Wednesday, January 29, 2014

27 TAHUN YANG BERLALU


Kenangan 29 JANUARI 1987....

Setiap kali menjelang Tahun Baharu Cina yang jatuh pada akhir Januari, ingatan pasti singgah pada kenangan 27 tahun yang lalu.  Dalam tempoh 27 tahun dari 1987 - 2014, Tahun Baharu Cina bermula seawal 22 Januari (2004) dan paling lewat pada 19 Februari (1996).  Dalam tempoh tersebut, Tahun Baharu Cina yang jatuh pada 4 hari terakhir bulan Januari (antara 28 - 31hb) adalah pada tahun-tahun berikut :



TAHUN
TARIKH
1987
29 Januari
1995
31 Januari
1998
28 Januari
2006
29 Januari
2014
31 Januari


Masih segar dalam ingatan saya,  pada pagi cuti umum sempena Tahun Baharu Cina 1987 kami dikejutkan dengan berita pemergian Ayahanda Mentua, MAMAT BIN TAHIR @ Tok Ngulu Pok Mat atau kami anak cucu memangilnya dengan Che' Pok Mat.  Che' kembali ke rahmatullah beberapa bulan selepas menjalani pembedahan membuang kaki kirinya sehingga paras betis akibat diabetes yang dialami sejak usia mudanya.  

Che' pergi ke alam abadi mengadap Penciptanya dengan tenang di pangkuan Mek pada dini hari  29 JANUARI 1987  yang dingin dan sunyi, tanpa anak-anak di sisi...Ketika itu, kami bersama putera sulung, MOHD FARIS NAIN yang baru berusia 6 bulan dan seorang pembantu rumah, Kak Moh menetap di Taman Seri Pengkalan Chepa berhadapan dengan Lapangan Terbang Sultan Ismail, KB;    Arwah Abg Aziz & Arwah Kak Tie sekeluarga menetap di KL; Abg Mie & Kak Ju sekeluarga di Felda Sebertak, Pahang; Pok Teh & Inie sekeluarga di Tampin; Aynun yang baru lebih kurang 2 bulan mendirikan rumah tangga berada di Pdg Mandul, dalam daerah Tumpat...dan Arwah Kak Mah sekeluarga yang tinggal di seberang jalan Market Square Bt. 8 hanya beberapa meter sahaja dari rumah Che' pun tidak sempat bersama Che' pada detik-detik akhir hayatnya.  

Inilah ketentuan daripada-Nya yang telah tercatat di Luh Mahfuz dan kami semua redha dengan takdir ini. 

Menurut cerita Mek, beberapa petang sebelumnya, Che' masih sempat bersiar-siar di pekarangan Market Square Bt. 8 dengan kerusi rodanya.  Kadang-kala ditemani oleh cucundanya, Idi.  
 
Che' Pok Mat ketika masih sihat
Sebenarnya, pada pagi itu kami sedang bersiap-siap untuk balik bertemu Che' dan Mek yang telah sebulan tidak dijenguk.   Kesibukan tugas dalam beberapa minggu pertama awal tahun 1987,  tidak mengizinkan kami untuk mencuri masa balik menjenguk Che' dan Mek.   

Sehari sebelum itu, saya balik ke rumah Mama di Kg Kota selepas sekolah kerana pada cuti  umum sempena TBC kami berhajat untuk balik ke Bt. 8 Batang Merbau,Tanah Merah untuk menemui Mek dan Che' yang telah sebulan tidak ditemui.  Dalam perjalanan pulang dari Kota ke Pengkalan Chepa, saya menyatakan hasrat saya kepada suami untuk membawa Che' bermalam di rumah kami buat seketika bertukar angin.  

Che' menghabiskan banyak waktunya kedai makan milik Kak Mah

27 tahun yang lalu, pada hari cuti umum sempena TBC itu, ketika pagi masih awal lagi,  tiba-tiba kami mendengar salam daripada seseorang dan saya amat mengenali suara itu.   Papa.  Hati tertanya-tanya mengapakah Papa datang pada waktu begini.  Pasti ada berita penting untuk disampaikan.  Ketika itu, rumah kami belum ada telefon untuk dihubungi kerana masih dalam proses mendapatkan talian pemasangan.  Papa hadir pada pagi yang dingin itu dengan satu berita yang payah untuk diterima.   Berita pemergian Che' dimaklumkan kepada Papa oleh keluarga di Bt. 8 melalui telefon rumah di Kota.   

