CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, March 30, 2011

Buku yang baru selesai dibaca....



Ini ialah buku yang baru sahaja selesai dibaca. Mengambil masa yang agak lama juga untuk menyelesaikannya, walaupun buku ini hanya mengandungi 366 halaman. Baca sikit-sikit sebelum mata terlelap.

"Hari-hari Dalam Hidupku", merupakan kisah benar pengarang, yang merupakan seorang aktivis Islam yang diseksa di Penjara Tentera Mesir. Buku ini diterjemahkan oleh Hj Tahir Daeng Mengati dan Mohd Yamin As-Surur.

Buku terbitan Pustaka Salam Sdn. Bhd. ini mengisahkan perjuangan penulis sendiri yang sanggup berkorban apa sahaja demi mempertahankan kebenaran yang beliau yakini. Beliau ialah ketua Jamaa'ah Muslimat yang menjadi sayap kepada Ikhwan Muslimin di Mesir.

Pada era pemerintahan Presiden Jamal Abdul Nasser, puluhan ribu, malah ratusan ribu anggota Ikhwan Muslimin dipenjara dan diseksa. Zainab al-Ghazali dengan sepenuh kemampuan yang dimilikinya berusaha sedaya upaya meringankan bebanan keluarga mereka dipenjarakan. Segala bantuan kebendaan dan rohani dihulurkan.

Rancangan untuk membunuhnya telah dilakukan. Akhirnya, beliau ditangkap dan dipenjarakan pada 20 Ogos 1965.... dan bermulalah siri penyeksaan ke atasnya. Walau bagaimanapun, Allah s.w.t telah menyelamatkan beliau. Ketika menghadapi saat-saat penyeksaan di dalam penjara, Presiden Jamal Abdul Nasser telah mengarahkan agar beliau diseksa dengan penyeksaan yang berat.

"Atas perintah Jamal Abdul Nasser, Presiden Republik Mesir, Zainab al-Ghazali al-Jubaili mestilah diseksa seperti seksaan ke atas seorang lelaki..."
Beliau dipukul dengan tongkat, cemeti, digantung kaki ke atas, dikurung dengan anjing-anjing yang ganas, direndam seharian dalam penjara air, dipenjara dengan tikus dan pelbagai seksaan yang berlaku ke atas dirinya. Namun begitu, beliau tabah menghadapinya dengan penuh yakin akan janji Allah :
"Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung..."
Akhirnya beliau keluar dari penjara al-Qanatir tepat pukul 3.00 pagi, 10 Ogos 1971. Semangat serta keyakinan kepada pertolongan Allah menghadapi segala bentuk penyeksaan menjadikan beliau teladan (qudwah) kepada generasi pejuang kebenaran sehingga hari kiamat.


Terima kasih Anakanda Aina kerana menghadiahkan buku ini.... semoga kita semua sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah s.w.t....



Tuesday, March 29, 2011

Membina Kebahagiaan


Kebahagiaan adalah sesuatu yang abstrak yang lahir dari hati seseorang. Tanda kebahagiaan antaranya dapat dilihat apabila seseorang itu berasa senang, suka dan gembira melalui raut wajah dan tingkah lakunya. Nilai kebahagiaan itu tidak mungkin dapat diagihkan kepada orang lain. Hadith Rasulullah s.a.w. sangat tepat membayangkan betapa bahagia itu perlu dalam hidup setiap insan.

Diriwayatkan daripada An-Nu’man bin Basyir, Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya: “Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak, rosak pulalah seluruh badan, Ingatlah ia adalah hati". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ini jelas menerangkan bahawa kebaikan diri manusia itu terletak pada hatinya. Kalau hatinya baik, maka seluruh diri insan itu akan menjadi baik. Andai kata hatinya rosak, yakni mempunyai penyakit-penyakit hati, maka insan itu tidak akan dapat mengecapi nikmat kebaikan dan kebahagiaan.

Kebahagiaan adalah sesuatu yang amat penting kepada setiap insan. Ia menjadi suatu matlamat hidup seseorang sama ada di dunia mahupun di akhirat. Oleh sebab itu, setiap orang sanggup bersusah payah dan bermati-matian untuk mencari kebahagiaan. Kegagalan mendapat kebahagiaan membawa kepada kekecewaan, kerana itu, ramai orang menjadi gila kerana hidupnya tidak bahagia. Ada pula yang sanggup mati kerana gagal menemui kebahagiaan.

Semua orang perlukan kebahagiaan hidup sama ada untuk sementara atau selamanya. Penentuan kebahagiaan berkait rapat dengan sikap, kedudukan dan fahaman seseorang terhadap kebahagiaan. Ada orang beranggapan bahawa kebahagiaan itu boleh dicapai dengan adanya harta dan wang ringgit yang banyak. Ada pula yang beranggapan bahawa kebahagiaan itu adalah dengan mengenepikan hal-hal keduniaan, kemajuan dan kemewahan.

Apakah kebahagiaan yang sebenar?

Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda: Maksudnya: “Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan sebenar ialah kaya hati.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Maksud kaya hati seperti yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. itu adalah apabila hati menjadi tenteram, tenang dan berasa cukup terhadap nikmat yang dimiliki. Ini jelas menunjukkan bahawa harta benda bukan ukuran kebahagiaan seseorang, tetapi kebahagiaan itu sebenarnya terletak di hati.

Dalam hal ini, hati perlu dijaga dan beri haknya supaya lahir sifat-sifat mulia dan terpuji, seperti amanah, bersyukur, bersangka baik terhadap orang lain dan sebagainya.

..... dalam hidup kita, kebahagiaan hati adalah sesuatu yang amat penting, jaga dan hiasilah hati kita setiap masa ....

Sunday, March 27, 2011

SEKITAR AGM PIBG KALI KE-36 & MAJLIS PELAPORAN ...













AGM PIBG
berjalan lancar pagi tadi. Ibu bapa telah sampai ke sekolah seawal 8.00 pagi. Seperti biasa, kehadiran ibu bapa/ penjaga tidak sampai 15%.


Dalam ucapan YDP PIBG 2010/2011, sekali lagi YH Dato' Chow Liong menyuarakan hasrat untuk memberi laluan kepada orang lain sebagai YDP PIBG SMKTP memandangkan beliau telah lama menyandang jawatan itu sudah tidak ada anaknya yang bersekolah di SMKTP.


Pada tahun ini, PIBG SMKTP mendapat YDP yang baharu, iaitu ENCIK CHIANG SEE HON, yang merupakan bekas murid SMKTP (1977 - 1980). Beliau yang fasih berbahasa Melayu telah menyampaikan ucapan penangguhannya dengan penuh bermakna. Tahniah diucapkan kepada semua AJK PIBG sesi 2011/2012 yang baru lantik....

Bagi Encik Moy Wah Goon, Pengetua SMKTP pula, ini merupakan AGM PIBG yang terakhir bagi beliau sebelum bersara wajib pada akhir bulan APRIL ini.


Secara keseluruhannya, ramai ibu bapa/ penjaga datang selepas AGM PIBG berakhir semata-mata untuk bertemu guru dan mengambil Buku Rekod Kemajuan anak-anak mereka. Ada juga segelintir ibu bapa /penjaga yang datang selepas pukul 1.00 tengah hari walaupun mereka sudah dimaklumkan melalui surat edaran bahawa pelaporan bermula pada pukul 11.00 pagi hingga pukul 1.00 tengah hari.


Semoga dengan barisan AJK PIBG yang baharu ini akan ada transformasi ke arah peningkatan akademik murid SMKTP yang lebih baik pada masa akan datang.



Saturday, March 26, 2011

Mesyuarat Agung PIBG & Kenangan



Setiap tahun antara bulan Mac - April, atau selewat-lewatnya Mei, semua sekolah akan sibuk membuat persiapan untuk Mesyuarat Agung PIBG termasuklah di SMKTP. Mesyuarat agung PIBG SMKTP akan diadakan esok, Ahad 27 Mac 2011... (AGM PIBG tahun lepas juga diadakan pada 27 MAC, jatuh pada hari Sabtu)

Esok, semua guru dikehendaki berbaju batik dan perlu berada di sekolah seawal pukul 8.00 pagi. Mesyuarat yang dijangka tamat pada pukul 10.30 pagi itu akan diikuti dengan majlis pelaporan kemajuan akademik murid / majlis bertemu pelanggan (ibu bapa) sebaik sahaja selesai majlis jamuan ringan. Semua guru tingkatan akan berada di kelas-kelas yang telah ditetapkan. Majlis tersebut dijangka berakhir pada pukul 1.00 tengah hari. Harap-harap kehadiran ibu bapa untuk majlis esok lebih baik berbanding tahun-tahun sebelum ini...

Menyentuh tentang PIBG, sebenarnya sambutan terhadap kegiatan PIBG adalah berbeza-beza antara sekolah. Terdapat PIBG yang aktif dan ada yang kurang aktif. Di SMKTP,PIBG memainkan peranan yang penting dan dominan di samping Lembaga Jemaah Pengelola Sekolah yang banyak memberikan sumbangan serta menjadi tunjang terhadap kemajuan SMKTP. Pengetua SMKTP sentiasa akan melibatkan PIBG dalam usaha-usaha mencapai hasrat sekolah.

Kita semua sedia maklum bahawa, adalah penting bagi PIBG mempunyai pasukan ahli jawatankuasa yang bersedia dan berminat untuk menjayakan program-program sekolah. Kepimpinan PIBG yang berinovasi dapat merancang pelbagai strategi untuk menentukan kejayaan sekolah.

Sesungguhnya, persekitaran sosial hari ini mencabar guru dan institusi pendidikan dalam melahirkan insan yang bukan sahaja seimbang keperibadiannya tetapi juga menjadi teras dan aset kepada negara.

Murid dididik supaya berpakaian sopan dan baik tingkah laku, tetapi keperibadian pelakon yang dipaparkan melalui media masa, khususnya media elektronik, berpakaian tidak senonoh dan menjolok mata, ini tidak termasuk lagi adegan ganas, tahyul dan seks. Sesetengah perlakuan pelakon dan penghibur idola sama ada dalam atau luar negara menjadi ikutan murid-murid.

Oleh itu,sokongan moral dan kerjasama daripada ibu bapa melalui PIBG dapat memainkan peranan untuk membangunkan generasi yang lebih gagah dan berdaya tahan. PIBG memerlukan kehadiran pemimpin dan pengikut berwibawa serentak. Dengan adanya pemimpin dan pengikut sedemikian, pelbagai perancangan dan tindakan yang dilaksanakan boleh mencapai kejayaan yang diinginkan.

... terkenang majlis seumpama ini sewaktu berkhidmat di Felda Jengka hampir 8 tahun yang lalu. Pada hari tersebut, semua guru memakai baju batik sekolah. Kehadiran ibu bapa sangat memberangsangkan. Melimpah dewan besar SMKJ2.

Antara strategi untuk menarik ibu bapa yang rata-ratanya terdiri daripada peneroka di J2, J3, Ulu Jempol, Sg Jerik dan sekitarnya, cabutan bertuah diadakan berselang-seli dengan majlis penyampaian hadiah. Atas inisiatif PIBG dan Pengetua pada waktu itu Pn. Hjh Maimunah Bt. Hj Taib - (kini Ketua Sektor Penilaian & Peperiksaan JPNP), banyak hamper disediakan (sumbang daripada PIBG dan beberapa pihak tertentu). Walaupun nilainya tidak seberapa, tetapi ibu bapa sanggup menunggu sehingga majlis berakhir dengan harapan mendapat hadiah cabutan bertuah. Mereka berasa sangat seronok dan berpuas hati, terasa diri dihargai oleh pihak sekolah.

Begitulah masyarakat 'kampung', ... berbeza dengan masyarakat di bandar. Selain itu, ibu bapa/ penjaga dibekalkan dengan bungkusan makanan & air kotak semasa mereka mendaftar diri di meja pendaftaran.


Memang, suasana amat berbeza antara di bandar berbanding dengan di kawasan perkampungan felda, khususnya di Felda J2. ... Lain padang lain belalangnya….


