Tuesday, September 19, 2017

SEPTEMBER YANG SENTIASA DI HATI....

Raikan 55 - 32 - 54...  Alhamdulillah.

55 tahun yang lalu, pada bulan SEPTEMBER, hari yang  KE SEMBILAN BELAS, aku dilahirkan sebagai puteri yang kedua kepada pasangan sejoli HJH CHE HALIMAH dan HJ JUSOH ...  Alhamdulillah, kini Mama dan Papa masih sihat dan masih boleh bersama-sama meraikannya....



19 SEPTEMBER 1985  kami disatukan....sedar tak sedar, sudah lebih 3 dekad usia perkahwinan kami hari ini.


Dalam meniti 32 tahun hidup bersama, aku berasa sangat beruntung dan bersyukur kerana Encik Kasihku seorang yang penyabar kepadaku dan anak-anak. Dia menyayangi kedua-dua ibu bapaku sebagaimana dia menyayangi kedua-dua ibu bapanya dan dia menerima semua ahli keluargaku. 



Begitu juga di pihakku, aku juga menyayangi kedua-dua ibu bapanya, ARWAH CHE POK MAT dan ARWAH MEK KIAH serta seluruh ahli keluarganya.  Aku menerima mereka seadanya.


Dalam tempoh itu, pelbagai dugaan dan cabaran telah kami tempuh dalam melayari bahtera kehidupan sebagai seorang ibu dan ayah, yang mendidik anak-anak demi membentuk sebuah keluarga yang bahagia. Bahagia dunia dan akhirat. Semoga jodoh pertemuan kami berkekalan dan diberkati oleh ALLAH s.w.t hingga ke akhir hayat dan dipertemukan semula di syurga Firdaus….


Setelah 32 tahun membina mahligai bahagia, perjalanan yang perlu kami tempuh masih jauh di hadapan. Masih banyak cabaran yang perlu dilalui. Di samping merenung masa depan, sesekali aku menoleh ke belakang mengimbau pengalaman lebih 3 dekad yang telah berlalu....

19 September 1985 – 
19 September 2017

Selamat ulang tahun perkahwinan kami yang ke-32  
190917

Kepada Encik Kasihku, terima kasih kerana masih menerima diriku sebagaimana hari pertama aku bergelar isteri. Terima kasih yang tidak terhingga kerana membuatkan diriku sentiasa istimewa di sisimu, sentiasa sabar dengan diriku dan anak-anak. Terima kasih kerana menjadi sahabat yang paling akrab, kekasih yang sentiasa dirindui dan suami yang terus setia bersama dalam susah atau senang....terima kasih atas segala-galanya....

26 OGOS 1984
Segalanya bermula tanpa diduga. Segalanya ALLAH s.w.t yang tentukan, kita hanya merancang dan berdoa... Ikatan ini berawal dari hati atas nama cinta.  Jalinan ini bermula dari rasa atas nama sayang.  Pautan ini berasal dari angan-angan atas nama rindu.  Sesungguhnya ini adalah cinta, sayang dan rindu yang akhirnya menyatukan kami berdua...


OKTOBER 2016
Sejarah awal pertemuan dan seterusnya membawa kami ke alam perkahwinan, sangatlah ringkas. Biarlah sejarah itu menjadi kenangan kami berdua dan akan tetap diingati setiap saat, tidak hanya pada hari ulang tahun perkahwinan…. Kampus biru menjadi saksi dua hati berbicara dalam rahsia....


Kami sedar, berkahwin pada usia muda banyak cabarannya. Sesungguhnya, apa yang penting dalam perkahwinan ialah bagaimana suami isteri itu akan melayari bahtera kehidupan berkeluarga. Hal ini bukanlah tanggungjawab satu pihak sahaja. Kedua-duanya ada peranan masing-masing. Anak-anak merupakan buah dari cinta dan kasih sayang sepasang suami isteri yang datang bersama amanah yang terpikul di bahu.



