Sunday, February 10, 2013

Berakhir sudah zaman solo Abe....


Sekali lagi kami menerima ahli baharu dalam keluarga.  Selepas hadir cucu sulung dalam keluarga kami akhir Julai lalu, kini kami menerima seorang lagi ahli baru.  

saat sebelum menerima ahli baru.....
Semalam, 9 FEBRUARI 2013, putera sulung kami MOHD FARIS B. NAIN telah menamatkan zaman solonya.  Dengan sekali lafaz sahaja, Abe telah disahkan menjadi suami kepada gadis idaman hatinya SITI NUR AISYAH BT. ISMAIL.  Lafaz yang hadir bersama tanggungjawab yang besar....



Majlis akad nikah yang sederhana tetapi sangat bermakna ini telah disempurnakan di Masjid Beijing, Rantau Panjang Kelantan selepas solat Isya'.    Inilah kali pertama kami menjejakkan kaki di masjid yang menjadi sebutan ramai ini.   
ramai-ramai di pekarangan Masjid Beijing, Rantau Panjang....

Majlis resepsi pihak pengantin perempuan dijalankan pada hari ini, 10 FEBRUARI 2013 di rumah kediaman keluarganya di Taman Rantau Mas, Rantau Panjang.....tidak jauh dari Masjid Beijing.  Bertemakan merah pinang masak, majlis nampak meriah dan ceria.  

dayang-dayang membawa 'buah tangan' .....

Semasa kami memilih tema tersebut, tidak terfikir pula tarikh itu sebenarnya bersamaan dengan perayaan CNY...! 
merah meriah dan ceria.....

Insya Allah, kami akan mengadakan majlis kesyukuran sempena menyambut menantu pada cuti sekolah pertengahan tahun nanti di kediaman baru kami di Kg. Parit Cina Salor, Kota Bharu.

Hampir lengkap.  Kini, kami memiliki dua orang putera dan dua menantu, seorang puteri dan seorang cucu... tambah meriah apabila berkumpul ramai-ramai melayan keletah FARHAH HANNAN.....  

Kini, bermulalah satu fasa baru dalam hidup Abe setelah melalui pelbagai ujian sejak 10 tahun yang lalu.  Abe sudah tidak solo lagi... Semoga anakanda sentiasa berada di bawah perlindungan dan kasih sayang Allah.  Semoga anakanda berdua diberi ketabahan dan kekuatan dalam melayari bahtera kehidupan yang penuh gelora ini.....  



SELAMAT PENGANTIN BARU, anakanda....



Thursday, February 7, 2013

Kuih Bakul, Atuk dan Kenangan....


Tinggal beberapa hari sahaja lagi masyarakat Tionghua di seluruh dunia akan menyambut Tahun Baharu Cina atau dalam perbualan biasa, kami sebut sebagai "Raya Cina".

Menurut Wiki, Tahun Baharu Cina merupakan perayaan terpenting orang Cina bagi menyambut tahun baharu dalam kalendar qamari Cina. Kalendar qamari Cina terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama haiwan. Tahun 2013, atau tahun 1411 dalam kalendar qamari Cina merupakan Tahun Ular.

Menurut Wikipedia, "Gong xi fa cai" (Tulisan Cina Tradisional: 恭喜發財; Tulisan Cina Ringkas: 恭喜发财; pinyin: gōngxǐ fācái; Bahasa Kantonis (Yale): gūnghéi faatchòih; bahasa Hokkien (POJ): Kiong-hí hoat-châi; bahasa Hakka: Kung hei fat choi), yang diterjemah sebagai "Tahniah dan semoga mendapat rezeki" atau “Selamat Bertambah Kaya”..

Bagi masyarakat Cina, Tahun Baharu Cina melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baharu bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul. Rumah akan dicuci dan dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau. Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru. Acara terbesar pada malam Tahun Baharu Cina ialah ‘makan besar’ atau jamuan pertemuan semula. Bagi masyarakat Cina, makan besar cukup signifikan kerana semua anggota keluarga baik yang jauh mahupun dekat, akan kembali untuk mengeratkan talian perhubungan sesama keluarga di samping menikmati juadah-juadah lazat seperti ayam, ikan, itik, sup sirip ikan yu dan sayur-sayuran kemakmuran (prosperity vegetables).

Selain ‘makan besar’, Tahun Baharu Cina diraikan dengan jamuan yee sang dan kuih bakul. Golongan muda pula akan melawat golongan tua dan menerima wang ang pau dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik, yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada mereka yang masih belum kahwin. Perarakan tarian naga atau singa akan diadakan, dengan kereta berhias yang diiringi bunyi gendang. Lima belas hari selepas perayaan Tahun Baru Cina, perayaan Tahun Baru Cina ditamatkan dengan perayaan Chap Goh Mei.

Dulu, semasa zaman kanak-kanak...minggu-minggu terakhir sebelum “Raya Cina”, Atuk akan bawa balik banyak buah limau mandarin dan
kuih bakul yang dihadiahkan oleh kawan-kawannnya di sekitar bandar Kota Bharu.

Atuk yang dikenali sebagai Tok Mandur Daud, mempunyai ramai kenalan dalam kalangan masyarakat Cina kerana sejak sebelum Perang Jepun lagi Atuk merupakan seorang mandur Majlis Bandaran Kota Bharu (kini MPKB) yang dikenali ramai.

Kuih bakul yang Atuk bawa balik ada yang dibalut dengan daun pisang dan ada yang berbalutkan plastik lutsinar nipis. Disebabkan banyak sangat, kami agak memilih… pilih yang enak-enak sahaja… kuih bakul itu akan dipotong menjadi kepingan sebelum dimakan… Kuih bakul ini tahan lama walaupun tidak disimpan di dalam peti ais…!

Kuih bakul, nian gao atau kuih Tahun Baharu Cina merupakan kuih yang terkenal dalam masyarakat Cina. Sungguhpun boleh dimakan pada bila-bila masa, secara tradisi kuih ini paling laris dimakan ketika sambutan Tahun Baharu Cina. Bagi masyarakat Cina, kuih bakul dipercayai membawa tuah kepada si pemakan pada hari perayaan ini kerana "nian gao" juga membawa erti "makin tahun makin tinggi."

Kuih bakul mempunyai pelbagai jenis, namun begitu ramuan utamanya ialah pulut. Pulut dikisar dan diacu mengikut kehendak atau boleh dimasak semula dengan menambahkan ramuan atau bahan-bahan lainnya. Kuih bakul yang biasa saya makan dahulu ialah jenis yang manis, dimaniskan dengan gula hitam, dengan warna kuning tuanya yang menonjol.

Dahulu, orang-orang Melayu Kelantan mahir membuat kuih bakul yang sememangnya digemari oleh semua lapisan masyarakat di sana. Menurut Atuk, banyak pantang larangnya untuk membuat kuih bakul ini dan proses mengukus kuih bakul juga mengambil masa yang lama, iaitu sehingga 8 jam. Kini, sudah lama saya tidak merasa keenakan kuih bakul...


Kepada rakan taulan dan anak-anak didikku (termasuk bekas murid di SMKTM & SMKTP) yang berbangsa Tionghua, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan "Gong xi fa cai"..... 







Friday, February 1, 2013

Doa buat Papa....

Alhamdulillah, Papa masih sihat kala usia semakin bertambah; kala saat menemuiNya semakin dekat....



Aku berdoa untuk seorang lelaki yang telah menjadi sebahagian hidupku
Seorang lelaki yang telah mengajarkanku bagaimana mencintaiMu
Seorang lelaki yang hadir dalam setiap doa setelah usai solatku
Seorang lelaki yang meletakkan namaku dalam lantunan doanya untukMu
Seorang lelaki yang hidup bukan hanya untuk dirinya sendiri, 
      tetapi juga untukku, Mama, adik-kakakku, dan untukMu
Seorang lelaki yang selalu menasihatiku untuk membakar kelemahan dan kekuranganku
Seorang lelaki yang merindui senyumku untuk mengatasi sedihnya
Seorang lelaki yang menjadi pemimpinku pada saat aku kehilangan arah
@ TBS - 2010.... Peluang ini tidak selalunya ada....Papa bersantai bersama anak & cucu.....

Seorang lelaki yang membutuhkan doaku untuk kehidupannya
Seorang lelaki yang selalu mengingatkanku akan mimpi besarku
Seorang lelaki yang menjadi pahlawan dalam keluargaku
Seorang lelaki yang kuingin untuk mendampingiku menuju JannahMu


...dan aku berdoa untuknya...

