Sunday, October 30, 2011

Keindahan Tangkuban Parahu dan lagendanya....

Destinasi pertama kami selepas mendaftar masuk ke Lembang Maribaya Family Guest House adalah ke Gunung Tangkuban Parahu / Perahu yang terletak tidak jauh dari tempat penginapan kami.

Tangkuban Perahu terletak bersempadan antara Kabupaten Bandung dan Kabupaten Subang, Jawa Barat. Bahagian selatan kawasan ini merupakan wilayah kecamatan Lembang, Kabupaten Bandung, sementara bagian utaranya termasuk wilayah Kecamatan Segalaberang, Kabupaten Subang, Takuban Perahu terletak sekitar 29 km ke sebelah utara kota Bandung, atau ± 60 km dari kota Subang. Daerah yang paling hampir ialah kecamatan Lembang.

Untuk ke Tangkuban Perahu, ibarat seperti ke Cameron Highland tetapi lagi sejuk di Tangkuban Parahu. Seronok sangat kerana sejuk dan separas dengan awan. Sebenarnya Tangkuban Parahu ni adalah gunung berapi setinggi 2.084 m yang dikelilingi oleh pohon-pohon pine dan hamparan ladang teh di sekitarnya. Purata suhu hariannya adalah 17oC pada siang hari dan 2 oC pada malam hari.

Kita perlu menaiki van mengelilingi gunung berapi itu untuk sampai ke kawahnya yang terletak di puncak gunung tersebut. Untuk naik ke sana dari Lembang tidaklah terlalu lama sangat. Turun sahaja dari van bau sulphur belerang gunung berapi kuat sangat, macam bau lumpurlah lebih kurang. Tapi pemandangannya, Subhanallah, cantik sangat. Kami meninjau kawah-kawah gunung berapi itu terutama kawah ratu. Hebat.

Sebenarnya, beberapa kawahnya masih menunjukkan tanda-tanda keaktifan gunung ini, tapi seperti in a latent phase aje, maka mereka jadikan tempat ini sebagai destinasi pelancongan yang indah permai. Antara tanda gunung berapi ini masih aktif adalah munculnya gas belerang dan sumber-sumber air panas di kaki gunungnya di antaranya adalah di kasawan Ciater, Subang.

Menurut lagenda, gunung ini dinamakan Tangkuban Perahu kerana dilihat dari kejauhan, gunung ini kelihatan seperti sebuah perahu yang terbalik. Gunung ini selalu dikaitkan dengan lagenda yang popular di seluruh Jawa Barat, iaitu legenda Sangkuriang.

Lagenda ini menceritakan tentang seorang puteri jelita yang bernama Sayang Sumbi yang kerana kutukan dewata, puteri tersebut harus berkahwin dengan seekor anjing bernama Tumang. Hasil perkahwinan ini lahirlah seorang putera yang diberi nama Sangkuriang. Pemuda tampan ini hidup terpisah daripada ibunya. Suatu ketika mereka bertemu dan Sangkuriang jatuh cinta kepada Dayang Sumbi.

Untuk menggagalkan niat anaknya menikahinya, Dayang Sumbi mengajukan syarat supaya Sangkuriang membuat perahu dalam tempoh satu malam. Syarat itu diterima oleh Sangkuriang kerana yakin akan kesaktiannya. Ketika usahanya gagal, Sangkuriang marah dan menendang perahu itu, sehingga mendarat dalam keadaan terbalik. Perahu inilah yang kemudian membentuk Gunung Tangkuban Parahu.

Tangkuban Parahu antara bukti kebesaran Ilahi yang sarat dengan lagenda penduduk tempatan.... tidak sah jika tidak menjenguknya kala berlibur di Jawa Barat, khususnya di Bandung....


Saturday, October 29, 2011

4H3M di Lembang, Bandung...


Sebaik sahaja selesai pemeriksaan imigresen di pintu masuk, kami terus dibawa ke tempat penginapan kami di Maribaya Family Guest House, Lembang.

Kami sengaja memilih Lembang yang terletak di luar kota Bandung sebagai tempat penginapan sepanjang percutian ini kerana kami ingin menikmati keindahan pemandangan alam semula jadi serta melihat budaya hidup masyarakat di sekitarnya.

Kami amat selesa dengan tempat penginapan ini. Terasa seperti berada di rumah sendiri.

Sebenarnya,
Lembang ialah sebuah kecamatan di Kabupaten Bandung Barat, Jawa Barat, Indonesia. Lokasinya sekitar 15 km ke utara Bandung. Di Lembang terdapat banyak tempat semulajadi menarik yang boleh dilawati. Kesejukan udara pergunungan menjadi daya penarik pengunjung yang datang ke sini. Walaupun kami tidak disediakan air-cond di tempat penginapan, persekitarannya yang sejuk membolehkan kami tidur dengan berselimut dan nyaman sekali.... Selain itu, Lembang yang dilatarbelakangi oleh gunung Tangkuban Parahu ini menjadi ikon Lembang dan Kota Bandung....

