Wednesday, June 30, 2010

Sejarah Kuantan (5) : Kemudahan Pendidikan


Perkembangan sistem pendidikan di Kuantan pada peringkat awal (zaman sebelum perang) tidaklah semaju di daerah Bentong dan Kuala Lipis. Hal ini demikian kerana kesulitan sistem perhubungan telah mempengaruhi kemudahan pendidikan, di samping pembangunan ekonomi yang kurang, taburan penduduk tidak sekata dan komposisi etnik.

Pada akhir kurun ke-19 dan awal kurun ke-20 wujud syarikat-syarikat Eropah yang mengusahakan ladang getah, perlombongan dan sebagainya. Oleh itu, orang-orang Cina telah menduduki kawasan bijih timah di Sungai Lembing dan Gambang. Di sinilah antara sekolah yang terawal dibina terutama sekolah Cina.

Sekolah Melayu yang awal pula dibina di bandar Kuantan iaitu kira-kira penghujung tahun 1890-an. Tarikh yang diketahui berkenaan sekolah ini ialah 1904 / 1905 apabila sekolah tersebut dipindahkan ke tapak asalnya di sudut tapak pasar lama yang berhampiran dengan Jalan Lebai Ali ke tapak barunya di Padang Lalang. Ketika itu sekolah ini bernama Sekolah Melayu Padang Lalang.

Selepas 1903 hinggalah pendudukan Jepun, 8 buah lagi sekolah didirikan. Dalam tahun 1930 murid-murid lelaki di Sekolah Padang Lalang dipindahkan ke Sekolah Melayu Laki-laki Teruntum, Jalan Gambut dan Sekolah Padang Lalang menjadi sekolah Melayu Perempuan (Tahun 1948 sekolah ini mendapat bangunan barunya di Sekolah Perempuan Galing). Antara tahun-tahun 1945 – 1947, Sekolah Kebangsaan yang didirikan ialah SK Galing (1948), SK Jabor (1950), SK Sungai Ular (1951) dan SK Cherating (1952).

Di bawah kerajaan Inggeris hanya sebuah sekolah Inggeris dibina dalam tahun 1920. Muridnya hanya 10 orang dengan menggunakan Gudang Padi Kerajaan di Jalan Wall. Hanya dalam tahun 1924 dipindahkan ke Jalan Wong Ah Jang dan dinamakan Sekolah Sultan Abdullah. Lain-lain sekolah Inggeris yang awal dibuka oleh mubaligh Kristian ialah Sekolah Perempuan Methodist (1938), Sekolah St. Thomas (1950) dan Sekolah Rendah Asunta Convent (1956).

Asas sekolah Rendah Asunta ini bermula dari kelas tadika yang diajar secara terbuka di sebuah rumah kepunyaan Fr Gullitat yang dibina atas tanah kepunyaan taukey Chan Loon yang terletak di Jalan Gambut Kuantan. Pengendaliannya di bawah kumpulan mubaligh Kristian Franciscan Sister' of Mary. Tarikh penubuhan tadika ini ialah pada 3 Oktober 1955 dengan jumlah murid seramai 23 orang yang diajar oleh dua orang guru yang dibawa khas dari Singapura.

Selepas itu, kerajaan memutuskan untuk menukar pusat pentabdiran negeri dari Kuala Lipis ke Kuantan. Hasil daripada penukaran tersebut kerajaan telah memutuskan untuk mendirikan sekolah terkemuka di Kuantan yang dapat menyediakan pelajaran menengah Inggeris yang menekankan semua kemudahan termasuk asrama bagi murid-murid luar bandar.

Wujudlah Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar (SABS) yang dibuka pada tahun 1957 yang menjadi salah sebuah sekolah terkemuka di Pahang dan kemudiannya dapat mengatasi Sekolah Menengah Clifford di Kuala Lipis. Dalam tahun 1963, Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) pula telah dibuka di samping Sekolah Menengah Alor Akar, Sekolah Menengah Sungai Lembing dan Sekolah Menengah Ubai yang masing-masing dibina pada tahun 1965.

Pendidikan di Kuantan terus berkembang dan menjadi bertambah penting selaras dengan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang menekankan sekolah aliran sains, teknik dan vokasional. Muncullah sekolah-sekolah vokasional, Sekolah Menengah Teknik dan Maktab Perguruan. Kepesatan yang sedemikian rupa bermakna Kerajaan terpaksa menyediakan pelbagai prasarana bagi menampung keperluannya yang berkaitan dengan pelajaran, pertambahan bilangan murid dan kakitangannya.