Monday, March 21, 2011

Pokok Buah Mache


Lagi kisah tentang buah nadir .....

Di halaman rumah Mama dulu ada dua batang pokok buah mache @ macang @ bacang. Betul-betul di halaman rumah, berhampiran dengan jalan raya. 2 pokok ni menjadi mercu tanda untuk ke rumah Mama (selain pokok sena yang diceritakan dalam entri terdahulu).






Machae atau bacang ialah nama sejenis pohon buah yang masih sekerabat dengan mangga. Orang sering menyebut buahnya sebagai bacang, ambacang, embacang atau mangga bacang. Juga dikenali sebagai macang atau machang, maa chang. Dalam bahasa Inggeris disebut bachang atau 'horse mango', sementara nama saintifiknya ialah Mangifera foetida Lour.

Pohonnya besar berbatang lurus, tingginya boleh mencapai 35m. Kulit kayunya coklat sampai coklat kelabu tua, memecah beralur dangkal. Bila ditores (semua bahagian tanaman) mengeluarkan getah jernih kelabu keputihan, yang lama-lama menjadi kemerahan dan menghitam. Getah ini tajam, gatal dan dapat melukai kulit (terutama selaput lendir).

Daunnya agak kaku dan serupa kulit, bertangkai panjang, lembar daun berbentuk lonjong memanjang dan berwarna hijau tua.

Buahnya berbentuk lonjong bulat telur atau hampir bulat, berkulit tebal, hijau sampai kekuning-kuningan, kusam, dengan bintik-bintik lentisel yang berwarna kecoklatan. Daging buah jika masak berwarna kuning-jingga pucat sampai kuning, berserat, asam manis rasanya dan banyak mengandungi sari buah, harum menyengat. Bacang ditanam untuk buahnya, yang biasa dimakan dalam keadaan segar jika masak.


Getah bacang yang gatal juga terdapat pada buahnya; akan tetapi jika masak, getah ini terbatas berada hanya pada kulitnya. Dengan demikian buah bacang perlu dikupas agak tebal, supaya getah itu tidak melukai mulut dan bibir dan menyebabkan bengkak-bengkak. Buah bacang yang muda biasanya direndam dalam air garam, sesudah dikupas dan dipotong-potong, agar dapat dijadikan rojak atau asinan. Buah bacang muda boleh juga dibuat kerabu. Best!

Bila musim berbuah, buahnya yang lebat gugur ke tanah dengan banyaknya. Kami akan mengagihkan buah machae kepada jiran-jiran. Ada yang bawa guni untuk mengambil buah itu. Buah ni, kalau dah masak tak boleh disimpan lama, jadi lebih baik diberi kepada sesiapa sahaja yang lalu-lalang di hadapan rumah kami.

Kami pernah jadikan batang pokok machae ni sebagai tiang semasa kami main permainan 'rebut tiang'. 2 batang tiang lagi ialah tiang ajung rumah Mama. Semuanya jadi empat tiang.


Satu peristiwa yang tidak dapat saya lupakan semasa kami di sekolah rendah ialah, saya dan kakak (Kak Roslena) pernah 'ditambat' di batang pokok machae. Jarak antara 2 pokok bacang tu hanyalah 1 kaki. Dekat sahaja. Tak ingat apa kesalahan kami ketika itu.... Kebetulan pada masa tu, rambut kami panjang, jadi senanglah Mama ikat rambut kami pada batang pokok tu. Seorang satu batang pokok. Walaupun hanya untuk seketika, taklah lama sangat, tapi cukup untuk kami jadikan pengajaran. Itulah pertama dan terakhir kami ditambat...Lucu juga bila diingat-ingatkan semula!

Semasa awal remaja, di bawah pokok ini juga kami menghabiskan masa pada waktu petang berbual-bual dan membaca majalah atau novel. Papa letakkan kerusi rotan yang telah usang dan bangku panjang di situ.

Kini, semua tu hanya tinggal kenangan. Pokok machae tu telah ditebang pada tahun 1985. Kaki lima jalan raya depan rumah Mama sekarang merupakan lokasi pokok machae tu tumbuh suatu ketika dulu (setelah beberapa kali jalan raya itu dilebarkan).


Buah nadir ni memang sedap, isinya manis, cuma agak berserat, kena guna pisau yang betul-betul tajam untuk menghiris isi buah machae itu...barulah isinya tidak rosak.

Tapi malangnya, ada dalam kalangan anak-anak muda kini, sudah tak kenal akan buah nadir yang satu ini...


Saturday, March 19, 2011

Terima Kasih atas Nikmat-MU...

Sepanjang jalan pulang ke destinasi abadi, pelbagai nikmat hidup telah kita peroleh...bersyukur kerana kita masih diberi kesempatan untuk menikmati keberkatan Ramadan al-Mubarak...!

Sepotong ayat daripada surah al-Rahman ada menyebutkan,

"Wahai jin dan manusia, nikmat yang bagaimana lagikah yang kamu ingin dustakan?"

Ayat di atas menjelaskan bahawa hidup ini adalah suatu nikmat.

Jika Tuhan tidak menciptakan kita, sudah tentu kita tidak akan wujud sekarang dan tidak mungkin akan berada bersama-sama keluarga kita yang tersayang. Kita juga tidak boleh bergembira, makan minum dan berkeluarga. Kita juga tidak boleh belajar dan menuntut ilmu yang berguna untuk kita, bergaul dengan kawan-kawan serta mengenali orang-orang lain selain daripada mereka yang rapat dengan kita. Kita juga tidak akan berkesempatan untuk mencipta itu dan mencipta ini, bergerak ke sana-sini serta melihat pemandangan yang mengasyikkan yang begitu banyak dalam dunia ini.

Itulah nikmat yang sebenarnya kita peroleh kerana diberi kesempatan untuk hidup oleh Tuhan. Sesungguhnya hidup ini adalah suatu nikmat yang tidak boleh dinafikan...!

