Wednesday, May 11, 2011

Sekolah aneka @ SM Kota yang pernah kukenal.....


SEKOLAH ANEKA


Pada akhir tahun 1960-an, sekitar 1967 @ 1968 ketika itu saya belum lagi bersekolah, baru berumur 5 atau 6 tahun - 2 orang kakak sepupu – Kak Yah dan Kak Sah, sudah masuk sekolah menengah. Kak Yah 10 tahun lebih tua daripada saya, manakala Kak Sah pula, 8 tahun lebih tua daripada saya. Saya selalu dengar mereka menyebut sekolah aneka. Setiap petang, selepas pulang dari sekolah Kak Sah selalu bercerita tentang sekolah aneka ini.... Kadang-kadang saya tertanya-tanya, apakah itu sekolah aneka. Terasa sekolah aneka sangat istimewa. Teruja untuk ke sekolah aneka, walaupun tidak tahu apa-apa sebenarnya sekolah aneka ini.

KETIKA saya mula menapak ke darjah satu pada tahun 1969, yang saya nampak sekolah aneka ini, bangunannya 2 tingkat, ada tangga tinggi. Besar. Berbeza dengan SRJK (I) Kota, yang mempunyai 2 bangunan setingkat sahaja.... Murid-murid perempuan di sekolah aneka memakai baju sekolah (pinafore) warna biru muda. Murid lelaki pula memakai seluar pendek berwarna putih…. 

Waktu itu, sekolah aneka yang berdekatan ialah Sekolah Menengah Kota, bersebelahan dengan SRJK (I) Kota, tempat saya mula mengenal ABC-123-alif-ba-ta.... Kak Sah bersekolah di situ kerana dia belajar dalam aliran Inggeris, manakala Kak Yah yang mengikuti kelas aliran Melayu bersekolah di SM Mulung...

Istilah sekolah aneka ini hilang begitu sahaja daripada ingatan saya beberapa tahun selepas itu…....Apabila saya sudah belajar di peringkat yang lebih tinggi, hasil daripada pembacaan luas, barulah saya tahu bahawa sekolah aneka rupa-rupanya satu Sistem Aneka Jurusan di sekolah menengah rendah (SMR) sebagaimana yang tercatat dalam Penyata Rahman Talib. Sistem ini mula diperkenalkan pada 1 Januari 1965...3 tahun selepas saya dilahirkan...!

Berikut sedikit sebanyak maklumat tentang SISTEM SEKOLAH ANEKA JURUSAN yang diperoleh daripada 'encik google'... untuk dikongsi dengan rakan-rakan yang 'singgah di sini'.

Menerusi sistem ini, murid-murid di SMR terpaksa mengikuti pelajaran Aneka Jurusan – pelajaran am dan pelajaran persediaan pekerjaan dengan tujuan menolong diri mereka untuk mengetahui apakah bakat dan kecenderungan, dan jenis pelajaran (aliran akademik atau lain-lain) yang baik sekali untuk kebolehan masing-masing. 

Pelajaran am termasuklah mata pelajaran wajib dan mata pelajaran asas seperti Bahasa Kebangsaan, bahasa Inggeris, Ilmu Hisab dan Sains Am. Pelajaran Pendidikan Persediaan Pekerjaan pula termasuklah mata pelajaran Sains Pertanian, Sains Rumahtangga, Ilmu Perusahaan, Ilmu Perniagaan Am, dan lain-lain lagi.  

Menurut sistem ini, pada akhir tahun ke-9, murid-murid itu akan mengambil peperiksaan SRP / LCE. Berdasarkan keputusan peperiksaan itu, mereka akan dipilih untuk masuk sama ada pelajaran Menengah Atas Aneka Jurusan dalam aliran akademik, teknik, pertanian, perdagangan atau pertukangan dan sekolah-sekolah pekerjaan, yang sesuai.

Apabila mereka tamat pelajaran menengah itu, kebanyakan murid itu tentulah telah menerima latihan cukup untuk mencari kehidupan mereka dan tentu berumur 17 atau 18 tahun, iaitu umur yang sesuai untuk mencari pekerjaan dalam perdagangan, perusahaan atau pertanian, atau bekerja sendiri, mengkut kesukaan masing-masing. Sementara mereka yang berbakat untuk pelajaran dalam aliran akademik pula akan meneruskan pelajaran mereka ke maktab-maktab dan lain-lain yayasan.
Secara ringkasnya, sistem aneka jurusan ni bertujuan :

a) memberi pelajaran asas dan am selama 9 tahun kepada setiap murid hingga berumur 15 tahun lebih.
b) Mengadakan peluang belajar yang sama bagi setiap orang murid supaya mereka boleh menerima pelajaran dan latihan yang sesuai dengan bakat dan kebolehannya;
c) Menjamin cukup tenaga orang ramai.


SM KOTA (dulu belum diselitkan perkataan KEBANGSAAN...)


SM Kota yang dulunya dikenali sebagai sekolah aneka dalam kalangan penduduk di Kg Kota didirikan pada tahun 1965

Daripada cerita Papa, pada asalnya sekolah ini hendak didirikan di tapak sawah padi berhampiran tempat kami tinggal. Penduduk setempat yang 90% hidup mereka bergantung kepada tanaman padi tidak bersetuju dengan rancangan awal itu. Akhirnya, tapak SMK Kota dipindahkan ke satu kawasan berhampiran dengan stesen RTM Kota Bharu. Satu lokasi yang paling tepat kerana SM Kota juga berjiran dengan 2 buah sekolah rendah, iaitu SK Kota dan SRJK (I) Kota (kini, SK Seri Kota). Rancangan pembinaan sekolah itu digantikan dengan pembinaan tali air.
Sambung cerita SM Kota....

Pada peringkat awal penubuhannya pada tahun 1965, Sekolah Menengah Kota menumpang di bangunan Sekolah Kebangsaan Kota, tetapi tiga tahun kemudian iaitu pada tahun 1968, dua buah bangunannya sendiri siap dibina. Bangunan tersebut ialah Blok A dan bangunan Blok B.

