CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Monday, October 21, 2013

Nostalgia Gelang Hitam dari Makkah....



Sekarang bermula musim jemaah haji kembali ke tanah air. Selamat berangkat pulang diucapkan kepada kumpulan pertama, 450 Jemaah Haji, KT1 akan bertolak dari Jeddah pada 21 Oktober 2013...

Tanah Suci yang dirindui....

Mengenang musim jemaah kembali daripada menunaikan haji, teringat kenangan semasa zaman kanak-kanak, lebih 4 dekad yang lalu. Gelang hitam bergelung buah tangan dari Makkah.

Saya belum bersekolah lagi ketika itu, agaknya baru berusia 6 tahun. Masa kecil-kecil dulu, kalau pakai gelang hitam plastik/ damar?- bergelung, rasa bangga sekali. Ada juga gelang hitam daripada akar bahar. 
gelang akar bahar


Terasa bangga kerana itu merupakan buah tangan dari Makkah, biasanya pemberian daripada ahli keluarga terdekat yang baru balik dari menunaikan ibadah haji. Saya juga mendapat sepasang gelang hitam bergelung daripada TokBe. Rasanya kini, sudah tidak ada lagi gelang hitam bergelung seperti itu. Yang ada sekarang, reka bentuknya pelbagai dan agak moden

1982...kenangan ketika Che & Mok Lijah balik dari Tanah Suci

Kalau masa TokBe (Kakak sulung Nenek Lijah) pergi Makkah lebih 40 tahun dahulu, kami menghantarnya di Stesen Kereta api Tumpat, tetapi semasa balik kami tunggu TokBe di Stesen Kereta api Kuala Krai. Agak jauh dari bandar Kota Bharu. Nak tunggu di Tumpat atau Wakaf Baru rasa terlalu lambat. Tak sabar nak jumpa. Apatah lagi apabila mendapat berita TokBe terpisah dengan Wak Aji (suami Tok Be) ketika di Tanah Suci Makkah. Saya bersama nenek Lijah, Papa, Mama dan kakak (Kak Ros) serta adik (Noni) juga turut serta ke stesen kereta api Kuala Krai. Mok Abe, Pok Muda Leh, sanak saudara di Kg Surau Kota dan di Kg Pasir Kota juga ikut serta. Kami ramai-ramai menunggu Tok Be di Stesen Kereta Api Kuala Krai.

Dari Kuala Krai, saya ikut nenek balik ke rumah TokBe di Kg. Pasir Kota, dekat Pintu Geng. Jarak rumah TokBe dengan rumah kami di Kg Kota, Jalan Salor lebih kurang 3 km sahaja. Papa, Mama, kakak dan adik tak ikut sekali, mereka terus balik ke rumah. Saya sejak kecil lagi selalu 'mengekor' nenek jika bertandang ke rumah sanak saudara sebelah nenek Lijah. Kak Ros agak 'perumah', tak boleh bermalam rumah orang, Noni pula masa tu, masih kecil, baru berumur 4 tahun. Jadi, saya seorang sajalah yang ikut nenek bermalam di rumah TokBe.

Keesokan paginya, ketika sedang bersarapan, TokBe senyap-senyap menyarungkan gelang hitam itu ke pergelangan tangan saya. kenangan itu masih hijau dalam ingatan saya sampai sekarang. Terasa seronok sangat. Naluri seorang kanak-kanak... Agaknya pada masa itu, hanya saya seorang cucu saudara yang ada bersamanya. Yang lain, rasanya sudah balik ke rumah masing-masing kerana rumah mereka berdekatan sahaja.

Lama saya pakai gelang hitam dari Makkah itu.....

TokBe ketika hayatnya...suatu hari di hari raya....

Kenangan yang masih kekal dalam ingatan.





Sunday, October 20, 2013

CINTA AKHIRAT

 
Pesanan yang sungguh bermakna... 
 
