Saturday, July 10, 2010

BUKAN KERANA PANGKAT....







Saya memilih buku "BUKAN KERANA PANGKAT Tun Dr Ismail dan Masanya" untuk diulas bagi memenuhi pengisian program LADAP 3 tahun 2010.

Buku yang ditulis oleh Ooi Kee Beng dan diterbitkan oleh Institute of Southeast Asian Studies, Singapore ini merupakan sebuah karya biografi seorang anak Malaysia yang terbilang, Allahyarham Tun Dr. Ismail bin Dato’ Haji Abdul Rahman Yassin.

Saya pasti, generasi muda hari ini tidak begitu mengenali tokoh ini. Murid-murid sekolah misalnya, hanya 'bertemu' tokoh ini melalui mata pelajaran Sejarah Tingkatan 3, Bab 5 - Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Tun Dr Ismail merupakan salah seorang tokoh yang menyertai Rombongan Kemerdekaan ke London 1956 bersama-sama YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj.

Buku yang mengandungi 273 halaman ini tercatat tentang pendidikannya, tentang peribadinya yang terkenal tulus, bagaimana beliau menggunakan akal budi untuk mengendalikan masalah kecil, besar, mudah mahupun sukar, dan yang paling utama, pengorbanannya terutama dari segi kesihatan demi negara. Semua ini dibentangkan dengan butir-butir yang membuat kita tidak ragu-ragu lagi bahawa Tun Dr Ismail seorang yang pragmatik dan bijaksana, bahkan juga sangat teliti, terutama dalam persoalan undang-undang dan politik.

Tun Dr. Ismail juga digambarkan sebagai tunggak ketabahan di bawah kepimpinan dua orang Perdana Menteri, iaitu Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak sepanjang tempoh yang sangat sukar dan mencabar dalam politik Malaysia.

Setelah selesai pengajian perubatan di Australia, beliau pulang ke tanah tumpah darahnya Johor, lalu terus terbawa oleh arus politik nasional Melayu yang diterajui Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Beliau meningkat tangga kepimpinan parti hasil kerja keras, ketekunan dan kesetiaannya. Tun Dr. Ismail bukan ahli politik dalam erti kata yang lazimnya, beliau lebih merupakan pentadbir yang cekap, yang sudah sewajarnya menjadi orang kanan dan harapan Tunku dan Tun Razak. Beliau digambar sebagai seorang yang jujur, berprinsip dan paling utama tegas membezakan mana yang betul dan mana yang salah. Sepanjang zaman gelora politik Malaysia, beliaulah satu-satunya suara yang berani berdiri menentang arus pelampau dan prasangka yang kian melanda.

Di persada serantau dan antarabangsa pula, pengarang menggambarkan dia tekun berjuang untuk menubuhkan kumpulan ekonomi serantau, berkempen tidak henti-hentinya supaya Asia Tenggara menjadi rantau yang bebas daripada politik kuasa besar, dan pernah beberapa kali mendedahkan bahawa hubungan antara Malaysia dengan Singapura patut diletakkan pada lunas yang betul.

Semasa pergolakan lewat tahun 1960-an dan awal 1970-an, Tunku dan Tun Razak kedua-duanya terpaksa memanggil beliau kembali meninggalkan persaraan demi berkhidmat untuk negara. Tun Ismail sumber kesederhanaan yang menjadi penyejuk hati segenap rakyat Malaysia menyusuli kejadian tragedi perkauman 1969. Jasa Tun Ismail yang paling agung ialah memastikan negara tetap utuh dan mantap setelah menempun pergolakan yang meletus.

Secara keseluruhannya, buku ini menyingkap gambaran wajah tokoh ini, nilai-nilai yang menjadi pegangannya, kehidupan peribadi dan yang umum, serta hubungan profesional beliau dengan tokoh-tokoh sezaman, baik di Malaysia mahupun di Singapura.

Hayatnya mencerminkan pengalaman awal negara Malaysia, dan dapat dikatakan pemergiannya menjadi petanda malapnya banyak impian yang terdahulu. Satu hakikat yang abadi ialah tindakan dan fikirannya tetap menjadi ingatan rakyat Malaysia akan harapan dan cita-cita seorang pejuang kemerdekaan negara yang paling disanjung, seorang pemikir rantau ini yang paling praktikal dan berpandangan jauh.

Tun Dr Ismail menghembuskan nafas terakhirnya pada 2 OGOS 1973....

Buku ini patut dibaca oleh semua orang terutama generasi rakyat Malaysia yang lahir selepas Tun Dr Ismail pulang ke rahmatullah. Dengan membaca buku ini, mereka akan lebih memahami negara kita dan lebih menghargai pengabdian tokoh yang ulung ini.

Foto : 1) "BUKAN KERANA PANGKAT..." 2) Rombongan Kemerdekaan ke London 1956

No comments: