CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sunday, December 27, 2009

Musim bekwah nikah kahwin





Cuti sekolah merupakan musim orang kenduri kendara @ bekwah (big work...?), khususnya utk meraikan perkahwinan anggota keluarga. Cuti hujung tahun, cuti hari Natal bersambung dengan cuti Tahun Baharu Masehi merancakkan lagi majlis nikah kahwin, walaupun dalam musim tengkujuh.


Pada awal bulan Disember lepas, majlis bertandang anak sepupu, HALILAH HASSAN telah diadakan di Bukit Bay Route, Kuantan. Saya tidak dapat bersama kerana terpaksa menghadiri mesyuarat MPM di Shah Alam. Rombongan seramai 40 orang datang dengan bas yg disewa khas dari KB. Saya telah menempah 'home-stay' di Mahkota Perdana untuk memudahkan rombongan berehat seketika...

Pada 26 Disember pula majlis sambut menantu Abg Mie (BIL) telah diadakan di Felda Purun, Gugusan Bera, Pahang. 2 hari lepas, iaitu pada hari Jumaat, cuti umum sempena Hari Krismas, kami ke rumah Abang Mie di Felda Purun yang mengambil masa lebih kurang 2 jam 45 minit dari Kuantan.

Majlis yang diadakan secara gotong-royong itu meriah sekali. Sudah menjadi suatu tradisi di kawasan Felda, sehari sebelum majlis sebenar tiba, penduduk sekitar sudahpun dijamu dengan juadah sehingga ke sebelah malamnya. 2 ekor lembu sudah tumbang...! Pada malamnya, ada persembahan dikir barat yang didatangkan khas atas kerjasama penduduk, lebih-lebih lagi Abang Mie sebagai Pengurus Felda Purun tentu sekalilah majlis diadakan dengan meriah sekali.

Walaupun dikir barat bermula agak lewat jg pada malam itu... tp persembahan 2 kumpulan yang dijemput khas itu amat menghiburk, terutama sekali Tukang Karut kedua-dua pasukan ... Pengalaman dan kepintaran yang ada pada kedua-dua tukang karut menjadikan susunan bahasanya menarik dan penuh makna.... Keesokan harinya pula para jemputan dihiburkan dengan persembahan 'Tomoi' daripada Persatuan Belia Bera.

Pada 26 Disember, majlis dimulakan dengan Marhaban pada sebelah paginya. Tetamu jemputan mula tiba berduyun-duyun seawal pada pukul 11.30 pagi. Ramai sekali, maklumlah rumah Pengurus Felda Purun... anak-anak buah tentu sekali tidak akan melepaskan peluang untuk hadir kerana ini merupakan kali pertama tuan rumah mengadakan kenduri kahwinkan anak. Maksu Hendon dan keluarga (bertolak dari KL dan bermalam di Temerloh) tiba sejurus sebelum rombongan pengantin sampai.

Rombongan pengantin perempuan tiba sebelum waktu zohor, iaitu dalam pukul 12.30 th. Dalam pukul 2.00 ptg, kami terus minta diri untuk beredar balik ke Kuantan. Pak Teh bertolak balik ke Melaka pd petang itu jg. Yang tinggal, Bonda Nik Zakiah dan Kak Long yang akan bertolak balik ke Tanah Merah, Kelantan keesokan harinya.

Kami mengucapkan SELAMAT PENGANTIN BARU, semoga kekal sehingga ke akhir hayat dan bertemu di syurga firdaus....

Foto : 1) Halilah selepas majlis persandingan; 2) Epi sedang bersanding; 3) bersama kedua-dua mempelai; 4) Hubby dng Abe Him dari Felda Kertau (tukang karut dikir barat yg menghiburkan - kg asal di TM, Kelantan)

Wednesday, December 2, 2009

Nostalgia "The Lost World" @ Subang Parade...




Sebelum cuti sekolah yg lepas, rakan2 guru sibuk bercerita tentang pameran dino yg sedang berlangsung di Bangunan Yayasan Pahang, Kuantan ni. Mereka nak bawa anak2 ke sana... memang patut sekali kanak2 ni didedahkan dengan pengetahuan tentang hidupan masa lampau agar mereka akan lebih menghargai hidupan hari ini.

