CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, September 30, 2009

Pengasuh anak2ku :Terima kasih semua....




Syukur kepada Ilahi kerana semasa anak-anak masih kecil, aku tidak menghadapi masalah untuk mendapat khidmat pengasuh orang tempatan.

Arwah ayah mertua (Che Pok Mat) yang pernah bergelar Tok Penghulu suatu ketika dahulu mempunyai hubungan yang rapat dengan penduduk di sekitar Gual Ipoh, Tanah Merah. Jadi atas dasar 'membalas budi' dan juga hubungan baik masyarakat setempat dengan arwah Che' Pok Mat, tidaklah menjadi keberatan bagi ibu bapa berkenaan untuk melepaskan anak-anak mereka untuk tinggal bersama kami menjadi pengasuh anak-anakku. Selain itu, kakak ipar sulung (Kak Long) juga memainkan peranan penting dalam usaha mendapatkan pengasuh untukku. Terima kasih semua... akan kukenang sampai bila-bila.

Pengalaman mencari pengasuh juga membawa aku mengenali segenap ceruk kampung. Dari Kg. Kuala Tiga, Kg. Puyu, Kg. Buluh, Kg Tok Che Dol hinggalah ke Kg. Lubuk Bongor, Jeli (tak jauh dari kawasan rekreasi Gunung Stong, Dabong). Kebanyakannya berasal daripada keluarga yang kurang berkemampuan. Niat aku, selain menjadikan mereka pengasuh, dalam masa yang sama untuk membantu mereka....

Seawal anak sulungku berumur 2 bulan, aku sudah mempunyai pembantu rumah khusus untuk menjaga anakku ketika aku keluar bekerja. Mereka ni aku anggap dan layan seperti ahli keluarga sendiri. Kami makan bersama dan aku akan bawa mereka bersama semasa pergi bercuti....

Nama-nama yang perlu kusebutkan di sini yang pernah menjadi pengasuh anak-anakku ialah JARAH BT. MUSA (Kg. Lubuk Bongor, Jeli), SITI FATIMAH MD AMIN (Kg. Kuala Tiga, Tanah Merah), HAPISAH .... - sepupu Siti Fatimah juga dari Kuala Tiga, RAHAYU (Kg. Tunjung, KB) dan RASHIDAH (Kg. Belukar, Mulong, KB).

Masa mereka tinggal bersamaku, usia mereka masih belasan tahun. Tidak ada peraturan tertentu yang aku syaratkan kepada mereka. Bohong, kalau aku kata tak ada masalah langsung. Ada, tetapi aku terima itu sebagai ujian untukku dan aku sering nasihatkan mereka sebagaimana aku menasihati adik-adikku.... Setiap daripada kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Mereka juga banyak belajar menguruskan rumah tangga semasa tinggal bersamaku. Ada antara mereka yang aku hantar ke kelas jahitan berdekatan dengan rumahku pada sebelah petang. Manalah tahu ini dapat membantu mereka setelah tidak tinggal bersamaku.

Pesananku kepada mereka, jika hendak berhenti, perlu maklumkan kepadaku sebulan lebih awal, agar dapat aku cari pengganti. Ada yang berhenti kerana kahwin, ada yang ingin cari kerja lain untuk memulakan hidup baru... ada yang berhenti sekejab dan datang semula... Sehingga kini kami masih berhubung, walaupun sekali sekala.

Apabila aku berpindah ke Jengka mengikut suami, anak sulungku sudah berumur 14 tahun dan yang bongsu berusia 11 tahun. Anak yang kedua berada di asrama. Pada masa tu, yang menjadi pembantuku ialah RASHIDAH. Dia minta berhenti kerana katanya 'adik-adik' sudah besar, sudah tak ada kerja untuk dibuat... jadi, dia tidak mengikutku ke Jengka, sebaliknya aku minta DAH tinggal di rumahku di KL - jaga rumah, dan dalam masa yang sama dia bekerja di sebuah kilang di Keramat, KL. Setelah dua tahun dia 'menjaga' rumahku, dia terpaksa pulang ke kampung untuk menjaga ibunya yang sakit. Rashidah merupakan pengasuh anak-anakku yang terakhir....

