Saturday, April 15, 2017

Tulisan Jawi dan Bahasa Melayu

Tulisan Jawi (توليسن جاوي) ialah satu seni penulisan yang telah wujud berabad-abad lamanya di Nusantara. Kemunculannya berkait secara langsung dengan kedatangan agama Islam ke Nusantara. 

Tulisan Jawi berasal dari tulisan Arab dan merupakan huruf-huruf Arab yang dimasukkan ke dalam sistem penulisan bahasa Melayu.Tulisan Jawi ialah tulisan rasmi bagi negara Brunei dan digunakan meluas di Malaysia, Filipina dan Indonesia.

Tulisan Jawi adalah antara tulisan terawal yang pernah ditemui. Tulisan ini telah berkembang sejak zaman Kerajaan Islam Pasai kemudian disebarkan ke Kerajaan Melaka, Kerajaan Johor dan juga Aceh pada abad ke-17. Bukti kewujudan tulisan ini di Malaysia adalah dengan terjumpanya Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 702H atau 1303M manakala tulisan Rumi yang paling awal ditemui adalah pada akhir kurun ke-19. Ini menunjukkan tulisan Jawi telah sampai ke negara ini lebih awal berbanding tulisan Rumi. Tulisan Jawi merupakan tulisan rasmi bagi Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu semasa penguasaan British. Kini tulisan ini digunakan dalam urusan agama Islam dan adat istiadat Melayu yang kebanyakannya di Johor, Kedah, Kelantan, Perlis, dan Terengganu.


Pada zaman dahulu, tulisan Jawi memainkan peranan penting dalam masyarakat. Ia digunakan sebagai perantara penting dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat dan perdagangan. contohnya digunakan dalam perjanjian-perjanjian penting antara pihak-pihak di-Raja Melayu dengan pihak-pihak berkuasa Portugis, Belanda dan Inggeris. Selain itu, Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 bagi negara Malaysia antara lain juga tertulis dalam abjad Jawi.



Nama-nama hari dalam tulisan Jawi
Isnin اثنين
Selasa ثلاث
Rabu رابو
Khamis خميس
Jumaat جمعة
Sabtu سبتو
Ahad احد

Tulisan jawi kini semakin terpinggir di bumi sendiri semenjak huruf roman diperkenalkan untuk menggantikannya selaras dengan perkembangan teknologi dan juga pengaruh Inggeris terhadap orang Melayu-Islam.

Kini amnya, tulisan jawi terhad penggunaannya dalam kalangan mereka yang berada dalam institusi agama Islam, seperti para ulamak, guru-guru agama dan pegawai tadbir jabatan agama Islam. Malahan, penerbitan Utusan Zaman seminggu sekali dan hanya menjadi sisipan Utusan Malaysia menandakan merudumnya penggunaan tulisan jawi.

Walau bagaimanapun, di Negeri Cik Siti Wan Kembang, salah satu syarat penyediaan papan tanda / kain rentang untuk premis perniagaan adalah perlu disertakan dengan tulisan jawi.