Pada peringkat awal penubuhannya, Sekolah Menengah Kota terdiri dari 2 aliran iaitu Aliran Melayu dan Inggeris. Kumpulan pertama muridnya adalah seramai 230 orang yang datang dari sekolah rendah di sekitarnya seperti SK Kota, SRJK (I) Kota (kini, SK Sri Kota), SK Bunut Payong, SK Pendek, SK Pintu Geng dan lain-lain lagi. Murid-murid tersebut diagihkan kepada tiga kelas aliran Inggeris. Tenaga pengajar adalah seramai 7 orang termasuk 5 orang guru terlatih dan 2 orang guru yang dipinjamkan dari SM Mulong dan SM Ismail Petra (SMIP).

Semasa saya mula melangkah ke sekolah menengah pada tahun 1975, sudah ada satu blok bangunan baru dua tingkat yang menempatkan bilik darjah, perpustakaan dan makmal sains (paling hampir dengan SRK Kota), dan sebuah bangunan setingkat, sepagar dengan stesen RTM Kota Bharu, bagi menempatkan bengkel Indutrial Arts (IA) atau bengkal Seni Pertukangan Tangan (kini dikenali sebagai Kemahiran Hidup Bersepadu - KHB). Sebelum ini, bengkel IA terletak di sebuah bangunan kayu satu tingkat yang sudah agak uzur bersebelahan kuaters / rumah guru (yang pernah didiami oleh Cikgu Halimah) / kantin SRJK (I) Kota.

Seingat saya,(kalau silap, harap maaf...maklumlah, sudah lama berlalu....) bangunan baru ini mula digunakan pada akhir tahun 1975. Kami rasa seronok sangat kerana dapat menggunakan makmal sains yang baru. Bangunan baru ini juga menempatkan dua kumpulan murid 'English Medium' yang bakal menduduki peperiksaan LCE, masing-masing pada tahun 1976 dan 1977. Ketika itu terdapat 3 kelas ting. 3 dan 3 kelas ting. 2. Jadi, kelas Form 3/ Form 2 Red, White dan rasanya satu lagi kelas Green (tolong betulkan, kalau salah...) ditempatkan di bangunan baru ini.

Seiring dengan perkembangan dan pertambahan murid di SM Kota, beberapa buah lagi bangunan baru telah didirikan. Pada tahun 1980, dua buah bangunan siap dibina iaitu Blok C dan Blok D. Sebuah surau (walaupun tidak besar) juga telah dibina untuk memudahkan aktiviti keagamaan dijalankan. Lima tahun kemudiannya, ada lagi bangunan baru siap dibina. Bangunan baru 3 tingkat pula sempurna disiapkan menjelang tahun 991. Sekarang Sekolah Menengah Kota mempunyai 11 buah blok termasuk blok kemahiran hidup dan sebuah dewan besar, Dewan Seri Jelasin.

Selepas meninggalkan SM Kota pada tahun 1977, saya hanya sempat singgah beberapa kali menjenguk rakan-rakan pada tahun 1978. Bertemu dengan rakan-rakan sekelas yang pernah sama-sama di bawah satu bumbung dari tahun 1975 - 1977. Mereka merupakan kumpulan pertama dan terakhir kelas aliran Sains (English Medium) di SMK Kota. Sebelum itu, semua murid English Medium akan meneruskan pelajaran Tingkatan 4 & 5 mereka di SIC, sama ada dalam aliran Sains ataupun Sastera....  

.... selepas LCE ada juga rakan-rakan yang meneruskan pelajaran di SM Teknik... antaranya ialah Norhayati Idris, Norazma Ariffin, dan Rusnah Mohammad. Nik Mohd Fauzi Nik Mustapha pula menyambung pelajaran Ting. 4 di RMC, Sungai Besi KL.  Ada lagi rasanya rakan-rakan yang menyambung pelajaran Tingkatan 4 di sekolah lain... siapa ye?

Rupa-rupanya, sudah lama benar saya tidak masuk ke kawasan SMK Kota... hanya pandang dari luar pagar sekolah setiap kali melalui Jalan Salor atau ketika singgah di kedai runcit Alami dalam perjalanan balik ke rumah....
Kini, landskap SMK Kota kelihatan jauh berbeza berbanding dengan lebih 3 dekad yang lalu....Dewan Kota Jelasin tersergam gagah menyambut kedatangan tetamu yang masuk ke kawasan SMK Kota ....



... terkenang akan Dr. Suriani Hussein, Dr. Wan Muhammad Nizam, Adnan Hussin, Haslin Shafii, Azman Talib, Tengku Norizan, Adzmah Ali, dan beberapa orang rakan lagi yang terus berada di SMK Kota sehingga tamat peperiksaan MCE, 1979....

Kisah guru-guru yang pernah mencurahkan ilmu kepada kami sepanjang tiga tahun di SM Kota menyusul selepas ini....


Tuesday, May 10, 2011

Terima Kasih Cikgu....

Selain sambutan Hari Ibu, bulan Mei juga merupakan bulan mengenang jasa guru-guru yang telah mengajar dan mendidik kita menjadi seperti "kita" hari ini. Kurang seminggu dari sekarang, kita akan meraikan Hari Guru 2011.

Mengimbau kenangan bersama guru-guru pada awal zaman persekolahan, aku terpanggil untuk mencatat secebis kenangan yang terpahat di minda semasa bersekolah di SRJK (Ingg) Kota, 1969 - 1974.

Jasa mereka tidak akan kami lupa. Kejayaan yang dikecapi kini bermula daripada didikan serta tunjuk ajar Cikgu-cikgu tersayang – akan tetap kukuh dalam ingatan.

Berikut antara kenangan yang masih tersisa dalam ingatan....

1. Cikgu Habsah (Form Teacher Std. 1 Blue -1969) – sudah kembali ke rahmatullah beberapa tahun lepas, rumahnya tidak jauh dari sekolah, (dekat bulatan Wakaf Hj. Abdullah Kota) dan beliau berjalan kaki sahaja untuk ke sekolah. Selepas berkahwin dengan Cikgu Yusof sekitar tahun 1972 (guru di SRJK(I) Kota juga), beliau menetap di kediamannya bersebelahan dengan pagar SK Kota.

2. Cikgu Tengku Hafni Zaharah (Form Teacher Std 2 Blue - 1970) – ayu, lembut, sopan santun, sentiasa berbaju kurung dan sangat prihatin. Keayuan dan kelembutannya menjadi Cikgu Tengku sangat istimewa di mata kami. Matanya berkaca-kaca sekiranya ada murid lelaki yang tidak mahu dengar arahannya...Beliau berkahwin dengan Cikgu Mohammad.

