CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, March 30, 2013

"Saya genap 8 bulan hari ini....." Hannan.


Semalam, Abah dan Mummy bawa Hannan balik ke Kuantan menjenguk Tok Ayah, Mak Tok dan Cik Dya.... Tiba di rumah IM8 melewati 3 petang kerana singgah di masjid di Bandar Muktafibillah.  Abah berhenti untuk solat Jumaat.   Tok Ayah, Mak Tok dan Cik Dya pasti terhibur dengan gelagat Hannan.

oh, pusatku,....

bergole-golek sampai masuk ke bawah kerusi....

atas ribaan Tok Ayah, sebenarnya Hannan sudah mengantuk tetapi masih nak main.....

Tengah hari tadi Hannan dibawa jalan-jalan ke ECM..... Sempena genap 8 bulan, Tok Ayah belikan Hannan 'walker'.  Hannan dapat berlatih untuk cepat berjalan....

suka benar Hannan kalau boleh jalan-jalan....

bersama Abah dan Mummy.....

singgah 'lunch', tp Hannan kena makan bubur di rumah.....

hadiah daripada Tok Ayah untuk Hannan....


Hannan bertolak balik ke KT bersama Abah dan Mummy sudah agak petang, tak boleh balik lewat sangat kerana esok Abah Hannan kerja pagi.....  Nanti Hannan balik lagi jumpa Tok Ayah, Mak Tok, Cik Dya, Ayah Long dan Umi.....

Tadi Hannan singgah jumpa Nanny An di Kuala Ibai Hotel & Resort....

Hannan baru saja sampai rumah di Kg Jeram.  Jam sudah melewati 11.15 malam.  Hannan dah mengantuk sangat, nak tidur dah....ZzzzzZzzzz...Zzzzz....

Selamat malam.





Thursday, March 14, 2013

JEJAK SEJARAH DI PEKAN SG LEMBING.....


13 MAC, Rabu - Persatuan Sejarah dan Persatuan BM SMKTP seramai 40 orang ahli bersama-sama 4 orang guru penasihat telah berkunjung ke pekan Sg Lembing, melawat sambil meninjau dan menghayati tinggalan sejarah di sana.  Kami ke Muzium Sg Lembing terlebih dahulu sebelum menjejak tinggalan sejarah di bekas tapak lombong bawah tanah yang dikatakan paling besar dan paling dalam di dunia....



Lawatan sambil belajar ini merupakan salah satu daripada aktiviti persatuan untuk tahun ini.  Kami mengadakan lawatan ini pada hari persekolahan, iaitu hari Rabu kerana menurut pihak pengurusan di sana, pada hari Sabtu dan Ahad terdapat ramai pengunjung dalam kalangan orang awam dan pelancong asing.  Bayaran yang dikenakan untuk seorang murid adalah sebanyak RM7.00 sahaja.


Berikut sedikit catatan tentang sejarah latar belakang dan asal usul pekan perlombongan yang tersohor suatu ketika dahulu.....

Nama Sungai Lembing dipercayai berasal dari perkataan ‘lembing’ sejenis senjata yang digunakan dalam perburuan. Kisahnya berkisar pada sekumpulan pemburu di satu kawasan hutan yang dikatakan telah melontar sebatang lembing pada seekor kijang. Dalam usaha kijang itu untuk menyelamatkan diri, kijang tersebut telah terjun ke dalam sungai dan hilang bersama-sama dengan lembing yang tercucuk di badannya.


Sungai Lembing merupakan sebuah pekan kecil yang terletak di dalam daerah Kuantan, Pahang Darul Makmur. Sungai Lembing dikenali sebagai pekan perlombongan kerana di sinilah wujudnya sebuah lombong bijih timah yang terdalam di dunia. Lombong bijih timah di sini berkembang maju ketika di era pemerintahan British dahulu, dan kini hanya tinggal sejarah yang amat unik.

dari jalan bertingkat berdekatan Shah Putra......


Jarak di antara Sg Lembing dengan bandar Kuantan ialah kira-kira 42km dan mengambil masa perjalanan selama lebih kurang 45 minit dengan menaiki kenderaan sendiri dan 1 jam dengan menaiki bas awam.  Berikutan kedudukan Sg Lembing yang agak jauh dari bandar, maka ramai yang tidak menyedari akan keunikan yang terdapat di sini, seperti keindahan alam semulajadi dan sejarahnya yang tersendiri. 


