CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, July 30, 2010

'KOMEDI' & 'KOMIDI' : bukan bersinonim...



Perkataan komedi (huruf 'e' dalam ejaan kata ini ialah vokal 'e' taling) kadang-kadang disebut sebagai komidi. Ada orang menyebut komidi untuk maksud komedi.

Komedi dan komidi merupakan dua perkataan yang bukan bersinonim kerana kedua-duanya membawa maksud yang sungguh berbeza. Oleh itu kedua-duanya tidak saling berganti.


Perkataan komedi berasal daripada perkataan bahasa Inggeris "comedy". Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, halaman 807, komedi membawa maksud :
1. drama, filem, dsb yang ringan dan lucu, biasanya berakhir dengan kegembiraan.
2. genre sastera yang berkait dengan hak-hal lucu atau serius dengan cara menyindir.
Komidi pula merujuk Kamus Dewan Edisi ke-4, halaman 808 membawa maksud :
1. pertunjukan (permainan) sandiwara, lakonan (drama di pentas, dsb)
2. pertunjukan (spt gerak badan atau berbagai-bagai jenis senaman) spt bertunggang balik, berayun
3. perbuatan yang berpura-pura (tidak sungguh-sungguh), perlakuan yang dibuat-buat, lawak.
Ringkasnya, komidi bermaksud pertunjukkan pelbagai kepandaian gerak badan dalam senaman, misalnya permainan akrobatik. Bentuk mainan begini dapat kita lihat dalam pertunjukan sarkas, atau pertunjukan tatu. Selain itu, komidi juga membawa maksud suatu lakonan di pentas. Jika kita mengatakan komidi bangsawan, maksudnya sandiwara tentang cerita-cerita lama, khususnya tentang raja-raja. Sekiranya seseorang melakukan perbuatan yang tidak berterus-terang seperti berdolak-dalik dalam percakapan; atau perilakunya berpura-pura, maka dikatakan orang itu berkomidi.

Jelaslah betapa besarnya perbezaan antara perkataan 'komedi' dengan 'komidi'. Oleh itu untuk kita menyatakan maksud sesuatu yang lucu, maka perkataan yang tepat ialah komedi, bukannya komidi...!


Kita seharusnya mengetahui perbezaan perkataan yang seakan-akan sebunyi yang sudah pasti berbeza maksudnya, agar kita dapat membuat pilihan yang tepat untuk mendukung sesuatu maksud yang khusus. Demikian, dapatlah kita berbahasa dengan persis....

Thursday, July 29, 2010

Bertemu dan Bertamu....



Seketika di kampung halaman seminggu yang lalu....

Pagi Ahad yang ceria ....pagi-pagi lagi Mama sediakan juadah pulut durian. Bimbang kalau-kalau anak dan menantunya ini kempunan tak sempat untuk merasa durian dari dusun turun-temurun yang diwarisi oleh Pok Muda Leh sekarang. Pulut, santan dan durian + kopi 'o' panas menjadi hidangan sarapan kami pagi itu...

Selepas sarapan, jam sudah melewati 9.30 pagi... teringat janji temu kami dengan rakan baik yang sudah lama tidak bertemu...Kami tidak mengambil masa yang lama...selepas bersalam-salaman dengan Papa, Mama, Ayu, Afiq dan Balqis kami terus bertolak menuju SMK Pintu Geng...
Sebaik sahaja melepasi pondok pengawal, telefon berbunyi menandakan ada panggilan masuk. MAHERAM HASSAN NORDIN sudah sedia menunggu di kantin sekolah. Teruja sekali untuk bertemu seorang sahabat yang sama-sama menginap di Asrama Kedua UM (1982/84) dan juga rakan sekuliah dengan suami di UM, Kak Zah @ HAZIZAH ABU BAKAR....yang terpisah sejak tahun 1984...! Seorang lagi sahabat ialah NORDIN ABDUL RASHID yang pernah sama-sama berkhidmat di SMKJ2 (2000 - 2003).
Kami tidak lama bertamu di SMKPG ... selain tidak mahu mengganggu waktu kerja rakan-rakan, kami juga terpaksa beredar untuk balik ke Kuantan... Walaupun bertemu dan bertamu hanya untuk seketika, suasana yang ceria dan layanan yang mesra cukup untuk menghilangkan rindu kami semua lantaran sudah lama tidak bersua muka. Setelah menghabiskan secawan teh 'o' dan sebiji kuih che mek molek, kami pun memohon diri untuk beredar....

Dari Pintu Geng, kami terus ke Jalan Klocor untuk ke rumah Hjh Meriam Nik Omar. Sambil menunggu pembantu Makcik Yam menyediakan tempahan saya itu, sempatlah saya melihat pembantunya membuat kuih jala mas. Walaupun tidak dapat memenuhi tempahan yang telah dibuat beberapa hari sebelumnya, dapatlah juga saya membawa balik beberapa bungkus (kotak) murtabak raja, akok dan juga sedikit jala mas ke Kuantan. Kami meneruskan perjalanan. Hari masih agak awal. Memandangkan waktu belum melepasi tengah hari, kami bercadang untuk singgah di Jertih untuk bertemu dengan seorang sahabat yang pernah mengajar bersama di SMKJ2 hampir 10 tahun yang lalu.
Cikgu Mahadi Hassan & Nor Rizan menyambut kami dengan senyum lebar. Betul ke itu CIKGU MAHADI...? Sudah lain benar penampilannya sekarang setelah hampir 10 tahun tidak bertemu. Tidak susah untuk kami mencari rumah kediaman mereka. Rupa-rupanya rumah mereka hanya selang sebuah daripada rumah sepupu saya - Kak Yah & Abg Wan.

Selepas makan tengah hari, lebih kurang pukul 2.30 petang kami pun meneruskan perjalanan kami ... perjalanan agak perlahan kerana hujan mula turun sebaik sahaja kami meninggalkan Kg Seberang Jertih. Hujan yang sekali sekala lebat itu berterusan sehinggalah kami tiba di rumah di Kuantan...

Perjalanan yang santai, bertemu dan bertamu.... meninggalkan banyak kenangan... semanis jala mas, selemak akok dan seenak che mek molek... Syukur kepada Ilahi kerana kami diberi kelapangan masa dan ruang untuk bertemu dengan sahabat yang sudah kian tahun terpisah.

Semoga kami terus diberi kesempatan untuk bertemu lagi pada masa akan datang...

Monday, July 26, 2010

MERUBAH ATAU MEROBAH?



Kita sering mendengar orang menyebut atau menulis perkataan 'merubah' untuk maksud mengalihkan kedudukan sesuatu dari tempat asal ke tempat yang lain. Dengan kata lain, perbuatan ini dikatakan mengubah kedudukan sesuatu itu.

Anggapan sesetengah orang bahawa kata 'merubah' ini terbit daripada gabungan awalan "mer-" dengan kata dasar 'ubah' (*mer + ubah), lalu membentuk kata 'merubah'.

Dalam hal imbuhan bahasa Melayu, tidak wujud awalan "mer-". Anggapan sesetengah pengguna bahasa Melayu bahawa awalan "mer-" ini merupakan satu daripada alomorf awalan "meN-" adalah tidak benar. Alomorf atau keluarga awalan "meN-" ialah "menge-", "mem-", "men-" "meng-" dan "menge-". Oleh itu, tidak ada bentuk "mer-" sebagai alomorf atau anggota awalan "meN-".

Oleh sebab tidak ada bentuk awalan "mer-" dalam imbuhan bahasa Melayu, maka awalan yang sesuai digabungkan dengan kata dasar 'ubah' ialah "meng-" (meng+ubah = mengubah), dan awalan penanda kata kerja tak transitif "ber-" (ber+ubah= berubah). Contoh penggunaannya dalam ayat :
1. Sejak hari itu, dia telah mengubah cara belajarnya.
2. Sejak dinasihati oleh kakaknya, perangainya sudah berubah.
Merujuk Kamus Dewan, Edisi ke-4, halaman 1751, kata dasar 'ubah' membawa maksud kelainan (dengan yang lain), beza, lain.

Sebenarnya, kata dasar "merubah" ialah "robah" bukan "ubah". Dalam bahasa Melayu memang wujud kata "robah". Daripada kata robah' terbit pula kata 'merobah' (me + robah) = mengubah (Kamus Dewan Edisi ke-4, halaman 1338) yang bermaksud menjadikan sesuatu lain daripada yang asal, atau mengubah.

Oleh itu, bentuknya yang betul ialah "merobah" bukannya "merubah". Jika kata dasar 'ubah', awalan yang sesuai dengannya ialah "meng-" (mengubah). Teliti penggunaan kata 'merobah' dalam ayat yang berikut :
3. Kejayaan dapat merobah kehidupan.

Kata "rubah" diertikan sebagai nama sejenis binatang seperti anjing, Canis vulpes. (Kamus Dewan Edisi ke-4, halaman 1347). Dalam kamus tidak diberikan pula bentuk terbitan bagi kata "rubah". Maksudnya tidak ada kata 'merubah'. Sekiranya ada, maksud perkataan ini memberi erti 'menjadi seperti binatang yang seakan-akan anjing rupanya; bukan erti mengubah.

Demikian perihal "merobah" dan "mengubah"...

Dipetik dan diubah suai daripada : Cintai Bahasa Kita, DS Dis. 2009, tulisan Muhammad Salehuddin Aman - Munsyi Dewan, DBP.

Sunday, July 25, 2010

Keluarga adalah segala-galanya....

Kita semua bermula daripada keluarga.


Walaupun kawan-kawan mengisi lebih banyak waktu dalam hidup kita, usahlah lupa, pada saat kita susah, pada saat kita sakit, hanya keluarga yang tidak jemu-jemu berada dalam hidup kita...


Hargailah, sayangilah, gembirakanlah, luangkanlah waktu bersama 'keluarga' kita kerana daripada merekalah kita bermula...

Doa keluarga kita tidak akan putus, sebagaimana putusnya hubungan kita dengan kawan apabila kita sudah tiada...

Mama selalu berpesan, walau seburuk atau sejahat mana pun ahli keluarga kita, dia tetap keluarga kita...

Foto : kenangan bersama Tok Nik Seman (Atuk saudara sebelah Che Yusof) di tangga rumah Mama...

Saturday, July 24, 2010

Bingkai Kenangan....


Pagi yang permai di kampung tumpah darahku....


Lepas balik dari pejabat semalam, saya dan suami bertolak pulang ke kampungku di Kota Jelasin yang kini hanya dikenali sebagai Kg. Kota... Kampung halaman adalah bingkai kenangan dan harapan yang tidak pernah usang. Selalu kuat menahan erat gambar rangkaian perjalanan kehidupan. Betapa jauh sekalipun seseorang itu merantau, di sudut hati pasti akan kembali ke kampung halaman jua. Seolah-olah telah terpikat dan tidak bisa melompat, memudar hasrat.


Kembali ke kampung halaman, mengimbau memori kala bersama leluhurku yang semakin hari kian jauh meninggalkan dunia yang fana ini.... Ah... rindunya aku ... Che Yusof, Mok Lijah, Che Daud....Papa, Mama, Mek dan semua yang sentiasa dekat di hatiku.... Terpahat dalam memori, rakan-rakan sepermainan.... sama-sama berlari meniti permatang sawah, menangkap belalang kala musim menuai sudah berakhir... bermain bola 'kaki tiga' dan 'bola wa' dengan penuh gaya... berkejaran bermain 'to jail'. Sering kali juga bersama Noni menyusuri tali air melihat Che Abe menjala ikan atau menangguk udang....


Kadang-kadang kami ke sungai mandi-manda atau singgah di bangsal We Tok Mek yang terletak di atas tebing sungai. Tempat We Tok Mek bercucuk tanam... Jika tiba musim durian, kami akan sama-sama menunggu durian gugur di dusun Atok Che Yusof.

Sesekali pulang ke kampung, teringat akan sepat dan puyu yang digoreng garing oleh Mama, di makan dengan nasi panas berasap... tapi kini, hanya tinggal kenangan .... sepat dan puyu sudah kian pupus, tidak seperti zaman kanak-kanakku dahulu....


Lama sungguh rasanya aku tidak ke Kg Surau Kota. Teringat dulu-dulu Nenek Lijah (orang di sana memanggil Nenek sebagai Tok Su Jah) selalu membawa aku dan Noni ke rumah saudara-mara terdekat di sana. Kalau musim cuti sekolah, kami akan tinggal di sana buat semalam dua. Kami memang manja dengan Tok Chik Jenab dan Tok Ngah Esah. Setelah Tok Bang Saadiah meninggal dunia, kami juga sudah tidak ke Kg Pasir Kota. Teringat pasir yang landai di pangkalan sungai di belakang rumah Tok Bang. Semua kenangan ini sudah jauh ditinggal masa...

Di antara kota yang telah menjadi saksi perjalanan kisah, kampung halaman akan tetap ramah untuk menumpahkan kerinduan yang indah. Meski hanya sesekali dijengok, tetapi kampung halaman takkan merengek. Kampung halaman tetap menanti kita kembali, untuk diinjak, meski hanya berpuluh hentakan kaki.


Pulang ke desa kelahiranku, sesekali terasa ingin berlari tanpa alas kaki di atas tali air atau di sepanjang permatang sawah. Tersenyum pada awan biru yang terhias kepakan sayap merpati, nuri dan sejenisnya. Bukankah kedamaian ada di sini, di hati yang berbisik mesra pada hembusan angin,

“Tuhan betapa indah dunia-Mu.” Lalu rasa lelah pun dibasuh, dengan air jernih yang masih tersisa. Di sana, di kampung halaman.


Foto : 1) We Tok Mek (1981)...2) kenangan bersama Noni di atas tebing - laluan untuk turun ke sungai...(2009)

Friday, July 23, 2010

Bekalan Perjalanan yang Panjang

Kita semua sedang menuju jalan pulang...

Perjalanan ini memerlukan bekal. Kita tidak tahu berapa jauhnya jarak perjalanan itu. Berapakah usia kita di alam dunia ini, hanya Allah saja yang mengetahui secara pasti tentangnya dan dicatat oleh malaikat-Nya. Berapa lama lagikah usia kita di alam fana ini? Adakah kita sedar bahawa perjalanan ini adalah perjalanan yang berhujung kepada alam masa depan, kehidupan akhirat yang abadi.

Tanda tanya besar tentu tersimpan dalam minda; ... termasuk
di manakah kita nanti....? Sesungguhnya Allah s.w.t sentiasa memberi kita kesempatan untuk kembali ke jalan yang telah dibentangkan oleh-NYA. Jalan itulah yang senantiasa diminta oleh kaum muslimin dalam setiap rakaat solat mereka,
“Ya Allah tunjukkanlah kami jalan yang lurus.”
Sementara jalan yang lurus ini akan kita lalui dengan mudah jika kita membekali diri dengan iman, ilmu dan ketundukan kepada ar-Rahman.

Allah ta’ala berfirman (yang ertinya),
“Demi masa, sesungguhnya semua orang berada dalam kerugian selain orang-orang yang beriman dan beramal shalih, saling menasihati dalam kebenaran dan saling menasihati dalam kesabaran.” (QS. al-‘Ashr : 1-3).

Sama-samalah kita ingat-mengingati...

... lewat petang nanti, kami akan 'berjalan' pulang ke kampung halaman di Negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga...

Thursday, July 22, 2010

Gagang atau Ganggang...?


Kedua-dua perkataan ini mempunyai makna yang berbeza. Disebabkan oleh bunyinya yang hampir sama atau kerana kurang tahu akan makna perkataan tersebut, banyaklah berlaku kesilapan penggunaan kedua-dua perkataan ini dalam kalangan umum. Ada orang yang menggunakan kata 'ganggang' untuk maksud 'gagang'.

Tahukah anda makna kedua-dua perkataan ini ?


GAGANG :

Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, halaman 423, perkataan gagang mempunyai tiga maksud :
1. tangkai (bunga, gayung, dll)
2. hulu atau pangkal (keris, tombak dll)
3. pucuk ranting atau batang pokok yg melata (melilit), sulur
Gagang bunga bererti tangkai bunga, manakala gagang daun bermakna tangkai daun. Jika dikatakan gagang pisau, gagang parang, gagang golok, gagang keris, maksudnya ialah hulu atau pangkal pisau, hulu/ pangkal parang, hulu/ pangkal golok dan hulu/ pangkal keris, iaitu bahagian yang digunakan sebagai tempat memegang senjata-senjata tersebut. Gagang yang membawa maksud sulur atau batang pokok yang melata, misalnya gagang sirih dan gagang pokok kekacang. 'Menggagang" membawa maksud mempunyai sulur.

Dalam kosa kata bahasa Melayu, banyak perkataan gagang yang berpasangan dengan perkataan lain untuk menerbitkan bentuk frasa kata. Misalnya frasa gagang sirih (tangkai sirih), gagang pena (tangkai pena), gagang pistol (pemegang pistol), gagang cerek (pemegang cerek) dan gagang telefon (pemegang telefon).

Orang Melayu menggunakan perkataan gagang ini dalam ungkapan peribahasa. Antara contohnya termasuklah "balik gagang" dan "seperti sirih pulang ke gagang". Balik gagang bermaksud belot atau berpaling tadah kerana berpihak kepada pihak musuh. Sirih pulang ke gagang pula bermaksud kembali kepada asal.

GANGGANG

Perkataan ganggang juga membawa beberapa maksud. Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, halaman 431 ganggang bermaksud :
I. salai, panggang atau berdiang
berganggang - sedang disalai (dengan api), berdiang
mengganggang - menyalai, memanggang
Perkataan panggang dan berdiang tidak sama dari segi perlakuannya. Panggang bermaksud menyalai atau memanaskan sesuatu di atas api, manakala berdiang pula bermaksud memanaskan (diri) dekat dengan api (bukan di atas api)

II. a) ruang di antara dua benda, celah, sela-sela - contoh : ganggang pintu = celah pintu; b) renggang (tidak rapat) - contoh: hubungan mereka sudah mulai ganggang.

Daripada perkataan ganggang terbit pula beberapa kata terbitan seperti berganggang dan mengganggan.

Berganggang membawa maksud berenggang, bercerai atau berpisah.
Mengganggan(kan) bermaksud merenggangkan, menceraikan atau membuat sesuatu supaya bercelah.
Contoh : Suami isteri itu sudah berganggang....

Cintailah bahasa Kebangsaan kita...
marilah amalkan ramai-ramai....



Rujukan : Kamus Dewan Edisi ke-4 Dewan Siswa, Julai 2010

Tuesday, July 20, 2010

Pura & Pura-pura


Jumaat lepas saya mengajar peribahasa di kelas 3K3 (kelas ke-10 daripada 13 kelas tingkatan 3). Ada beberapa peribahasa yang jarang-jarang digunakan yang terdapat dalam buku teks BM Ting. 3.

Salah satu daripada peribahasa itu ialah "sekali membuka pura, dua tiga hutang berbayar" (B/teks T3, hal. 156). Murid Melayupun tidak faham maksudnya, apatah lagi murid bukan Melayu, jadi terpaksalah saya membuat lakaran di papan putih agar mereka dapat memahami maksud perihabasa tersebut.

Adakah anda pernah mendengar @ menggunakan peribahasa di atas?

Kini, sebahagian besar murid tidak begitu memahami @ mengetahui maksud peribahasa yang terdapat di dalam buku teks BM di semua peringkat. Akibatnya, mereka menghadapi masalah untuk menggunakan peribahasa yang sesuai mengikut konteks sama ada dalam penulisan ataupun dalam menjawab soalan Kertas 1 PMR dan kertas 2 SPM.

Di SMKTP, salah satu cara untuk meningkatkan penggunaan peribahasa dalam kalangan murid adalah dengan melengkapkan "Sudut Seuntai Kata Seindah Bahasa" yang terletak di laluan utama ke bilik darjah. Papan buletin sudut tersebut diisi dengan dengan kosa kata menarik dan peribahasa yang dipaparkan oleh guru secara bergilir-gilir setiap hari. Bagi kelas-kelas 'depan', mereka memanfaatkan sudut ini dengan baik, tetapi bagi kelas-kelas 'corot', mereka buat tidak endah dengan paparan tersebut. Kadang-kadang mereka menyalinnya semata-mata untuk memenuhi arahan guru....alahai anak-anak didiku yang disayangi.... soalan berkait dengan kosa kata dan peribahasa ini akan dikemukakan semasa Ujian Bulanan....

Untuk memberi pemahaman yang jelas tentang maksud peribahasa di atas, terlebih dahulu saya perlu menerangkan maksud kata 'pura' kepada murid-murid 3K3 (murid 3K6 dan 3K13 pun tidak tahu maksud perkataan ini...). Saya juga perlu menjelaskan kepada mereka perbezaan maksud 'pura' dengan 'pura-pura'....

Menurut KAMUS DEWAN Edisi ke-4 m.s 1252, PURA bermaksud
1) pundi-pundi yang diperbuat daripada kain (tempat wang), kantung kecil, dompet;
2) tempat memperjualbelikan saham, tempat saudagar-saudagar besar berjual beli, bursa;
3) wang yang disediakan atau dikumpulkan untuk sesuatu tujuan, dana :


"sekali membuka (mengorak) pura dua tiga hutang berbayar bermaksud sekali melakukan pekerjaan, dua tiga maksud atau matlamat tercapai" @ melakukan dua perkara atau lebih dalam satu masa....

Peribahasa lain yang membawa maksud yang sama ialah :

1) sambil menyelam minum air...
2) sambil berdendang, biduk hilir
...
3) berkayuh sambil bertimba...
4) sambil berdiang, nasi masak...
5) ke sungai sambil mandi...
6) belayar sambil memapan, merapat sambil belayar...


Selain itu, kata
PURA juga bermaksud : bandar, kota, negeri (Singapura = Kota Singa; Inderapura = Negeri Indera, dll)

PURA-PURA pula bermaksud tidak sungguh-sungguh, main-main sahaja :
"...bukan sakit sungguh-sungguh melainkan pura-pura sahaja.."

