CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Monday, May 31, 2010

Menjejak Warisan Sejarah (1)


Porta De Santiago atau lebih dikenali sebagai A Famosa ialah bangunan bekas sebuah kubu pertahanan Portugis.

Sudah lama tidak singgah di sini. Kali pertama berkunjung ke Kota A Famosa ialah pada 1982. Selepas itu ketika menetap di KL, kami beberapa kali datang ke sini bawa anak-anak ketika mereka masih kecil. Perjalanan dari KL - Melaka tidaklah mengambil masa yang lama.

Setelah anak-anak mula menganjak usia remaja, kami tidak pernah singgah lagi ke sini ketika sekali-sekala berkunjung ke Melaka. Hanya lihat dari jauh. Paling akhir kami jejak kaki di tapak kota itu ialah lebih kurang 15 tahun yang lalu.

Kesempatan pada hujung minggu lepas membawa saya sekali lagi menjejak warisan sejarah sambil bersantai.... Kami berdua menghabiskan masa tengah hari Sabtu itu berjalan-jalan sambil melihat orang ramai termasuk pelancong asing berkunjung di kawasan sekitar dan sibuk merakamkan foto kenangan. Berbanding 15 tahun yang lalu, memang banyak perubahan di sekitar Bandar Hilir Melaka. Kawasan menjadi semakin sesak. Padang Merdeka sudah digantikan dengan Dataran Pahlawan. Kalau dulu, di sinilah tempat pengunjung mengelilingi padang dengan kereta lembu, tetapi kini hanya ada replika kereta lembu....

A Famosa ialah bangunan bekas sebuah kubu pertahanan Portugis. Kota ini dibina oleh Alfonso d'Albuquerque pada tahun 1512. Kota ini diletupkan oleh William Farquhar pada tahun 1807. Yang tinggal kini hanyalah pintu gerbangnya sahaja.

Menurut catatan sejarah, kedatangan Diego Lopez de Sequiera yang bertindak membina sebuah gudang di Melaka pada tahun 1509, tanpa kebenaran daripada Kerajaan Melaka telah menimbulkan kemarahan Sultan Melaka. Lalu, orang-orang Lopez de Sequiera ditangkap dan dipenjarakan. Peristiwa itu dijadikan alasan oleh Alfonso d' Albuquerque untuk menyerang dan menakluki Melaka. Kebetulan pula, Kerajaan Melayu Melaka ketika itu sedang mengalami perpecahan. Sultan Mahmud Shah telah menjatuhkan hukuman bunuh terhadap Bendahara Tun Mutahir atas tuduhan merancang untuk merampas kuasa dan menggulingkan Sultan.

Akhirnya, pada tahun 1511, Sultan Mahmud Shah dan sebahagian rakyatnya terpaksa berundur ke Johor dan akhirnya membuka negeri di Pulau Bintang, di Selat Melaka.

Apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis, Sultan Mahmud Shah cuba mendapatkan takhtanya kembali di Melaka. Malangnya, serangan yang dilakukan tidak dapat menembusi kubu Portugis, iaitu
Kota A Famosa, malah percubaan Acheh juga menemui kegagalan. Percubaan terbesar untuk mengalahkan Portugis oleh Melaka dibuat pada tahun 1558. Armada Acheh yang membabitkan 300 buah kapal perang dan 15,000 orang askar dengan bantuan pasukan meriam yang dibawa oleh Turki mengepung A Famosa selama sebulan, tetapi digagalkan oleh ketibaan ribuan bantuan tentera Portugis dari Goa.

Ketika Belanda mula berkuasa, Belanda telah membuat serangan ke kubu ini. Dalam serangan itu, kubu ini telah dimusnahkan. Walau bagaimanapun ia telah dibina semula. Oleh sebab itulah, tercatat tarikh 1670 pada pintu kubu ini. Di atas tarikh ini tertera lencana Syarikat Persekutuan Belanda Timur India @ Syarikat Hindia Timur Belanda @ VOC...

Kubu yang dinamakan
'A Famosa" ini dimusnahkan lagi pada tahun 1807 oleh William Farquhar, seorang berbangsa Inggeris apabila Melaka jatuh ke tangan mereka. Pihak Inggeris juga ingin memusnahkan kubu lama ini, tetapi diselamatkan pula oleh Sir Stamford Raffles.

Di hadapan Kota inilah, pada 26 Februari 1956,
berita tentang tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah diumumkan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra di Padang Bandar Hilir, Melaka dan didengari oleh kira-kira 50,000 orang. Berita itu telah 'didengari' oleh gerbang A Famosa, Kota Melaka yang telah terpaku di negeri ini sejak 1512....

Teringat lirik lagu masa nyanyi koir zaman sekolah rendah dulu....
Kalau roboh Kota Melaka.. trek... tek... tek...
Papan di Jawa saya dirikan...trek... tek...tek..
kalau sungguh bagai dikata,
..... lupa lirik ..... .. trek... tek... tek...

Jadi, yang ada kini hanyalah sisa-sisa peninggalan Kota A Famosa yang tersirat 1000 makna untuk kita jadikan renungan dan ikhtibar....

Thursday, May 27, 2010

KERANA HEADCOUNT...

Sebagaimana yang dijanjikan, saya akan paparkan secebis kisah yang dipetik daripada buku BRONTOK, yang ditulis oleh PN. HJH NORBI HUSIN (2008).

Sama-samalah kita hayati cerita ini ....