Setibanya kami di pekan Sg Lembing, kami disambut oleh Tok Empat salah sebuah kampung di sana, Pakcik Dol.  Pemandu bas yang kami naiki, Encik Zainal pula kebetulannya penduduk asal di situ telah banyak bercerita tentang rahsia di sebalik kegemilangan Sg Lembing suatu ketika dahulu.....ada fakta yang tidak direkod dalam catatan sejarah.   
 

Pekan Sungai Lembing pernah diibaratkan El-Dorado Timur di Tanah Melayu kerana di sini terletaknya sebuah perkampungan Inggeris yang istimewa di Lembah Sungai Kenau. Kegiatan perlombongan telah mewujudkan sebuah bandar sejak 100 tahun dahulu dan membuatkan pekan ini terkenal kerana lombong bijih timah bawah tanahnya adalah yang terdalam di dunia. Kedalamannya ialah antara 1,800 hingga 2,000 kaki di dalam perut bumi.


info sejarah pada dinding terowong.....


Walaupun Sungai Lembing merupakan sebuah kawasan yang terpencil, namun ia bertukar menjadi sebuah bandar yang berkembang maju hasil daripada kekayaan mineral yang bernilai tinggi. Kegiatan perlombongan bijih timah di Sungai Lembing bermula pada tahun 1906. Aktiviti ini dilakukan secara besar-besaran sebaik sahaja pengurusan perlombongan diambil alih oleh sebuah Syarikat British iaitu The Pahang Consolidated Company Limited (PCCL).

replika seorang pekerja lombong pada zaman kegemilangannya.....

Pada zaman kegemilangannya, Sungai Lembing dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas seperti sekolah, hospital, kedai, balai polis, rumah kediaman, sistem pengangkutan yang baik dan lain-lain lagi. Dianggarkan penduduk Sungai Lembing ketika itu ialah berjumlah 10,000 orang penduduk.


Namun dalam meniti zaman kegemilangan tersebut, Sungai Lembing digugat oleh beberapa peristiwa hitam. Antaranya ialah kebakaran bangunan-bangunan kedai pada tahun 1921, kejadian banjir besar pada 1926, penjajahan Jepun pada 1941-1945 dan ancaman komunis pada tahun 1950-an. Segala peristiwa itu menyebabkan PCCL terpaksa membelanjakan wang yang besar untuk membangunkan semula Bandar Sungai Lembing. Namun demikian, tamparan paling hebat adalah kejatuhan harga timah di pasaran dunia pada tahun 1985 yang menyebabkan PCCL mengalami kerugian dan terpaksa menghentikan operasinya. Aktiviti-aktiviti di Bandar Sungai Lembing menjadi perlahan dan begitu juga ekonomi hariannya.

daripada info sejarah di dalam terowong.....


Penutupan lombong bijih timah memberi banyak kesan negatif kepada Bandar Sungai Lembing. Ia telah merubah wajah bandar ini yang sebelum ini riuh menjadi sunyi sepi. Bilangan penduduk mulai berkurangan, dan ramai yang berhijrah mencari rezeki ke tempat lain. Bandar Sungai Lembing pada saat ini menjadi seperti bandar mati kerana suasananya begitu suram.


Kemegahan Sungai Lembing yang dahulunya dikenali sebagai pekan termoden pada zamannya hanya tinggal kenangan kepada bekas-bekas pelombong bijih timah di sini. Ramai yang datang ke sini telah memberi jolokan pekan koboi kepada Sungai Lembing.

"nasi dagang istimewa turun temurun ada di sini, mee jawa pun ada...." kata pemandu bas kami.....


Setiap penghujung tahun iaitu di antara bulan Oktober hingga bulan Disember Sungai Lembing sentiasa dilanda satu bencana alam yang memang dijangka akan berlaku. Hujan yang turun dengan lebatnya telah menyebabkan kawasan rendah di Sungai Lembing mengalami banjir. Banjir yang berlaku selalunya mencapai ketinggian setinggi 2 meter dan banjir yang terbesar pada tahun 2001 mencapai ketinggian 4 meter. Namun banjir yang berlaku ada kalanya kecil dan kadang kala boleh membawa malapetaka kepada penduduk Sungai Lembing.



Apabila banjir berlaku, jalan penghubung antara pekan ini dengan bandar akan terputus. Keadaan ini menyebabkan penduduk di sini terputus bekalan makanan yang memakan masa selama tidak lebih dari seminggu.
Sg Lembing sentiasa dilanda banjir  zaman-berzaman.....


Selepas banjir surut, pekan ini berada di dalam suasana yang amat kotor dan disaluti oleh lumpur yang tebal. Namun perkara ini dianggap biasa oleh penduduk di sini kerana penduduk di sini sudah biasa mengalami keadaan seperti ini apabila banjir melanda.


Kini Sungai Lembing telah berubah wajah setelah Sungai Lembing diwartakan sebagai salah satu kawasan pelancongan di negeri Pahang. Sungai Lembing juga telah diwartakan sebagai Pekan Bersejarah. Ini kerana, kegiatan perlombongan bijih timah pada waktu dahulu menjadikan Sungai Lembing kaya dengan sejarah perlombongan dan ramai pengkaji-pengkaji dari luar datang ke sini untuk mendapatkan ilmu tentang perlombongan bijih timah bawah tanah di sini.


Sebuah muzium telah dibuka untuk mengekalkan sejarah perlombongan di sini. Dengan adanya muzium di sini, suasana Sungai Lembing sekali lagi berubah wajah kerana ramai pengunjung dari dalam dan luar negeri datang memeriahkan susasana di Sungai Lembing. Keadaan ini pasti mengembalikan nostalgia bekas pelombong yang masih setia menetap di sini.


Selaras dengan pembukaan muzium, pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) telah meluaskan cawangannya di Sungai Lembing untuk menambahbaikan keindahan Sungai Lembing. Antara tempat yang dipulihkan ialah bekas tapak utama perlombongan dan Pekan Sungai Lembing itu sendiri. Usaha ini adalah untuk memudahkan pengunjung melawat ke tapak bersejarah itu. 



Hasil daripada usaha murni inilah telah membawa kami ke bekas tapak utama perlombongan yang suatu ketika dahulu menjadi rebutan banyak pihak, .... Semoga dengan lawatan ini akan meningkatkan kesedaran dan rasa bangga akan tinggalan sejarah di negara kita dalam kalangan generasi muda.

Terowong bawah tanah

Terowong bawah tanah atau 'pengkang' dikorek secara manual tanpa menggunakan bahan letupan. Sebelum kerja melombong dijalankan, ahli-ahli kaji bumi terlebih dulu mengkaji kedudukan longgokan bijih timah. Kajian dilakukan secara berterusan bagi memastikan aktiviti perlombongan akan terus beroperasi.

Terowong terdalam ialah lombong Myah. Lombong ini terletak 700 meter ke bawah dasar bumi manakala lombong Taibeto pula mencecah 500 meter ke dasar bumi. Jarak di antara setiap tingkat adalah lebih kurang 30 meter.  Lombong yang dibuka untuk tatapan pengunjung ialah lombong Taibeto..... kami dibahagikan kepada dua kumpulan dengan dua orang kakitangan yang bertugas memberi penerangan tentang lombong ini kepada kami

naik 'tren' untuk masuk ke dalam terowong sebelum memulakan perjalanan kami.....



info sejarah yang terdapat di dalam terowong lombong bawah tanah ini.....


tekun mendengar......
info sejarah.... syaf Myah.......
terus menjejak tinggalan sejarah......
kisah yang terjadi, misteri yang tersembunyi......

jalan ke syaf Myah ditutup....  kedalamannya mencecah  700m ke bawah tanah....
ingin mencuba......
semoga lawatan ini memberi manfaat kepada mereka.....

Di sepanjang jalan menjejak sejarah di dalam terowong, minda melayang ke era awal kurun ke-20..... banyaknya hasil bumi kita 'dirompak' dan dibawa pergi jauh ke negara mereka..... 

menyusuri jalan pulang setelah selesai jejak sejarah buat kali ini.....
mereka pulang bersama rentetan kisah yang kini tersimpan dalam lipatan sejarah....

tanda kenangan menjejak sejarah di pekan koboi.....

tanda kenangan......

 ..... secebis kisah tanah pusaka bonda tercinta yang kaya-raya, tetapi hasilnya dibawa pergi.....semuanya kini menjadi sejarah.....



Monday, March 11, 2013

Kore vs Corelle....




Pernahkah anda mendengar teka-teki dahulu kala :


"Ada seekor kuda sakti, badannya kayu, kepalanya besi, naik orang tidak berhenti, kadang petang, kadang pagi.."