Papa dimajlis 'menerima' cucu menantu yang pertama, NURUL AINA BT. AWANG....

"Berikanlah kekuatan kepadanya untuk melalui ujianMu, agar dia mampu bangkit tiap kali badai menerpa
Berikanlah dia kehidupan yang mulia, sehingga dia dapat memuliakanMu
Berikanlah dia hati yang senantiasa ikhlas dan kuat menerima amanah-amanahMu
Berikanlah dia dada yang lapang, sehingga dia terus sabar dalam mendidik anak titipan dariMu
Berikanlah dia umur yang berkah, sehingga setiap detik waktunya tak sia-sia di mata Mu..."

Syukur alhamdulillah, Papa masih diberi kesempatan meriba cicitnya yang pertama, FARHAH HANNAN BT. MOHD FAHMI....
Ya Allah. Jadikanlah aku anak yang soleh, sehingga aku dapat menjadi pembuka gerbang syurga untuknya.

Ya Allah. Lindungilah orang yang kucintai dan mencintaiku dengan cintaMu.

Semoga Papa terus diberi kesihatan yang baik dan sentiasa berada dalam kasih sayang serta perlindunganMu Ya Rabbi.....

Ameen….

Wednesday, January 30, 2013

PETUA KURANGKAN BERAT BADAN CARA KEVINZAHRI

  1. Jangan skip meals.
    Ramai ingat bahawa anda perlu skip meals seperti elakkan sarapan pagi dan melaparkan diri untuk kurang berat badan. Ini salah. Dengan cara ini anda hanya berjaya menurunkan metabolisma badan. Panduan Terbaik?  Makan 5-7 hidangan sederhana sehari dan kurang makan/minum 2-3 jam sebelum tidur.


  2. Kawal nafsu makan
    ….once nafsu is there memang susah untuk membuat pilihan makanan yang baik. Again di sinilah anda perlu makan 5-7 kali sehari untuk mengawal nafsu makan anda.

  3. Tingkatkan tahap keaktifan anda
     …tak semestinya dengan jogging atau bersenam di gym. Yang penting anda tingkatkan aktiviti physical untuk bakar lebih calorie, seperti
    • Park kereta anda lebih jauh daripada destinasi anda
    • Jangan guna lif…use the stairs
    • Bersihkan rumah anda
    •  
  4. Ketahui keperluan kalori anda. Ini penting dan jika anda rajin, bandingkan keperluan kalorie dengan pemakanan kalorie seharian anda.

  5. Eliminate makanan yang 1. tidak elok dan 2. tidak perlu. Kekadang kita ambil makan/minuman yang actually kita tak perlukan sangat pun….just because its there, doesn’t mean we have to eat or drink them

  6. Diet pills? Yes they work tetapi tidak jika anda tidak gabungkan penggunaannya dengan makanan yang terkawal…..

  7. Tak pandai kawal nafsu makan? Belilah protein shakes dan makannya di antara hidangan dua kali sehari..1. antara sarapan dan lunch…2. antara lunch dan makan malam

Ingin kurangkan 5kg dalam masa 5 minggu?

If yes, saya sangat syorkan kepada anda untuk rujuk kepada eBook saya bertajuk “Panduan Kurangkan 5kg Dalam Minggu”.

Ini adalah eBook panduan lengkap untuk membantu anda kurangkan berat 5kg dalam masa 5 minggu. Selepas mengikuti langkah-langkah mudah eBook ini, anda akan mempunyai pelan diet, senaman dan panduan mudah untuk kurangkan 5kg dengan mudah ikuti gaya hidup orang Malaysia!



Thursday, January 3, 2013

3__... APA ADA PADA ANGKA....?


Tahun baharu, bulan baharu dan usia juga baharu.

Januari meraikan ulang tahun kelahiran empat orang ahli keluarga terdekat.
Pembuka tirai tahun ini ialah adinda MUTIA ANGGEREK, puteri ke-6 HJ JUSOH DAUD & HJH CHE HALIMAH CHE YUSOFF yang akan menyambut ulang tahun kelahiran hari ini, KHAMIS 3 JANUARI 2013....

sama-sama....

