CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, January 29, 2011

Raya Cina & Kuih Bakul


Tinggal beberapa hari sahaja lagi masyarakat Tionghua di seluruh dunia akan menyambut Tahun Baharu Cina atau dalam perbualan biasa, kami sebut sebagai "Raya Cina".

Tahun Baharu Cina merupakan perayaan terpenting orang Cina bagi menyambut tahun baharu dalam kalendar qamari Cina. Kalendar qamari Cina terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama haiwan. Tahun 2011, atau tahun 1409 dalam kalendar qamari Cina merupakan Tahun Arnab.

Hari cuti raya Tahun Baharu Cina, merupakan antara hari raya masyarakat bukan Islam yang paling meriah. Tahun Baharu Cina merupakan sambutan kebudayaan ataupun bangsa, bukannya sambutan hanya satu-satu agama. Oleh itu, semua masyakarat berketurunan Cina akan meraikan perayaan ini tanpa mengira agama.

Menurut Wikipedia, "Gong xi fa cai" (Tulisan Cina Tradisional: 恭喜發財; Tulisan Cina Ringkas: 恭喜发财; pinyin: gōngxǐ fācái; Bahasa Kantonis (Yale): gūnghéi faatchòih; bahasa Hokkien (POJ): Kiong-hí hoat-châi; bahasa Hakka: Kung hei fat choi), yang diterjemah sebagai "Tahniah dan semoga mendapat rezeki" atau “Selamat Bertambah Kaya”..

Bagi masyarakat Cina, Tahun Baharu Cina melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baharu bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul. Rumah akan dicuci dan dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau. Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru. Acara terbesar pada malam Tahun Baharu Cina ialah ‘makan besar’ atau jamuan pertemuan semula. Bagi masyarakat Cina, makan besar cukup signifikan kerana semua anggota keluarga baik yang jauh mahupun dekat, akan kembali untuk mengeratkan talian perhubungan sesama keluarga di samping menikmati juadah-juadah lazat seperti ayam, ikan, itik, sup sirip ikan yu dan sayur-sayuran kemakmuran (prosperity vegetables).

Selain ‘makan besar’, Tahun Baharu Cina diraikan dengan jamuan yee sang dan kuih bakul. Golongan muda pula akan melawat golongan tua dan menerima wang ang pau dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik, yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada mereka yang masih belum kahwin. Perarakan tarian naga atau singa akan diadakan, dengan kereta berhias yang diiringi bunyi gendang. Lima belas hari selepas perayaan Tahun Baru Cina, perayaan Tahun Baru Cina ditamatkan dengan perayaan Chap Goh Mei.

Setiap kali menjelangnya “Raya Cina” nostalgia zaman kanak-kanak kembali mengisi memori tanpa sedar… Minggu-minggu terakhir sebelum “Raya Cina”, Atuk akan bawa balik banyak buah limau mandarin dan kuih bakul yang dihadiahkan oleh kawan-kawannnya di sekitar bandar Kota Bharu. Atuk yang dikenali sebagai Tok Mandur Daud, mempunyai ramai kenalan dalam kalangan masyarakat Cina kerana sejak sebelum Perang Jepun lagi Atuk merupakan seorang mandur Majlis Bandaran Kota Bharu (kini MPKB) yang dihormati dan dikenali ramai.

Kuih bakul yang Atuk bawa balik ada yang dibalut dengan daun pisang dan ada yang berbalutkan plastik lutsinar nipis. Disebabkan banyak sangat, kami agak memilih… pilih yang enak-enak sahaja… kuih bakul itu akan dipotong menjadi kepingan sebelum dimakan… Kuih bakul ini tahan lama walaupun tidak disimpan di dalam peti ais…!

Kuih bakul, nian gao atau kuih Tahun Baharu Cina merupakan kuih yang terkenal dalam masyarakat Cina. Sungguhpun boleh dimakan pada bila-bila masa, secara tradisi kuih ini paling laris dimakan ketika sambutan Tahun Baharu Cina. Bagi masyarakat Cina, kuih bakul dipercayai membawa tuah kepada si pemakan pada hari perayaan ini kerana "nian gao" juga membawa erti "makin tahun makin tinggi."

