dengan SRK Kota), dan sebuah bangunan setingkat, sepagar dengan stesen RTM Kota Bharu, bagi menempatkan bengkel Indutrial Arts (IA) atau bengkal Seni Pertukangan Tangan (kini dikenali sebagai Kemahiran Hidup Bersepadu - KHB). Sebelum ini, bengkel IA terletak di sebuah bangunan kayu satu tingkat yang sudah agak uzur bersebelahan kuaters / rumah guru (yang pernah didiami oleh Cikgu Halimah) / kantin SRJK (I) Kota.

Seingat saya,(kalau silap, harap maaf...maklumlah, sudah lama berlalu....) bangunan baru ini mula digunakan pada akhir tahun 1975. Kami rasa seronok sangat kerana dapat menggunakan makmal sains yang baru. Bangunan baru ini juga menempatkan dua kumpulan murid 'English Medium' yang bakal menduduki peperiksaan LCE, masing-masing pada tahun 1976 dan 1977. Ketika itu terdapat 3 kelas ting. 3 dan 3 kelas ting. 2. Jadi, kelas Form 3/ Form 2 Red, White dan rasanya satu lagi kelas Green (tolong betulkan, kalau salah...) ditempatkan di bangunan baru ini.

Seiring dengan perkembangan dan pertambahan murid di SM Kota, beberapa buah lagi bangunan baru telah didirikan. Pada tahun 1980, dua buah bangunan siap dibina iaitu Blok C dan Blok D. Sebuah surau (walaupun tidak besar) juga telah dibina untuk memudahkan aktiviti keagamaan dijalankan. Lima tahun kemudiannya, ada lagi bangunan baru siap dibina. Bangunan baru 3 tingkat pula sempurna disiapkan menjelang tahun 991. Sekarang Sekolah Menengah Kota mempunyai 11 buah blok termasuk blok kemahiran hidup dan sebuah dewan besar, Dewan Seri Jelasin.

Selepas meninggalkan SM Kota pada tahun 1977, saya hanya sempat singgah beberapa kali menjenguk rakan-rakan pada tahun 1978. Bertemu dengan rakan-rakan sekelas yang pernah sama-sama di bawah satu bumbung dari tahun 1975 - 1977. Mereka merupakan kumpulan pertama dan terakhir kelas aliran Sains (English Medium) di SMK Kota. Sebelum itu, semua murid English Medium akan meneruskan pelajaran Tingkatan 4 & 5 mereka di SIC, sama ada dalam aliran Sains ataupun Sastera....  

.... selepas LCE ada juga rakan-rakan yang meneruskan pelajaran di SM Teknik... antaranya ialah Norhayati Idris, Norazma Ariffin, dan Rusnah Mohammad. Nik Mohd Fauzi Nik Mustapha pula menyambung pelajaran Ting. 4 di RMC, Sungai Besi KL.  Ada lagi rasanya rakan-rakan yang menyambung pelajaran Tingkatan 4 di sekolah lain... siapa ye?

Rupa-rupanya, sudah lama benar saya tidak masuk ke kawasan SMK Kota... hanya pandang dari luar pagar sekolah setiap kali melalui Jalan Salor atau ketika singgah di kedai runcit Alami dalam perjalanan balik ke rumah....
Kini, landskap SMK Kota kelihatan jauh berbeza berbanding dengan lebih 3 dekad yang lalu....Dewan Kota Jelasin tersergam gagah menyambut kedatangan tetamu yang masuk ke kawasan SMK Kota ....



... terkenang akan Dr. Suriani Hussein, Dr. Wan Muhammad Nizam, Adnan Hussin, Haslin Shafii, Azman Talib, Tengku Norizan, Adzmah Ali, dan beberapa orang rakan lagi yang terus berada di SMK Kota sehingga tamat peperiksaan MCE, 1979....

Kisah guru-guru yang pernah mencurahkan ilmu kepada kami sepanjang tiga tahun di SM Kota menyusul selepas ini....


Tuesday, May 10, 2011

Terima Kasih Cikgu....

Selain sambutan Hari Ibu, bulan Mei juga merupakan bulan mengenang jasa guru-guru yang telah mengajar dan mendidik kita menjadi seperti "kita" hari ini. Kurang seminggu dari sekarang, kita akan meraikan Hari Guru 2011.

Mengimbau kenangan bersama guru-guru pada awal zaman persekolahan, aku terpanggil untuk mencatat secebis kenangan yang terpahat di minda semasa bersekolah di SRJK (Ingg) Kota, 1969 - 1974.