++++++

Petang ini saya didatangi sekumpulan tetamu. Saya membawa mereka semua ke Bilik Mesyuarat Kesidang yang tidak jauh dari pejabat saya agar kami mudah berbincang. Setelah mengambil tempat duduk masing-masing, Encik Harry (Setiausaha NUTP) memperkenalkan ahli-ahli jawatankuasa kesatuannya kepada saya. Walaupun saya memandang setiap ahli yang datang namun dalam kepala saya masih terus memikirkan mengapa mereka ini semua mahu berjumpa saya.
"Boleh beritahu saya mengapa ramai sangat yang hendak berjumpa saya ni ?" tanya saya sebaik-baik sesi perkenalan selesai. Dalam hati terus berdoa agar perbincangan yang bakal berlaku sebentar lagi akan berjalan lancar.
"Ini pasal headcount lah Puan Hajah," jawabnya.
Sepantas kilat saya sudah dapat meneka mungkin headcount yang saya minta semua sekolah melaksanakannya tahun ini telah menimbulkan masalah kepada guru-guru sekolah. Pasti ramai yang membantahnya. Walau bagaimanapun, saya berazam akan terus mempertahankan sekiranya mereka berkeras membantahnya.
"Kenapa pula dengan headcount? Ada masalahkah?" tanya saya berpura-pura tidak mengetahui perasaan mereka.
"Beginilah Puan Hajah, sejak Puan Hajah meminta semua guru melaksanakan headcount, kami guru-guru berasa beban tugas kami sudah semakin bertambahlah! Banyak rungutan yang kesatuan terima. Kami mahu Puan Hajah jelaskan sedikit kepada siapa headcount ini hendak dijalankan, sebab lain pengetua lain penerangannya," katanya. Tersenyum saya mendengar kata-kata Encik Harry.
Ahli yang lain nampaknya mengangguk tanda bersetuju dengan kata-kata rakannya itu.
"Oh, begitu!" saya terbayang muka beberapa orang pengetua ketika saya menyampaikan taklimat headcount kepada mereka di Hotel Blue Wave tempoh hari.
Ada antara mereka sangat serius mendengarnya dan mencatat penerangan yang saya sampaikan tetapi ada segelintir yang sentiasa keluar masuk dewan, resah bagai ibu ayam yang sedang mengeram telur. Barangkali yang sering keluar masuk dewan inilah agaknya yang kurang faham, lalu apabila menerangkan kepada guru-guru mereka, penerangannya juga menjadi tidak jelas, fikir saya.

Sebelum saya menjawab soalan Encik Harry, saya mahu beliau dan rakan-rakannya itu menerangkan kepada saya, apa antara rungutan guru-guru yang mereka dengar. Daripada situ saya lebih mudah menjawab soalannya. Wah, banyak yang saya dapat tahu daripada mereka ini!
"Saya rasa apabila headcount ini diperkenalkan, beban tugas kami semakin bertambah. Sudahlah kami terpaksa menyediakan Buku Adab Belajar setiap pelajar, kami kena pula buat headcount! Bukankah itu menambah beban kami?" kata si A.
"Apa pentingnya kami buat headcount Puan Hajah? Selama ini pun kami mengajar dan menguji pelajar mengikut tajuk-tajuk pelajaran yang kami ajar!" kata pula si B.
Saya ni ketua panitia mata pelajaran Sejarah. Sudah bertahun-tahun saya memegang tugas itu. Kerja saya beres, habis kenapa kami kena buat headcount?" kata si C.
"Saya fikir headcount dibuat kepada pelajar kumpulan target sahaja. Tak perlu buat kepada semua pelajar. Mana guru ada masa hendak buat headcount, kerja yang sedia ada pun sukar hendak dihabiskan!" kata pula yang lain.
Pendek kata hampir semua yang datang ini menyatakan rasa tidak senang mereka dengan projek saya ini. Saya membiarkan mereka bebas bercakap, setidak-tidaknya apa yang terbuku di hati mereka sudah dapat diluahkan. Sekiranya saya menutup pintu perbincangan, sudah tentu kesannya akan lebih buruk lagi. Lagipun bukankah negara kita ini mendukung demokrasi? Semua orang bebas memberi pendapat.

Sebaik sahaja mereka selesai memberikan komennya, saya meminta Encik Harry menjawab beberapa soalan saya secara jujur bukan kerana mahu mempertahankan pendapat rakan-rakan gurunya. Encik Harry tersenyum mendengar permintaan saya.
"Encik Harry mempunyai seorang anak yang belajar di darjah 2. Gurunya tidak pernah memarahi anak Encik Harry walaupun anak Encik Harry tidak membuat kerja sekolah yang diberi, atau tidak masuk ke kelas atau mencuri duit rakannya. Guru itu takut hendak menegur atau menasihati anak Encik Harry kerana Encik Harry orang kuat kesatuan. Apa pendapat Encik Harry kalau sikap guru seperti ini?" kata saya.
"Eh, tak bolehlah Puan Hajah. Gurunya tak bolehlah buat macam ni!" jawabnya selamba.
"Kalau anak Encik Harry lemah dalam sesuatu mata pelajaran dan markah ujian bulanannya juga sentiasa menurun tetapi guru tidak pernah mengambil tahu kelemahannya, jauh sekali melihat aspek mana yang anak Encik Harry itu lemah untuk dibuat pengukuhan, alasannya beliau tidak ada masa, sukakah Encik Harry dapat guru seperti ini?"
"Gurunya tak patut buat macam tu! Beliau patut ajar anak saya sampai faham! Tetapi kami semua bukan macam tu!" Saya tertawa mendengar jawapannya
"Okay, kalau Encik Harry tidak suka sikap guru seperti itu, maknanya Encik Harry dan rakan-rakan Encik Harry suka guru bertanggungjawab dan komited dengan tugasnya bukan! Tentu Encik Harry suka guru-guru yang mengenali murid-murid atau pelajarnya, tahu kelemahan pelajar mereka dan kemudian membantunya. Kalau Encik Harry suka guru seperti ini, inilah yang dimaksudkan guru ini membuat headcount ke atas murid-muridnya. Mereka bukan sahaja mengenali murid-muridnya, malah tahu kekuatan dan kelemahan muridnya dan membantu. Headcount ini bukan sesuatu yang baru. Datuk nenek kita dahulu pun kalau mereka menjadi guru, mereka sudah buat headcount ini. Mereka kenal anak-anak muridnya secara mendalam sehingga emak bapa dan datuk nenek muridnya pun mereka tahu ! Sebab itu mereka rapat dengan anak muridnya. Tidaklah anak muridnya jahat dan biadab dengan gurunya," jelas saya panjang lebar.
Encik Harry dan rakanrakannya terdiam, tetapi saya tahu mereka masih belum dapat menyokong projek saya ini kerana mungkin mereka bukan seperti guru yang mengajar anak Encik Harry. Saya harus terus mempengaruhi mereka ini.
"Saya tahu, mungkin Encik Harry dan rakan-rakan Encik Harry memang mengambil tahu setiap pelajar Encik Harry. Tetapi ramai guru di luar sana, tidak kisah pun hal tersebut. Bagi mereka, datang sekolah, tugasnya mengajar pelajar. Dapat atau tidak apa yang diajar, itu bukan tanggungjawabnya. Malah ada guru kita, nama pelajar pun mereka tidak tahu!" Kata saya.
Saya kemudian memberi beberapa contoh yang kami temui semasa kami membuat penyeliaan dan pencerapan di sekolah. Saya nampak Encik Harry dan rakan-rakannya mula mengerti mengapa saya perkenalkan headcount ini ke sekolah-sekolah tahun ini.
"Okaylah Puan Hajah, sekarang saya fahamlah. Tetapi kerja kami sudah semakin bertambah. Banyak borang yang perlu diisi," jawabnya.
"Encik Harry, kerjaya guru ni satu kerjaya yang profesional, macam juga doktor. Kalau kita pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan, tentulah doktor itu akan melihat rekod kesihatan kita dan kemudian memeriksa kita. Mereka tidak terus memberi ubat kepada kita tanpa melihat rekod kesihatan dan menjalankan pemeriksaan. Rekod kesihatan tu penting bagi membantunya melihat perkembangan penyakit kita. Macam tu jugalah guru. Mereka patut menyimpan rekod murid-muridnya. Setiap ujian, turun naik markah perlu direkodkan agar mereka tahu prestasi muridnya. Kalau mengikut rekod, markah markah murid itu sentiasa menunjukkan penurunan, guru harus siasat mengapa keadaan itu berlaku sebelum buat rawatan ke atas murid itu. Kalau guru tidak menyimpan rekod turun naik markah murid-muridnya, bolehkah guru itu ingat setiap prestasi anak muridnya?"
Banyak lagi yang saya huraikan. Tujuan saya menghuraikan panjang lebar hal ini kerana saya mahu mereka semua sedar bahawa kerjaya guru ini ialah satu kerjaya yang profesional. Bukan jadi guru kerana tidak dapat kerja lain.