Kuih bakul mempunyai pelbagai jenis, namun begitu ramuan utamanya ialah pulut. Pulut dikisar dan diacu mengikut kehendak atau boleh dimasak semula dengan menambahkan ramuan atau bahan-bahan lainnya. Kuih bakul yang biasa saya makan dahulu ialah jenis yang manis, dimaniskan dengan gula hitam, dengan warna kuning tuanya yang menonjol. Dahulu, orang-orang Melayu Kelantan mahir membuat kuih bakul yang sememangnya digemari oleh semua lapisan masyarakat di sana. Menurut Atuk, banyak pantang larangnya untuk membuat kuih bakul ini dan proses mengukus kuih bakul juga mengambil masa yang lama, iaitu sehingga 8 jam. Kini, sudah lama saya tidak merasai keenakan kuih bakul...

Setiap kali menjelang “Raya Cina”, nama Kang Gek Nee, seorang rakan lama semasa bersekolah menengah dulu akan singgah dalam memori... seorang rakan yang sudah sekian lama terpisah....

Kepada rakan taulan dan anak-anak didikku (termasuk bekas murid di SMKTM & SMKTP) yang berbangsa Cina, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan "Gong xi fa cai", semoga kedatangan Tahun Arnab ini akan membawa lebih banyak kemakmuran, bukan sahaja kepada penduduk bahkan juga kepada negara…

(Ini tajuk Kerja Kursus Sejarah PMR 2010, perayaan tradisi kaum di Malaysia....)


Thursday, January 27, 2011

Jejak Jerejak


Suatu ketika dahulu, sebut sahaja ke PULAU JEREJAK, ramai yang menggelengkan kepala. Jika tidak melawat saudara yang menghidap kusta, tibi atau pesalah jenayah, pasti kaki tidak menjejak ke pulau ini.

Jejak di Pulau Jerejak akan menemukan kita dengan tinggalan penjara dan hospital lama yang memiliki pelbagai kisah. Semakin jauh jejak kita, semakin banyak lembaran kisah lampau dibuka satu demi satu. Ada orang kata Pulau Jerejak atau Pulau "Alcatraz Malaysia" penuh dengan kisah seram dan misteri.....Namun begitu, berapa tahun kebelakangan ini ia mula meniti populariti sebagai destinasi percutian terbaru di Pulau Mutiara, selain tarikan bangunan bersejarah di sekitar Georgetown dan kemeriahan di pantai Batu Feringgi. Pulau Jerejak kini boleh dikunjungi dengan menaiki feri dari Bayan Lepas.

Kenali Jerejak

Pulau Jerejak dengan keluasan 362 hektar terletak 1.5 batu nautika dari tanah besar. Kawasan hutan pesisit pantai yang berusia lebih 4,000 tahun ini memiliki 210 spesis dari 71 keluarga flora dan 39 spesis fauna. Francis Light dikatakan sampai di Pulau Jerejak pada awal tahun 1786, sebelum 'menemui' Pulau Pinang.

Jerejak Suatu Ketika Dahulu....

Nama Pulau Jerejak muncul buat pertama kali dalam rekod kolonial apabila Kolonel Arthur Wellesley of Wellington, England mencadangkan agar pulau ini dijadikan tapak untuk untuk Fort Cornwallis (Kota Cornwallis). Cadangannya untuk membina sebuah pangkalan tentera laut British pada tahun 1797, bertujuan untuk melindungi bandar baru "Jamestown" (kini Bayan Lepas). Oleh sebab ia gagal dijadikan pangkalan tentera laut, pada tahun 1910 kerana kalah dari segi potensi berbanding Jamestown Pulau Jerejak dijadikan pusat kuarantin kesihatan pendatang asing.

Akibat daripada keputusan awal Francis Light yang membenarkan pendatang memiliki apa-apa sahaja tanah yang dipugar oleh mereka, Pulau Pinang dibanjiri oleh ramai pendatang. Sebagai langkah mencegah, semua pendatang harus diperiksa di pusat pemeriksaan kesihatan Pulau Jerejak sebelum dibenarkan mendarat di Pulau Pinang.