Hasrat yang tersimpan untuk membawa Che' ke rumah kami di PC itu hanya tinggal impian, terus terpendam tidak kesampaian dan pastinya akan diingati sampai bila-bila setiap kali menjelang akhir JANUARI....Al-fatihah.  
 
beberapa bulan terakhir sebelum pemergian Che'
Kali terakhir kami bertemu Che' adalah pada 25hb Disember 1986.  Ketika itu, Che' sedang dirawat di hospital Daerah Tanah Merah kerana diabetes.  Keluar masuk hospital merupakan rutin Che' setiap tahun.  Kami sempat berbual-bual tetapi tidak lama kerana keadaan di dalam wad tidak mengizinkan kami berlama-lama.  Abe yang baru berusia 6 bulan ditinggalkan di luar wad bersama-sama Kak Moh.   

Kini, 27 tahun sudah berlalu.  Menurut Mek, Che' dipanggil Ilahi ketika usianya mencecah pertengahan 50'an, agaknya dalam lingkungan 56 atau 57 tahun.  Menurut Mek, usia Che' ketika itu baru melepasi usia persaraan sekiranya Che' bekerja sebagai kakitangan kerajaan.  Ketika itu, saya baru setahun lebih menjadi menantu Che'. 

Mek bersama 4 drp 8 orang cucunya ketika itu, beberapa bulan selepas pemergian Che'
Che' pergi meninggalkan Mek, 2 orang puteri dan 4 orang putera yang semuanya sudah berkeluarga; serta 8 orang cucu yang masih kecil, iaitu  Pira, Idi, Ani, Epi, Adah, Zila, Abe, dan Sarah yang ketika itu baru melepasi usia satu bulan.  Pada tahun 1987 juga, selepas beberapa bulan kembalinya Che' menemui Ilahi, lahirlah Emi, Tihah dan Muiz.  

Kenangan istimewa saya bersama Che' ialah, Che' hadir pada hari konvokesyen bakal menantunya ini pada 10 OGOS 1985 dan kami sempat bergambar kenangan bersama Papa di dataran DTC, UM.   Saya menjadi ahli keluarga Che' secara rasmi pada 19 SEPTEMBER 1985. 

Che' berkain pelekat di Dataran DTC, UM - 1985

di pusara Che' satu dekad selepas pemergiannya...

Mek pula yang bertahun-tahun dalam kerinduan dan kesunyian, menyusul pemergian Che' ke destinasi abadi pada 2 MEI 2013 ketika rakyat Malaysia bersiap-siap untuk keluar menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi dalam PRU ke-13.   Al-fatihah buat Che' dan Mek.

Mek mengayam rindu buat yang tersayang nun jauh di mata....






Monday, January 27, 2014

Raya Cina, Atuk dan Kuih Bakul

Tinggal beberapa hari sahaja lagi masyarakat Tionghua di seluruh dunia akan menyambut Tahun Baharu Cina atau dalam perbualan biasa, kami sebut sebagai "Raya Cina". 

Tahun Baharu Cina merupakan perayaan terpenting orang Cina bagi menyambut tahun baharu dalam kalendar qamari Cina. Kalendar qamari Cina terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama haiwan. Tahun 2014, atau tahun 1412 dalam kalendar qamari Cina merupakan Tahun Kuda.


Hari cuti raya Tahun Baharu Cina, merupakan antara hari raya masyarakat bukan Islam yang paling meriah. Tahun Baharu Cina merupakan sambutan kebudayaan ataupun bangsa, bukannya sambutan hanya satu-satu agama. Oleh itu, semua masyakarat berketurunan Cina akan meraikan perayaan ini tanpa mengira agama.

Menurut Wikipedia, "Gong xi fa cai" (Tulisan Cina Tradisional: 恭喜發財; Tulisan Cina Ringkas: 恭喜发财; pinyin: gōngxǐ fācái; Bahasa Kantonis (Yale): gūnghéi faatchòih; bahasa Hokkien (POJ): Kiong-hí hoat-châi; bahasa Hakka: Kung hei fat choi), yang diterjemah sebagai "Tahniah dan semoga mendapat rezeki" atau “Selamat Bertambah Kaya”....


