CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sunday, July 31, 2011

Ramadan yang dinanti....

Ramadan datang lagi dengan ribuan peluang untuk meraih kebaikan dan keberkatan.

InsyaAllah, esok seluruh umat Islam akan menyambut Ramadan al Mubarak.

Ramadan menjanjikan kerahmatan, keampunan dan pembebasan daripada api neraka kepada mereka yang berpuasa. Berpuasa dengan erti kata yang sebenar-benarnya sebagaimana yang dituntut oleh syarak; bukannya berpuasa sekadar menahan lapar dan dahaga pada siang hari, sedangkan dosa-dosa lazim masih diteruskan....!

Kita seharusnya berasa bangga dan amat beruntung menjadi umat Nabi Muhammad s.a.w kerana dianugerahkan kesempatan menebus diri dengan kedatangan tetamu agung saban tahun ; bulan Ramadan yang dinanti-nantikan oleh setiap Mukmin yang cinta akan Allah s.w.t.

Semasa zaman kanak-kanak dahulu, kita sering diusik dengan kata-kata orang tua : "Sesiapa yang tak puasa, tak boleh beraya..." Itulah kata-kata motivasi untuk kita berpuasa. Kita dilatih berpuasa sejak usia kanak-kanak lagi.

Hari raya adalah motivasi utama utama untuk anak-anak berpuasa. Hari raya bagi anak-anak samalah maksudnya dengan baju raya, kuih raya, duit raya dan lain-lain. Kita takut, kalau tak berpuasa, kita tidak berpeluang menikmati semua itu....

SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA, semoga berjaya memperoleh kejayaan....

Sumber Ilustrasi : Solusi Isu no. 34


Thursday, July 28, 2011

Doa Buat Sahabat (2)


Setiap daripada kita tidak terlepas daripada ujian hidup.


Awal minggu ini kami mendapat berita, seorang sahabat dan juga rakan sekerja di SMKTP berhadapan dengan ujian yang maha berat.

Sebenarnya, bukan perkara baharu buat Za @ Wan Rosliza Bt. Wan Abdulah mendapat rawatan di hospital. Sudah bertahun-tahun berulang alik untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit SLE yang dihidapinya. Cuma kali ini, berita yang diterima agak mengejutkan. Za
sebenarnya seorang yang kuat semangat, tidak pernah mengeluh dan sentiasa redha dengan ketentuanNya. Dalam keadaan kesihatannya yang agak merosot sejak beberapa bulan ini, beliau terus komited dengan tugas. Tidak luak sedikitpun tumpuannya dan iltizamnya terhadap tanggungjawabnya sebagai guru KH dan guru Pusat Sumber Sekolah.

Semalam, usai waktu persekolahan, saya bersama Ustazah Bahijah, Suriana dan Rohana telah ke KMC untuk melawat Za. Menurut bondanya, keadaan Za menunjukkan perkembangan yang positif berbanding hari pertama dimasukkan ke KMC. Hati terasa sebak apabila Za menyebut namaku dengan jelas "Kak Ros..." sebaik sahaja memandang kami berempat di hujung katilnya....

Renungan matanya yang nampak lemah membuatkan hati terasa sebak. Renungan yang hanya bertahan beberapa saat itu diselitkan dengan senyuman hambar di bibirnya yang nipis. Lalu, mata dipejamkan buat seketika... dibuka semula, mata bertatapan, disusuli dengan senyuman dan seolah-olah ingin berkata sesuatu... begitulah...

Kami tidak lama di situ. Kami terpaksa berundur untuk memberi laluan kepada sahabat-sahabat yang lain pula. Ketika kami beredar, Za seperti tidur-tidur ayam...

Semoga Za akan sembuh dan kembali menjalani kehidupan harian seperti biasa. Sesungguhnya, Dialah Yang Maha Mengetahui jalan yang terbaik untuk umatNya.

