CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, October 23, 2009

Rambai Oh Rambai !

Pokok Rambai Hutan tumbuh sehingga 20 meter (65 kaki) tingginya, dengan batang pokok yang mempunyai akar banir. Ciri-ciri fizikalnya yang lain adalah seperti berikut:

• Daun: Berbentuk bujur, dan berlingkar-lingkar pada sekeliling dahan. Permukaan bawahnya lembut dan licin bak baldu.
• Bunga: Bunga jantan dan bunga betina tumbuh berasingan pada pokok yang berlainan.
• Buah: Berbentuk bulat, dan berwarna perang. Buah ini membelah untuk membebaskan biji-biji yang berwarna jingga.

Buah rambai atau buoh ramboi atau Baccaurea motleyana bahasa latin-nya, buah-buah yang berbentuk bulat warna hijau sampai kekuning-kuningan bergelayutan pada tangkai yang panjang, kelihatan seperti langsat yang keluarga duku tapi sama sekali tidak ada hubungan "kerabat", buah terasa manis-asem jika sudah tua atau masak.

Pokok Rambai Hutan ialah satu spesies tumbuhan dalam famili Euphorbiaceae yang berasal dari Asia Tropika, dan Australia. Nama botaninya Baccaurea kunstieri.

Lihat pokok rambai @ Salor ....

Tuesday, October 20, 2009

Tukar papan lantai


Sempena cuti Deepavali lepas aku dan hubby ambil kesempatan balik ke kampung. Emi & Abe tidak ikut sekali. Emi akan menduduki Peperiksaan Akhir Blok 5 pada 19 & 20 Okt. Abe ada perancangan lain - ke KL untuk memeriahkan memeriahkan 'Rumah Terbuka' Cik Nornya di Tmn Bukit Serdang.


Khamis - Kami bertolak selepas berbuka puasa bersama Abe & Emi. Pukul 9 malam barulah kami mula bergerak dari Kuantan dan tiba di rumah Mek Kg Batang Merbau , TM lebih kurang pukul 1.30 pagi.

Hubby telah berjanji, jika ada cuti beberapa hari dia akan tolong Mama tukarkan papan lantai yang telah usang di rumah Mama.

Sabtu, kami bercadang untuk tukar papan usang di rumah Mama dengan papan yg baru. Pagi-pagi lagi kami periksa papan-papan yang patut diganti. Kami ke kedai kayu di Salor dkt lebuhraya yang baru, beli sekali dengan bahan untuk dirikan stor di tanah tapak rumahku di Kg. Parit Cina, Salor. Kami pergi ke kedai itu bersama Papa dan .... barulah dapat harga 'baik'. Sebelum balik ke rumah, kami bawa Papa makan tengah hari di Restoran Hover di KB. (Restoran favourite Papa).

Balik ke rumah, selepas solat Zohor, Papa & hubby terus 'mengerjakan' papan itu... dan selesai sebelum asar.... kini, tak ada lagi papan yang 'berenyut-renyut' apabila dipijak...!

Ada satu tempat lagi ... tunggu masa yang sesuai untuk dikerjakan !

Kami akan sedaya upaya menggembirakan hati Papa & Mama....

Saturday, October 10, 2009

Syawal @ Kuala 3




Aidilfitri yang lepas, kami sekeluarga pergi berhari raya di Kg Kuala Tiga, sebuah kampung dalam mukim Gual Ipoh, Tanah Merah Kelantan. Mek Kiah juga ikut kami ke sama bersama-sama 2 orang anak buah, Ema & Nadhirah.

Pertama kali aku ke Kg Kuala Tiga ialah pada tahun 1987. Tujuannya adalah untuk mengambil pengasuh anakku SITI FATIMAH BT. MOHD AMIN. Lebih 20 tahun yang lalu, jalan untuk masuk ke Kuala 3 masih belum bertar... tanah merah. Kalau hujan atau pada musim tengkujuh, keadaan menjadi lebih sukar... Beberapa tahun selepas itu, barulah jalan ditar.