Kecamatan Lembang berada pada ketinggian antara 1.312 hingga 2.084 meter di atas aras permukaan laut. Titik tertingginya ada di puncak Gunung Tangkuban Parahu. Sebagai daerah yang terletak di pergunungan, purata suhunya adalah di sekitar 17 - 27 darjah selsius. Pekerjaan sebahagian besar penduduk Lembang adalah sebagai petani, pedagang, dan pekerja sektor informal (buruh, pengemudi, dll)

Sepanjang berada di Bandung, khususnya di kecamatan Lembang ini, kami telah melawat beberapa tempat menarik di sekitar Lembang, iaitu Gunung Tangkuban Parahu, Kolam Air Panas Ciater, Restoran Sapulidi yang unik dengan konsep makan di sawah, ladang strawberry dan beberapa tempat lagi.... Yang tidak sempat kami jengah ialah Air terjun Maribaya yang dikatakan agak terkenal dan Pusat Obsevatorium Bosscha (Pusat peneropongan bintang yang tertua di Indonesia).


Pada pagi hari terakhir di Maribaya Family Guest House, kami menaiki kereta kuda mengelilingi kecamatan Lembang....

...bersambung dalam n3 seterusnya

Friday, October 28, 2011

Bandung 4H3M

Sebagaimana yang dijanjikan dalam n3 sebelum ini, saya akan berkongsi kenangan V-G berlibur selama 4H3M di Bandung...

Perjalanan kami bermula pada hari Ahad, 23 Sept pukul 10.30 malam dari Kuantan dengan menaiki bas ekspres dan tiba di LCCT hampir pukul 4 pagi.

Kami 'bersantai' di balai berlepas sementara menunggu masuk waktu solat subuh. Usai solat subuh, kami mendaftar masuk dan terus ke pesawat. Ada sesuatu yang melucukan berlaku, sehingga kami terpaksa terkejar-kejar sebelum pintu untuk daftar masuk ditutup....!

Laluan ke pesawat agak jauh. Kami bersama-sama penumpang yang lain berjalan dengan laju. Terasa seolah-olah seperti latihan untuk masuk pertandingan rentas desa.

Waktu pesawat berlepas dari LCCT adalah pada pukul 6.45 pagi, tapi pesawat berlepas agak lewat, iaitu hampir pukul 7.15 pagi waktu tempatan.
Cuaca yang baik menjadikan penerbangan kami lancar dan cepat, tak sampai 2 jam pesawat Air Asia yang membawa kami mendarat dengan selamatnya di Lapangan Terbang Bandara Husein Sastranegara Bandung hampir pada pukul 8.00 pagi (WIB) atau hampir 9.00 pagi waktu Malaysia.

Terasa udara yang sejuk dan menyamankan sebaik sahaja keluar dari pintu pesawat. Bandung yang berkabus dan dikelilingi oleh gunung-ganang menyambut kedatangan kami dengan 'ramah'....

Percutian kami selama 4 hari 3 malam di
Bandung yang diketuai oleh Cikgu Ishak bermula pada 24/10 hingga 27/10 meninggalkan banyak kenangan manis.

Bersambung....


Saturday, October 22, 2011

Rehat minda bersama 'V-Grup'....


Hujung minggu dan cuti yang panjang bermula...

Jumaat 21 Okt 2011, saya mengambil CRK. Saya bercadang, petang Khamis, selepas suami balik dari pejabat, kami akan bertolak balik ke KB. Memandangkan suami balik agak lewat, pukul 8 malam barulah kami bertolak dan sampai di rumah Mama di KB pada pukul 12.30 malam. Tujuan kami balik adalah untuk melawat saudara terdekat yang sedang terlantar sakit di hospital dan untuk menyelesaikan beberapa urusan keluarga. Kami akan bertolak balik ke Kuantan pada pagi Ahad.

Ada lagi satu minggu cuti yang berbaki....

Sempena cuti seminggu ini... bermula dengan cuti sempena hari keputeraan DYMM Sultan Pahang pada hari Isnin (24/10) , Cuti Peristiwa (25/10); Cuti Umum sempena Hari Deepavali (26/10) dan Cuti Berganti (27/10 & 28/10).... kami grup veteran ini akan merehatkan minda sambil mencuci mata dan mencuci poket ke Bandung. Selain saya, V-Grup ini terdiri daripada Kak Wan Bahiah, Megawati, Rosni, Nooraihan, Suriani, En. Wan Ahmad bersama isteri dan putera tunggalnya. Kami diketuai oleh Cikgu Ishak.

Perjalanan kami bermula pada 23hb Okt. hinggalah 27 Okt. 2011. Masih berbaki beberapa hari untuk berehat di rumah sebelum balik semula ke sekolah pada 31hb, Isnin.

Kami akan bertolak dari Kuantan pada hari Ahad pukul 10.30 malam, terus ke Jalan Pekeliling - KL Sentral - LCCT... Perjalanan akan diteruskan ke Bandung dan dijangka tiba di lapangan terbang Bandara Husein Sastranegara Bandung pada pukul 9.00 pagi (WIB)...

Coretan kenangan rehat minda bersama 'V-G' ini akan dipaparkan sekembalinya kami ke tanah air nanti....

Semoga perjalanan kami selamat dan menghiburkan....



Friday, October 14, 2011

SELAMAT BERSARA, MR SEBASTIAN....


Pagi tadi dalam suasana yang tenang dan ceria, satu majlis telah berjaya disempurnakan sempena persaraan seorang rakan guru yang telah berkhidmat di SMKTP sejak tahun 2007. Walaupun majlis itu agak sederhana, tetapi ia sungguh bermakna untuk kami semua, khususnya untuk rakan yang diraikan, ENCIK SEBASTIAN RAJAH A/L SINGARAJAH.