Buat Adinda Anggerek,
 Masih segar dalam ingatan, saat adinda Anggerek hadir dalam keluarga kita 30 tahun yang lalu. Ketika itu, sebagai kakak yang kedua dalam keluarga, Kak La masih lagi menuntut di Lembah Pantai dan sedang bergelut untuk menghadapi Peperiksaan Akhir Tahun Pertama sesi 1982/1983. Cepatnya masa berlalu meninggalkan kita. Semoga adinda Anggerek terus cemerlang dalam kerjaya dan sentiasa ceria menempuh perjalanan hidup yang penuh dengan ujian ini....

Lebih indah dan bermakna lagi, adinda Anggerek sekarang bergelar 'nanny' muda dengan hadirnya baby FARHAH HANNAH,  pada penghujung Julai 2012.  

cucunda saudara sulung....

kenangan di penghujung 2012

Adinda Anggerek, ingatlah, janganlah kita sentiasa mengharapkan terbitnya 'pelangi' di siang hari kerana kadang-kadang awan mendung akan muncul tanpa diundang. Tapi percayalah, awan mendung yang menurunkan hujan rahmat akan berlalu juga apabila tiba masanya dan akan munculah pelangi yang indah. Fenomena ini akan menjadikan panorama hidup kita lebih indah dan berwarna warni....



 SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN KELAHIRAN daripada kami semua.... 




Wednesday, January 2, 2013

SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH... Ikhlas dalam bekerja.....



2 JANUARI 2013.... SELAMAT PAGI SMK TANAH PUTIH....
Ingatan kepada diri...

Pagi ini saya menapak ke sekolah dalam hujan renyai-renyai dan sekali-sekala agak lebat.  Saya dihantar oleh Encik Kasihku kerana kereta masih lagi dalam proses pengeringan akibat banjir kilat beberapa hari lepas.

Hujan mencurah lebat tatkala warga SMKTP berkumpul di dewan untuk perhimpunan rasmi yang pertama bagi sesi persekolahan 2013.  Dewan yang berwajah baharu sempena sesi baru... tempat duduk guru di pentas bertingkat-tingkat, di kiri kanan dewan sudah ada serkup bagi mengelakkan daripada tempias hujan.

Biarlah kita mulakan hari pertama dan seterusnya dengan ikhlas.  Semua perkara akan menjadi susah sekiranya kita tidak melakukannya dengan ikhlas Sekiranya kita melakukan sesuatu perkara dengan ikhlas, setiap perkara yang dianggap sukar oleh orang lain, tetap mudah bagi kita.  Sekiranya kita ikhlas melakukan sesuatu perkara, kita pasti akan melakukannya dengan bersungguh-sungguh dan penuh bersemangat. Oleh itu dahulukan keikhlasan dalam melakukan sesuatu perkara.
sumber : "Gurukah Aku Atau..." - Pn. Norbi Husin

Tahun ini merupakan tahun yang ke-27 saya bergelar pendidik dan masuk tahun ke-8 di SMKTP.   Semoga SMKTP akan terus meninggalkan kenangan indah dalam perjalanan kerjaya saya....

Kelas yang saya masuk pada hari pertama sesi 2013 ini ialah 3K12 dan 3K5. Daripada 'pandangan pertama' saya pagi tadi, mereka nampak ok....Harap-harap ini berterusan sehingga akhir tahun.



Tuesday, January 1, 2013

CORETAN HARI PERTAMA 2013....


Mentari awal 2013 agak cerah dan ceria menyinari bumi Kuantan walaupun beberapa hari sebelum ini bumi Kuantan basah dek hujan yang berterusan....

baru lepas meredah banjir.... cuaca cerah ceria

Kami bercadang untuk keluar berdua jalan-jalan.... saja-saja nak tengok suasana pada hari pertama 2013 selepas beberapa tempat dilanda banjir.  Kami melalui bypass Kuantan menuju ke Kemaman.   Sebelum sampai di bulatan Jabur - KL - Kemaman, kelihatan dari jauh air melintasi jalan raya, belum kering-kering sejak lebih seminggu yang lalu.  Airnya dalam juga, kenderaan ringan memang tak berapa nak lepas.  Kami terus meredah air banjir itu membuntuti sebuah pacuan 4 roda.

orang tak ramai tapi petugas di kaunter....!