Sedar tak sedar, kini sudah 32 tahun kami hidup bersama-sama untuk saling melengkapi; dihiasi 3 orang permata hati, MOHD FARIS, MOHD FAHMI dan SITI NADIAH dan dua orang menantu kami, anakanda NURUL AINA AWANG dan SITI NUR AISHAH yang telah melengkapkan hidup kami sekeluarga.… 



Istimewa sekali, kehadiran cucuanda FARHAH HANNAN BT. MOHD FAHMI (5 tahun), FALISHA SALSABILA BT. MOHD FAHMI (3 tahun), dan MUHAMMAD FALIQ MIKHAIL B. MOHD FARIS (6 bulan) si cilik yang sentiasa menghiburkan kami semua....rindunya Mak Tok....






















Ya Allah, berkatilah kehidupan keluarga kami. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus dan jalan yang KAU redhai. Amin.








SEPTEMBER kali ini juga membawa berita gembira buatku. Gembira seorang penjawat awam, merangkap pendidik anak bangsa tercinta; 
yang setia dengan gelaran CIKGU akademik yang biasa-biasa; 
dan yang sentiasa seronok dengan tugas hakiki  sejak mula 
mengajar anak didik tulis dan baca

....Alhamdulillah, pada tahun-tahun terakhir perkhidmatanku  ini, setelah berkhidmat lebih daripada 3 dekad
 sempat jugalah aku merasa....

Alhamdulillah, semuanya rezeki daripada Allah s.w.t.   Rezeki yang dipinjamkan dan untuk dikongsi bersama-sama....

Monday, September 18, 2017

Sahabat, Kita Raikan Bersama....

Esok, 19 SEPTEMBER datang lagi....
55 tahun yang lalu, aku berkongsi 
tarikh kelahiran yang sama
dengan seorang sahabat...
sahabat sejak zaman sekolah rendah lagi.... 


Buat sahabatku, SARIMAH BT. OMAR....

Std 6 Blue 1974...

Dulu,
sejak di bangku sekolah rendah
sehingga dijengah usia remaja
kita tidak pernah lupa akan tarikh keramat ini.

Dulu,
kita sering bertukar-tukar kad ucapan
diiringi doa dan harapan
demi kesejahteraan
dan keabadian
jalinan persahabatan.

Dulu,
setiap kali tiba musim libur
dalam kelelahan mengejar cita
kita tidak pernah lupa
bertemu dan bercerita
berkongsi kisah remaja
indah dan mengasyikkan.


Sahabat,
kenangan sering singgah
walaupun kita terpisah jauh
ingatan tetap utuh
minda terus diterjah
walaupun sukar ditelah....

Sahabat,
setiap kali menjelang 19 September

kupanjatkan syukur ke hadrat Ilahi
pertemuan semula pada usia begini
pasti mengendong seribu makna
walaupun banyak sudah yang berbeza
walaupun kita semakin dihambat usia
namun, taman persahabatan kita
tetap semerbak harumnya
sewangi kesturi.

Kini,
walaupun tiada kad pengganti diri
namun, ingatan tetap bertakhta di hati
di ruang ini ingin kutitipkan
ucapan keramat,




"SELAMAT HARI ULANG TAHUN KELAHIRAN"


 3 SYAWAL  1436 Hijrah

untukmu sahabat
untuk kita berdua
sama-sama menempuh suka duka

sama-sama berkongsi kenangan....

19 SEPTEMBER 1962







Sunday, September 17, 2017

SAHABAT SEPANJANG JALAN....

6 BLUE 1974

Sepanjang perjalanan kehidupan ini, 
pasti kita bertemu dengan ramai yang sudi ketawa bersama, 
namun apabila saat kita memerlukan bahu untuk sokongan melalui saat sukar, 
ketika itu kita akan mulai berasa diri keseorangan. 
Tiada teman rupanya yang sudi menangis bersama... 
itulah namanya lumrah kehidupan.


U6A2 - 1981
Teman-teman datang silih berganti, namu bukan mudah unntuk kita tahu huluran persahabatan sejati. Saat air mata berguguran dan masalah muncul menjenguk, saat itu sesiapa yang ada bersama, itulah sahabat sejati.


