CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, June 27, 2014

Ramadan datang lagi : Puasa dan Takwa...



Tenggelamnya matahari 30 Syaaban esok, bermakna bermulalah Ramadan yang ditunggu-tunggu saban tahun.  Bulan yang menjanjikan 1000 rahmat.


Jika pada usia kanak-kanak, hari raya menjadi motivasi untuk kita berpuasa, apakah pula yang menjadi motivasi kepada golongan yang sudah melewati dunia kanak-kanak....?

Kini, apabila kita sudah menginjak usia dewasa, hari raya mesti dilihat dari perspektif ibadah dengan menitikberatkan prinsip-prinsipnya yang lebih hakiki. Tujuan berhari raya mesti dikaitkan dengan ibadah puasa yang dijalani sebelumnya.

Hakikatnya, ukuran kejayaan amalan puasa seseorang adalah kejayaan melahirkan sifat takwa dalam diri orang yang berpuasa.  Takwa ialah matlamat utama berpuasa.

Mereka yang berjaya mendapat sifat takwa layak bergembira. Dengan takwa mereka akan mendapat bantuan daripada Allah s.w.t., dilepaskan daripada tipu daya musuh, mendapat jaminan rezeki, diberikan jalan penyelesaian kepada masalah melalui jalan yang tidak disangka-sangka, dan pelbagai nikmat lagi. Selayaknya mereka bergembira dan bersyukur kepada Allah pada hari raya atas kelebihan-kelebihan itu.

Sebaliknya, jika takwa tidak terhasil, bermakna puasa itu gagal. Orang yang gagal, layakkah bergembira....?

Walaupun kita belum bertakwa dan puasa kita masih bertatih di tahap puasa orang yang sedang bermujahadah, namun tidak salah untuk kita "tumpang gembira" dengan kegembiraan orang yang bertakwa pada hari raya. Walaupun hati kita sedih mengenangkan puasa kita yang masih terumbang-ambing, tetapi itu tidak menghalang kita untuk bergembira pada hari raya...!

Semoga dengan meniru mereka, kita akan tergolong dalam golongan orang yang bertakwa juga.

Yang peliknya, mereka yang tidak layak bergembira ini pula yang bergembira. Bergembira dengan cara yang berlebih-lebihan sehingga roh Ramadan tercalar seawal Syawal.

....sekadar mengingatkan diri sendiri...

Syukur alhamdulillah, kita masih diberi kesempatan dan berpeluang bertemu Ramadan lagi pada tahun ini.... 

Sunday, June 22, 2014

Bertambah lagi umur Abe....

Abe ketika berusia 2 bulan....
Pada 22 JUN lebih dua dekad setengah yang lalu, pada usiaku hampir mencecah 24 tahun, aku mula bergelar 'Mak' dengan hadirnya Abe dalam hidup kami, yang kami namakan MOHD FARIS B. NAIN

Kami sangat bersyukur kerana dalam usia yang masih muda, kami sudah bergelar "Mak" dan "Ayah". Kehadiran Abe juga telah menceriakan lagi keluarga Papa dan Mama yang selama ini dikelilingi oleh 8 orang cahayamata yang kesemuanya puteri. Abe merupakan cucu pertama Tok Pa dan Tok Ma. Hadir seorang lagi putera dalam keluarga besar Papa, selain menantu pertamanya..., suamiku!
24 tahun yang lalu....

Abe hadir pada musim masyarakat dunia 'demam' bola sepak Piala Dunia. Kebetulan pada waktu itu, di Mexico berlangsung perlawanan Bola Sepak Piala Dunia kali ke-13 yang bermula dari 31 Mei hingga 29 Jun 1986. Aku masih ingat lagi, Abe selamat dilahirkan di rumah Mama tepat pukul 10.30 malam, beberapa jam sebelum perlawanan peringkat separuh akhir Piala Dunia 1986.

Ini bermakna, suamiku yang baru beberapa jam bergelar "Ayah" tidak lagi diselubungi resah gelisah menunggu 'orang baru'; dapat duduk dengan selesa, di depan kaca televisyen untuk menonton perlawanan separuh akhir antara Jerman dengan Perancis yang diadakan pada pukul 2.30 pagi (waktu Malaysia). Piala Dunia 1986 dimenangi oleh Argentina yang telah mengalahkan Jerman 3-2, dan Diego Maradona dinobatkan sebagai pemain terbaik pada musim itu.