Tanpa nikmat-nikmat ini, kita pasti tidak dapat hidup dengan selesa. Oleh itu, kita harus bersyukur dan berterima kasih kepada Tuhan atas segala anugerah-Nya kepada kita. Allah berkata dalam dalam sepotong ayat Quran yang bermaksud,

"Sesungguhnya AKu mengurniakan semua ini kepada manusia. Terpulang kepada mereka sama ada mahu bersyukur atau kufur kepada nikmat-Ku."

Sebagai tanda bersyukur atas kurniaan Allah s.w.t, kita seharusnya meluangkan sedikit waktu untuk sujud beribadat kepada-Nya. Kita juga diwajibkan supaya menyalurkan sedikit harta yang dikurniakan Tuhan kepada kita kepada mereka yang lebih memerlukan, dengan cara membayar zakat dan bersedekah. Buang sikap dengki-mendengki antara satu sama lain, kerana setiap orang sebenarnya sudah ditetapkan rezeki masing-masing. Apa yang perlu dilakukan adalah berusaha mendapatkannya dengan cara yang dihalalkan.

... bagi mereka yang bersyukur, pasti akan diberikan Allah s.w.t ganjaran yang lebih baik, sama ada di dunia ataupun di akhirat...!



Tuesday, March 15, 2011

Kita sering diuji....

KITA sering berfantasi... alangkah beruntungnya jika di sepanjang jalan pulang, kita melalui lorong yang luas tanpa liku selekoh atau gunung ranjau yang curam.... kita selalu membayangkan, alangkah bahagianya jika kehidupan di dunia selalunya mudah. Segala keinginan kita tersedia tanpa sebarang rintangan... tidak perlu untuk bersusah payah. Namun begitu, suatu hakikat yang perlu kita tempuh ialah kehidupan ini penuh dengan segala rintangan dan cabaran. Kesenangan dan kesusahan datang silih berganti.

Bahkan, Allah menyatakan dalam al-Quran, kehidupan ini akan silih berganti antara kesenangan dan kesusahan. Firman Allah dalam surah Alam Nasyrah ayat 6 yang bermaksud: "Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan."

Tidak ada jalan mudah bagi manusia. Sebagai makhluk yang lemah, kita terpaksa mengharungi semua rintangan untuk mencapai sesuatu matlamat atau untuk meneruskan kehidupan. Lebih-lebih lagi sebagai manusia biasa kita sememangnya terpaksa bergantung dan berhajat kepada orang lain dalam memenuhi keperluan kehidupan di dunia ini.

Sebenarnya segala masalah dan rintangan ini mengandungi suatu hikmah yang amat besar manfaatnya kepada manusia...yang menyedarkan kita, betapa kita merupakan hamba Allah yang sentiasa bergantung harap kepada-Nya dan berkeadaan serba kekurangan dan kelemahan.

Kita tidak dikurniakan segala macam kesempurnaan oleh Allah dalam mengharungi hidup ini. Bahkan kita perlu menempuhnya dengan pelbagai ujian. Dengan segala masalah, tekanan dan ujian ini manusia menyedari bahawa mereka hanya seorang hamba yang daif di sisi Tuhan Yang Maha Kaya.

Firman Allah dalam surah Al-Mulk ayat 2 yang bermaksud: "Tuhan yang mencipta kematian dan kehidupan untuk menguji kamu, siapakah antara kamu yang paling baik amalannya. Dan Dia Maha Mulia dan Maha Pengampun."

Kehidupan dan kematian juga adalah suatu ujian yang telah Allah tetapkan. Ujian yang kita harungi bukanlah sebagai suatu yang sia-sia, sebaliknya adalah satu proses peningkatan darjat dan kedudukan kita yang lebih tinggi di sisi Allah. Kesabaran, kecekalan dan tawakal dalam menghadapi segala macam pancaroba kehidupan menjadikan seseorang itu beroleh pahala yang banyak dan berganda berbanding orang lain yang tidak diuji dengan ujian dan cabaran itu. Akhirnya kita akan bertambah hampir kepada Allah disebabkan pahalanya itu dan kerana banyak berhubung dengan-Nya melalui doa daripada tawakal.

Atas sebab itulah, darjat mereka yang diuji dengan masalah dan rintangan lebih tinggi dan mulia di sisi Allah, sehinggalah ke satu tahap mereka benar-benar diterima sebagai manusia yang mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah. Oleh itu, seharusnyalah kita bersyukur di sebalik menerima segala permasalahan kerana ia mengandungi hikmah dan rahmat... menyedarkan kita siapa diri kita dan juga mengingatkan diri kita bahawa kita mempunyai tanggungjawab yang perlu ditunaikan kepada Allah s.w.t.

Apabila kita menyedari dan menghayati hakikat ini nescaya kita akan kembali kepada Allah setiap kali menghadapi masalah. Dengan cara ini masalah yang kita hadapi akan menjadi ringan, kerana masalah yang mendatang itu tidak lagi dirasakan sebagai beban bahkan dianggap sebagai jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah...peluang memperbaiki kesilapan dan medan meningkatkan kedudukan kita di sisi Allah. Kita tidak boleh berputus asa dengan hidup ini dan putus harap dengan rahmat Allah.

Orang yang tidak kembali kepada Allah akan mencari cara penyelesaian yang lain, yang bukan sahaja bercanggah dengan tuntutan agama bahkan menyalahi fikiran yang waras. Manusia yang tidak menjadikan agama sebagai cara hidup, akan bergantung kepada akal semata-mata dalam menyelesaikan segala permasalahan dan kesulitan yang dihadapi di dunia ini. Kebingungan, tekanan perasaan, kecelaruan pemikiran dan sebagainya yang biasanya menimpa mereka yang ditimpa masalah akan menjadikan mereka mengambil keputusan penyelesaian yang kurang bijak, terburu-buru dan mengikut perasaan yang jauh daripada lunas-lunas agama dan etika moral.

