Thursday, February 19, 2009

perjalanan jauh


Assalamualaikum semua,

Berjumpa lagi.
Hari ni kerja-kerja memeriksa kertas ujian 1/2009 telah siap disempurnakan. Lega rasanya. Sambil-sambil tu, bolehlah search bahan untuk student berkait dengan Kerja Kursus mereka nanti.

Tadi, hubby pergi buat pasport untuk Emi. Kebetulan Emi masih cuti sekarang. Bolehlah curi masanya seketika walaupun sebenarnya dia agak sibuk dengan 'group discussion' bagi persediaan peperiksaan akhir Y2 Mei nanti. Untuk Adik, perlu cari masa yang sesuai ke Pej. Imigresen. Abe, confirm dia tak cuti awal Jun ini. Insyaallah, bila ada kelapangan, dia akan ke sana juga nanti. Semua ini adalah ketentuan daripada-Nya.

Saya amat bersyukur kerana hasrat yang tertangguh sejak beberapa tahun kebelakangan ini, akhirnya akan menjadi kenyataan. Hubby nampaknya sudah menunjukkan kesungguhan untuk merealisasikan impian saya itu. Semoga Allah s.w.t menerima kami sekeluarga sebagai tetamu-Nya di Tanah Haram. Itulah sahaja tanda syukur kami atas segala nikmat yang telah dilimpahkan oleh-Nya kepada kami selama ini. Allhamdulillah.

Foto : Abe, Emi & Adik (bersama Epi, Tihah & Pikah)- pakai baju yang Mek beli di Mekah - 1992

Friday, February 13, 2009

biji saga & pokok sena



Lama tak tengok bunga sena dan buah saga.

Tadi masa bertugas di Check Point 13 untuk Acara Larian Desa, kami berteduh di bawah sebatang pokok saga. Buah saga yang berwarna merah bertaburan di atas jalan berdekatan. Dulu-dulu, dekat madrasah tempat kami mengaji Quran ada pokok saga. Balik ngaji Quran kami selalu mengutip biji saga ni. Biji saga kecil (bulat?) keras, berwarna merah. Tak ingat pula lepas tu kami buat apa dengan biji saga ni.

Di seberang jalan (berdekatan Pejabat MPK tempat check point)ada pokok sena yang sedang berbunga berwarna kuning. Pokok sena ialah nama Melayu bagi Angsana (nama saintifiknya : Androcarpus Indicus). Pada suatu ketika dahulu, pokok sena biasa didapati di sepanjang sungai (sungai berfungsi sebagai jalan perhubungan tradisional) sebelum jalan raya diperkenalkan. Kini, ia banyak ditanam di sepanjang jalan raya dan juga kawasan pejabat sebagai pokok teduhan.

Dulu, di tepi jalan raya depan rumah nenek, ada dua batang pokok sena yang besar. Di tengah-tengah antara pokok sena itu terdapat sebuah gertak (titi) merentangi parit kecil bagi menghubungkan jalan raya untuk masuk ke kawasan rumah. (Lihat foto yang diambil pada tahun 1964 - bersama Papa - bersandar di pokok sena, Mama dan adik - Noni yang masih kecil di atas riba Mama).

Kalau musim pokok sena berbunga, bertaburan bunga sena di halaman rumah. Macam permaidani berwarna kuning. Baunya agak harum. Semasa saya darjah dua (1970) saya masih ingat lagi, di bawah pokok sena depan rumah Mama inilah Tok Che' (ayah kepada atuk sebelah Mama) buat bekas untuk isi padi (yang diletakkan dalam baluh / rumah kecil untuk simpan padi) daripada kepingan buluh yang diraut licin. Saya tidak ingat bila pokok sena itu ditebang, tapi rasanya dalam pertengahan tahun 1970-an. Selain itu, pokok sena juga menjadi tanda pengenalan kepada mereka yang pertama kali berkunjung ke rumah kami.