Kami meneruskan perjalanan ke Kemaman.   Kesan banjir yang melanda kawasan rendah di sepanjang perjalanan ke Kemaman agak jelas kelihatan.   Selesai bersarapan di Restoran Mizi di Cherating, destinasi kami seterusnya ialah Pejabat Pos Chukai.  Ada sedikit 'urusan negara' yang perlu diselesaikan memandangkan Negeri Terengganu tidak cuti pada 1 Januari.  Jadi, tidak perlulah saya terkejar-kejar untuk menguruskannya di Kuantan pada 2 @ 3 Januari nanti.... Kami menunggu hampir satu jam sebelum tiba giliran kami.



Usai urusan di pejabat pos, kami  terus pulang ke Kuantan menyusuri jalan pantai.  Di sepanjang jalan dari Gebeng ke Balok, kesan banjir masih jelas kelihatan....

ECM @ Capital Mall

Kami tidak terus menuju ke rumah di IM8, sebaliknya kami singgah terlebih dahulu di Capital Mall yang dahulunya lebih dikenali sebagai ECM.  Kami menjangkakan orang tidak ramai kerana kemungkinannya masih ramai yang bercuti di luar Kuantan.  Jangkaan kami agak meleset kerana banyaknya kereta, sampai tidak ada tempat kosong....di depan penuh, agaknya di basement juga penuh, jadi kami mengambil keputusan untuk meletakkan kereta di bangunan Zennith.   
Lepas satu aras ke satu aras yang lain, berjalan-jalan sambil memerhati pengunjung yang sibuk membeli belah barang-barang keperluan untuk persekolahan anak-anak yang akan bermula esok. Ada juga pengunjung yang sibuk membeli persiapan untuk menyambut CNY. Setelah lebih 2 jam kami berlegar-legar di ECM, kami keluar dengan sepasang kasut kerja suami dan beberapa kelengkapan rumah yang dibeli di Aras 2.


Nampaknya, tak ada yang benar-benar tersangkut di hati... banyak jualan untuk perabis stok, barang yang dicari nampak seperti sudah agak lama, jadi kena tunggu minggu depan atau minggu berikutnya. Mungkin banyak barang baru akan masuk sempena perayaan CNY nanti....

Sekali-sekala berjalan berdua-duaan sambil memerhatikan gelagat orang ramai agak menyeronokkan. Jalan-jalan santai begini boleh dijadikan terapi minda. Sambil-sambil tu dapat menguji kekuatan 'kaki' yang sudah lama 'direhatkan', sebagai persiapan untuk menghadapi tugas rutin 'bertemu' anak-anak didik tersayang yang akan bermula esok.

Hari pertama tahun dua ribu tiga belas berlalu sudah.  Tugas dan amanah yang lebih mencabar menanti di hadapan....

"SELAMAT TAHUN BAHARU 2013"

Monday, December 31, 2012

CATATAN DI PENGHUJUNG TAHUN 2012....

Alhamdulillah, saya baru sahaja selesai menyempurnakan tugasan rutin akhir tahun. Lega rasanya....
Syukur juga kerana kita masih diberi kesempatan untuk menghirup udara segar tahun 2012 yang disulami hujan yang masih turun renyai-renyai membasahi bumi.... 

Kita semua tahu, mentari 2012 bakal terbenam dan akan diganti dengan fajar 2013. Tentu sekali banyak kenangan yang terakam dalam memori sepanjang 12 bulan kita berada di tahun 2012. Pasti ada yang manis dan ada juga yang pahit. Semuanya merupakan asam garam kehidupan yang akan terpahat kukuh dalam ingatan sampai bila-bila.

2012 melihat Ayahanda jatuh sakit.  Buat pertama kalinya Ayahanda tiba-tiba diserang 'mild stroke' pada awal April 2012.  Syukur alhamdulillah, kini Papa sudah semakin sihat walaupun masih dalam proses pemulihan.  Papa belum pulih sepenuhnya.   Syukur kepada Ilahi, Papa sempat melihat cicit sulungnya, Hannan yang dilahirkan pada 30 Julai 2012.
Papa di Restoran Sun Hwa, KB bulan lepas...

cicit sulung Papa : FARHAH HANNAN BT. MOHD FAHMI....

Beberapa bulan lepas,  kami adik-beradik telah sepakat untuk membaikpulih teratak Papa & Mama agar mereka berdua dapat berehat dengan lebih tenang dan selesa dalam meniti sisa-sisa usia  yang semakin menipis sebelum dijemput pulang olehNya.   Di teratak  inilah tempat kami dilahir, dididik dan dibesarkan oleh Papa dan Mama.  Kami berasa seronok melihat Papa berehat sambil menghirup udara petang di anjung yang baru dibina itu....

