CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Thursday, October 15, 2015

Seketika di meja tulisku....


Meja tulisku
sarat kertas dan buku
pena gagah menari
tangan bersimpang-siur
memikirkan tugas dan peranan
merenung arah dan tujuan
mengelamun sedetik rasa.

Meja tulisku
menjadi saksi
bahawa aku memerah minda
mencari jawapan dan penyelesaian
kekadang hilang pertimbangan
apabila menuntut kesegeraan
apabila mengejar masa
sedangkan diri dimamah lelah.

Meja tulisku
juga saksi kelegaan
pabila kerja dibereskan
idea dapat dicurahkan
dapat memecah kebuntuan
dapat menyulam kegigihan
dalam keterbatasan.

 (selesai sudah HRMIS2.0 dan PT3 bertulis 2015...)

Tuesday, September 1, 2015

yang terindah.... September...raikan bersama....




Terkenang lagu "Ingatan Manis di Bulan September"" yang dinyanyikan oleh biduanita Sharifah Aini sekitar awal 1970-an:
"Kumasih ingat
perkenalanku
di bulan,
September...
September...."

Sesungguhnya, SEPTEMBER merupakan bulan merayakan beberapa hari istimewa dalam keluargaku.

1 September 2015, Setelah berehat panjang, Adik mendaftar semula sebagai pelajar postgraduate di UPM.  Semoga Adik akan terus cemerlang dalam bidang yang dipilih.  Kami semua mendoakan agar perjalanan pengajian Adik dipermudahkan.


2 September, genap EMPAT tahun perkahwinan anakanda kami MOHD FAHMI NAIN dan NURUL AINA AWANG yang telah melangsungkan perkahwinan pada 2 Syawal 1432H, bersamaan 2 September 2011 dan cahaya mata mereka yang pertama FARHAH HANNAN sudah genap 3 TAHUN pada akhir JULAI lepas dan adindanya FALISHA SALSABILA genap 19 bulan pada 6 SEPTEMBER nanti.  




09 September, NATASHA ALIA BT. SAHAZALI genap usia 21 tahun. Natasha Alia, puteri sulung kepada Norbanilawatey Jusoh dan Sahazali Awang Deraman, dilahirkan di HKL sebelum dibawa balik ke kampung yang permai dan indah  "HAPPY BIRTHDAY ALONG TASHA".  Along semakin matang hari ke hari.  Along tulang belakang keluarga sekarang.

Semoga Along Tasha akan terus melakar kecemerlangan sebagai penuntut IPTA.... Doa Cik La agar Along Tasha akan menjadi seorang anak yang berjaya dunia dan akhirat, bertanggungjawab dan lebih matang menghadapi segala dugaan hidup...


Pada 14 September, tarikh yang akan tetap dikenang walaupun adik iparku SAHAZALI B. AWANG DERAMAN sudah kembali ke alam abadi menemui Penciptanya akhir tahun lepas.  14 SEPTEMBER ini merupakan tarikh ulang tahun kelahirannya yang ke-49 tahun....Semoga Arwah tenang di sana, menunggu kita semua yang entah bila pula akan dipanggil pulang... Semoga kita semua akan berkumpul dan bertemu semula di Firdaus.

kenangan terakhir, akan tetap tersemat dlm sanubari... Aidiladha 1435H

Tambah manis lagi, pada 19 September ini bertambah lagi usiaku - melewati setengah abad...! 


Pada tarikh itu juga 30 tahun yang lalu aku telah disahkan menjadi suri hidup kepada insan yang tersayang setelah beberapa musim menyemai kasih dan menganyam rindu ketika bersama-sama di Lembah Pantai.... 

Cepatnya masa berlalu. Sudah 3 dekad rupa-rupanya kami mengharungi pahit manis bersama, menempuh duri dan ranjau hidup menuju jalan pulang .... 

21 September pula adik bongsu kami, RATNA IDAYU BT. JUSOH akan menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-30 tahun.  Dilahirkan 2 hari selepas Papa dan Mama 'bekwah' kahwinkan anak perempuan keduanya, yang julung kali dalam keluarga kami pada tahun 1985.  Tahun ini tentu sekali lebih bermakna kepada Adinda Ratna kerana dapat menyambut hari bahagia ini berempat.