Selain berfungsi sebagai gerbang pemeriksaan tahap kesihatan imigran asing yang hendak bekerja di Pulau Pinang, pusat itu juga menjadi tempat kuarantin para jemaah haji yang balik dari Makkah sebelum mereka dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga.

Landskap awal Jerejak diikuti dengan pembinaan sebuah hospital untuk pesakit batuk kering dan kusta di sudut timur pulau ini pada akhir 1930-an. Sebenarnya, tahun-tahun awal pembukaan Jerejak akan mengimbas ingatan seseorang kepada beberapa kisah, antaranya tentang serangan malaria akibat kerja pemugaran hutan bagi membuka Georgetown diikuti dengan tempias Perang Dunia Kedua.

Pulau yang pernah hangat berikutan isu menjadikannya sebagai pusat kasino menerima jolokan sebagai "sanatorium" yang diperoleh selepas Perang Dunia Kedua apabila terdapat ramai mangsa perang yang mengidap batuk kering. Berikutan itu, kerajaan British membina hospital bagi pesakit tibi dan kusta di bahagian timur pulau ini yang boleh memuatkan 150 orang pada satu-satu masa.

Kisah kebangkitan semangat nasionalisme di Tanah Melayu juga tidak terkecuali. Oleh kerana British terasa kedudukan mereka terkepung dalam isyarat cemas dan berjaga-jaga, mereka mengisytiharkan Darurat pada tahun 1948 dan meluluskan Akta Darurat bagi membolehkan pejuang-pejuang kemerdekaan ditangkap dan dipenjarakan. Pulau Jerejak sekali lagi ditransformasi, kali ini menjadi salah sebuah Kem Tahanan Politik British pada tahun 1948.
Ketika itu, semua orang berasa gerun kalau mendengar nama Penjara Pulau Jerejak atau Pulau Buangan. Setiap satu bilik di dalam lokap itu yang mempunyai keluasan kira-kira 5 meter persegi, ‘disumbatkan’ sehingga lima orang tahanan. Paling ramai yang pernah dipenjarakan di sini ketika itu ialah anggota pasukan Angkatan Pemuda Insaf (API). Selain pengasas parti sosialis Melayu tersebut iaitu Ahmad Boestaman, tokoh lain yang pernah dipenjarakan di situ ialah Dr. Burhanuddin Al Helmi, Ustaz Abu Bakar Al Baqir, Cikgu Muhd Yusof Ayob, Rashid Karim, Ibrahim Karim dan ramai lagi.

Kemudian, Pulau Jerejak telah dijadikan Pusat Pemulihan Akhlak bagi mereka yang ditahan ketika berlakunya tragedi 13 Mei 1969 yang mula beroperasi pada 12 Jun 1969 dan dikendalikan oleh Jabatan Penjara Negeri Pulau Pinang. Pusat ini berfungsi sebagai penjara keselamatan tertinggi yang juga dikenali ramai sebagai "Alcatraz Malaysia".

Pada tahun 1981, berlaku rusuhan apabila seramai 100 orang tahanan mengamuk dan memusnahkan sebahagian bangunan Pusat Pemulihan Akhlak kerana tidak berpuas hati dengan pelanjutan tempoh penahanan.

Pada tahun-tahun berikutnya, bilangan tahanan semakin bertambah, hinggakan jumlahnya pernah mencecah 982 orang. Isu keselamatan menjadi kritikal. Sebagai langkah keselamatan, nelayan tidak dibenarkan menghampiri pulau tersebut dalam lingkungan 200 meter dari pantai. Kalau ada yang menghampiri dalam jarak tersebut, tembakan amaran akan dilepaskan. Walau bagaimanapun, tujuh orang tahanan berjaya memboloskan diri, empat orang pada Januari 1988 dan tiga orang pada Mei 1988.

Menyedari permasalahan kapasiti dan pengurusan penjara ini, kerajaan memutuskan untuk menutup operasinya pada tahun 1990 dan semua tahanan dipindahkan secara berperingkat-peringkat ke Penjara Muar dan Simpang Renggam, Johor sehingga 13 Ogos 1993. Semenjak itu, Pulau Jerejak hanyalah sebuah kanvas sejarah.

Pulau Jerejak Kini

Perancangan telah dibuat untuk membangunkan Pulau Jerejak menjadi sebuah tempat peranginan. Pada tahun 2000, Pulau Jerejak yang terkenal dengan jolokan "sanatorium" dan "penjara" ini dijadikan sebagai pusat peranginan bertujuan untuk menarik kedatangan pelancong sesuai dengan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan. Pada Januari 2004, Jerejak Resort & Spa dibuka untuk perniagaan. Tempat peranginan ini dibina di atas kawasan yang dahulunya merupakan pusat rawatan kusta. Pembangunan ini menimbulkan agak banyak perbalahan, dengan rasa bimbang terhadap penghapusan tinggalan dan warisan bersejarah pulau ini secara sistematik. Sesetengah pihak juga bimbang 'pembangunan' seumpama ini akan memberi kesan kepada ekosistem Pulau Jerejak yang mudah terjejas.

Perpindahan kesemua tahanan telah "menamatkan riwayat" Pulau Jerejak sebagai tempat "buangan" yang sekali gus meninggalkan sisa-sisa sejarah yang terus diabai dan dilupakan, meskipun ia dijadikan pusat pelancongan yang semakin popular.
Soalnya, setelah betapa banyak kisah sisa peperangan, layanan tahanan penjara, kematian di hospital kusta serta dendam pejuang yang tidak kesampaian, adakah salah kalau seseorang mahu percaya pada cerita-cerita seram yang disampaikan dari mulut ke mulut tentang Pulau Jerejak?
sekadar berkongsi cerita....

Rujukan : Wikipedia.



Sunday, January 23, 2011

BUAH CERMAI





Masih ada lagikah di kawasan kampung atau di kawasan kejiranan anda pohon @ pokok buah CERMAI?

Beberapa hari lepas, rakan sekolah, Ustazah Bahijah ada membawa buah cermai. Dia suruh Zie buat halwa cermai. Dapatlah saya merasa halwa cermai yang masam-masam manis itu… sedap!

Pokok Cermai (Malay gooseberry) atau nama sainsnya ialah Phyllanthus acidus merupakan satu-satunya pokok dalam keluarga Phyllanthus yang boleh dimakan. Dulunya pokok cermai bukan main banyak lagi di kampung. Namun begitu, sejak belakangan ini, pokok buah nadir ini semakin pupus. Tak tahu ke mana menghilang. Buah cermai ini sedap dibuat jeruk atau dicicah dengan garam.

Buahnya yang kekuningan menjadi tarikan sesiapa sahaja yang memandangnya. Cermai ni kalau dah matang rasaya masam + manis. Buah cermai yang muda atau belum matang berwarna hijau pekat dan rasanya pahit pula. Tentu ada kasiat ubat…maklumlah yang pahit itu ubat… Namun begitu, jika dimakan sudah tentu anda akan mengerutkan dahi dek kerana rasa masamnya. Buah cermai ini ada juga jenis yang tidak brapa masam...Dahan pokok ini rapuh dan mudah patah….

Buah cermai adalah kenangan semasa zaman kanak-kanak… pokoknya hidup segar di tepi telaga rumah We Tok Mek, belakang rumah Mama. Apabila tiba musim cermai berbuah, buahnya yang kekuningan warnanya bertaburan gugur setelah masak @ matang. Cermai yang sudah masak ini tidaklah masam sangat… Kami akan kutip dan basuh bersih-bersih sebelum dibawa pulang untuk dicicah dengan garam + gula + kicap + cili padi. Kami akan duduk berhimpun untuk menikmati 'colek' cermai.


Dulu-dulu apabila habis musim kemarau, ketika hujan mula turun, pucuk-pucuk cermai bertunas dengan segarnya….Kadang-kadang ada yang jadikan pucuk cermai ini sayur lemak putih + udang.