Bagi masyarakat Cina, Tahun Baharu Cina melambangkan permulaan; titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baharu bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul. Rumah akan dicuci dan dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau. Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru. Acara terbesar pada malam Tahun Baharu Cina ialah ‘makan besar’ atau jamuan pertemuan semula. Bagi masyarakat Cina, makan besar cukup signifikan kerana semua anggota keluarga baik yang jauh mahupun dekat, akan kembali untuk mengeratkan talian perhubungan sesama keluarga di samping menikmati juadah-juadah lazat seperti ayam, ikan, itik, sup sirip ikan yu dan sayur-sayuran kemakmuran (prosperity vegetables).

Selain ‘makan besar’, Tahun Baharu Cina diraikan dengan jamuan yee sang dan kuih bakul. Golongan muda pula akan melawat golongan tua dan menerima wang ang pau dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik, yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada mereka yang masih belum kahwin. Perarakan tarian naga atau singa akan diadakan, dengan kereta berhias yang diiringi bunyi gendang. Lima belas hari selepas perayaan Tahun Baru Cina, perayaan Tahun Baru Cina ditamatkan dengan perayaan Chap Goh Mei.


Setiap kali menjelangnya “Raya Cina” nostalgia zaman kanak-kanak kembali mengisi memori tanpa sedar… Minggu-minggu terakhir sebelum “Raya Cina”, Atuk akan membawa balik banyak buah limau mandarin dan kuih bakul yang dihadiahkan oleh kawan-kawannnya di sekitar bandar Kota Bharu. Atuk yang dikenali sebagai Tok Mandur Daud, mempunyai ramai kenalan dalam kalangan masyarakat Cina kerana sejak zaman Jepun lagi Atuk merupakan seorang mandur Majlis Bandaran Kota Bharu (kini MPKB) yang dihormati dan dikenali ramai.
Atuk Tok Mandur Daud - HJ DAUD B. TAIB

Kuih bakul yang Atuk bawa balik ada yang dibalut dengan daun pisang dan ada yang berbalutkan plastik lutsinar nipis. Disebabkan banyak sangat, kami agak memilih… pilih yang enak-enak sahaja… kuih bakul itu akan dipotong menjadi kepingan sebelum dimakan… Kuih bakul ini tahan lama walaupun tidak disimpan di dalam peti ais…!



Kuih bakul, nian gao atau kuih Tahun Baharu Cina merupakan kuih yang terkenal dalam masyarakat Cina. Sungguhpun boleh dimakan pada bila-bila masa, secara tradisi kuih ini paling laris dimakan ketika sambutan Tahun Baharu Cina. Bagi masyarakat Cina, kuih bakul dipercayai membawa tuah kepada si pemakan pada hari perayaan ini kerana "nian gao" juga membawa erti "makin tahun makin tinggi."

Kuih bakul mempunyai pelbagai jenis, namun begitu ramuan utamanya ialah pulut. Pulut dikisar dan diacu mengikut kehendak atau boleh dimasak semula dengan menambahkan ramuan atau bahan-bahan lainnya. Kuih bakul yang biasa saya makan dahulu ialah jenis yang manis, dimaniskan dengan gula hitam, dengan warna kuning tuanya yang menonjol. 

Dahulu, orang-orang Melayu Kelantan mahir membuat kuih bakul yang sememangnya digemari oleh semua lapisan masyarakat di sana. Menurut Atuk, banyak pantang larangnya untuk membuat kuih bakul ini dan proses mengukus kuih bakul juga mengambil masa yang lama, iaitu sehingga 8 jam. Kini, sudah lama saya tidak merasai keenakan kuih bakul...

Kepada rakan taulan dan anak-anak didikku (termasuk bekas murid di SMKTM & di SMKTP) yang berbangsa Tionghua, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan "Gong xi fa cai", semoga kedatangan Tahun Kuda ini akan membawa lebih banyak kemakmuran, bukan sahaja kepada penduduk bahkan juga kepada negara…

Friday, January 17, 2014

Monday, January 13, 2014

Memperingati 12 Rabiulawal Tahun Gajah...