Orang yang beriman pula akan kembali kepada Allah dengan berdoa, membetulkan kesilapan, memohon rahmat, bertawakal dan seterusnya menyerahkan keputusan untung nasibnya kepada Allah. Mereka juga menyedari bahawa segala masalah yang menimpa adalah tanda kasihnya Allah kepadanya iaitu masalah itu menjadi penyebab kepadanya untuk mendekatkan diri kepada Allah daripada kelalaian dan keterlanjuran. Dengan itu, mereka berkesempatan memperbetulkan kesilapan dan keterlanjuran itu sebelum ajal dengan pintu rahmat dan pintu keampunan sudah tertutup.

Itulah hikmah dan rahmat di sebalik segala ujian dan kesulitan yang sering manusia lupa....

Monday, March 14, 2011

JAMBU AIR

Jambu air juga dikenali sebagai jambu air mawar (bell fruit / water apple) ialah tumbuhan dalam suku jambu-jambuan atau Myrtaceae yang berasal dari Asia Tenggara.


Jambu air umumnya berupa perdu, dengan tinggi 3-10 m. Biasanya pokok jambu air bengkang-bengkok dan bercabang mulai dari pangkal pohon, kadang-kadang gemangnya mencapai 50 cm.

Karangan bunga dalam malai di hujung ranting atau muncul di ketiak daun yang telah gugur. Ada antara 3-7 kuntum. Bunganya kuning keputihan, dengan tabung kelopak; daun mahkotanya bundar sampai menyegitiga; mempunyai benang sari (bahagian yang menghubungkan stgma dan rahim bunga) antara 0.75-2 cm dan tangkai putik yang mencapai 17 mm.

Buahnya berbentuk gasing dengan pangkal kecil dan hujung yang sangat melebar (sering dengan lekukan sisi yang memisahkan antara bahagian pangkal dengan hujung); bermahkota kelopak yang berisi dan melengkung; sisi luar berwarna putih sampai merah. Isi buah putih, banyak berair, hampir tidak beraroma; berasa masam atau masam manis. Bijinya berukuran kecil, antara 1-2-6 butir.

Dulu, depan rumah Mok Abe ada dua batang pohon jambu air yang besar. Dua spesis yang berbeza. Satu, buahnya berwarna merah kehijauan bila masak ranum dan saiznya agak besar. Satu lagi warna pink atau merah jambu apabila masak ranum dan saiznya agak kecil. Jika musim berbuah, banyaklah yang gugur ke tanah. Pokok-pokok tu sudah lama ditebang. Kini, tempat itu menjadi tapak rumah Abe Yie.

Depan rumah arwah Pokcik Tahir juga ada sebatang pokok jambu air. Agak rendang dan banyak dahan. Sebenarnya halaman rumah Pokcik Tahir ni merupakan gelanggang tempat kami bermain (bola kaki tiga, teng-teng @ dekchok, "to jail" dll...). Kami selalu juga memanjat pokok jambu air ni. Antara kami tiga beradik, sayalah yang selalu panjat pokok jambu air ni. Bukannya untuk mengambil buah jambu, tetapi saja suka-suka. Pok Chik Tahir selalunya mengait jambu tu dengan menggunakan galah yang mempunyai sangkak bagi memastikan buah jambu tidak jatuh ke tanah.

Masih saya ingat pada suatu hari semasa saya memanjat pokok jambu tu. Kalau tak silap, masa tu saya dalam darjah 3. Entah bagaimana hari tu saya terjatuh. Di bawah pokok tu ada sebuah bakul (agak sederhana besar) yang digunakan oleh Pok Cik Tahir untuk mengisi daun-daun kering. Bakul ni pula dibuat daripada kepingan buluh, jadi bahagian atasnya agak kasar dan tajam. Bayangkanlah bagaimana rasanya apabila terjatuh ke dalam bakul itu.... Balik rumah, bila diceritakan kepada Mama, apa lagi, ditambahlah 'perisa' dengan ranting kayu di betis. Tapi tak serik-serik juga...

Inilah antara ceritera buah jambu air dan kenangan yang mewarnai sepanjang jalan pulang ...


Friday, March 11, 2011

Cuti Sekolah & Bekwoh

Setiap kali musim cuti sekolah, banyak sekali majlis kenduri kahwin atau bekwoh @ 'big work'. Beberapa majlis kenduri kahwin kerabat terdekat sudah ada dalam catatan diari kami.

Petang nanti, kami akan bertolak ke Melaka untuk meraikan majlis perkahwinan anak saudara - Syuhada, yang akan berlangsung pada hari Sabtu ini. Pada hari Rabu pula, majlis bertandang anak saudara kami yang telah melangsungkan perkahwinan pada bulan Dis lepas. Dari Felda Purun, rombongan pengantin perempuan akan 'bla rock' ke rumah pengantin lelaki di Temangan, Kelantan. Nampaknya kami tidak dapat menghadirkan diri untuk majlis tersebut kerana ada tugasan yang perlu diselesaikan di sini.

Hujung minggu depan, sebelum sekolah dibuka, kami akan balik ke kg untuk meraikan majlis perkahwinan seorang lagi anak saudara - EMMA yang akan berlangsung pada hari Sabtu, 19 hb Mac. Begitulah keadaannya apabila tiba musim cuti sekolah....

Cerita tentang musim bekwoh nikoh kahwin ni, saya terpanggil untuk mencatat sesuatu tentang pernikahan dan perkahwinan... sekadar muhasabah diri kepada sesiapa sahaja yang bakal menempuh gerbang rumah tangga...

Sebenarnya, pernikahan bukan sekadar menghalalkan yang haram tetapi ia lebih daripada itu.

"...Melihat perkahwinan sebagai medan untuk MEMBERI, akan menjadikan kita lebih memikirkan soal PERANAN dan bukannya HAK yang tidak berkesudahan..."

Perkahwinan datang bersama tanggungjawab di bahu. Jika dahulu hanya fikir tentang diri sendiri, apabila berkahwin kena fikir sekali tentang pasangan/anak2/keluarga kedua2 belah pihak. Bukan sedikit pengorbanan daripada pihak suami, isteri dan apatah lagi anak-anak. Apabila sudah tinggal bersama, segala kekurangan diri akan terserlah. Carilah titik persamaan yang akan mengukuhkan lagi ikatan yang ada, bukan masing2 mencari alasan untuk saling menjauhkan diri.