Terima kasih semua... Jasa dan budi kalian akan kukenang sampai bila-bila....

Tuesday, September 29, 2009

Erti Sebuah Perkahwinan...

September 2009 genap 24 tahun perkahwinan kami. Saya beruntung kerana suami seorang yang penyabar kepada saya dan anak-anak. Dia menyayangi kedua ibu bapa saya sebagaimana dia menyayangi kedua ibu bapanya dan dia menerima semua ahli keluarga saya. Begitu juga di pihak saya, saya juga menyayangi kedua ibu bapa dan keluarganya. Saya menerima mereka seadanya.

Pernikahan bukan sekadar menghalalkan yang haram tetapi ia lebih daripada itu.

"...Melihat perkahwinan sebagai medan untuk MEMBERI, akan menjadikan kita lebih memikirkan soal PERANAN dan bukannya HAK yang tidak berkesudahan..."

Perkahwinan datang bersama tanggungjawab di bahu. Jika dahulu hanya fikir tentang diri sendiri, apabila berkahwin kena fikir sekali tentang pasangan/anak2/keluarga dua2 pihak. Bukan sedikit pengorbanan daripada pihak suami, isteri dan apatah lagi anak-anak. Apabila dah tinggal bersama segala kekurangan diri akan terserlah. Carilah titik persamaan yang akan mengukuhkan lagi ikatan yang ada, bukan masing2 mencari alasan untuk saling menjauhkan diri.

Begitulah kehidupan berumahtangga, saling lengkap melengkapi dan saling memerlukan di antara satu sama lain. Perkahwinan datang bersama dengan tanggungjawab yang mesti digalas di bahu.

Sebaik-baik contoh kehidupan berkeluarga ialah rumahtangga Rasulullah s.a.w. Baginda yang paling berlemah lembut pada keluarganya. Baginda menyayangi kanak-kanak dan tidak segan untuk mencium anak-anak dan cucu-cucu baginda. Sesungguhnya banyak lagi yang kita boleh pelajari dari buku-buku yang baik yang bercerita tentang Sirah Rasulullah s.a.w. untuk kita jadikan pedoman.

Pelbagai cerita yang kita baca dan ada yang kita lihat dengan mata sendiri tentang perkahwinan. Perkahwinan adalah sunnah Rasulullah s.a.w. dan Rasulullah s.a.w. bersabda :

"... bukan dari kalangan umatnya sesiapa yang menentang perkahwinan. ... Jika seseorang itu berkahwin maka telah sempurna sebahagian dari agamanya. Besarnya nilai sesebuah perkahwinan...."

Malangnya apa yang kita lihat hari ini amat menggusarkan. Perkahwinan menjadi seperti permainan. Bila suka, ambil, tak suka, lemparkan ke mana sahaja. Ada yang berkahwin umpama menukar baju, baik lelaki atau perempuan. Bukan sedikit seorang suami yang mengabaikan anak isteri hanya untuk mengejar wanita lain.

Kepada adik-adik yang akan berkahwin, selalu saya ingatkan. Kadang-kadang jadi seperti leteran kepada mereka .... Cantik atau kacak bakal pasangan kita, bukan menjadi keutamaan bila telah sah ikatan perkahwinan. Apa guna pasangan yang cantik atau kacak jika masing-masing tidak menjalankan tanggungjawab? Mungkin sebelum bernikah, adik-adik hanya mendengar umpama angin lalu apa yang saya katakan, tapi selepas bernikah mereka akan mengakui dan berhadapan dengan realiti kehidupan. Tambah lagi, apabila telah ada cahaya mata, tanggung jawab menjadi semakin besar !

"....perkahwinan itu akan menjaga kehormatan dan pandangan....tetapi jika agama tidak dijadikan landasan dalam sesebuah perkahwinan, maka jadilah perkahwinwn itu umpama barang yang tiada nilai..."

