CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Thursday, July 28, 2011

Doa Buat Sahabat (2)


Setiap daripada kita tidak terlepas daripada ujian hidup.


Awal minggu ini kami mendapat berita, seorang sahabat dan juga rakan sekerja di SMKTP berhadapan dengan ujian yang maha berat.

Sebenarnya, bukan perkara baharu buat Za @ Wan Rosliza Bt. Wan Abdulah mendapat rawatan di hospital. Sudah bertahun-tahun berulang alik untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit SLE yang dihidapinya. Cuma kali ini, berita yang diterima agak mengejutkan. Za
sebenarnya seorang yang kuat semangat, tidak pernah mengeluh dan sentiasa redha dengan ketentuanNya. Dalam keadaan kesihatannya yang agak merosot sejak beberapa bulan ini, beliau terus komited dengan tugas. Tidak luak sedikitpun tumpuannya dan iltizamnya terhadap tanggungjawabnya sebagai guru KH dan guru Pusat Sumber Sekolah.

Semalam, usai waktu persekolahan, saya bersama Ustazah Bahijah, Suriana dan Rohana telah ke KMC untuk melawat Za. Menurut bondanya, keadaan Za menunjukkan perkembangan yang positif berbanding hari pertama dimasukkan ke KMC. Hati terasa sebak apabila Za menyebut namaku dengan jelas "Kak Ros..." sebaik sahaja memandang kami berempat di hujung katilnya....

Renungan matanya yang nampak lemah membuatkan hati terasa sebak. Renungan yang hanya bertahan beberapa saat itu diselitkan dengan senyuman hambar di bibirnya yang nipis. Lalu, mata dipejamkan buat seketika... dibuka semula, mata bertatapan, disusuli dengan senyuman dan seolah-olah ingin berkata sesuatu... begitulah...

Kami tidak lama di situ. Kami terpaksa berundur untuk memberi laluan kepada sahabat-sahabat yang lain pula. Ketika kami beredar, Za seperti tidur-tidur ayam...

Semoga Za akan sembuh dan kembali menjalani kehidupan harian seperti biasa. Sesungguhnya, Dialah Yang Maha Mengetahui jalan yang terbaik untuk umatNya.

Doa daripada kami semua agar Za dan seluruh ahli keluarga diberi kekuatan dan kesabaran untuk berdepan dengan ujian getir ini. Semoga Allah s.w.t meringankan beban kesakitan yang ditanggung. DIA-lah yang Maha mengetahui apa-apa yang terbaik untuk umatnya.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul...!

foto : 1) Za pada Hari Guru 2010 dan 2) Kem Mendekati Alam PSS 2010 di Taman Gelora, Kuantan.


1 comments:

teratai said...

Saya belum berkesempatan melawat Za lagi...mungkin hujung minggu ni.

Semoga Za cepat sembuh...amin