CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Thursday, September 29, 2011

SELAMAT BERANGKAT KE TANAH SUCI....


Kesempatan ini diambil untuk menitipkan doa kepada ahli keluarga dan sahabat handai yang akan berangkat ke Tanah Suci dalam masa yang terdekat ini. Semoga kalian menjadi tetamu Allah s.w.t yang paling istimewa.

Awal pagi tadi, saya menerima SMS daripada seorang sahabat yang pernah sama-sama bertugas di SMKJ2...
"Salam sejahtera sahabat yang dirahmati Allah. InsyaAllah saya, suami dan ibu akan berangkat ke Tanah Suci Mekah pada hari ini 29 Sept, KT3 pukul 9.30 malam. Dengan rendah hati saya mohon kemaafan andai terdapat ketelanjuran bicara dan perlakuan. Minta dihalalkan makan dan minum. Doakan agar dipermudahkan segala urusan dan mendapat haji mabrur..."
Kepada sahabatku, SITI ROHANI ALI, yang akan berangkat ke Tanah Suci malam nanti, saya ucapkan selamat menjalani ibadat haji, semoga beroleh haji yang mabrur... dan selamat kembali ke tanah air....

Semoga selamat semuanya... Insyallah.

Saya terpanggil untuk berkongsi 'Mutiara Bicara' dengan rakan-rakan yang singgah di sini. Mutiara Bicara ini ditulis oleh Dr. Ridzwan Bakar dalam "HAJI MUDA" (2008),... sekadar untuk mengingatkan diri saya sendiri.....

"Tawaf dan Kaabah mengikat hati jemaah haji supaya terus mengingati kebesaran Allah. Di sinilah titik tolak cabaran haji. Ia perlu direalisasikan dengan melaksanakan amalan-amalan di Tanah Suci apabila kembali ke tanah air. Semoga kita semua istiqamah dan berusaha mempertahankan amalan-amalan semasa haji dalam kehidupan kita."

Semoga hari ini kita akan menjadi insan yang lebih baik berbanding semalam.....



Wednesday, September 28, 2011

MAJLIS RESTU ILMU....

Minggu depan, atau lebih tepat lagi pada 4 OKTOBER 2011, iaitu hari SELASA, peperiksaan PMR akan bermula.

Hari-hari terakhir sebelum PMR, suasana di sekolah agak sibuk. Hari ini ada beberapa aktiviti berlangsung di sekolah, iaitu Majlis Restu Ilmu, Majlis Solat Hajat dan persiapan dewan serta bilik peperiksaan. Dalam pada itu, program intensif untuk calon PMR 2011 tetap diteruskan seperti yang dijadualkan.

Majlis Restu Ilmu telah diadakan pagi tadi sebaik sahaja selesai perhimpunan Mingguan Kokurikulum. Lebih kurang pukul 8.05 pagi bertempat di dewan yang sama, bermulalah Majlis Restu Ilmu untuk calon PMR 2011. Tujuan majlis ini diadakan adalah untuk memberi peluang kepada semua murid yang terlibat memohon restu agar guru mendoakan kejayaan mereka. Majlis dimulakan dengan ucapan wakil murid dari Tingkatan 3K11.

Ini diikuti dengan ucapan kaunselor sekolah, iaitu EN. ENG sebagai mewakili semua guru yang mengajar Tingkatan 3. Tuan Pengetua, En. LOH SAI HENG telah turun dari pentas, mendekati murid-murid yang bersila di dewan untuk memberi kata-kata nasihat dan perangsang untuk kesekian kalinya. Semoga mereka dapat mengamati dan menghayati setiap kata yang disampaikan itu sebagai pedoman dalam menghadapi PMR yang tinggal beberapa hari sahaja lagi.