PENUTUP

Semenjak dari pembukaannya yang bermula pada tahun 1950 hinggalah ke tahun 1970, Kuantan terus membangun walaupun pada peringkal awal perkembangannya agak perlahan. Seperti juga di tempat-tempat lain, Kuantan mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Bertolak daripada hanya sebuah penempatan kecil sehinggalah menjadi tempat tumpuan pedagang-pedangang dan akhirnya menjadi ibu negeri, kadar pembangunannya adalah berbeza-beza. Kepesatannya jelas selepas Kuantan dijadikan ibu negeri, yang mana struktur pembangunannya yang lebih sistematik telah menjadikan Kuantan sebuah bandar yang moden. Sekarang, Kuantan terkenal bukan sahaja sebagai bandar utama di negeri Pahang tetapi juga sebagai pusat pelancongan dan pintu masuk ke pantai timur.

Foto : Sekolah Perempuan Methodist (1940)...

Tuesday, June 29, 2010

Sejarah Kuantan (4) : Sistem Perhubungan & Pengangkutan


Kita sambung lagi cerita tentang Kuantan (1850 - 1970)....

Sistem perhubungan dan pengangkutan utama di Kuantan ialah melalui air, darat dan udara. Dahulu, perhubungan melalui air adalah menggunakan perahu jalak dan perahu penambang, manakala perhubungan darat lebih tertumpu di kawasan bandar dan penempatan yang berdekatan sahaja. Perhubungan di dalam kawasan bandar disediakan dengan jalan raya yang bertar, manakala perhubungan antara Kuantan dengan Beserah, Gambang dan Sungai Lembing ialah secara meredah lorong-lorong dan denai ataupun melalui pesisiran pantai ketika air surut.

Dalam tahun 1908, Jalan Kuantan – Gambang sejauh 18 ½ batu (30 km) telah disiapkan. Walau bagaimanapun, kenderaan-kenderaan perlu menyeberangi Sungai Kuantan di TANAH PUTIH dengan menggunakan feri yang telah dibuka pada 5 September 1910. Dengan terbukanya jalan ini, Gudang Rasau telah ditinggalkan dan Kuantan mula diperluaskan. Perhubungan dari Sungai Kuantan pula dikendalikan oleh Syarikat PCCL yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan trak dan kereta api dari Sungai Lembing ke Pasir Kemudi dan kemudiannya belayar dengan menggunakan kapal wap ke Pelabuhan Kuantan. Pelabuhan Kuantan ini dibuka pada awal tahun 1900 dan dipindahkan ke Tanjung Gelang pada tahun 1970-an.

Pada bulan November 1918, jalan raya dari Kuantan ke Kuala Lipis melalui Jerantut telah disiapkan. Siapnya jalan tersebut bermakna memudahkan perhubungan Kuantan dengan kawasan Pantai Barat. Sebelum itu, pegawai-pegawai dan orang-orang di Ulu Pahang yang hendak ke Kuantan terpaksa menghilir Sungai Pahang dengan menggunakan perahu atau rakit ke Pekan. Kemudian berjalan dari sana ikut pantai laut ke Singapura dan juga ke Kuantan.
Perjalanan dari Kuantan ke Kuala Pahang, selama 8 bulan dalam setahun dilakukan dengan menggunakan perahu jalak yang boleh memuatkan dua belas orang dan barang-barang hingga 15 tan dengan bayaran $25.00 bagi sehala perjalanan. Kapal kecil digunakan untuk pergi ke Singapura (Lihat Sejarah Pahang PSCP)….

Berikutnya, rangkaian jalan raya dari Pekan ke Kuantan (di Bt. 6 Jalan Gambang, sejauh 30 batu @ 48km) pula dibuka pada tahun 1933. Manakala perhubungan jalan raya daripada Beserah ke Kemaman pula dibina semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu dan telah dibuka dengan rasminya pada tahun 1947. Dengan wujudnya rangkaian jalan raya ini, dapatlah orang-orang dari Kemaman dan Terengganu masuk berniaga di Kuantan menggunakan jalan ini.