Doa daripada kami semua agar Za dan seluruh ahli keluarga diberi kekuatan dan kesabaran untuk berdepan dengan ujian getir ini. Semoga Allah s.w.t meringankan beban kesakitan yang ditanggung. DIA-lah yang Maha mengetahui apa-apa yang terbaik untuk umatnya.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul...!

foto : 1) Za pada Hari Guru 2010 dan 2) Kem Mendekati Alam PSS 2010 di Taman Gelora, Kuantan.


Selamat Hari Lahir, Adik...

Hari ini , 28 JULAI 2011 genaplah 22 tahun usia Adik. Ucapan SELAMAT HARI LAHIR daripada kami sekeluarga untuk Adik....

Mak dan Ayah berharap agar Adik akan lebih matang dan kuat menghadapi cabaran hidup. Jangan lupa berdoa kepada Yang Esa. Selalu ingat DIA. Teruskan kecemerlangan untuk mencapai cita-cita Adik....

Cepatnya masa berlalu...

Tuesday, July 26, 2011

Waktu dan Kehidupan

Sekiranya kita ditanya, apakah perkara yang sentiasa bergerak ke depan dan tidak pernah mundur ke belakang. Jawapan yang saya akan berikan ialah waktu ataupun masa. Itulah uniknya masa, ia sentiasa ke hadapan dan tidak boleh diulang kembali.

Jika di barat, istilah yang biasa digunakan ialah ‘Time is Money’ atau dalam pepatah Melayu pula sering kita dengar "Masa Itu Emas". Ini menggambarkan betapa pentingnya masa kepada kita. Sekiranya kita kaji dan terus kaji sebenarnya masa adalah perumpamaan bagi kehidupan kita sebagai manusia. Apa yang saya maksudkan di sini, kita harus sentiasa memandang ke hadapan tidak perlu lagi menoleh kegagalan yang pernah kita alami.

Individu yang berjaya adalah individu yang sentiasa memandang ke hadapan. Sentiasa memanfaatkan peluang yang ada bagi terus mencipta kejayaan demi kejayaan.

Individu yang berjaya juga adalah mereka yang dapat memanfaatkan waktu dan sentiasa mensyukuri setiap nikmat yang dikurniakan oleh ALLAH kepadanya.

Hidup kita boleh diumpamakan seperti sebuah perniagaan. Hanya mereka yang pandai menggunakan waktu dengan sebaiknya akan memperoleh keuntungan.

Masa sentiasa menghambat kita dan jangan biarkan kita ketinggalan.... dunia dan akhirat...


Friday, July 22, 2011

Hidup umpama kapal...

Sebagai manusia kita mempunyai jalan dan arah hidup yang tersendiri dan berbeza. Ada yang lurus sedikit, ada yang bersimpang siur,ada yang tenggelam timbul, pendek kata memang tak sama dan tak serupa.

Sebenarnya, perjalanan hidup kita ibarat sebuah kapal yang belayar di lautan yang amat luas. Tak tahu apa yang akan berlaku di tengah-tengah laut nanti, ada jerung ke, ombak besar atau tsunami, kita sememangnya tak boleh nak jangka. Apabila sesuatu berlaku di tengah-tengah laut, kapal tersebut sudah pasti tidak boleh berpatah balik, kerana memang sukar juga untuk berpatah balik, sama susahnya juga seperti meneruskan perjalanan. Jadi apa jua yang berlaku, ombak besar atau apa-apa saja, kapal tersebut terpaksa mengharunginya.

Begitu juga dengan hidup kita sebagai manusia. Kita sudah lama meninggalkan pelabuhan kehidupan dan sekarang kita sedang menghampiri destinasi,dan kita sendiri pun tak boleh jangka bilakah destinasi kita akan sampai. Yalah..kita memang tak boleh nak agak..bilakah usia kita akan berakhir dan di manakah pengakhirannya….