3. Cikgu Nik Mohammad - guru kelas Std 3 Blue (1971) - selalu hantar surat kepada seseorang melalui rakan sekelas, Haslin...kemudian digantikan oleh Cikgu Zainab – cakap Melayu ala orang putih kerana baru balik dari New Zealand...

4. Mr. Choong Chong Wah (FT Std 4 & 5 Blue - 1972/73) – asal dari Pulau Pinang, tinggi lampai, tinggal di Jalan Hamzah KB, naik vespa hijau ke sekolah, mengajar English & Arithmatics.

5. Mr. Chong Sam Chong (FT Std 6 Blue - 1974) – mengajarkan mata pelajaran Science dan Arithmatics. Kami mula belajar dengan beliau sejak Std 3. Beliau memilih Islam sebagai destinasi akhir, tp tak ingat nama Islamnya. Masa djh 6, kami melawatnya di hospital – ‘operation’ sebelum berhijrah menjadi seorang muslim.

6. Cikgu Fatimah Busu – beliau suka bercerita, selalu pakai blouse pendek dan kain sempit -kemudian beliau melanjutkan pelajaran ke USM – novel karyanya Ombak Bukan Biru, The Missing Piece 1 & 2 antara koleksi peribadi yang istimewa – catatan sebahagian perjalanan hidupnya.

7. Cikgu Mara Rahmah – selalu ajar kami menyanyi “Waktu fajar saya bangun, matahari pun terang, kulihat berduyun-duyun …..“ (sudah lupa liriknya) – juga bimbing murid-murid SRJK Kota pelbagai jenis tarian/ taridra untuk masuk pertandingan – fashionable, berbaju warna sedondong dari cekak rambut, bingkai cermin mata, subang, baju, beg tangan hingga kasut - pernah berjumpa dengan beliau pada akhir tahun 90-an dalam satu majlis santai WAJANITA guru-guru wanita JPWP di Hotel Istana, KL...(masih berbaju kurung pesak sedondong), beliau ketika itu menjadi Guru Besar di SK Manjalara, KL.

8. Ustazah Zainun – berasal dari Kg. Laut. 6 tahun belajar dengan ustazah yang sama. Masa ni, fesyen ikat skarf di leher… belum ada tutup-tutup kepala lagi…

9. Cikgu Ismail, mengajar Tawarikh dan Ilmu Alam (Std 5) – sangat tekun untuk memastikan kami dapat ‘A’ dalam Peperiksaan Penilaian Darjah 5 – mengayuh basikal dari rumahnya di Lorong Che Majid off Jln Pasir Puteh KB ke sekolah. Setiap Sabtu dan cuti sekolah selalu buat kelas tambahan.

10. Mr. Loh Tong Seng – ajar Arithmetics (Std 6); Art & Craft – ingat lagi semasa Std 6, beliau ajar buat penguin guna sabut / buah kelapa dan kolaj.

11. Mr. Ong - ajar kami lagu untuk concert semasa kami Std 4 (1972)... lagu Kookabara sits on the old gun tree..., Che Mek cari etok...(dialek Kelantan), Siau siau ku niang....(lagu mandarin)...satu lagi lagu dah tak ingat. Masa tu kami bersekolah petang, jadi kenalah datang berlatih pada waktu pagi di kantin sekolah.

Tidak lupa juga kenangan bersama dua orang HM, iaitu Mr. Kassim (dari Std 1 - Std 3) dan Cikgu Ibrahim (Std 4 - Std 6)....


Kenangan di SRJK (I) Kota mengusik jiwa... cikgu ibarat lilin...


Saturday, May 7, 2011

Raikan Ibu, Hargai Kasih Sayangnya Setiap Saat....


HARI IBU jatuh pada hari Ahad minggu kedua bulan MEI setiap tahun. Pada tahun ini, Hari Ibu jatuh pada 8 Mei 2011. Sama ada kita memanggilnya ibu, mak, ummi, mama atau mummy, maknanya sama sahaja.

Ibu adalah panggilan istimewa seorang anak kepada wanita istimewa yang melahirkannya.
Biarpun kasih sayang, pengorbanan dan jasa ibu saban hari dikenang selagi hayat dikandung badan, namun sambutan Hari Ibu memberi makna yang amat besar kepada semua ibu di negara ini.

Peranan dan tanggungjawab wanita yang bergelar ibu tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Walaupun ibu tidak pernah meminta balasan atas pengorbanannya, namun sebagai anak sudah menjadi tanggungjawab mereka menghargai dan memberikan kebahagiaan kepda ibu yang dikasihi.


Oleh itu, pada kesempatan sambutan HARI IBU yang diraikan di seluruh negara esok, anak-anak yang masih berpeluang menghargai ibu mereka, jadikanlah hari istimewa ini antara hari yang membahagiakannya sepanjang hayat si ibu.... hargailah ibu kita pada setiap masa sementara masih ada ruang waktu....

SESUNGGUHNYA, SETIAP HARI MERUPAKAN HARI IBU....!

.... sekadar mengingatkan diri sendiri
"...Mama, engkaulah RATU hati kami sepanjang waktu...."

minggu lepas balik KB bertemu Mama....

foto : Mama bersama 6 daripada 8 orang puterinya pada pagi Aidilfitri 2010....


Friday, May 6, 2011

Nostalgia...lebih Sepurnama di Pekan Bandar Diraja...



Dulu, Pekan merupakan sebuah bandar yang tenteram, aman dan damai. Jauh daripada hiruk-pikuk kesibukan dan bunyi bising kenderaan. Sunyi dan tenang. Ketenangan ini sukar dicari dan mereka yang sibuk dan berada di tempat yang riuh-rendah sesekali elok menghabiskan masa cuti rehatnya di sini.

Pada masa itu, pemandangan-pemandangan asli masih terjaga dan terkawal. Terdapat rumah-rumah kampung yang indah; susunan dan reka bentuknya. Walau bagaimanapun, kini, keadaan sudah berubah. Banyak bangunan baru didirikan selari dengan arus pemodenan....

Di antara bahan tarikan yang terdapat di bandar Pekan ini ialah istana. Istana DYMM Sultan Pahang terletak di tengah-tengah kawasan yang luas berhampiran dengan Padang Polo yang dijaga begitu rapi dan sempurna sekali.