Majlis diakhiri dengan setiap calon peperiksaan PMR menemui setiap guru yang mengajar Ting 3 untuk memohon restu agar mereka memperoleh keberkatan daripada-Nya dan saling bermaaf-maafan. Semua murid Ting. 3 beratur untuk bersalaman dan memohon restu daripada guru-guru. Semoga dengan restu yang diberikan oleh guru-guru, semua murid akan dapat menduduki peperiksaan pada 4hb. OKTOBER ini dengan penuh yakin dan tenang, seterusnya memperoleh kejayaan yang cemerlang.


LAFAZ RESTU DARIPADA GURU
"Kami berdoa dan merestui serta gunakanlah segala ilmu yang telah dicurahkan untuk mencapai kecemerlangan. Kami ikhlas mendidikmu. kami rela melepaskanmu untuk pergi berjuang berbekalkan ilmu yang telah dicurahkan. Gunakanlah sebaik-baiknya. Jawapan ada ditanganmu..buatlah yang terbaik..kerana anda adalah yang terbaik bagi kami...selamat berjuang"
Kami berharap agar semua calon PMR bersedia bukan sahaja dari segi ilmu, malah persediaan mental, emosi dan fizikal juga sangat penting. Ibu bapa perlu memainkan peranan memberi sokongan kepada mereka agar terus bermotivasi dan membuat persediaan yang secukupnya untuk menghadapi peperiksaan ini. Kami sedar, tekanan dan sasaran bukanlah jalan terbaik untuk memberi kata-kata semangat.

Sesungguhnya kami warga SMKTP sentiasa mendoakan agar calon-calon PMR tahun ini dapat menjawab soalan dengan tenang dan akhirnya memperoleh kejayaan yang cemerlang kelak. Insyaallah.

Aktiviti seterusnya ialah penyediaan bilik dan dewan peperiksaan. SMKTP yang tidak mempunyai dewan tertutup terpaksa 'membuka' 4 buah kelas untuk dijadikan dewan peperiksaan dan menggunakan banyak bilik darjah untuk menempatkan lebih kurang 450 calon PMR di dua pusat peperiksaan.... Urusan penyediaan tempat peperiksaan akan dimulakan seawal pukul 10.45 pagi pada hari Jumaat ini dan dijangka dapat diselesaikan dalam masa yang telah ditetapkan dengan kerjasama semua guru dan murid. Pada hari Isnin, 3 OKTOBER 2011, semua calon PMR 2011 diberi pelepasan.

Nampaknya penantian dan perjuangan murid menengah rendah selama tiga tahun sudah hampir sampai ke matlamatnya. Sudah tentu guru, ibu bapa, pihak PPD malah JPNP sekalipun sedang memfokuskan kepada PMR yang akan dijalankan pada 4 - 13 OKTOBER 2011 nanti.

Bagaimanakah untung nasib calon-calon PMR SMKTP ?

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN PMR KEPADA ANAK-ANAK DIDIK KAMI....


Tuesday, September 20, 2011

Sahabat dan kenangan....


TAN SHEE SHAN... seorang sahabat yang telah lama terpisah, berpisah sebaik sahaja kami menamatkan persekolahan Tingkatan 6 Atas di Maktab Sultan Ismail @ SIC pada akhir 1981... 4 tahun kami bersama di SIC, dari 1978 - 1981....

Siapa sangka, selepas 30 tahun berlalu, kami bertemu semula. Bukannya bertemu di KB, tetapi bertemu di rumah saya di Kuantan. Shee Shan yang kini bekerja dan menetap di Singapura mempunyai 2 orang cahaya mata... Tidak pernah terlintas di hati saya bahawa suatu hari saya dapat bertemu semula dengan Shee Shan, walaupun ingatan terhadapnya masih tersemat di hati setiap kali membelek album gambar-gambar lama zaman persekolahan....

Episod pertemuan ini bermula pada awal cuti penggal pertama persekolahan bulan Jun yang lepas. Hari Isnin minggu pertama saya bertugas di sekolah. Ketika saya sedang menyemak kerja kursus murid, seorang rakan guru datang berbual-bual dengan saya di bilik guru. Dari satu cerita ke satu cerita... akhirnya keluarlah cerita zaman persekolahan... Tiba-tiba rakan saya , TAN SHOU SHAN memberitahu saya bahawa dia mempunyai seorang kakak yang bersekolah di SIC, KB. Mereka adik-beradik semuanya bersekolah di KB kerana keluarganya menetap dan berniaga kedai dobi di sana. Mereka berpindah balik ke Kuantan selepas 5 tahun SHOU SHAN bertugas sebagai pendidik di KB......