Bukan mudah untuk seseorang yang asing sanggup susah dan senang dengan kita; persahabatan dihulur tanpa mengharapkan balasan atau ganjaran. 


Bukan juga kerana status yang dipegang, kadang-kala itu menyukarkan kita untuk mengenali siapa sahabat dan siapa teman.



Ada... tetapi tidak ramai dan sukar untuk ditelah.

Merenung dan memerhati perjalanan hidup... 

kadang-kadang ada teman yang suatu ketika amat rapat, tetapi akhirnya renggang, tanpa bicara dan tanpa senyum mesra.



Untuk mendapat sahabat sejati... kita perlu menjadi teman yang sanggup bersama walau dalam susah atau senang....




Thursday, September 14, 2017

Corelle VS Kore

Pernahkah anda mendengar teka-teki dahulu kala :



"Ada seekor kuda sakti, badannya kayu, kepalanya besi, naik orang tidak berhenti, kadang petang, kadang pagi.."

Dalam kalangan generasi muda, mungkin agak sukar untuk mencari jawapan kerana benda ini hampir tidak lagi dijumpai di rumah-rumah pada hari ini, kecuali di MUZIUM..! Namun begitu, bagi mereka yang sudah biasa memarut kelapa secara tradisional, alat kukur kelapa @ kkoghe tentunya terlintas di fikiran.

Saya terpanggil untuk menulis tentang tajuk ini kerana terpandang "kkoghe" usang di rumah Mama beberapa hari lepas....

Kkoghe atau kukur kelapa sememangnya tidak dapat dinafikan sudah tidak relevan dalam masyarakat moden hari ini. Kini, mesin kelapa elektrik lebih dikenali oleh generasi muda apatah lagi dengan lambakan santan kotak @ santan segera menyebabkan kukur kelapa @ kore sekadar menjadi barang antik @ barang pameran sama ada di muzium atau menjadi koleksi peribadi sesetengah individu yang mempunyai nilai sentimental yang tersendiri....

Menurut Kamus Dewan, kukur = kukuran ialah sejenis alat yang bergerigi hujungnya, digunakan untuk mengeruk (mengikis) isi kelapa. Daripada kata kukuran inilah terhasilnya sebutan "kkoghe" dalam dialek Kelantan...!

Kukuran @ kkoghe merupakan salah satu alat terpenting dalam kehidupan masyarakat Melayu, terutamanya di kawasan kampung. Kukuran merupakan alat yang tidak boleh dipisahkan dengan masyarakat Melayu tradisional kerana sebahagian besar resepi masakan masyarakat Melayu menggunakan santan kelapa. Kini, penggunaan kukuran semakin dilupakan oleh masyarakat sama ada di kampung, lebih-lebih lagi di bandar yang lebih cenderung menggunakan peralatan moden.

Biasanya, kukuran terdapat dalam bentuk kukur duduk, kukur kotak dan kukur silang. Kukur duduk mendominasi peringkat awal penciptaannya. Kkoghe ini dibentuk daripada kayu empat segi untuk dijadikan tempat duduk dan diletakkan besi mata kukur di hujungnya. Bentuknya sangat mudah dan ringkas. Nilai barang kegunaan harian ini diangkat menjadi barang seni melalui kreativiti pengukir yang menambah motif ukiran pada badan, kaki, dan leher kukur.


Penciptaan kukur kelapa berubah selari dengan peningkatan teknologi sehingga terhasil kukur berbentuk kotak yang memudahkan pengguna menyimpan mata kukur dengan selamat selepas digunakan memandangkan mata kukur boleh dilipat masuk ke dalam kotak.

Sementara kukur silang pula boleh dilipat dan asas silangnya seperti sebuah rehal. Kukur ini dipercayai mempunyai pengaruh elemen agama dan budaya pembuatnya.