Secara peribadi, 2012 membuka lembaran baru kepada kami sekeluarga. Yang paling indah, tahun ini kami menerima ahli baru dan bakal bertambah lagi ahli baru pada tahun hadapan. Kami memasuki fasa baru dalam kehidupan.... bergelar Tok Ayah dan Mak Tok kepada FARHAH HANNAN, cucu sulung kami dan cicit sulung kepada Papa dan Mama.... 
minggu-minggu awal usia Hannan....

di pagi Aidiladha, Hannan bersama Onyang, pertama kalinya Hannan balik ke KB....

Pada tahun 2012, ketiga-tiga anakanda telah menamatkan pengajian mereka.  Emi sudah mula bekerja di sebuah hospital kerajaan di KT dan Adik sedang menunggu tawaran untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana.

kenangan sempena majlis konvo Emi pada 6 Okt 2012

Adik berjaya menamatkan pengajian di peringkat ijazah pertamanya dengan Kepujian Kelas Pertama pada 1 Dis 2012

Yang lebih manisnya lagi ialah Abe akhirnya berjaya juga menamatkan pengajiannya walapun terpaksa menghadapi pelbagai liku, dugaan dan ujian sejak tahun 2002 lagi.... Semoga kedatangan tahun baharu 2013 nanti, sinar kejayaan dan kebahagiaan dalam hidupnya akan lebih menyerlah.   Abe akan menamatkan zaman solonya pada awal tahun 2013 dengan Siti Nurr Aishah....

majlis pertunangan Abe & Echah pd 4 Syawal yang lepas....

Di penghujung 2012, lebih tepat lagi pada 24 Disember bandar Kuantan dilanda banjir kilat yang berlaku dalam sekelip mata sahaja.  Sekolah tempat saya mencari rezeki dan rumah sementara kami di IM8 dinaiki air bah.   Ketika itu kami berada di kampung menjenguk keluarga tersayang.   Sedikit ujian yang Allah berikan agar kita semakin dekat dengan-Nya.  

air bah di Taman Polo, kawasan kejiranan IM8....
Sesungguhnya, semua peristiwa yang berlaku di sepanjang tahun 2012 akan kami jadikan teladan dan sempadan buat menempuh perjalanan menuju jalan pulang yang masih jauh....

Mungkin ada yang beranggapan bahawa tahun yang bakal berlalu sebagai tahun yang tidak pernah diduga akan hadir di dalam diari hidup mereka, lantaran ujian dan cabaran yang betul-betul menekan jiwa. Jangan lupa, seperti yang selalu diperkatakan orang, ujian dan cabaran ialah rempah ratus kehidupan.

Tanpa ujian dan cabaran, hidup kita akan berlalu bak air yang mencurah keluar daripada pancur, sekadar mencurah turun, tak ada langsung nilai-nilai yang boleh dikenang dan dijadikan teladan.

Sebaliknya, jika perjalanan hidup kita seperti air sungai yang sekejap cetek dan sekejap melimpah ke tebing, kemudian perlu mengharung segala batu, kayu termasuk sampah sarap… ketibaan kita di muara nanti merupakan sesuatu yang amat bermakna.

Paling penting juga, ingatlah, bukan kita seorang sahaja yang diuji. Ada insan lain yang lebih teruk ujiannya daripada kita. Lantas, jadikan ujian Ilahi sebagai pendekat diri kita kepada-Nya dan percayalah…. YANG PAHIT AKAN MANIS AKHIRNYA…

Tak kisahlah apa-apa sekali pun peristiwa yang kita lalui di sepanjang 2012, yang pasti kita perlu bersyukur ke hadrat Ilahi kerana kita masih diberi kesempatan untuk terus melihat fajar tahun baharu yang bakal muncul nanti....

Tahun baharu bermakna usia sudah tidak baharu lagi. Hayat bertambah menjadi semakin lama...baki usia menjadi semakin susut.

SELAMAT TAHUN BAHARU 2013  

Semoga kita semua terus diberi kelapangan dan kekuatan mental serta fizikal bagi membolehkan kita memantapkan amal ibadat buat bekalan di akhirat kelak...juga dapat kita berbakti kepada keluarga, agama dan negara. 