Saya bersyukur, berkat kami berbincang secara jujurdan ikhlas ini, akhirnya mereka semua bersetuju menjayakan projek headcount yang sudah lama dipraktikkan oleh guru-guru pada zaman penjajah tatapi telah dilupakan pada zaman ini.

Itulah secebis coretan pengalaman seorang Ketua Sektor Pengurusan Akademik di JPN. Melaka) ... yang baik jadikan teladan.... berguru dengan buku....

PKKP & Kenangan...




Dalam Mesyuarat Guru awal minggu ini, Tuan Pengetua sekali mengingatkan semua guru tentang 'headcount'. Dulu-dulu masa di SMKJ2, pengetua pada waktu itu, PUAN HJH MAIMUNAH TAIB (kini, Ketua Sektor Unit Penilaian & Peperiksaan di JPNP) dan juga GPK1, Tn Hj Ansari Noorudin seringkali mengingatkan guru-guru tentang PKKP - TOV, HC, AMP1, AMP2, AMP3, AMP 4, Folio A & Folio B... bla..bla..bla...

Teringat masa mula-mula bertugas di SMKJ2, tahun 2000. Masa tu saya ditempatkan di sebelah petang. Mengajar Ting. 1 & 2. Apabila KP menyebut Folio A dan Folio B, tergambar dalam minda saya... Folio KH! Betapa ketinggalannya saya ketika itu....!Setelah beberapa minggu bertugas, barulah saya tahu apa sebenarnya Folio A & Folio B dan PKKP. Waktu itu, saya rasa saya tidaklah ketinggalan sangat, kerana ada juga rakan-rakan guru yang sudah lama diperkenalkan dengan PKKP ni, masih lagi 'teraba-raba'...!

Di mana-mana JPN, pasti terdapat program peningkatan pendidikan seumpama itu, cuma namanya sahaja yang berbeza. Ikut pengurusan tertinggi di JPN masing-masing. Pernah suatu ketika program peningkatan pendidikan di JPWP dikenali sebagai 'OPERASI CERDIK'. Prestasi sekolah akan ditentukan mengikut warna bagi 5 bidang utama iaitu pengurusan, kurikulum, kokurikulum dan keceriaan, bina insan. Warna biru, hijau, kuning dan merah. Sudah lupa susunan warna tu. Pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa oleh pegawai-pegawai JPWP. Itu lebih 10 tahun yang lalu. Beberapa tahun lepas, semasa saya sempat berkhidmat di Kelantan, program peningkatan pendidikannya dikenali sebagai Program JUARA... sekarang tak pastilah pula apa nama programnya...sekali bah, sekali pantai berubah...!

Walau apa nama program sekalipun, guru-guru memang diminta untuk sentiasa membuat Headcount, iaitu satu kaedah melakukan penyemakan ke atas calon berpotensi (cemerlang - sederhana - HALUS). Kaedah ini hendaklah dilakukan secara berterusan untuk mengetahui sama ada sekolah atau murid mencapai target yang ditetapkan.

Saya mula betul-betul mengenali PKKP setelah saya secara langsung terlibat dengan program tersebut pada tahun berikutnya di SMKJ2. Ketika itu, saya mula 'menggali' apa sebenarnya PKKP ini.

Saya difahamkan bahawa program PKKP mula diperkenalkan oleh JPNP pada sesi tahun akademik 1994/1995 sebagai satu usaha untuk mempertingkat prestasi pendidikan di Pahang yang tidak begitu membanggakan sebelum itu. Mendahului program ini ialah Program Perancangan Lima Tahun atau "Blue Print" Sekolah (BPS) yang dilaksanakan semenjak 1986 di semua sekolah di Malaysia.