Alhamdulillah, sudah lebih seminggu kita berada di bulan Rabiul Awal, satu bulan yang sangat signifikan dan bersejarah kepada kita… Esok, 12 Rabiulawal 1435 bersamaan 14 JANUARI 2014 merupakan hari cuti umum di seluruh negara sempena sambutan Maulidur Rasul.  

Sesungguhnya, pada 12 Rabiulawal Tahun Gajah telah berlaku peristiwa Aminah binti Wahab memputerakan junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW… yang telah mengubah seluruh peradaban manusia.

Peristiwa ini disambut dan dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia. Di Malaysia, kita juga meraikan detik-detik bersejarah dan bermakna ini dengan cara kita sendiri dan dimewartakan sebagai cuti umum pada hari tersebut. Kita juga mengisi bulan ini dengan pelbagai aktiviti keagamaan.

Sebenarnya, acara sambutan Maulidur Rasul ini tidak boleh dianggap sebagai satu upacara ibadat khusus, tetapi tujuan kita mengadakannya tidaklah dapat dinafikan mempunyai pengertian yang besar dan penting, kerana dalam upacara memperingati Maulidur Rasul ini kita dapat mengimbas kembali sejarah hidup dan perjuangan Rasulullah s.a.w yang penuh dengan contoh dan teladan sebagaimana yang digambarkan oleh al-Quran dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud:

"Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu mereka yang mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik di hari akhirat kelak serta sering menyebut dan mengingati Allah dengan sebanyak-banyaknya."

Sempena Maulidur Rasul yang bakal tiba esok, saya ingin berkongsi pengetahuan daripada satu artikel yang pernah saya baca,(tetapi lupa sumber asalnya) - artikel yang bertajuk "Rahsia Keistimewaan Di Sebalik Kelahiran Rasulullah SAW" diolah semula untuk santapan jiwa kita semua.

Semoga maklumat yang dikongsikan ini membuatkan kita lebih CINTA dan SAYANG akan RASULULLAH SAW dan berasa lebih hampir kepada Baginda. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penyumbang asal artikel ini...

Seperti yang kita semua ketahui, Rasulullah SAW dilahirkan sebelum subuh hari Isnin 12 Rabiulawal tahun Gajah. Setiap perkara atau peristiwa yang dijadikan Allah SWT itu pasti ada hikmahnya. Rasulullah SAW telah terlalu banyak berkorban dan berjuang dalam menegakkan agama Islam yang kita anuti sekarang. Oleh itu, kita harus banyak bersyukur dengan hasil perjuangn Baginda SAW, kerana sehingga hari ini kita masih mampu hidup dalam keadaan aman dan makmur.

PERTAMA :
Rasulullah SAW dilahirkan pada hari ISNIN. Makna Isnin ni bukan hanya kebetulan. Allah SWT tidak akan menjadikan sesuatu itu sesuka hati, bahkan sebesar habuk pun mesti ada yang tersirat. Pada masa Nabi Muhammad SAW dilahirkan, DUA sahaja yang betul-betul kenal akan Tuhan, iaitu Tuhan dan Nabi Muhammad SAW. Allah SWT kenal diri sendiri, selain itu, hanya Rasulullah SAW sahaja yang kenal akan Tuhannya, sebab itulah Rasulullah dilahirkan pada hari Isnin. Oleh sebab itu, sesiapa yang ingin memeluk agama Islam, DUA ini wajib disebut, kalau tidak, maka tak sahlah Islamnya. Ini simboliknya, ini isyarat daripada Allah SWT.


KEDUA :
Rasulullah s.a.w dilahirkan pada Rabiul Awal. Maksud rabi ialah awal musim bunga. Ini perkataan tersirat. Robi itu bunga, akhlak yang agung itu umpama bunga.