Saya tertanya-tanya siapakan gerangan kakaknya itu yang sama-sama bersekolah di SIC sejak tahun 1978. Setelah beliau menyebut nama kakaknya itu, saya seperti tidak percaya... Rakan sekerja saya yang bernama TAN SHOU SHAN ini merupakan kakak kepada sahabat lama saya, TAN SHEE SHAN. Setelah hampir 6 tahun bertugas dengan SHOU SHAN di SMKTP, baru pertengahan tahun ini saya mengetahui bahawa beliau ialah adik kepada Shee Shan... betapa kecilnya dunia ini....

Mulai saat itu, saya mula berhubung dengan Shee Shan melalui telefon dan bercadang untuk bertemunya pada bulan Disember ini di Kuantan. Shee Shan biasanya akan pulang ke Kuantan 2 kali setahun menjenguk ibunya.

Pada 14hb Sept, iaitu hari Rabu lepas, Shou Shan memberitahu saya bahawa kakaknya akan balik ke Kuantan dan akan sampai pada awal pagi Khamis. Gembira tak terkata, dan saya menjemput mereka datang ke rumah saya. Khamis, sebelah malamnya, TAN SHEE SHAN muncul di muka pintu rumah saya bersama anak lelakinya, SOO dan adiknya TAN SHOU SHAN....

Lebih manis lagi, seorang sahabat lama, TAN SUAT HONG (kini, mengajar di SMK Tok Sira, Kuantan) yang sama-sama bersekolah di SIC dan juga terpisah sejak akhir 1981 turut bersama dalam pertemuan di rumah saya pada malam itu. Segala kenangan lama semasa bersekolah dulu 'terungkai' semula... sedar tak sedar, mereka beredar pulang hampir pukul 11.30 malam... dan saya menjemput mereka datang ke majlis kesyukuran dan jamuan hari raya di rumah saya pada hari Sabtu, 17hb Sept.


Pada hari Sabtu lepas , Shee Shan datang bersama ibunya, dua orang adik dan seorang anak lelakinya. Saya berasa puas hati kerana dapat menggembirakan hatinya dan dapat menghilangkan rasa 'rindu'nya terhadap masakan Melayu yang katanya susah untuk mendapatnya di Singapura.... Menurut Shee Shan, dia rindu masakan Melayu dan ini dapat mengembalikan kenangan semasa zaman persekolahannya dulu....

Shee Shan, walaupun sudah 30 tahun, tetapi beliau tidak banyak berubah. Masih comel, peramah dan lemah lembut seperti dulu....

Monday, September 19, 2011

26 tahun telah berlalu....


Sebenarnya, hari ini 19 SEPTEMBER 2011 ialah hari ulang tahun perkahwinanku yang ke-26.

Dalam meniti 26 tahun usia perkahwinan kami, saya berasa sangat beruntung dan bersyukur kerana suami seorang yang penyabar kepada saya dan anak-anak. Dia menyayangi kedua ibu bapa saya sebagaimana dia menyayangi kedua ibu bapanya dan dia menerima semua ahli keluarga saya. Begitu juga di pihak saya, saya juga menyayangi kedua ibu bapa dan keluarganya. Saya menerima mereka seadanya.

Dalam tempoh itu, pelbagai dugaan dan cabaran telah kami tempuh dalam melayari bahtera kehidupan sebagai seorang ibu dan ayah, yang mendidik anak-anak demi membentuk sebuah keluarga yang bahagia. Bahagia dunia dan akhirat. Semoga jodoh pertemuan kami berkekalan dan diberkati oleh ALLAH s.w.t hingga ke akhir hayat dan dipertemukan semula di syurga Firdaus….