Majlis seawal pukul 8.00 pagi itu yang dikendalikan oleh juruaraca majlis, PUAN HAMIDAH OMAR dimulakan dengan perarakan tokoh yang diraikan, diiringi lagu yang dimainkan oleh pasukan pancaragam sekolah ke dewan utama. Mr. Sebastian hadir bersama-sama dengan empat orang puterinya yang rupawan, iaitu JOAN RAJAH, JACINTA RAJAH, JAQUELINE RAJAH dan JULIANNE RAJAH. Majlis ini juga turut dihadiri oleh beberapa orang wakil guru dari SMK St. Thomas, untuk meraikan rakan guru mereka yang pernah berkhidmat di sana selama 26 tahun (1981 - 2006).

Setelah semua hadirin mengambil tempat, majlis diteruskan dengan ucapan daripada wakil pelajar oleh SDR QUAH WEI SIONG, diikuti oleh ucapan daripada Tuan Pengetua, ENCIK LOH SAI HENG.

Menurut Mr. Loh, ini merupakan majlis persaraan yang pertama pernah dianjurkan oleh pihak sekolah sepanjang beliau menjadi Pengetua. Beliau belum pernah berada dalam majlis seumpama ini sepanjang tempoh beliau menjadi pengetua. Menurut Mr. Loh, sebelum ini sebagai Pengetua, beliaulah yang paling senior di sekolah....!

Sebaliknya di SMKTP, sejak saya berkhidmat di sini tahun 2006, hampir setiap tahun pasti ada majlis bagi meraikan guru / kakitangan yang bersara. (2006 - PUAN KAN YEOT YUN (GPK Petang), 2007 - ENCIK ROBIL AB. RAHMAN, EN. CHOW AH SOON (Pengetua) ; 2010 - EN. WOO CHIN FOO). Pada tahun 2011, ini merupakan majlis persaraan yang ke-5 dianjurkan oleh Kelab Staf SMKTP; bermula dengan MR KANAPATHY, MR. MOY WAH GOON (Pengetua), PN. YIP WAI LIN (KB Bahasa), PN. LEE NYIT FONG (GPK Petang) dan kini, majlis persaraan untuk MR. SEBASTIAN....

Ucapan ringkas tetapi bermakna daripada Mr. Loh diikuti dengan nyanyian tanpa muzik lagu 'Season In The Sun' oleh beliau, amat tersentuh dan berkesan di hati....

"Goodbye to you my trusted friend

We have known each other since we were nine or ten

Together we have climbed hills and tree
s
Learned of love and abc's

Skinned our heart and
Skinned our knees...


Goodbye my friend it's hard to die
When all the birds are singing in the sky
Now that spring is in the air

Pretty girls are everywhere

Think of me and I'll be there...


We had joy we had fun
We had seasons in the sun
But the hills that we climbed

Were just seasons out of time....."



Pn Hjh Fauziah Abu Hassan pula ditugaskan untuk membaca biodata Mr. Sebastian...tugas yang dilaksanakan oleh Pn. Fauziah dengan jayanya pada setiap kali majlis seumpama ini diadakan di SMKTP....

Mr. Sebastian dilahirkan pada 15 OKTOBER 1955, anak jati negeri Pahang ini merupakan anak kepada Puan Mary Rasammah dan Encik Singarajah. Hasil daripada perkahwinannya dengan PUAN ESTHER LIM CHENG LI, beliau dikurniakan 4 orang puteri yang jelita lagi bestari....

Setelah menamatkan pengajiannya di Universiti Malaya pada tahun 1979, beliau telah berkhidmat di SEMSAS Kuantan sebelum melanjutkan pengajian di peringkat Diploma Pendidikan di universiti yang sama. Pada tahun 1981, beliau telah ditempatkan di SMK St. Thomas sebagai guru mata pelajaran Kimia. Mr. Sebastian bertukar ke SMK TANAH PUTIH pada tahun 2007 setelah menabur bakti selama 26 tahun di SMK St. Thomas, Kuantan...

Zaman persekolahannya diwarnai dengan pencapaian yang membanggakan dalam bidang kokurikulum. Beliau merupakan pemain bola keranjang Negeri Pahang dari 1973 hingga 1979. Beliau telah dianugerahkan Biasiswa Negeri Pahang kerana penglibatan aktif dalam sukan bola keranjang.

Beliau yang berpegang teguh kepada moto hidupnya "Strive and Success is for Sure" telah banyak menyumbang jasa kepada peningkatan prestasi murid dalam bidang kokurikulum khususnya sukan boling di SMKTP dan juga dalam mata pelajaran yang diajarnya, iaitu Chemistry....

Hari ini 14 OKTOBER 2011, setelah lebih 30 tahun berkhidmat dengan Kementerian Pelajaran Malaysia, tibalah masanya untuk Mr. Sebastian Rajah bersara wajib pada usia 56 tahun....

Mr. Sebastian, selamat menempuh fasa baru dalam hidup. Semoga Mr. Sebastian bahagia dengan aktiviti selepas bersara dan dapat meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga tercinta.


SELAMAT BERSARA MR. SEBASTIAN....




Monday, October 10, 2011

TINGGAL KENANGAN...

"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasakan mati. Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan..." (QS. 29:57)

Takziah atas pemergian seorang sahabat. Sahabat yang sempat menjadi rakan sekerja selama beberapa tahun di SMKTP. Sahabat yang juga merupakan anggota kejiranan IM6, ENGKU NOR'ADILAH BT. SYED AB. RAHMAN telah kembali menemui Penciptanya buat selama-lamanya.... Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh lagi beriman serta dijauhi daripada azab api neraka. Al-Fatihah....

Arwah menghembuskan nafas yang te
rakhir di HUSM, Kubang Kerian, Kota Bharu kira-kira pukul 10 lebih pagi tadi. Jenazah beliau akan dibawa balik ke Besut untuk disemadikan di sana. Arwah pergi buat selama-lamanya pada usia 42 tahun meninggalkan suami bersama-sama sembilan orang cahaya mata....
Masih jelas terbayang di mata, senyuman yang sentiasa terukir di bibir tatkala menceritakan karenah anak-anak serta penyakit yang dialaminya pada setiap kesempatan kami berkunjung ke rumahnya.... Keramahan dan keluhuran pekerti serta sikap rendah dirinya membuatkan beliau begitu disenangi oleh setiap orang yang mengenalinya.

Semoga seluruh ahli keluarga arwah Engku Nor Adillah reda dengan ketentuan Ilahi dan tabah menghadapi ujian ini. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya.

Sesungguhnya, Allah s.w.t Maha Penyayang dan Maha Mengetahui apa-apa yang terbaik untuk umatNya.

Yang pasti, kita semua sedang dalam perjalanan pulang ke destinasi yang abadi.... InsyaAllah.
Al-Fatihah....

Foto 1 - Sukan Tahunan Jun 2010
Foto 2 - Pertemuan kami yang terakhir di rumahnya 9.9.2011
Foto 3 - Mesyuarat panitia Matematik April 2010....


Tuesday, October 4, 2011

NEKTARIN


Sekali pandang seperti buah epal merah, cuma saiznya agak kecil.

Tengah hari tadi rakan sekerja membawa beberapa bungkusan buah ini di dalam kotak. Saya tidak begitu berminat pada mulanya kerana menyangkakan buah yang berbungkus dalam plastik itu buah epal. Kata mereka, buah itu satu keluarga dengan buah prun, tetapi isinya lebih keras dan agak rangup apabila dimakan.... Saya ambil satu bungkus yang mengandungi 5 biji buah dengan harga RM7.00... Apabila dilihat dari dekat, baru saya perasan, rupa-rupanya saya baru sahaja makan buah tersebut beberapa hari lepas, yang saya sangka buah prun. Sebenarnya, buah itu bukannya buah epal atau buah plum atau prun, tetapi buah nektarin.

Untuk mendapat maklumat lanjut tentang nektarin (Nectarine) itu, saya putuskan untuk 'bergoogling ria' sebaik sahaja pulang dari sekolah. Alhamdulillah, saya berjaya mendapat informasi yang diperlukan... akan saya kongsikan di sini untuk menambahkan pengetahuan kita semua....

Nectarine ialah sejenis buah dari keluarga Prunus yang memiliki kekerabatan dengan peach atau persik. Kulit buah matangnya akan berwarna merah kekuningan, sedangkan isi buahnya berwarna kuning. Nama latinnya ada yang menyebut dengan Prunus persica var. nectarina. Ciri-ciri khas yang membezakannya dengan peach adalah tidak adanya bulu-bulu halus di permukaannya. Bulu-bulu halus pada permukaan buah ini merupakan ciri khas dari peach itu sendiri.

Tahukah anda, kadang-kadang sepohon peach boleh menghasilkan nektarin...? Keadaan ini berlaku semasa bunga peach mengalami polinasi, maka akan dihasilkan dua jenis biji. Satu jenis yang akan tumbuh menjadi pohon nektarin dan sejenis lagi akan tumbuh menjadi pohon peach itu sendiri. Malah kadang-kadang pada satu pohon peach akan muncul nektarin dan di pohon nektarin akan muncul buah peach !!! (Subhanallah…)

Secara fizikalnya, pohon nektarin mempunyai 'rupa' yang sama dengan pohon peach. Buahnya berwarna merah kekuningan (kuning gading). Antara buah yang matang dengan yang belum matang tak dapat dibezakan warnanya, namun rasa manis buahnya diperoleh seiring dengan tingkat kematangannya.

Isi buahnya berwarna kuning dengan semburat warna merah jambu di bahagian tengah berhampiran bijinya. Aroma buahnya khas seperti yang dimiliki oleh keluarga prunus lainnya. Rasanya lebih enak dibandingkan dengan peach.

Buah nektarin dibezakan menjadi 3 jenis:

1) nektarin tanpa biji (freestone), ini adalah jenis yang paling baik untuk dimakan mentah, kerana tidak 'terganggu' oleh bijinya;
2) nektarin dengan biji yang melekat (clingstone) - bijinya melekat kuat pada isi buahnya
3) yang ada di antara keduanya (semi-freestone) - bijinya agak nipis dan melekat pada isi buahnya.


Seperti halnya peach, nektarin berasal dari Cina, 2000 tahun yang lalu, dan telah dikembangbiakkan di Persia, Yunani dan Rom sejak dahulu lagi. Pada abad ke-17, nektarin mula diperkenalkan di Britain dan di Amerika oleh orang-orang Sepanyol. Kata ‘nectarine‘ itu sendiri bermaksud semanis nektar, iaitu cairan serupa madu yang terdapat pada bunga yang rasanya manis sekali.