Monday, September 28, 2009

Perkahwinan : Satu Tanggungjawab


Cuti raya banyak sangat kenduri kahwin atau majlis pertunangan dilangsungkan dalam kalangan keluargaku. Walau bagaimanapun, aku tidak berkesempatan untuk hadir kerana terpaksa memendekkan cuti hari raya….

Bercerita tentang majlis pertunangan hari ni, sesetengah keluarga beriya-iya sangat membuat persiapan. Banyaknya belanja yang telah dikeluarkan untuk majlis itu. Itu baru bertunang, belum lagi kenduri.

Dalam bab belanja pula, kadang-kadang memeranjatkan juga. Sejumlah wang hantaran yang agak besar nilainya disebut oleh bapa si gadis dan kadang-kadang ia tak sepadan dengan pekerjaan bakal pengantin lelaki. Tapi biasanya kedua2 pihak setuju dengan jumlah itu. Kononnya jaga 'prestij'. Lepas kahwin, mulalah pening kepala… hakikatnya di sinilah bermulanya tanggunggjawab yang sebenarnya….!

Mengimbau kembali majlis ‘merisik @ pertunangan’ kami dulu (sebenarnya tak bertunangpun…), semuanya ringkas. Suami datang bersama ibu, kakak, dan ibu saudara. Papa juga simple orangnya. Suatu yang mungkin amat suami bimbang ialah jika Papa akan minta wang hantaran yang besar jumlahnya. Tapi tidak rupanya.

Papa tidak menyebut pun tentang wang hantaran. (Semua adik-beradik yang lainpun sama, Papa tak sebut juga…). Perbincangan hanya tentang berapa lama dan bila majlis akan berlangsung. Saya juga tak tahu berapa suami akan bagi sebagai wang hantaran.

Semasa majlis ‘berunding’ dijalankan aku berada nun jauh di Lembah Pantai… Semuanya Papa & Mama serta keluarga sebelah suami uruskan, termasuk tarikh perkahwinan kami. Aku tak ambil kisah langsung… akhirnya aku dapat tahu tarikh perkahwinan ditetapkan pada 19-09-1985 – sama dengan tarikh lahirku yang ke-23 tahun!

Aku juga tak ingat berapa dulang aku beri kepada suami dan berapa suami beri kepadaku. (yang pasti tidak kurang daripada 9 dulang). Semua tu tak penting bagi kami. Kami masing2 tidak tahu pun apa barang hantaran yang kami akan dapat. Kami tidak berbincang apa-apa yang kami nak beri sebagai hadiah. Kebiasaannya bagi bakal pengantin, mereka akan keluar bersama untuk mencari barang2 hantaran. Kami tidak begitu. Terpulang kepada kami berdua apa nak diberi sebagai barang hantaran.

Wang hantaran semuanya kuserah kepada Mama & Papa untuk majlis kenduri. Aku akur dengan kesederhanaan hidup keluarga kami pada masa itu. Tambahan pula, pada masa itu tanggungan Papa masih banyak. Adik-adik ada yang masih kecil. Aku sendiripun masih belum habis belajar, sedang buat diploma pendidikan… (Niat asal memang nak kerja dulu, baru kahwin. Tapi apa nak buat… jodoh sampai awal…)

Pada asalnya, aku tidak mahu bersanding, tetapi Kak Long (kakak sulung suami) hendak sangat adik lelakinya ni bersanding memandangkan abang & adik lelakinya yang lain semua bersanding di atas pelamin yang dihias indah. Untuk tidak menghampakan hajat Kak Long, aku bersetuju untuk bersanding tanpa pelamin. Hanya ‘bersanding’ di bilik pengantin…. bergambar kenangan.

Bagi pihak keluargaku, majlis perkahwinanku inilah yang paling simple., walaupun ia merupakan majlis yang pertama bagi Papa & Mama. Aku tidak mahu berlebih2an sehingga berlaku pembaziran, ada yang lebih utama lagi yang perlu didahulukan.... Untuk majlis perkahwinanku, tidak ramai tetamu yang diundang, tetapi rombongan daripada pihak suami memang ramai betul….

Kata Papa & Mama, "kita mesti utamakan tetamu & rombongan pengantin yang hadir, biarlah belanja lebih untuk jamuan; biarlah mereka dijamu dengan hidangan yang istimewa. Kata Mama lagi, biar tetamu yang hadir balik ke rumah dengan hati yang puas dan akan ingat sampai bila-bila….".

Apa yang penting dalam perkahwinan ialah bagaimana suami isteri itu akan melayari bahtera kehidupan berkeluarga. Ia bukan tanggungjawab satu pihak sahaja. Kedua2nya ada peranan masing2. Anak2 adalah buah dari cinta dan kasih sayang sepasang suami isteri yang datang bersama amanah yang terpikul di bahu.

Sedar tak sedar, kini sudah genap 24 tahun kami hidup bersama, meredah pahit manis kehidup an berkeluarga.…

Ya Allah, berkatilah kehidupan kami. Tunjukkan kami jalan yang lurus dan jalan yang KAU redhai. Amin.

Saturday, September 26, 2009

Syawal yang penuh erti....




Setiap kali menjelang hari raya, akan terdetik di hati ."....sempat lagikah aku untuk bersama keluarga pada Aidilfitri yang akan datang...?"


Tahun ini kami sekeluarga menyambut 1 Syawal di rumah Mama di Wakaf Sena setelah beberapa tahun menyambutnya di Batang Merbau. Selepas zohor barulah kami bertolak ke rumah mertua.

Pada pagi 1 Syawal 1430 hanya ada 4 orang adik beradikku bersama Papa & Mama. Anak Papa & Mama yang ke-2 (aku), ke-3 (Noni), ke-6 (Anggerek) & ke-7 (Nadia). 7 orang cucu yang bersama Papa & Mama pada pagi 1 Syawal pula ialah Abe, Emi, Adik CT (anak--anakku), Tasha, Najwa, Ika (anak-anak Noni) dan Fifi (anak K.Roslena). Papa & Mama juga merayakan pagi 1 Syawal tahun ini bersama 2 orang sahaja menantunya - Nain & Sahazali ...

Kak Roslena (kakak sulung) hanya akan tiba pada petang 1 Syawal. Ini merupakan rutinnya pada setiap tahun; Suzlena (adik ke-4) beraya di rumah keluarga suaminya??? ; Melisa (adik ke-5) beraya di Jengka 2 - rumah mertua dan balik ke KB pada raya ke-3; Idayu - adik bongsu pula kena giliran beraya di rumah mertuanya di Kemaman setelah hampir 3 minggu dalam bulan ramadhan berada di KB bersama Mama.

Jadi, pada pagi 1 Syawal tahun ni tak berapa ramai ahli keluarga yang dapat berkumpul bersama. Walau bagaimanapun, pada 3 Syawal kami berkumpul ramai-ramai (kecuali adik bongsu) di rumah Kakak sulung (yg tidak jauh dari rumah Mama) untuk menyemarakkan hari yang bahagia ini. Banglo Kak Roslena kini menjadi tempat kami berkumpul pada setiap hari raya. Pada hari2 lain, banglo ini ditinggalkan sepi tanpa penghuni kerana Kak Roslena masih menetap di Bkt Tiu, Machang. Sekali-sekala pada hujung minggu Kak Roslena akan pulang untuk menjenguk banglonya itu.

Pada 2 Syawal kami sekeluarga ke Kg Kuala Tiga ... (lihat entri akan datang).

Lewat malamnya, aku dan hubby bertolak ke rumah Mama. Anak-anakku yang bertiga tu balik ke rumah Mama sebelum Asar lagi. Sengaja kami bertolak malam untuk mengelakkan kesesakan kenderaan, terutama di atas jambatan Pasir Mas.