Setelah 26 tahun membina mahligai bahagia, perjalanan yang perlu kami tempuh masih jauh di hadapan. Masih banyak cabaran yang perlu dilalui. Di samping merenung masa depan, sesekali aku menoleh ke belakang mengamati pengalaman 26 tahun silam.

19 September 1985 – 19 September 2011 .

Selamat ulang tahun perkahwinan kami yang ke-26. Syukur kepada Tuhan kerana masih memelihara rumah tangga ini.

Kepada suamiku, terima kasih kerana masih menerima diriku sebagaimana hari pertama aku bergelar isteri. Terima kasih yang tidak terhingga kerana membuatkan diriku sentiasa istimewa di sisimu, sentiasa sabar dengan diriku dan anak-anak. Terima kasih kerana menjadi sahabat yang paling akrab, kekasih yang sentiasa dirindui dan suami yang terus setia bersama dalam susah atau senang....terima kasih atas segala-galanya....

Segalanya bermula tanpa diduga. Segalanya ALLAH s.w.t yang tentukan, kita hanya merancang dan berdoa... Ikatan ini berawal dari hati atas nama cinta. Jalinan ini bermula dari rasa atas nama sayang. Pautan ini berasal dari angan atas nama rindu. Sesungguhnya ini adalah cinta, sayang dan rindu yang akhirnya menyatukan kami berdua...
Sejarah awal pertemuan dan seterusnya membawa kami ke alam perkahwinan sangat ringkas. Biarlah sejarah itu menjadi kenangan kami berdua dan akan tetap diingati setiap saat, tidak hanya pada hari ulang tahun perkahwinan…. Kampus biru menjadi saksi dua hati berbicara dalam rahsia....

Semasa majlis ‘berunding’ dijalankan, aku berada nun jauh di Lembah Pantai… Semuanya Papa & Mama serta keluarga sebelah suami yang uruskan, termasuk tarikh perkahwinan kami. Aku terima sahaja keputusan yang diambil… akhirnya aku dapat tahu bahawa tarikh pernikahan ditetapkan pada 19-09-1985 – sama dengan tarikh ulang tahun kelahiranku yang ke-23 tahun... Papa & Mama akan menerima menantu pertama dalam keluarga untuk puteri mereka yang kedua...

Kami sedar, berkahwin dalam usia muda banyak cabarannya. Sesungguhnya, apa yang penting dalam perkahwinan ialah bagaimana suami isteri itu akan melayari bahtera kehidupan berkeluarga. Ia bukan tanggungjawab satu pihak sahaja. Kedua-duanya ada peranan masing-masing. Anak-anak merupakan buah dari cinta dan kasih sayang sepasang suami isteri yang datang bersama amanah yang terpikul di bahu.

Pernikahan bukan sekadar menghalalkan yang haram tetapi ia lebih daripada itu.

"...Melihat perkahwinan sebagai medan untuk MEMBERI, akan menjadikan kita lebih memikirkan soal PERANAN dan bukannya HAK yang tidak berkesudahan..."

Perkahwinan datang bersama dengan tanggungjawab yang mesti digalas di bahu, saling melengkapi dan saling memerlukan antara satu sama lain....
Sedar tak sedar, kini sudah 26 tahun kami hidup bersama sebagai suami isteri; dikelilingi oleh 3 orang permata hati, MOHD FARIS, MOHD FAHMI & SITI NADIAH yang telah melengkapkan hidup kami sekeluarga.…

Hadiah istimewa menjelang ulangtahun perkahwinan kami yang ke-26 ialah, kami menerima seorang ahli baru - menantu pertama dalam keluargaku - menantu cucu pertama untuk Papa dan Mama.... Sejarah 26 tahun yang lalu berulang kembali apabila anakanda kedua kami MOHD FAHMI NAIN selamat diijabkabulkan dengan gadis pilihan hatinya NURUL AINA AWANG pada 2 SEPTEMBER 2011....
Ya Allah, berkatilah kehidupan keluarga kami. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus dan jalan yang KAU redhai. Amin.