Kepelbagaian bentuk ukiran yang terhasil pada sesebuah kukur kelapa melahirkan aspirasi keindahan dan menjadi pemangkin perkembangan pemikiran dan kemajuan tahap tamadun bangsa yang menghasilkannya. Hasil kreativiti pengukir Melayu, kukuran direka bentuk berasaskan rupa bentuk binatang berkaki empat. Kebanyakan seni ukirnya terdapat di bahagian kepada dan kaki kukur dengan menggunakan motif alam semula jadi, flora dan awan larat.

Bentuk kukuran @ kkoghe ini agak berbeza di antara satu kawasan dengan kawasan yang lain di negara kita berdasarkan pengaruh kesenian setempat. Kukur orang Melayu Pattani di Terengganu dan Kelantan misalnya banyak menggunakan motif daun sulur kacang, ketam guri dan ketumbit.

Untuk menghasilkan seni ukiran yang indah dan halus buatannya, pemilihan kayu yang sesuai sangat penting. Kukur biasanya dihasilkan dengan menggunakan kayu leban, cengal, dan nangka kerana ciri-cirinya yang tahan lasak, mempunyai urat kayu yang padat dan ira kayu yang halus serta mempunyai permukaan yang berkilat dan mudah disobek (ukir) menjadi antara kayu terbaik pilihan pengukir.

Generasi muda kini, terutama warga kota semakin melupakan peralatan tradisional kukur kelapa @ kkoghe ini. Peralatan yang suatu ketika dahulu begitu popular kerap dikaitkan dengan masyarakat yang banyak menggunakan kelapa dalam bahan masakan, khususnya masyarakat Melayu. Penggunaan kukur kelapa pada zaman dahulu menjadi satu keperluan dalam sesebuah rumah kerana suri rumah menggunakannya untuk mendapatkan kelapa dan santan, setiap rumah mempunyai sekurang-kurangnya satu kukur untuk kegunaan seharian.

Saya masih ingat, semasa zaman kanak-kanak dahulu, di rumah Nenek Lijah @ Mok Lijah,terdapat sebuah kukuran @ kkoghe duduk berbentuk seekor binatang berkaki empat. Ketika itu, kami tiga beradik sentiasa menanti peluang untuk duduk di belakang nenek atau Papa ketika nenek atau Papa sedang mengukur nyiur sambil bercerita dan bergurau senda. Secara tidak langsung, kkoghe menjadi alat menambah kemesraan dan nilai kasih sayang antara ibu @ bapa dengan anak atau antara nenek dengan cucu-cucunya.... Dulu, di rumah Mama, ada sebuah kukuran @ kkoghe silang. Pada akhir tahun 1970-an, kore itu sudah tidak digunakan....kini kkoghe silang yang masih berfungsi dengan baik itu tersimpan di dalam stor di rumah Mama.

Kore vs corelle.....bunyinya hampir sama....

Setiap kali melihat pinggan corelle, saya pasti akan teringat akan kukuran @ kkoghe. Ada kisah disebaliknya yang masih saya ingat hingga kini. 





Pada suatu hari, tahun 1988 saya bersama seorang sahabat KAK NAH (PN HJH SAPINAH - kini menetap di Bangi) yang sama-sama mengajar di SM Puteri masa tu singgah di sebuah kedai menjual barangan keperluan rumah yang terletak di hilir Pasar Besar MPKB. Kalau tak silap, nama kedai ini ialah Kedai Hajah Mariam. Sekarang rasanya kedai ni sudah tidak ada. Antara barangan yang dijual di kedai ini termasuklah kekabu, dapur arang, pinggan mangkuk, periuk dan keperluan rumah yang lain. Kami berhajat untuk membeli set pinggan mangkuk corelle.

Alkisahnya, apabila kami bertanya kepada pembantu kedai tersebut, (seorang remaja lelaki), dia mengatakan bahawa di kedainya tidak jual kore. Kami terpaksa menjelaskan beberapa kali, tetapi pemuda tersebut masih tidak dapat membezakan antara corelle dengan kore. Akhirnya kami terpaksa bertemu dengan taukenya... Sampai kini, apabila tengok pinggan corelle, peristiwa di Kedai Mariam pasti akan menggamit memori....