Selain itu, buahnya juga sedap dibuat rojak dan jem. Caranya, jika nak buat rojak, hiris buah cermai dan buangkan biji, tumbuk kasar sedikit dan perah air masamnya, gaulkan dengan cili tumbuk , udang kering tumbuk, bawang merah hiris halus, gula sedikit, garam sedikit ikut rasa sedap tekak sendiri, kalau jem hiris isi dan buangkan biji, tumbuk isi dan perah air buah cermai (jangan kering sangat), masak dengan gula, air, seperi membuat jem nenas, masuk gula hangus masak hingga kering seperti jem.




Daun atau pucuk cermai dan getahnya sebenarnya mempunyai banyak khasiatnya selain untuk dimakan sebagai colek @ rojak @ pencuk.

Teringat pesanan Nenek, daun cermai ini boleh ditumbuk halus+bedak sejuk untuk dijadikan penawar demam campak (chicken pox) kerana ia bersifat sejuk. Boleh hilangkan parut. Selain itu, daunnya boleh direbus untuk dimandikan kepada bayi-bayi yang kuning selepas lahir Daunnya juga boleh digunakan untuk merawat demam panas. Pucuknya dikisar halus + bedak sejuk dan dilumurkan pada badan seketika hingga kering bagi tujuan untuk mengurangkan panas badan. Daunnya jika direbus dan diminum, dipercayai boleh mengurangkan penyakit darah tinggi.

Getah daripada kulit kayu pokok cermai mujarab untuk dijadikan ubat sakit gigi. Selain itu, kulit pokok itu diambil, dikeringkan sedikit dan direbus. Air rebusan yang telah sejuk boleh digunakan untuk berkumur

Yang pasti, buah cermai ni mempunyai pelbagai kegunaan selain dimakan sebagai jeruk…

Terkenang pokok-pokok hutan di kampung yang sudah pupus. Namanya agak pelik seperti khiyak, cupu, kandis, teraje dan kuchil. Maaf namanya semua dalam loghat Kelantan. Untuk memberitahu anak-anak cucu tentang kewujudan spesis inipun susah kerana pokok-pokok ini sudah tiada lagi di kampung.



Monday, January 17, 2011

Aedes oh Aedes....




Teringat kisah hampir 14 tahun yang lalu.....

Julai 1997, saya terlibat dengan Ujian Lisan BM peringkat SPM. Ketika itu saya dan Puan Narimah ditugaskan menjadi penguji lisan di SMK Stella Maris, Pudu. Kuala Lumpur. Ujian lisan itu berlangsung selama satu minggu.

Waktu itu banyak projek mega di Kuala Lumpur terbengkalai kesan daripada kemelesetan ekonomi yang melanda negara, termasuklah bangunan Plaza Rakyat yang letaknya berhampiran dengan bangunan Sekolah Stella Maris. Bangunan terbengkalai merupakan antara lokasi yang menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Saya dan Puan Narimah biasanya akan sampai di sekolah itu sebelum 7.30 pagi. Laci meja tempat kami gunakan untuk menjalankan ujian lisan itu rupa-rupanya menjadi tempat 'beradu' sang Aedes... Apabila kami masuk sahaja ke bilik itu, banyaklah nyamuk yang keluar dari laci meja tersebut. Dalam hati terdetik, kalaulah dalam banyak-banyak nyamuk tu ada spesis aedes, tentu kami akan menjadi mangsanya.... tidak perlu banyak, kalau ada 2 atau 3 ekor pun sudah cukup untuk menjadikan kami berada dalam keadaan yang terancam.

Rupa-rupanya gerak hati saya betul. Pada hari ke-4, tiba-tiba saya telah diserang demam. Mengejut. Pada mulanya saya tak sangka pula demam itu merupakan tanda-tanda awal serangan denggi. Semua simpton demam denggi yang dipaparkan melalui tv @ radio menepati apa yang saya alami ketika itu. Setelah ujian darah dibuat, memang sahlah, angkara nyamuk aedes!

