CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Thursday, September 30, 2010

Majlis Solat Hajat di SMKTP

Saya baru sahaja balik dari program Solat Hajat dan Bacaan Yaasin yang diadakan di Dewan Terbuka sekolah, anjuran Panitia Pendidikan Islam. Hadirin mula berkumpul seawal 6.30 petang.

Selepas azan Maghrib berkumandang, para hadirin terus mendirikan solat Maghrib dan diikuti oleh Solat Hajat. Seterusnya, bacaan surah Yaasin dilakukan beramai-ramai sebelum tazkirah disampaikan sementara menunggu solat Isyak. Selepas solat Isyak, Tuan Pengetua yang ENCIK MOY WAH GOON telah mengambil kesempatan untuk memberi kata semangat kepada murid-murid yang bakal menduduki peperiksaan PMR minggu hadapan & SPM tidak lama lagi. Sebelum bersurai, para hadirin dijemput menjamu selera....

Kehadiran ibu bapa, murid dan guru-guru tadi bolehlah dikatakan sangat menggalakkan. Terima kasih kepada mereka yang telah hadir. Sesungguhnya program tahunan ini bertujuan untuk mendedahkan kepada murid tentang kepentingan sikap mengharap dan bertawakkal kepada Allah s.w.t setelah segala usaha dilakukan selama ini. Aktiviti ini juga boleh dijadikan sebagai medan untuk menanam dan membina budaya hidup dan kecintaan Islam dalam diri murid-murid.

Kesempatan mengumpulkan murid-murid serta ibu bapa mereka memberi peluang kepada penceramah dalam sesi tazkirah untuk memberi tips dan perkara-perkara yang patut diberi perhatian serta dipraktikkan oleh ibu bapa dan anak-anak menjelang peperiksaan PMR dan SPM 2010 nanti.

Semoga kejayaan akan mengiringi anak-anak didik kita hendaknya. Insya Allah.



Wednesday, September 29, 2010

Memberi Kemaafan....




Ramadan datang dan Ramadan pergi. Kini, Syawal juga sudah hampir ke penghujung....


Apa yang paling ketara yang biasa kita lakukan pada Syawal, terkandung dalam ucapan kita apabila menyambut hari raya. Kita mengucapkan "SELAMAT HARI RAYA. MAAF ZAHIR DAN BATIN."

Ya, perkataan keramat yang tersirat di sini ialah MAAF. Sesungguhnya amat besar erti perkataan ini.
Mohonlah kemaafan daripada mereka atas segala salah dan silap. Mungkin ada perkataan yang pernah melukai perasaan, atau mungkin ada juga perbuatan yang pernah mencalar percintaan, persaudaraan dan persahabatan. Jernihkan semula kolam kemesraan. Cantikkan semula taman ukhwah dengan bunga-bunga kasih sayang...
Sesungguhnya, kecemerlangan hidup seseorang amat bergantung kepada kejernihan hatinya. Apabila hatinya jernih, penuh kemaafan, kasih sayang, barulah dia dapat mewujudkan khusyuk atau fokus. Kebolehan untuk fokus dan khusyuk dalam apa-apa sahaja yang kita lakukan itulah rahsianya yang kita dapat melakukan sesuatu itu lebih daripada biasa dan menjadi luar biasa atau cemerlang.

Pada bulan Ramadan kita diseru untuk menahan nafsu kita. Kita berlapar, kita menjaga tutur kata kita, kita membanyakkan amalan dengan mendekatkan diri kita kepada Yang Maha Berkuasa. Kita meningkatkan kualiti hidup kita. Sesiapa sahaja tahu bahawa pada bulan Ramadan, mereka perlu berusaha menjadi lebih baik...!

Ketibaan Syawal, mengajak kita untuk bermaaf-maafan. Suasana hari raya itu sendiri menyediakan kita suatu perasaan tidak mahu lagi menyimpan marah atau dendam. Bukankah telah banyak kita lihat dan dengar, mereka yang tidak bertegur sapa berbulan-bulan lamanya, kesyahduan pada 1 Syawal menggamit hati untuk teringat akan orang yang pernah disakiti, menyakiti dan kerinduan untuk bersua, meminta maaf dan memberi maaf...! Setelah permintaan hati itu ditunaikan, maka tenanglah hati itu....