Begitulah kehidupan berumahtangga, saling lengkap melengkapi dan saling memerlukan. Perkahwinan datang bersama dengan tanggungjawab yang mesti digalas di bahu.

Sebaik-baik contoh kehidupan berkeluarga ialah rumahtangga Rasulullah s.a.w.

Baginda yang paling berlemah lembut pada keluarganya. Baginda menyayangi kanak-kanak dan tidak segan untuk mencium anak-anak dan cucu-cucu baginda.

Sesungguhnya banyak lagi yang kita boleh pelajari daripada buku-buku yang baik yang bercerita tentang Sirah Rasulullah s.a.w. untuk kita jadikan pedoman.

Pelbagai cerita yang kita baca dan ada yang kita lihat dengan mata sendiri tentang perkahwinan. Perkahwinan adalah sunnah Rasulullah s.a.w. dan Rasulullah s.a.w. bersabda :

"... bukan dari kalangan umatnya sesiapa yang menentang perkahwinan. ... Jika seseorang itu berkahwin maka telah sempurna sebahagian dari agamanya. Besarnya nilai sesebuah perkahwinan...."

Malangnya apa yang kita lihat hari ini amat menggusarkan. Perkahwinan menjadi seperti permainan. Apabila suka, ambil, tak suka, lemparkan ke mana-mana sahaja. Ada yang berkahwin umpama menukar baju, baik lelaki atau perempuan. Bukan sedikit seorang suami yang mengabaikan anak isteri hanya untuk mengejar wanita lain.

Kepada adik-adik yang bakal berkahwin, selalu saya ingatkan. Kadang-kadang jadi seperti leteran kepada mereka ....

Cantik atau kacak bakal pasangan kita, bukan menjadi keutamaan bila telah sah ikatan perkahwinan. Apa guna pasangan yang cantik atau kacak jika masing-masing tidak menjalankan tanggungjawab? Mungkin sebelum bernikah, adik-adik hanya mendengar umpama angin lalu apa yang saya katakan, tapi selepas bernikah mereka akan mengakui dan berhadapan dengan realiti kehidupan. Tambah lagi, apabila telah ada cahaya mata, tanggung jawab menjadi semakin besar !

"....perkahwinan itu akan menjaga kehormatan dan pandangan....tetapi jika agama tidak dijadikan landasan dalam sesebuah perkahwinan, maka jadilah perkahwinwn itu umpama barang yang tiada nilai..."

Untuk anak saudara kami SYUHADA, ANI, EMMA dan pasangan masing-masing... kami sekeluarga mendoakan agar kalian dikurniakan zuriat yang soleh & solehah dan ikatan perkahwinan berkekalan hingga akhir hayat.... TAHNIAH.



Wednesday, March 9, 2011

GAHARU


"sudah gaharu cendana pula"

Peribahasa di atas merupakan salah satu peribahasa yang disunting daripada perbendaharaan peribahasa Melayu, yang sering diungkapkan oleh masyarakat dahulu hingga sekarang.

Peribahasa ini diucapkan sebagai sindiran kepada mereka yang sudah tahu akan sesuatu hal yang diperkatakan, tetapi sengaja tertanya-tanya seolah-olah tidak tahu atau tidak faham; orang yang berlagak tidak tahu.

Selain peribahasa yang tertulis di atas, ada beberapa ungkapan dan peribahasa Melayu yang mengandungi perkataan gaharu di dalamnya. Antaranya ialah :
"Bakar gaharu, kemenyan berbau" bermaksud orang yang menunjukkan kelebihannya supaya dipercayai orang; dan
"seperti buku gaharu" yang bermaksud memperlihatkan kecekapan apabila tiba masanya. (Kamus Dewan Edisi ke-4, hal 423)

Selain memberi makna yang tersendiri, ketiga-tiga peribahasa ini juga memberi gambaran jelas bahawa gaharu sudah terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu sejak zaman silam lagi.

Sebenarnya perkataan 'gaharu' berasal daripada perkataan Sanskrit "AGAHARU", iaitu sejenis kayu yang digunakan oleh masyarakat Hindu di Utara India sebagai ukuran timbangan pada zaman klasik (Garu maknanya berat).

Gaharu dalam Kamus Dewan Edisi ke-4, hal 423 membawa maksud sejenis kayu yang harum berasal daripada pokok tangkaras (Aquilaria Malaccensis). Ini bermakna kayu gaharu ini mempunyai bau yang harum. Itulah kelebihan yang dikurniakan oleh Maha Bijaksana Tuhan pencipta alam kepada kayu yang bernama gaharu.

Gaharu ialah sejenis kayu berdamar yang amat wangi apabila dibakar yang terhasil daripada jenis pokok kayu yang digelar dengan nama pokok gaharu, pokok depu ataupun pokok karas. Nama saintifiknya Aquilaria dari famili Thymelaecae dan terdapat 15 spesis dari genus Aquilaria. Antaranya hanya 8 jenis yang ada menghasilkan gaharu dan yang terbanyak adalah dari jenis Aquilaria Crassna, Aquilaria Malaccensis, Aquilaria Agallocha dan Aquilaria Sinesis.

Sejak pada zaman purba lagi gaharu telah digunakan dan digemari serta didagangkan dengan harga yang tinggi. Ia menjadi bahan utama dalam upacara keagamaan, perubatan dan bahan wangian. Bangsa Arab adalah antara pengguna terbesar dunia dan selainnya negara-negara seperti China, Jepun, Taiwan, Hong Kong, Eropah dan lain-lain lagi. Gaharu juga digunakan bagi menghasilkan pelbagai produk seperti minyak wangi, ubat-ubatan bagi rawatan kecantikan serta minuman dan lain-lain lagi.