Saya disahkan demam denggi, tetapi tidaklah berada di peringkat yang kritikal. Saya minta untuk 'direhatkan' di Hospital Pakar Ampang Puteri agar rawatan segera dapat dilakukan, walaupun ketika itu platelet darah saya masih agak tinggi. Setelah 4 hari saya dirawat di Ampang Puteri, saya dibenarkan balik ke rumah. Saya berasa sudah cukup bersedia untuk kembali bertugas memandangkan banyak tugasan yang tertangguh...! Rupa-rupanya, sangkaan saya meleset. Belum sempat sehari turun naik tangga bangunan 4 tingkat di SMKTM, saya terasa sangat tidak bertenaga dan memerlukan rehat tambahan. Akhirnya, Dr. Md Ripin yang merawat saya telah memberikan saya cuti sakit selama 2 minggu lagi. Baru saya tahu, sebenarnya kesan penyakit denggi ini lebih 'hebat' selepas kita keluar dari hospital.

Kini, selepas 14 tahun berlalu, anakanda SITI NADIAH pula menjadi mangsa aedes. Aedes yang 'menjadi penghuni' bandar Anggerik...., lebih tepat lagi di Seksyen 7, SA telah 'menceroboh' ketenangan hidup anakanda CT. Sekarang dia sedang dirawat di KMC setelah dibawa pulang dari SA semalam. Harap-harap dia akan cepat sembuh dan dapat kembali ke kampus seperti biasa.

Sakit juga merupakan ujian daripada Allah s.w.t. Yang penting, kita perlu berikhtiar dan berdoa. DIA-lah yang berkuasa menyembuhkannya. Sesungguhnya, ujian sakit menjadikan kita bertambah hampir dengan-NYA....

Thursday, January 13, 2011

Gobek @ Go back....?


Usai kelas waktu terakhir hari Selasa lepas, saya dan Ustazah Bahijah sama-sama menuruni tangga ke laluan utama menuju ke pejabat sekolah. Bersama-sama kami ialah 'anak-anak' kesayangan dari Ting. 4A3... dalam keriuhan suara mereka, terdengarlah perkataan 'go back' yang disebut seakan-akan dengan bunyi 'gobek'. Saya kata kepada Jah, nanti nak tulis tentang 'gobek' dalam blog. Dah lama tak dengar perkataan itu.... Esoknya, Jah bertanya, sama ada saya sudah tulis tentang 'gobek' dalam blog saya ini.

Sebenarnya, kata
'gobek' sudah jarang-jarang kita dengar sekarang. Gobek biasa gunakan oleh generasi terdahulu terutama dalam kalangan masyarakat Melayu dan India, kerana 'gobek' merupakan sebahagian daripada kehidupan mereka. Kini, ramai yang tidak tahu makna perkataan tersebut, apatah lagi dalam kalangan murid-muridku yang bukan Melayu ini.

Dulu, pernah semasa membincangkan soalan tatabahasa dengan murid-murid 3K13 (yang terdiri daripada 34 orang murid Cina dan sepasang murid Melayu), terdapat perkataan "menggobek" yang dikaitkan dengan aktiviti makan sirih. Selain perkataan 'menggobek', ada kata 'mengacip', 'menghiris' dan 'membelah'.

Hanya Amir dan Hazwani yang merupakan dua orang murid Melayu di kelas 3K13 boleh memahami perkataan tersebut, manakala 34 orang lagi tidak dapat memahaminya dengan tepat. Untuk itu, saya terpaksa melakar gambar kacip dan gobek di papan putih! Sekali-sekala kenalah gunakan kemahiran melukis yang tidak seberapa ini untuk menjelaskan makna sesuatu perkataan sebelum mereka merujuk kamus! Kata gobek ini memang asing dalam kalangan masyarakat Cina kerana aktiviti makan sirih rasanya tidak ada dalam masyarakat Cina. Tradisi makan sirih hanya terdapat dalam kalangan masyarakat India dan Melayu sejak zaman berzaman lagi....

Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, gobek ialah sejenis alat (seperti tabung kecil) untuk melumatkan sirih. Menggobek pula membawa maksud melumatkan (menumbuk) sirih dengan gobek.