Dalam kalangan generasi muda, mungkin agak sukar untuk mencari jawapan kerana benda ini hampir tidak lagi dijumpai di rumah-rumah pada hari ini, kecuali di MUZIUM..! Namun begitu, bagi mereka yang sudah biasa memarut kelapa secara tradisional, alat kukur kelapa @ kore tentunya terlintas di fikiran.

Saya terpanggil untuk menulis tentang tajuk ini kerana terpandang "kore" usang di rumah Mama beberapa hari lepas.... 

Kore atau kukur kelapa sememangnya tidak dapat dinafikan sudah tidak relevan dalam masyarakat moden hari ini. Kini, mesin kelapa elektrik lebih dikenali oleh generasi muda apatah lagi dengan lambakan santan kotak @ santan segera menyebabkan kukur kelapa @ kore sekadar menjadi barang antik @ barang pameran sama ada di muzium atau menjadi koleksi peribadi sesetengah individu yang mempunyai nilai sentimental yang tersendiri....

Menurut Kamus Dewan, kukur = kukuran ialah sejenis alat yang bergerigi hujungnya, digunakan untuk mengeruk (mengikis) isi kelapa. Daripada kata kukuran inilah terhasilnya sebutan "kore" dalam dialek Kelantan...!

Kukuran @ kore merupakan salah satu alat terpenting dalam kehidupan masyarakat Melayu, terutamanya di kawasan kampung. Kukuran merupakan alat yang tidak boleh dipisahkan dengan masyarakat Melayu tradisional kerana sebahagian besar resepi masakan masyarakat Melayu menggunakan santan kelapa. Kini, penggunaan kukuran semakin dilupakan oleh masyarakat sama ada di kampung, lebih-lebih lagi di bandar yang lebih cenderung menggunakan peralatan moden.

Biasanya, kukuran terdapat dalam bentuk kukur duduk, kukur kotak dan kukur silang. Kukur duduk mendominasi peringkat awal penciptaannya. Kore ini dibentuk daripada kayu empat segi untuk dijadikan tempat duduk dan diletakkan besi mata kukur di hujungnya. Bentuknya sangat mudah dan ringkas. Nilai barang kegunaan harian ini diangkat menjadi barang seni melalui kreativiti pengukir yang menambah motif ukiran pada badan, kaki, dan leher kukur.

Penciptaan kukur kelapa berubah selari dengan peningkatan teknologi sehingga terhasil kukur berbentuk kotak yang memudahkan pengguna menyimpan mata kukur dengan selamat selepas digunakan memandangkan mata kukur boleh dilipat masuk ke dalam kotak.

Sementara kukur silang pula boleh dilipat dan asas silangnya seperti sebuah rehal. Kukur ini dipercayai mempunyai pengaruh elemen agama dan budaya pembuatnya.

Kepelbagaian bentuk ukiran yang terhasil pada sesebuah kukur kelapa melahirkan aspirasi keindahan dan menjadi pemangkin perkembangan pemikiran dan kemajuan tahap tamadun bangsa yang menghasilkannya. Hasil kreativiti pengukir Melayu, kukuran direka bentuk berasaskan rupa bentuk binatang berkaki empat. Kebanyakan seni ukirnya terdapat di bahagian kepada dan kaki kukur dengan menggunakan motif alam semula jadi, flora dan awan larat.

Bentuk kukuran @ kore ini agak berbeza di antara satu kawasan dengan kawasan yang lain di negara kita berdasarkan pengaruh kesenian setempat. Kukur orang Melayu Pattani di Terengganu dan Kelantan misalnya banyak menggunakan motof daun sulur kacang, ketam guri dan ketumbit.

Untuk menghasilkan seni ukiran yang indah dan halus buatannya, pemilihan kayu yang sesuai sangat penting. Kukur biasanya dihasilkan dengan menggunakan kayu leban, cengal, dan nangka kerana ciri-cirinya yang tahan lasak, mempunyai urat kayu yang padat dan ira kayu yang halus serta mempunyai permukaan yang berkilat dan mudah disobek (ukir) menjadi antara kayu terbaik pilihan pengukir.

Generasi muda kini, terutama warga kota semakin melupakan peralatan tradisional kukur kelapa @ kore ini. Peralatan yang suatu ketika dahulu begitu popular kerap dikaitkan dengan masyarakat yang banyak menggunakan kelapa dalam bahan masakan, khususnya masyarakat Melayu. Penggunaan kukur kelapa pada zaman dahulu menjadi satu keperluan dalam sesebuah rumah kerana suri rumah menggunakannya untuk mendapatkan kelapa dan santan, setiap rumah mempunyai sekurang-kurangnya satu kukur untuk kegunaan seharian.

Saya masih ingat, semasa zaman kanak-kanak dahulu, di rumah Nenek Lijah @ Mok Lijah, terdapat sebuah kukuran @ kore duduk berbentuk seekor binatang berkaki empat. Ketika itu, kami tiga beradik sentiasa menanti peluang untuk duduk di belakang nenek atau Papa ketika nenek atau Papa sedang mengukur nyiur sambil bercerita dan bergurau senda. Secara tidak langsung, kore menjadi alat menambah kemesraan dan nilai kasih sayang antara ibu @ bapa dengan anak atau antara nenek dengan cucu-cucunya.... Dulu, di rumah Mama, ada sebuah kukuran @ kore silang. Pada akhir tahun 1970-an, kore itu sudah tidak digunakan....kini kore silang yang masih berfungsi dengan baik itu tersimpan di dalam stor di rumah Mama.

Kore vs corelle.....bunyinya hampir sama....

Setiap kali melihat pinggan corelle, saya pasti akan teringat akan kukuran @ kore. Ada kisah disebaliknya yang masih saya ingat hingga kini. Pada suatu hari, tahun 1988 saya bersama seorang sahabat KAK NAH (PN HJH SAPINAH - kini menetap di Bangi) yang sama-sama mengajar di SM Puteri masa tu singgah di sebuah kedai menjual barangan keperluan rumah yang terletak di hilir Pasar Besar MPKB. Kalau tak silap, nama kedai ini ialah Kedai Hajah Mariam. Sekarang rasanya kedai ni sudah tidak ada. Antara barangan yang dijual di kedai ini termasuklah kekabu, dapur arang, pinggan mangkuk, periuk dan keperluan rumah yang lain. Kami berhajat untuk membeli set pinggan mangkuk corelle.

Alkisahnya, apabila kami bertanya kepada pembantu kedai tersebut, (seorang remaja lelaki), dia mengatakan bahawa di kedainya tidak jual kore. Kami terpaksa menjelaskan beberapa kali, tetapi pemuda tersebut masih tidak dapat membezakan antara corelle dengan kore. Akhirnya kami terpaksa bertemu dengan towkeynya... Sampai kini, apabila tengok pinggan corelle, peristiwa di Kedai Mariam pasti akan menggamit memori....

Menyedari hakikat bahawa warisan tradisional seperti kukuran ini perlu dipulihara, Jabatan Muzium Malaysia pernah mengadakan pameran dan demonstrasi kukur kelapa pada suatu ketika dahulu. Pameran ini amat bermakna kerana selain dapat memartabatkan penggunaanya, ia juga dapat menghidupkan kembali fungsinya dalam realiti masyarakat kini. Penggunaannya yang semakin pupus berikutan kemunculan alat-alat memasak yang lebih moden menyebabkan ramai generasi muda kita tidak lagi mengenali apatah lagi tahu cara-cara menggunakannya. Oleh itu, pameran itu sekurang-kurangnya dapat mengimbau nostalgia generasi lama, di samping memberi peluang kepada generasi muda untuk menghayati tinggalan warisan nenek moyang kita suatu ketika dahulu yang harus dipelihara ini.

kore vs corelle....pasti menggamit nostalgia.....

Sunday, March 3, 2013

AGM PIBG - malam....

Buat pertama kalinya sepanjang perkhidmatan sebagai seorang pendidik, AGM PIBG diadakan pada waktu malam.  Ini merupakan AGM PIBG kali ke-38 di SMKTP.....



2 MAC 2013, Sabtu, tepat 8.00 malam, para hadirin dalam kalangan ibu bapa dan yang tentu sekali ramainya dalam kalangan guru SMKTP mengambil tempat.

Rasionalnya, mesyuarat agung kali ini diadakan pada waktu malam adalah untuk memberi ruang kepada ibu bapa/ penjaga untuk hadir ke mesyuarat.  Kononnya, pada siang hari mereka sibuk dengan tugasan dan tidak dapat hadir ke sekolah.  Itu kata merekalah.....

Sebagai AK Pendaftaran, sudah dijangka, kehadiran ibu bapa/ guru tidak banyak bezanya.... tidak lah sebagaimana yang diharapkan.


Walau bagaimanapun, mesyuarat yang bermula pada pukul 8.30 malam itu berakhir dengan jayanya pada pukul 10.00 malam.....

JUMPA LAGI TAHUN HADAPAN......