Semasa saya mula bertugas di SMKJ2, Program PKKP sudah melalui fasa kedua pelaksanaannya. PKKP Edisi Kedua ketika itu telah melalui proses penambahbaikan dalam konsep dan dokumen perancangan berbanding dengan edisi pertama dengan memberi penekanan kepada kemajuan Kurikulum, Bina Insan, Kokurikulum, Keceriaan dan Pengurusan Sekolah. Walau bagaimanapun, kesinambungan semangat PKKP yang berteraskan 'kolaboratif, partisipatif' dan 'ownership' diteruskan kerana kejayaan PKKP bergantung kepada kesedaran, iltizam dan semangat kerja sepasukan.
Saya masih ingat lagi ketika di SMKJ2, sesi debriefing kerap dilakukan. Debriefing ialah satu kaedah pelaporan, guru-guru akan melaporkan tindakan kepada Pengetua / GB atau Pengetua kepada PPD atau PPD kepada JPNP. Debriefying dilakukan hasil daripada pemantauan yang dibuat oleh pihak yang telibat. Ini bermakna, pegawai-pegawai dari PPD Maran keraplah 'menjenguk' kami di sekolah untuk melakukan pemantauan ketika itu... (selain pemantauan daripada pihak pentadbir sekolah)!

Seingat saya ketika itu, Pengetua sekolah dalam PPD Maran secara bergilir-gilir akan menjadi Pengerusi bagi sesi pelaporan itu. SMKJ2, SMK Maran dan SMKJP merupakan antara sekolah yang kerap dipilih menjadi pengerusi... Saya masih ingat, Bilik Gerakan kenalah sentiasa'hidup' dan 'bergerak' dengan data dan info terkini. Bilik PKKP juga diwujudkan bersebelahan dengan Bilik Ketua Bidang... semua fail panitia ditempatkan di Bilik PKKP mengikut Bidang. Pemantau akan membuat pemantauan fail panitia di bilik ini tanpa perlu mencari Ketua Panitia di Bilik Guru, kecuali ada perkara yang perlu dibincangkan. Papan Kenyataan Umum sekolah hendaklah dilengkapkan dengan maklumat PKKP (Target sekolah, TOV, HC dll) dan dikemaskini dari semasa ke semasa.... Itu dulu, mungkin kini SMKJ2 semakin ke hadapan dalam memantapkan Program PKKP ini.

Kini, PKKP telah masuk fasa ketiga. Konsepnya masih sama tetapi terdapat beberapa penambaikan selari dengan perkembangan semasa. Istilah juga ada yang baru... OTI, ETR... TOV & HC masih kekal. Program pengisian terkini memberi ruang untuk saya menambah ilmu... Di sini, di SMKTP saya masih belajar... berguru dengan guru... terima kasih Mr. Choy , sifu PKKP di SMKTP... terima kasih kepada barisan pentadbir yang memberi ruang untuk saya menimba ilmu...

Pengalaman yang ditimba dan dikutip di beberapa 'persinggahan' dalam tempoh hampir 2 dekad setengah ini merupakan ilmu yang tidak ternilai yang akan saya kendong dan manfaatkan demi tugas yang diamananahkan....
Terima kasih semua.

bersambung dalam entri seterusnya... masih tentang 'headcount' ... yang dipetik dari buku "BRONTOK", tulisan Pn. Hjh Norbi Husin.

Monday, May 24, 2010

Kang Kong @ Pekong Tin


Zaman kanak-kanak dahulu kita bebas bermain. Suasana kampung yang semulajadi serta selamat membenarkan.

Daya kreativiti, kelasakan dan ketahanan fizikal dibentuk dan diasah tatkala kita bebas belajar. Belajar daripada alam. Alam yang hidup. Alam yang berzikir. Membuatkan ingatan terus kepada Pencipta Alam. Indah!

Tidak ada permainan, permainan difikirkan.
Tidak ada alat mainan, alat mainan dihasilkan.

Tidak ada swimming pool, sungai medan latihan.
Itulah nikmat dan kelebihan zaman dahulu yang bebas belajar dari alam semulajadi.
Kini, segalanya terhad. Kebebasan terhad, keselamatan tergugat, masa bersama anak-anak tidak sempat. Hasilnya, kreativiti tersekat. Namun, masih punya alternatif. Sesuaikan pembelajaran dengan zaman. Andai bermain di luar rumah kurang selamat, ruangnya terhad, banyakkan aktiviti bermain di dalam rumah. Sekali sekala ke luar, belajar dari alam boleh diusahakan.

Sebagaimana yang dijanjikan, entri saya kali ini ialah tentang permainan Kang Kong atau pekong @ petong tin ialah sejenis permainan mencari orang yang menyorok yang dimainkan pada zaman kanak-kanak dahulu. Lebih kurang sama dengan main nusut, cuma permainan ini memerlukan sebuah tin kosong bertutup dan diisi dengan beberapa ketul batu kecil. Kawasan permainan ialah kawasan yang banyak pokok atau tempat berselindung supaya mudah pemain bersembunyi. Jumlah pemain sekurang-kurangnya 5 orang terdiri daripada kanak-kanak lelaki dan perempuan dalam lingkungan umur 7 -12 tahun...

Sebelum permainan dimulakan, pemain melukiskan satu bulatan bulat di atas tanah dan meletakkan tin di tengah-tengah bulatan. Para pemain membuat undian untuk menentukan pemain yang akan menjadi pencari. Para pemain, termasuk pencari berdiri di dalam bulatan. Salah seorang pemain akan mengambil tin dan melontarkannya seberapa jauh yang boleh, oleh sebab itulah permainan ini juga dikenali sebagai pekong @ petong tin...! Pencari akan pergi mengambil tin yang dipekong itu sementara pemain lain akan menyembunyikan diri masing-masing. Pencari akan meletakkan kembali tin itu di tengah-tengah bulatan dan mula mencari pemain yang bersembunyi.

Apabila pencari dapat mencari salah seorang daripada pemain yang bersembunyi tadi, dia memanggil nama pemain tersebut sambil menuding jarinya ke arah tempat pemain itu bersembunyi. Pencari berlari semula ke bulatan dan menyentuh tin dengan kakinya. Pemain yang telah dijumpai ini tidak boleh bermain lagi. Pencari akan terus mencari pemain yang lain.


Permainan ini mempunyai beberapa peraturan :

1) pemain yang telah dijumpai boleh bermain semula sekiranya dia dapat menyepak tin keluar daripada bulatan terlebih dahulu sebelum daripada pencari.
2) sekiranya pemain dapat menyepak tin keluar dari bulatan tanpa dilihat oleh pencari, permainan akan dimainkan semula dengan pencari itu juga menjadi pencari.
3) sekiranya pencari berjaya mencari semua pemain, pemain yang pertama dijumpai akan menjadi pencari pula.