Perjalanan hidup kita memang tidak boleh dijangka, tetapi kita masih boleh merancang sesuatu yang kita ingin lakukan, dan apa-apa yang ingin kita elakkan. Tetapi tidak semestinya sesuatu yang kita rancang benar-benar terjadi.

Jadi, sebagai manusia kita hendaklah sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan yang akan kita hadapi. Teruskan kehidupan anda dengan penuh ketabahan dan kesabaran dan yang paling penting berusaha tanpa putus asa, kerana setiap ujian dan dugaan yang ALLAH berikan pasti ada hikmahnya....


Monday, July 18, 2011

DETIK WAKTU...


Hidup ini terdiri daripada detik-detik waktu.

Kita harungi lautan detik waktu itu. Berjuta-juta detik waktu itu melewati kita dengan tidak sedikit pun kita sedari kehadirannya. Sebahagiannya, seperti air di anak sungai menuju ke muara, berlegar-legar di sekitar kita lalu kemudiannya beredar pergi kerana kita telah tidak memanfaatkan kehadirannya.

Sebahagian kecil daripadanya, bagai sampah-sampah halus dibawa arus sungai, melekap ke tebing; melekat ke batu, lalu merupakan sebahagian daripada hidup kita. Detik-detik waktu adalah keberuntungan. Yang membezakan antara kita ialah bagaimana keberuntungan itu kita manfaatkan sebaik-baiknya.

Detik-detik penting melekat dalam ingatan kita. Detik-detik yang kurang penting berpindah ke dalam ingatan separuh sedar kita....

hargailah setiap detik yang kita lalui dalam hidup ini....


Tuesday, July 12, 2011

Ttupat Sotong....

Siapa pernah makan ketupat sotong...? Namanya agak pelik bagi orang luar dari Kelantan (dan juga mungkin dari luar Terengganu), tetapi rasa ketupat sotong memang sedap. Dalam sotong ada pulut yang dimasak bersama. Rasa kuahnya agak manis kerana dimasak dengan santan dan gula melaka atau 'nnisan kerek'.

Hujung minggu lepas, dalam perjalanan balik dari KT ke Kuantan, kami singgah di Restoran Lempeng di Marang untuk minum-minum sambil menghirup udara segar di tepi pantai....

Apabila terpandang papan tanda besar di restoran tersebut, tiba-tiba rasa teringin sekali untuk makan ttupat sotong... lama benar tak makan. Sambil menunggu pesanan sampai, dalam hati sudah terasa keenakannya...! Selain ketupat sotong, suami memesan lempeng. Nak cuba katanya. Nama lagi Restoran Lempeng....!

Selepas beberapa minit berlalu, pelayan restoran itu membawa makanan yang telah kami pesan. Dari jauh saya nampak dalam mangkuk yang dibawanya terdapat kuah berwarna putih. Lain daripada apa yang tergambar dalam minda saya. Dalam hati tertanya-tanya, betul ke ini ttupat sotong yang dipesan tadi? Berkuah putih seperti sagupal? Apabila dilihat dari dekat, nampaklah 2 ekor sotong 'berendam' dalam kuah yang berwarna putih susu itu. Terdapat beberapa hirisan halia. Lain benar rupanya dengan yang tergambar dalam minda saya. Oh, ini rupanya ttupat sotong Terengganu....

Biasanya makanan tradisional Kelantan dan Terengganu tidak jauh bezanya. Rupa atau rasa, lebih kurang sama. Tetapi ketupat sotong ni memang berbeza sangat.

Ketupat sotong Kelantan, tidak sama dengan ketupat sotong Terengganu. Versi Kelantan menggunakan gula melaka, manis dan kurang berlemak. Warnanya pula 'kecoklatan'. Manakala versi Terengganu pula, kurang manis, berlemak, beraroma halba, halia dan bawang... berkuah dan warnanya putih santan.

Bagi yang telah mencuba kedua-dua versi Kelantan dan Terengganu tentu dapat merasai perbezaannya. Yang mana satu paling disukai, terpulang kepada diri masing-masing.

Saya...? Tentulah saya suka ttupat sotong versi Kelantan...!

Monday, July 4, 2011

Buah Sentol yang kian dilupakan....

Sebelum balik dari sekolah tadi, sambil menunggu loceng berbunyi, terdengar jauh-jauh di hujung telinga, rakan-rakan guru bercerita tentang buah nadir ini. Pokok sentol yang berbuah mengikut musim ini sangat mudah diperoleh suatu ketika dahulu, terutamanya di kampung-kampung....

Nama lain bagi buah sentol ialah kecapi, santol, santoi (Filipina), wild mangosteen dan lain-lain. Nama sainstifiknya
Sandoricum koetjape (Burm.f.) Merr.
Sekarang sudah ramai yang tidak kenal buah sentol. Generasi sekarang ni kenal buah epal, anggur, dragon...buah2 klasik ni dah tak kenal lagi dah...pokok ni pun sukar didapati dan jarang-jarang orang tanam. Buahnya boleh dibuat jeruk atau rojak...erm...sedap..... kulitnya pula boleh dibuat sayur lemak...
Pernahkan anda tengok pokok sentol ini?
Pohon sentol atau kecapi merupakan pohon yang rimbun dan besar, ada yang mencapai sehingga 30 m, tinggi. Walau bagaimanapun, kebanyakannya hanya mencapai sekitar 20-an meter. Batang pokok sentol dapat mencapai diameter 90 cm, bergetah seperti susu.
Menurut Wikipedia, daunnya tumbuh berselang-seling, bertangkai s/d 18 cm, menyirip beranak daun tiga, bentuk jorong (bulat panjang) sampai bundar telur, 6-26 × 3-16 cm; membulat atau agak runcing di pangkal, meruncing di hujung; hijau berkilat di sebelah atas, hijau kusam di bawahnya. Anak daun hujung bertangkai panjang, jauh lebih panjang dari tangkai anak daun sampingnya.
Bunga dalam malai di ketiak daun, berambut, menggantung, sampai dengan 25 cm. Bunga berkelamin dua, bertangkai pendek; kelopak bertaju 5; mahkota 5 helai, kuning hijau, 6-8 mm; samar-samar berbau harum.
Buahnya bulat agak pipih, 5-6 cm, kuning atau kemerahan jika masak, berbulu halus seperti baldu. Daging atau urat buah bahagian luar tebal dan keras, menyatu dengan kulit, kemerahan, agak masam; daging buah bahagian dalam lunak dan berair, melekat pada biji, putih, masam sampai manis. Biji 2-5 butir, besar, bulat telur agak pipih, coklat kemerahan berkilat; keping biji berwarna merah.
Pokok sentol berasal dari Indocina dan Semenanjung Malaysia. Berabad-abad yang silam, tumbuhan ini dibawa dan dimasukkan ke India, Indonesia (Borneo, Maluku), Mauritius, dan Filipina, di mana tanaman buah ini kemudian menjadi popular, ditanam secara meluas.
Pohon ini ditanam terutama kerana diharapkan buahnya, yang berasa manis atau agak masam. Kulit buahnya yang berdaging tebal kerap dimakan dalam keadaan segar atau dimasak lebih dulu, dijadikan manisan atau jem / marmalade.
Kayu pokok sentol bermutu baik sebagai bahan binaan rumah, bahan perkakas atau kerajinan, mudah dikerjakan dan mudah dipoles.
Berbagai bahagian pohon sentol memiliki khasiat ubat. Rebusan daunnya digunakan sebagai penurun demam. Serbuk kulit batangnya untuk pengubatan cacing gelang. Akarnya untuk ubat kembung, sakit perut dan cirit birit; serta untuk penguat tubuh wanita setelah bersalin.
Sentol ada dua jenis, iaitu yang mempunyai daun tua berwarna kuning sebelum gugur dan berdaun merah. Dahulu, kedua-dua jenis ini dianggap sebagai spesis yang berbeza : (Sandoricum indicum berdaun kuning dan S. nervosum berdaun merah).
Dulu, di sebelah rumah Nenek Lijah (sekarang tapak rumah Pak Muda Leh) ada sebatang pokok sentol yang besar. Ketika musim berbuah, Mama selalu buat jeruk sentol. Emm, sedap sungguh. Jenis sentol yang lebih lembut dan manis, kami panggil buah setiar... boleh makan mentah, tanpa perlu dijeruk atau dicicah dengan kicap + gula + garam....
Kini, kita dah tak boleh tengok buah sentol atas pokok. Pokok sentol dah semakin sukar ditemui. Nak tengok atau nak makan buah nadir ini, kenalah ke Pasar Siti Khadijah atau Pasar Wakaf Che Yeh ketika berkesempatan balik ke kampung.