22 JUN 2014 genaplah 28 tahun usia Abe....tatkala demam Perlawanan Bola Sepak Piala Dunia 2014 baru di peringkat pusingan awal..... 


Kini Abe telah memasuki fasa baru dalam kehidupan.  Tanggungjawab Abe makin bertambah kerana telah menjadi ketua keluarga yang baru dibina lebih setahun yang lepas.   

Semoga Abe akan terus diberkati Ilahi. Jangan lupa berdoa kepada-NYA, selalu ingat Allah s.w.t dalam apa-apa jua keadaan, susah atau senang.... Tingkatkan usaha untuk membina masa depan yang bahagia bersama anakanda SITI NUR AISHAH...


Untuk Abe,

Mak dan Ayah sentiasa mendoakan agar Abe terus tabah dan kuat menghadapi cabaran hidup. Perjalanan masih jauh dan panjang. Setiap yang Abe lalui merupakan ujian daripada Yang Maha Esa. Kita perlu redha dan bersyukur kerana masih diberi peluang untuk meneruskan kehidupan ini.

Semoga Abe menjadi ketua keluarga yang bertanggungjawab.  Rajin-rajinlah bekerja dan sentiasalah ringan tulang untuk menimba lebih banyak pengalaman dalam dunia kerjaya....

SELAMAT HARI JADI, ABE.... 

Sunday, June 15, 2014

BERTAMU & BERTANDANG DI KG PINTU PADANG


Segalanya merupakan perancangan Allah.

Majlis bertandang atau blarock atau hantar menantu ke Seri Iskandar memungkinkan kami bertamu di Kg. Pintu Padang, Gopeng.  Kami bertamu untuk bertemu muka beramah mesra dengan kaum keluarga sanak saudara daripada leluhur kami Tn. Hj Wan Muhammad Said....

Segalanya berlaku dengan izin Allah s.w.t.  Syukur alhamdulillah, kami sempat membawa Mama dan Papa bertemu dengan tiga orang Bonda sepupu Mama yang masih ada.

13 JUN 2014, kami bertolak dari TBS lebih kurang pada pukul 8.30 pagi membawa bersama Papa dan Mama berkonvoi dua buah kereta.  Melewati tol Jalan Duta terus menuju lebuh raya PLUS dan lebih kurang 2 jam perjalanan kami masuk melalui tol Gopeng.  
WRJ & WQP....
singgah sekejab di  R & R tol Gopeng....
Petunjuk jalan yang jelas yang diberi oleh Mak Teh memudahkan kami tiba di tempat yang dijanjikan.  Pak Teh yang berkapcai sedia menunggu kami di situ.  Kg Pintu Padang menyambut kami dengan penuh mesra....


teratak tradisional tinggalan arwah Hj Mustafa B. Lokman B HM Said




Terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada Pakteh Norhadi kerana menunggu kami di bawah laluan lebuh raya PLUS menuju ke Kg Pintu Padang.  Kami di sambut oleh Mak Teh Norhuda dan Mak Ngah Norasmara dan Mak Long Noraini sebaik sahaja kaki melangkah keluar dari kereta....bertamu di rumah tinggalan arwah Haji Mustafa B. Lokman B. Hj. Wan Muhammad Said. 


Suasana kampung yang mendamaikan.  Kami dijamu dengan pelbagai juadah yang enak dan istimewa.

Ketika kaum bapa ke masjid menunaikan solat sunat Jumaat, kami keluar meninjau Gaharu TeaValley.

Papa membonceng kapcai Pok Teh untuk ke masjid berdekatan

Encik Kasihku seronok menjadi pasanger  Pakcik ke masjd....

Dengan MYVI Cik Anggerek, kami menuju ke Gaharu Tea Valley yang letaknya di sebelah Kg. Pintu Padang.  Berjalan kaki pun boleh sampai.  Dengan berkereta tak sampai 5 minit.  Rupa-rupanya di sini ada ladang gaharu yang sangat luas saujana mata memandang.  Ramai pengunjung dari dalam dan luar negara singgah di sini.  Kayu gaharu yang tinggi nilainya; teh gaharu yang banyak khasiatnya.



kayu gaharu yang berusia 200 tahun....

mencuba ais krim gaharu... awesome
di pintu gerbang Gaharu Tea Valley
Kami diberitahu oleh Mak Teh bahawa satu perjumpaan keluarga akan diadakan di rumah Opah Nahariah yang letaknya di laluan masuk ke rumah keluarga Mak Teh.  Semasa kami masuk, sudah ternampak khemah terpasang siap untuk majlis pertemuan keluarga nanti.