Namun, sekiranya permintaan hati itu tidak diendahkan dek ego yang masih kuat menguasai diri, maka hati itu menjadi bertambah sakit dan selaput noda hitam bertambah tebal menyelubung hati. Maka, dia akan melalui tempoh setahun lagi berlawan dengan keresahan hati. Apabila hati tidak tenang, maka tidak wujudnya fokus; hilanglah khusyuk. Apabila fokus tiada, dapatkah dia cemerlang dalam hidupnya...?
"Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin". Kata-kata yang penuh bermakna. Pujuklah hati untuk memberi maaf dan menerima kemaafan dan tidak lupa juga untuk memberi maaf kepada diri sendiri. Maafkanlah diri kita atas segala kesilapan, kedunguan dan kelalaian yang pernah kita lakukan selama ini. Kadang-kadang, lebih mudah untuk memaafkan orang lain, tetapi kita mengutuk dan tidak mempedulikan jeritan diri sendiri meminta dimaafkan...!
Mungkin ada yang akan mengatakan, "memanglah senang bercakap untuk memberi maaf dan meminta maaf, tetapi hendak buat bukannya senang..." Sememangnya ada orang yang berasa senang dan ada yang berasa sukar, terpulang kepada maksud tersirat yang disemadikan bersama peristiwa yang menyebabkan ketidakmaafan itu. Jika itu berlaku, berdoa dan pohonlah kekuatan daripada Allah s..w.t agar DIA memberi kita taufik dan hidayah untuk kita nampak punca orang itu menyakitkan kita. Berdoalah agar hati yang penuh panas akan kemarahan kembali menjadi sejuk....

Yang penting, kita perlu meminta maaf dan memberi maaf kepada diri sendiri serta mereka yang telah kita sakiti dan menyakiti kita pada bila-bila masa. Kemudian, rasalah ketenangan dalam hati kita dan barulah kita dapat melakar keindahan serta kecemerlangan hidup.....



Tuesday, September 28, 2010

Calon PMR : Sudahkah anda bersedia...?




Musim demam peperiksaan semakin 'merebak'. UPSR baru sahaja berlalu. Tidak lama lagi, PMR dan diikuti dengan SPM dan STPM. Pelbagai program telah dirancang dan dilaksanakan oleh pihak sekolah untuk membantu murid memantapkan persiapan mereka bagi menghadapi peperiksaan.

Anak-anak didiku... sudahkah anda bersedia...?

Esok merupakan hari terakhir PROGRAM PECUTAN AKHIR PMR di SMKTP. Daripada pemerhatian kami, walaupun ramai murid yang menggunakan peluang ini sebaik-baiknya untuk memantapkan kemahiran mereka bagi menghadapi PMR nanti, tetapi terdapat juga segelintir murid yang masih tidak endah dengan PMR yang akan bermula dalam masa beberapa hari sahaja lagi.... Kami para guru telah usahakan yang terbaik untuk mereka. Walau apa pun, kami berharap agar program ini dapat memberi manfaat kepada hampir 450 murid Tingkatan 3 di SMKTP bagi menghadapi PMR pada 5 - 12 OKTOBER ini.

Walaupun peperiksaan PMR akan berlangsung dua minggu selepas sambutan Aidilfitri, pasti calon sudah bersedia mental dan fizikal. Kebanyakan mereka sudah mula membuat persiapan awal sama ada belajar secara bersendirian ataupun dalam kumpulan, selain mendapat nasihat guru serta mengikuti bengkel dan seminar.

Pada malam Jumaat ini (30 September 2010), akan diadakan solat hajat bagi murid Islam. Berdoalah sentiasa agar diberi ketenangan dan kelapangan fikiran semasa menjawab soalan nanti. Majlis Restu Ilmu pula akan diadakan pada pagi Jumaat, 1 OKTOBER 2010 bertempat di Dewan SMKTP.

SELAMAT MENGHADAPI PMR 2010....


Monday, September 27, 2010

Singkatnya Perjalanan Hidup Ini....



Sewaktu kita bayi, orang tua kita menyayangi kita, menimang-nimang dan sentiasa memeluk kita. Namun, waktu itu hanyalah sementara dan akhirnya hanya tinggal kenangan.

Semasa kita masih bayi, kita tidak mampu melakukan banyak aktiviti. Kita hanya berbaring dan menggerakkan beberapa anggota tubuh. Apabila kita berasa lapar dan dahaga ataupun berasa tidak selesa, kita menangis. Orang tua kita dengan penuh kasih sayang menjaga dan memenuhi semua keperluan kita. Ibu dan bapa menyuapkan makanan kepada kita, membersihkan dan memandikan kita. Orang tua kita tidak putus-putus memeluk dan menimang kita dengan penuh kasih sayang.

Apabila usia kian bertambah, kita belajar merangkak, berdiri, berjalan dan seterusnya berlari. Waktu berjalan terus dan kita semakin membesar. Kita mula bersekolah, kemudian bekerja dan tidak lama selepas itu kita berumah tangga dan mempunyai anak-anak. Begitulah perjalanan hidup manusia.