Kata terbitan daripada kata 'pura-pura' ialah berpura-pura dan kepura-puraan.

Berpura-pura bermaksud berbuat seakan-akan (seolah-olah), melakukan dirinya seperti (seseorang dsb yang bukannya dirinya sebenar), berlagak : Cth - Seorang ahli sihir berpura-pura menjadi seorang perempuan yang peramah.

Kepura-puraan pula bermaksud perbuatan dll yang hanya pura-pura, kepalsuan : Cth - Dia ingin mendedahkan segala kepura-puraan yang diamalkan oleh gadis itu.

"Sekali membuka pura, dua tiga hutang berbayar...." oh, indah sungguh bahasa nenek moyang kita dahulu....!

Sunday, July 18, 2010

Nostalgia dan Doa Buat Sahabat....


30 tahun yang lalu, kami sama-sama belajar di Kelas L6A2 & U6A2, SIC. Kami 18 orang semuanya, sangat akrab seperti sebuah keluarga besar yang dijaga oleh Ayahanda CIKGU MD ZAIN... (kemudian, pada pertengahan 1981, bertambah menjadi 20 orang kesemuanya dengan kemasukan 2 orang 'retainee').

Walaupun masa dan keadaan menjarakkan kami, tetapi kemesraan yang telah sekian lama terjalin tidak sedikitpun terhakis. Ada antara kami yang sudah lama benar tidak bertemu, cuma kini, sekali-sekala bertemu di laman sosial...'fb'.


W.AZMI... ZAINAL AZMAN... RAZAK... MOHAR... RASHID AHMAD... RAZALI... ZAID... YUSOF... AZMI NASIR... ZAINUDDIN... RASHID AFRO... NOORLIZA... SHARIPAH... MAHERAM... AZIZAH... AZHAN... ROSHANILAWATEY... FARIZA... RAHIMAH...&... ZAINUN... nama-nama yang tetap kekal di hati....

Awal pagi tadi, lebih tepat lagi pada pukul 12.50 pagi, 18 JULAI 2010 saya dikejutkan dengan berita
"JENAL DI SJMC, KESIHATANNYA AGAK MEMBIMBANGKAN..."
Wan Azmi Wan Hassan @ Ustaz menyampaikan berita itu melalui 'fb' setelah melihat saya masih di talian pada waktu itu.... Saya betul-betul terkejut dengan berita ini... pelbagai telahan bermain di minda...
"Jenal kemalangan ke? Atau kena serangan jantung....? Tidak pernah sebelum ini mendengar berita yang Jenal sakit..."
Semuanya terjawab setelah membaca tulisan Ustaz seterusnya yang menceritakan keadaan Jenal ..... rupa-rupanya sudah hampir 2 minggu Jenal di SJMC..!

Sejak awal Julai, dua hujung minggu berturut-turut kami berada di KL dan seterusnya ke SA kerana anakanda CT melanjutkan pengajiannya di SA. Cuma minggu ini kami tidak ke KL kerana ada program di sekolah pagi tadi. Kalaulah saya tergerak di hati untuk membuka 'fb' nya dalam tempoh dua minggu ini, pasti saya sudah tahu tentang perkembangan kesihatannya.... Sudah pasti saya dapat meluangkan masa untuk menjenguk Jenal di SJMC sejak minggu lepas....

Semasa singgah di Bandar Anggerik minggu lepas, saya ada memberitahu suami bahawa suatu hari nanti apabila kami berkunjung lagi ke SA, saya hendak sangat bertemu dengan dua orang rakan sekelas saya ... ZAINAL AZMAN dan AZMI NASIR. Kata saya lagi, bolehlah kita lepak-lepak buat seketika di Restoran Cili Merah....!

Menurut Ustaz, Usop (yang sudah lama menetap di Tumpat) dan Rashid Afro (yang menetap di Gambang, Kuantan) ke SJMC melawat Jenal beberapa hari lepas. Ustaz sendiri yang kini bertugas dan menetap di Besut telah mencari ruang dan waktu untuk ke SJMC. Menurut Ustaz, semasa kunjungannya pada Khamis lepas, wajah Jenal nampak ceria dengan kehadiran kawan-kawan walaupun agak lemah. Saya rasa terharu sekali apabila Ustaz memberitahu bahawa Jenal kelihatan sedih ketika dia mohon diri untuk pulang ....

Ustaz meminta saya menghubungi Azmi Nasir untuk mengetahui perkembangan terkini Jenal nanti.

Pagi tadi, setelah selesai urusan pendaftaran di dewan sekolah, saya terus SMS Noorliza yang kini menetap di Subang Jaya untuk menyampaikan berita tentang Jenal. Liza berharap dia dapat ke SJMC petang nanti.

Di hujung talian, saya mendapat khabar daripada Azmi Nasir tentang Jenal dan Azmi berjanji untuk memaklumkan perkembangan kesihatan Jenal nanti. Pada pukul 12.33 tengah hari, (semasa saya mula bergerak keluar dari kawasan sekolah untuk balik ke rumah) sebagaimana yang dijanjikan, Azmi menghantar SMS kepada saya...
"Latest drp anak saudara Jenal - Salam, alhamdulillah Uncle Man dah lepas endoscopy process. Luka-luka dalam usus dah baik... Now healing process..."

Alhamdulillah, lega rasa di hati. Terima kasih, sahabat atas berita ini....

Sesungguhnya Allah menguji hamba-hambaNya yang beriman. Semoga Jenal terus kuat menghadapi ujian Allah. Harapan dan doa juga untuk isteri dan anak-anak Jenal agar tabah menghadapi situasi ini. Semoga Allah s.w.t permudahkan segala urusan.

Kepada rakan-rakan yang pernah mengenali Jenal dan pernah bersama-sama berkongsi suka duka kehidupan, marilah sama-sama kita berdoa, membaca yaasin dan membuat solat hajat agar Jenal cepat sembuh. Amin.

Saturday, July 17, 2010

Gula Oh Gula...



Dalam sehari dua ini ramai yang berbicara tentang 'harga baharu' bagi beberapa barangan asas. Harga baharu yang lebih tinggi daripada harga sebelum ini berkuatkuasa mulai semalam.

Saya difahamkan, pihak-pihak tertentu diminta untuk tidak menggunakan "harga naik". Dalam laporan, mereka perlu menyebut "penyelarasan harga", harga baru", potongan subsidi, dll.... Walau apapun istilah @ konsep yang digunakan, kita semua akur dengan harga barangan asas ini yang semakin meningkat...

Hari ini saya bukannya ingin mengulas tentang harga baharu ini. Memang tidak pandai pun untuk membuat ulasan....Biarlah isu ini diulas oleh mereka yang lebih arif...

Saya hanya ingin berceloteh tentang gula...

Seingat saya, paling akhir kami membeli gula ialah sebelum cuti sekolah yang lepas, iaitu akhir bulan Mei. Kami membeli 2 kilo gula setelah ditanya oleh juruwang di Pasar Raya Giant (berhampiran dengan tempat tinggal kami) ketika sedang membuat bayaran di kaunter. Kebetulannya gula yang kami beli beberapa bulan sebelum itu sudah hampir habis.

Di seluruh negara ketika itu, berlaku kekurangan bekalan gula dan bekalan gula di pasaran dikawal ketat. Kemungkinan pembekal gula di seluruh negara sudah menjangka akan berlaku kenaikan harga gula ini. Seingat saya, kes komplot sorok ini berlaku sejak tahun 1970-an lagi., sehingga tercipta lagu untuk kempen membanteras komplot sorok... Nampaknya ia berulang setiap kali ada ura-ura harga barang akan naik.

Agaknya selepas harga baharu ini, tidak timbul lagi masalah bekalan gula. Orang ramai boleh beli banyak-banyak, tidak perlu lagi menunjukkan 'Kad Jemputan Kahwin' untuk dapatkan gula lebih daripada 2 kg...!

Hujung minggu ini kami bersantai di rumah sahaja. Esok ada program di sekiolah. Sudah beberapa minggu kami menghabiskan masa di luar Kuantan.... Hari ini kami bersarapan di rumah, walaupun pada awalnya kami merancang untuk bersarapan di Beserah, restoran di bawah pohon ceri.... tapi rasa malas pula nak keluar, nak bermalas-malas di rumah aje hari ini....

Kami bersarapan dengan nasi berlauk yang dibeli oleh suami di gerai berdekatan rumah kami. Saya menyediakan satu teko teh 'o'. Bungkusan 1 kg gula yang pertama yang digunakan lebih kurang 6 minggu lepas sudah habis. Memandangkan bekas gula sudah hampir kosong, terpaksalah buka bungkusan yang baru. Ketika sedang memasukkan gula ke dalam bekas tupperware, terpandang "HARGA GULA BERSUBSIDI OLEH KERAJAAN MALAYSIA" pada bungkusan gula tersebut. Sebelum ini saya tak berapa perasan perkataan tersebut.... Dulu-dulu, 10 atau 20 tahun yang lalu, rasanya tak ada pun perkataan ini, walaupun diberi subsidi....!

Selain gula, garam juga merupakan bahan asas dalam setiap masakan. Penggunaan gula dan garam yang berlebihan memang tidak baik untuk kesihatan. Namun begitu, tanpa gula yang mencukupi dan tanpa secubit garam, makanan atau minuman akan menjadi tawar hambar. Tidak sedap, tidak jelira....

Cik Pah (Syarifah Murshida) selalu bawa garam yang dipesan oleh rakan-rakan guru yang dibelinya di Kedai Penama. Dia berasa pelik kerana saya tidak membuat pesanan setelah membeli 3 bekas garam daripadanya hampir dua tahun yang lalu. (Itupun Cik Pah sudah lupa bahawa saya pernah membeli garam daripadanya....) Saya memberitahu Cik Pah bahawa 3 bekas garam yang dibeli dulu belum habis lagi.... 3 bekas tu, satu untuk Mama, satu untuk Mek Kiah (mak mertua) dan satu untuk saya gunakan di rumah....Garam di dalam bekas seberat 1.5 kg itu baru separuh digunakan.

Teringat kisah yang dipaparkan dalam filem klasik "Ahmad Albab" lakonan Seniman Agung P.Ramlee dan Biduanita Saloma. Syawal dan Mastura menyindir ayahandanya dengan menghadiahkan garam dan gula serta secawan kopi tanpa gula (dan sejenis kuih tanpa garam kalau tak silap) sempena hari jadi ayahandanya. Watak yang dilakonkan oleh A.R Tompel itu berkata :
"Kopi sedap, pekat, tapi hilang selera kerana tak ada gula".... Sambil menyembur keluar air kopi yang sudah masuk ke mulutnya.
Kata anak menantunya, tanpa gula dan garam makanan akan terasa hambar dan tawar.

Begitu jugalah dengan perjalanan hidup ini......pelbagai rasa yang silih berganti....

Di mana ada gula, di situlah ada semut....seperti garam jatuh ke air....

Saturday, July 10, 2010

BUKAN KERANA PANGKAT....







Saya memilih buku "BUKAN KERANA PANGKAT Tun Dr Ismail dan Masanya" untuk diulas bagi memenuhi pengisian program LADAP 3 tahun 2010.

Buku yang ditulis oleh Ooi Kee Beng dan diterbitkan oleh Institute of Southeast Asian Studies, Singapore ini merupakan sebuah karya biografi seorang anak Malaysia yang terbilang, Allahyarham Tun Dr. Ismail bin Dato’ Haji Abdul Rahman Yassin.

Saya pasti, generasi muda hari ini tidak begitu mengenali tokoh ini. Murid-murid sekolah misalnya, hanya 'bertemu' tokoh ini melalui mata pelajaran Sejarah Tingkatan 3, Bab 5 - Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Tun Dr Ismail merupakan salah seorang tokoh yang menyertai Rombongan Kemerdekaan ke London 1956 bersama-sama YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj.

Buku yang mengandungi 273 halaman ini tercatat tentang pendidikannya, tentang peribadinya yang terkenal tulus, bagaimana beliau menggunakan akal budi untuk mengendalikan masalah kecil, besar, mudah mahupun sukar, dan yang paling utama, pengorbanannya terutama dari segi kesihatan demi negara. Semua ini dibentangkan dengan butir-butir yang membuat kita tidak ragu-ragu lagi bahawa Tun Dr Ismail seorang yang pragmatik dan bijaksana, bahkan juga sangat teliti, terutama dalam persoalan undang-undang dan politik.

Tun Dr. Ismail juga digambarkan sebagai tunggak ketabahan di bawah kepimpinan dua orang Perdana Menteri, iaitu Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak sepanjang tempoh yang sangat sukar dan mencabar dalam politik Malaysia.

Setelah selesai pengajian perubatan di Australia, beliau pulang ke tanah tumpah darahnya Johor, lalu terus terbawa oleh arus politik nasional Melayu yang diterajui Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Beliau meningkat tangga kepimpinan parti hasil kerja keras, ketekunan dan kesetiaannya. Tun Dr. Ismail bukan ahli politik dalam erti kata yang lazimnya, beliau lebih merupakan pentadbir yang cekap, yang sudah sewajarnya menjadi orang kanan dan harapan Tunku dan Tun Razak. Beliau digambar sebagai seorang yang jujur, berprinsip dan paling utama tegas membezakan mana yang betul dan mana yang salah. Sepanjang zaman gelora politik Malaysia, beliaulah satu-satunya suara yang berani berdiri menentang arus pelampau dan prasangka yang kian melanda.

Di persada serantau dan antarabangsa pula, pengarang menggambarkan dia tekun berjuang untuk menubuhkan kumpulan ekonomi serantau, berkempen tidak henti-hentinya supaya Asia Tenggara menjadi rantau yang bebas daripada politik kuasa besar, dan pernah beberapa kali mendedahkan bahawa hubungan antara Malaysia dengan Singapura patut diletakkan pada lunas yang betul.

Semasa pergolakan lewat tahun 1960-an dan awal 1970-an, Tunku dan Tun Razak kedua-duanya terpaksa memanggil beliau kembali meninggalkan persaraan demi berkhidmat untuk negara. Tun Ismail sumber kesederhanaan yang menjadi penyejuk hati segenap rakyat Malaysia menyusuli kejadian tragedi perkauman 1969. Jasa Tun Ismail yang paling agung ialah memastikan negara tetap utuh dan mantap setelah menempun pergolakan yang meletus.

Secara keseluruhannya, buku ini menyingkap gambaran wajah tokoh ini, nilai-nilai yang menjadi pegangannya, kehidupan peribadi dan yang umum, serta hubungan profesional beliau dengan tokoh-tokoh sezaman, baik di Malaysia mahupun di Singapura.

