CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sunday, August 16, 2015

Peristiwa di Ladang Ng Tiong Kiat @ Sungai Jerik


Sebelum saya bertukar ke Jengka pada tahun 2000, saya tidak pernah mendengar nama tempat ini... Tiong Kiat (disebut Tong Kiat oleh penduduk setempat). Tempat ini juga dikenali sebagai Pekan Sg. Jerik, sebuah kampung baru yang menempatkan masyarakat Cina yang sebahagiannya datang dari Sitiawan, Perak yang letaknya dalam daerah Jerantut dan tidak jauh daripada Bandar Pusat Jengka.

Hutan Lipur Lubuk Yu yang hangat diperkatakan suatu ketika dahulu, (lepas selepas 6 orang maut dan 83 orang lagi dijangkiti virus kencing tikus), agak hampir dengan Pekan Sungai Jerik @ Tiong Kiat ini.

Pada tahun 2002, semasa membawa murid melawat muzium bandar diraja Pekan, saya terjumpa buku yang menceritakan satu peristiwa penting yang berlaku di Ladang Ng Tiong Kiat lebih 60 tahun yang lalu. Saya terpanggil untuk memiliki buku tersebut. Buku yang mengandungi pengkisahan "Peristiwa DYMM Sultan Pahang di Ladang Ng Tiong Kiat" mendekatkan lagi saya dengan tempat itu. Malang sekali buku tersebut telah hilang setelah dipinjamkan kepada seorang rakan sekerja. Saya akan dapatkan semula buku tersebut sekiranya saya berkesempatan sekali lagi ke muzium Pekan.

Kisah ini akan saya kongsikan dengan semua pengunjung blog ini....

PERISTIWA DYMM SULTAN PAHANG DICULIK

Peristiwa ini berlaku pada pertengahan bulan Ogos tahun 1945...

Peristiwa sebenar tentang 'penculikan' DYMM Sultan Abu Bakar telah diceritakan oleh Tan Sri (Jeneral) Ungku Nazaruddin bin Ungku Muhammmad dalam suatu majlis pengkisahan pada malam 17 April 1992 bersempena dengan Seminar Sejarah Negeri Pahang. Ayahanda kepada Ungku Nazaruddin turut bersama dalam rombongan DYMM ke Kuala Lipis pada 17 Ogos 1945 sebagai jurubahasa dan juruiring kepada baginda Sultan. Yang turut mengikuti rombongan itu ialah Dato' Mahmud b. Mat (Pegawai Daerah Kuantan); Encik Abdullah b. Sihat (Pegawai Daerah Pekan); Encik Daud b. Ismail (Ketua Pelayan); Encik Abu Bakar b. Chik (Vallet); dan Encik Talib b. Muhammad (Pemandu).

Dalam keadaan yang tidak menentu
pada pertengahan Ogos 1945, DYMM Sultan Abu Bakar telah berangkat dari istana baginda di Pekan ke Kuala Lipis yang pada masa itu merupakan pusat pentadbiran bagi negeri Pahang. Keberangkatan baginda bertujuan untuk membincangkan pentadbiran negeri Pahang yang pada masa itu dalam keadaan tidak menentu.

Dalam perjalanan pulang, baginda dikatakan hilang kerana diculik semasa berada di ladang Ng Tiong Kiat (kini dikenali juga dengan Pekan Sg Jerik, Jerantut). Lokasinya adalah di antara Jerantut dengan Kuantan. Menurut cerita yang tersebar luas, baginda diculik oleh MPAJA. Ekoran daripada peristiwa itu, pihak Jepun mengapi-apikan perasaan orang Melayu supaya bangkit menentang orang Cina dan MPAJA.

Baginda dan rombongan bertolak ke Kuala Lipis pada 16 Ogos 1945 sebagai memenuhi jemputan Gabenor Pemerintah Tentera Jepun bagi negeri Pahang Darul Makmur untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha yang jatuh pada 15 Sept 1945. Selain itu, Gabenor bagi negeri Pahang itu memberitahu bahawa beliau akan menamatkan khidmatnya di negeri Pahang dan seorang yang baru akan mengambil alih tempatnya. Digambarkan pertemuan itu diadakan "dalam suasana yang dingin serta penuh dengan syak wasangka", kerana ketika itu sudah nampak tanda-tanda bahawa Jepun terpaksa menyerah diri setelah berlakunya pengguguran dua biji bom atom di Hiroshima dan Nagasaki.


Dalam perjalanan pulang, ketika sampai di ladang ubi Ng Tiong Kiat, kira-kira pukul 6.00 petang, mereka berhenti di situ untuk mengambil 2 ekor kambing gurun yang dipesan oleh Tuanku sendiri semasa dalam perjalanan dari Pekan ke Kuala Lipis. Di sinilah mereka 'diculik', iaitu diarah supaya tinggal di kem kumpulan gerila OSS 404 (Cairgorum II) yang dipimpin oleh Geaney bersama dengan gerila Force 136 kumpulan Pontoon di bawah pimpinan Mejar Leonard. Tuanku dan ahli rombongan cuma diberitahu bahawa penculikan ini terpaksa dilakukan demi menjaga keselamatan Tuanku sebagai pemerintah tertinggi negeri Pahang.


Dari ladang ubi Ng Tiong Kiat, Tuanku dan rombongan dibawa masuk ke kawasan pedalaman Hutan Simpan Jengka-Chenor, iaitu kem gerila British dan Amerika. (kini kawasan ini menjadi penempatan LKTP @ Felda Jengka).

DYMM serta rombongan berangkat balik meninggalkan tempat perladangan itu pada 12 September, iaitu setelah 27 hari berada di kawasan hutan simpanan itu dan setelah diberitahu bahawa Jepun telah menyerah diri. Tuanku diiringi oleh kumpulan Force 136 bersama dengan 10 anggota gerila wataniah yang berpakaian seragam lengkap dengan senjata.

Difahamkan bahawa markas SEAC di Colombo telah meminta Force 136 dan OSS 404 (Amerika) memberi perlindungan kepada DYMM dan rombongan kerana kuatir pada masa kekosongan kuasa dalam masa peralihan di antara penyerahan diri Jepun dan kedatangan Tentera Bersekutu, pihak MPAJA akan mengambil peluang untuk merampas kuasa dan menggunakan Tuanku sebagai tebusan.

Sesampainya Tuanku di Istana Seri Terentang, Bandar Diraja Pekan, baginda disambut seperti "orang mati hidup semula" kerana ada di antaranya yang menyangka bahawa DYMM telah mangkat dibunuh oleh MPAJA.

Sekadar berkongsi cerita sejarah...

Foto (1) : DYMM Sultan Abu Bakar (2) Residency, iaitu tempat tinggal Gabenor Jepun di Kuala Lipis yang merupakan tempat pertemuan antara Gabenor dan Baginda Sultan.

Sumber : Buku "Peristiwa Almarhum Sultan Abu Bakar Di Ladang Ng Tiong Kiat Pada Tahun 1945" oleh Ungku Nazaruddin, Lembaga Muzium Negeri Pahang.


5 comments:

zuiyanhong said...

Semasa berkhidmat di SJKC Jerik, saya pernah bertanya penduduk setempat mengenai asal usul Tong Kiat tetapi mereka enggan memberitahu. Setelah membaca artikel anda, barulah saya tahu tentang cerita Tong Kiat.

Adzriel @ Liza AB said...

seronok baca sejarah pahang

roshanilawatey said...

Salam, terima kasih kerana singgah di sini... sejarah asal usul warisan nenek moyang kita. Memang menarik.

Anonymous said...

Salam..ni cikgu roshanilawatey ker? Pnh mengajar di smkj2 kan.

Abu Maryam Muhammad said...

"dari Sitiawan, Perak yang letaknya dalam daerah Jerantut." Maaf, saya agak keliru. Walau bagaimanapun, terima kasih atas perkongsian. Hanya ALLAH jua layak membalasnya dengan ganjaran yang banyak. Semoga ALLAH melindungi Sultan serta pimpinan negeri Pahang Darul Makmur.