Jasa mereka tidak akan kami lupa. Kejayaan yang dikecapi kini bermula daripada didikan serta tunjuk ajar Cikgu-cikgu tersayang – akan tetap kukuh dalam ingatan.

Berikut antara kenangan yang masih tersisa dalam ingatan....

1. Cikgu Habsah (Form Teacher Std. 1 Blue -1969) – sudah kembali ke rahmatullah beberapa tahun lepas, rumahnya tidak jauh dari sekolah, (dekat bulatan Wakaf Hj. Abdullah Kota) dan beliau berjalan kaki sahaja untuk ke sekolah. Selepas berkahwin dengan Cikgu Yusof sekitar tahun 1972 (guru di SRJK(I) Kota juga), beliau menetap di kediamannya bersebelahan dengan pagar SK Kota.

2. Cikgu Tengku Hafni Zaharah (Form Teacher Std 2 Blue - 1970) – ayu, lembut, sopan santun, sentiasa berbaju kurung dan sangat prihatin. Keayuan dan kelembutannya menjadi Cikgu Tengku sangat istimewa di mata kami. Matanya berkaca-kaca sekiranya ada murid lelaki yang tidak mahu dengar arahannya...Beliau berkahwin dengan Cikgu Mohammad.

3. Cikgu Nik Mohammad - guru kelas Std 3 Blue (1971) - selalu hantar surat kepada seseorang melalui rakan sekelas, Haslin...kemudian digantikan oleh Cikgu Zainab – cakap Melayu ala orang putih kerana baru balik dari New Zealand...

4. Mr. Choong Chong Wah (FT Std 4 & 5 Blue - 1972/73) – asal dari Pulau Pinang, tinggi lampai, tinggal di Jalan Hamzah KB, naik vespa hijau ke sekolah, mengajar English & Arithmatics.

5. Mr. Chong Sam Chong (FT Std 6 Blue - 1974) – mengajarkan mata pelajaran Science dan Arithmatics. Kami mula belajar dengan beliau sejak Std 3. Beliau memilih Islam sebagai destinasi akhir, tp tak ingat nama Islamnya. Masa djh 6, kami melawatnya di hospital – ‘operation’ sebelum berhijrah menjadi seorang muslim.

6. Cikgu Fatimah Busu – beliau suka bercerita, selalu pakai blouse pendek dan kain sempit -kemudian beliau melanjutkan pelajaran ke USM – novel karyanya Ombak Bukan Biru, The Missing Piece 1 & 2 antara koleksi peribadi yang istimewa – catatan sebahagian perjalanan hidupnya.

7. Cikgu Mara Rahmah – selalu ajar kami menyanyi “Waktu fajar saya bangun, matahari pun terang, kulihat berduyun-duyun …..“ (sudah lupa liriknya) – juga bimbing murid-murid SRJK Kota pelbagai jenis tarian/ taridra untuk masuk pertandingan – fashionable, berbaju warna sedondong dari cekak rambut, bingkai cermin mata, subang, baju, beg tangan hingga kasut - pernah berjumpa dengan beliau pada akhir tahun 90-an dalam satu majlis santai WAJANITA guru-guru wanita JPWP di Hotel Istana, KL...(masih berbaju kurung pesak sedondong), beliau ketika itu menjadi Guru Besar di SK Manjalara, KL.

8. Ustazah Zainun – berasal dari Kg. Laut. 6 tahun belajar dengan ustazah yang sama. Masa ni, fesyen ikat skarf di leher… belum ada tutup-tutup kepala lagi…

9. Cikgu Ismail, mengajar Tawarikh dan Ilmu Alam (Std 5) – sangat tekun untuk memastikan kami dapat ‘A’ dalam Peperiksaan Penilaian Darjah 5 – mengayuh basikal dari rumahnya di Lorong Che Majid off Jln Pasir Puteh KB ke sekolah. Setiap Sabtu dan cuti sekolah selalu buat kelas tambahan.

10. Mr. Loh Tong Seng – ajar Arithmetics (Std 6); Art & Craft – ingat lagi semasa Std 6, beliau ajar buat penguin guna sabut / buah kelapa dan kolaj.

11. Mr. Ong - ajar kami lagu untuk concert semasa kami Std 4 (1972)... lagu Kookabara sits on the old gun tree..., Che Mek cari etok...(dialek Kelantan), Siau siau ku niang....(lagu mandarin)...satu lagi lagu dah tak ingat. Masa tu kami bersekolah petang, jadi kenalah datang berlatih pada waktu pagi di kantin sekolah.