Masyarakat di sini juga mudah mesra dan sungguh peramah.

Di Pekan, aku tinggal bersama Mak Cik Esah. Tak pasti untuk berapa lama. Dalam masa yang sama aku telah menulis surat ke Kemeterian Pelajaran memohon pertukaran mengikut suami yang ketika itu betugas di KB. Tak isi borang pertukaran pun, sebab Pengetua tak galakkan aku pindah terlalu awal. Surat pun tak melalui Pengetua. Aku jangkakan paling awal aku dapat pindah hujung 1986 / awal 1987.

Ramadan menjelang seminggu selepas aku lapor diri di SM Ahmad. Bersahur dan berbuka berdua dengan Makcik Esah merupakan suatu pengalaman baru.

Pada hari Sabtu, aku akan bawa Makcik Esah ke Pekan Sehari. Berjalan kaki sebab tidak ada kenderaan awam. Beca pun tak ada. Agak jauh juga dari rumah sewa kami di Kampung Parit Dalam ke Pekan Sehari(rujuk peta). Sebenarnya, dalam keadaan aku yang sudah sarat tu, rasa nak berehat sahaja di rumah. Tetapi aku kesian pada Makcik Esah, asyik duduk di rumah aje, jadi bawalah dia 'makan angin'. Sambil tu beli sedikit keperluan untuk memasak. Masa balik pun kami berjalan kaki. Sampai di rumah, rasa penat dan haus sangat.

Minggu berikutnya pula, aku bawa Makcik lalu ikut jalan menuju istana dan juga padang polo. Makcik Esah kata, apabila balik ke Lubuk Bongor kelak, bolehlah dia bercerita tentang bandar Pekan kepada orang kampungnya.

Hampir sebulan berpuasa, tibalah masa untuk balik ke KB menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Abang Aziz (arwah) dalam perjalanan balik ke TM dari KL singgah di Pekan untuk ambil aku dan Makcik Esah balik ke KB. Sarat kereta dengan barang-barang keperluan baby. Kena bawa balik, takut-takut bersalin masa cuti hari raya nanti. Sebenarnya, aku telah maklumkan kepada Pengetua, kemungkinan aku akan terus cuti sehingga aku bersalin.

Sekolah akan dibuka semula pada hari Isnin berkutnya.... dan aku selamat melahirkan putera sulungku MOHD FARIS NAIN pada hari Ahad, 22 JUN 1986 sehari sebelum sekolah dibuka selepas cuti sempena Aidil fitri....

Syukur kepada Ilahi kerana mendengar luhan isi hatiku dan mempermudahkan segala urusan.

Cukup dulu, jumpa lagi...


Tuesday, May 3, 2011

Hutang Budi Dibawa Mati


Sambungan coretan surat penempatan pertama....

Apabila sampai di hadapan SM Ahmad, kami cuba meninjau kalau-kalau ada sesiapa di sekolah itu. Papa seperti yakin sangat bahawa dia kenal tuan kereta DH... tu. Kami memberi salam. Yang keluar ialah seorang lelaki pertengahan umur bersama isteri yang kebetulan ada di sekolah. Sebaik sahaja mereka menjawab salam kami,.... rupa-rupanya jangkaan Papa tepat sekali... mereka adalah kenalan lama Papa. Kami berasa lega.

Cikgu Abdullah (nama asal di kampung - Rashid) baru 6 bulan naik pangkat sebagai Pengetua di SM Ahmad. Orang sekampung. Beliau berasal dari Kampung Batu 4, Jalan Kuala Krai - (sekarang berhampiran Restoran New Horizon Garden, Kota Bharu). Beliau merupakan kawan Papa sejak di sekolah rendah. Sama-sama bersila di Sekolah Inggeris Kota.

Diringkaskan cerita, beliau dan isteri, (Cikgu Mariam - asal dari Temerloh, mengajar di SMK Pengkalan Chepa, KB sebelum berpindah ke Pekan) mengajak kami bermalam di rumah mereka. Kak Yam juga tolong cari rumah sewa untuk kami.

Dengan pertolongan mereka, saya telah menyewa rumah Pakcik Aziz, di Kampung Parit Tengah. Agak jauh juga dari Sekolah Menengah Ahmad jika berjalan kaki. (Sekarang dah tak ingat jalan mana menuju ke rumah Pakcik Aziz tu). Sebuah rumah kampung, agak besar untuk kami berdua dengan Makcik Esah. Jiran saya ialah seorang jururawat. Dia telah memberi no. telefon ambulan takut-takut saya sakit nak bersalin tengah malam. Maklumlah, masa dah nak sampai...

Budi baik Cikgu Lah dan Kak Yam akan saya kenang sampai bila-bila. Dari Pekan Cikgu Lah berpindah ke SMK Jengka 2, (saya bertugas di SMKJ2 mulai 2000 - 2003), Kak Yam pula di SMK Jengka 6. Kini mereka telah bersara dan kembali menetap di Taman Uda Murni, Kota Bharu. Terima kasih juga kepada Pak Cik Aziz sekeluarga. Allah sahaja yang dapat membalas budi baik mereka....

Allah telah mempermudahkan perjalanan hidup saya di rantau orang. Tempat yang masih asing bagi saya. Saya amat bersyukur dan amat yakin, DIA Maha Penyayang dan Maha Berkuasa menentukan segalanya.

Menyusul nanti ... life @ Pekan...Jumpa lagi.

Sunday, May 1, 2011

Surat Penempatan Pertama....



Setiap kali tiba bulan Mei, setiap kali itulah juga ingatanku terbang ke sebuah pekan yang begitu damai dan tenang ketika itu...Pekan, Bandar Diraja.

Usai latihan praktikum selama 10 minggu di SM Perempuan Ampang (kini dikenali sebagai SMK Puteri Ampang) aku bercuti selama hampir 2 bulan sebelum menerima surat penempatan pertama daripada JPN Pahang bertarikh 24 April 1986. Aku diminta melaporkan diri di SM Ahmad, Pekan Pahang pada 4 Mei 1986, beberapa hari sebelum menjelang Ramadan.

Semasa surat tawaran diterima, aku baru balik dari Pusat Kesihatan Wakaf Che Yeh untuk pemeriksaan bulanan kerana pada waktu itu aku sedang sarat mengandung anak sulung. Aku agak terkejut, tidak terfikir akan posting jauh...Tapi aku pasrah, itu ketentuan-NYA. Hubby dan ahli keluarga tidak putus-putus memberi semangat kepadaku.

Masalahnya, siapa yang akan bersamaku di Pekan nanti? Aku tidak mungkin tinggal bersendirian di sana. Aku dijangka bersalin pada 1 JULAI. Hubby tidak boleh menemaniku kerana dia bertugas di Kota Bharu. Mek Kiah pula perlu menunggu Che' Pok Mat di hospital TM (kini, sudah 24 tahun kembali ke rahmatullah - keluar masuk hospital kerana diabetes). Mama? Tentu sekali tidak boleh, Adik-adik masih kecil, perlukan perhatian dan jagaan daripada Mama. Makan minum Papa juga mesti dijaga.

Lepas kerja hari Khamis, kami terus balik ke Batang Merbau, Tanah Merah. Sebelum tu singgah di Pasir Mas untuk bertanyakan Tok Nik (Nenek saudara hubby) sama ada dia boleh temankan aku di Pekan. Tetapi masa tu dia sedang menjaga Chik yang masih dalam pantang, selepas melahirkan Siti Fairuz.

Pilihan seterusnya dan mungkin yang terakhir ialah Mak Cik Esah. Masa tu Mak Cik Esah berada di kampungnya, di Lubuk Bongor yang letaknya lebih kurang 20km ke dalam dari pekan Jeli. Untuk ke sana, kita perlu melalui beberapa jambatan kecil yang merentangi Sungai Pergau. Pada masa tu, belum ada lebuh raya untuk sampai ke sana dari Tanah Merah. Sekiranya hari hujan, keadaan menjadi bertambah buruk. Untuk sampai ke sana perlu guna jip.

Pada petang Khamis tu juga hubby bertolak dari Batang Merbau bersama Mek Kiah dan Kak Mah menuju ke Lubuk Bongor yang mengambil masa lebih daripada 2 jam. Mereka sampai semula ke rumah pada pukul 3.00 pagi. Alhamdulillah, Mak Cik Esah bersetuju untuk ke Pekan bersama kami.

(Terima kasih Mek, terima kasih Kak Mah kerana sentiasa berusaha untuk mendapatkan pengasuh untukku, menjaga anak-anakku semasa aku pergi kerja, sehingga mereka boleh berdikari).

Pagi Sabtu, kami terus balik ke rumah Mama di KB, dan pagi Ahad kami berempat (Hubby, Papa, aku & Makcik Esah) bertolak dengan Nissan Sunny 1.3 - DK 4606 yang sarat dengan barang (termasuk keperluan baby) menuju ke Pekan. Kami bertolak awal pagi dan sampai di Bandar Diraja Pekan lebih kurang pukul 2.30 ptg. Tersilap ambil jalan jauh, maklumlah tak pernah sampai ke Pekan...Perut dah mula berkeroncong. Kami menjamu selera di sebuah gerai di simpang masuk ke bandar Pekan.

Selepas tu, kami menuju ke suatu tempat untuk menunggu kawan sekerja Papa yang berjanji untuk menunggu kami, tapi kawan Papa itu tidak kunjung tiba. Mungkin salah tempat yang dijanjikan. Sementara menunggu, kami pusing-pusing bandar Pekan untuk mencari lokasi SM Ahmad. Tidaklah susah untuk sampai ke SM Ahmad kerana bandar Pekan bukannya besar mana...Apabila sampai di sekolah itu, ternampak sebuah kereta berwarna biru di garaj depan pejabat sekolah. Lega rasanya. Plat kereta tu DH... (lupa no.nya). Papa kata, dia 'biasa' dengan kereta itu, dan jangkaannya tepat sekali ...

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui keluhan dan keresahan hambanya.

Siapa empunya kereta itu dan apa kesudahannya...ikuti perjalanan seterusnya...jumpa lagi.

Tuesday, April 26, 2011

Pesan Pada Diri ....


SAUJANA

Sepohon Kayu

1
Sepohon kayu daunnya rimbun
Lebat bunganya serta buahnya
Walaupun hidup seribu tahun
Kalau tak sembahyang apa gunanya
Walaupun hidup seribu tahun
Kalau tak sembahyang apa gunanya

Kami bekerja sehari-hari
Untuk belanja rumah sendiri
Supaya Allah menjadi sayang
Kami bekerja hatilah riang
Supaya Allah menjadi sayang
Kami bekerja hatilah riang

( ulang 1 )

Kami sembahyang fardhu sembahyang
Sunat pun ada bukan sebarang
Hidup di kubur yatim piatu
Tinggallah seorang dipukul dipalu
Hidup di kubur yatim piatu
Tinggallah seorang dipukul dipalu

( ulang 1 )

Dipukul dipalu sehari-hari
Barulah ia sedarkan diri
Hidup di dunia tiada bererti
Akhirat di sana sangatlah rugi
Hidup di dunia tiada bererti
Akhirat di sana sangatlah rugi

( ulang 1 )

Monday, April 25, 2011

Sukan dan Kenangan....






Kejohanan Balapan & Padang SMKTP kali ke-42 baru sahaja berlalu pada hari Sabtu, 23 APRIL 2011. Seperti biasa, kejohanan tersebut dilangsungkan di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Kejohanan atau acara sukan sekolah sebenarnya meninggalkan banyak kenangan kepada diri saya, mungkin juga kepada anda semua. Bagi saya, acara sukan sekolah zaman dulu-dulu lebih meriah berbanding sekarang, lebih-lebih lagi semasa di bangku sekolah rendah. Masih terbayang di mata, dulu khemah yang digunakan adalah berupa paracut, iaitu kain yang sifatnya ringan, nipis tetapi anjal. Bergerak-gerak apabila ditiup angin. Khemah paracut ni akan dipasang mengikut warna rumah sukan... biru, merah, hijau dan kuning... ahli rumah sukan akan berkumpul di dalam khemah itu. Khemah-khemah ini akan dihias mengikut kreativiti masing-masing. Khemah putih pula adalah untuk bahagian urus setia atau untuk guru-guru. Terasa kemeriahannya.

Selain khemah, yang sangat menjadi nostalgia ialah padang sekolah yang dijadikan gelanggang kejohanan sukan itu. Padang sekolah akan di kelilingi dengan tali bendera kecil berbentuk tiga segi. Pelbagai warna. Bendera tiga segi yang bersaiz kecil ini juga akan dipacakkan di atas padang .... nampak meriah sekali. Terasa suasana bersukan. Satu lagi, yang masih saya ingat semasa sekolah, acara yang ditunggu-tunggu sebelum berakhirnya acara sukan ialah berebut gula-gula yang ditabur di atas rumput. Pelbagai cara dan aksi dilakukan untuk mengumpul gula-gula yang ditabur itu. Kadang-kadang terdapat juga acara tarik tali antara guru dengan ibu bapa yang hadir sebagai penonton. (Acara tarik tali ni masih lagi ada dalam kejohanan sukan di sesetengah sekolah sekarang....)

Satu lagi kenangan yang sentiasa bermain-main dalam minda ialah bentuk hadiah yang diberi kepada setiap pemenang. Hadiah piala atau "mangkuk perak". Tersusun kemas memenuhi meja hadiah dan berkilau-kilauan apabila terkena panahan sinaran matahari. Kedua-dua belah "telinga" piala atau 'mangkuk perak' itu diikat dengan reben berwarna merah. Unik sekali. Ada piala yang kecil dan ada yang besar, mengikut kategorinya. Piala atau 'mangkuk perak' yang besar merupakan hadiah utama, biasanya untuk Piala Pusingan Johan Keseluruhan Olahragawan dan Olahragawati Terbaik. Sekali setahun 'mangkuk perak' ini akan digilap menggunakan 'brasso'. Saya pasti semua sekolah ada menyimpan piala pusingan ini. Biasanya piala-piala ini disimpan atau memenuhi Bilik @ Sudut Warisan Sekolah masing-masing. Di SMKTP juga tidak terkecuali, piala @ 'mangkuk perak' ini tersusun kemas di dalam almari bercermin di Bilik @ Galeri Sekolah.

Apa lagi ya...? Ah, memang banyaklah kenangan semasa sukan @ 'Sports Day' dulu-dulu... yang pasti kemeriahannya akan terasa beberapa minggu sebelum berlangsungnya kejohanan itu....! Ya, semuanya amat indah untuk dikenang.

Kini, sudah tidak ada khemah paracut yang pelbagai warna. Yang ada kini ialah kanopi. Itu kalau diadakan di padang sekolah masing-masing...! Kalau buat di stadium, tempat duduk sudah tersedia, jadi jangan harap untuk duduk dalam khemah, apatah lagi untuk menghiasnya! Duduk sahajalah di tempat yang telah tersedia itu.... tak ada bendera, tak ada hiasan. Yang ada hanyalah bendera rumah sukan masing-masing. Merah, biru, kuning dan hijau. Itupun satu sahaja. Saiznya agak besar, sama saiz dengan bendera Malaysia atau bendera sekolah. Dikibarkan terutamanya apabila peserta rumah masing-masing menang dalam sesuatu acara yang dipertandingkan. Semasa upacara penyampaian hadiah., nampaklah meriah sikit.

Selain itu, kini piala dalam bentuk "mangkuk perak" hanya satu, iaitu hadiah @ Piala Pusingan untuk Johan Keseluruhan...! Yang lainnya berupa pingat yang dikalungkan ke leher pemenang.... sesetengahnya diperbuat daripada plastik bersadur warna emas, perak dan gangsa mengikut kategori. Ringan dan nipis ! Kalau ada bajet lebih sikit, dapatlah tempah pingat yang lebih baik kualitinya. Walau apapun, itulah simbol kejayaan @ kemenangan dalam sesuatu acara yang dipertandingkan.

Yang penting ialah semangat kesukanan yang tinggi yang ditunjukkan oleh semua peserta setiap kali acara sukan dan permainan di pertandingkan. Nampak semua murid bersatu untuk memberi sokongan kepada pasukan masing-masing. Benarlah, sukan dapat menyatukan semua bangsa.... !

Menurut wilkipedia, sejarah sukan kemungkinannya bermula sejak kewujudan manusia sebagai tujuan bersukan dan makhluk aktif. Sukan merupakan cara berguna bagi manusia meningkatkan kelebihan mereka terhadap alam semulajadi dan persekitaran. Sejarah sukan mampu mengajar kita banyak perkara mengenai perubahan kemasyarakatan dan mengenai sifat semulajadi sukan itu sendiri.

Dalam bersukan, semangat kesukanan merupakan elemen yang amat penting. Semangat kesukanan menggambarkan aspirasi atau etos yang aktiviti sukan itu akan dinikmati semata-mata kerananya tetapi selalunya tekanan pertandingan, kejayaan individu, atau pengenalan pada teknologi akan menyebabkan perkara yang sebaliknya berlaku kepada peserta. Dengan kata lain, dalam sesuatu pertandingan, tidak dapat dielakkan kekalahan akan menyebabkan rasa kecewa dan kesedihan.

Selain itu, terdapat macam-macam nama untuk rumah sukan. Masa sekolah dulu, selain menggunakan warna, ada juga menggunakan nama-nama tokoh, misalnya semasa bersekolah di SIC dulu antara nama rumah sukan ialah IBRAHIM, BAKER, MUHYIDEEN, (satu lagi dah lupa)... semasa mengajar di SMTM, KL (1989 - 2000) dulu berdasarkan warna bunga - MAWAR (Merah), DAHLIA (kuning) ANGGERIK (Biru), dan KENANGA (hijau). Manakala semasa mengajar di SMKJ2 pula, nama rumah sukan mengikut nama pahlawan Melayu. Semasa di SMSI (2004 - 2005), saya menjadi guru rumah GLOBAL (biru).

Umumnya, orang ramai menganggap konsep SUKAN = OLAHRAGA yang biasa dikenali sebagai olahraga trek (balapan) dan padang, iaitu satu koleksi acara sukan yang melibatkan larian, balingan dan lompatan. Nama "olahraga" berasal daripada perkataan Greek "athlos", bermaksud "bertanding". Olahraga mula disertakan dalam pertandingan Olimpik pertama pada tahun 1896 dan masih diteruskan sehingga kini. Wanita hanya dibenarkan untuk menyertai acara trek dan padang pada tahun 1928.