23 September,  adik iparku yang ke-3, JAILANI B. ABDUL MANAF pasangan kepada adindaku MELISA KAMELIA akan menyambut hari ulangtahun kelahirannya yang ke-38 tahun.



SEPTEMBER yang sentiasa bertamu tanpa jemu, banyak merakamkan saat manis yang sangat indah untuk dikenang.... yang diraikan bersama keluarga....

Alhamdulillah.


Friday, August 21, 2015

SEBULAN YANG PADAT....JULAI / OGOS


Bermula selepas cuti hari raya Aidilfitri, hujung minggu penuh diisi dengan program sekolah.

1) KARNIVAL PENDIDIKAN (24 JULAI 2015)
2) KEM  ELIT SPM (29 JULAI - 1 OGOS) DI SEMPURNA RESORT
3) SEMINAR PENDIDIKAN MORAL - 8 OGOS
4) KEM SEHARI KELOMPOK POTENSI SPM  15 OGOS 






















Dalam pada itu, urusan hakiki juga padat dengan penandaan tugasan Sejarah PT3 dan menguruskan Ujian Lisan Mendengar BM PT3 (11 OGOS) seterusnya mengendalikan Ujian Lisan Bertutur BM PT3 yang bermula pada 13 Ogos dan dijangka berakhir pada 24 Ogos ini yang melibatkan 460 orang calon di SMKTP.

Dalam kepadatan jadual, alhamdulillah saya masih sempat meraikan majlis perkahwinan anak sahabat di KL dan juga berkunjung ke majlis hari raya rakan baik di Taman Melawati pada awal Ogos yang lepas.

Hujung minggu ini barulah saya berkesempatan untuk balik menjenguk khabar Ayahanda Bonda dan juga menginap semalam dua di Teratak Ungu yang telah sepurnama ditinggalkan....

Thursday, August 20, 2015

Panggilan Haji.....bilakah pula giliranku ...?



Sudah 4 hari berlalu KT01 menjejak kaki ke Bumi Anbia, pada 16 Ogos yang baru-baru ini.  Setiap mendapat khabar bahawa sanak keluarga dan rakan-rakan berangkat menyahut panggilan ke Baitullah bagi mengerjakan ibadah haji, hati terdetik ... bilakah pula tiba giliranku...?

Setiap insan muslim yang beriman memang menyimpan hasrat yang tinggi untuk menunaikan ibadat haji ke Tanah Suci walaupun sekali seumur hidup. Tidak kira sama ada seseorang itu berharta ataupun tidak. Keinginan masing-masing berbeza antara satu sama lain mengikut nawaitu dalam hatinya...


Menunaikan ibadat haji merupakan salah satu daripada Rukun Islam. Maka bagi mereka yang mampu, diwajibkan untuk melakukannya. Perintah wajib mengerjakan Haji termaktub dalam al-Quran sebagaimana Firman Allah dalam Surah Al-Imran, ayat 97, bermaksud :


"... dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dan umrah dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya."


Kesempatan aku dan keluarga menunaikan umrah di Tanah Suci semasa cuti sekolah beberapa tahun yang lalu menambahkan lagi 'kerinduanku' untuk ke sana setiap kali memandang gambar 'Baitullah' ....


Kami tidak akan jemu berdoa agar kami mendapat jemputan-Nya bagi menyempurnakan rukun Islam yang ke-5 itu....


Wednesday, August 19, 2015

PANGGILAN HAJI TIBA LAGI....KT03



Kesempatan ini diambil untuk menitipkan doa kepada ahli keluarga dan sahabat handai yang telah dan yang akan berangkat ke Tanah Suci dalam masa yang terdekat ini. Semoga kalian menjadi tetamu Allah s.w.t yang paling istimewa.

Kepada sepupuku DR. HANIAH YUSOF dan suami, telah selamat berangkat ke Tanah Suci dan untuk mengerjakan ibadah haji.  Semoga Kak Chik dan Zamani dapat menjalani ibadah haji dengan sempurna dan memperoleh haji yang mabrur.  Kak Chik merupakan jemaah KT03 yang berlepas pada petang 16 Ogos dari KLIA.

di Kompleks Haji Panji Kota Bharu

11 minit selepas berlepas dari KLIA
selamat mendarat di Madinah selepas 8 jam di udara....
 hari pertama ... di Dataran Masjid Nabawi

Ucapan yang sama juga ditujukan kepada sahabatku yang pernah bersama-sama menimba ilmu di Lembah Pantai, WAN THUBIYAHANA yang kini bertugas di SMK Agama Chenor,  yang juga akan berangkat ke Tanah Suci, Buat Wan, selamat menjalani ibadat haji, semoga   memperoleh haji yang mabrur... dan selamat kembali ke tanah air. 

Semoga selamat semuanya... Insya-Allah.

Saya terpanggil untuk berkongsi 'Mutiara Bicara' dengan rakan-rakan yang singgah di sini. Mutiara Bicara ini ditulis oleh Dr. Ridzwan Bakar dalam "HAJI MUDA" (2008),... sekadar untuk mengingatkan diri saya sendiri.....

"Tawaf dan Kaabah mengikat hati jemaah haji supaya terus mengingati kebesaran Allah. Di sinilah titik tolak cabaran haji. Ia perlu direalisasikan dengan melaksanakan amalan-amalan di Tanah Suci apabila kembali ke tanah air. Semoga kita semua istiqamah dan berusaha mempertahankan amalan-amalan semasa haji dalam kehidupan kita."

Kami tidak pernah jemu menunggu kad jemputan daripada-Nya sekali lagi.... semoga akan tiba saat yang membahagiakan itu....

 

Sunday, August 16, 2015

Peristiwa di Ladang Ng Tiong Kiat @ Sungai Jerik


Sebelum saya bertukar ke Jengka pada tahun 2000, saya tidak pernah mendengar nama tempat ini... Tiong Kiat (disebut Tong Kiat oleh penduduk setempat). Tempat ini juga dikenali sebagai Pekan Sg. Jerik, sebuah kampung baru yang menempatkan masyarakat Cina yang sebahagiannya datang dari Sitiawan, Perak yang letaknya dalam daerah Jerantut dan tidak jauh daripada Bandar Pusat Jengka.

Hutan Lipur Lubuk Yu yang hangat diperkatakan suatu ketika dahulu, (lepas selepas 6 orang maut dan 83 orang lagi dijangkiti virus kencing tikus), agak hampir dengan Pekan Sungai Jerik @ Tiong Kiat ini.

Pada tahun 2002, semasa membawa murid melawat muzium bandar diraja Pekan, saya terjumpa buku yang menceritakan satu peristiwa penting yang berlaku di Ladang Ng Tiong Kiat lebih 60 tahun yang lalu. Saya terpanggil untuk memiliki buku tersebut. Buku yang mengandungi pengkisahan "Peristiwa DYMM Sultan Pahang di Ladang Ng Tiong Kiat" mendekatkan lagi saya dengan tempat itu. Malang sekali buku tersebut telah hilang setelah dipinjamkan kepada seorang rakan sekerja. Saya akan dapatkan semula buku tersebut sekiranya saya berkesempatan sekali lagi ke muzium Pekan.

Kisah ini akan saya kongsikan dengan semua pengunjung blog ini....

PERISTIWA DYMM SULTAN PAHANG DICULIK

Peristiwa ini berlaku pada pertengahan bulan Ogos tahun 1945...

Peristiwa sebenar tentang 'penculikan' DYMM Sultan Abu Bakar telah diceritakan oleh Tan Sri (Jeneral) Ungku Nazaruddin bin Ungku Muhammmad dalam suatu majlis pengkisahan pada malam 17 April 1992 bersempena dengan Seminar Sejarah Negeri Pahang. Ayahanda kepada Ungku Nazaruddin turut bersama dalam rombongan DYMM ke Kuala Lipis pada 17 Ogos 1945 sebagai jurubahasa dan juruiring kepada baginda Sultan. Yang turut mengikuti rombongan itu ialah Dato' Mahmud b. Mat (Pegawai Daerah Kuantan); Encik Abdullah b. Sihat (Pegawai Daerah Pekan); Encik Daud b. Ismail (Ketua Pelayan); Encik Abu Bakar b. Chik (Vallet); dan Encik Talib b. Muhammad (Pemandu).

