Wednesday, March 15, 2017

Bahasa Melayu Bahasa Kebangsaan

Bahasa Melayu mempunyai banyak dialek dan setiap dialek mempunyai perbezaan ketara dari segi sebutan dan kosa kata. Misalnya, bahasa Melayu Riau-Johor berbeza dengan bahasa Melayu Palembang, Jambi dan Bengkulu. Bahasa ini juga digunakan oleh masyarakat peranakan atau Cina Selat (campuran pendatang Cina dan penduduk asal) merupakan campuran antara bahasa Melayu dan dialek Hokkien. Bahasa ini dahulunya banyak digunakan di negeri-negeri Selat, seperti di Pulau Pinang dan Melaka. Walau bagaimanapun, kini kaum peranakan lebih gemar berbahasa Hokkien atau Inggeris.

Penggunaan bahasa Melayu di negara-negara ini berbeza bergantung kepada sejarah dan budaya. Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi di Malaysia pada tahun 1968, tetapi bahasa Inggeris masih digunakan dengan luas terutama sekali dalam kalangan masyarakat Cina dan India, sama seperti di Brunei. Berbeza di Indonesia, bahasa Melayu Indonesia berjaya menjadi bahasa perantaraan utama atau lingua franca untuk rakyatnya yang berbilang kaum kerana usaha gigih kerajaan Indonesia dalam menggalakkan penggunaan bahasa Indonesia selain bahasa Belanda yang tidak lagi digunakan.

Di Timor Leste, sekarang terlepas daripada Indonesia menjadi negara Timor Leste, bahasa Melayu Indonesia diterima sebagai 'bahasa bekerja'. Di Singapura, bahasa Melayu dikekalkan statusnya sebagai bahasa kebangsaan walaupun Singapura mempunyai empat bahasa rasmi (iaitu bahasa Inggeris, Cina, India dan Melayu). Di selatan Thailand, bahasa Melayu digunakan oleh orang-orang daripada Kesultanan Melayu Patani (orang Melayu Patani), tetapi tidak memperoleh sebarang pengiktirafan daripada kerajaan.

Di negara kita, bahasa Melayu diangkat menjadi bahasa Kebangsaan selepas negara mencapai kemerdekaan dan berkerajaan sendiri. Seperti yang kita maklumi, sebelum merdeka, Malaya atau Tanah Melayu yang ditadbir oleh British menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama, tetapi setelah mencapai kemerdekaan, maruah bangsa perlu dipelihara dan bangsa yang bermaruah mesti mempunyai bahasa kebangsaan sendiri.



Oleh sebab itu, Perdana Menteri Malaysia (Persekutuan Tanah Melayu ketika itu) pertama, YAB Tunku Abdul Rahman menyatakan bahawa...
"kita berhak menghendaki bahasa kita sendiri. Apabila kita mempunyai bahasa kebangsaan sendiri, kita akan bersatu dan mempunyai watak sendiri. Untuk kepentingan kebangsaan, bahasa penjajah perlu digantikan dengan satu bahasa peribumi... "