KETIGA :
Mengapa 12 Rabiulawal? Angka 12 ini kalau rujuk kepada malam, pukul 12 malam ini ialah kemuncak kegelapan. Maksudnya, waktu Rasulullah SAW dilahirkan, dunia 'gelap' dengan kezaliman dan kesusahan, dengan kerosakan dengan maksiat. Segala perkara negatif berada di tahap puncak

KEEMPAT :
Jika pukul 12 itu dirujuk kepada siang, itupun simbolik juga. Kedatangan Rasulullah SAW membawa cahaya, ertinya membawa rahmat daripada Allah SWT untuk segala alam, bukan sahaja manusia, tetapi juga termasuk binatang, kayu kayan dan alam seluruhnya. Oleh sebab itu, ajaran Rasulullah SAW menyeru manusia agar tidak menyiksa atau mencacatkan bukan sahaja terhadap binatang, bahkan juga terhadap benda-benda yang tak bernyawa. Sebagai contoh, kayu-kayan kalau kita tetak, kita potong, kita akan ditanya oleh Allah SWT kemudian nanti. Seketul batu yang kita ambil akan ditanya oleh Allah SWT tujuan kita mengambil batu tersebut. Itulah yang dikatakan bahawa Rasulullah SAW membawa cahaya sehingga benda-benda yang tidak bernyawa juga mendapat pembelaan dan manusia tidak boleh berbuat sesuka hati.

KELIMA :
Seterusnya, kalimah 12 kalau dirujuk pada bulan, kemuncak bulan. Lepas bulan 12, akan jadi bulan 1...menurun balik. Jadi, simboliknya di sini ialah, Allah SWT lahirkan Rasulullah SAW sebagai kemuncak Rasul. Kalau Rasul-rasul terdahulu, mereka datang hanya untuk satu kelompok dan satu zaman, namun kedatangan Rasulullah untuk semua etnik di bawahnya.

KEENAM :
Kalau 12 merujuk kepada bintang, ada bintang 12... bintang 12 ini merupakan bintang paling cerah berbanding bintang yang beribu banyaknya. Ertinya, kelahiran Rasulullah SAW membawa syariat yang lengkap, membawa petunjuk yang lengkap, membawa rahmat yang lengkap dari dunia sampai ke akhirat. Ajaran Baginda paling sempurna dibandingkan ajaran-ajaran rasul sebelumnya.

KETUJUH :
Kemudian, Rasulullah SAW dilahirkan pada TAHUN GAJAH. Allah menjadikan peristiwa GAJAH ini sebagai satu tarikan atau untuk perhatian. Di sebalik GAJAh itu ada cerita yang orang tidak faham....

Sebelum Rasulullah SAW lahir, datang tentera bergajah dari Yaman yang diketuai oleh Abrahah. Tujuannya adalah untuk meruntuhkan Kaabah, kerana mereka sakit hati umat manusia berkiblat ke Kaabah. Abrahah membawa tentera bergajah. Orang Arab jarang-jarang melihat gajah, maka peristiwa ini menjadikan masyarakat Arab gempar.

Banyak orang tidak perasan bahawa Allah ingin tunjukkan sesuatu... niat Abrahah ingin runtuhkan Kaabah, di samping itu segala kambing di Mekah akan dirampas, termasuk kambing Abu Talib dan Abd Mutalib. Apabila kambingnya diambil, maka keluarlah Abd Mutalib berjumpa dengan Abrahah, meminta agar dikembalikan semua kambingnya itu kerana menurut Abd Mutalib, itu merupakan hartanya. Abd Mutalib menyatakan lagi bahawa Kaabah itu bukan miliknya, tetapi kepunyaan Allah SWT.

Daripada kata-kata Abd. Mutalib itu, terbukalah rahsia, iaitu keluarga Rasulullah masih berpegang kuat dengan agama Nabi Ibrahim. Jadi, di sebalik cerita gajah ini, Allah SWT ingin beritahu dunia betapa bersihnya keturunan Rasulullah SAW, datuk nenek Rasulullah SAW, mereka beragama dengan agama Nabi Ibrahim.

Itulah antara simbolik yang terjadi pada kelahiran Rasulullah SAW di sebalik 12 Rabiulawal, sebelum subuh tahun Gajah.

Sempena Maulidur Rasul yang akan tiba esok, marilah kita sama-sama memperbanyak SELAWAT kepada Nabi Muhammad SAW. Semoga bacaan SELAWAT atas NABI yang kita baca itu akan diterima oleh ALLAH SWT sebagai amalan soleh. Amin.


“Sesungguhnya Allah dan para malaikat berselawat ke atas Nabi s.a.w. Wahai orang-orang yang beriman hendaklah kamu berselawat ke atas Nabi dan mengucapkan salam kepadanya sebenar2 salam.”(Al-Ahzab: 56)

Rasulullah s.a.w bersabda: “Hinanya manusia yang mana disebut namaku disisinya tetapi dia tidak berselawat kepadaku.”(Hr Muslim)

SELAMAT MENYAMBUT MAULIDUR RASUL…. 

Foto : Maulod Nabi - tempat kelahiran Rasulullah s.a.w. yang terletak di Kg Suqul Lail, Makkah yang jaraknya hanya 150 meter dari Masjidil Haram, arah depan pintu Babussalam....yang kini didirikan gedung perpustakaan....

Sunday, January 12, 2014

muhasabah diri sempena Maulidur Rasul 1435

 
MAULOD NABI



 Sama-samalah kita hayati nukilan bait-bait puisi daripada Dr. Zaha ini...


"Wahai Rasulullah,

Tika ini, jika engkau hadir bertamu,

Mungkin mengalir deras airmatamu,


Dek kesayuan mengenang umatmu,

Terlalu jauh dari Allah dan risalahmu,




Wahai Rasulullah,

Nafsu kini menjadi tuhan,

Harta dan pangkat menjadi sembahan,

Melalaikan segala arahan & janji ketuhanan,

Ibadah dirasa berat tidak tertahan,

Al Quran bukan lagi panduan kehidupan.




Wahai Rasulullah,

Kedamaian rumahtangga semakin hancur,

Sikap curang semakin subur,

Peranan ibubapa kian gugur,

Ketaatan anak-anak turut melebur,




‘Barah' di dalam keluarga menjadi parah,

Akibat solat yang tiada berarah,

Amat jauhlah keikhlasan ibadah




Wahai Rasulullah,

Kami tidak mahu lupai jasa & kesukaranmu,

Namun ramai mendustakan ajaranmu,

Harta kini lebih dicintai dari cintamu,

Cinta Allah & Rasul menjadi lafaz kaku,

Seperti khayalan yang nyata palsu,



Wahai Rasulullah,

Dosa kami ibarat lautan tidak berpenghujung,

Namun dirasa umpama lalat di hujung hidung,

Hinggapnya hanya sebentar,

Bila ditepis ia tidak lagi berkunjung...




Taubat kami kurang kekesalan,

Tiada penghayatan, tiada keinsafan

Hati kian berkarat, dipenuhi dosa tanpa Nur Tuhan,

Anehnya, kami masih merasa layak ke syurga idaman,




Wahai Rasulullah,

Aurat wanita tercemar kian,

Berbangga ditayang & dihias berlebihan,

Ditagih penghargaan dan kalam pujian,

Tidak dipeduli murka Tuhan,

Bapa & suami dayus suatu kebiasaan,

Cuaikan amanah ketua keluarga lantikan tuhan,




Wahai Rasulullah,

Bersamamu, kami merindui kehidupan,

Namun adakah diri ini punyai kelayakan,

Dibanding sahabat, tabien & solihin yang beriman,

Dimanakah tempat kami di sisi insan kesayangan Tuhan,

Dipohon syafaatmu duhai kekasih pilihan,



Wahai Rasulullah,

Belas Allah kami harapkan,

Moga , tatkala menjelang kematian,

Jiwa yang sejahtera dapat kami hamparkan".




Nukilan

Dr. Zaharuddin Abd Rahman

Friday, January 3, 2014

Selamat Ulang Tahun Kelahiran, Jan's....





MUTIA ANGGEREK BT. JUSOH

AIN FEETREYNNA BT. MD ZAINUDDIN

SITI NUR AISYAH BT. ISMAIL

DR. HANIAH BT. YUSOF

SHAWATUL NAJWA BT. SAHAZALI




Tahun baharu, bulan baharu, usia juga baharu.

Januari meraikan ulang tahun kelahiran lima orang ahli keluarga terdekat.


Pembuka tirai tahun ini ialah adinda MUTIA ANGGEREK, puteri ke-6 HJ JUSOH DAUD & HJH CHE HALIMAH CHE YUSOFF yang akan menyambut ulang tahun kelahiran hari ini, JUMAAT, 3 JANUARI 2014....


Buat Adinda Anggerek,
Masih segar dalam ingatan, saat adinda Anggerek hadir dalam keluarga kita 3 dekad yang lalu.  Ketika itu Kak La masih menuntut di Lembah Pantai dan sedang bergelut untuk menghadapi peperiksaan akhir Tahun Pertama sesi 1982/1983. Cepatnya masa berlalu meninggalkan kita. Semoga adinda Anggerek terus cemerlang dalam kerjaya dan sentiasa ceria menempuh perjalanan hidup yang penuh dengan ujian ini....


Tahun ini bertambah seorang lagi ahli keluarga yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran pada bulan JANUARI.  Anakanda SITI NUR AISYAH yang telah menjadi sebahagian daripada keluarga kita bermula pada Februari 2013 akan menyambut ulang tahun kelahirannya pada 18 JANUARI nanti.





 Tidak lupa juga, ucapan ini ditujukan kepada adik sepupu merangkap rakan sepermainan tatkala zaman kanak-kanak,  DR. HANIAH YUSOFF yang lebih dikenali dengan Kak Chek Ani, nama manjanya dalam kalangan keluarga kami. Kak Chek Ani akan menyambut ulang tahun kelahirannya pada 21hb JANUARI 2014...


 23 JANUARI pula merupakan hari ulang tahun kelahiran buat anakanda saudara, AIN FEETREYNNA. puteri kepada ROSLENA JUSOH & MD ZAINUDDIN.


Anakanda SHAWATUL NAJWA pula akan meraikan ulang tahun kelahiran pada 30 JANUARI nanti sebelum tirai bulan pertama tahun 2014 dilabuhkan...





SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN KELAHIRAN, SEMUA.  SEMOGA KALIAN SENTIASA BERADA DALAM PERLINDUNGAN DAN KASIH SAYANG ALLAH s.w.t.





Thursday, January 2, 2014

2 JANUARI 2014.... SELAMAT PAGI SMK TANAH PUTEH.... Ingatan kepada diri...


Pagi ini saya menapak ke sekolah dengan penuh semangat.  Semangat yang dibawa bersama sejak 28 tahun yang lalu setelah bergelar seorang pendidik.   



Hujan renyai-renyai mengiringi warga SMKTP ketika berkumpul di dewan.   Perhimpunan rasmi pertama sesi 2014 berlangsung di Dewan Sekolah yang sudah berwajah baharu dalam hujan yang renyai-renyai yang sekali-sekala agak lebat, sedikit pun tidak menghalang kelunakan suara Tuan Pengetua En. Chan Kok Wai dan GPK HEM En. Wan Ahmad Samsuddin daripada menerobos deria dengar anak-anak didik yang tekun memasang telinga.  


Semoga amanat yang disampaikan pagi tadi dapat dihayati oleh anak-anak didik kita demi kejayaan SMKTP pada tahun 2014 ini.




Biarlah kita mulakan hari pertama dan seterusnya dengan ikhlas.  Semua perkara akan menjadi susah sekiranya kita tidak melakukannya dengan ikhlas.  Sekiranya kita melakukan sesuatu perkara dengan ikhlas, setiap perkara yang dianggap sukar oleh orang lain, tetap mudah bagi kita.  Sekiranya kita ikhlas melakukan sesuatu perkara, kita pasti akan melakukannya dengan bersungguh-sungguh dan penuh bersemangat. Oleh itu dahulukan keikhlasan dalam melakukan sesuatu perkara.
sumber : "Gurukah Aku Atau..." - Pn. Norbi Husin

Tahun baharu 2014 bermakna sudah masuk tahun ke-9 saya di SMK Tanah Puteh.  Cepatnya masa berlalu meninggalkan kita.  Semoga SMKTP akan terus meninggalkan kenangan indah dalam perjalanan kerjaya saya....

Pagi ini saya berkesempatan bersua muka dan berkenalan dengan anak-anak di 3K7 dan 3K2....