Tuesday, March 29, 2011

Membina Kebahagiaan


Kebahagiaan adalah sesuatu yang abstrak yang lahir dari hati seseorang. Tanda kebahagiaan antaranya dapat dilihat apabila seseorang itu berasa senang, suka dan gembira melalui raut wajah dan tingkah lakunya. Nilai kebahagiaan itu tidak mungkin dapat diagihkan kepada orang lain. Hadith Rasulullah s.a.w. sangat tepat membayangkan betapa bahagia itu perlu dalam hidup setiap insan.

Diriwayatkan daripada An-Nu’man bin Basyir, Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya: “Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak, rosak pulalah seluruh badan, Ingatlah ia adalah hati". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ini jelas menerangkan bahawa kebaikan diri manusia itu terletak pada hatinya. Kalau hatinya baik, maka seluruh diri insan itu akan menjadi baik. Andai kata hatinya rosak, yakni mempunyai penyakit-penyakit hati, maka insan itu tidak akan dapat mengecapi nikmat kebaikan dan kebahagiaan.

Kebahagiaan adalah sesuatu yang amat penting kepada setiap insan. Ia menjadi suatu matlamat hidup seseorang sama ada di dunia mahupun di akhirat. Oleh sebab itu, setiap orang sanggup bersusah payah dan bermati-matian untuk mencari kebahagiaan. Kegagalan mendapat kebahagiaan membawa kepada kekecewaan, kerana itu, ramai orang menjadi gila kerana hidupnya tidak bahagia. Ada pula yang sanggup mati kerana gagal menemui kebahagiaan.

Semua orang perlukan kebahagiaan hidup sama ada untuk sementara atau selamanya. Penentuan kebahagiaan berkait rapat dengan sikap, kedudukan dan fahaman seseorang terhadap kebahagiaan. Ada orang beranggapan bahawa kebahagiaan itu boleh dicapai dengan adanya harta dan wang ringgit yang banyak. Ada pula yang beranggapan bahawa kebahagiaan itu adalah dengan mengenepikan hal-hal keduniaan, kemajuan dan kemewahan.

Apakah kebahagiaan yang sebenar?

Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda: Maksudnya: “Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan sebenar ialah kaya hati.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Maksud kaya hati seperti yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. itu adalah apabila hati menjadi tenteram, tenang dan berasa cukup terhadap nikmat yang dimiliki. Ini jelas menunjukkan bahawa harta benda bukan ukuran kebahagiaan seseorang, tetapi kebahagiaan itu sebenarnya terletak di hati.

Dalam hal ini, hati perlu dijaga dan beri haknya supaya lahir sifat-sifat mulia dan terpuji, seperti amanah, bersyukur, bersangka baik terhadap orang lain dan sebagainya.

..... dalam hidup kita, kebahagiaan hati adalah sesuatu yang amat penting, jaga dan hiasilah hati kita setiap masa ....

No comments: