CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, August 21, 2015

SEBULAN YANG PADAT....JULAI / OGOS


Bermula selepas cuti hari raya Aidilfitri, hujung minggu penuh diisi dengan program sekolah.

1) KARNIVAL PENDIDIKAN (24 JULAI 2015)
2) KEM  ELIT SPM (29 JULAI - 1 OGOS) DI SEMPURNA RESORT
3) SEMINAR PENDIDIKAN MORAL - 8 OGOS
4) KEM SEHARI KELOMPOK POTENSI SPM  15 OGOS 






















Dalam pada itu, urusan hakiki juga padat dengan penandaan tugasan Sejarah PT3 dan menguruskan Ujian Lisan Mendengar BM PT3 (11 OGOS) seterusnya mengendalikan Ujian Lisan Bertutur BM PT3 yang bermula pada 13 Ogos dan dijangka berakhir pada 24 Ogos ini yang melibatkan 460 orang calon di SMKTP.

Dalam kepadatan jadual, alhamdulillah saya masih sempat meraikan majlis perkahwinan anak sahabat di KL dan juga berkunjung ke majlis hari raya rakan baik di Taman Melawati pada awal Ogos yang lepas.

Hujung minggu ini barulah saya berkesempatan untuk balik menjenguk khabar Ayahanda Bonda dan juga menginap semalam dua di Teratak Ungu yang telah sepurnama ditinggalkan....

Thursday, August 20, 2015

Panggilan Haji.....bilakah pula giliranku ...?



Sudah 4 hari berlalu KT01 menjejak kaki ke Bumi Anbia, pada 16 Ogos yang baru-baru ini.  Setiap mendapat khabar bahawa sanak keluarga dan rakan-rakan berangkat menyahut panggilan ke Baitullah bagi mengerjakan ibadah haji, hati terdetik ... bilakah pula tiba giliranku...?

Setiap insan muslim yang beriman memang menyimpan hasrat yang tinggi untuk menunaikan ibadat haji ke Tanah Suci walaupun sekali seumur hidup. Tidak kira sama ada seseorang itu berharta ataupun tidak. Keinginan masing-masing berbeza antara satu sama lain mengikut nawaitu dalam hatinya...


Menunaikan ibadat haji merupakan salah satu daripada Rukun Islam. Maka bagi mereka yang mampu, diwajibkan untuk melakukannya. Perintah wajib mengerjakan Haji termaktub dalam al-Quran sebagaimana Firman Allah dalam Surah Al-Imran, ayat 97, bermaksud :


"... dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dan umrah dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya."


Kesempatan aku dan keluarga menunaikan umrah di Tanah Suci semasa cuti sekolah beberapa tahun yang lalu menambahkan lagi 'kerinduanku' untuk ke sana setiap kali memandang gambar 'Baitullah' ....


Kami tidak akan jemu berdoa agar kami mendapat jemputan-Nya bagi menyempurnakan rukun Islam yang ke-5 itu....


Wednesday, August 19, 2015

PANGGILAN HAJI TIBA LAGI....KT03



Kesempatan ini diambil untuk menitipkan doa kepada ahli keluarga dan sahabat handai yang telah dan yang akan berangkat ke Tanah Suci dalam masa yang terdekat ini. Semoga kalian menjadi tetamu Allah s.w.t yang paling istimewa.

Kepada sepupuku DR. HANIAH YUSOF dan suami, telah selamat berangkat ke Tanah Suci dan untuk mengerjakan ibadah haji.  Semoga Kak Chik dan Zamani dapat menjalani ibadah haji dengan sempurna dan memperoleh haji yang mabrur.  Kak Chik merupakan jemaah KT03 yang berlepas pada petang 16 Ogos dari KLIA.

di Kompleks Haji Panji Kota Bharu

11 minit selepas berlepas dari KLIA
selamat mendarat di Madinah selepas 8 jam di udara....
 hari pertama ... di Dataran Masjid Nabawi

Ucapan yang sama juga ditujukan kepada sahabatku yang pernah bersama-sama menimba ilmu di Lembah Pantai, WAN THUBIYAHANA yang kini bertugas di SMK Agama Chenor,  yang juga akan berangkat ke Tanah Suci, Buat Wan, selamat menjalani ibadat haji, semoga   memperoleh haji yang mabrur... dan selamat kembali ke tanah air. 

Semoga selamat semuanya... Insya-Allah.

Saya terpanggil untuk berkongsi 'Mutiara Bicara' dengan rakan-rakan yang singgah di sini. Mutiara Bicara ini ditulis oleh Dr. Ridzwan Bakar dalam "HAJI MUDA" (2008),... sekadar untuk mengingatkan diri saya sendiri.....

"Tawaf dan Kaabah mengikat hati jemaah haji supaya terus mengingati kebesaran Allah. Di sinilah titik tolak cabaran haji. Ia perlu direalisasikan dengan melaksanakan amalan-amalan di Tanah Suci apabila kembali ke tanah air. Semoga kita semua istiqamah dan berusaha mempertahankan amalan-amalan semasa haji dalam kehidupan kita."

Kami tidak pernah jemu menunggu kad jemputan daripada-Nya sekali lagi.... semoga akan tiba saat yang membahagiakan itu....

 

Sunday, August 16, 2015

Peristiwa di Ladang Ng Tiong Kiat @ Sungai Jerik


Sebelum saya bertukar ke Jengka pada tahun 2000, saya tidak pernah mendengar nama tempat ini... Tiong Kiat (disebut Tong Kiat oleh penduduk setempat). Tempat ini juga dikenali sebagai Pekan Sg. Jerik, sebuah kampung baru yang menempatkan masyarakat Cina yang sebahagiannya datang dari Sitiawan, Perak yang letaknya dalam daerah Jerantut dan tidak jauh daripada Bandar Pusat Jengka.

Hutan Lipur Lubuk Yu yang hangat diperkatakan suatu ketika dahulu, (lepas selepas 6 orang maut dan 83 orang lagi dijangkiti virus kencing tikus), agak hampir dengan Pekan Sungai Jerik @ Tiong Kiat ini.

Pada tahun 2002, semasa membawa murid melawat muzium bandar diraja Pekan, saya terjumpa buku yang menceritakan satu peristiwa penting yang berlaku di Ladang Ng Tiong Kiat lebih 60 tahun yang lalu. Saya terpanggil untuk memiliki buku tersebut. Buku yang mengandungi pengkisahan "Peristiwa DYMM Sultan Pahang di Ladang Ng Tiong Kiat" mendekatkan lagi saya dengan tempat itu. Malang sekali buku tersebut telah hilang setelah dipinjamkan kepada seorang rakan sekerja. Saya akan dapatkan semula buku tersebut sekiranya saya berkesempatan sekali lagi ke muzium Pekan.

Kisah ini akan saya kongsikan dengan semua pengunjung blog ini....

PERISTIWA DYMM SULTAN PAHANG DICULIK

Peristiwa ini berlaku pada pertengahan bulan Ogos tahun 1945...

Peristiwa sebenar tentang 'penculikan' DYMM Sultan Abu Bakar telah diceritakan oleh Tan Sri (Jeneral) Ungku Nazaruddin bin Ungku Muhammmad dalam suatu majlis pengkisahan pada malam 17 April 1992 bersempena dengan Seminar Sejarah Negeri Pahang. Ayahanda kepada Ungku Nazaruddin turut bersama dalam rombongan DYMM ke Kuala Lipis pada 17 Ogos 1945 sebagai jurubahasa dan juruiring kepada baginda Sultan. Yang turut mengikuti rombongan itu ialah Dato' Mahmud b. Mat (Pegawai Daerah Kuantan); Encik Abdullah b. Sihat (Pegawai Daerah Pekan); Encik Daud b. Ismail (Ketua Pelayan); Encik Abu Bakar b. Chik (Vallet); dan Encik Talib b. Muhammad (Pemandu).

Dalam keadaan yang tidak menentu
pada pertengahan Ogos 1945, DYMM Sultan Abu Bakar telah berangkat dari istana baginda di Pekan ke Kuala Lipis yang pada masa itu merupakan pusat pentadbiran bagi negeri Pahang. Keberangkatan baginda bertujuan untuk membincangkan pentadbiran negeri Pahang yang pada masa itu dalam keadaan tidak menentu.