Mulai tahun lepas, ada pekeliling meminta pihak sekolah menggantikan KEJOHANAN SUKAN @ OLAHRAGA TAHUNAN SEKOLAH kepada KEJOHANAN BALAPAN & PADANG TAHUNAN SEKOLAH. Dalam Kejohanan Balapan dan Padang SMKTP tahun ini, Rumah Biru sekali lagi muncul sebagai Johan Keseluruhan. Tahniah untuk semua guru dan ahli Rumah Biru. Semoga temasya pada tahun ini meninggalkan kesan yang istimewa di hati Tuan Pengetua, ENCIK MOY WAH GOON yang akan bersara mulai 28 April ini.

Foto : 1- 3) di Stadium Darul Makmur (2010); 4) di Kompleks Sukan Kampung Pandan, KL (1996); 5) di Stadium Bola Sepak KL, Cheras (1992)

Sunday, April 17, 2011

Nostalgia Majlis Jasamu Dikenang....





Sehari dua ini, keadaan di sekolah agak sibuk. Pertama, persiapan menjelang Kejohanan Olahraga Tahunan kali ke-42 yang akan diadakan di Stadium Makmur pada 23 APRIL 2011. Satu lagi ialah persiapan untuk majlis persaraan Tuan Pengetua SMKTP yang dijangka diadakan beberapa hari selepas itu.

Merenung waktu yang telah jauh meninggalkan kita... setiap daripada kita akan menempuh saat persaraan, sama ada bersara pilihan ataupun yang pasti bersara wajib. Tidak terkecuali dengan diri saya.

Nostalgia majlis persaraan yang berlangsung di Dewan SMKJ2 pada tahun 2003 amat indah untuk dikenang. Majlis Jasamu Dikenang sempena persaraan Pengarah JPNP ketika itu, YH. Dato' Hj. Abdul Rahim B. Hj. Mohamad diadakan dengan penuh meriah. SMKJ2 dipilih sebagai tuan rumah di peringkat Daerah Maran kerana YH. Dato' Pengarah pernah menjadi Pengetua SMKJ2 suatu ketika dahulu... untuk mengembalikan nostalgia YH. Dato' di SMKJ2....

Dengan kerjasama daripada warga SMKJ2, PPD Maran dan semua pihak yang terlibat, kami berjaya menukarkan wajah Dewan SMKJ2 menjadi seperti dewan sebuah hotel berbintang, konon! Tak kisahlah berapa bintangpun.... Persiapan bermula beberapa minggu sebelum majlis yang diadakan pada 8 Mac 2003. Kami 'mengerjakan' dewan itu seperti membuat persiapan sebuah majlis kenduri besar....

Pada hari tersebut, tetamu jemputan yang kebanyakannya terdiri daripada Pengetua / Guru Besar dari seluruh Daerah Maran, termasuk pegawai pelajaran di PPD Maran memenuhi dewan SMKJ2. Kebetulannya, di SMKJ2 ada seorang guru seni (Cikgu Nasaharuddin - kini bertugas di IAB Genting) yang mahir melukis, jadi salah satu hadiah persaraan daripada SMKJ2 ialah lukisan potret YH. Dato' Pengarah semasa zaman muda, iaitu ketika beliau menjadi Pengetua di SMKJ2. Potret tersebut disampaikan oleh Puan Hjh Maimunah Bt. Hj Taib (Pengetua SMKJ2 ketika itu).

Sepanjang tempoh saya berkhidmat sebagai pendidik, saya pernah hadir (mewakili Pengetua SMKTM) untuk Majlis Makan Malam Jasamu Dikenang bagi meraikan persaraan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Dato' Asiah Abu Samah. Majlis ini diadakan di Dewan Tuanku Canselor (DTC) Universiti Malaya pada tahun 1993. Majlis yang dikendalikan oleh J.Sham (penyanyi dan pensyarah di Maktab Perguruan Ilmu Khas) itu sungguh menghiburkan...!

Di peringkat sekolah, walaupun sudah lama menjadi pendidik, tetapi baru sekali saya berpeluang meraikan majlis persaraan Pengetua, iaitu Majlis Jasamu Dikenang untuk
Pengetua SMK Tanah Putih, Encik Chow Ah Soon yang diadakan pada September 2007. Majlis Jasamu Dikenang ini telah disempurnakan di Dewan SMKTP dan disusuli dengan Majlis Makan Malam yang diadakan di sebuah hotel milik Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah, YH. Datuk Sri Peter Cheah.

Semua rentetan peristiwa ini akan menjadi sebahagian daripada kenangan yang akan saya bawa pulang setelah kembali bertugas di negeri kelahiranku nanti.


Pada hujung April ini nanti, dua individu yang pernah menjadi pemimpin atau ketua di tempat saya bertugas akan bersara. Mereka ialah ENCIK MOY WAH GOON, pengetua SMKTP sekarang yang akan menamatkan khidmatnya sebagai penjawat awam pada 27 April 2011.

Seorang lagi ialah bekas Pengetua SMK Jengka 2, Maran - sebuah sekolah yang pernah saya 'singgah' untuk menabur bakti selama 4 tahun, iaitu PUAN HAJAH MAIMUNAH BT. HJ TAIB, Ketua Sektor Peperiksaan dan Penilaian JPNP yang akan mula bersara wajib pada 1 MEI 2011.

Yang pasti setiap daripada kita akan menempuh saat bersara. Sesungguhnya, persaraan yang sebenar di dunia yang fana ini ialah setelah kita dijemput Ilahi. Oleh itu berbuatlah kebaikan sebelum kita benar-benar 'dibersarakan'...!

Friday, April 15, 2011

Suatu ketika "PERTEMUAN" di SIC....


Tiba-tiba terkenang akan Pn. Hjh Rosni Yusof apabila 'melintasi' bait-bait puisi "PERTEMUAN" nukilan T.Alias Talib. Sajak ini terkandung dalam antologi "Di Penjuru Matamu"....

Pertemuan berlaku
di penjuru matamu
yang ungu
lalu membiru

Pertemuan berlalu
di penjuru dadaku
yang sayu
lalu terharu.

Lebih 30 tahun yang lalu, semasa zaman persekolahan, kami suka sangat tengok gaya Puan Rosni. Gaya beliau berpakaian, berjalan, kelembutannya apabila berbicara dan lagi...dan lagi...dan lagi.... Saya mengenalinya dengan agak rapat, sebelum dan selepas beliau 'berhijrah'....