Dalam keadaan yang tidak menentu
pada pertengahan Ogos 1945, DYMM Sultan Abu Bakar telah berangkat dari istana baginda di Pekan ke Kuala Lipis yang pada masa itu merupakan pusat pentadbiran bagi negeri Pahang. Keberangkatan baginda bertujuan untuk membincangkan pentadbiran negeri Pahang yang pada masa itu dalam keadaan tidak menentu.

Dalam perjalanan pulang, baginda dikatakan hilang kerana diculik semasa berada di ladang Ng Tiong Kiat (kini dikenali juga dengan Pekan Sg Jerik, Jerantut). Lokasinya adalah di antara Jerantut dengan Kuantan. Menurut cerita yang tersebar luas, baginda diculik oleh MPAJA. Ekoran daripada peristiwa itu, pihak Jepun mengapi-apikan perasaan orang Melayu supaya bangkit menentang orang Cina dan MPAJA.

Baginda dan rombongan bertolak ke Kuala Lipis pada 16 Ogos 1945 sebagai memenuhi jemputan Gabenor Pemerintah Tentera Jepun bagi negeri Pahang Darul Makmur untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha yang jatuh pada 15 Sept 1945. Selain itu, Gabenor bagi negeri Pahang itu memberitahu bahawa beliau akan menamatkan khidmatnya di negeri Pahang dan seorang yang baru akan mengambil alih tempatnya. Digambarkan pertemuan itu diadakan "dalam suasana yang dingin serta penuh dengan syak wasangka", kerana ketika itu sudah nampak tanda-tanda bahawa Jepun terpaksa menyerah diri setelah berlakunya pengguguran dua biji bom atom di Hiroshima dan Nagasaki.


Dalam perjalanan pulang, ketika sampai di ladang ubi Ng Tiong Kiat, kira-kira pukul 6.00 petang, mereka berhenti di situ untuk mengambil 2 ekor kambing gurun yang dipesan oleh Tuanku sendiri semasa dalam perjalanan dari Pekan ke Kuala Lipis. Di sinilah mereka 'diculik', iaitu diarah supaya tinggal di kem kumpulan gerila OSS 404 (Cairgorum II) yang dipimpin oleh Geaney bersama dengan gerila Force 136 kumpulan Pontoon di bawah pimpinan Mejar Leonard. Tuanku dan ahli rombongan cuma diberitahu bahawa penculikan ini terpaksa dilakukan demi menjaga keselamatan Tuanku sebagai pemerintah tertinggi negeri Pahang.


Dari ladang ubi Ng Tiong Kiat, Tuanku dan rombongan dibawa masuk ke kawasan pedalaman Hutan Simpan Jengka-Chenor, iaitu kem gerila British dan Amerika. (kini kawasan ini menjadi penempatan LKTP @ Felda Jengka).

DYMM serta rombongan berangkat balik meninggalkan tempat perladangan itu pada 12 September, iaitu setelah 27 hari berada di kawasan hutan simpanan itu dan setelah diberitahu bahawa Jepun telah menyerah diri. Tuanku diiringi oleh kumpulan Force 136 bersama dengan 10 anggota gerila wataniah yang berpakaian seragam lengkap dengan senjata.

Difahamkan bahawa markas SEAC di Colombo telah meminta Force 136 dan OSS 404 (Amerika) memberi perlindungan kepada DYMM dan rombongan kerana kuatir pada masa kekosongan kuasa dalam masa peralihan di antara penyerahan diri Jepun dan kedatangan Tentera Bersekutu, pihak MPAJA akan mengambil peluang untuk merampas kuasa dan menggunakan Tuanku sebagai tebusan.