Daripada cerita Moyang /We Tok Mek (emak kepada atuk sebelah Mama - lihat foto, gambar We Tok Mek, 1981), pada zaman dahulu, di belakang rumah We Tok Mek ada sebuah wakaf berdekatan sebatang pokok sena. Pada masa itu jalan raya belum lagi dibina (jalan yang ada dipanggil denai - mungkin sebelum Zaman Jepun). Menurut We Tok Mek, Wakaf itu menjadi tempat persinggahan untuk pejalan kaki atau pengguna kereta lembu (terdiri daripada pengguna biasa, pengembara atau peniaga) sebelum mereka sampai di Sungai Kelantan (lebih kurang 1km dari wakaf itu)untuk ke seberang - Kg Kutan.

Daripada wakaf di bawah pokok sena inilah dulu kampung saya dikenali sebagai Kg Wakaf Sena, Kota - (nama yg biasa digunakan oleh orang-orang lama di kg ni). (Selain itu, kampung ini juga pernah dikenali sebagai Kampung Wakaf Zin. Nak kena selidik macam mana dapat nama itu...) Kini, tempat saya dilahirkan ini dikenali sebagai KAMPUNG KOTA.

Jumpa lagi...

Waspada


Assalamualaikum semua,

Hari ini di sekolah ada Acara Larian Desa 2009. Saya harap Rumah Merah akan menjadi Johan pada tahun ini, atau sekurang-kurangnya mengekalkan tempat Naib Johan sebagaimana tahun 2008. Saya ke sekolah seperti biasa. Sebelum pukul 6.50 saya sudah berada di Bilik Guru. Dalam pukul 7.00 saya diberitahu ada seorang sahabat (WZ)kehilangan wang RM3000.00 semalam dalam bilik guru. Terkejut dan tidak terduga perkara itu akan berlaku....

[Menurut WZ, dalam pukul 12 lebih duit tu masih ada dalam begnya. WZ hanya sedar duit itu tidak ada dalam begnya pada pukul 2.00 ptg selepas balik dari sekolah dan singgah di stesen minyak. ZW dapati beg duitnya telah 'kempis'. (Duitnya itu diikat dengan getah dan dimasukkan ke dalam purse)].

Dalam pukul 7.30 pagi tadi, kami diberi 'taklimat' oleh Pengetua Mr. Moy. Dipendek kan cerita, beliau meminta sesiapa yang 'terambil' duit WZ itu supaya pulangkan semula sebelum pukul 9.00 pagi. Jika tidak laporan polis akan dibuat. Mr. Moy mengingatkan lagi, jika didapati bersalah, individu berkenaan akan kehilangan pekerjaan dan semua kemudahan sebagai penjawat awam secara automatik akan gugur disebabkan RM3000.

Saya difahamkan, WZ telah bermunajat pada malam tadi dan bertawakal kepada-Nya. WZ kata, ini satu ujian kepadanya. Jika sudah ditentukan itu bukan rezekinnya, dia reda. Dia berharap individu berkenaan akan insaf.

Selepas itu, semua guru beredar dari bilik guru untuk mengambil kedatangan murid di dewan, seterusnya ke tempat tugasan masing-masing. Saya ditugaskan di Check Point 13 - depan pejabat MPK bersama-sama 3 orang guru lagi. Larian berakhir pada pukul 9.30 pagi.

Sementara menunggu majlis penyampaian hadiah dilangsungkan, kami semua berehat di bilik guru. Lebih kurang pukul 10.30 saya dimaklumkan bahawa duit yang hilang telah djumpai di sebalik buku (di atas rak ) di meja WZ. Kemungkinan, semasa semua guru beredar dari bilik guru, 'individu berkenaan' telah memulangkan duit itu kepada tuannya. Syukur alhamdullilah. Semua ini atas pertolongan Allah s.w.t. Ini menunjukkan kebesaran Allah s.w.t, jika kita jujur, tidak lalai daripada mengingati-Nya, dan sentiasa berdoa memohon pertolongan daripada-Nya, pasti Allah s.w.t akan sentiasa bersama kita. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, Maha Penyayang, Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa atas apa yang berlaku.

Dalam konteks ini, kami tidak mengetahui siapa yang sebenarnya 'terambil' duit itu. Yang pasti tentulah dalam kalangan rakan sekerja di bilik guru (yang mungkin tahu WZ membawa duit sebanyak itu pada pagi semalam).