Dengan bertambah baiknya perhubungan jalan raya dan perhubungan kapal dagang dengan Singapura, maka Kuantan menjadi tempat tumpuan pedagang-pedangang. Tambahan pula setelah terbinanya jambatan menyeberangi Sungai Kuantan pada 2 Julai 1967 menggantikan feri yang digunakan sebelumnya, kemajuan bandar Kuantan menjadi bertambah pesat.

Selain itu, kemudahan perhubungan bandar Kuantan bukan sahaja dengan adanya rangkaian jalan raya dan pelabuhan, tetapi juga Lapangan Terbang di Batu 9, yang dibina dalam tahun 1940-an. Lapangan terbang yang kenali sebagai Padang Garuda ini telah melengkapkan pula perhubungan melalui udara.

Kemajuan perhubungan dan pengangkutan ini sekaligus membantu Kuantan menjadi bandar yang penting bukan sahaja sebagai pusat pentadbiran, tetapi juga menarik lebih ramai penghijrah bertumpu ke bandar ini….

Foto :
1) Jalan Besar Kuantan
2) Pemandangan bandar Kuantan dari pelabuhan dalam tahun 1914

... bersambung ke siri terakhir SEJARAH KUANTAN....

Sejarah Kuantan (3) : Pemodenan dan Perubahan Dasar Pentadbiran


Campurtangan Inggeris di dalam pentadbiran Negeri Pahang pada tahun 1888 telah memulakan era Sistem Residen. Melalui Sistem Residen, pentadbiran Negeri Pahang telah dibahagikan kepada beberapa daerah, antaranya ialah Daerah Kuantan. Daerah Kuantan telah ditadbirkan oleh seorang Pegawai Daerah. Pegawai Daerah yang Pertama dilantik pada 1 Julai 1889 ialah A.H.Wall.

A.H.Wall mempunyai bidang kuasa yang luas dalam hal ehwal pembangunan tanah, percukaian dan kemasyarakatan. Di samping itu, terdapat banyak sistem pentadbiran negeri dan daerah di Negeri Pahang yang telah diberi nafas baharu melalui perubahan dasar-dasar pentadbiran oleh penjajah Inggeris. Antaranya ialah memperkenalkan sistem pentadbiran penguasa tempatan yang bertanggungjawab terhadap perkhidmatan bandar dan kesihatan kepada penduduk setempat.

Melalui Warta Kerajaan Pahang Bil. 2167 bertarikh 1 Ogos 1913, telah ditubuhkan bertanggungjawab terhadap kawalan kebersihan, kesihatan dan pembangunan di dalam kawasan pentadbirannya dengan jawatan pengerusi “Kuantan Sanitary Board” pada masa itu disandang oleh Pegawai Daerah sendiri. Awal tahun 1940-an, Lembaga Bandaran Kuantan diwujudkan bagi menggantikan “Kuantan Sanitary Board”, manakala pada 3 Disember 1953 “Kuantan Sanitary Board”Lembaga Bandaran Kuantan dinaikkan taraf kepada Majlis Bandaran Kuantan.

Pada tahun yang sama, iaitu pada 2 Mac 1953, Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang telah membuat keputusan untuk memindahkan pusat pentadbiran Negeri di Kuala Lipis ke Kuantan. Tanggal 27 Ogos 1955 dengan rasminya KUANTAN diisytiharkan sebagai pusat pentadbiran dan IBU NEGERI PAHANG yang baru.

Ekoran daripada pengisytiharan itu, pembangunan Kuantan menjadi semakin bertambah pesat. Sebagai ibu negeri, Kuantan bukan sahaja menjadi pusat pentadbiran, tetapi juga menyediakan semua aspek kemudahan sama ada pendidikan, perhubungan, perumahan dan sebagainya sehinggalah Kuantan menjadi tumpuan pelancong.

Memandangkan kemajuan lebih pesat yang berlaku itu, kerajaan telah meluaskan kawasan Majlis Bandaran yang dipersetujui oleh Kerajaan pada awal tahun 1967. Ia diisytiharkan sebagai Majlis Perbandaran pada 1 September 1979.