Sesampainya Tuanku di Istana Seri Terentang, Bandar Diraja Pekan, baginda disambut seperti "orang mati hidup semula" kerana ada di antaranya yang menyangka bahawa DYMM telah mangkat dibunuh oleh MPAJA.

Sekadar berkongsi cerita sejarah...

Foto (1) : DYMM Sultan Abu Bakar (2) Residency, iaitu tempat tinggal Gabenor Jepun di Kuala Lipis yang merupakan tempat pertemuan antara Gabenor dan Baginda Sultan.

Sumber : Buku "Peristiwa Almarhum Sultan Abu Bakar Di Ladang Ng Tiong Kiat Pada Tahun 1945" oleh Ungku Nazaruddin, Lembaga Muzium Negeri Pahang.


Monday, July 20, 2015

LEBARAN 1436 Hijrah dan Majlis Adik Bongsu...

Syukur alhamdulillah kerana masih diberi kesempatan untuk menyambut lebaran bersama keluarga tercinta pada tahun ini.   


 

Pagi Syawal 1436 Hijrah....


Falisha Salsabila pada Syawal pertama....
tangan cucunda bersimen.... Syawal ke-2




pertama kali berkumpul pada Syawal di Teratak Ungu....

7 puteri pada Syawal ke-2...


parodi : Aidilfitri 1971 vs 2015

majlis resepsi Adik Bongsu pada Syawal ke-3

 
blarock Adik Bongsu di WCY....
membalas kunjungan di rumah bakal adik ipar... C3Pendek...

Semoga dapat berkumpul lagi begini beramai-ramai memeriahkan majlis.....

Sunday, January 11, 2015

Masuk Darjah 1 - Bermula Episod Baharu Dalam Hidup



Tahun baharu, bermulalah episod baharu bagi semua kanak-kanak @ murid sekolah. Ibu bapa mula sibuk menghantar anak-anak untuk mendaftar masuk ke sekolah, sama ada prasekolah / tadika, sekolah rendah ataupun sekolah menengah.



Hari ini, tirai Januari  2015 sudah lebih seminggu berlabuh.  Semua murid baru akan mendaftarkan diri ke sekolah yang telah ditetapkan. Setiap orang akan melalui pengalaman ini, tidak terkecuali diri saya   4 dekad setengah yang lalu.


Kini, ramai kanak-kanak sudah memasuki prasekolah seawal 4 tahun, jadi setelah tiba masanya untuk masuk ke sekolah rendah, mereka akan melangkah dengan penuh yakin, berbeza dengan zaman saya (dan rakan-rakan seangkatan) mula bersekolah dahulu.  

 

Saya melalui zaman persekolahan di 3 buah sekolah, iaitu bermula di SRJK (Ingg) Kota (kini dikenali sebagai SK Seri Kota) sehingga Std 6. Kemudian, saya meneruskan persekolahan peringkat menengah rendah di SMK Kota, sebelum meneruskan pelajaran menengah atas di Maktab Sultan Ismail sehingga tamat Tingkatan 6.


6 BLUE Kota National Type English Primary School (1974)


Sesi persekolahan  2015 di negeri-negeri Pantai Timur bermula hari ini (yang sepatutnya pada 4 Januari 2015 tetapi terpaksa ditunda kerana banjir besar melanda beberapa buah negeri di Pantai Timur).  AISYA BALQIS akan melangkah ke darjah 1 selepas melalui pengalaman Prasekolahnya tahun lepas, juga di SK Seri Kota.  




Ketika zaman saya bersekolah dahulu, SK Seri Kota dikenali sebagai SRJK (Ingg) Kota, manakala abangnya, AFIQ HAIKAL pula akan memulakan persekolahan Tahun 3 di sekolah yang sama.  Nasib baiklah uniform sekolah dua beradik ini tidak ditenggelami air semasa banjir baru-baru ini walaupun air di dalam rumah Bonda setinggi paras pinggang.


Setiap tahun, apabila bercerita tentang masuk sekolah darjah 1, Papa akan selalu berbari tentang pengalaman Papa menghantar adinda Mutia Anggerek mula-mula masuk sekolah .... 

Apakah agaknya cerita menarik yang sering diulang-ulang oleh Papa tu....hahaha...