Pada petang 4 Syawal, kami bertiga (aku, hubby & anak perempuan) telah bertolak ke KL.

Sebelum meninggalkan rumah Mama, aku bersalam dengan Papa, mencium tangannya, memeluknya dan mencium pipinya. (Biasanya aku hanya memeluk dan mencium pipi Mama. Dengan Papa aku hanya mencium tangannya). Hal yang tak pernah kulakukan sejak aku dewasa. Entah mengapa, aku ingin sekali memeluk dan mencium pipi Papa.... Papa nampak gembira sekali.

Kami beredar dari rumah Mama lebih kurang pukul 4.00 petang. (terasa berat dihati untuk meninggalkan Mama yang kurang sihat sejak petang hari raya ke-3). Jarak dari traffic light Wakaf Che Yeh ke traffic light Bt 4, Jln Kuala Krai yg biasanya mengambil masa lebih kurang 5 minit, jadi hampir 40 minit pada hari kami bertolak ke KL. Jalan sesak mungkin disebabkan ramai yang keluar untuk beraya ke rumah saudara-mara.

Pada 4 Syawal, rupa-rupanya sudah ramai perantau dari Negeri Cik Siti Wan Kembang yang beransur pulang ke rumah masing-masing nun jauh di Kota Metropolitan KL. Kereta banyak di atas jalan raya. Kami mengambil masa selama hampir 2 jam setengah untuk sampai ke Kuala Krai (biasanya hanya 1 jam lebih). Dari Kuala Krai hujan mula turun tetapi tidaklah lebat sangat. Kena berhati-hati kerana jalan licin ! Kami tiba di Sentul Villa melewati pukul 12.30 tengah malam.

5 Syawal, Khamis - hubby menghadiri mesyuarat di Ibu Pejabat ABB di Kuala Lumpur. Aku dan Adik bertapa di Sentul Villa. Nak keluar untuk 'window shopping' rasa malas pula! Sebelah petangnya, kami terus balik ke Kuantan.

5 Syawal juga majlis kenduri kahwin anak sepupu. Anak sulung Kak Sah. Terkilan juga kerana tidak dapat hadirkan diri.

Sehari sebelum Syawal menjelma, aku menyambut hari jadi yang ke-47 tahun... tak lama lagi masuk setengah abad...! Pada tarikh yang sama kami juga menyambut ulang tahun perkahwinan yang ke-24. Syukur kepada Ilahi kerana memberi kami kesejahteraan dan kebahagiaan sehingga kini...

Sesungguhnya, Syawal meninggalkan 1001 kenangan ....

Tuesday, September 15, 2009

Nostalgia Balik Kampung Menjelang Hari Raya

Terkenang semasa kami sekeluarga menetap di KL semasa musim raya. Balik kampung pada musim raya merupakan suatu kemestian.

Dulu... semasa anak-anak masih kecil, kami akan bertolak awal pagi, paling lewat pun pada pukul 4.00 pagi untuk balik KB. Tak panas dan tidak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Kami akan singgah sembahyang subuh di masjid Raub. Pernah juga kami bertolak sebelum pukul 12 tengah malam. Kalau hubby mengantuk, dia akan tidur skjb di pertengahan jalan, dlm 10 - 15 minit sebelum meneruskan perjalanan. Kami akan sembahyang subuh di masjid Gua Musang. Masa tu belum ada R & R selepas bandar Gua Musang.

Dari KB ke KL pula, kami akan bertolak awal pagi juga... dlm pukul 3 atau 4 pagi. Anak-anak mudah dikejutkan, dan mereka lebih suka balik awal pagi. Masuk kereta mereka terus tidur, tak adalah nak bising dlm kereta. Kami akan berhenti di Gua Musang untuk solat subuh dan breakfast di Taman Melawati sebelum balik ke rumah di Ampang.

Balik kampung menjelang hari raya memang dinanti-nantikan oleh semua orang. Yang penting selamat pulang dan selamat kembali ke tempat kerja ... Ibu bapa dan sanak saudara pasti ternanti-nanti kepulangan perantau ke kampung halaman.