Semoga kita terus berada dalam perlindungan dan kasih sayangNya....Amin. 



Thursday, December 20, 2012

Hannan balik 'kampung' di IM8....



Rindu yang tersimpan beberapa minggu terlerai sudah...



Tengah hari semalam Hannan balik 'kampung' bersama Abah & Mummynya... kebetulan anakanda Fahmi off 3 hari....



Gelagatnya yang semakin keletah membuatkan hati kami terhibur.  Sudah pandai posing....Hannan suka sangat tengok kamera. 

Hannan hadiahkan kek hari jadi untuk Tok Ayahnya.... 


Walaupun hanya satu malam, tetapi cukup untuk mengubat kerinduan kami.





Pagi 19.12.12, saya ke sekolah kerana keputusan PMR akan diumumkan.  Masa tu Hannan baru bangun dari tidur.   Hannan dibawa oleh Abah dan Mummynya ke ECM.  Cik Dya juga ikut sekali.  Katanya nak pergi cari baju Hannan untuk majlis Paklong Ayiehnya nanti....tapi tak ada.  Nantilah, Tok Ayah belikan untuk Hannan....
 
Sekembalinya Hannan dari ECM, lebih kurang pukul 3.00 petang kami sama-sama berkonvoi ke KT..... 

Syukur alhamdulillah....


Tuesday, December 11, 2012

Eeka genap 11 tahun....



11.12.2012...
genaplah 11 TAHUN usianya...
NUR HANIS SHAFIQAH
puteri bongsu

NORBANILAWATEY JUSOH
dan

SAHAZALI AWANG DERAMAN...



Semoga Eeka akan terus menjadi

anak yang solehah.



Selamat

menyambut

ulang tahun

kelahiran.....



Eeka yang sentiasa menghiburkan.....


Daripada : Cik La, Ayah Chik, Abe Faris, Abe Emi & Kak Aina dan Kak Uti....

Saturday, December 1, 2012

ALHAMDULILLAH....syukur kita masih bersama....

Buat suami,
insan yang penuh dengan cinta dan sayang,
ingin kutitipkan ucapan...

"SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN KELAHIRAN YANG KE-53..."


Kupanjatkan rasa penuh kesyukuran pada Allah s.w.t. kerana memberikan masa untuk aku mengenali erti kasih sayang dari insan dan Tuhan, menghayati pengorbanan luar biasa yang mencetus keinsafan dan memberikan aku waktu untuk mengecap cinta sedingin salju.  


Lebih bermakna lagi kerana 2013 diraikan bersama ahli baru dalam keluarga, cucunda FARHAH HANNAN BT. MOHD FAHMI yang kini sudah berusia satu tahun setengah dan sudah boleh berjalan laju dengan pelbagai aksi yang menghiburkan.   Kita memasuki satu lagi fasa baru dalam melayari hidup bersama....



Buat suami tercinta, kutujukan doa khusus buatmu. Tika sujud yang panjang, aku memohon agar kehidupanmu sentiasa dalam rahmat Tuhan. Semoga Allah panjangkan umurmu, diberikan kesihatan yang baik dan rezeki yang penuh keberkatan....

Kudoakan, biarlah hanya yang terbaik berlaku dalam kehidupan, dunia dan akhirat bersama kita gapai penuh kesyukuran. Harapan dan impianku, agar aku mampu membuatmu sentiasa tersenyum dan tertawa saat kita bersama meniti usia. Moga Allah berikan aku kekuatan untuk membekalkan tenang dihatimu walaupun ketika hidup kita dihempas gelombang.

Terima kasih Tuhan kerana Kau jadikan dia untukku....
Terima kasih sayang kerana hadirmu begitu membahagiakan....

Wednesday, November 14, 2012

Salam Maal Hirah 1434


Dalam hitungan minit maka tahun hijriah akan terganti dari 1433 menuju 1434, dan dalam hitungan minggu maka tahun masehi juga akan terganti dari 2012 menuju 2013. Alangkah eloknya jika HIJRAH dijadikan iltizam TAHUN BARU 1434H / 2013M...