Dalam perjalanan pulang, baginda dikatakan hilang kerana diculik semasa berada di ladang Ng Tiong Kiat (kini dikenali juga dengan Pekan Sg Jerik, Jerantut). Lokasinya adalah di antara Jerantut dengan Kuantan. Menurut cerita yang tersebar luas, baginda diculik oleh MPAJA. Ekoran daripada peristiwa itu, pihak Jepun mengapi-apikan perasaan orang Melayu supaya bangkit menentang orang Cina dan MPAJA.

Baginda dan rombongan bertolak ke Kuala Lipis pada 16 Ogos 1945 sebagai memenuhi jemputan Gabenor Pemerintah Tentera Jepun bagi negeri Pahang Darul Makmur untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha yang jatuh pada 15 Sept 1945. Selain itu, Gabenor bagi negeri Pahang itu memberitahu bahawa beliau akan menamatkan khidmatnya di negeri Pahang dan seorang yang baru akan mengambil alih tempatnya. Digambarkan pertemuan itu diadakan "dalam suasana yang dingin serta penuh dengan syak wasangka", kerana ketika itu sudah nampak tanda-tanda bahawa Jepun terpaksa menyerah diri setelah berlakunya pengguguran dua biji bom atom di Hiroshima dan Nagasaki.


Dalam perjalanan pulang, ketika sampai di ladang ubi Ng Tiong Kiat, kira-kira pukul 6.00 petang, mereka berhenti di situ untuk mengambil 2 ekor kambing gurun yang dipesan oleh Tuanku sendiri semasa dalam perjalanan dari Pekan ke Kuala Lipis. Di sinilah mereka 'diculik', iaitu diarah supaya tinggal di kem kumpulan gerila OSS 404 (Cairgorum II) yang dipimpin oleh Geaney bersama dengan gerila Force 136 kumpulan Pontoon di bawah pimpinan Mejar Leonard. Tuanku dan ahli rombongan cuma diberitahu bahawa penculikan ini terpaksa dilakukan demi menjaga keselamatan Tuanku sebagai pemerintah tertinggi negeri Pahang.


Dari ladang ubi Ng Tiong Kiat, Tuanku dan rombongan dibawa masuk ke kawasan pedalaman Hutan Simpan Jengka-Chenor, iaitu kem gerila British dan Amerika. (kini kawasan ini menjadi penempatan LKTP @ Felda Jengka).

DYMM serta rombongan berangkat balik meninggalkan tempat perladangan itu pada 12 September, iaitu setelah 27 hari berada di kawasan hutan simpanan itu dan setelah diberitahu bahawa Jepun telah menyerah diri. Tuanku diiringi oleh kumpulan Force 136 bersama dengan 10 anggota gerila wataniah yang berpakaian seragam lengkap dengan senjata.

Difahamkan bahawa markas SEAC di Colombo telah meminta Force 136 dan OSS 404 (Amerika) memberi perlindungan kepada DYMM dan rombongan kerana kuatir pada masa kekosongan kuasa dalam masa peralihan di antara penyerahan diri Jepun dan kedatangan Tentera Bersekutu, pihak MPAJA akan mengambil peluang untuk merampas kuasa dan menggunakan Tuanku sebagai tebusan.

Sesampainya Tuanku di Istana Seri Terentang, Bandar Diraja Pekan, baginda disambut seperti "orang mati hidup semula" kerana ada di antaranya yang menyangka bahawa DYMM telah mangkat dibunuh oleh MPAJA.

Sekadar berkongsi cerita sejarah...

Foto (1) : DYMM Sultan Abu Bakar (2) Residency, iaitu tempat tinggal Gabenor Jepun di Kuala Lipis yang merupakan tempat pertemuan antara Gabenor dan Baginda Sultan.

Sumber : Buku "Peristiwa Almarhum Sultan Abu Bakar Di Ladang Ng Tiong Kiat Pada Tahun 1945" oleh Ungku Nazaruddin, Lembaga Muzium Negeri Pahang.