Sunday, September 13, 2009

Nostalgia menjelang raya... (ii)

Dulu, sehari sebelum raya, iaitu hari 'buat ketupat', nenek Lijah akan buat ketupat palas. Yang paling dinantikan ialah makan pulut 'arung' (pulut yang diarung dengan santan secukup rasa untuk dibungkus dalam daun palas). Nenek akan tinggalkan sedikit untukku untuk dimakan selepas berbuka nanti. Ketupat yang telah dibungkus dengan daun palas itu akan direbus di dalam periuk tembaga (bertelinga) yang besar. Periuk tembaga yang diisi dengan ketupat dan sedikit air ni diletakkan di atas dapur kayu...

(rindunya pada Nenek Lijah... terasa baru sahaja nenek meninggalkan kami, walaupun sebenarnya sudah lebih 15 tahun Nenek Lijah kembali ke rahmatullah...!).

Pada 'hari ketupat' , kami 3 beradik sibuk menolong Mama di dapur. Tolong apa-apa yang patut sesuai dengan usia kami ketika tu. Ada yang mengoreng kacang tanah, selepas tu asingkan kulit 'ari'nya dan ditumbuk hancur (tahun-tahun 70-an belum guna blender..!); ada yang ditugaskan untuk mengacau santan agar tidak berketul-ketul. Kacang yang ditumbuk tadi akan dimasukkan ke dalam santan yang telah 'pecah minyak' untuk dibuat kuah nasi impit. Kami juga akan tolong Mama potong daging untuk dibuat sate. Semua ni dibuat sehari sebelum raya.

Pada malam menjelangnya hari raya, kami mula mencucuk sate dan setelah lewat malam kami akan membakar sate beramai-ramai. Sebelum kerja-kerja membakar sate dilakukan, kami akan bermain bunga api di laman rumah dan memasang lilin di celah-celah pokok bunga.

Mama pula akan menanak nasi untuk dijadikan nasi impit. Mama akan masukkan nasi yang telah masak ditanak itu ke dalam periuk yang telah dialas dengan daun pisang. Nasi tersebut akan ditindih dengan benda yang berat, biasanya alat pengisar (kisar beras utk dijadikan tepung). Selain nasi impit & sate, Mama juga akan sediakan nasi dagang sebagai juadah hari raya.

Pada malam hari raya Mama akan masuk tidur setelah semuanya beres. Biasanya melewati pukul 2 pagi. Kadang-kadang kami akan turut menemani Mama. Yang pasti sebelum tidur kami akan letakkan baju, kasut dan stokin baru di tempat yang mudah untuk kami ambil keesokan paginya. Kami tidur sekejab sahaja, itupun tak lena sangat kerana tak sabar nak bangun untuk menyiapkan diri dan mengenakan baju baru...!

Kenangan semasa zaman kanak-kanak hampir 4 dekad yang lalu... sentiasa menggamit memori setiap kali tiba hari raya.

Nostalgia menjelang raya... (i)



Dulu-dulu...

Menjelang hari raya Mama akan sibuk membuat persiapan untuk keluarga kami. Mama akan jahit baju raya untuk kami, masa tu 4 beradik aje. Kami bertiga (Ciksu masih kecil) pakai baju sama fesyen & coraknya. Boria. Paling kurang 2 pasang mama sediakan. Beli kasut baru dan berstokin net panjang jaring-jaring macam jala ikan. Ataupun stokin biasa hingga ke paras lutut. Sesuai dengan baju mini skirt! Kat kampung masa tu, kami antara yang 'bergaya' semasa hari raya. Maklumlah, tukang jahit sendiri, kreatif pula tu... Siap dijahit manik dan labuci. Lengkap dengan beg kecil sangkut di bahu.. semuanya sama.

Papa pula akan pastikan dinding rumah (luar dan dalam) akan dicat baru. Tapi bukanlah setiap tahun.