"Kepada yang bernama isteri, kalian bergelar SOLEHAH,

Jika cintamu kepada suami berpada-pada,

Agar jika terpisahnya kalian, tidak 'membunuh' kewarasan minda,

Mencedera teruk perasaan dan emosi,

Hingga menjejaskan ibadah dan taqwamu dan cinta suami,

Kerana perpisahan itu pasti, walau sementara mungkin,

Salah seorang daripada kalian mungkin lebih dahulu menemui Ilahi, lalu terpisah...

Hatta jika kalian menemui Ilahi bersama, rohmu akan bergerak berasingan...terpisah,

Jika ditakdirkan kalian ke syurga...

Tidak diketahui berapa lamanya tempoh sebelum pertemuan di syurga itu, terpisah,

Kerana masing-masing pasti ada urusan perlu diselesaikan,

Bagaimanakah pula jika salah seorang masih belum di Syurga..? 

Nauzubillah...

Oleh itu, wahai isteri...cintailah suamimu selepas Allah & RasulNya,

Pastinya Allah denganmu tiada terpisah, 

Dengan itu, perpisahan dengan suami mampu ditanggung, 

Rindu mampu ditangani, 

Ujian dan cabaran cinta, emosi & perasaan, merapatkanmu kepada Allah

Bukan menjauhkan...lalu jadilah kalian ISTERI SOLEHAH.

Yang cintai suami dan dicintai, dari jenis CINTA AKHIRAT bukan cinta DUNIA. 

Ingatan sama juga untuk suami, juga terhadap anak-anakmu."
 
...via fb Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman 
20 OKTOBER 2013
 
 

Saturday, October 19, 2013

Malam Cinta Rasul - Dataran Merdeka (Yahanana..)

Monday, October 14, 2013

Sehari Selepas Wukuf....


Esok, 10 Zulhijjah 1434H bersamaan 15 OKTOBER 2013, sehari selepas jemaah haji melakukan wukuf di tanah suci Makkah, seluruh umat Islam akan meraikan Hari Raya Aidil Adha.   
 
suasana wukuf di Padang Arafah

Tahun ini genap dua tahun mengikut perkiraan tahun Hijrah kakanda iparku kembali ke rahmatullah.  Kak Mah @ Che Long panggilan manja anak-anakku kembali menemui penciptaNya pada 11 Zulhijjah 1432H.

kenangan mengusik jiwa...gambar terakhir Che Long sebelum diserang angin ahmar

Tahun ini juga merupakan tahun pertama kami menyambut hari raya Qurban tanpa Mek.  Mek telah kembali ke rahmatullah lebih 5 bulan yang lalu.  Syukur alhamdulillah kerana Mek sempat bertemu dan meriba cucu sulung kami, cicit Mek yang ke-6 FARHAH HANNAN.  Kenangan ini akan kami ingat sampai bila-bila.

Mek meriba cicitnya yang ke-6, FARHAH HANNAN BT. MOHD FAHMI

Aidil Adha juga dikenali sebagai Hari Raya Haji atau Hari Raya Qurban. Ini bermakna peluang berkorban datang lagi. Sekali lagi kita berpeluang untuk beramal di samping membantu mereka yang memerlukan.

Amalan yang bukan sahaja disukai malah dicintai oleh Allah s.w.t. seperti mana yang disebutkan dalam hadis di bawah :


"Tidak ada suatu amalan yang paling dicintai oleh Allah daripada Bani Adam ketika hari raya Eidul Adha selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi) dengan tanduk, bulu dan kukunya... dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak di suatu tempat di sisi Allah sebelum mengalir di tanah, kerana itu bahagiakan dirimu dengannya..." (Riwayat Tarmizi, Ibn Majah dan Hakimi)

Pengorbanan hanya dilakukan oleh orang-orang yang terpilih oleh Allah s.w.t. Semoga dengan ibadah korban ini akan lahirlah keinsafan dalam diri kita untuk turut berkorban ke jalan Allah.

Pada kesempatan ini, ingin kutitipkan ucapan selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua pengunjung blog ini.... dan ucapan selamat kembali ke tanah air kepada sanak saudara serta sahabat handai yang telah selesai mengerjakan ibadah haji....kembali dengan mendapat haji yang mabrur.