Teringat suatu ketika dahulu, aku bawa anak-anak yg masih kecil ketika itu ke pameran dino " THE LOST WORLD" di Subang Parade, KL pada tahun 1992...

Melangkah ke dewan pameran yang menempatkan pelbagai spesies dinosaur dengan kesan bunyi suara dan pergerakan mekanikal haiwan raksasa ini, kita pasti terbayang beginilah keadaan dunia pada zaman dinosaur. Mungkin pada zaman ini, tidak ada tempat bagi haiwan yang lemah lebih-lebih lagi manusia yang dianggap kerdil serta tidak memiliki kekuatan fizikal seperti haiwan raksasa ini. Anak-anakku, Abe, Emi & Adik serta anak buahku Zaidah, teruja sekali walaupun jelas nampak mereka dalam ketakutan untuk mendekati replika haiwan tersebut.

Replika haiwan yang ditempah khas ini menyerupai bentuk fizikal dan wajah dinosaur (biarpun mungkin skala saiz yang berbeza) berjaya menghidupkan aura zaman silam. Maklumat atau latar belakang setiap spesies dinosaur yang dipaparkan membolehkan pengunjung mengenali lebih dekat haiwan ganas ini biarpun sehingga hari ini, masih banyak rahsia dinosaur belum dicungkil manusia.

BIARPUN pupus 65 juta tahun lalu, manusia terus diselubungi misteri dinosaur. Sukar dibayangkan bagaimana suatu ketika dulu, iaitu pada zaman Jurassic sekitar 144 hingga 206 juta tahun lalu, haiwan raksasa ini berkeliaran di permukaan bumi sama seperti manusia sekarang.

Bagaimana agaknya keadaan dunia ketika itu? Bagaimana haiwan ganas ini hidup bersama biarpun setiap spesies mempunyai ciri-ciri fizikal, karektor dan skil yang berbeza dalam meneruskan survival koloninya?

FAKTA: Dinosaur

* Fosil dinosaur pertama yang direkodkan dijumpai di England pada 1676. Ia dikenali sebagai kumpulan spesies 'megalosaurus bucklandi' dan nama saintifik itu
diberikan William Buckland hampir 150 tahun selepas ditemui iaitu pada 1824.

* Ada penyelidik percaya fosil dinosaur terawal sudah ditemui ribuan tahun lalu. Masyarakat Greek dan Roman misalnya, dipercayai sudah menjumpai fosil dinosaur pada zaman mereka berdasarkan ciri-ciri makhluk raksasa orge dan griffin dalam cerita mitos budaya mereka.

* Naga yang begitu popular dalam budaya masyarakat Cina juga dipercayai dinosour dan tulang naga yang dikatakan dijumpai di Wucheng, Sichuan, China lebih 2,000 tahun lalu berkemungkinan adalah fosil dinosaur.

Foto : 'The Lost World' @ Subang Parade, KL - 1992

Tuesday, December 1, 2009

Pangkalan sungai menggamit memori...






Pada hari raya Aidiladha lepas, cadangan awal lokasi utk diadakan upacara korban ialah berhampiran tebing sungai Kelantan, lebih kurang 500 meter di belakang rumah Mama. (memandangkan beberapa hari sebelum itu hujan turun tidak henti-henti, tanah di sekitar menjadi lembut. Ini menyukarkan laluan untuk turun ke sungai... jadi terpaksa tukar ke tempat baru yg berhampiran)

Kami ke lokasi tersebut sebelum dimaklumkan pertukaran tempat.

Lokasi asal itu mengingatkan aku pada zaman kanak-kanak dulu. Di sinilah tempat kami (biasanya aku dan Noni) merayau2 dalam kebun
Atok & We Tok Mek, terutama semasa musim buah-buahan dan tentu sekali waktu cuti sekolah.