Tidak lupa juga kenangan bersama dua orang HM, iaitu Mr. Kassim (dari Std 1 - Std 3) dan Cikgu Ibrahim (Std 4 - Std 6)....


Kenangan di SRJK (I) Kota mengusik jiwa... cikgu ibarat lilin...


Saturday, May 7, 2011

Raikan Ibu, Hargai Kasih Sayangnya Setiap Saat....


HARI IBU jatuh pada hari Ahad minggu kedua bulan MEI setiap tahun. Pada tahun ini, Hari Ibu jatuh pada 8 Mei 2011. Sama ada kita memanggilnya ibu, mak, ummi, mama atau mummy, maknanya sama sahaja.

Ibu adalah panggilan istimewa seorang anak kepada wanita istimewa yang melahirkannya.
Biarpun kasih sayang, pengorbanan dan jasa ibu saban hari dikenang selagi hayat dikandung badan, namun sambutan Hari Ibu memberi makna yang amat besar kepada semua ibu di negara ini.

Peranan dan tanggungjawab wanita yang bergelar ibu tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Walaupun ibu tidak pernah meminta balasan atas pengorbanannya, namun sebagai anak sudah menjadi tanggungjawab mereka menghargai dan memberikan kebahagiaan kepda ibu yang dikasihi.


Oleh itu, pada kesempatan sambutan HARI IBU yang diraikan di seluruh negara esok, anak-anak yang masih berpeluang menghargai ibu mereka, jadikanlah hari istimewa ini antara hari yang membahagiakannya sepanjang hayat si ibu.... hargailah ibu kita pada setiap masa sementara masih ada ruang waktu....

SESUNGGUHNYA, SETIAP HARI MERUPAKAN HARI IBU....!

.... sekadar mengingatkan diri sendiri
"...Mama, engkaulah RATU hati kami sepanjang waktu...."

minggu lepas balik KB bertemu Mama....

foto : Mama bersama 6 daripada 8 orang puterinya pada pagi Aidilfitri 2010....


Friday, May 6, 2011

Nostalgia...lebih Sepurnama di Pekan Bandar Diraja...



Dulu, Pekan merupakan sebuah bandar yang tenteram, aman dan damai. Jauh daripada hiruk-pikuk kesibukan dan bunyi bising kenderaan. Sunyi dan tenang. Ketenangan ini sukar dicari dan mereka yang sibuk dan berada di tempat yang riuh-rendah sesekali elok menghabiskan masa cuti rehatnya di sini.

Pada masa itu, pemandangan-pemandangan asli masih terjaga dan terkawal. Terdapat rumah-rumah kampung yang indah; susunan dan reka bentuknya. Walau bagaimanapun, kini, keadaan sudah berubah. Banyak bangunan baru didirikan selari dengan arus pemodenan....

Di antara bahan tarikan yang terdapat di bandar Pekan ini ialah istana. Istana DYMM Sultan Pahang terletak di tengah-tengah kawasan yang luas berhampiran dengan Padang Polo yang dijaga begitu rapi dan sempurna sekali.

Masyarakat di sini juga mudah mesra dan sungguh peramah.

Di Pekan, aku tinggal bersama Mak Cik Esah. Tak pasti untuk berapa lama. Dalam masa yang sama aku telah menulis surat ke Kemeterian Pelajaran memohon pertukaran mengikut suami yang ketika itu betugas di KB. Tak isi borang pertukaran pun, sebab Pengetua tak galakkan aku pindah terlalu awal. Surat pun tak melalui Pengetua. Aku jangkakan paling awal aku dapat pindah hujung 1986 / awal 1987.

Ramadan menjelang seminggu selepas aku lapor diri di SM Ahmad. Bersahur dan berbuka berdua dengan Makcik Esah merupakan suatu pengalaman baru.

Pada hari Sabtu, aku akan bawa Makcik Esah ke Pekan Sehari. Berjalan kaki sebab tidak ada kenderaan awam. Beca pun tak ada. Agak jauh juga dari rumah sewa kami di Kampung Parit Dalam ke Pekan Sehari(rujuk peta). Sebenarnya, dalam keadaan aku yang sudah sarat tu, rasa nak berehat sahaja di rumah. Tetapi aku kesian pada Makcik Esah, asyik duduk di rumah aje, jadi bawalah dia 'makan angin'. Sambil tu beli sedikit keperluan untuk memasak. Masa balik pun kami berjalan kaki. Sampai di rumah, rasa penat dan haus sangat.