Pengajaran : Kita tidak boleh meletakkan 100% kepercayaan kepada semua orang, termasuk rakan sekerja yang sama-sama bergelak ketawa dan sentiasa berkongsi cerita dengan kita. Kita tidak tahu tahap kejujuran mereka. Oleh itu kita perlulah sentiasa berwaspada.

Keputusan Acara Larian Desa : Johan - Rumah Biru, N.Johan - Merah, Ketiga - Kuning, Keempat - Hijau.

Foto - Guru Rumah Merah semasa jamuan meraikan kejayaan menjadi JOHAN keseluruhan Olahraga SMKTP 2008

Jumpa lagi.

Tuesday, February 10, 2009

susah senang bersama



Assalamualaikum w.b.t,


Semua kita bermula dari keluarga. Walaupun kawan-kawan mengisi lebih banyak waktu dalam hidup kita, usahlah lupa, pada saat kita susah, pada saat kita sakit, hanya keluarga yang tidak jemu-jemu berada dalam hidup kita...


Hargailah, sayangilah, gembirakanlah, luangkanlah waktu bersama 'keluarga' kita kerana dari merekalah kita bermula...


Di pusara pada pagi raya, hanya keluarga yang sanggup berkunjung di 'rumah terakhir' kita. Tidak pernah saya lihat seorang kawan walau sebaik mana pun dia, berada di pusara pada hari raya - kerana kawan kita itu pun akan pulang bersama keluarga mereka.


Doa keluarga kita tidak akan putus, sebagaimana putusnya hubungan kita dengan kawan apabila kita sudah tiada...


Mama selalu berpesan, walau seburuk atau sejahat mana pun ahli keluarga kita, dia tetap keluarga kita...


NOSTALGIA GETAH.....

....DAN LELUHURKU.....

Tadi sambil mencari maklumat berkait dengan pisau toreh getah untuk melengkapkan Galeri Sekolah, teringat saya kepada Mok Lijah (nenek sebelah Mama) yang pernah menoreh getah (sebagai sumber pendapatan sambilan selain bertani). Saya juga sentiasa teringat kenangan bersama Che Daud (atuk sebelah Papa) yang pernah memiliki dan mengusahakan beberapa ekar ladang getah). Kenangan ini akan saya kongsi dengan 5 orang adik, anak-anak saya, serta anak-anak buah yang tidak berpeluang melalui pengalaman 'indah' ini.
susu getah mengalir masuk ke dalam mangkuk porcelin khas....

Nenek menoreh getah hanya pada luar musim menanam/ menuai padi. Getah yang ditoreh tidaklah banyak. Ada beberapa batang pokok berdekatan dengan rumah dan selebihnya di dusun/ kebun nenek berhampiran dengan tebing sungai. Nenek akan keluar awal-awal pagi lagi untuk menoreh, kerana susu getah lebih mudah mengalir pada waktu pagi. 

Pisau khas digunakan untuk menoreh lapisan kulit kayu getah. Ini dilakukan dengan teliti sekali supaya tidak merosakkan batang pokok getah. Torehan ini menembusi sel-sel pokok dan lateks akan mengalir dengan perlahan ke dalam mangkuk yang disediakan di bahagian bawah batang pokok. Lateks ini pekat dan putih. Ia kelihatan seperti susu. Lateks akan berhenti mengalir dalam masa 2 atau 3 jam. 

Nenek akan pergi semula dari pokok ke pokok untuk menuang lateks dari mangkuk ke dalam baldi besar. Setelah dibawa pulang ke rumah, susu getah ini akan ditapis dan dimasukkan ke dalam takung (dibuat daripada tin minyak tanah dibelah menjadi dua untuk dibekukan dengan campuran asid formik (cuka getah).  Saya, Kak Ros dan Noni akan mengelilingi tempat nenek membekukan getah ini. Setelah selesai, nenek akan membersihkan diri untuk solat Zohor , makan tengah hari dan berehat sekejab.  