Begitulah seterusnya permainan diteruskan seberapa banyak pusingan yang mungkin sehingga permainan tamat. Pemain yang paling banyak kali menjadi pencari dikira kalah...

Dulu semasa zaman kanak-kanak, gelanggang @ venue yang paling kerap menjadi tempat kami main petong @ pekong tin adalah di pekarangan rumah Pok Long.,.. sebelah rumah Nenek Lijah. Tin berisi anak-anak batu itu akan dibaling @ dipekong ke arah semak di dalam kawasan tanah Nenek Lijah (yang kini menjadi pekarangan rumah Pok Muda Leh)... Sesiapa yang menjadi pencari, jenuhlah mencari tin itu.

Kami pula akan berlari ke segenap tempat di sekeliling rumah Pok Long untuk bersembunyi. Banyak juga tempat yang strategik... antaranya di sebalik rimbunan pokok katak puru @ nam-nam, di sebalik telaga, di bawah rumah (rumah Pok Long agak tinggi),di belakang rumah padi, dll... Masih saya ingat lagi teman-teman sepermainan yang sama-sama memeriahkan permainan... antaranya ialah Cucu-cucu Pok Long (Ana, Norma, Che Hasim, Che Hassan, Siah, Hasbullah), saya bertiga beradik, dan beberapa orang lagi...

Walaupun anak-anak zaman kini tidak sempat menikmati suasana kampung yang punya keunikan tersendiri lagi semulajadi, mereka masih boleh menontonnya menerusi "KAMPUNG BOY" di tv. Terima kasih Dato` Lat, terima kasih Kampung Boy.


...secebis kenangan di alam kanak-kanak...

Friday, May 21, 2010

TOR NUSUT


"Main Acilut (Sembunyi-sembunyi) Akhirnya Bawa Padah..."

Ini merupakan tajuk berita dalam akhbar harian perdana yang disiarkan pada Khamis, 25 Mac 2010. Kejadian malang yang dilaporkan oleh MUGUNTAN VANAR ini berlaku di Sabah.

Ia bermula dengan main sorok-sorok atau sembunyi-sembunyi oleh sekumpulan kanak-kanak di Penampang, Sabah tetapi malangnya berakhir dengan kematian.
Benhar, 7, telah ditemui di belakang but sebuah kereta yang sedang dibaiki di sebuah bengkel 36 jam kemudian... hasil siasatan mendapati, kanak-kanak tersebut bermain dengan sekumpulan kanak-kanak yang lain bersembunyi di belakang but kereta berkenaan yang telah pun tersadai di bengkel itu sejak tiga bulan lalu. Dipercayai, kanak-kanak itu terperangkap selepas dia terkunci dari dalam dan gagal melepaskan diri....
Berita ini mengingatkan saya pada zaman kanak-kanak dahulu. Aci sorok @ sembunyi-sembunyi ini kami panggil "Main Nusut" atau Tor Nusut mengikut dialek Kelantan. Menurut Kamus Dewan, 'tor' membawa maksud sejenis permainan kanak-kanak.

Di beberapa tempat, permainan ini dinamakan juga sebagai main sorok-sorok. Permainan nusut seakan-akan permainan kang kong @ petong tin @ pekong tin.

Tor nusut menguji kecekapan seseorang untuk mengagak tempat orang lain bersembunyi. Kanak-kanak lelaki dan perempuan dalam lingkungan umur 7 hingga 12 tahun amat menggemari permainan ini. Jumlah pemain sekurang-kurangnya 3 orang. Lebih ramai yang bermain, lebih mendatangkan keseronokan dan bertambah meriah lagi bagi mereka.

Sebagai permainan luar rumah, Tor Nusut memerlukan kawasan yang luas. Oleh itu, kawasan persekitaran rumah akan dijadikan gelanggang atau kawasan yang banyak pokok supaya mudah pemain bersembunyi. Tor nusut juga boleh dimainkan di dalam rumah. Tiada sebarang alat diperlukan untuk permainan ini.

Para pemain menetapkan terlebih dahulu tempat atau benda yang boleh 'mematikan' permainan pencari. Biasanya, sebatang pokok atau tiang akan dijadikan ibu atau rumah, iaitu induk untuk pemain yang akan mencari rakan mereka yang menyorok. Sebelum permainan dijalankan, kesemua pemain akan mencari seorang yang dinamakan pencari. Undian secara "lai lai li tam plong" atau "o zom" dijalankan kepada semua pemain.

Setelah pencari ditentukan, dia akan menutup mukanya (dengan kedua-dua belah tangan) di rumah @ induk, sambil pemain lain menyembunyikan diri masing-masing. Kiraan akan dibuat 1 hingga 10 @ 20 @ kurang bilangannya secara kuat (tidak ditentukan). Kemudian, pencari akan bertanya :
"Aci dah ke?"
Sekiranya pemain lain menjawab "kuluk" (sudah sedia), pencari akan mula mencari para pemain yang bersembunyi di sekitar kawasan yang telah ditetapkan. Jika terdapat pemain yang menyorok di luar kawasan yang telah ditetapkan, dia dikira 'jadi 'dan akan mengambil peranan sebagai pencari pula.

Apabila pencari telah menjumpai seseorang pemain, hendaklah disebut dengan kuat namanya. Pemain tersebut hendaklah keluar dari tempat persembunyiannya. Pencari akan terus mencari pemain lain sehingga semua pemain dapat dicari.

Pemain boleh "mematikan" permainan pencari dengan mencuit tempat atau benda (rumah @ induk) yang telah ditetapkan pada awal permainan tanpa dapat dilihat oleh pencari sambil meneriak "Chok!". Apabila ini berlaku, semua pemain akan keluar dari tempat persembunyian masing-masing dan pencari akan menjadi pencari semula. Sekiranya semua pemain dapat dicari dan tidak ada seorang pemain pun yang "mematikan" permainan pencari, pemain yang pertama dijumpai akan menjadi pencari pula pada pusingan seterusnya.

Begitulah caranya permainan diteruskan seberapa banyak pusingan sehingga tamat. Pemain yang paling banyak kali menjadi pencari dikira kalah.
Masa zaman kanak-kanak, kami 3 beradik, (Aku, Noni dan Kak Roslena) selalu main nusut di dalam rumah, sama ada di rumah Nenek Lijah, rumah Mok Abe (satu-satunya kakak Mama) bersama 2 orang saudara sepupu ( Abg Die & Kak Chik Ani - Dr. Haniah, kini Pengarah Hospital Besut) ataupun di rumah kami sendiri. Ada beberapa tempat strategik yang kerap kami gunakan untuk bersembunyi. Kadang-kadang sampai sudah tak dapat jumpa semua pemain, dan akhirnya terpaksa diberhentikan permainan. takut nanti ada yang menangis....Indahnya zaman kanak-kanak kita dulu...
Itu dulu, kini semuanya sudah berubah.

Kecanggihan teknologi hari ini telah menimbulkan fenomena baru, iaitu kegilaan terhadap "computer game" dalam kalangan generasi muda, lebih-lebih lagi kanak-kanak. Fenomena ini menyebabkan permainan tradisi nenek moyang kita ini semakin tersisih dan hilang daripada kamus hidup anak-anak kita.
"Mak, Adik sempat dan pernah main sorok-sorok dengan Abe dan Emi dalam rumah kita di Ampang masa kecil-kecil dulu. Bukan nusut, tapi 'hide & seek'...."
Main aci sorok, sembunyi-sembunyi atau nusut... suatu ketika dahulu dapat mengeratkan ikatan persaudaraan dan kekeluargaan. Fikir-fikirkan lah...

"...siapa ye yg sedang 'nusut' di balik pintu tu...? Ni mesti takut 'nak pukul' gambar ...!"

entri selepas ini, permainan petong tin @ kang kong...

Thursday, May 20, 2010

ULASAN BUKU 2

Saya memilih buku "GURUKAH AKU ATAU ....?" untuk diulas bagi memenuhi pengisian program LADAP 2 bagi tahun 2010.

Buku yang mengandungi 5 bahagian dengan 95 tajuk, ditulis dalam 279 halaman ini merupakan sebuah karya berdasarkan coretan pengalaman pengarang semasa menjadi murid, guru dan pengetua sekolah. Tingkah laku guru-guru yang lihatnya telah digambarkan melalui cerita-cerita dan episod-episod dipersembahkan dengan gaya menarik dengan ilustrasi yang melucukan.

BAHAGIAN PERTAMA pengarang memaparkan pengalaman beliau semasa belajar di sekolah rendah. Beliau berkongsi pengalaman bersama guru-gurunya yang mempunyai ciri-ciri yang cukup istimewa semasa sekolah rendah dahulu. Teknik pengajaran mereka dan sifat-sifat keibubapaan yang ditunjukkan sehingga pengarang dan rakan-rakannya tidak jemu belajar, dipaparkan oleh pengarang dengan menarik sekali.

BAHAGIAN KEDUA
pengarang menulis pengalamannya semasa belajar di sekolah menengah. Beliau mencatatkan bahawa pada peringkat umur begini (13 – 18 tahun) murid-murid sudah mula menganggap guru sebagai rakan mereka, boleh bergurau serta berkongsi masalah dengan mereka. Di samping itu, sikap ego sudah menguasai diri murid. Oleh sebab itu, jika guru terlalu menjatuhkan ‘self-esteem’ murid, sudah pasti kebencian kepada guru akan bersarang. Pada pendapat saya, melalui cerita-cerita dan episod yang dituliskan itu dapat membantu kita sebagai guru untuk memahami cita rasa murid dalam lingkungan umur begitu.


BAHAGIAN KETIGA
pengarang merakamkan pengalaman beliau semasa mengajar di empat buah sekolah menengah. Ketika pengarang menjadi guru (lebih kurang selama 12 tahun), beliau berhadapan dengan ribuan murid. Sepanjang tempoh tersebut, beliau tidak menghadapi sebarang masalah yang boleh memeningkan kepala dan membosankannya. Beliau juga menulis pengalamannya sebagai guru tingkatan dan warden asrama untuk dikongsi dengan semua pembaca.


BAHAGIAN KEEMPAT pengarang memaparkan cerita-cerita dan episod-episod yang ada hubung kait antara pentadbir dengan guru. Beliau ada menyentuh tentang perasaan kecewa yang sering timbul dalam kalangan guru terhadap pentadbir di sekolah, sehingga menyebabkan penumpuan terhadap tugas P & P turut terjejas, dan yang menjadi mangsa ialah murid-murid. Menurut pengarang, sedar atau tidak, ketegangan ini berlaku kadang-kadang berpunca daripada sikap guru itu sendiri yang tidak disedari. Beliau berpendapat, jika guru-guru dapat melihat perkara ini secara jujur dan ikhlas dan sedia memperbaiki kelemahan diri, pasti guru-guru akan gembira berada di tempat kerja dan gembira semasa menjalankan tugas. Tugas mendidik tidak akan dianggap sebagai beban. Daripada beberapa episod pengalaman pengarang yang dipaparkan itu, sedikit sebanyak dapat memberi panduan kepada kita sebagai seorang guru untuk melakukan refleksi kendiri atau muhasabah diri.

BAHAGIAN KELIMA pengarang masukkan sedikit luahan hati orang ramai daripada pelbagai peringkat umur terhadap guru yang mengajar mereka dahulu. Setiap orang yang pernah belajar di sekolah mempunyai alasan tersendiri sebab-sebab mereka suka akan seseorang guru. Pada pendapat saya, luahan hati daripada orang ramai yang dipaparkan oleh pengarang dalam Bahagian Kelima buku ini dapat dijadikan panduan dan ikhtibar dan boleh membantu kita dalam menilai diri kita yang bergelar pendidik.

Secara keseluruhannya, saya berpendapat bahawa buku ini patut dibaca oleh orang ramai di semua peringkat umur, lebih-lebih lagi guru. Saya percaya mesej yang tersirat dalam setiap cerita dan episod dalam buku ini boleh dijadikan contoh dan ikhtibar kepada pembacanya. Buku ini juga boleh membantu semua guru menilai diri mereka sama ada mereka telah menjalankan tugas dengan baik dan berkesan.

"Berguru dengan buku; berguru dengan pengalaman...."

Tuesday, May 18, 2010

Seni Itu Indah




Melukis gambar-gambar, menghias bilik, menggubah bunga, menjahit 'cross-stitch', menyulam, menulis sajak, menulis cerita, memasak, membakar biskut dan kek. Kesemua ini adalah antara aktiviti yang melibatkan sentuhan seni. Kepuasan yang kita rasai saat kita menyudahkan kesemua aktiviti ini adalah rahsia untuk hidup sihat dan lama.

Sememangnya aktiviti-aktiviti ini boleh membuatkan kita berasa tenang, bebas dan tidak terikat dengan apa-apa buat seketika. Ia merupakan resepi yang melakukan sesuatu dengan jayanya. Jelas sekali seni itu sesuatu yang indah... terapi minda kita...!

Saturday, May 15, 2010

HADIAHKANLAH SESUATU KEPADA BUMI


Tanamlah biji benih tumbuh-tumbuhan dan anda akan berasa wujud hubungan mendalam secara tidak langsung dengan bumi yang telah lama wujud berjuta-juta tahun dahulu. Satu biji benih mewakili keajaiban alam, kitaran kehidupan dan melahirkan rasa tanggungjawab dalam diri sendiri. Bunga-bungaan yang ditanam misalnya, boleh menambahkan keindahan pemandangan.

Tidak kiralah apa-apapun yang ditanam, yang pasti kita telah menghadiahkan sesuatu kepada bumi. Ini adalah perkara yang secara tidak langsung memberikan imbuhan secara menyeluruh. Bukan itu sahaja, aktiviti begini yang dijadikan hobi juga mampu merehatkan minda kita...

Tuesday, May 11, 2010

Leluhur Kami Sama


Lebih 4 musim
bersamanya
di bawah satu bumbung

berkhidmat dan berbakti
mencari rezeki buat keluarga

berganding bahu jayakan misi
saling bertukar ceritera
suka dan duka


walaupun sering berkongsi pengalaman
mendidik anak bangsa

tapi, tidak pernah terbuka bicara
asal usul keluarga...


Awal 2010

hatinya
terdetik untuk bertanya

menagih kepastian suatu persoalan

yang sekian lama terpendam dan terbuku...


Ah... tidak pernah terlintas di hati kami
bicara sulung tentang keluarga

menjawab teka-teki di hati

rupa-rupanya...
moyangku dan moyangnya

dua saudara seibu sebapa


sesungguhnya, kami penerus warisan

4 generasi terdahulu
moyang - atuk - bonda - aku dan dia ...

ikatan keluarga jelas dan nyata

jika moyang kami bersaudara

dan atuk kami pula sepupu
tentulah bonda kami dua pupu


...jadi, kami.... ?


leluhur kami sama...

walaupun pernah terpisah dalam tempoh waktu
yang lama
walaupun kehidupan lalu menjarakkan kami tanpa diduga

namun kini,
kami di daerah yang sama
dalam satu bangunan yang sama
kami, dari leluhur yang sama....


SIAPAKAH DIA...?

Inilah perjalanan hidup yang telah direncanakan Ilahi tanpa kita sedar...sesungguhnya DIA lah yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui...

Monday, May 10, 2010

Mencari Erti Bahagia...


Kadang-kadang kita tidak tahu apa yang kita cari dalam hidup. Walaupun mungkin usia sudah menjangkau setengah abad, tetapi jiwa masih dalam pencarian. Apakah yang kita cari...?

Sukar untuk kita menilai erti kebahagiaan buat diri seseorang. Mungkin ada yang mengukur kebahagiaan dari segi material dan ada juga yang melihatnya dari aspek lain...

Kadang-kala kita perlu reda, menerima sesuatu seadanya tanpa meminta lebih, barulah rasa bahagia itu datang. Yang penting, hati mesti sentiasa dekat dengan Tuhan, barulah jiwa kita akan tenang dan tenteram. Kita juga perlu lebih berfikiran terbuka dan berlapang dada dalam menerima sesuatu keadaan; tidak akan mengharapkan sesuatu yang menjangkaui kemampuan diri.

Jangan juga cuba mengukur kebahagiaan anda dengan kebahagiaan orang lain! Setiap orang ada sebab berbeza-beza yang membuatkan mereka bahagia. Oleh itu, jangan sekali-kali menganggap anda akan bahagia jika jadi seperti mereka. Mungkin, seandainya benar-benar anda terjadi seperti mereka, tidak mustahil anda tetap tidak bahagia...!

Tip untuk bahagia...
1) Jangan menyimpan dendam
2) Jangan hidup dengan masa lalu
3) Bersyukur sentiasa...

Semoga kita semua bahagia dengan cara kita....

Sunday, May 9, 2010

PERSADA KEGEMILANGAN BAHASA MELAYU....


Berapa ramaikah antara kita yang tahu bahawa bahasa Melayu merupakan satu bahasa yang penting di rantau Kepulauan Melayu pada suatu ketika dahulu? Bahasa Melayu bukan sahaja dipertuturkan oleh jutaan penduduk di rantau ini, malah ia juga pernah melalui sejarah hidup yang panjang sejak kehadirannya puluhan abad yang lalu.

Jika dibaca penulisan oleh para pengkaji tempatan mahupun pengkaji luar, asal-usul dan perkembangan bahasa Melayu sememangnya menawarkan satu tajuk kajian dan perbincangan yang amat menarik. Hal ini demikian kerana kajian ini berkait rapat bukan sahaja dengan asal-usul bangsa Melayu, tetapi juga sejarah asal usul dan perkembangan tamadun manusia di dunia ini. Bahasa sebagai alat perhubungan dan komunikasi utama antara manusia amat berkait rapat dengan sejarah dan ketamadunan manusia itu sendiri.