UMUMNYA hijrah bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain atau berubah daripada satu keadaan kepada satu keadaan lain. Dari sudut istilah pula, hijrah bermaksud meninggalkan sesuatu yang dilarang.
Ia berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Habsyi, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah." (Hadis riwayat Abu Dawud)

Maknanya, hijrah difahami sebagai perpindahan daripada suatu keadaan tidak baik kepada keadaan yang lebih baik. Contohnya, meninggalkan ajaran bertentangan dengan Islam dan kembali kepada ajaran Islam sebenar.
Penghijrahan komuniti Muslim pada zaman Rasulullah S.A.W berlaku sebanyak tiga kali. Pertama, hijrah ke Habsyah pada 615 Masihi, kedua juga ke Habsyah pada 617 Masihi dan ketiga ialah hijrah Rasul SAW ke Yathrib pada 622 masihi.
Sesungguhnya penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah telah memberi nafas baru kepada suatu perubahan yang besar dalam sejarah kebangkitan ummah. Penghijrahan beberapa orang sahabat ke Habsyah misalnya adalah sekadar penghijrahan biasa saja bagi melarikan diri dari kezaliman, cemuhan dan seksaan Musyrikin Makkah, dan penghijrahan Rasulullah SAW ke Yathrib adalah penghijrahan yang dilakukan atas arahan dan perintah Allah bagi meneruskan perjuangan untuk menegak, mengukuh dan mempertahankan Islam
Kalangan ulama bersepakat meletakkan peristiwa hijrah sebagai ‘ZAMAN BARU' yang memberi ‘nafas baru’ kepada misi penyebaran Islam. Selain daripada tahun hijrah diguna pakai sebagai penanda TAKWIM BARU umat Islam, hijrah juga menandakan bermulanya method kehidupan baharu melalui pembinaan semula sahsiah dan keperibadian Muslim seperti yang dibentuk dan diperkasakan agama. Perpindahan daripada amalan yang memaparkan kejahilan setelah hilang panduan hidup kepada amalan yang berasaskan disiplin agama yang berpandukan al-Quran.... jadi elok sangatlah HIJRAH dijadikan iltizam tahun baru...
Hari ini dan ketika ini, cerita penghijrahan Rasulullah SAW hanya sekadar catatan yang diabadikan dalam buku sejarah. Seperti cerita-cerita sejarah yang lain, cabaran penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah menjadi rakaman sejarah sekadar untuk dibaca sebagai bekalan bagi menjawab soalan peperiksaan. Lebih malang lagi amalan membaca berasaskan orientasi itu akan lupus selepas zaman persekolahan berakhir. Maka jadilah sejarah penghijrahan yang memberi implikasi yang besar maknanya kepada penyebaran Islam itu dilupakan secara berperingkat, jauh sekali untuk dihayati. Sedangkan inti pati dan mesej penghijrahan itu sangat besar dan amat mendalam pengertiannya di sisi agama.
Sabda Rasulullah yang bermaksud:
“Tiada lagi hijrah sesudah pembukaan kota Makkah, tetapi yang tetap ada ialah jihad dan niat untuk berhijrah (apabila keadaan memaksa) dan apabila dipanggil untuk berjihad (atau sebagainya) hendaklah kamu bersiap sedia.” – (Hadis Riwayat Bukhari)
Fajar tahun Hijrah 1434 yang bakal menjenguk kita nanti diharapkan dapat mengubah persepsi Muslim berkaitan isu itu melalui iltizam yang penuh untuk diterjemahkan ke dalam bentuk pelaksanaan.


Sabda Rasulullah yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang mukmin apabila melakukan dosa bererti ia membuat noda dengan sebuah titik hitam di dalam hatinya. Apabila ia bertaubat, meninggalkan perbuatannya, dan memohon ampun kepada Allah, maka hatinya jernih kembali. Tetapi apabila ia menambah dosanya, maka bertambah pulalah titik hitam itu hingga menutupi seluruh hatinya.” – (Hadis Riwayat Ahmad)
...mengingatkan pada diri ... HIJRAH - iltizamku sambut tahun baru....
"Ya ALLAH jadikanlah sebaik-baik umur saya pada hujungnya, dan sebaik baik amal an saya adalah pada akhirnya dan sebaik-baik hari adalah pada saat saya menemuiMU... Jika esok atau pada tahun hadapan nafas tidak lagi ENGKAU titipkan kepada saya, maka permudahkan saya pada saat sakaratul maut ya ALLAH dan terimalah segala ibadah saya yang tak sempurna ini..." Amin.