Sunday, July 3, 2011

Tali air dan kenangan....

lanjutan daripada entri terdahulu... RP Kemubu...

"Tali Air" - kata yang tidak memberi apa-apa makna kepada seorang kanak-kanak yang baru berusia 6 - 7 tahun lebih 4 dekad yang lalu... kanak-kanak itu hanya tahu menyebut, tetapi tidak pasti maksud sebenarnya tali air.

Di Kg Kota, salah satu aktiviti ekonomi masyarakatnya ialah menanam padi. Sekali setahun. Bermula dengan kerja-kerja menenggala (membajak tanah dengan tenggala), menabur benih, mencabut semai (anak padi) dan mencedung atau menanam semula anak padi di tapak semaian. Sementara menunggu padi masak, penduduk kampung yang terlibat akan melakukan aktiviti lain seperti menoreh getah, menanam sayur, bertukang rumah dll. Setelah padi masak bertukar warna menjadi kuning keemasan, bermulalah proses mengetam atau memukul @ membanting padi.... Penanaman padi bergantung kepada bekalan air, jadi "tali air" telah membawa perubahan kepada masyarakat petani di seluruh negara, termasuklah petani di Kg Kota. Penanaman padi 2 kali setahun bermula dengan adanya tali air.

Dulu, di seberang jalan depan rumah kami terbentang luas sawah padi yang menghijau. Berpetak-petak dengan keluasan yang berbeza-beza. Pernah suatu ketika, pada pertengahan tahun 1960-an kerajaan berura-ura untuk membina sebuah sekolah menengah di situ, tetapi tidak dipersetujui oleh penduduk setempat. Sawah inilah punca ekonomi sebahagian besar penduduk Kg Kota pada waktu itu. Pembinaan sekolah mengorbankan kawasan sawah padi yang luas. Ini bermakna mereka akan kehilangan mata pencarian. Akhirnya, sekolah yang diberi nama SM Kota itu berpindah ke lokasi sekarang, bersebelahan Stesen RTM Kota Bharu.... Satu lokasi yang paling tepat kerana SM Kota juga berjiran dengan 2 buah sekolah rendah, iaitu SK Kota dan SRJK (I) Kota (kini, SK Seri Kota).

Awal tahun 1969... penduduk kampung, lebih-lebih lagi kanak-kanak begitu teruja melihat beberapa buah jentera berat, terutama sekali jentolak dan jengkaut masuk ke kampung kami meredah sawah padi yang sedang 'berehat' kerana musim menuai baru berakhir. Di seberang jalan, di belakang rumah Tok Wan Yusof Tauke Kain, dengan jarak serelung bendang padi, kerja-kerja menggali tanah dijalankan tanpa henti. Di luar musim menanam, tapak sawah di belakang rumah Tauke Kain ini tidak digunakan. Tanah rang ini akan bertukar menjadi gelanggang untuk kami bermain bola wa atau bola kaki tiga pada waktu petang sehingga musim menanam padi kembali semula pada tahun berikutnya.