Hari ini, saya dapati penoreh getah tidak lagi 'mengutip' susu getah dan dibekukan menjadikan kepingan getah, sebaliknya, susu getah dibiarkan beku dalam mangkuk dan dijadikan getah sekerap. Dari segi kualiti / harga, getah keping lebih bermutu dan mahal harganya... Tidak pasti mengapa penoreh getah hari ini memilih untuk menjadikan getah skrap!

mesin getah licin

Apabila susu getah telah menjadi beku, kami bertiga akan ikut nenek ke bangsal mesin getah. Pada masa itu tidak ramai penduduk di kg saya yang mempunyai mesin getah. Nenek guna mesin getah di rumah Tok Nik Weil (Tok Guru Ngaji Quran kami) yang letaknya lebih 1 km daripada rumah kami. 

Kami berjalan kaki beramai-ramai ke sana ikut jalan kampung. Nenek akan menjunjung 2 buah takung yang berisi getah yang telah beku. Sampai di bangsal mesin getah, nenek akan menuangkan isi takung itu ke atas simen. Kami bertiga pun akan memijak-mijak getah itu/ atau kadang-kadang ditekan-tekan saja dengan tangan agar menjadi agak nipis atau leper sebelum dimesin. 

 Ada mesin getah licin dan ada mesin getah bunga. Kami berebut-rebut untuk menggunakan mesin getah licin kerana kerja menggelek masih ringan. Proses menggelek ini diulang beberapa kali sehingga menjadi kepingan getah yang nipis. Pusingan/ gelekan yang akhir, menggunakan mesin getah bunga, agak berat, nenek lah yang menyempurnakannya. Kini, semua itu hanya tinggal kenangan - Nenek Lijah sudah lama kembali ke rahmatullah. Kadang-kadang Nenek muncul dalam mimpi...

mesin getah 'bunga'....

Kenangan semasa cuti pada hujung tahun 1981 di ladang getah atuk sebelah Papa - Che Daud di Estet Kuala Pertam, Keroh (dalam daerah Kuala Krai) bersama Noni juga tidak dapat dilupakan. (K.Ros tidak menyertai kami kerana dia memang jenis 'perumahan' sikit...) 
 
ketika di ladang getah Che Daud suatu ketika dahulu....

 Kami ke sana bersama Che Daud dan Nek Bidah serta 3 orang sepupu. Ini merupakan kali kedua dan terakhir saya dan adik ke sana. Selepas melanjutkan pengajian di UM pada tahun 1982, saya tidak berkesempatan lagi ke sana kerana selepas itu Che Daud kembali ke rahmatullah (1983). Beberapa tahun kemudian, ladang tersebut dijual kerana tidak ada orang yang mampu menguruskannya. (Papa hanya 2 beradik dan pada masa itu masih bekerja di Kota Bharu).

Buat adik-adik : Melisa, Anggerek, Nadia, Idayu; Anak-anak : Abe, Emi, Adik; Anak-anak buah : Along Aina, Along Natasha, Fifi, Najwa, dan Eka - inilah secebis kenangan buat mengisi ruang sepanjang jalan pulang.... Kalian pasti tidak berpeluang melaluinya ...

Sunday, February 8, 2009

Daftar Haji


Assalamualaikum,

Pagi tadi saya dan hubby ke Kemaman berurusan dengan pihak Tabung Haji. Alhamdulillah, akhirnya setelah agak lama tertangguh, hari ini dengan izin Allah kami telah berjaya mendaftarkan diri untuk menunaikan ibadah haji di Tanah Suci Mekah.

Dari Kuantan tidaklah jauh sangat, sambil singgah breakfast di Cherating. Sengaja kami berurusan di Kemaman kerana Ahad merupakan hari bekerja di sana, dan hari cuti umum di Pahang.

Walaupun tarikh yang dicadangkan masih jauh, tetapi kami akan terus berdoa dan berusaha agar kami dijemput oleh Allah s.w.t sebagai tetamunya lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan. Lambaian Kaabah bermain-main di mata. Insyaalah, jika tiada apa-apa aral, bulan Jun nanti kami sekeluarga akan ke sana mengerjakan umrah. Mudah-mudahan Allah s.w.t memakbulkan doa kami.

Gambar atas : Mama & Group semasa mengerjakan Umrah April tahun lepas.

Saturday, February 7, 2009

Mula bersekolah

SRJK (Ingg) Kota menggamit memori. (Kini dikenali sebagai SK Seri Kota).