Gobek diperbuat daripada logam dan mempunyai dua komponen. Komponen pertama berbentuk silinder yang berlubang di bahagian tengahnya. Di bahagian hujung, silinder ini ditutup dengan sumbat kayu dengan ukuran yang sama besarnya dengan lubang silinder. Komponen ini disebut dengan ibu gobek.

Komponen yang satu lagi dinamakan anak gobek, memiliki ukuran yang lebih kecil, diperbuat daripada besi padu yang di bahagian hujungnya berbentuk seperti mata kapak serta mempunyai hulu di bahagian pangkalnya. Pada bahagian ibu dan hulu anak gobek diukir dengan berbagai corak yang menarik, sesuai dengan budaya setempat. Alat ini berfungsi seperti antan dan lesung untuk melumatkan sirih.

Daun sirih yang telah dilengkapi dengan pinang, gambir dan kapur (di sesetengah tempat ditambah dengan cengkeh) dimasukkan ke dalam gobek dan ditumbuk hingga lumat. Setelah lumat, tutup kayu di hujung silinder di tolak dengan anak gobek, sehingga boleh dikeluarkan dan siap dimakan. Gobek dipakai oleh para nenek yang sudah tidak mempunyai gigi dan tidak boleh lagi mengunyah sirih.

Di rumah Mama dan juga di rumah Nenek, tidak ada gobek kerana mereka tidak makan sirih, begitu juga dengan Mok Abe (satu-satunya emak saudara sebelah Mama). Yang makan sirih hanyalah Wa Tok Mek, iaitu moyang sebelah Mama. Di rumah Wa Tok Mek lah kami selalu cuba-cuba menggunakan gobek sambil mendengar celoteh Wa di bendul rumahnya...

Pernah pada suatu ketika, saya membeli sepasang gobek tembaga yang dijual di Pasar Siti Khadijah, KB untuk dipasangkan dengan tepak sirih tembaga putih warisan nenek yang kini menjadi koleksi peribadi...dapatlah juga ditunjukkan kepada anak-anak 'rupa' gobek yang agak asing kepada mereka.

Gobek yang dibeli itu kini tersimpan kemas di dalam kotak setelah beberapa kali bertukar tempat kerja. Tersimpan di dalam stor dan tidak dibuka-buka lagi selepas berpindah ke Kuantan...!


Tuesday, January 11, 2011

Azam Pencetus Kejayaan


Fajar 2011 sudah lebih seminggu menyingsing. Cepatnya masa berlalu meninggalkan kita ..

Kadang-kadang kita berasakan kita mengejar waktu. Teman sejawat selalu berkata. "aduh tak cukup tangan dan tak terkejar waktu..." Baru sekejab loceng rehat berbunyi... dah berdering loceng untuk pulang....!"


Begitulah pantasnya masa berlalu, rasa-rasanya peristiwa yang telah dilalui sepanjang tahun 2010 masih segar dalam ingatan. Suka duka mewarnai perjalanan hidup kita. Semuanya harus kita tempuh dengan tenang dan tabah kerana dalam kehidupan pasti ada pasang surutnya, baik kehidupan peribadi mahupun kerjaya.... Saya yakin, ramai yang masih membuka dairi 2010, sekadar untuk mengimbau kembali pelbagai azam yang telah ditanam, membelek-belek catatan peribadi yang mempunyai seribu erti. Ada antaranya yang terlepas pandang, tetapi ramai juga yang dapat selesaikan misi masing-masing.

Setiap kali menjelang tahun baharu, kita pasti akan menanam azam, biarpun azam tahun sebelumnya belum lagi dapat dicapai sepenuhnya. Azam sebenarnya menjadi pendorong kepada kita untuk terus meningkatkan usaha bagi mencapai sesuatu yang dihajati ataupun untuk mencapai suatu tahap yang lebih baik sama ada dalam kehidupan peribadi ataupun kerjaya.

Jangan berhenti menanam azam kerana azam akan membuatkan kita lebih bermotivasi.... Selamat menempuh cabaran 2011 dan selamat mencapai kejayaan yang lebih manis lagi untuk tahun baharu ini.....