Jentera-jentera berat ini terus gagah menukar lanskap bumi. Daripada seela menjadi serantai dan seterusnya berantai-rantai, berangkai-rangkai.... Hari bertukar minggu, minggu bertukar bulan... Sambil bermain, kami asyik melihat dari jauh kerja-kerja pengorekan @ penggalian tanah.... Kadang-kadang, pada hari-hari mereka tidak bekerja, naluri ingin tahu telah membawa kami untuk menjenguk lubang panjang yang siap digali... tidak terfikir oleh minda kanak-kanak seusia 6 @ 7 tahun, apakah sebenarnya yang hendak dihasilkan....? Tanah di sebelah kiri dan kanan korekan itu diratakan menjadi laluan bertebing @ jalan tak berturap. Kami sering kali berkejar-kejaran di atas laluan itu.

Pernah pada suatu petang, kami masuk ke dalam terowong yang menghubungkan antara dua tali air. Panjang terowong ini lebih kurang 20 meter. Sesuatu yang baharu bagi kami. Sebagai kanak-kanak, sebenarnya kami masih belum mengerti fungsi atau tujuan terowong itu ada di situ....

Setelah beberapa bulan berlalu... sedar-sedar, korekan tanah yang panjang berantai-rantai panjangnya, dengan kedalamannya lebih daripada 10 kaki itu telah dipenuhi air. Tidak pernah terlintas di minda kami untuk ambil tahu, bagaimana talian korekan tanah itu dipenuhi air. Pada kami, itu berlaku secara semula jadi. Kanak-kanak, apalah sangat yang boleh mereka fikirkan. (Beberapa tahun selepas itu, setelah belajar Geografi semasa di sekolah menengah, baharulah terjawab semua persoalan zaman kanak-kanak dahulu...)

Akhirnya, oh, begini rupanya yang dikatakan "TALI AIR ". Panjang seperti tali, kemudian dipenuhi air....! Tali air yang dibina di bawah Rancangan Pengairan KEMUBU ini merupakan salah satu projek Rancangan Pembangunan Ekonomi negara yang bertujuan untuk meningkatkan pendapatan golongan petani di luar bandar melalui DEB, iaitu penanaman padi dua kali setahun...!

Aku masih ingat, aku juga sering menghabiskan masa bersama Noni mengikut bapa saudara (Arwah Che Abe) menangguk udang @ anak-anak ikan di tali air. Kadang-kadang aku dan Noni curi-curi mandi (walaupun tidak tahu berenang) di tali air. Langsung tidak terfikir akan bahaya bermain di tali air.... memang tidak tahu takut...!

Dalam tempoh 12 tahun pertama selepas pembinaannya, tali air ini 'terpelihara' dengan baik. Dari rumah Mama kami boleh lihat ibu bapa membawa anak-anak bersiar-siar di atas tali air pada waktu petang sementara menunggu senja, terutama sekali pada musim menuai padi.

Yang paling aku suka ialah meniti di atas titi kayu atau titi yang dibuat daripada 2 batang pokok kelapa yang merentangi tali air..... Kenangan hampir 30 tahun yang lalu... selepas melanjutkan pelajaran ke luar daerah, aku sudah tidak berkesempatan lagi berjalan-jalan di atas tali air ini, apatah lagi setelah berkeluarga dan sekali-sekala pulang ke kampung ...!

Kini, persekitaran tali air tidak seindah 30 tahun yang lalu. Airnya keruh dan banyak rumput dan rumpai air tumbuh sehingga menjadikan alirannya tersekat! Di sesetengah tempat, tali air kini dijadikan tempat membela ikan dalam jaring. Sawah bendang yang memisahkan jalan raya dengan tali air sudah dipenuhi rumah-rumah kediaman. Jadi, dari rumah Mama kami sudah tidak dapat melihat tali air yang dahulunya menjadi tumpuan kami bersama adik-adik bersiar-siar sebelum menjelang senja.

Tali air... tersimpan banyak memori di sepanjang jalan pulang... tali air yang memberi rezeki.... tali air yang merentap nyawa ...