Kenangan sewaktu kita kecil, zaman kanak-kanak dan zaman remaja semuanya adalah sementara dan akan berakhir, meninggalkan kenangan semata-mata.

Kita tidak menyedari bahawa waktu terus berjalan dan usia kita semakin bertambah. Dengan meningkatnya usia, diri dan persekitaran kita melalui banyak perubahan. Selepas kita berkeluarga, beranak dan bercucu, kian hari kita semakin dimamah usia. Tiba-tiba kita berasakan orang di sekeliling kita mula meninggalkan kita. Anak-anak sudah besar, belajar dan bekerja mahupun berkeluarga di tempat yang jauh.

Tubuh kita mulai rapuh dimakan usia. Sewaktu usia muda, kita berusaha bagi mencapai kejayaan hidup. Sekarang kita berusaha memperjuangkan tubuh kita daripada dimamah usia. Pada suatu saat nanti, perlahan-lahan tetapi pasti, kita akan meninggalkan dunia yang fana ini. Rumah yang susah payah kita bina, keluarga, isteri @ suami, anak yang kita sayangi, jawatan yang dikejar dan diperjuangkan bermati-matian, harta, dan duit dalam bank, semuanya kita tinggalkan. Pendek kata, segala sesuatu mengenai diri kita kelak menjadi kenangan. Kita tidak ada lagi di dunia ini, yang ada hanyalah kenangan kita. Oleh sebab itulah kita perlu meninggalkan kenangan yang baik dan indah.

Setiap orang dalam hidup ini dan apa-apa sahaja cita-cita mereka serta apa-apa sahaja yang mereka peroleh daripada usia mereka, tidak boleh lupa akan proses perjalanan hidup yang sementara ini . Perjalanan hidup ini pasti berakhir dan yang tinggal nanti hanyalah kenangan.

Keterbatasan hidup di dunia ini sewajarnya menyedarkan kita. Kita perlu selalu berzikir, mendekatkan diri kepada Allah, bertawakal, mengharapkan hidayah dan pertolonganNya, mencapai maghrifat dan redanya. Mudah-mudahan, Allah memberkati kita dan membantu kita memperoleh yang terbaik dalam hidup. Apa-apa sahaja yang kita lakukan, akhirnya kita perlu menggantungkan diri kepada Allah.

Kita perlu sedar, tawakal dan mendekatkan diri kepada Allah tidak boleh kita lakukan hanya beberapa detik sebelum kita meninggal dunia. Kita perlu memulakannya secepat mungkin. Kita perlu memulakan pada saat ini juga. Siapa tahu malaikat Izrail, pencabut nyawa datang mengambil nyawa kita sedangkan kita masih belum bertaubat dan bergelumang dosa....

Ingatlah, perjalanan hidup di dunia ini amat singkat... semuanya bersifat sementara dan hanya akan menjadi kenangan....sediakanlah 'bekalan' secukupnya di sepanjang jalan pulang....

"...sama-samalah kita ingat-mengingati dan saling berpesan...."


Dipetik dan diubahsuaikan daripada : Muhammad Salleh Ph.D, Pesona Solat Tahajud, PTS, 2010.

Sunday, September 26, 2010

Berhujung minggu dengan "5S"....




Rasanya sudah beberapa bulan kami tidak berhujung minggu di rumah @ Kuantan.


Kalau kami tidak ke KL menjenguk anak-anak, kami akan balik ke KB bertanya khabar ayah bonda tersayang. Begitulah rutin mingguan kami berdua...

Minggu lepas, sebaik sahaja balik dari kampung menyambut Aidilfitri, hari minggu berikutnya kenalah pula ke KL hantar anak... Minggu ini, sejak dari semalam, kami bercadang untuk melakukan aktiviti "5S" di rumah kami dan persekitarannya.... kebetulan pula warga di Taman Cenderawasih Indah diseru menyertai program gotong-royong perdana mencegah aedes yang diadakan di sini semalam.

Apa itu 5S ?

Seiri, Seiton, Seiso, Seiketsu, dan Shitsuke ialah perkataan Jepun yang membawa maksud SISIH, SUSUN, SAPU, SERAGAM, SENTIASA AMALKAN @ PRAKTIK ini diringkaskan menjadi 5S.... agar ia mudah disebut dan seringkas penggunaannya. Amalan ini sebenarnya digunakan sebagai kaedah dan teknik kawalan kualiti sesebuah organisasi....
Semalam kami mulakan aktiviti "5S" ala kami sendiri; berbeza sedikit dengan konsep 5S di atas. Mula-mula kami sisihkan barang-barang yang tidak diperlukan. Kemudian kami susun, sapu dan seragamkan mana-mana barang yang masih diperlukan untuk disimpan atau 'disorok' di tempat yang sepatutnya... dan akhirnya senyum kerana berpuas hati dengan kerja-kerja yang telah kami lakukan.... yang pasti kami tidak SENTIASA amalkan aktiviti ini.... maklumlah kami selalu 'berderat'; tidak 'lekat' di rumah pada hujung minggu....