Sebagai pusat pentadbiran, pejabat-pejabat kerajaan dan kemudahan telah disedia dan didirikan di kawasan sekitar Jalan Gambut dan Jalan Masjid sementara rumah kakitangan Kerajaan telah dibina di sekitar Jalan Teluk Sisek, JALAN TANAH PUTIH, Jalan Haji Abdul Rahman dan Jalan Dato’ Lim Hoe Lek daripada tahun 1948 hingga 1970-an. Antaranya ialah :

Bangunan Pejabat Daerah – dibangunkan di Jalan Besar pada tahun 1915 dan dipindahkan ke Jalan Wall (sekarang Jalan Mahkota) pada awal tahun 1930-an.

Pejabat Pos – dibangunkan pada tahun 1912 di tapak bangunan Hong Kong Bank, kemudiannya dipindahkan ke tapak bangunan Syarikat Telekom Malaysia Berhad sekarang pada tahun 1930-an dan ke Jalan Haji Abdul Aziz pada 1970-an.

Balai Polis – dibangunkan di Jalan Besar pada tahun 1915 dan dipindahkan ke Jalan Mahkota pada awal tahun 1930-an.

Pawagam pertama – didirikan di atas tapak bangunan Hotel Raya pada tahun 1915.

Pasar Kuantan – yang awal telah dibina atas tapak pejabat Pos di Jalan Abdul Aziz sebelum tahun 1920, dipindahkan ke tapak pasar lama Jalan Mahkota pada tahun 1930-an serta ke Jalan Tun Ismail pada tahun 1960-an.

Bank pertama – ialah Merchantile Bank Of India pada tahun 1920 di atas tapak Bangunan Hong Kong Bank.

Pemancar Telekom Bukit Pelindung – dibangunkan pada tahun 1949

Penjara Kuantan – dibangunkan pada tahun 1949 di Jalan Penjara.

Bangunan Kelab Kuantan (KRC) – telah dibangunkan pada tahun 1900-an di Jalan Mahkota.

Pejabat MPK – (Dewan Bandaran) dibangunkan pada tahun 1960 di Jalan Masjid.

Hospital Besar – yang asal terletak di Taman Asia Jalan Penjara dan telah dipindahkan ke tapak Hospital Besar Jalan Tanah Putih pada tahun 1960.

Masjid Sultan Ahmad 1 – dibangunkan dalam tahun 1960 di Jalan Masjid.

Pejabat-pejabat Kerajaan – sebelum tahun 1970, terletak di Jalan Dato’ Abu Bakar dan pada 28hb Februari 1970 telah dipindahkan ke Wisma Sri Pahang.

Foto :
1) Bangunan KRC yang telah mengalami pengubahsuaian...
2) Bangunan hospital kelihatan dari padang KRC dalam tahun 1914


...bersambung lagi...

Monday, June 28, 2010

Sejarah Kuantan (2) : Pusat Pengumpulan Hasil Bijih Timah


Semenjak pembukaannya pada pertengahan kurun ke-19, Kuantan terus berkembang walaupun perkembangannya tidak begitu pesat. Jangka masa antara 1860 – 1970 perkembangannya dan pembangunan Kuantan telah dipengaruhi oleh beberapa faktor, iaitu :
1. Pusat pengeluaran dan pengumpulan hasil bijih timah dan lain-lain bahan mentah.
2. Pemodenan dan perubahan dasar-dasar pentadbiran
3. Sistem perhubungan dan pengangkutan
4. Kemudahan pendidikan

Kuantan mula membangun apabila hasil bijih timah dijumpai di kawasan Sungai Lembing dan Gambang. Perlombongan bijih timah di Sungai Lembing telah diusahakan semenjak zaman pra sejarah lagi. Namun, tiada perlombongan secara intensif dijalankan sehinggalah pada abad ke-19 apabila kaum bumiputera dan Cina meningkatkan aktiviti mereka di kawasan-kawasan perlombongan tersebut. Kawasan perlombongan bijih timah di Gambang telah dibuka oleh kaum Cina pada awal tahun 1880-an sementara kawasan perlombongan Sungai Lembing pula dalam tahun 1868 oleh Lim Ah Sam dan kemudiannya diusahakan secara intensif oleh Syarikat "The Pahang Corporation Limited" pada tahun 1887.
Syarikat ini telah ditutup pada tahun 1896 dan digantikan oleh Syarikat Peterson Simon sehingga tahun 1901. Pada bulan Julai 1906, pengurusan Lombong Sungai Lembing telah diambil alih oleh Pahang Consolidated Company Limited yang ditutup pada September 1986.

Hasil bijih timah dari Gambang dibawa ke Kuantan melalui Sungai Belat di Gudang Rasau, manakala hasil dari Sungai Lembing pula dibawa ke Pasir Kemudi dengan trak (kereta api) dan kemudiannya diangkut dengan kapal wap (belangkas) ke Kuantan untuk dieksport melalui Pelabuhan Kuantan.

Bagi memenuhi keperluan aktiviti ini, beberapa kawasan di pinggir Sungai Kuantan telah dimajukan sebagai pusat pengurusan dan pengumpulan bahan mentah, seperti bijih timah. Di antaranya ialah kemudahan pelabuhan, pejabat kastam, pejabat pentadbiran daerah, kedai dan sebagainya yang terletak di kawasan sekitar Jalan Besar, Jalan Mahkota dan Pinggir Sungai Kuantan.

Dengan corak pembangunan ini, kawasan bandar mula didiami oleh orang-orang Cina, sementara orang Melayu yang mula membuka penempatan awal di tebing Sungai Kuantan telah berpindah ke kawasan pinggir bandar, seperti di Padang Lalang, Tanjung Lumpur, Beserah, TANAH PUTIH, dan sebagainya.

Foto :
1) Pekerja di lombong Sungai Lembing dan gerabak kereta api dalam tahun 1913 yang menyambungkan kawasan perlombongan dari Kuala Reman. Landasan ini telah dipanjangkan hingga ke Pasir Kemudi.

2) Salah sebuah kapal wap yang membawa bijih timah ke Pelabuhan Kuantan. Kapal wap yang kedua digunakan dalam tahun 1913, manakala jalan air ini dibuka dari kawasan lombong Kuala Reman dalam tahun 1892.

Sumber : monograf 'Pahang Dalam Sejarah'...bersambung lagi/

Sunday, June 27, 2010

Sejarah Kuantan (1) : Jom Hebohkan...



Jom Heboh kembali lagi di Kuantan....!

Orang ramai berduyun-berduyun ke tapak 'pesta' Jom Heboh. Tidak salah untuk ke sana. Terpulang kepada diri sendiri. Ada yang kata banyak barangan yang boleh dibeli....Cuma, jika kanak-kanak yang masih bayi dan yang belum boleh berjalan, dikelek dan didukung, berduyun-duyun menyusuri jalan di bawah matahari terik, rasanya tidaklah begitu sesuai! Apatah lagi berpimpinan tangan membawa bersama nenek yang sudah kabur matanya. Terfikir di hati...sanggup mereka berpanas semata-mata untuk tidak ketinggalan dalam pesta tersebut...kalaulah begini juga semangat mereka untuk hadir ke majlis ilmu, alangkah bagusnya...
.!

Sejak Jom Heboh diperkenalkan, sama ada di Kuala Lumpur, atau di Kota Bharu, saya hanya mengikutinya dari jauh... 'meninjau' melalui media massa; belum pernah sekalipun menjejakkan kaki ke sana. Mungkin disebabkan oleh faktor usia atau tidak ada tujuan khusus untuk ke sana atau sememangnya kerana saya tidak suka berada dalam suasana hiruk pikuk, lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca yang panas begini....!

Tengah hari tadi, semasa keluar dari Stadium usai tugasan untuk Kejohanan Sukan Sekolah, keadaan di luar stadium (yang merupakan sebahagian daripada tapak gerai pameran Jom Heboh, selain di Padang MPK2) penuh sesak dengan gerai pameran dan orang ramai. Pengunjung berpusu-pusu ke tapak pameran. Keadaan di jalan raya juga sesak sekali. Hari ini merupakan hari terakhir Jom Heboh yang bermula semalam.


Dalam entri kali ini, saya bukannya hendak berceloteh tentang JOM HEBOH. Biarlah kita ikuti liputan daripada penganjurnya sahaja yang "memberi ulasan selari" dan maklumat yang panjang lebar mengenai 'pesta' yang diadakan saban tahun ini...
Kesesakan yang teruk semasa dalam perjalanan pulang ke rumah dari tugasan di Stadium Darul Makmur tadi, menunjukkan bahawa sambutan daripada rakyat negeri Pahang, khususnya warga Kuantan terhadap PESTA JOM HEBOH hangat sekali...