Semasa di tingkatan 4, Puan Rosni mengajar kami mata pelajaran Kesusasteraan Melayu, khusus untuk bahagian sastera moden. Selain itu, Puan Rosni juga mengajarkan kami subjek Bahasa Melayu.

Waktu mula-mula kami diperkenalkan dengan sajak, Puan Rosni dengan gaya santainya (duduk di atas (?) meja dengan kakinya bersilang dan terjuntai ke bawah...) mendeklamasi sajak PERTEMUAN ini dengan penuh perasaan. Masih saya terkenang gaya Cikgu Rosni dengan cermin matanya yang besar, berambut pendek...rambut di bahagian depan menutupi keningnya.... Kami pasti tertunggu-tunggu waktu pengajarannya. Penampilannya yang menarik dan keprihatinanannya terhadap anak-anak muridnya, telah mendorong kami untuk meminati subjek yang diajar.

Begitulah juga agaknya dengan anak-anak didik kita sekarang....

Apa khabar agaknya Puan Rosni sekarang? Beliau sudah beberapa tahun bersara wajib dan sekolah terakhir tempat beliau menabur bakti ialah di SMK Zainab (2) Kota Bharu.

pertemuan kerap berlaku dan akhirnya berlalu menjadi kenangan...ah, indahnya zaman persekolahan....


Wednesday, April 13, 2011

Buat seorang sahabat....hidup tidak lepas daripada ujian..!


"Dan sesungguhnya akan kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa (pengikut) dan buha-buahan (biji-bijian). Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan 'Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nyalah kami akan kembali'. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat daripada Tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk"
(Al-Baqarah : 166 - 157)

Kita hendaklah benar-benar yakin dengan ayat-ayat di atas.


Sesungguhnya, hidup ini penuh dengan
ujian. Baik ujian dalam bentuk kesenangan, mahupun kesusahan; suka mahupun duka; kenikmatan mahupun sebaliknya. Persoalannya, bukanlah pada ujian itu, bukan juga pada sesuatu yang kita anggap masalah itu atau persoalannya bukanlah pada apa-apa yang menimpa kita. Tetapi, persoalannya adalah bagaimana kita menghadapi ujian itu, memandangnya, memaknainya dan menyingkapinya...!
Tiada ubat yang lebih mujarab ketika menghadapi ujian selain daripada sabar dan tidak jemu berikhtiar.
Tidak perlu mencaci keadaan, atau menyesali diri secara berlebihan, atau stres atau menyumpahi keadaan. Lari daripada ujian, atau berusaha mencaci keadaan, tidak menerima kenyataan bukanlah penyelesaian, tetapi hanya akan menambah masalah baru. Kembalikanlah semua yang telah terjadi kepada Allah. Sikap yang terbaik adalah mengambil hikmahnya, pelajaran yang berharga bagi menghadapi hari esok yang mungkin masih panjang. Lalu, lanjutkan dengan ikhtiar, mengusahakan yang lebih baik ke hadapan.

"Kadang-kadang Allah sembunyikan matahari dan berikan kita petir dan kilat. Kita tercari-cari di manakah matahari. Rupa-rupanya Allah hadiahkan kita pelangi yang indah..."

Tiada hidup tanpa ujian Allah. Dalam konteks agama, ujian itu adalah sunnatullah. Dengan ujian, akan diketahui tahap keimanan seseorang. Bagaimana kita menghadapi ujian itu. Itulah yang akan menentukan nilai kita di hadapan Allah (bukannya nilai kita di hadapan manusia...!).

Akhirnya, alangkah lebih baik jika kita mendekatkan diri kepada Allah dengan meningkatkan kekhusyukan solat kita, doa kita, muhasabah kita dan renungan kita. Mintalah ampun kepada Allah. Mintalah petunjuk kepada Allah. Minta dengan ikhlas, bersungguh-sungguh dan penuh yakin, tanpa ada rasa ragu. Pasti DIA akan memberi petunjuk kepada kita.

Allah juga tidak mahu umat-Nya menganiaya antara sesama umat Islam. Mohonlah ampun kepada Allah. Allah Maha Besar dan Maha Berkuasa.


pesan pada diri....



Thursday, April 7, 2011

Perjalanan Hidup....

Duri ranjau, batu-batuan, terpaan angin dan hujan, terik mentari dan dinginnya udara malam adalah perkara lumrah yang dihadapi oleh para penempuh perjalanan. Hanya dengan pertolongan Allah s.w.t, kemudian tekad yang waja dalam hati, maka si musafir tetap melangkah meneruskan perjalanan menuju suatu destinasi ….

Sesungguhnya hidup di dunia ini merupakan perjalanan yang dilalui oleh bergenerasi manusia dengan beragam keyakinan dan pola fikir yang berbeza. Masing-masing memiliki cara pandang tersendiri untuk ‘melayari’ dunia yang fana ini. Sebagai manusia, Allah menguji kita dengan pelbagai macam bentuk dugaan dalam beragam tingkat kehidupan dan strata sosial. Si kaya diuji dengan hartanya, sedangkan si miskin diuji dengan kepapaan dirinya.

Namun begitu, kita sentiasa diberi kesempatan oleh Allah s.w.t. untuk menuai pahala, dengan rasa syukur dan sabar kepada Pencipta Yang Esa.


Wednesday, April 6, 2011

Doa buat sahabat...


Seperti biasa, seawal 6.40 pagi kami sudah berada di Bilik Guru. Keheningan pagi hari Selasa lepas, saya dikejutkan dengan berita tentang seorang sahabat yang juga rakan sekerja yang sedang dirawat di HUSM, Kubang Kerian KB. Terkedu dan terkejut. Sesungguhnya setiap daripada kita tidak terlepas daripada ujian hidup.

Doa daripada kami semua agar Dillah dan seluruh ahli keluarga diberi kekuatan dan kesabaran untuk berdepan dengan ujian getir ini. Semoga Allah s.w.t meringankan beban kesakitan yang ditanggung. DIA-lah yang Maha mengetahui apa-apa yang terbaik untuk umatnya.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul...!

foto : Dillah setahun yang lalu semasa Mesyuarat Panitia Matemasik - April 2010