Pagi tadi, selepas sarapan, suami bercadang untuk menyisihkan barang-barang @ kit keretanya yang berselerak di dalam rak di garaj kereta serta menyisihkan kasut-kasut yang sudah tidak dipakai di dalam almari kasut. Barang-barang yang diperlukan telah diseragam dan disusun semula dengan kemas. Banyak yang sudah tidak diperlukan... barang-barang tersebut dimasukkan ke dalam beg sampah dan diletakkan di luar pintu pagar. Selalunya tidak lama selepas itu, akan ada orang yang memungutnya...

Sambil suami asyik dengan kerja-kerjanya itu, saya pula mengintai pokok-pokok bunga di luar pagar rumah.... rumput dan daun-daun kering perlu disisihkan. Tanah yang kian merekah dan sudah lama tidak berbaja perlu digembur dan dibubuh baja.


Yang lebih utama di luar pintu pagar rumah itu adalah untuk memastikan pelepah pokok tamar yang tidak diperlukan hendaklah disisih. Rasanya sudah beberapa bulan tidak dipotong. Pagi ini dengan menggunakan gunting, pelepah yang masih muda itu telah saya sisih, dikerat pendek-pendek sebelum dimasukkan ke dalam beg sampah.


Seronok juga sekali-sekala melakukan aktiviti '5S' ini. Lepas ni tak tahu bila pula kami ada masa terluang begini...? Menghabiskan hujung minggu dengan aktiviti yang jarang-jarang dilakukan ini memang menyeronokkan... lebih-lebih lagi suami turut bersama membantu....!


Saya kata kepada suami, boleh tulis dalam diari kerana bukan mudah hendak tengok dia buat kerja-kerja pembersihan ini... selalunya saya seorang sahaja yang buatkan semasa cuti sekolah. Katanya, bukan tak nak buat, tetapi hujung minggu kami selalu tak ada di rumah....


Selain hasilnya yang amat memuaskan, aktiviti seumpama ini sungguh bermakna kepada kami setelah 25 tahun bersama....


....
''S" yang paling bermakna tentu sekalilah SUAMIKU... he..he..he....


Thursday, September 23, 2010

Memadaikah sekadar gaya...?

Menurut Kamus Dewan, antara maksud 'gaya' ialah kombinasi kesajakan, keanggunan dan keterampilan yang menarik perhatian.


Lazimnya, 'gaya' lebih merujuk kepada penampilan fizikal seperti fesyen, pakaian atau perhiasan. Bagaimana pula Islam melihat penampilan fizikal? Ya, tiada salahnya bergaya, asalkan kena dengan syarak. Islam sendiri merupakan agama yang indah yang menuntut umatnya tampil dengan keindahan dan memanfaatkan segala nikmat yang telah dikurniakan kepada mereka.

Dalam hal ini Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
" Sesungguhnya Allah cantik dan suka kecantikan." (Riwayat Muslim)

Islam tidak menolak fesyen kerana itu merupakan sebahagian daripada keindahan dan kecantikan, dengan syarat, haruslah tidak lari daripada ciri-ciri pakaian Muslim dan Muslimah. Antara ciri pakaian Muslimah termasuklah :

1. Menutup tubuh @ aurat seperti yang diperintahkan syarak.

2. Pakaian yang longgar dan tidak jarang kerana pakaian seumpama ini boleh menimbulkan fitnah dan menarik perhatian lelaki.

3. Bukan pakaian untuk menunjuk-nunjukkan kemegahan. Umpamanya kita memakai pakaian untuk menunjukkan kita orang kaya dan orang yang berkuasa.

4. Tidak keterlaluan berwangi-wangian. Bukanlah bermakna kita tidak boleh langsung memakai haruman sehingga tubuh berbau peluh dan menimbulkan rasa tidak selesa kepada orang sekeliling. Namun yang utama, berpada-pada agar wangian di tubuh tidak menimbulkan perasaan berahi kepada lelaki bukan mahram.

5. Pakaian yang dikenakan bukan bertujuan berhias-hiasan, sebaliknya pakaian itu dikenakan sebagai syarat untuk menutup aurat. Jika kita berpakaian untuk perhiasan, tentulah kita akan mengenakan secara berlebih-lebihan, sebaliknya jika niat kita adalah untuk menutup aurat, secara tidak langsung kita akan sedar bahawa kita tidak harus bergaya berlebih-lebihan.