Papa tidak dapat menahan sebak apabila Opah Nahariah berbari tentang anak cucu Hj. Wan Muhammad Said.  Apabila Opah Nahariah menyebut nama puteri sulung Hj. Wan Said di KB, iaitu WAN JEMILAH BT. WAN SAID, moyang saya dan nama Moksu Jah iaitu nenek saya, air mata Papa terus berlinangan.  Mungkin kerana Papa tidak pernah menduga (walaupun sebenarnya tahu ada saudara mara di Perak) akan bertemu ramai kaum kerabat di Perak, khususnya di Gopeng dalam usianya yang semakin lanjut ini.

Mama bersama Bonda sepupunya, Opah Nahariah
 Pertemuan dengan Pakcik Tuah juga mengundang sebak di hati Papa dan Pokmuda Leh.  Pakcik Tuah pernah menetap di KB, tetapi sejak kembalinya Pakcik Tuah ke Gopeng pada pertengahan tahun 1970-an, Papa tidak pernah bertemu dengan Pakcik Tuah lagi.  Pakcik Tuah merupakan dua pupu Mama.
Papa bersama Pakcik Tuah, Opah Hawa dan Opah Nahariah
Sementara menunggu rombongan rombongan kakanda Roslena seramai lebih kurang 30 orang dewasa dan kanak-kanak yang bertolak dari KB dengan bas tiba, kami menuju ke kediaman Opah Nahariah.  Pertemuan penuh emosi, gembira bercampur rasa terharu yang dalam antara Papa, Mama dengan Opah Nahariah serta saudara-mara yang lain.  Kaum kerabat yang belum pernah bertemu sebelum ini, kecuali Pakcik Tuah.  Sebahagian daripada kaum keluarga di sini berkumpul di rumah Opah Nahariah, termasuk Opah Hawa....

bersama Opah Hawa, sepupu nenda kami, Moksu Joh, Kota

Bersama Pakcik Tuah dan anak-anaknya...
 

Majlis pertemuan keluarga ini dimulakan dengan bacaan doa selamat dan tahlil buat semua leluhur dan kaum keluarga yang telah lebih awal kembali ke alam abadi menemui Penciptanya.

Makanan yang terhidang penuh meja tidak terjamah kerana kami asyik bertanya khabar dan bercerita tentang leluhur kami.  Majlis yang sangat bermakna ini dipenuhi rasa sebak, tawa hilai silih berganti.  Hanya gambar yang menjadi kenangan.




Anak-anak inilah yang akan  meneruskan keturunan leluhur kami Hj. Wan Muhammad Said....

bersama Opah Nahariah... Nenek sepupu kami
 Jika diikutkan hati, kami ingin lebih lama lagi bercerita dan mendengar celoteh Opah dan juga Makcik Pakcik tentang diri keluarga masing-masing, tetapi apakan daya hari sudah hampir menjelang senja.   Kami terpaksa memohon diri untuk meninggalkan majlis ini untuk meneruskan perjalanan ke Seri Iskandar....

berpamitan sebelum meninggalkan Kg. Pintu Padang

Sesuatu yang di luar kotak pemikiran biasa untuk memungkinkan pertemuan ini.  Anak cucu cicit piut HJ WAN MUHAMMAD SAID di Gopeng dan Kota  Bharu bertemu di Kg. Pintu Padang....  Semuanya adalah dengan kekuasaan dan keizinan-Nya.  Syukur alhamdulillah. 


Semoga kami diberi kesempatan untuk bertemu lagi.  Insya-Allah.  

Terima kasih semua....






Wednesday, June 11, 2014

CUTI BEKWOH NIKOH KAHWIN (4) : Kami daripada leluhur yang sama....