Thursday, September 8, 2011

Tentang Hati....


HATI itu tamsilnya kerikil-kerikil yang keras atau barangkali seperti kerak nasi. Tidakpun, laksana serbuk kopi, lebih teruk bak belakang kuali yang hitam berkarat. Atau mungkin seumpama kapas yang putih bersih.

Kalau sudah jadi kerikil, payahlah. Kalau baru melekat di belakang kuali masih dapat dikikis sebelum berkarat dan likat. Alangkah indahnya kalau hati seputih salji atau sehalus dan sesuci kapas di pokok yang belum jatuh ke tanah.

Hati manusia yang paling payah untuk dipimpin sebab hati manusia sentiasa berbolak balik.

Berdoalah setiap masa supaya hati kita sentiasa bersih, putih dan bercahaya dan tidak bolak balik. Nescaya semua pekerjaan menjadi baik belaka.

Friday, September 2, 2011

September Oh September....

Terkenang lagu SEPTEMBER yang dinyanyikan oleh biduanita Sharifah Aini sekitar awal 1970-an:

"Kumasih ingat perkenalanku di bulan.. September... September..."

Sesungguhnya, September merupakan bulan merayakan beberapa hari istimewa dalam keluargaku.

Paling istimewa, pada tahun ini kami menerima ahli baru dalam keluarga. Hari ini, 2 Syawal 1432, bersamaan 2 September 2011, putera keduaku MOHD FAHMI NAIN telah melangsungkan perkahwinan dengan gadis idaman hatinya NURUL AINA AWANG, yang diperkenalkan kepada kami berdua, bonda dan ayahandanya pada 10.10.10.... Satu sejarah tercipta dalam keluarga HJ JUSOH DAUD dan HJH CHE HALIMAH CHE YUSOFF kerana ini merupakan majlis perkahwinan pertama cucu Papa dan Mama.

Bermulalah satu fasa baru dalam hidup kami sekeluarga....

September... sebagaimana tahun-tahun sebelum ini, banyak hari istimewa yang diraikan....

09 SEPTEMBER, Natasha Alia genap usia 17 tahun. Natasha Alia, puteri sulung kepada Norbanilawatey Jusoh & Sahazali Awang Deraman, dilahirkan HKL sebelum dibawa balik ke kampung yang permai dan indah - dalam daerah Kota Jelasin, Tanah Serendah Sekebun Bunga, di Negeri Cik Siti Wan Kembang. HAPPY BIRTHDAY ALONG TASHA. Semoga Along Tasha akan memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam SPM nanti dan mencipta sejarah tersendiri di SABDA. Doa Cik La agar Along Tasha akan menjadi seorang anak yang berjaya dunia dan akhirat, bertanggungjawab dan lebih matang menghadapi segala dugaan hidup...

Pada 14 SEPTEMBER, adik iparku SAHAZALI B. AWANG DERAMAN akan menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke- .... ?

Tambah manis lagi, pada 19 SEPTEMBER ini bertambah lagi usiaku - setahun lagi menjangkau setengah abad...! Pada tarikh ini juga 26 tahun yang lalu aku telah disahkan menjadi suri hidup kepada insan yang tersayang setelah beberapa musim menyemai kasih dan menganyam rindu. Cepatnya masa berlalu. Melewati suku abad rupa-rupanya kami bersama mengharungi pahit manis, duri & ranjau hidup menuju jalan pulang ...

21 SEPTEMBER pula adik bongsu kami, Ratna Idayu akan menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-26 tahun. Dilahirkan 2 hari selepas Papa & Mama 'bekwah' kahwinkan anak perempuan keduanya buat julung-julung kali dalam keluarga kami pada tahun 1985.

23 SEPTEMBER, seorang lagi adik iparku yang ke-3, pasangan kepada MELISA KAMELIA akan menyambut hari ulangtahun kelahirannya yang ke- ..... ?

...saat-saat manis yang sangat indah untuk dikenang.... diraikan bersama keluarga....