6. Tidak menyebabkan pembaziran. Umpama mengenakan perhiasan yang tidak perlu, membeli pakaian yang amat mahal sedangkan pakaian yang sederhana sudah memadai.

Bagi wanita, perhiasan seperti gelang, cincin atau subang tidak ditegah kerana perhiasan seumpama itu sememangnya digemari manusia. Apatah lagi emas dan sutera sememangnya diciptakan Allah untuk perhiasan wanita. Malah, wanita juga dibenarkan berhias dan berwangi-wangian di hadapan suami dan keluarga supaya menimbulkan rasa kasih sayang dan hormat.


Antara ciri pakaian lelaki muslim pula ialah :
1. menutup seluruh tubuh antara bahagian pusat dan lutut
2. longgar dan tidak menampakkan apa-apa yang perlu ditutup
3. fabrik yang tebal sehingga tidak menampakkan kulit dan anggota yang tidak sepatutnya
4. tidak menyerupai pakaian wanita
5. tidak berpakaian yang boleh menyebabkan dia disangka orang kafir
6. berpakaian bukan bertujuan untuk mencari kemegahan
7. tidak mengenakan pakaian atau perhiasan emas atau sutera


Pakaian dan solekan yang sesuai tentu sahaja akan memberikan gaya yang kemas dan menarik kepada kita, sekali gus boleh meningkatkan daya pengaruh kepada kita. Namun begitu, gaya semata-mata belum memadai untuk menjadikan kita sebagai individu berpengaruh. Penampilan semata-mata tidak selama-lamanya akan menjadi pakej sempurna, sebaliknya harus dilengkapkan pakej itu dengan akhlak, pendidikan, personaliti, dan keperibadian. Ketika itu barulah kita bangga menyatakan bahawa kita ada gaya dan kita juga ada pengaruh!


...mengingatkan diri sendiri... sama-samalah kita muhasabah diri....

Dipetik dan diubahsuaikan daripada : Rahsia Rohani, NONA Julai 2010...




Sunday, September 19, 2010

25 tahun berlalu....



Sebenarnya hari ini 19 SEPTEMBER 2010 ialah hari ulang tahun perkahwinanku yang ke-25.

Dalam tempoh itu, pelbagai dugaan dan cabaran telah kami tempuh dalam melayari bahtera kehidupan sebagai seorang ibu dan ayah, yang mendidik anak-anak demi membentuk sebuah keluarga yang bahagia. Bahagia dunia dan akhirat. Semoga jodoh pertemuan kami berkekalan dan diberkati oleh ALLAH s.w.t hingga ke akhir hayat dan dipertemukan semula di syurga Firdaus….

Setelah 25 tahun membina mahligai bahagia, perjalanan yang perlu kami tempuh masih jauh di hadapan. Masih banyak cabaran yang perlu dilalui. Di samping merenung masa depan, sesekali aku menoleh ke belakang mengamati pengalaman 25 tahun silam.


19 September 1985 – 19 September 2010 .

Selamat ulang tahun perkahwinan kami yang ke-25. Syukur kepada Tuhan kerana masih memelihara rumah tangga ini.

Kepada suamiku, terima kasih kerana masih menerima diriku sebagaimana hari pertama aku bergelar isteri.
Terima kasih yang tidak terhingga kerana membuatkan diriku sentiasa istimewa di sisimu, sentiasa sabar dengan diriku dan anak-anak. Terima kasih kerana menjadi sahabat yang paling akrab, kekasih yang sentiasa dirindui dan suami yang terus setia bersama dalam susah atau senang....terima kasih atas segala-galanya....

Segalanya bermula tanpa diduga. Segalanya ALLAH s.w.t yang tentukan, kita hanya merancang dan berdoa... Ikatan ini berawal dari hati atas nama cinta. Jalinan ini bermula dari rasa atas nama sayang. Pautan ini berasal dari angan atas nama rindu. Sesungguhnya ini adalah cinta, sayang dan rindu yang akhirnya menyatukan kami berdua...
Sejarah awal pertemuan dan seterusnya membawa kami ke alam perkahwinan sangat ringkas. Biarlah sejarah itu menjadi kenangan kami berdua dan akan tetap diingati setiap saat, tidak hanya pada hari ulang tahun perkahwinan…. Kampus biru menjadi saksi dua hati berbicara dalam rahsia....

Mengimbau kembali majlis ‘merisik @ pertunangan’ kami dulu (sebenarnya tak bertunangpun…), semuanya ringkas. Suami datang bersama kedua ibu bapanya dan ahli keluarga terdekat. Papa juga simple orangnya.
Papa tidak menyebut pun tentang wang hantaran. (Semua adik-beradik yang lainpun sama, Papa tak sebut juga…). Perbincangan hanya tentang tarikh majlis akan berlangsung. Saya juga tak tahu berapa wang hantaran dan bilangan @ jenis hantaran yang akan 'dihadiahkan' oleh bakal suami kepadaku...!

Semasa majlis ‘berunding’ dijalankan, aku berada nun jauh di Lembah Pantai… Semuanya Papa & Mama serta keluarga sebelah suami yang uruskan, termasuk tarikh perkahwinan kami. Aku terima sahaja keputusan yang diambil… akhirnya aku dapat tahu bahawa tarikh pernikahan ditetapkan pada 19-09-1985 – sama dengan tarikh ulang tahun kelahiranku yang ke-23 tahun... Papa & Mama akan menerima menantu pertama dalam keluarga...

Majlis pernikahan diadakan pada sebelah malam dan pada keesokan harinya kenduri kesyukuran @ bekwah.
Kami masing-masing tidak tahu jenis barang hantaran yang akan kami terima. Yang kami tahu ialah bilangan barang hantarannya sahaja. Semuanya hanya diketahui pada malam majlis akad nikah diadakan.....

Wang hantaran semuanya saya serahkan pada Mama & Papa untuk majlis kenduri. Saya akur dengan kesederhanaan hidup keluarga kami pada masa itu. Tambahan pula ketika itu tanggungan Papa masih banyak. Adik-adik ada yang masih kecil. Aku sendiripun masih belajar ketika itu. Majlis diadakan semasa cuti semester pertama, maknanya masih ada satu semester untuk aku menamatkan kursus Diploma Pendidikan di Lembah Pantai....Niat asal memang nak kerja dulu, baru kahwin. Tapi apakan daya… jodoh sampai lebih awal… atau bakal suami bimbang aku akan terlepas ke tangan orang.....! Walau apapun, aku bersyukur dengan ketentuan ini.


Pada awalnya, aku tidak mahu bersanding, tetapi Kak Long (kakak sulung suami) hendak sangat adik lelakinya ini bersanding memandangkan abang & adik lelakinya yang lain semua bersanding di atas pelamin yang dihias indah. Untuk tidak menghampakan hajat Kak Long, aku bersetuju untuk bersanding tanpa pelamin. Hanya ‘bersanding’ di bilik pengantin…. Bagi pihak keluarga kami berdua, majlis perkahwinan kamilah yang paling simple. Semuanya atas kehendak kami yang tidak mahu berlebih-lebih sehingga berlaku pembaziran.

Untuk majlis bekwah sempena perkahwinanku, tidak ramai tetamu yang diundang, hanya kalangan ahli keluarga terdekat sebelah Papa dan Mama serta beberapa orang rakan akrab....tetapi rombongan daripada pihak suami memang ramai betul….


Papa & Mama selalu berpesan...
"Kita mesti utamakan tetamu & rombongan pengantin yang hadir, biarlah belanja lebih untuk jamuan; biarlah mereka dijamu dengan hidangan yang istimewa. Kata Mama lagi, biar tetamu yang hadir balik ke rumah dengan hati yang puas dan akan diingati sampai bila-bila. Semoga mereka akan terus berdoa untuk kesejahteraan dan kerukunan rumah tangga yang baru dibina…."
Kami sedar, berkahwin dalam usia muda banyak cabarannya. Sesungguhnya, apa yang penting dalam perkahwinan ialah bagaimana suami isteri itu akan melayari bahtera kehidupan berkeluarga. Ia bukan tanggungjawab satu pihak sahaja. Kedua-duanya ada peranan masing-masing. Anak-anak merupakan buah dari cinta dan kasih sayang sepasang suami isteri yang datang bersama amanah yang terpikul di bahu.
Sedar tak sedar, kini sudah 25 tahun kami hidup bersama sebagai suami isteri; dikelilingi oleh 3 orang permata hati, MOHD FARIS, MOHD FAHMI & SITI NADIAH yang telah melengkapkan hidup kami sekeluarga.…
Ya Allah, berkatilah kehidupan kami. Tunjukkan kami jalan yang lurus dan jalan yang KAU redhai. Amin.

19 SEPTEMBER : berkongsi kenangan....













Buat sahabatku, SARIMAH BT. OMAR....

Dulu,
sejak di bangku sekolah rendah
sehingga dijengah usia remaja
kita tidak pernah lupa akan tarikh keramat ini.

Dulu,
kita sering bertukar-tukar kad ucapan
diiringi doa dan harapan
demi kesejahteraan
dan keabadian
jalinan persahabatan.

