CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, September 6, 2013

kisah buah celagi @ asam jawa...


Pagi tadi, rakan sekerja CIKGU ZAIDOM MUDA membawa buah celagi ke sekolah.  Dibedak-bedakkan kepada kami.... mereka panggil buah ni buah asam jawa.  Terima kasih, sahabat kerana mengembalikan nostalgia makan buah celagi ketika zaman kanak-kanak dulu....


BUAH CELAGI sebenarnya berasal daripada Pokok Jawa atau Tamarind. Rasanya yang masam masam manis menjadikan buah celagi makan ringan yang cukup popular dalam kalangan masyarakat Kelantan.   Asam jawa atau celagi ialah sejenis pokok saka malar hijau yang menghasilkan buah asam untuk kegunaan masakan harian di Malaysia.   


Bersumberkan Cik Wiki, rekod dan sejarah ada menunjukkan bahawa ibu negeri Senegal diberi nama ‘Dakar’ dalam bahasa tempatan yang bermaksud “pokok asam jawa”. Pokok asam jawa merupakan tumbuhan semula jadi di benua Afrika.   

Kini asam jawa telah tersebar luas ke serata dunia dan termasuklah yang ada di Malaysia. Ia juga boleh menjadi pokok hiasan selain ditanam sebagai pokok tanaman. Pokok ini diperkenalkan ke negara-negara di Asia melalui pedagang-pedagang Arab yang datang singgah ke Asia Tenggara. India ialah negara yang mempunyai tanaman dan ladang asam jawa yang paling luas di dunia.  


Nama lain bagi buah celagi atau asam jawa ialah Asam, Asam Jawa, Asam Kemal, Asam Kuning (Melayu).


Asam jawa merupakan sejenis ramuan masakan yang terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu.  Biasanya asam jawa akan dilarutkan ke dalam air dan hanya airnya digunakan dalam masakan. Hampasnya pada kebiasaannya dibuang. 

Selain digunakan dalam masakan, asam jawa juga boleh dimakan begitu sahaja ataupun dengan ditambah dengan gula. Selain itu asam jawa juga digunakan secara tradisional bagi mengubat batuk dan perit tekak. Pucuk muda mentah atau yang telah dicelur, dimakan dengan budu, cencaluk, sambal belacan atau pencecah lain dengan nasi.  Buah muda asam jawa yang dikupas kulit dan ditumbuk kasar atau diracik kecil, dicampurkan dengan sambal belacan, sesuai dimakan dengan nasi. Rasa buah asam jawa adalah masam-masam manis manakala daunya berasa sedikit kelat dan masam.




Suatu ketika dahulu, ketika kami di sekolah rendah, kami suka mengutip buah celagi @ buah asam jawa ini selepas balik mengaji Quran madrasah Tok Nik Weil.  Di hadapan kedai Mok Yoh Aji ada sebatang pokok celagi yang besar.  Pokok celagi ini merupakan pokok saka yang mana pokok matangnya boleh mencapai ketinggian sehingga 25 meter. Pokok ini boleh hidup lama dan masih mampu mengeluarkan hasil walaupun telah berusia puluhan tahun. Pokok ini tahan dari serangan serangga perosak, tiupan angin kencang malahan tahan terendam dalam air berbanding dengan pokok lain. 

Batang pokok celagi di hadapan kedai Mok Yoh Aji  pendek dan mempunyai banyak cabang dan bentuk pokoknya adalah rimbun.   Dahan dan cabang pokok mempunyai susunan yang terbuka luas.  Dahan pokok amat kuat dan tahan tiupan angin kencang dan jarang-jarang sekah atau patah.   Kanopi pokok celagi ini juga berbentuk seperti kubah yang bulat melebar. Daun celagi yang gugur menghiasi tanah....


Buah celagi mempunyai dua jenis iaitu celagi yang manis dan yang masam.  Buah celagi boleh dimakan segar dan ada dijual di pasar kebanyakannya di Utara seperti Kedah dan Perlis (bekalan dari Thailand). Asam jawa biasanya dijadikan jus minuman yang dicampur dengan air gula sebagai minuman segar terutama di Malaysia, Thailand dan Indonesia serta negara tropika lain. 

Kini jus asam jawa telahpun dibotolkan dan mudah didapati secara runcit oleh usahawan tempatan dalam pasaran domestik malahan ekspot. Syarikat ADABI menghasilkan puri asam jawa yang ‘sedia guna’ dan mendapat pasaran yang sangat luas di Malaysia. Kordial minuman asam jawa juga merupakan antara perisa yang popular di Malaysia.  


Peranan asam jawa dalam masakan memang penting dari zaman nenek moyang hinggalah kini. Ada pepatah Melayu yang berbunyi 'garam di laut, asam di darat; dalam periuk, bertemu jua'. Pepatah ini menunjukkan betapa pentingnya peranan asam dalam kehidupan harian masyarakat kita.

Di Kelantan misalnya, terdapat aktiviti industri asas tani dengan memproses asam jawa menjadi sejenis pencuci mulut.  Caranya adalah dengan membuat asam jawa disalut dengan gula pasir, serbuk cili dan dibalut seperti gula-gula.  Rasa masam, manis dan pedas ini sangat enak rasanya dan harganya juga sangat murah.   Sebenarnya, asam jawa 'putar' yang banyak terdapat di Pasar Siti Khatijah kini datangnya dari seberang Sungai Golok....!

Kegunaan celagi atau asam jawa dari segi perubatan tidak boleh dikira banyaknya. Untuk tujuan komersial didapati asam jawa dijadikan asas bahan penyejuk dalam ubat demam dan sebagai julap bagi mengatasi masalah perut kembung. Sama ada dimakan begitu sahaja atau dicampur dengan jus limau, madu atau susu, asam jawa amat berkesan dalam mengatasi masalah penghadaman, penyakit hempedu dan kekurangan vitamin C (skurvi). Amalan ini juga telah terbukti secara klinikal di beberapa negara seperti di India.

Asam jawa juga digunakan sebagai sapuan untuk mengurangkan kesakitan akibat keradangan.   Ia juga digunakan untuk berkumur-kumur bagi mengurangkan sakit tekak. Caranya adalah dengan mengambil sedikit garam dicampur ke dalam air asam dan kemudian ia boleh digunakan sebagai sapuan bagi melegakan sakit sendi. 

Daun asam jawa sama ada yang kering atau yang telah direbus boleh digunakan untuk merawat bisul, bengkak sendi dan terseliuh. Losyen atau ekstrak daunnya pula boleh digunakan bagi merawat sakit mata, sebagai antiseptik, merawat cirit-birit, jaundis, sakit kulit dan buasir. Kulit pokok asam jawa, jika digoreng dengan garam dan dikisar lumat boleh digunakan sebagai penawar ketakcernaan dan kolik. Air rebusannya digunakan dalam kes radang gusi, lelah dan sakit mata. Losyennya boleh digunakan pada kudis dan ruam ulat bulu. Tepung daripada biji asam digunakan untuk merawat bisul.

Begitulah alkisahnya buah celagi @ asam jawa yang sangat dekat di hati masyarakat kita....


1 comments:

Rose Azadir said...

Hi…saya blogwalking kat sini. Jemput datang ke blog saya yer http://ibu2ahmad.blogspot.com