Lain-lain nama bagi 'gaharu' mengikut negara dan budaya ialah :
- Chen-xiang (dalam bahasa Cina) dan Jin Koh (dalam bahasa Jepun) = kayu yang tenggelam ("sinking incense)
- Pokok gaharu yang telah diproses menjadi minyak digelar Oud oleh bangsa Arab
- Di Eropah pula dikenali dengan nama Lignum aquila (eagle-wood) @ Agilawood kerana rupanya seperti bulu burung helang.
- Nama lain yang disebut dalam kitab-kitab agama Kristian - Aloeswood
- Di Malaysia dan Indonesia dikenali sebagai "gaharu"
- Di Papua New Guinea digelar "ghara"
- Di Vietnam pula dipanggil "tram huong"
- Di India dikenali sebagai "agar"
- Di Laos dipanggil dengan nama "Mai Ketsana"

GAHARU HASIL DAGANGAN PAHANG

"Angin Barat Daya meniup keharuman baunya sehingga menusuk ke hidung pedagang-pedagang di Tanah Besar China. Lantaran itu ketika angin Timur Laut mula bertiup, berlumba-lumbalah mereka belayar ke Semenanjung Tanah Melayu, ke sebuah negeri bernama Pahang, untuk mendapatkan bahan dari hutan belantara..."
Gaharu menjadi hasil keluaran utama negeri Pahang pada zaman dahulu jelas dibuktikan dengan adanya catatan Wang Ta-Yuan di dalam buku sejarah China yang bertajuk "Tao-i-Chi-Leo" yang disusun pada tahun 1349. Berkaitan hasil negeri Pahang, Wang Ta-Yuan mencatatkan :
"Hasil keluaran negeri itu (Pahang) ialah huang-shu chen (berjenis-jenis kayu wangi), air wangi tapai, kapur barus, timah dan kayu sampang jenis kasar. Barang yang diperdagangkan dalam negeri itu ialah sutera kasar macam-macam warna, kain benang kapas, she-po (Jawa), perkakas dan besi, barang cat barnis dan perkakas bunyi-bunyian". (Buyung Adil, 1972, hal. 15)
Manakala dalam sebuah lagi buku sejarah China berjudul "Hsing-Cha'a" yang dikarang oleh Fei Hsin pada tahun 1436, juga menyebut tentang gaharu sebagai hasil negeri Pahang ketika itu. Fei Hsin menulis seperti berikut :
"Hasil dalam negeri gaharu, kapur barus, timah dan sejenis kayu yang digunakan sebagai pencelup. Barang-barang yang dibawa masuk ke dalam negeri itu ialah emas, perak, kain sutera yang berwarna-warni, kain jawa, perkakas tembaga dan besi, gong, papan dan lain-lain". (Buyung Adil, 1972, hal 17)
Setakat yang diketahui, kegunaan gaharu itu adalah sebagai ramuan dalam pembuatan minyak wangi dan penyediaan ubat tradisional China bagi menyembuhkan penyakit yang berpunca daripada kesejukan dan kelembapan.

Daripada kedua-dua catatan pengembara China di atas, terbukti gaharu adalah hasil keluaran utama bagi negeri Pahang pada zaman dahulu. Catatan itu jelas membuktikan bahawa bahan hutan tersebut dikeluarkan dalam kuantiti yang banyak dan juga memberi gambaran bahawa pekerjaan mencari gaharu di hutan dilakukan oleh kebanyakan penduduk ketika itu.

Kerja mencari gaharu dilakukan pada awal tahun kerana musim itu selalunya panas dengan hujan turun cuma sekali sekala. Keadaan cuaca seperti itu memberi kemudahan kepada mereka dalam menjalankan kerja tersebut. Manakala pada hujung tahun, ketika angin Timur Laut mula bertiup, belayarlah pedagang-pedagang China dengan jong besar penuh muatan lalu berlabuh di pengkalan, menunggu penduduk tempatan membawa hasil hutan sebagai tukaran.

Ini mewujudkan perniagaan dua hala ala sistem barter atau secara pertukaran barangan. Pedagang-pedagang China menawarkan berbagai-bagai bahan keperluan harian seperti alat tembikar dan benang sutera. Sementara penduduk tempatan bersedia dengan gaharu dan hasil hutan yang lain.

Begitulah cerita 'gaharu' yang menjadi hasil dagangan utama negeri Pahang suatu ketika dahulu... yang mencorakkan perniagaan dua hala yang terawal antara negeri China dengan negeri Pahang....


Rujukan : 1) Gaharu - Pembuka Lembaran Perdagangan China/ Pahang, Alauddin Bin Abdullah, Monograf Sejarah Pahang, Bil 4, 1989. 2) Wikipedia - Agarwood...

Monday, March 7, 2011

Ke Sekolah Tidak Jemu : Mengajar Tidak Lesu...

Setiap sesuatu di dunia ini mempunyai dua wajah; positif atau negatif; hitam atau putih; buruk atau baik; cemerlang atau kecundang; begitu juga sikap dan perlakuan kita sebagai guru @ pendidik, yang bukan sahaja profesional sifatnya, malah menunjukkan ciri-ciri profesionalisme yang tinggi sepanjang masa.

Berikut adalah antara ciri-ciri yang membezakan guru yang profesional dengan guru yang tidak. Marilah kita menukar sikap, persepsi dan posisi kita agar menjadi lebih perkasa dan berwibawa dalam melaksanakan tugas mulia sebagai seorang guru.


GURU YANG PROFESIONAL vs GURU YANG TIDAK PROFESIONAL

Mula kerja awal pagi vs Mula kerja setelah loceng berbunyi

Sedia bergerak awal hari vs Sudah pun letih di awal pagi

Mengurus dengan merancang vs Mengurus dengan krisis

Ada perancangan & matlamat vs Ada berbagai-bagai alasan

Berpakaian secara 'profesional' vs Berpakaian selekeh

Guna waktu luang sebagai waktu kerja vs Guna waktu luang mengumpat & mengeji

Cari perkara-perkara untuk dipuji vs Cari perkara-perkara untuk dikritik

Berusaha cari punca sesuatu tidak berjalan vs Salahkan orang lain apabila sesuatu tidak berjalan

Sedia buat keputusan dan selesai masalah vs Bertanya "Apa patut saya buat?"