Wednesday, January 5, 2011

Seperti ada yang tertinggal...


Sudah beberapa hari sesi persekolahan baru 2011 bermula.

Seperti biasa saya akan sampai ke sekolah antara 6.35 - 6.45 pagi... Kami bertiga, Pn. Rosnita, saya dan Che Pah antara guru yang sampai awal ke sekolah dan kereta kami diletakkan sebaris di tapak letak kereta di hadapan bangunan Blok B. Saya dan Pn. Rosnita seperti bergilir-gilir sampai paling awal ke sekolah. Biasanya, sebaik sahaja enjin kereta dimatikan, Che Pah pula akan menyusul... Kadang-kadang kami tiba serentak dan menjadi 'tukang buka pintu' bilik guru pada setiap pagi.

Sejak Isnin lepas... hati terasa seperti ada yang tertinggal... kereta Kenari biru tua pekat itu tidak lagi muncul. Suara ceria tuan punya Kenari yang biasanya memecah kesunyian Bilik Guru pada setiap awal pagi tidak lagi kedengaran. Tidak ada lagi bimbitan di kedua-dua belah tangannya yang menjadi tumpuan kami pada setiap pagi.... tudung 'awning' Thai Silk @ tudung lycra, dan pelbagai barang lagi, termasuk 'carrot cake' yang sangat enak hasil air tangannya, menjadi kerinduan kami.....

Kini, Che Pah @ Sharifah Murshida Bt. Syed Alwi sudah berada nun jauh di Bumi Kenyalang... Entah mengapa tiba-tiba terasa seperti ada yang tertinggal.... Mungkinkah kerana saya tidak sempat untuk memenuhi undangan ke kuarters kediamannya di Kem Bt 10 pada 10 Muharram yang lepas? Entahlah...

Pah, bacalah THMSI walaupun berkali-kali... banyak manfaat yang kita peroleh daripadanya. Apabila setiap kali membuka THMSI, ingatlah kepada seorang sahabat @ kakak yang kita pernah ditakdirkan bertemu di SMKTP....

Biarlah kerinduan kita bersatu bersama bayu Laut China Selatan....

Sunday, January 2, 2011

Bersekolah : Episod baru dalam hidup....







Tahun baru, bermulalah episod baru bagi semua kanak-kanak @ murid-murid sekolah. Ibu bapa mula sibuk menghantar anak-anak untuk mendaftar masuk ke sekolah, sama ada prasekolah / tadika, sekolah rendah ataupun sekolah menengah.

Esok, 3 Januari 2011, semua murid baru akan mendaftarkan diri ke sekolah yang telah ditetapkan. Setiap orang akan melalui pengalaman ini, tidak terkecuali diri saya.

Kini, ramai kanak-kanak sudah memasuki prasekolah seawal 4 tahun, jadi setelah tiba masanya untuk masuk ke sekolah rendah, mereka akan melangkah dengan penuh yakin, berbeza dengan zaman saya (dan rakan-rakan seangkatan) mula bersekolah dahulu.

Saya melalui zaman persekolahan di 3 buah sekolah, iaitu bermula di SRJK (Ingg) Kota (kini dikenali sebagai SK Seri Kota) sehingga Std 6. Kemudian, saya meneruskan persekolahan peringkat menengah rendah di SMK Kota, sebelum meneruskan pelajaran menengah atas di Maktab Sultan Ismail sehingga tamat Tingkatan 6.

Esok, dua orang anak saudara, Nurul Syamimi dan Mohd Afiq Haiqal akan masuk Prasekolah; Muhammad Aiman Syakir pula akan memulakan persekolahan Tahun 1 di SK Bandar Baru Sentul. Seorang lagi anak saudara, Shawaltul Najwa @ B pula akan melangkah ke sekolah menengah selepas berjaya mendapat 5A dalam UPSRnya baru-baru ini. Selamat menempuh pengalaman baru di SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur, semoga B akan terus melakar kecemerlangan di sekolah baru ...