Semasa Kak Mah mula tinggal bersamaku, usianya masih belasan tahun. Setelah lebih kurang 6 tahun tinggal bersama kami, Kak Mah minta berhenti untuk mencari kehidupan baru. Dia kemudiannya bekerja di JB dan bertemu jodoh di sana. Sekarang Kak Mah tinggal bersama suami dan 4 orang cahaya mata di JB. Aidilfitri yang lalu Kak Mah tak balik beraya di kampung. Dia baru balik pada bulan Julai lepas ketika musim buah sedang menjadi.

Aku bawa ketiga-tiga anakku (Abe, Emi & Adik CT) ke sana untuk mengembalikan kenangan mereka semasa kecil... yang lebih penting lagi agar mereka mengenang jasa keluarga Kak Mah yang mengizinkan Kak Mah menjadi pengasuh mereka suatu waktu dahulu...!

Foto : 1 & 2) - kenangan bersama keluarga K.Mah pd Syawal 1430, 3) - KMah bersama Adik CT & Emi.

Wednesday, October 7, 2009

Kini PMR, dulu SRP @ LCE


Peperiksaan PMR bermula hari ini. Seorang ahli keluarga terdekat menduduki PMR tahun ni. Semoga anak buahku itu akan mendapat kejayaan yg cemerlang....

Sebagai seorang pendidik, aku juga berharap agar anak didikku berjaya dengan cemerlang. Justify FullPelbagai usaha telah dilakukan untuk membantu mereka menguasai mata pelajaran yang diambil.

Teringat semasa aku menduduki peperiksaan L.C.E pada tahun 1977. Rasanya waktu itu, tak ada program khas untuk kami di Form 3. Belajar seperti biasa aje... kalau adapun kelas tambahan pada cuti sekolah. Kadang-kadang mahasiswa daripada universiti tempatan (masa tu UM, UKM & USM) yang sedang bercuti membantu kami anak-anak kampung ni... itupun dalam tempoh yang singkat sahaja. Selebihnya usaha sendiri. Tak ada program potensi cemerlang ke HALUS ke Gemilang ke....dan entah apa lagi jenama program sekarang....

Kalau diikutkan, pada masa tu lagilah besar kesannya sekiranya seseorang calon gagal dalam beberapa mata pelajaran tertentu. Untuk calon LCE misalnya, mereka perlu lulus subjek Mathematics, English & BM barulah dikira lulus dan akan dapat meneruskan pelajaran ke Tingkatan 4. Masa tu, keputusan peperiksaan dalam bentuk agrigat, dikira daripada 6 mata pelajaran terbaik. Keputusan yang paling baik ialah pangkat A dengan 6 agrigat. Kini, semua calon nak kumpulkan seberapa banyak 'A'. Maksimum 8A....!

Dulu, ada juga beberapa orang kawan yang terpaksa mengulang F3 kerana gagal Maths/ English. Mereka terpaksa belajar dalam aliran Melayu kerana selepas 1977 dah tak ada lagi LCE, semuanya SRP.

Satu perkara yang nyata berbeza berbanding hari ini ialah tidak ada 'anasir luar' yang boleh membuatkan kami lalai pada masa itu. Kalau ada majalah hiburan pun hanyalah URTV dan Varia Pop ! TV pun hanya ada siaran RTM aje, ... minda tak tercemar. Pegangan nilai masih kukuh.

Tidak kira bila, apa dan bagaimana bentuk penilaian itu dijalankan, semuanya mahu berjaya dengan cemerlang. Anak-anak 'dikerah' untuk belajar siang dan malam (tuition memanjang), sehingga tidak ada masa senggang untuk diri sendiri, kononnya dengan cara ini kejayaan akan pasti menjadi realiti. Ada kalangan anak didikku yang mengadu serta mengeluh 'kepenatan' ....

Ibu bapa amat berbangga sekiranya anak mereka berada dalam senarai murid yang mendapat keputusan terbaik dalam peperiksaan awam sama ada di peringkat sekolah, mahupun di peringkat negeri, apatah lagi di peringkat kebangsaan.

Tapi kita jangan lupa, kadang-kadang dek terlalu mengejar kecemerlangan akademik @ kejayaan yang tercatat di atas kertas.... sehingga kita menjadi alpa dan terlepas pandang aspek nilai dalam diri anak-anak kita.... Jika ini berlaku, bermakna matlamat untuk melahirkan modal insan yang holistik @ seimbang dari segi JERI akan tersasar.... fikir-fikirkanlah...!