Menyedari hakikat bahawa warisan tradisional seperti kukuran ini perlu dipulihara, Jabatan Muzium Malaysia pernah mengadakan pameran dan demonstrasi kukur kelapa pada suatu ketika dahulu. Pameran ini amat bermakna kerana selain dapat memartabatkan penggunaanya, ia juga dapat menghidupkan kembali fungsinya dalam realiti masyarakat kini. Penggunaannya yang semakin pupus berikutan kemunculan alat-alat memasak yang lebih moden menyebabkan ramai generasi muda kita tidak lagi mengenali apatah lagi tahu cara-cara menggunakannya. Oleh itu, pameran itu sekurang-kurangnya dapat mengimbau nostalgia generasi lama, di samping memberi peluang kepada generasi muda untuk menghayati tinggalan warisan nenek moyang kita suatu ketika dahulu yang harus dipelihara ini.

kore vs corelle....pasti menggamit nostalgia.....




Tuesday, September 12, 2017

Go Back vs Gobek

Usai kelas waktu terakhir semalam, saya dan seorang guru lagi sama-sama menuruni tangga ke laluan utama menuju ke pejabat sekolah. Bersama-sama kami ialah 'anak-anak' kesayangan dari Ting. 3K8... dalam keriuhan suara mereka, terdengarlah perkataan 'go back' yang disebut seakan-akan sama dengan bunyi 'gobek'.   

Kata hati saya, "ada kesempatan nanti saya akan tulis tentang 'gobek' dalam blog". Dah lama tak dengar perkataan itu....   


Sebenarnya, kata 
'gobek' sudah jarang-jarang kita dengar sekarang. Gobek biasa digunakan oleh generasi terdahulu terutama dalam kalangan masyarakat Melayu dan India, kerana 'gobek' merupakan sebahagian daripada kehidupan mereka. Kini, ramai yang tidak tahu makna perkataan tersebut, apatah lagi dalam kalangan murid-muridku yang bukan Melayu ini.

Suatu ketika dahulu, pernah semasa membincangkan soalan tatabahasa dengan murid-murid 3K13 (yang terdiri daripada 34 orang murid Cina dan sepasang murid Melayu), terdapat perkataan "menggobek" yang dikaitkan dengan aktiviti makan sirih. Selain perkataan 'menggobek', ada kata 'mengacip', 'menghiris' dan 'membelah'.

Hanya Amir dan Hazwani yang merupakan dua orang murid Melayu di kelas 3K13 boleh memahami perkataan tersebut, manakala 34 orang lagi tidak dapat memahaminya dengan tepat. Untuk itu, saya terpaksa melakar gambar kacip dan gobek di papan putih! Sekali-sekala kenalah gunakan kemahiran melukis yang tidak seberapa ini untuk menjelaskan makna sesuatu perkataan sebelum mereka merujuk kamus! Kata gobek ini memang asing dalam kalangan masyarakat Cina kerana aktiviti makan sirih rasanya tidak ada dalam masyarakat Cina. Tradisi makan sirih hanya terdapat dalam kalangan masyarakat India dan Melayu sejak zaman berzaman lagi....
Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, gobek ialah sejenis alat (seperti tabung kecil) untuk melumatkan sirih. Menggobek pula membawa maksud melumatkan (menumbuk) sirih dengan gobek.
Gobek diperbuat daripada logam dan mempunyai dua komponen. 

Komponen pertama berbentuk silinder yang berlubang di bahagian tengahnya. Di bahagian hujung, silinder ini ditutup dengan sumbat kayu dengan ukuran yang sama besarnya dengan lubang silinder. Komponen ini disebut dengan ibu gobek.


Gobek yang dibeli di Pasar Siti Khadijah buat tatapan anak-anak
Komponen yang satu lagi dinamakan anak gobek, memiliki ukuran yang lebih kecil, diperbuat daripada besi padu yang di bahagian hujungnya berbentuk seperti mata kapak serta mempunyai hulu di bahagian pangkalnya. Pada bahagian ibu dan hulu anak gobek diukir dengan berbagai corak yang menarik, sesuai dengan budaya setempat. Alat ini berfungsi seperti antan dan lesung untuk melumatkan sirih.