Hayatnya mencerminkan pengalaman awal negara Malaysia, dan dapat dikatakan pemergiannya menjadi petanda malapnya banyak impian yang terdahulu. Satu hakikat yang abadi ialah tindakan dan fikirannya tetap menjadi ingatan rakyat Malaysia akan harapan dan cita-cita seorang pejuang kemerdekaan negara yang paling disanjung, seorang pemikir rantau ini yang paling praktikal dan berpandangan jauh.

Tun Dr Ismail menghembuskan nafas terakhirnya pada 2 OGOS 1973....

Buku ini patut dibaca oleh semua orang terutama generasi rakyat Malaysia yang lahir selepas Tun Dr Ismail pulang ke rahmatullah. Dengan membaca buku ini, mereka akan lebih memahami negara kita dan lebih menghargai pengabdian tokoh yang ulung ini.

Foto : 1) "BUKAN KERANA PANGKAT..." 2) Rombongan Kemerdekaan ke London 1956

Tuesday, July 6, 2010

Bacalah....

Saya baru menerima "NATRAH" yang dipesan secara 'online' tengah hari tadi. Sekarang, saya dalam proses menghabiskan bacaan buku tersebut. Perkembangannya agak perlahan kerana saya perlu membaca dengan jiwa... di sesetengah helaian, saya perlu mengulang bacaan untuk lebih memahaminya....! Alhamdulillah.

Buku ini mengisahkan seorang gadis Belanda yang pernah mencetuskan peristiwa penting dalam sejarah negara ini pada suatu ketika dahulu.
Kisah Natrah sering diceritakan oleh Mama semasa kami masih kecil lagi... Waktu berlakunya tragedi Natrah, Mama masih bersekolah di sebuah sekolah Arab, iaitu Sekolah Naim Lil Banat, Kota Bharu. Tentu sekali Mama banyak mengikuti kisah tersebut yang ada kaitannya dengan kesedaran agama dan bangsa. Seringkali juga nama "Adabi" terselit dalam penceritaan Mama. Bagi kami pada ketika itu, Adabi ialah Maktab Kadir Adabi, sebuah sekolah swasta yang terkenal di KB pada tahun 1970-an. Nama Natrah tenggelam timbul bersama celoteh Mama setiap kali Mama membuka ceritera lama... kisah-kisah tahun 1950-an.
Mama terus bercerita setiap kali berkesempatan.... Walaupun saya tidak terasa apa-apa signifikannya cerita Mama tentang Natrah pada waktu itu....hanya sekadar cerita lama, namun nama Natrah terus terlekat dalam minda. Tanpa diduga, Dewan Masyarakat awal 1989, yang memuatkan artikel tentang Natrah yang ditulis oleh FATINI YAACOB kembali menghidupkan ingatan saya pada gadis comel ini....

Saya akan beritahu Mama tentang buku ini. Mama tentu sekali teruja dengan 'kelahiran' NATRAH. Penghargaan yang tinggi patut diberi kepada penulisnya yang berjaya menghasilkan sebuah karya yang sangat berharga dan bermakna ini. Sebuah karya yang terhasil daripada usaha gigih selama 20 tahun!
Buku ini perlu dibaca oleh semua generasi muda terutama orang Melayu @ Muslim.

Buku yang mengungkapkan pelbagai tema besar yang melingkungi kehidupan masyarakat ketika itu yang masih relevan hingga kini. Setelah membaca beberapa halaman, banyak perkara yang menjadi tanda tanya sebelum ini, terjawab akhirnya...


Baca dan terus membaca... sambil itu saya perlu menyiapkan Ulasan Buku untuk LADAP (3) yang perlu dihantar pada hari Sabtu ini....

Tajuk buku pilihan saya kali ini ialah "BUKAN KERANA PANGKAT - Tun Dr. Ismail dan Masanya" ditulis oleh OOI KEE BENG, ISEAS, 2007

Membaca : Kita tuai apa-apa yang kita semai....

Foto : 1) Fatini Yaacob dengan buku yang ditulisnya "NATRAH" 2) BUKAN KERANA PANGKAT....

Sunday, July 4, 2010

hidup & harapan....

Setiap insan pasti mempunyai kronologi hidup mereka yang bermula daripada kisah pertemuan, perkenalan, percintaan (jika ada), berumah tangga, beranak-pinak, perselisihan faham antara pasangan dan berbaik semula, ataupun kemungkinan berpatah arang.

Itu adalah gambaran terhadap liku-liku hidup berkeluarga. Ada pasang dan surutnya.

Satu perkara lagi yang menjadi ragam hidup berumahtangga ialah anak-anak kita, tidak kira lelaki ataupun perempuan. Jika anak lelaki ada perlakuannya, anak perempuan pula dengan tingkahnya yang berlainan. Perilaku anak-anak itu pula akan cukup menguji kesabaran dan kebijaksanaan kita sebagai ibu bapa, terutama ketika anak-anak berada di peringkat usia remaja.

Semua makhluk pasti melalui proses hayat dan manusia merupakan bentuk makhluk yang melalui proses hayat yang paling kompleks. Hidup berkeluarga merupakan salah satu proses bagi manusia dan ia menjadi satu sel hayat bagi seseorang insan. Jika sel hayat itu baik, maka akan baiklah mutu kehidupan insan itu. Sebaliknya, jika institusi keluarga itu rosak, cacat dan penuh dengan onar, alamatnya buruklah akibat ragam rumah tangga itu.

Ingatlah, mutu kehidupan keluarga itu perlu berpandukan syariat Islam dan bukan selainnya, kerana agama Islam telah menyusun susur galur kehidupan yang ideal untuk setiap insan.

Minggu ini anak-anak sudah kembali ke kolej masing-masing. Abe akan memulakan kelas esok. Adik yang baru mendaftarkan diri semalam untuk pengajian di peringkat ijazahnya juga akan memulakan kelas esok. Emi juga akan memulakan pengajian tahun keempatnya esok. Tak pasti 'posting' di HTAA atau di hospital Temerloh... Semoga Abe, Emi & Adik dapat menamatkan pengajian dengan jayanya dalam masa 2 tahun ini.


Saturday, July 3, 2010

Kadir Adabi (3) : tulisan-tulisannya....


sambungan...

Sangat jelas betapa gigihnya Abdul Kadir. Dalam tempoh hampir suku abad mulai 1921, beliau tidak henti-henti bekerja dengan caranya tersendiri; menerbitkan majalah, mengarang novel, aktif dalam gerakan belia dan budaya, dan kemudiannya politik.

Tulisan-tulisan Abdul Kadir menyentuh pelbagai tema dan mengenai berbagai-bagai isu. Tetapi tumpuan utamanya ialah kritik masyarakat dan buah fikiran ke arah memartabatkan bangsa Melayu.

Beliau juga banyak menulis mengenai pendidikan dan usaha-usaha yang patut diambil bagi meningkatkan kesedaran bangsa Melayu. Apabila Maktab Perguruan Sultan Idris dibuka di Tanjung Malim, Perak pada tahun 1922, beliau telah menulis sebuah rencana di dalam majalah ‘Pengasuh’ bertajuk “Bolehkah diadakan sebuah kolej di Kelantan?”.

Tulisan ini telah menerima pelbagai pandangan dan reaksi daripada masyarakat pembaca. Kemuncaknya, pada 20hb Mac 1923, beliau telah menulis surat kepada DYMM al-Sultan Kelantan memohon kiranya al-Sultan dapat mengusahakan penubuhan bukan hanya sebuah kolej, akan tetapi sebuah universiti di Kelantan. Setakat yang dapat dikesan, inilah cadangan pertama mengenai penubuhan sebuah universiti di Tanah Melayu pernah dikemukakan.

Sehingga ke akhir hayatnya, Abdul Kadir telah menghasilkan tidak kurang daripada 110 buah rencana, 3 buah novel asli dan sebuah novel saduran bertajuk “Persemburan Darah di Bawah Lipatan Takdir”. 3 buah novel aslinya, iaitu ‘Acuman Mahkota”, Sebelas Rejab” dan “Melati Kota Bharu” memperlihatkan keupayaan beliau menanggapi suasana dan kehidupan masyarakat Melayu Kelantan sebelum Perang Dunia Kedua.

Selain gambaran tentang politik, novel-novel beliau juga menyorot kebangkitan semangat nasionalisme Melayu yang amat ketara, tetapi dilukis dalam pembinaan imej-imej alam secara simbolik. 3 buah novel ini telah mengangkat nama Abdul Kadir Adabi sebagai seorang novelis yang amat tajam, setanding dengan Ishak Haji Muhammad dan Harun Aminurrashid pada tahun-tahun sebelum Perang Dunia Kedua.

Tidak syak lagi bahawa Abdul Kadir Adabi merupakan nama besar yang pernah dilahirkan di bumi Cik Siti Wan Kembang Tanah Serendah Sekebun Bunga.

Dengan mengenangkan semua peranan yang pernah dimainkan serta buah fikiran yang pernah dikemukakannya demi kebangkitan dan kemajuan bangsa Melayu, pada akhir tahun 1969, sekumpulan siswazah Kelantan berasa terpanggil untuk menubuhkan sebuah kolej atau maktab swasta di Kota Bharu atas namanya – MAKTAB KADIR ADABI.

Manakala, pada awal tahun 2001 pula, kerajaan Negeri Kelantan, atas saranan Yang Amat Berusaha Tuan Haji A.Aziz Deraman (sekarang Dato’) Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka ketika itu, dalam ucapannya pada majlis perasmian Bangunan DBP Wilayah Timur pada 9 September 2000, bersetuju menamakan sebatang jalan yang bermula dari persimpangan Jalan Dusun Muda hingga ke persimpangan Jalan Long Yunus dengan nama “Jalan Abdul Kadir Adabi" (dahulunya, sambungan Jalan Hospital).

Jasa A.Kadir Adabi terus tersemat dalam ingatan, lebih-lebih lagi dalam kalangan 'ore-ore Klate....'

Rujukan : Ikhtisar SEJARAH KELANTAN, Pustaka Aman Pres, KB - 2005

Friday, July 2, 2010

Kadir Adabi (2) : Persuratan & Politik...


sambungan....

Dalam tahun 1923, Abdul Kadir bekerja menjadi pembantu penulis petisyen kepada bapa sepupunya, Mat Saman bin Jambol. Sewaktu bekerja sebagai penulis petisyen inilah beliau menyambil menulis rencana dalam pelbagai majalah, di dalam dan di luar Kelantan, seperti Pengasuh, Edaran Zaman dan Saudara. Sejak rencana beliau yang pertama bertajuk “Permintaan” terbit dalam majalah Pengasuh keluaran 22hb Mei 1921, beliau terus menulis dengan pelbagai tajuk dan mengenai pelbagai persoalan.

Sekitar waktu yang sama juga Abdul Kadir banyak mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan sosial dan budaya di Kelantan. Pada tahun 1929, bersama-sama dengan As’ad Shukri bin Haji Muda (Dato’ Haji Mohamad Asri – Menteri Besar Kelantan 1964 – 1972), beliau menubuhkan Putera Club. Kelab ini menerbitkan majalah Putera bagi menyampaikan suara bicaranya, akan tetapi tidak lama. April 1930, Abdul Kadir menerbitkan majalah Kenchana pula. Akan tetapi dalam majalah ini beliau tidak menggunakan nama sebenarnya selaku pemimpin utama, sebaliknya berselindung di balik nama samaran : Wook bt. Abdullah. Selepas setahun 10 bulan, majalah kedua ini juga terhenti.

Tidak lama kemudian, awal Februari 1932, beliau mengisi masa lapangnya dengan bekerja menjadi penyunting majalah Pengasuh di bawah pimpinan bekas gurunya, Dato’ Laksamana. Tetapi tidak lama. Selepas dua bulan, kira-kira pada bulan April 1932, beliau meninggalkan Pengasuh untuk bergabung kembali dengan sahabat-sahabatnya, A’sad Shukri dan Yusuf Helmi bagi menerbitkan buku-buku pengetahuan umum di bawah siri “Kenchana Library”.

Mulai April 1934, Abdul Kadir menyertai majalah al-Hikmah, membantu pengarangnya Haji Ahmad Ismail (kemudiannya Dato’ Lela Negara). Tugas ini dipegangnya sehingga tahun 1941, iaitu apabila penerbitan al-Hikmah terhenti berikutan pecah Perang Dunia Kedua. Inilah waktunya apabila tulisan-tulisan beliau mencapai tahap kematangan dan daya intelektual yang tinggi.

Disebabkan oleh tulisan-tulisannya yang tajam dan mengkritik banyak pihak, terutama kalangan atasan dan pihak berkuasa agama, Abdul Kadir menjadi orang yang tidak disenangi.
Beliau pernah dipukul dua kali dengan kapak kerana tulisan-tulisannya. Kali pertama pada 2 Januari 1931 dan kali kedua pada 18 Mac 1936. Sebelum itu, pada 10 Oktober, Penasihat Undang-undang Kerajaan Kelantan, L.B William, pernah membuat kenyataan bahawa tulisan-tulisan Abdul Kadir mengenai perjudian mengandung unsur-unsur memecah keamanan dan ketenteraman di antara keluarga di Raja dengan orang ramai. Akibatnya, beliau dihadapkan ke mahkamah pada 6 Disember 1928 dan dijatuhi hukuman sehari penjara dan denda RM100.00, atau sebulan penjara dengan kerja ringan.

Tidak puas dengan menulis, Abdul Kadir melibatkan diri dalam politik pula. Apabila cabang Persatuan Melayu Semenanjung dibuka di Kelantan pada 10 Februari 1939, beliau duduk sebagai salah seorang ahli jawatankuasanya. Dalam tahun yang sama juga beliau melawat Pattani bagi meninjau reaksi rakyat Patani terhadap dasar Thai Rathaniyum Kerajaan Siam ke atas orang Melayu. Pada tahun 1940, beliau mulai berhubung dengan Ibrahim bin Haji Yaacob, pemimpin Kesatuan Melayu Muda (KMM). Pertemuan pertama berlaku di Dungun, Terengganu, diikuti kemudiannya di Kota Bharu, pada waktu pejuang politik Melayu yang terkenal sebelum perang itu kerap berada di Kota Bharu kerana jaringan politiknya, juga kerana urusan cetak bukunya “Melihat Tanah Air”.

Menjelang Perang Dunia Kedua, Abdul Kadir sudah terlibat dalam KMM. Bagaimanapun, kegiatannya dalam KMM pada peringkat ini tidaklah terang-terangan, tetapi berselindung di balik kegiatan Setiawan Belia (sebuah badan budaya yang didirikan pada Oktober 1931), melalui pelbagai kegiatan, seperti ceramah, forum dan penerbitan. Dalam hal ini, peranan Abdul Kadir sangat besar.