Dulu,
setiap kali tiba musim libur
dalam kelelahan mengejar cita
kita tidak pernah lupa
bertemu dan bercerita
berkongsi kisah remaja
indah dan mengasyikkan.

Tiba-tiba
tanpa sedar
kita terpisah
...tanpa berita
...tanpa kata
lantaran cita-cita
kita bawa haluan diri
demi mengukuh peribadi
bersama keluarga
bersama tuntutan masa
tidak pernah lagi bersua muka
bertahun-tahun lamanya.

Sahabat,
kenangan sering singgah
walaupun kita terpisah jauh
ingatan tetap utuh
minda terus diterjah
walaupun sukar ditelah....

Sahabat,
setiap kali menjelang 19 September
hati meronta
lantaran jejakmu yang hilang
sukar dikesan
kad pengganti diri
tersimpan rapi
kemas dalam lipatan
tanpa dikirim...

hanya di angin lalu
ucapan kutitipkan
"SELAMAT HARI LAHIR....."
Setelah terpisah sekian lama
tiba jua saat dan ketika
dengan kehendakNYA
kita dipertemukan semula
seperti baru semalam kita bersapa...

Sungguh indah pertemuan itu
sekian lama kenangan yang tersimpan
kembali segar dalam ingatan
titian persahabatan
kembali bertaut erat
melerai rindu yang sarat.

Sahabat,
inginku panjatkan syukur ke hadrat Ilahi
pertemuan semula pada usia begini
pasti mengendong seribu makna
walaupun banyak sudah yang berbeza
walaupun kita semakin dihambat usia
namun, taman persahabatan kita
tetap semerbak harumnya
sewangi kesturi.

Kini,
walaupun tiada kad pengganti diri
namun, ingatan tetap bertakhta di hati
di ruang ini ingin kutitipkan
ucapan keramat,

"SELAMAT HARI ULANG TAHUN KELAHIRAN"

untukmu sahabat
untuk kita berdua
sama-sama berkongsi kenangan....

19 SEPTEMBER 1962


Thursday, September 16, 2010

Aidilfitri : Terkenang Leluhur.....






Seperti tahun-tahun sebelum ini, salah satu aktiviti yang sering kami lakukan bersama ialah mengunjungi sanak saudara terdekat. Kami beramai-ramai akan berkunjung ke rumah keluarga terdekat untuk bermaaf-maafan, bertemu mata dan bertanya khabar... maklumlah, hari lebaran sahajalah yang membolehkan semua anggota keluarga berkumpul.....

Kadang-kadang terdetik di hati, masih sempatkah aku meraikan Syawal yang mulia ini bersama sanak-saudara pada tahun hadapan...? Tiada siapa yang tahu, bilakah kita akan dijemput untuk menyahut panggilan Ilahi ....

Kunjungan ke rumah nenek saudara (sebelah Papa) di Kg Pendek, KB Sabtu lepas (yang hanya beberapa km daripada rumah kami ), mengundang rasa sayu dan rindu di hati. Rindu akan leluhur yang telah pergi meninggalkan kami.

Merenung wajah Mok Teh (Mek Embung Bt. Ismail) yang tenang dan kelihatan masih sihat walaupun dalam usianya yang mungkin melebihi 90 tahun mengingatkan aku kepada nenek yang kami panggil Mok Mek Nga (Membunga Bt. Ismail), iaitu Bonda Papa. Walaupun kami jarang bertemu kerana Mok Mek Nga menetap di Kg Kemu, Thailand (sejak Papa masih kecil), namun kesempatan beberapa kali bertemu dengan Mok Mek Nga tetap segar dalam ingatan.

Mok Mek Nga merupakan anak kedua daripada 6 orang adik-beradik,(...?) iaitu 5 orang perempuan dan seorang lelaki. 3 orang adik perempuan Mok Mek Nga ialah Mek Som bt. Ismail, Jawiah bt. Ismail (kedua-duanya telah kembali ke rahmatullah lebih 20 tahun yang lalu) dan Aminah Bt. Ismail (yang telah menyahut panggilan Ilahi beberapa bulan lepas). Saudara lelaki Mok Mek Nga juga telah lama meninggal dunia. Kini, hanya tinggal Mok Teh Embong seorang yang menghubungkan kami untuk terus jadikan ikatan kekeluargaan terus kukuh....

Kesempatan ke rumah Mok Teh Embong pada 2 Syawal lalu mengembalikan nostalgia semasa zaman kanak-kanak. Galeri Warisan yang dibina oleh anakanda Mok Teh (Pak Cik Mad - Muhammad b. Awang, dulu kakitangan UiTM Shah Alam....) di ruang tengah rumah agam Mok Teh menghidupkan kenangan silam.... Salasilah keluarga yang lengkap dengan foto-foto lama memudahkan anak-anak mengenali leluhur mereka.....

Foto : 1) Bersama Mok Teh 2) Mek Embung bt. Ismail 3) Membunga bt. Ismail 4) Aminah bt. Ismail 5) Mek Som bt. Ismail....

Monday, September 13, 2010

Nostalgia Hari Raya : Ibu Kek & Rumah Terbuka



Dulu-dulu, kalau berkunjung ke rumah orang untuk berhari raya, pasti saya akan terpandang sesuatu yang menarik dihidangkan di atas meja. Benda yang menarik itu ialah kek icing yang cantik yang digelar 'ibu kek'. Ibu kek itu tidak boleh dipotong, apatah lagi dimakan! Ia sekadar menjadi penyeri meja. Di atas kek itu tertulis "Selamat Hari Raya..." Tidak semua rumah ada 'ibu kek'. Keluarga yang menyediakan 'ibu kek' ini dianggap golongan berkemampuan...!

Tapi kini zaman sudah berubah, 'ibu kek' sudah tidak menjadi keutamaan lagi.... digantikan dengan pelbagai jenis juadah yang 'mewah'....

Dulu-dulu, aktiviti kunjung-mengunjung ke rumah saudara-mara atau sahabat handai untuk meraikan hari raya dilakukan dengan cukup meriah. Kini, aktiviti tersebut masih diteruskan, sekurang-kurangnya untuk beberapa hari pertama bulan Syawal. Cuma, bezanya dulu tidak ada istilah 'Rumah Terbuka'.

Kini, keadaan sudah sedikit berubah.... semua orang sibuk dengan 'rumah terbuka' terutama sekali masyarakat bandar. Bagi perantau yang pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing, setelah mereka kembali ke bandar @ kota tempat mereka mencari rezeki, bermulalah 'majlis rumah terbuka'. Aktiviti pada setiap hujung minggu sehingga berakhirnya Syawal dipenuhi dengan undangan ke majlis 'rumah terbuka'....

Bagaimana jika ada sahabat handai atau sanak saudara yang tidak diundang ke majlis rumah terbuka....? Betulkah yang dijemput sahaja yang akan @ boleh hadir ke majlis tersebut...?



Friday, September 10, 2010

buat renungan .... Hari raya



Wednesday, September 1, 2010

September Oh September



Terkenang lagu SEPTEMBER yang dinyanyikan oleh biduanita Sharifah Aini sekitar awal 1970-an :

" Kumasih ingat perkenalanku di bulan.. September... September..."
Sesungguhnya, September merupakan bulan merayakan hari istimewa beberapa ahli terdekat dalam keluargaku.

09 SEPTEMBER, Natasha Alia genap usia 16 tahun. Natasha Alia, puteri sulung kepada Norbanilawatey Jusoh & Sahazali Awang Deraman, dilahirkan HKL sebelum dibawa balik ke kampung yang permai dan indah - dalam daerah Kota Jelasin, Tanah Serendah Sekebun Bunga, di Negeri Cik Siti Wan Kembang. HAPPY BIRTHDAY ALONG TASHA. Tasha meneruskan persekolahan menengah atasnya di SABDA dalam usaha memenuhi cita-citanya. Semoga Tasha akan menjadi seorang anak yang berjaya dunia dan akhirat, bertanggungjawab dan lebih matang menghadapi segala dugaan hidup...

Pada
14 SEPTEMBER, adik iparku SAHAZALI B. AWANG DERAMAN akan menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke- .... ?
Tambah manis lagi, pada 19 SEPTEMBER ini bertambah lagi usiaku - 2 tahun lagi menjangkau setengah abad...! Pada tarikh ini juga 25 tahun yang lalu aku telah disahkan menjadi suri hidup kepada insan yang tersayang setelah beberapa musim menyemai kasih dan menganyam rindu. Cepatnya masa berlalu. Hampir suku abad sudah kami bersama mengharungi pahit manis, duri & ranjau hidup menuju jalan pulang ...
21 SEPTEMBER pula adik bongsu kami, Ratna Idayu akan menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-25 tahun. Dilahir 2 hari selepas Papa & Mama 'bekwah' kahwinkan anak buat julung-julung kalinya dalam keluarga kami.

23 SEPTEMBER,
sekali lagi adik iparku yang ke-3, pasangan kepada MELISA KAMELIA akan menyambut hari ulangtahun kelahirannya yang ke- ..... ?

...saat-saat manis yang sangat indah untuk dikenang....