Tahun 1969, merupakan tahun keramat kepada saya kerana pada tahun itu saya mula menjejakkan kaki ke sekolah. Pada masa itu, sek ini terdiri daripada 2 blok bangunan satu tingkat. Setiap darjah mengandungi 3 kelas (Blue, Red & Green). Ada 2 sesi persekolahan. Sekolah ini berkongsi padang dan kantin dengan SK Kota. Jarak rumah ke sekolah lebih kurang 2 km. Saya ke sekolah menaiki teksi (beca roda tiga) Pok Mat dengan sewa bulanan (kalau tak silap) sebanyak RM3.00.

Hari pertama ke sekolah, Papa yang hantar. Pagi-pagi lagi Mama sudah menyiapkan sarapan dan rambut saya yang panjang diikat (ekor kuda) dan diletakkan bulu ayam merah sebagai hiasan. Dengan pinafore biru, kasut kanvas putih Badminton Master dan beg sekolah (bentuk kotak - berkunci - berwarna coklat), saya melangkah dengan penuh yakin ke sekolah.

Kini setelah 40 tahun berlalu, memori indah itu terus terpahat dalam ingatan - langkah pertama menuju kejayaan ...

bersambung ....

emi & samir

samir


Another thing that probably will remember is the samir.
This was a shield against rain, made probably from upeh or kajang. If you stood it up, it'd probably reach your ankles, and it was slightly curved, with a grip bar on top. When it rained, you held itu over your back, your head probably held between the shield and the bar, which was held under your chin. And you held it there with your hands.

Above : Emi, Along Aina and their aunt (my sis) with samir
- at Tok Nik's house, Bukit Panau, Tanah Merah - 1994.

pagi yang santai


Pagi-pagi lagi hubby keluar beli roti canai dan sedikit bahan untuk masak tengah hari nanti. Bila tinggal berdua ni, malas rasa nak memasak, tp hari ni teringin nak makan nasi dengan ikan kembung rebus goreng dan sayur air petola - simple. Disebabkan sejak malam tadi 'server out', sementara nak tunggu lunch tak ada benda nak buat, lepas breakfast hubby ajak pergi ke East Coast Mall. Berdua. Jalan-jalan sambil beli apa yang patut.

Balik hampir 12.30 th, terus tanak nasi, goreng ikan yang telah direbus asam pagi tadi, masak sayur air petola, + serunding daging yang dibeli semasa balik KB baru-baru ni. Tepat 1.15 kami makan berdua dengan penuh selera.

Fahmi tak balik, sibuk sebab Isnin nanti dia akan menghadapi peperiksaan akhir Blok 3, 2nd Yr. Malam tadi dia kata ada solat hajat di UIAM. Adik pun sibuk sejak terlibat dng MPP. Banyak perkara yang perlu disiapkan. Katanya minggu depan akan ke Kampus Induk di Shah Alam kerana ada course di INTEKMA. Abe, hari ini hari terakhir minggu suai kenal di PUSRAWI. Harap dia enjoy dan cepat dapat menyesuaikan diri di sana.

Kerek telaga

In the telaga we have the kerek, the concrete forms form the walls of the well, stacked perpendicularly from the bottom of the pit to above ground, safely to the height of the waist levels of adults. Then, once in a while, if after several karal (Kamus Dewan : mengaral = menarik) of water with the timba; and if the water is found murky, we would then get somebody to ranya (Kamus Dewan : mencuci [membersihkan] telaga dll dengan membuang lumpur).

In Kg Kota, the kerek were made by man named Tok Ngulu Daud (I think), and for some aesthetic reason, kerek makers always left them rolling by the roadside.

Friday, February 6, 2009

Kita Pasti Pulang ...


Setiap orang akan melalui perjalanan yang panjang. Bermula dan berakhir - pulang ke tempat asal. Sepanjang perjalanan pasti kita akan bertemu dengan 1001 cabaran. Ia memberi pengalaman dan menjadi kenangan sepanjang hayat. Semuanya kita kendong walau dalam susah atau senang. Kita pasti pulang. Sepanjang jalan pulang, bawalah bekalan secukupnya, demi kesejahteraan yang abadi....

Foto : Gambar kulit 'Travelog Dakwah Meniti Hari Esok" (Prof. Muhd Kamil Ibrahim)