Sejak abad ke-2M lagi, bahasa Melayu purba dikatakan telah pun wujud di Champa, Vietnam. Pada abad ke-4M, beberapa prasasti atau batu bersurat dalam bahasa Melayu kuno ditemui di Dong Yen Chau, Teluk Tourane, Vietnam serta beberapa prasasti lagi yang ditemui pada abad ke-7M di Sumatera, Jawa, Seberang Perai, Kedah, selatan Thailand, Filipina, Vietnam dan Kalimantan.
Penemuan prasasti bertarikh 1303M di Kuala Berang, Terengganu yang bentuk tulisan Melayu-jawi serta kata-kata pinjaman bahasa Arab membawa tahap baru dalam sejarah perkembangan bahasa Melayu. Ini disusuli penemuan prasasti di antara abad 14-18M di Pengkalan Kempas, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Kelantan, Kedah, Sumatera, Brunei dan Kalimantan serta manuskrip pada kulit-kulit kambing, gading, kulit kayu, kain dan juga kertas.

Bermula awal abad ke-19, orang-orang barat datang membawa bersama pengaruh bahasa luar dan teknologi moden seperti mesin pencetak dan kapal api. Penerbitan pusat buku, akhbar dan majalah berbahasa Melayu dengan tulisan jawi dan rumi di Semenanjung Tanah Melayu, Indonesia dan Singapura, menyumbang kepada bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu. Banyak sekolah Melayu dibuka. Pembelajaran semakin meluas dalam kalangan penduduk, tidak terhad pada lingkungan istana sahaja. Bahasa Melayu mula mencapai tahap bahasa moden dengan perbendaharaan kata, istilah dan gaya penulisan yang baru. Bahasa Melayu dikatakan bertapak dengan kukuh pada abad ini.

Dengan melihat kepada sejarah hidupnya yang panjang bermula sejak abad ke-2M dan masih wujud sehingga ke hari ini, mustahil bahasa Melayu tidak pernah menjadi bahasa yang penting atau mengecapi kegemilangan dan keagungannya yang tersendiri.

Menurut L.C.Damais dalam bukunya, Etudes Javanaises, bahasa Melayu sejak dari abad ke-8 telah menjadi bahasa yang digunakan di seluruh rantau kepulauan Melayu. Bahasa Melayu menjadi bahasa perhubungan di antara penduduk tempatan dengan bangsa asing. Malah orang-orang Cina ketika berdagang dengan orang Jawa, menggunakan bahasa Melayu bukannya bahasa Jawa.


W.Linehan dalam rencananya, The Earliest Word-list and Dictionaries of Malay Language, sebelum kedatangan Portugis pada awal abad ke-16, telah ada sebuah kamus atau kumpulan perkataan Melayu-Cina yang ditulis dengan huruf kanji. Daftar Kata Figafetta Itali-Melayu, sebuah kamus yang terkenal ditulis pada tahun 1521 ketika Figafetta mengikuti pelayaran Ferdinand Magellan mengelilingi dunia. Dengan bantuan seorang anak kapal berbangsa Melayu, Figafetta yang singgah di Pulau Maluku, telah menyenaraikan 426 perkataan dalam bahasa Melayu dengan terjemahan dalam bahasa Itali dan Inggeris.


Sebuah lagi kamus Melayu yang terkenal di Eropah iaitu Spraeck de Woordboek in de Maleysche en de Madagascar Talen ditulis oleh Cornellius de Houtman, seorang Belanda di antara tahun 1595-1602. Buku ini dicetak berulang kali. Penerbitan 12 buah lagi kamus Melayu oleh bangsa asing dalam tahun-tahun 1603 hingga 1708 telah menunjukkan kepada kita betapa giatnya orang-orang Eropah mempelajari bahasa Melayu.


Kedudukan utama bahasa Melayu ini disokong oleh penulisan-penulisan oleh pegawai, pendita dan ahli sejarah Eropah lain seperti Jan Huyghen van Linschoten dan Francois Valentijn. Memetik catatan Valentijn yang pernah melawat Melaka pada awal abad ke-18:


"Bahasa mereka, bahasa Melayu, bukan sahaja dituturkan di daerah pinggir laut tetapi juga digunakan di seluruh Kepulauan Melayu dan di negeri-negeri sebelah Timur, sebagai suatu bahasa yang difahami di mana sahaja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau Latin di Eropah atau sebagai bahasa lingua-franca di Itali dan di Levant. Sungguh luas tersebarnya bahasa Melayu itu sehingga kalau kita tidak memahaminya, tidaklah mungkin kita kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan sahaja dimengerti di Parsi bahkan lebih jauh daripada itu, dan di sebelah timurnya sehingga ke Kepulauan Filipina. Jika sekiranya awak tidak mengetahui bahasa ini, awak dianggap sebagai seorang yang tidak terpelajar di Timur..."

Dari sini kita dapat melihat kedudukan penting bahasa Melayu seawal abad 16 hingga 18 di mana bahasa Melayu telah menjadi bahasa lingua-franca atau bahasa perantaraan, bahasa perhubungan dan bahasa perdagangan di seluruh rantau Kepulauan Melayu.

"Cintailah Bahasa Kebangsaan Kita...."

Monday, May 3, 2010

Nikmat Hidup Yang Tidak Ternilai...



Nikmat dan anugerah yang kita kecapi dalam hidup ini terlalu banyak dan tidak terhitung.

Salah satu daripadanya ialah nikmat kesihatan, iaitu sihat tubuh badan dan fikiran. Dengan kesihatan yang baik, kita dapat melakukan pelbagai perkara dan menjalani kehidupan dengan sempurna sama ada untuk bekerja mahupun melakukan amal ibadat.

Kata orang, mencegah lebih baik daripada mengubati. Sekiranya kita mengalami masalah kesihatan, sudah pasti rutin seharian akan terganggu dan perlukan pengorbanan yang banyak...

Dalam meniti usia yang hampir mencecah setengah abad ini, adalah amat penting untuk meningkatkan kualiti hidup. Satu aspek yang kesihatan yang perlu diberi perhatian ialah kesihatan tulang yang sering dihadapi oleh golongan yang berusia...

Semoga kita akan terus diberi kesihatan yang baik dan dapat meningkatkan amal ibadat kita serta meneruskan kerja-kerja harian tanpa sebarang masalah...

Bersyukur dan berdoa agar kita terus dilindungi...