Dalam mengharungi kesesakan jalan raya itu, tiba-tiba terlintas di minda untuk menulis sesuatu tentang KUANTAN. Harapan saya agar catatan (yang akan dibuat dalam beberapa siri) ini dapat dikongsi dengan generasi muda khususnya warga Kuantan. Selepas ini, pengunjung blog ini, khususnya anak-anak didikku bolehlah 'mengheboh-hebohkan' SEJARAH AWAL KUANTAN ini kepada rakan-rakan yang lain, agar kalian dapat mengenali KUANTAN dengan lebih dekat lagi. Kuantan, tempat kalian dilahir dan dibesarkan....


Sebagaimana yang diketahui umum, Kuantan ialah Ibu Negeri Pahang Darul Makmur yang kini sedang pesat membangun bukan sahaja sebagai pusat pentadbiran, tetapi juga sebagai pusat perdagangan, pusat kewangan, dan pusat segala aktiviti sosial. Kuantan terletak kira-kira lima kilometer dari Laut China Selatan dan jauhnya dari Kuala Lumpur ialah 267.2 kilometer sahaja. Kuantan boleh dihubungi melalui jalan darat, laut dan udara. Pusat bandar Kuantan terletak di muara Sungai Kuantan dengan keluasan satu batu persegi (560 ekar).

BAGAIMANA KUANTAN MENDAPAT NAMA.
Siapakah yang membuka, bilakah dibuka dan siapakah yang menamakan Kuantan tiada seorang pun yang dapat menentukannya. Melalui catatan sejarah, Kuantan telahpun wujud semenjak awal tahun 1850-an lagi. Kewujudan awal Kuantan pada kurun ke-19 bermula sebagai penempatan. Abdullah Munsyi pada 1851 @1852 menyentuh mengenai Kuantan seperti berikut :
“Hatta maka pada malam Khamis datanglah sebuah perahu kecil dari Kuantan. Maka berkhabarlah ia kepada anak-anak perahu mengatakan ada perahu lanun di Tanjung Tujuh, 40 buah dan di Pulau Kapas pun ada, dan di Pulau Badang pun ada, maka telah didapati dua buah perahu orang Kuantan dan dua buah perahu lepas lari”.
Menurut cerita lisan dari beberapa orang tua termasuk Tuan Kechik bin Tuan Abdullah, Batu Hitam, pada peringkat awalnya Kuantan lebih dikenali sebagai nama Kampung Teruntum. Penempatannya adalah di sekitarar Muara Sungai Teruntum, iaitu kawasan berhampiran hospital sekarang. Ia telah dibuka oleh Haji Senik dan pengikutnya sekitar tahun 1850-an.

Semasa tinggal di sini, mereka mengusahakan kawasan paya teruntum yang terletak di tapak hospital sekarang sehingga ke kawasan Sekolah Abdullah. Air daripada paya yang dikerjakan oleh mereka turun ke Sungai Besar (sekarang dikenali sebagai Sungai Kuantan) melalui Sungai Teruntum. Selain mengerjakan paya tersebut, mereka juga menangkap ikan dan berniaga secara kecil-kecilan. Bukti kawasan tersebut pernah dijadikan penempatan ialah terdapatnya perkuburan Cik Timah yang berhampiran Taman Esplanade.
(Cik Timah ialah anak Haji Senik yang telah disemadikan di tanah perkuburan tersebut. Apabila taman Esplanade diwujudkan di situ, ia melibatkan sebahagian daripada tanah perkuburan tersebut dan pusara Cik Timah telah dipindahkan ke Beserah bersebelahan pusara ayahnya Haji Senik dan ada sehingga hari ini...)
Berhubung dengan nama 'Kuantan', dikaitkan pula dengan pembukaan sebuah kawasan di hulu di Kampung Teruntum oleh orang Melayu dari daerah yang bernama Kuantan di Sumatera dengan diketuai oleh Encik Besar sekitar tahun 1854. Rombongan ini telah dibenarkan membuka kawasan tersebut. Orang yang datang kemudiannya telah memanggil tempat tersebut sebagai Kampung Orang Kuantan. Oleh sebab “Kampung Orang Kuantan” itu terlalu panjang, maka dipendekkan dengan panggilan KUANTAN sahaja yang kekal sehingga ke hari ini.

Sumber : Dipetik dan diolah semula daripada monograf "PAHANG DALAM SEJARAH", Lembaga Muzium Negeri Pahang, 1989.