Minggu berikutnya pula, aku bawa Makcik lalu ikut jalan menuju istana dan juga padang polo. Makcik Esah kata, apabila balik ke Lubuk Bongor kelak, bolehlah dia bercerita tentang bandar Pekan kepada orang kampungnya.

Hampir sebulan berpuasa, tibalah masa untuk balik ke KB menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Abang Aziz (arwah) dalam perjalanan balik ke TM dari KL singgah di Pekan untuk ambil aku dan Makcik Esah balik ke KB. Sarat kereta dengan barang-barang keperluan baby. Kena bawa balik, takut-takut bersalin masa cuti hari raya nanti. Sebenarnya, aku telah maklumkan kepada Pengetua, kemungkinan aku akan terus cuti sehingga aku bersalin.

Sekolah akan dibuka semula pada hari Isnin berkutnya.... dan aku selamat melahirkan putera sulungku MOHD FARIS NAIN pada hari Ahad, 22 JUN 1986 sehari sebelum sekolah dibuka selepas cuti sempena Aidil fitri....

Syukur kepada Ilahi kerana mendengar luhan isi hatiku dan mempermudahkan segala urusan.

Cukup dulu, jumpa lagi...


Tuesday, May 3, 2011

Hutang Budi Dibawa Mati


Sambungan coretan surat penempatan pertama....

Apabila sampai di hadapan SM Ahmad, kami cuba meninjau kalau-kalau ada sesiapa di sekolah itu. Papa seperti yakin sangat bahawa dia kenal tuan kereta DH... tu. Kami memberi salam. Yang keluar ialah seorang lelaki pertengahan umur bersama isteri yang kebetulan ada di sekolah. Sebaik sahaja mereka menjawab salam kami,.... rupa-rupanya jangkaan Papa tepat sekali... mereka adalah kenalan lama Papa. Kami berasa lega.

Cikgu Abdullah (nama asal di kampung - Rashid) baru 6 bulan naik pangkat sebagai Pengetua di SM Ahmad. Orang sekampung. Beliau berasal dari Kampung Batu 4, Jalan Kuala Krai - (sekarang berhampiran Restoran New Horizon Garden, Kota Bharu). Beliau merupakan kawan Papa sejak di sekolah rendah. Sama-sama bersila di Sekolah Inggeris Kota.

Diringkaskan cerita, beliau dan isteri, (Cikgu Mariam - asal dari Temerloh, mengajar di SMK Pengkalan Chepa, KB sebelum berpindah ke Pekan) mengajak kami bermalam di rumah mereka. Kak Yam juga tolong cari rumah sewa untuk kami.

Dengan pertolongan mereka, saya telah menyewa rumah Pakcik Aziz, di Kampung Parit Tengah. Agak jauh juga dari Sekolah Menengah Ahmad jika berjalan kaki. (Sekarang dah tak ingat jalan mana menuju ke rumah Pakcik Aziz tu). Sebuah rumah kampung, agak besar untuk kami berdua dengan Makcik Esah. Jiran saya ialah seorang jururawat. Dia telah memberi no. telefon ambulan takut-takut saya sakit nak bersalin tengah malam. Maklumlah, masa dah nak sampai...

Budi baik Cikgu Lah dan Kak Yam akan saya kenang sampai bila-bila. Dari Pekan Cikgu Lah berpindah ke SMK Jengka 2, (saya bertugas di SMKJ2 mulai 2000 - 2003), Kak Yam pula di SMK Jengka 6. Kini mereka telah bersara dan kembali menetap di Taman Uda Murni, Kota Bharu. Terima kasih juga kepada Pak Cik Aziz sekeluarga. Allah sahaja yang dapat membalas budi baik mereka....

Allah telah mempermudahkan perjalanan hidup saya di rantau orang. Tempat yang masih asing bagi saya. Saya amat bersyukur dan amat yakin, DIA Maha Penyayang dan Maha Berkuasa menentukan segalanya.

Menyusul nanti ... life @ Pekan...Jumpa lagi.

Sunday, May 1, 2011

Surat Penempatan Pertama....



Setiap kali tiba bulan Mei, setiap kali itulah juga ingatanku terbang ke sebuah pekan yang begitu damai dan tenang ketika itu...Pekan, Bandar Diraja.