Nektarin yang belum matang biasanya diperam pada suhu bilik dan yang matang biasanya disimpan di dalam peti ais dengan batas penyimpanan maksimum selama 5 hari.

Rasanya yang manis dengan aromanya yang harum menjadikan buah ini sesuai untuk dimakan terus atau dijadikan buah penutup hidangan atau menjadi campuran berbagai salad dan olahan aneka cocktail dan minuman segar.

Selain rasa yang manis tadi, nectarine mengandung banyak nutrisi penting, antaranya ialah :

  1. Beta-karoten memungkinkan tubuh kita untuk menghasilkan sejumlah vitamin A yang penting bagi kesihatan mata dan dapat mencegah penyakit seperti degenerasi otot. Satu cawan nectarine segar dapat membekalkan 214 mcg beta-karoten.
  2. Vitamin C dalam nectarine dapat melindungi molekul tubuh agar tidak rosak oleh radikal bebas dan bahan kimia lainnya yang menyebabkan perubahan sel. Vitamin C juga dapat melindungi kita daripada racun dan pencemaran yang menyebabkan penyakit. Satu cawan nektarin mengandungi 7.7 mg vitamin C.
  3. Lutein ialah nutrisi yang dapat menurunkan risiko penyakit kanser. Satu cawan nektarin segar mengandung 186 mcg lutein.
  4. Nutrisi penting lainnya adalah : serat, protein, kalsium, magnesium dan potasium.
    Nectarine juga mengandung zat besi, asid folic, vitamin K, serta gula semulajadi yang membantu memberikan tenaga.

inilah antara tanda kebesaran Ilahi....

Thursday, September 29, 2011

SELAMAT BERANGKAT KE TANAH SUCI....


Kesempatan ini diambil untuk menitipkan doa kepada ahli keluarga dan sahabat handai yang akan berangkat ke Tanah Suci dalam masa yang terdekat ini. Semoga kalian menjadi tetamu Allah s.w.t yang paling istimewa.

Awal pagi tadi, saya menerima SMS daripada seorang sahabat yang pernah sama-sama bertugas di SMKJ2...
"Salam sejahtera sahabat yang dirahmati Allah. InsyaAllah saya, suami dan ibu akan berangkat ke Tanah Suci Mekah pada hari ini 29 Sept, KT3 pukul 9.30 malam. Dengan rendah hati saya mohon kemaafan andai terdapat ketelanjuran bicara dan perlakuan. Minta dihalalkan makan dan minum. Doakan agar dipermudahkan segala urusan dan mendapat haji mabrur..."
Kepada sahabatku, SITI ROHANI ALI, yang akan berangkat ke Tanah Suci malam nanti, saya ucapkan selamat menjalani ibadat haji, semoga beroleh haji yang mabrur... dan selamat kembali ke tanah air....

Semoga selamat semuanya... Insyallah.

Saya terpanggil untuk berkongsi 'Mutiara Bicara' dengan rakan-rakan yang singgah di sini. Mutiara Bicara ini ditulis oleh Dr. Ridzwan Bakar dalam "HAJI MUDA" (2008),... sekadar untuk mengingatkan diri saya sendiri.....

"Tawaf dan Kaabah mengikat hati jemaah haji supaya terus mengingati kebesaran Allah. Di sinilah titik tolak cabaran haji. Ia perlu direalisasikan dengan melaksanakan amalan-amalan di Tanah Suci apabila kembali ke tanah air. Semoga kita semua istiqamah dan berusaha mempertahankan amalan-amalan semasa haji dalam kehidupan kita."

Semoga hari ini kita akan menjadi insan yang lebih baik berbanding semalam.....



Wednesday, September 28, 2011

MAJLIS RESTU ILMU....

Minggu depan, atau lebih tepat lagi pada 4 OKTOBER 2011, iaitu hari SELASA, peperiksaan PMR akan bermula.

Hari-hari terakhir sebelum PMR, suasana di sekolah agak sibuk. Hari ini ada beberapa aktiviti berlangsung di sekolah, iaitu Majlis Restu Ilmu, Majlis Solat Hajat dan persiapan dewan serta bilik peperiksaan. Dalam pada itu, program intensif untuk calon PMR 2011 tetap diteruskan seperti yang dijadualkan.

Majlis Restu Ilmu telah diadakan pagi tadi sebaik sahaja selesai perhimpunan Mingguan Kokurikulum. Lebih kurang pukul 8.05 pagi bertempat di dewan yang sama, bermulalah Majlis Restu Ilmu untuk calon PMR 2011. Tujuan majlis ini diadakan adalah untuk memberi peluang kepada semua murid yang terlibat memohon restu agar guru mendoakan kejayaan mereka. Majlis dimulakan dengan ucapan wakil murid dari Tingkatan 3K11.

Ini diikuti dengan ucapan kaunselor sekolah, iaitu EN. ENG sebagai mewakili semua guru yang mengajar Tingkatan 3. Tuan Pengetua, En. LOH SAI HENG telah turun dari pentas, mendekati murid-murid yang bersila di dewan untuk memberi kata-kata nasihat dan perangsang untuk kesekian kalinya. Semoga mereka dapat mengamati dan menghayati setiap kata yang disampaikan itu sebagai pedoman dalam menghadapi PMR yang tinggal beberapa hari sahaja lagi.

