Pada 22 JUN dua dekad setengah yang lalu, pada usiaku hampir mencecah 24 tahun, aku mula bergelar 'Mak' dengan hadirnya Abe dalam hidup kami, yang kami namakan MOHD FARIS B. NAIN
Kami sangat bersyukur kerana dalam usia yang masih muda, kami sudah bergelar "Mak" dan "Ayah". Kehadiran Abe juga telah menceriakan lagi keluarga Papa dan Mama yang selama ini dikelilingi oleh 8 orang cahayamata yang kesemuanya puteri. Abe merupakan cucu pertama Tok Pa dan Tok Ma. Hadir seorang lagi putera dalam keluarga besar Papa, selain menantu pertamanya..., suamiku!
Abe hadir pada musim masyarakat dunia 'demam' bola sepak Piala Dunia. Kebetulan pada waktu itu, di Mexico berlangsung perlawanan Bola Sepak Piala Dunia kali ke-13 yang bermula dari 31 Mei hingga 29 Jun 1986. Aku masih ingat lagi, Abe selamat dilahirkan di rumah Mama tepat pukul 10.30 malam, beberapa jam sebelum perlawanan peringkat separuh akhir Piala Dunia 1986.
Ini bermakna, suamiku yang baru beberapa jam bergelar "Ayah" tidak lagi diselubungi resah gelisah menunggu 'orang baru'; dapat duduk dengan selesa, di depan kaca televisyen untuk menonton perlawanan separuh akhir antara Jerman dengan Perancis yang diadakan pada pukul 2.30 pagi (waktu Malaysia). Piala Dunia 1986 dimenangi oleh Argentina yang telah mengalahkan Jerman 3-2, dan Diego Maradona dinobatkan sebagai pemain terbaik pada musim itu.
Untuk Abe,
Mak dan Ayah sentiasa mendoakan agar Abe terus tabah dan kuat menghadapi cabaran hidup. Perjalanan masih jauh dan panjang. Setiap yang Abe lalui merupakan ujian daripada Yang Maha Esa. Kita perlu redha dan bersyukur kerana masih diberi peluang untuk meneruskan kehidupan ini.
Abe, SELAMAT HARI JADI YANG KE-25, Semoga Abe akan terus diberkati Ilahi. Jangan lupa berdoa kepada-NYA, selalu ingat Allah s.w.t dalam apa-apa jua keadaan, susah atau senang.... Tingkatkan usaha untuk menggapai cita-cita demi masa depan...
No comments:
Post a Comment