Usai latihan praktikum selama 10 minggu di SM Perempuan Ampang (kini dikenali sebagai SMK Puteri Ampang) aku bercuti selama hampir 2 bulan sebelum menerima surat penempatan pertama daripada JPN Pahang bertarikh 24 April 1986. Aku diminta melaporkan diri di SM Ahmad, Pekan Pahang pada 4 Mei 1986, beberapa hari sebelum menjelang Ramadan.

Semasa surat tawaran diterima, aku baru balik dari Pusat Kesihatan Wakaf Che Yeh untuk pemeriksaan bulanan kerana pada waktu itu aku sedang sarat mengandung anak sulung. Aku agak terkejut, tidak terfikir akan posting jauh...Tapi aku pasrah, itu ketentuan-NYA. Hubby dan ahli keluarga tidak putus-putus memberi semangat kepadaku.

Masalahnya, siapa yang akan bersamaku di Pekan nanti? Aku tidak mungkin tinggal bersendirian di sana. Aku dijangka bersalin pada 1 JULAI. Hubby tidak boleh menemaniku kerana dia bertugas di Kota Bharu. Mek Kiah pula perlu menunggu Che' Pok Mat di hospital TM (kini, sudah 24 tahun kembali ke rahmatullah - keluar masuk hospital kerana diabetes). Mama? Tentu sekali tidak boleh, Adik-adik masih kecil, perlukan perhatian dan jagaan daripada Mama. Makan minum Papa juga mesti dijaga.

Lepas kerja hari Khamis, kami terus balik ke Batang Merbau, Tanah Merah. Sebelum tu singgah di Pasir Mas untuk bertanyakan Tok Nik (Nenek saudara hubby) sama ada dia boleh temankan aku di Pekan. Tetapi masa tu dia sedang menjaga Chik yang masih dalam pantang, selepas melahirkan Siti Fairuz.

Pilihan seterusnya dan mungkin yang terakhir ialah Mak Cik Esah. Masa tu Mak Cik Esah berada di kampungnya, di Lubuk Bongor yang letaknya lebih kurang 20km ke dalam dari pekan Jeli. Untuk ke sana, kita perlu melalui beberapa jambatan kecil yang merentangi Sungai Pergau. Pada masa tu, belum ada lebuh raya untuk sampai ke sana dari Tanah Merah. Sekiranya hari hujan, keadaan menjadi bertambah buruk. Untuk sampai ke sana perlu guna jip.

Pada petang Khamis tu juga hubby bertolak dari Batang Merbau bersama Mek Kiah dan Kak Mah menuju ke Lubuk Bongor yang mengambil masa lebih daripada 2 jam. Mereka sampai semula ke rumah pada pukul 3.00 pagi. Alhamdulillah, Mak Cik Esah bersetuju untuk ke Pekan bersama kami.

(Terima kasih Mek, terima kasih Kak Mah kerana sentiasa berusaha untuk mendapatkan pengasuh untukku, menjaga anak-anakku semasa aku pergi kerja, sehingga mereka boleh berdikari).

Pagi Sabtu, kami terus balik ke rumah Mama di KB, dan pagi Ahad kami berempat (Hubby, Papa, aku & Makcik Esah) bertolak dengan Nissan Sunny 1.3 - DK 4606 yang sarat dengan barang (termasuk keperluan baby) menuju ke Pekan. Kami bertolak awal pagi dan sampai di Bandar Diraja Pekan lebih kurang pukul 2.30 ptg. Tersilap ambil jalan jauh, maklumlah tak pernah sampai ke Pekan...Perut dah mula berkeroncong. Kami menjamu selera di sebuah gerai di simpang masuk ke bandar Pekan.

Selepas tu, kami menuju ke suatu tempat untuk menunggu kawan sekerja Papa yang berjanji untuk menunggu kami, tapi kawan Papa itu tidak kunjung tiba. Mungkin salah tempat yang dijanjikan. Sementara menunggu, kami pusing-pusing bandar Pekan untuk mencari lokasi SM Ahmad. Tidaklah susah untuk sampai ke SM Ahmad kerana bandar Pekan bukannya besar mana...Apabila sampai di sekolah itu, ternampak sebuah kereta berwarna biru di garaj depan pejabat sekolah. Lega rasanya. Plat kereta tu DH... (lupa no.nya). Papa kata, dia 'biasa' dengan kereta itu, dan jangkaannya tepat sekali ...

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui keluhan dan keresahan hambanya.

Siapa empunya kereta itu dan apa kesudahannya...ikuti perjalanan seterusnya...jumpa lagi.