Majlis diakhiri dengan setiap calon peperiksaan PMR menemui setiap guru yang mengajar Ting 3 untuk memohon restu agar mereka memperoleh keberkatan daripada-Nya dan saling bermaaf-maafan. Semua murid Ting. 3 beratur untuk bersalaman dan memohon restu daripada guru-guru. Semoga dengan restu yang diberikan oleh guru-guru, semua murid akan dapat menduduki peperiksaan pada 4hb. OKTOBER ini dengan penuh yakin dan tenang, seterusnya memperoleh kejayaan yang cemerlang.


LAFAZ RESTU DARIPADA GURU
"Kami berdoa dan merestui serta gunakanlah segala ilmu yang telah dicurahkan untuk mencapai kecemerlangan. Kami ikhlas mendidikmu. kami rela melepaskanmu untuk pergi berjuang berbekalkan ilmu yang telah dicurahkan. Gunakanlah sebaik-baiknya. Jawapan ada ditanganmu..buatlah yang terbaik..kerana anda adalah yang terbaik bagi kami...selamat berjuang"
Kami berharap agar semua calon PMR bersedia bukan sahaja dari segi ilmu, malah persediaan mental, emosi dan fizikal juga sangat penting. Ibu bapa perlu memainkan peranan memberi sokongan kepada mereka agar terus bermotivasi dan membuat persediaan yang secukupnya untuk menghadapi peperiksaan ini. Kami sedar, tekanan dan sasaran bukanlah jalan terbaik untuk memberi kata-kata semangat.

Sesungguhnya kami warga SMKTP sentiasa mendoakan agar calon-calon PMR tahun ini dapat menjawab soalan dengan tenang dan akhirnya memperoleh kejayaan yang cemerlang kelak. Insyaallah.

Aktiviti seterusnya ialah penyediaan bilik dan dewan peperiksaan. SMKTP yang tidak mempunyai dewan tertutup terpaksa 'membuka' 4 buah kelas untuk dijadikan dewan peperiksaan dan menggunakan banyak bilik darjah untuk menempatkan lebih kurang 450 calon PMR di dua pusat peperiksaan.... Urusan penyediaan tempat peperiksaan akan dimulakan seawal pukul 10.45 pagi pada hari Jumaat ini dan dijangka dapat diselesaikan dalam masa yang telah ditetapkan dengan kerjasama semua guru dan murid. Pada hari Isnin, 3 OKTOBER 2011, semua calon PMR 2011 diberi pelepasan.

Nampaknya penantian dan perjuangan murid menengah rendah selama tiga tahun sudah hampir sampai ke matlamatnya. Sudah tentu guru, ibu bapa, pihak PPD malah JPNP sekalipun sedang memfokuskan kepada PMR yang akan dijalankan pada 4 - 13 OKTOBER 2011 nanti.

Bagaimanakah untung nasib calon-calon PMR SMKTP ?

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN PMR KEPADA ANAK-ANAK DIDIK KAMI....


Tuesday, September 20, 2011

Sahabat dan kenangan....


TAN SHEE SHAN... seorang sahabat yang telah lama terpisah, berpisah sebaik sahaja kami menamatkan persekolahan Tingkatan 6 Atas di Maktab Sultan Ismail @ SIC pada akhir 1981... 4 tahun kami bersama di SIC, dari 1978 - 1981....

Siapa sangka, selepas 30 tahun berlalu, kami bertemu semula. Bukannya bertemu di KB, tetapi bertemu di rumah saya di Kuantan. Shee Shan yang kini bekerja dan menetap di Singapura mempunyai 2 orang cahaya mata... Tidak pernah terlintas di hati saya bahawa suatu hari saya dapat bertemu semula dengan Shee Shan, walaupun ingatan terhadapnya masih tersemat di hati setiap kali membelek album gambar-gambar lama zaman persekolahan....

Episod pertemuan ini bermula pada awal cuti penggal pertama persekolahan bulan Jun yang lepas. Hari Isnin minggu pertama saya bertugas di sekolah. Ketika saya sedang menyemak kerja kursus murid, seorang rakan guru datang berbual-bual dengan saya di bilik guru. Dari satu cerita ke satu cerita... akhirnya keluarlah cerita zaman persekolahan... Tiba-tiba rakan saya , TAN SHOU SHAN memberitahu saya bahawa dia mempunyai seorang kakak yang bersekolah di SIC, KB. Mereka adik-beradik semuanya bersekolah di KB kerana keluarganya menetap dan berniaga kedai dobi di sana. Mereka berpindah balik ke Kuantan selepas 5 tahun SHOU SHAN bertugas sebagai pendidik di KB......

Saya tertanya-tanya siapakan gerangan kakaknya itu yang sama-sama bersekolah di SIC sejak tahun 1978. Setelah beliau menyebut nama kakaknya itu, saya seperti tidak percaya... Rakan sekerja saya yang bernama TAN SHOU SHAN ini merupakan kakak kepada sahabat lama saya, TAN SHEE SHAN. Setelah hampir 6 tahun bertugas dengan SHOU SHAN di SMKTP, baru pertengahan tahun ini saya mengetahui bahawa beliau ialah adik kepada Shee Shan... betapa kecilnya dunia ini....

Mulai saat itu, saya mula berhubung dengan Shee Shan melalui telefon dan bercadang untuk bertemunya pada bulan Disember ini di Kuantan. Shee Shan biasanya akan pulang ke Kuantan 2 kali setahun menjenguk ibunya.