Pada sesetengah gobek terdapat pelbagai corak ukiran yang menarik sesuai mengikut kebudayaan bangsa tersebut, sama ada di bahagian ibu atau hulu anak.
  
Gobek berperanan seperti antan dan lesung. Seulas piak sirih akan disumbatkan ke dalamnya dan ditujah-tujah sehingga lumat, setelah selesai, kayu dibahagian hujungnya akan ditolak dengan anak kepangkal membolehkan piak yang lumat keluar dan sedia untuk dimakan.

Nenek tua yang sudah tidak mempunyai gigi akan berdamping rapat dengan gobek bagi membolehkannya menghilangkan ketagihan makan sirih.


Daun sirih yang telah dilengkapi dengan pinang, gambir dan kapur (di sesetengah tempat ditambah dengan cengkeh) dimasukkan ke dalam gobek dan ditumbuk hingga lumat. Setelah lumat, tutup kayu di hujung silinder di tolak dengan anak gobek, sehingga boleh dikeluarkan dan siap dimakan. Gobek diguna oleh para nenek yang sudah tidak mempunyai gigi dan tidak boleh lagi mengunyah sirih.

Di rumah Mama dan juga di rumah Nenek, tidak ada gobek kerana mereka tidak makan sirih, begitu juga dengan Mok Abe (satu-satunya emak saudara sebelah Mama). Yang makan sirih hanyalah Wor Tok Mek, iaitu moyang sebelah Mama. Di rumah Wor Tok Mek lah kami selalu cuba-cuba menggunakan gobek sambil mendengar celoteh Wor di bendul rumahnya...

Demi menjaga kelangsungan warisan nenek moyang kita, saya telah membeli sepasang gobek tembaga yang dijual di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu beberapa tahun lepas untuk dipasangkan dengan tepak sirih tembaga putih warisan nenek yang kini menjadi koleksi peribadi...dapatlah juga ditunjukkan kepada anak-anak 'rupa' gobek yang agak asing kepada mereka.

Gobek tembaga dan tepak sirih tembaga putih itu kini menjadi antara objek hiasan meja di sudut ruang keluarga D'Lavender, Kg. Parit Cina.  

Pada cuti Raya Aidiladha yang lepas, cucuanda Hannan dan Bella yang kini tengah nakal dan tak reti diam,  'terjumpa' gobek di atas meja hiasan itu dan mereka berdua bermain-main dengan anak gobek.  





Sunday, September 10, 2017

Doa Buat Sahabat....

Syukur alhamdulillah, di celah-celah kesibukan dan kesuntukan masa, sempat juga kami singgah di Padang Embun menziarahi sahabat kami, Che Pah sebelum beredar pulang ke Kuantan petang tadi.  

Rindunya kami akan riuh suaranya, tak henti berceloteh setiap kali kami berkesempatan bertemu... Pada pertemuan tadi, Che Pah tetap ramah dengan senyuman walaupun dalam keadaan sedang diuji.  

Sesungguhnya, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya.



Tuhanku,
Engkaulah Maha Penyembuh, 
Maha kuasa atas segala sesuatu
Berilah kesembuhan untuk jiwa yang raganya sedang Engkau uji

Limpahkan kesabaran di kalbunya yang tak terbatas
Tetap hiasi hari-harinya dengan senyuman
jangan biarkan,...
Ujian-Mu membuatnya lemah dan murung
Dan jauhkanlah segala keputusasaan darinya
Tetap penuhi hatinya dengan semangat
Kerana Keajaiban-Mu itu Ada

Tuhanku,
Kabulkanlah doaku
Aameen

Semoga sahabatku Che Pah terus kuat menghadapi ujian ini, semoga sentiasa berada dalam perlindungan dan kasih sayang-Nya... dan
Semoga diberikan-Nya kesembuhan segera.