Sewaktu kita bayi, orang tua kita menyayangi kita, menimang-nimang dan sentiasa memeluk kita. Namun, waktu itu hanyalah sementara dan akhirnya hanya tinggal kenangan.
Semasa kita masih bayi, kita tidak mampu melakukan banyak aktiviti. Kita hanya berbaring dan menggerakkan beberapa anggota tubuh. Apabila kita berasa lapar dan dahaga ataupun berasa tidak selesa, kita menangis. Orang tua kita dengan penuh kasih sayang menjaga dan memenuhi semua keperluan kita. Ibu dan bapa menyuapkan makanan kepada kita, membersihkan dan memandikan kita. Orang tua kita tidak putus-putus memeluk dan menimang kita dengan penuh kasih sayang.
Apabila usia kian bertambah, kita belajar merangkak, berdiri, berjalan dan seterusnya berlari. Waktu berjalan terus dan kita semakin membesar. Kita mula bersekolah, kemudian bekerja dan tidak lama selepas itu kita berumah tangga dan mempunyai anak-anak. Begitulah perjalanan hidup manusia.
Kenangan sewaktu kita kecil, zaman kanak-kanak dan zaman remaja semuanya adalah sementara dan akan berakhir, meninggalkan kenangan semata-mata.
Kita tidak menyedari bahawa waktu terus berjalan dan usia kita semakin bertambah. Dengan meningkatnya usia, diri dan persekitaran kita melalui banyak perubahan. Selepas kita berkeluarga, beranak dan bercucu, kian hari kita semakin dimamah usia. Tiba-tiba kita berasakan orang di sekeliling kita mula meninggalkan kita. Anak-anak sudah besar, belajar dan bekerja mahupun berkeluarga di tempat yang jauh.
Tubuh kita mulai rapuh dimakan usia. Sewaktu usia muda, kita berusaha bagi mencapai kejayaan hidup. Sekarang kita berusaha memperjuangkan tubuh kita daripada dimamah usia. Pada suatu saat nanti, perlahan-lahan tetapi pasti, kita akan meninggalkan dunia yang fana ini. Rumah yang susah payah kita bina, keluarga, isteri @ suami, anak yang kita sayangi, jawatan yang dikejar dan diperjuangkan bermati-matian, harta, dan duit dalam bank, semuanya kita tinggalkan. Pendek kata, segala sesuatu mengenai diri kita kelak menjadi kenangan. Kita tidak ada lagi di dunia ini, yang ada hanyalah kenangan kita. Oleh sebab itulah kita perlu meninggalkan kenangan yang baik dan indah.
Setiap orang dalam hidup ini dan apa-apa sahaja cita-cita mereka serta apa-apa sahaja yang mereka peroleh daripada usia mereka, tidak boleh lupa akan proses perjalanan hidup yang sementara ini . Perjalanan hidup ini pasti berakhir dan yang tinggal nanti hanyalah kenangan.
Keterbatasan hidup di dunia ini sewajarnya menyedarkan kita. Kita perlu selalu berzikir, mendekatkan diri kepada Allah, bertawakal, mengharapkan hidayah dan pertolonganNya, mencapai maghrifat dan redanya. Mudah-mudahan, Allah memberkati kita dan membantu kita memperoleh yang terbaik dalam hidup. Apa-apa sahaja yang kita lakukan, akhirnya kita perlu menggantungkan diri kepada Allah.
Kita perlu sedar, tawakal dan mendekatkan diri kepada Allah tidak boleh kita lakukan hanya beberapa detik sebelum kita meninggal dunia. Kita perlu memulakannya secepat mungkin. Kita perlu memulakan pada saat ini juga. Siapa tahu malaikat Izrail, pencabut nyawa datang mengambil nyawa kita sedangkan kita masih belum bertaubat dan bergelumang dosa....
Ingatlah, perjalanan hidup di dunia ini amat singkat... semuanya bersifat sementara dan hanya akan menjadi kenangan....sediakanlah 'bekalan' secukupnya di sepanjang jalan pulang....
Dipetik dan diubahsuaikan daripada : Muhammad Salleh Ph.D, Pesona Solat Tahajud, PTS, 2010.
No comments:
Post a Comment