Pada 14hb Sept, iaitu hari Rabu lepas, Shou Shan memberitahu saya bahawa kakaknya akan balik ke Kuantan dan akan sampai pada awal pagi Khamis. Gembira tak terkata, dan saya menjemput mereka datang ke rumah saya. Khamis, sebelah malamnya, TAN SHEE SHAN muncul di muka pintu rumah saya bersama anak lelakinya, SOO dan adiknya TAN SHOU SHAN....

Lebih manis lagi, seorang sahabat lama, TAN SUAT HONG (kini, mengajar di SMK Tok Sira, Kuantan) yang sama-sama bersekolah di SIC dan juga terpisah sejak akhir 1981 turut bersama dalam pertemuan di rumah saya pada malam itu. Segala kenangan lama semasa bersekolah dulu 'terungkai' semula... sedar tak sedar, mereka beredar pulang hampir pukul 11.30 malam... dan saya menjemput mereka datang ke majlis kesyukuran dan jamuan hari raya di rumah saya pada hari Sabtu, 17hb Sept.


Pada hari Sabtu lepas , Shee Shan datang bersama ibunya, dua orang adik dan seorang anak lelakinya. Saya berasa puas hati kerana dapat menggembirakan hatinya dan dapat menghilangkan rasa 'rindu'nya terhadap masakan Melayu yang katanya susah untuk mendapatnya di Singapura.... Menurut Shee Shan, dia rindu masakan Melayu dan ini dapat mengembalikan kenangan semasa zaman persekolahannya dulu....

Shee Shan, walaupun sudah 30 tahun, tetapi beliau tidak banyak berubah. Masih comel, peramah dan lemah lembut seperti dulu....

Monday, September 19, 2011

26 tahun telah berlalu....


Sebenarnya, hari ini 19 SEPTEMBER 2011 ialah hari ulang tahun perkahwinanku yang ke-26.

Dalam meniti 26 tahun usia perkahwinan kami, saya berasa sangat beruntung dan bersyukur kerana suami seorang yang penyabar kepada saya dan anak-anak. Dia menyayangi kedua ibu bapa saya sebagaimana dia menyayangi kedua ibu bapanya dan dia menerima semua ahli keluarga saya. Begitu juga di pihak saya, saya juga menyayangi kedua ibu bapa dan keluarganya. Saya menerima mereka seadanya.

Dalam tempoh itu, pelbagai dugaan dan cabaran telah kami tempuh dalam melayari bahtera kehidupan sebagai seorang ibu dan ayah, yang mendidik anak-anak demi membentuk sebuah keluarga yang bahagia. Bahagia dunia dan akhirat. Semoga jodoh pertemuan kami berkekalan dan diberkati oleh ALLAH s.w.t hingga ke akhir hayat dan dipertemukan semula di syurga Firdaus….

Setelah 26 tahun membina mahligai bahagia, perjalanan yang perlu kami tempuh masih jauh di hadapan. Masih banyak cabaran yang perlu dilalui. Di samping merenung masa depan, sesekali aku menoleh ke belakang mengamati pengalaman 26 tahun silam.

19 September 1985 – 19 September 2011 .

Selamat ulang tahun perkahwinan kami yang ke-26. Syukur kepada Tuhan kerana masih memelihara rumah tangga ini.

Kepada suamiku, terima kasih kerana masih menerima diriku sebagaimana hari pertama aku bergelar isteri. Terima kasih yang tidak terhingga kerana membuatkan diriku sentiasa istimewa di sisimu, sentiasa sabar dengan diriku dan anak-anak. Terima kasih kerana menjadi sahabat yang paling akrab, kekasih yang sentiasa dirindui dan suami yang terus setia bersama dalam susah atau senang....terima kasih atas segala-galanya....

Segalanya bermula tanpa diduga. Segalanya ALLAH s.w.t yang tentukan, kita hanya merancang dan berdoa... Ikatan ini berawal dari hati atas nama cinta. Jalinan ini bermula dari rasa atas nama sayang. Pautan ini berasal dari angan atas nama rindu. Sesungguhnya ini adalah cinta, sayang dan rindu yang akhirnya menyatukan kami berdua...
Sejarah awal pertemuan dan seterusnya membawa kami ke alam perkahwinan sangat ringkas. Biarlah sejarah itu menjadi kenangan kami berdua dan akan tetap diingati setiap saat, tidak hanya pada hari ulang tahun perkahwinan…. Kampus biru menjadi saksi dua hati berbicara dalam rahsia....

Semasa majlis ‘berunding’ dijalankan, aku berada nun jauh di Lembah Pantai… Semuanya Papa & Mama serta keluarga sebelah suami yang uruskan, termasuk tarikh perkahwinan kami. Aku terima sahaja keputusan yang diambil… akhirnya aku dapat tahu bahawa tarikh pernikahan ditetapkan pada 19-09-1985 – sama dengan tarikh ulang tahun kelahiranku yang ke-23 tahun... Papa & Mama akan menerima menantu pertama dalam keluarga untuk puteri mereka yang kedua...

Kami sedar, berkahwin dalam usia muda banyak cabarannya. Sesungguhnya, apa yang penting dalam perkahwinan ialah bagaimana suami isteri itu akan melayari bahtera kehidupan berkeluarga. Ia bukan tanggungjawab satu pihak sahaja. Kedua-duanya ada peranan masing-masing. Anak-anak merupakan buah dari cinta dan kasih sayang sepasang suami isteri yang datang bersama amanah yang terpikul di bahu.