Musim cuti semua sibuk dengan majlis kenduri kendara @ bekwoh nikah kahwin.  Tidak ketinggalan buat MAKSU HJH NOORASIKIN BT. MUSTAFA, bonda dua pupu saya yang baru beberapa minggu 'bertemu dan berbicara' di laman sosial walaupun sebenarnya kami daripada lelulur yang sama.  Cucu cicit piut arwah Hj Wan Muhammad Said. Maksu merupakan saudara dua pupu dengan Mama HJH CHE HALIMAH.   Kami bertemu buat pertama kalinya di tempat penginapannya pada hari Maksu tiba dari Lembah Kelang.

bersama Makteh dan Maksu di Taman Kurnia Jaya....
Majlis perkahwinan anakanda lelaki sulung Maksu ini dengan gadis pilihannya dari Kg Petani,Sering menjadikan silaturrahim antara keluarga di Kota Bharu dan Gopeng, Perak menjadi semakin erat serta akrab...
 
 Mama bersama Makcik, Makngah dan Maklong... cicit HM Said...
 Maksu dan 4 orang kakaknya dari Shah Alam serta Gopeng (Makteh Norhuda, Maklong Noraini, Makngah Norasmara dan Makcik Noribah) datang ke KB.  Mereka merupakan cucu arwah LOKMAN B. HM SAID, adik kepada WAN JEMILAH BT. WAN HM SAID, moyang saya....

Sanak saudara daripada keturunan leluhur kami TUAN HAJI WAN MUHAMMAD SAID yang berkembang di Kelantan, di Perak dan di Seberang Selat Melaka - cucu cicit arwah WAN JEMILAH di Kota Bharu Kelantan, arwah LOKMAN di Gopeng Perak, arwah WAN FATIMAH BT. HM SAID di Besilam, Tanjung Pura dan sekitarnya, arwah ABDUL HAMID B. HM SAID di Medan dan sekitarnya....


Adinda Ratna Idayu dan Tasya (Anak Mokteh, saudara 3 pupu....



 

Majlis akad nikah disempurnakan di Masjid Mukim Sering pada 6 JUN 2014 (Jumaat), diikuti dengan majlis blarok pada keesokan harinya di Kg Petani, Sering.

Pada malam sebelum itu, keluarga dari Gopeng berkumpul di rumah kakanda ROSLENA di Lorong Tok Mandur Daud, Kg Kota, KB.   




Mama dan Mok Abe bersama saudara dua pupunya dari Gopeng....
Kita jumpa lagi di Gopeng....
Majlis blarok ke Kg Petani menemukan kami dengan seorang lagi cicit HM Said (dua pupu Mama), iaitu PAKCIK ROSDI B. MEOR ENDUT yang kini menetap di Banting, Selangor.  Sama seperti Maksu adik beradik, Pakcik Rosdi juga merupakan cucu kepada Tn. Hj Lokman B. Hj Wan Muhammad Said....

Pakcik Wan Man, Pakcik Rosdi, Papa & Mama
Pakcik Wan Man, Pakcik Rosdi, En. Suami, Papa dan Pakmuda Wan Mad
Insya-Allah, jika dipanjangkan umur dan diizinkan Ilahi, kami akan bertamu dan bertemu sekali lagi di Kg Pintu Padang, Gopeng pada hujung minggu ini (13/6/14)... dalam perjalanan kami ke Seri Iskandar untuk menghadiri majlis bertandang di sana pada 14/6/14....



Saturday, June 7, 2014

CUTI - BEKWOH NIKAH KAHWIN (3) : Kenangan bersama sahabat...





Hampir setiap hari sepanjang seminggu bercuti di kampung halaman baru-baru ini saya cuba memenuhi undangan majlis kenduri kesyukuran sempena perkahwinan anak rakan taulan.   

Yang seronoknya, sambil menjamu selera kita dapat bertemu rakan sepermainan zaman kanak-kanak dan juga sahabat ketika masih di bangku sekolah.

Di majlis kenduri sempena perkahwinan anak Mek Esah, kami sempat bergambar kenangan bersama keluarga Kaknik Moh, pakar nasi kerabu tahun-tahun 1970 yang ketika itu tinggal di sebelah pagar rumah kami sebelum mereka berpindah ke kuarters RTM WCY.  

Semasa zaman kanak-kanak, merekalah jiran kami yg paling hampir.... Mek Esah, Senani dan Senah merupakan rakan sepermainan yg setia. Setelah hampir 4 dekad kami bertemu di majlis perkahwinan anak sahabat saya itu....


Kami juga berkesempatan ke majlis perkahwinan anak perempuan NASTURIYAH dan NORHASYIM di Ketereh. Nasturiyah merupakan sahabat saya ketika di SIC 1978 - 1979.  Norhasyim pula pernah menjadi rakan sekerja dengan suami di ABB... 

