CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, September 28, 2011

MAJLIS RESTU ILMU....

Minggu depan, atau lebih tepat lagi pada 4 OKTOBER 2011, iaitu hari SELASA, peperiksaan PMR akan bermula.

Hari-hari terakhir sebelum PMR, suasana di sekolah agak sibuk. Hari ini ada beberapa aktiviti berlangsung di sekolah, iaitu Majlis Restu Ilmu, Majlis Solat Hajat dan persiapan dewan serta bilik peperiksaan. Dalam pada itu, program intensif untuk calon PMR 2011 tetap diteruskan seperti yang dijadualkan.

Majlis Restu Ilmu telah diadakan pagi tadi sebaik sahaja selesai perhimpunan Mingguan Kokurikulum. Lebih kurang pukul 8.05 pagi bertempat di dewan yang sama, bermulalah Majlis Restu Ilmu untuk calon PMR 2011. Tujuan majlis ini diadakan adalah untuk memberi peluang kepada semua murid yang terlibat memohon restu agar guru mendoakan kejayaan mereka. Majlis dimulakan dengan ucapan wakil murid dari Tingkatan 3K11.

Ini diikuti dengan ucapan kaunselor sekolah, iaitu EN. ENG sebagai mewakili semua guru yang mengajar Tingkatan 3. Tuan Pengetua, En. LOH SAI HENG telah turun dari pentas, mendekati murid-murid yang bersila di dewan untuk memberi kata-kata nasihat dan perangsang untuk kesekian kalinya. Semoga mereka dapat mengamati dan menghayati setiap kata yang disampaikan itu sebagai pedoman dalam menghadapi PMR yang tinggal beberapa hari sahaja lagi.

Majlis diakhiri dengan setiap calon peperiksaan PMR menemui setiap guru yang mengajar Ting 3 untuk memohon restu agar mereka memperoleh keberkatan daripada-Nya dan saling bermaaf-maafan. Semua murid Ting. 3 beratur untuk bersalaman dan memohon restu daripada guru-guru. Semoga dengan restu yang diberikan oleh guru-guru, semua murid akan dapat menduduki peperiksaan pada 4hb. OKTOBER ini dengan penuh yakin dan tenang, seterusnya memperoleh kejayaan yang cemerlang.


LAFAZ RESTU DARIPADA GURU
"Kami berdoa dan merestui serta gunakanlah segala ilmu yang telah dicurahkan untuk mencapai kecemerlangan. Kami ikhlas mendidikmu. kami rela melepaskanmu untuk pergi berjuang berbekalkan ilmu yang telah dicurahkan. Gunakanlah sebaik-baiknya. Jawapan ada ditanganmu..buatlah yang terbaik..kerana anda adalah yang terbaik bagi kami...selamat berjuang"
Kami berharap agar semua calon PMR bersedia bukan sahaja dari segi ilmu, malah persediaan mental, emosi dan fizikal juga sangat penting. Ibu bapa perlu memainkan peranan memberi sokongan kepada mereka agar terus bermotivasi dan membuat persediaan yang secukupnya untuk menghadapi peperiksaan ini. Kami sedar, tekanan dan sasaran bukanlah jalan terbaik untuk memberi kata-kata semangat.

Sesungguhnya kami warga SMKTP sentiasa mendoakan agar calon-calon PMR tahun ini dapat menjawab soalan dengan tenang dan akhirnya memperoleh kejayaan yang cemerlang kelak. Insyaallah.

Aktiviti seterusnya ialah penyediaan bilik dan dewan peperiksaan. SMKTP yang tidak mempunyai dewan tertutup terpaksa 'membuka' 4 buah kelas untuk dijadikan dewan peperiksaan dan menggunakan banyak bilik darjah untuk menempatkan lebih kurang 450 calon PMR di dua pusat peperiksaan.... Urusan penyediaan tempat peperiksaan akan dimulakan seawal pukul 10.45 pagi pada hari Jumaat ini dan dijangka dapat diselesaikan dalam masa yang telah ditetapkan dengan kerjasama semua guru dan murid. Pada hari Isnin, 3 OKTOBER 2011, semua calon PMR 2011 diberi pelepasan.

Nampaknya penantian dan perjuangan murid menengah rendah selama tiga tahun sudah hampir sampai ke matlamatnya. Sudah tentu guru, ibu bapa, pihak PPD malah JPNP sekalipun sedang memfokuskan kepada PMR yang akan dijalankan pada 4 - 13 OKTOBER 2011 nanti.

Bagaimanakah untung nasib calon-calon PMR SMKTP ?

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN PMR KEPADA ANAK-ANAK DIDIK KAMI....


0 comments: