Syukur kepada Ilahi kerana semasa anak-anak masih kecil, aku tidak menghadapi masalah untuk mendapat khidmat pengasuh orang tempatan.
Arwah ayah mertua (Che Pok Mat) yang pernah bergelar Tok Penghulu suatu ketika dahulu mempunyai hubungan yang rapat dengan penduduk di sekitar Gual Ipoh, Tanah Merah. Jadi atas dasar 'membalas budi' dan juga hubungan baik masyarakat setempat dengan arwah Che' Pok Mat, tidaklah menjadi keberatan bagi ibu bapa berkenaan untuk melepaskan anak-anak mereka untuk tinggal bersama kami menjadi pengasuh anak-anakku. Selain itu, kakak ipar sulung (Kak Long) juga memainkan peranan penting dalam usaha mendapatkan pengasuh untukku. Terima kasih semua... akan kukenang sampai bila-bila.
Pengalaman mencari pengasuh juga membawa aku mengenali segenap ceruk kampung. Dari Kg. Kuala Tiga, Kg. Puyu, Kg. Buluh, Kg Tok Che Dol hinggalah ke Kg. Lubuk Bongor, Jeli (tak jauh dari kawasan rekreasi Gunung Stong, Dabong). Kebanyakannya berasal daripada keluarga yang kurang berkemampuan. Niat aku, selain menjadikan mereka pengasuh, dalam masa yang sama untuk membantu mereka....
Seawal anak sulungku berumur 2 bulan, aku sudah mempunyai pembantu rumah khusus untuk menjaga anakku ketika aku keluar bekerja. Mereka ni aku anggap dan layan seperti ahli keluarga sendiri. Kami makan bersama dan aku akan bawa mereka bersama semasa pergi bercuti....
Nama-nama yang perlu kusebutkan di sini yang pernah menjadi pengasuh anak-anakku ialah JARAH BT. MUSA (Kg. Lubuk Bongor, Jeli), SITI FATIMAH MD AMIN (Kg. Kuala Tiga, Tanah Merah), HAPISAH .... - sepupu Siti Fatimah juga dari Kuala Tiga, RAHAYU (Kg. Tunjung, KB) dan RASHIDAH (Kg. Belukar, Mulong, KB).
Masa mereka tinggal bersamaku, usia mereka masih belasan tahun. Tidak ada peraturan tertentu yang aku syaratkan kepada mereka. Bohong, kalau aku kata tak ada masalah langsung. Ada, tetapi aku terima itu sebagai ujian untukku dan aku sering nasihatkan mereka sebagaimana aku menasihati adik-adikku.... Setiap daripada kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Mereka juga banyak belajar menguruskan rumah tangga semasa tinggal bersamaku. Ada antara mereka yang aku hantar ke kelas jahitan berdekatan dengan rumahku pada sebelah petang. Manalah tahu ini dapat membantu mereka setelah tidak tinggal bersamaku.
Pesananku kepada mereka, jika hendak berhenti, perlu maklumkan kepadaku sebulan lebih awal, agar dapat aku cari pengganti. Ada yang berhenti kerana kahwin, ada yang ingin cari kerja lain untuk memulakan hidup baru... ada yang berhenti sekejab dan datang semula... Sehingga kini kami masih berhubung, walaupun sekali sekala.
Apabila aku berpindah ke Jengka mengikut suami, anak sulungku sudah berumur 14 tahun dan yang bongsu berusia 11 tahun. Anak yang kedua berada di asrama. Pada masa tu, yang menjadi pembantuku ialah RASHIDAH. Dia minta berhenti kerana katanya 'adik-adik' sudah besar, sudah tak ada kerja untuk dibuat... jadi, dia tidak mengikutku ke Jengka, sebaliknya aku minta DAH tinggal di rumahku di KL - jaga rumah, dan dalam masa yang sama dia bekerja di sebuah kilang di Keramat, KL. Setelah dua tahun dia 'menjaga' rumahku, dia terpaksa pulang ke kampung untuk menjaga ibunya yang sakit. Rashidah merupakan pengasuh anak-anakku yang terakhir....
Terima kasih semua... Jasa dan budi kalian akan kukenang sampai bila-bila....
2 comments:
nama kak sah takde...
ada, silap tulis - hapisah, bukannya hafizah... sowi...
Post a Comment