Mama juga akan sediakan kuih raya 2 @ 3 hari sebelum raya. Yang selalu mama buat ialah marble cake, ambon (apong), biskut dahlia/ samprit. Buat kek masa awal tahun 70-an tak guna mixer electric, guna manual. Mama akan 'pukul' marjerin + castor sugar sehingga kembang, kadang-kadang sampai dekat 1 jam. Kata Mama, barulah kek akan jadi 'gebu'. Sekarang ni senang, masukkan aje dalam mixer dan dalam masa yang sama boleh buat kerja lain. Mama akan bakar cake tu menggunakan oven empat segi hitam cap butterfly, letak atas dapur minyak tanah. Pertengahan 70-an, barulah guna ovennet elektrik berbentuk bulat tu. Dengan kehidupan kami yang sederhana ni, itulah aje kemudahan yang ada.

Semasa kami bersekolah menengah, kami pula yang sama-sama dengan Mama buat biskut raya... Lepas sahur sebelum bersiap ke sekolah, kami bertiga akan buat; (kadang-kadang berdua aje dengan Noni); lepas balik sekolah buat lagi biskut. Masa tu tengah 'gila' buat biskut raya... Masa adun bahan, seronok lagi, tapi bila time tunggu nak bakar, masa ni tinggallah aku sorang. Kalau tak jaga, rentunglah biskut tu nanti. Banyak jenis biskut juga yang kami buat. Tak ada dalam kamus hidup untuk beli yang dah siap...

(Tapi kini, semuanya ditempah. Kat sekolah tu, macam-macam pilihan ada, pilih aje mana yang berkenan dan sediakan RM... menjana ekonomi katakan. Kalau semua orang buat sendiri, macamana orang berniaga nak hidup .... Aku ada juga tempah dengan Cikgu Fauziah sikit dan dengan Cikgu Ruslina sikit. Rasa dengan Cikgu Roslina T.Arus pun ada sikit. Sikit + sikit + sikit = banyak juga. Yelah, buah tangan utk hari raya di kampung...)

Tuesday, September 8, 2009

Indahnya laman rumah Mama



Terkenang kisah dulu-dulu menjelang Aidilfitri...

Hujung minggu terakhir menjelang hari raya, kami 3 beradik membantu Mama membersihkan halaman rumah. Rumput di dalam pasu bunga dan di sekitarnya dicabut. Mama akan mencantas pokok-pokok bunga yang didapati tidak kemas.

Di halaman rumah Mama sejak dahulu sehingga sekarang penuh dengan pokok bunga... Pelbagai jenis & spesis. Kini, selain pokok bunga, Mama juga banyak menanam pokok-pokok herba di dalam pasu.

Masih kuingat lagi, Aku, Kak Ros dan Noni akan mulakan kerja-kerja membersihkan halaman rumah awal pagi, sebelum matahari terik. Kalau dah lewat, penat dan dahaga pula kerana berpuasa... Kami 'diberi' kepada kawasan masing-masing untuk 'dijaga'. Dah tahu dah mana tempatya. Kami akan pastikan kawasan tersebut betul-betul bersih. Dah jadi rutin.

Sebenarnya, kami akan menyapu sampah (daun-daun kering yang gugur - daun daripada pokok bacang...) pada setiap pagi, jika hari cuti @ cuti sekolah, tidak semestinya ketika menjelang hari raya. Waktu petang pula, kami ditugaskan untuk siram pokok bunga. Kerja-kerja ini aku dan Noni yang buat dan ada kawasan masing-masing.

Dulu halaman rumah Mama agak luas. Kini, setelah beberapa kali jalan raya lebarkan, ditambah pula dengan sedikit renovation pada rumah Mama, laman rumah menjadi semakin kecil. Muat untuk parking 2 buah kereta sahaja...! Itupun sudah bersimen. Tak ada lagi tempat untuk rumput tumbuh.

Jadi, semua aktiviti kami dahulu, kini hanya tinggal kenangan.