Langgan @ baca jurnal profesional vs Fikir jurnal profesional bazirkan wang sahaja

Mendapat penghormatan setiap hari vs Merungut kerana tidak dapat penghormatan

Buat yang terbaik vs Buat apa yang orang lain buat

Kembangsuburkan kerjaya mereka vs Bimbang tentang kerja mereka

Rasa dan bertindak 'empowered' vs Rasa dan bertindak seperti mangsa

Sedia untuk belajar dan dapatkan bantuan vs Tidak sedia belajar @ terima bantuan

Sekadar berkongsi dan mengingatkan diri sendiri....

Sumber : Omar Mohd Hashim (1993). Pendidikan: Persoalan, Penyelesaian dan Harapan. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur


(Buku karya NORBI HUSIN di atas dapat memberikan inspirasi dan motivasi kepada kita dalam menghadapi pelbagai kerenah anak-anak didik kita...)


Saturday, March 5, 2011

Kemboja


Sama ada kita sedar ataupun tidak, Sambutan Hari Landskap Negara baru saja berlalu.
Pada tanggal 4 Mac 2001, Tun Dr. Mahathir, mantan Perdana Menteri Malaysia telah melancarkan hari Landskap Negara di Dataran Putra , Putrajaya. Menurut beliau, kerajaan telah bersetuju untuk menjadikan 3 MAC pada setiap tahun sebagai tarikh Sambutan Hari Landskap Negara.
Tujuannya adalah untuk menyedarkan dan menyuburkan lagi rasa tanggungjawab bersama untuk memelihara dan memulihara khazanah alam yang kita warisi. Sebenarnya, Pelancaran Hari Landskap Negara ini adalah sebagai lanjutan kepada Kempen Menanam Pokok yang telah disempurnakan pada 3 MAC 1999.

Pada tahun ini, Sambutan Hari Landskap Kebangsaan jatuh pada hari Khamis lepas... 3 MAC 2011. Pada hari tersebut kami memakai baju batik hijau bermotifkan flora ke tempat kerja....

Sempena Hari Landskap Negara juga, saya terpanggil untuk menulis mengenai tumbuh-tumbuhan, khususnya bunga yang ada di sekeliling kita yang boleh digunakan sebagai sumber perubatan semulajadi. Kini, perubatan semulajadi atau perubatan herba ini semakin popular dalam kalangan masyarakat.

Siapa kata bunga itu sekadar perhiasan semata-mata? Sebenarnya bunga mempunyai pelbagai kegunaan. Selain aromaterapi, bunga juga sering digunakan semasa upacara tertentu seperti mandi bunga. Warna bunga yang pelbagai itu juga merupakan satu terapi. Ada aura! Kini, terdapat banyak produk aura, asasnya ialah pati bunga.

Khasiat bunga kemboja. Kemboja. Ada yang menggelarnya sebagai bunga kubur kerana banyak orang tanam bunga ini di kawasan kubur, mungkin disebabkan oleh keharumannya... Tapi sebenarnya, khasiat bunga kemboja lebih daripada mewangikan kawasan perkuburan! Marilah sama-sama kita teroka kegunaan bunga ini.

Nama saintifik bunga kemboja ialah Plumeria rubra l. Kita kongsikan khasiat pokok bunga kemboja ini dari akar hinggalah bunganya.

Akar pokok kemboja ini boleh diminum. Akarnya direbus, airnya diminum untuk mendetoksifikasikan usus kita atau untuk mencuci perut kita. Selain itu, bagi yang ada penyakit bisul bernanah, air rebusan akar atau kulit akar kemboja ini boleh membantu anda.

Getah dari pokok kemboja pula sangat berguna bagi merawat demam panas, kusta, pelawas dan membantu peredaran darah terutamanya bagi mereka yang mengalami haid yang tidak teratur. Selain itu, getah yang segar boleh digunakan untuk menjadi penawar patukan ular sementara mendapatkan rawatan selanjutnya, dapat merawat rekahan kulit pada bahagian tumit kaki, bisul bernanah dan juga sebagai ubat tahan sakit gigi.

Daun kemboja pula, amat berguna kepada mereka yang sakit-sakit pinggang. Ambil daun, lumat-lumatkan dan sapu kepada pinggang yang sakit. Bunga kemboja sendiri sangat berjasa dalam penyembuhan penyakit dalaman, contohnya merawat batuk, bengkak usus, cirit birit, bronkitis, disenteri,hepatitis, masalah penghadaman, penyakit dada, radang usus dan selesema. Caranya, rebus bunga kemboja dan minum air rebusannya.

Wah...banyak rupanya khasiat pokok kemboja ini. Sama-samalah kita kongsikan khasiat tumbuhan alam ini sebagai rawatan alternatif...

Hargailah alam, kerana alam itu sahabat kita sepanjang masa.


Wednesday, March 2, 2011

Wajah Leluhur



Sementara Papa masih ada, kami masih boleh mendengar 'bari' daripada Papa berkaitan dengan leluhur kami. Yang lebih arif lagi dengan asal keturunan kami ialah satu-satunya saudara kandung Papa seibu sebapa, iaitu Pok Weil...

Kebetulannya hujung minggu lepas saya balik kg bertemu ayahanda bonda. Biasanya, apabila berkumpul ramai-ramai sambil minum petang, kami akan mendengar cerita lama tentang nenek moyang kami. Petang Sabtu lepas, Kak Roslena yang ada bersama-sama kami bertanyakan Papa tentang moyang kami yang dikatakan berasal daripada kaum Cina, Papa kata 'Cina benua', iaitu orang Cina dari Tanah Besar China... Itu keturunan di sebelah Papa.

Menurut Papa lagi, susur galur di sebelah Mama juga ada kaitannya dengan keturunan Cina. Sebenarnya, adalah bukan perkara yang luar biasa jika kita mengetahui tentang sejarah perkembangan penduduk di Kepulauan Melayu ini...

Saya masih ingat lagi beberapa orang moyang kami berkulit putih dan bermata sepet. Nenek Salamah, bonda kepada Atuk Papa iaitu Che We Taib dikatakan berketurunan cina benua.


Foto : 1) Atuk Che Daud 2) Adinda Melisa Kamelia 3) Papa dan Afiq....