Dalam majlis ini kami sempat bertemu dengan rakan sekolah yang terpisah sejak selepas MCE, ROSMAH budak Ketereh tp kini menjadi jiran kami di Indera Mahkota... Rosmah di IM2 dan kami di IM8, tp kami tidak pernah tahu walaupun sudah berbelas-belas tahun Rosmah menjadi warga Kuantan....





Saya juga mengambil kesempatan memenuhi jemputan ADIK MAT @ GHAZALI untuk bertandang di rumahnya di JALAN KUBUR TERAP, KOTA bersama-sama beberapa orang sahabat yang lain, Ta dan keluarga, Nab sekeluarga, Ku Dah... termasuk yang kebetulan balik bercuti di kampung, Ir. Mae sekeluarga dan Dr. Loh sekeluarga.  

 


Terima kasih Adik Mat dan isterinya Tini kerana sentiasa bermurah hati menjamu kami semua dengan pelbagai juadah yang enak setiap kali kami bercuti di kampung. 
 
Semoga sahabat saya ini dimurahkan rezeki, diberi kesihatan yang baik dan diberkati sentiasa oleh Ilahi. 

Adik Mat, jangan serik untuk menjemput kami lagi....

Thursday, June 5, 2014

BERTAMU DAN BERTEMU DI CHENDERING....


Rindu seorang Adik kepada Abangnya, dan begitulah sebaliknya... Abang sentiasa menyembunyikan kerinduan terhadap Adiknya.  Sesekali apabila bercerita tentang adiknya, pasti suara tersekat di kerongkong dan matanya berkaca-kaca walaupun bibir tersenyum....


Papa dan Ayah Chik, putera kepada MEMBUNGA BT. ISMAIL... seibu berlainan ayah.  Sungguhpun begitu, hubungan mereka sangat akrab kerana dilahirkan di tempat yang sama; walaupun sekali-sekala ada badai yang melanda...  Itu dulu... lama dulu.  Semuanya sudah menjadi kenangan dan tinggal sejarah.  Air, walau dicencang bagaimana sekalipun tidak akan putus.  Carik-carik bulu ayam, akhirnya bercantum juga.

Sedikit ujian yang melanda mereka mengeratkan hubungan dan menebalkan kerinduan....

Rindu pada usia begini menjadikan hati mudah rapuh.

Itulah Ayahanda JUSOH B. DAUD dan Ayahcik ZAKARIA B. MAT JUNUH.

Kesempatan bercuti di kampung yang agak lama baru-baru ini memungkinkan kami membawa Papa ke Taman Desa MPKT Chendering untuk bertemu adindanya sehari selepas majlis kenduri kahwin anak sulung Kakanda Roslena.  Pada pagi 1 JUN 2014 (Ahad) yang permai, kami berkonvoi 3 buah kereta menuju ke destinasi dengan penuh riang.


Menjelang matahari tegak di atas kepala, kami tiba di rumah Ayahchik.  Kami disambut dengan penuh mesra....


Akhirnya, rindu yang sarat yang sudah lama dikendong, akhirnya terburai jua bersama-sama linangan air bening membasahi pipi Papa dan Ayahchik. 


Alhamdulillah, syukur kepada Ilahi kerana memberi kesempatan kepada dua beradik ini bertemu.... 
 
Seperti biasa, Papa dan Ayahcik akan bercerita tentang adik-beradiknya yang lain yang masih ada dan menetap di negara jiran, Thailand.... Berbari tentang leluhur yang sudah berdekad-dekad meninggalkan kami semua, Che Wer Pok Weil.... Datuk Papa dan Ayahcik sebelah ibu. Semua ini pasti mengundang nostalgia akan kisah lampau yang telah jauh ditinggalkan.


Pada kunjungan ini juga buat pertama kalinya kami membawa Hannan dan Falisha bersama Mami dan Abahnya ke sini....termasuk Kakak Melisa Kamelia sekeluarga.


mereka adalah dua pupu


Terima kasih Ayahcik, Mamacik, Zula dan Rina yang menerima kunjungan kami dengan mesra dan menyediakan juadah istimewa buat kami.




Kita pun tidak pasti, adakah mereka masih punya kesempatan untuk duduk bersembang panjang berbari pelbagai kisah seperti itu lagi....


Hanya DIA Yang Maha Berkuasa Menentukan....