Ada sebuah bangsal kecil tempat We Tok Mek berehat setelah penat berkebun. We Tok Mek tanam sireh, pokok pisang dan pelbagai jenis ubi. We Tok Mek banyak menghabiskan masa sehariannya di sini. Kalau aku singgah di bangsalnya, We Tok Mek akan bakar ubi kayu untuk kami. Sedapnya ubi kayu bakar... Tunggul @ unggun api memang sentiasa ada, sebab We selalu bakar daun-daun kering yg disapunya dan tentu sekali berfungsi untuk menghalau nyamuk...!


Berdekatan tempat ini, terdapat kebun durian + pokok getah milik
Atok Che Yusof, yang kini diwarisi oleh Pok Muda Leh (adik Mama). Pokok durian isi molek tu masih tegak berdiri walaupun di sekelilingnya sudah tersergam banglo milik anak-anak penduduk asal kg ini yang seangkatan denganku.

Laluan ke tebing @ pangkalan sungai mengingatkan zaman kanak-kanakku yang suka bermain sungai. Airnya yang jenih membolehkan kami mandi-manda walaupun tak tahu berenang. Masih kuingat lagi... kami sangat seronok jika ada motobot lalu. Bila bunyi sayup2 enjin bot tersebut, kami akan standby, walaupun motobot belum kelihatan. Motobot ni membawa para peraih untuk mudik ke hilir yg berniaga di pasar KB. Bila motobot lalu hampir dengan kami yg sedang mandi-manda itu, air akan menjadi berobak-ombak. Kami akan melambai-lambai tangan kepada penumpang dlm motobot itu... mereka juga membalas lambaian kami. Teruja amat menunggu saat-saat air berombak. Seronok rasanya waktu itu. Maklumlah, budak kampung, katakan...!


Dulu, di pangkalan tu, ada sebuah pelantar. Kanak-kanak lelaki yang suka main terjun2 menjadikan pelantar itu sebagai platform. Deburan air serta desiran bunyi daun-daun buluh serta aur di tebing sungai menjadikan suasana tenang dan indah sekali.

Di pangkalan itu jugalah motobot dari sebelah hilir (KB) akan singgah membawa bekalan seperti budu, ikan masin dll. Semua ini dibawa oleh Tok Nik Lijah, kerabat @ warih sebelah We Tok Mek yg tinggal di Pantai Kundur @ Sungai Budur, dekat PCB. Barang-barang tersebut akan diletakkan di rumah We Tok Mek dan penduduk kg akan datang untuk membelinya.


Terdapat juga penduduk kg - contohnya, Mak Aji Limah yg sering mudik ke kebunnya di Dabong, Hulu Kelantan - akan menaiki motobot di pangkalan tersebut. Dulu, untuk ke hulu Kelantan, penduduk kg menggunakan jalan sungai kerana lebih murah dan cepat. Masa balik, Mak Aji akan membawa balik hasil2 hutan yg terdapat di sana seperti buah perah, petai dan lain-lain lagi utk dijual di sini...

Sebenarnya, laluan menuju ke pangkalan sungai itu sudah lama tidak kujengok, apatah lagi menjejakkan kaki utk turun ke sungai. Rasanya, setelah masuk sekolah menengah kami sudah tidak lagi ke sana. Ada lebih kurang 35 tahun berlalu. Sekarang sudah tidak ada orang yg mandi-manda di sungai. Air sungai sudah berubah warna, tidak lagi jernih... dah jadi seperti 'teh susu' warnanya jika musim hujan...!

Keadaan sekarang sudah banyak berubah. Di sepanjang jalan ke pangkalan sungai dari rumah Mama melalui Lorong Pakat, tersergam rumah besar-besar. Dulu kawasan tersebut dipenuhi dengan pokok buah-buahan dan juga pokok getah. Mama selalu bercerita, tetapi tidak berkesempatan ke sana...baru kini, setelah lebih 30 tahun aku lihat geofizikalnya sudah berbeza sekali...

... yg pasti nostalgia zaman kanak2 kembali singgah dalam memoriku tanpa sedar...

Foto : 1) We Tok Mek - 1981 ... 2 & 5) laluan ke pangkalan... .3) ... dusun bertukar menjadi banglo...4) berhampiran lokasi bangsal We Tok Mek suatu ketika dulu ...