Pernikahan bukan sekadar menghalalkan yang haram tetapi ia lebih daripada itu.

"...Melihat perkahwinan sebagai medan untuk MEMBERI, akan menjadikan kita lebih memikirkan soal PERANAN dan bukannya HAK yang tidak berkesudahan..."

Perkahwinan datang bersama dengan tanggungjawab yang mesti digalas di bahu, saling melengkapi dan saling memerlukan antara satu sama lain....
Sedar tak sedar, kini sudah 26 tahun kami hidup bersama sebagai suami isteri; dikelilingi oleh 3 orang permata hati, MOHD FARIS, MOHD FAHMI & SITI NADIAH yang telah melengkapkan hidup kami sekeluarga.…

Hadiah istimewa menjelang ulangtahun perkahwinan kami yang ke-26 ialah, kami menerima seorang ahli baru - menantu pertama dalam keluargaku - menantu cucu pertama untuk Papa dan Mama.... Sejarah 26 tahun yang lalu berulang kembali apabila anakanda kedua kami MOHD FAHMI NAIN selamat diijabkabulkan dengan gadis pilihan hatinya NURUL AINA AWANG pada 2 SEPTEMBER 2011....
Ya Allah, berkatilah kehidupan keluarga kami. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus dan jalan yang KAU redhai. Amin.


Thursday, September 8, 2011

Tentang Hati....


HATI itu tamsilnya kerikil-kerikil yang keras atau barangkali seperti kerak nasi. Tidakpun, laksana serbuk kopi, lebih teruk bak belakang kuali yang hitam berkarat. Atau mungkin seumpama kapas yang putih bersih.

Kalau sudah jadi kerikil, payahlah. Kalau baru melekat di belakang kuali masih dapat dikikis sebelum berkarat dan likat. Alangkah indahnya kalau hati seputih salji atau sehalus dan sesuci kapas di pokok yang belum jatuh ke tanah.

Hati manusia yang paling payah untuk dipimpin sebab hati manusia sentiasa berbolak balik.

Berdoalah setiap masa supaya hati kita sentiasa bersih, putih dan bercahaya dan tidak bolak balik. Nescaya semua pekerjaan menjadi baik belaka.

Friday, September 2, 2011

September Oh September....

Terkenang lagu SEPTEMBER yang dinyanyikan oleh biduanita Sharifah Aini sekitar awal 1970-an:
"Kumasih ingat perkenalanku di bulan.. September... September..."

Sesungguhnya, September merupakan bulan merayakan beberapa hari istimewa dalam keluargaku.

Paling istimewa, pada tahun ini kami menerima ahli baru dalam keluarga. Hari ini, 2 Syawal 1432, bersamaan 2 September 2011, putera keduaku MOHD FAHMI NAIN telah melangsungkan perkahwinan dengan gadis idaman hatinya NURUL AINA AWANG, yang diperkenalkan kepada kami berdua, bonda dan ayahandanya pada 10.10.10.... Satu sejarah tercipta dalam keluarga HJ JUSOH DAUD dan HJH CHE HALIMAH CHE YUSOFF kerana ini merupakan majlis perkahwinan pertama cucu Papa dan Mama.

Bermulalah satu fasa baru dalam hidup kami sekeluarga....

September... sebagaimana tahun-tahun sebelum ini, banyak hari istimewa yang diraikan....

09 SEPTEMBER, Natasha Alia genap usia 17 tahun. Natasha Alia, puteri sulung kepada Norbanilawatey Jusoh & Sahazali Awang Deraman, dilahirkan HKL sebelum dibawa balik ke kampung yang permai dan indah - dalam daerah Kota Jelasin, Tanah Serendah Sekebun Bunga, di Negeri Cik Siti Wan Kembang. HAPPY BIRTHDAY ALONG TASHA. Semoga Along Tasha akan memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam SPM nanti dan mencipta sejarah tersendiri di SABDA. Doa Cik La agar Along Tasha akan menjadi seorang anak yang berjaya dunia dan akhirat, bertanggungjawab dan lebih matang menghadapi segala dugaan hidup...

Pada 14 SEPTEMBER, adik iparku SAHAZALI B. AWANG DERAMAN akan menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke- .... ?

Tambah manis lagi, pada 19 SEPTEMBER ini bertambah lagi usiaku - setahun lagi menjangkau setengah abad...! Pada tarikh ini juga 26 tahun yang lalu aku telah disahkan menjadi suri hidup kepada insan yang tersayang setelah beberapa musim menyemai kasih dan menganyam rindu. Cepatnya masa berlalu. Melewati suku abad rupa-rupanya kami bersama mengharungi pahit manis, duri & ranjau hidup menuju jalan pulang ...

21 SEPTEMBER pula adik bongsu kami, Ratna Idayu akan menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-26 tahun. Dilahirkan 2 hari selepas Papa & Mama 'bekwah' kahwinkan anak perempuan keduanya buat julung-julung kali dalam keluarga kami pada tahun 1985.

23 SEPTEMBER, seorang lagi adik iparku yang ke-3, pasangan kepada MELISA KAMELIA akan menyambut hari ulangtahun kelahirannya yang ke- ..... ?

...saat-saat manis yang sangat indah untuk dikenang.... diraikan bersama keluarga....