Apabila Jepun menduduki Tanah Melayu, beliau menerbitkan majalah Matahari di Kota Bharu, tetapi sekali lagi dengan memakai nama samaran. Sebelum KMM dibubarkan Jepun pada 18 Februari 1942 (3 hari selepas Jepun menakluk Singapura), Abdul Kadir sempat menjadi Yang Dipertuanya yang sangat aktif bergerak. Beliau pernah ke Ipoh, menemui Onan Hj Siraj dan kemudiannya ke Singapura. Semasa di Singapura, Abdul Kadir sempat menyertai Berita Malai bersama-sama Ibrahim Hj. Yaacob. Selain itu, peranan beliau yang sangat penting pada peringkat ini ialah menjadi wakil KMM menandatangani Perjanjian Kemerdekaan Tanah Melayu dengan pihak berkuasa Jepun di Bangkok pada tahun 1942.

Menjelang akhir tahun 1943, Abdul Kadir Adabi yang pada waktu itu sudah lama berada di Singapura, dikirim kembali ke Kelantan bagi memperkuat barisan kemerdekaan bersama beberapa orang pemimpin KMM Kelantan yang lain, seperti As’ad Shukri dan Wan Ibrahim Mustafa, sebagai langkah awal bagi menghadapi sesuatu kemungkinan sekiranya Jepun ditakdirkan kalah kelak.

Namun begitu, Abdul Kadir Adabi tidak pernah sampai di Kelantan. Menyedari bahawa beliau masih tidak disenangi di Kelantan berikutan penglibatannya dalam petisi rakyat bagi menjatuhkan pimpinan Majlis Agama Islam Kelantan daripada penguasaan golongan aristokrat, maka beliau atas nasihat teman-temannya, memilih untuk menetap di Kuala Terengganu buat sementara waktu.

Semasa di sini, beliau bergabung tenaga menerbitkan “Chahaya Timur” bersama-sama Muhammad Saleh bin Haji Awang (Misbaha) dan Ibrahim Fikri (kemudiannya Menteri Besar Terengganu). Beliau tinggal berjiran dengan Misbaha di Kampung Masjid, Jalan Tok Lam, Kuala Terengganu. Tidak lama di Kuala Terengganu, pada 24 Februari 1944, Abdul Kadir meninggal dunia kerana sakit jantung.

bersambung ....

Thursday, July 1, 2010

Kadir Adabi (1) : Kisah yang terjadi...


Saya sangat tertarik dengan Ruangan Sastera, BH, Selasa - 29 Jun 2010, “Muzakarah kes Natrah”. Kisah Natrah banyak ditulis oleh Fatini Yaacob (Datin Seri). Penyelidikan yang dilakukan oleh beliau bertahun-tahun akhirnya menghasilkan sebuah biografi yang amat bermakna kepada kita. Rencana tulisan Datin Seri Fatini dalam Dewan Masyarakat 1989, masih saya simpan sehingga kini walaupun sudah 21 tahun berlalu, seusia dengan anak bongsu saya…

Saya tertarik dengan buku biografi Natrah (1939 – 2009) Nadra @ Hurbedina Maria Hertogh @ Bertha – Cinta - Rusuhan – Air Mata. Buku ini belum saya miliki. Sudah cuba cari di MPH tetapi tidak ketemui… bagaimana untuk dapatkannya…?

Tengah hari semalam, setelah mendapat info daripada rakan-rakan fb termasuk daripada pengarangnya sendiri, saya telah membuat tempahan melalui Ujanailmu secara online. Harap-harap minggu depan "pertemuan saya dengan NATRAH secara lebih dekat lagi" akan menjadi kenyataan...!

Natrah Maarof atau nama Belandanya Hubedina Bertha Hertogh (1937 - 2009) dilahirkan pada 24 Mac 1937 oleh ibunya, Adeline di Bandung sebagai Kristian dan diserahkan kepada hartawan Cik Aminah Mohammad yang berasal dari Kemaman, Terengganu, dibesarkan sebagai seorang Islam. Natrah kemudiannya dikahwinkan dengan Mansur Adabi. Perkahwinan ini bagaimanapun berakhir dengan tragedi apabila meletusnya “Peristiwa Natrah” di Singapura pada awal 1950-an. Rusuhan ini terjadi kerana berbaur dengan sentimen agama dan warna kulit.

Mansur Adabi, seorang guru muda ketika itu merupakan anak tunggal kepada Abdul Kadir Adabi, seorang tokoh yang berasal dari Kelantan. Dalam kalangan masyarakat Kelantan, Kadir Adabi sinonim dengan nama sebuah sekolah swasta yang pernah wujud dan terkenal di Kelantan pada suatu ketika dahulu....

Dua hari lepas, ketika menatap petikan akhbar sambil bersarapan di kantin sekolah, beberapa orang teman bertanya tentang hubungan antara Mansur Adabi, Kadir Adabi dan Maktab Kadir Adabi…... Hasil daripada pembacaan dan sedikit pengetahuan yang ada, saya terpanggil untuk mencatatkan sesuatu di laman ini untuk kongsikan dengan semua pengunjung, khususnya generasi muda kelahiran Tanah Serendah Sekebun Bunga mengenai ABDUL KADIR ADABI.


ABDUL KADIR ADABI seorang tokoh terkenal dalam banyak bidang di negeri Kelantan – kesusasteraan, kewartawanan, budaya dan politik. Namun begitu, kesan yang sangat terasa sehingga sekarang ialah peranannya dalam dua bidang utama, iaitu kesusasteraan dan politik.

Abdul Kadir Adabi dilahirkan di Kampung Raja Dewa, Kota Bharu pada 17 Ogos 1901. Ayahnya bernama Ahmad bin Yusof bin Mekong Samah berasal dari Kampung Kemubu, Ketereh tetapi tinggal di Kampung Raja Dewa kerana diambil menjadi penghulu oleh Raja Dewa (Tengku Zainal Abidin bin Sultan Muhamammad III). Manakala ibunya, Che Biru bt. Bakar, memang warga asal Kampung Raja Dewa sendiri.

Abdul Kadir mula-mula menerima pendidikan daripada ayahnya, kemudian daripada Tuan Guru Haji Nik Daud, Kg Atas Banggol. Akan tetapi corak pendidikan awal ini terbatas pada pelajaran agama cara pondok sahaja. Baru pada tahun 1917, apabila Madrasah Muhammadiyyah (Melayu) ditubuhkan oleh Majis Ugama Islam Kelantan, beliau beroleh pelajaran secara formal. Tetapi tidak lama. Lebih kurang 3 tahun sahaja. Semasa belajar di sini, Abdul Kadir sempat berguru kepada Dato’ Laksamana yang membimbingnya belajar mengarang dan menterjemah.

Oleh sebab dibesarkan dalam lingkungan istana dan akrab dengannya, Abdul Kadir sangat terdedah kepada adat istiadat Melayu yang halus serta diceritakan bahawa Abdul Kadir memiliki budi pekerti yang tinggi, sangat tertib, baik dalam bercakap, berpakaian mahupun dalam tingkah laku. Daripada sifat-sifat inilah beliau kemudian beroleh nama jolokan “Adabi”, yang bermaksud orang beradab….

Rujukan : Ikhtisar SEJARAH KELANTAN, Abdul Razak Mahmud, PAP, Kota Bharu, 2005


foto :
1) Pengarang bersama "NATRAH"
2) Dato' Laksamana Hj Mohamed b. Khatib H Mohamed Said

entri seterusnya : peranan A. Kadir Adabi dalam bidang kesusasteraan....