...bersambung/

Friday, June 25, 2010

Corat-coret SUKAN sekolah...




Minggu ini, di sekolah semua orang sibuk membuat persiapan untuk kejohanan sukan tahunan yang akan diadakan pada hari Ahad, 27 Jun ini di Stadium Darul Makmur, Kuantan. Kebetulan pula, di Padang MPK2 dan di sekitar stadium berlangsung JOM HEBOH yang akan bermula esok sehingga Ahad ini.

Pagi tadi, semasa ke stadium untuk raptai penuh Kejohanan Padang dan Balapan Tahunan Sekolah, persiapan untuk PROGRAM JOM HEBOH sedang giat dijalankan. Tempat letak kereta di hadapan pintu utama stadium sudah penuh dengan gerai untuk JOM HEBOH! Bagaimanalah agaknya suasana di persekitaran stadium itu nanti pada hari Ahad ini. ?. JURUHEBOH vs JOM HEBOH....?

Kejohanan atau acara sukan sekolah sebenarnya meninggalkan banyak kenangan kepada diri saya, mungkin juga kepada anda semua. Bagi saya, acara sukan sekolah zaman dulu-dulu lebih meriah berbanding sekarang, lebih-lebih lagi semasa di bangku sekolah rendah. Masih terbayang di mata, dulu khemah yang digunakan adalah berupa paracut, iaitu kain yang sifatnya ringan, nipis tetapi anjal. Bergerak-gerak apabila ditiup angin. Khemah paracut ni akan dipasang mengikut warna rumah sukan... biru, merah, hijau dan kuning... ahli rumah sukan akan berkumpul di dalam khemah itu. Khemah-khemah ini akan dihias mengikut kreativiti masing-masing. Khemah putih pula adalah untuk bahagian urus setia atau untuk guru-guru. Terasa kemeriahannya.

Selain khemah, yang sangat menjadi nostalgia ialah padang sekolah yang dijadikan gelanggang kejohanan sukan itu. Padang sekolah akan di kelilingi dengan tali bendera kecil berbentuk tiga segi. Pelbagai warna. Bendera tiga segi yang bersaiz kecil ini juga akan dipacakkan di atas padang .... nampak meriah sekali. Terasa suasana bersukan. Satu lagi, yang masih saya ingat semasa sekolah, acara yang ditunggu-tunggu sebelum berakhirnya acara sukan ialah berebut gula-gula yang ditabur di atas rumput. Pelbagai cara dan aksi dilakukan untuk mengumpul gula-gula yang ditabur itu. Kadang-kadang terdapat juga acara tarik tali antara guru dengan ibu bapa yang hadir sebagai penonton. (Acara tarik tali ni masih lagi ada dalam kejohanan sukan di sesetengah sekolah sekarang....)

Satu lagi kenangan yang sentiasa bermain-main dalam minda ialah bentuk hadiah yang diberi kepada setiap pemenang. Hadiah piala atau "mangkuk perak". Tersusun kemas memenuhi meja hadiah dan berkilau-kilauan apabila terkena panahan sinaran matahari. Kedua-dua belah "telinga" piala atau 'mangkuk perak' itu diikat dengan reben berwarna merah. Unik sekali. Ada piala yang kecil dan ada yang besar, mengikut kategorinya. Piala atau 'mangkuk perak' yang besar merupakan hadiah utama, biasanya untuk Piala Pusingan Johan Keseluruhan Olahragawan dan Olahragawati Terbaik. Sekali setahun 'mangkuk perak' ini akan digilap menggunakan 'brasso'. Saya pasti semua sekolah ada menyimpan piala pusingan ini. Biasanya piala-piala ini disimpan atau memenuhi Bilik @ Sudut Warisan Sekolah masing-masing. Di SMKTP juga tidak terkecuali, piala @ 'mangkuk perak' ini tersusun kemas di dalam almari bercermin di Bilik @ Galeri Sekolah.

Apa lagi ya...? Ah, memang banyaklah kenangan semasa sukan @ 'Sports Day' dulu-dulu... yang pasti kemeriahannya akan terasa beberapa minggu sebelum berlangsungnya kejohanan itu....! Ya, semuanya amat indah untuk dikenang.

Kini, sudah tidak ada khemah paracut yang pelbagai warna. Yang ada kini ialah kanopi. Itu kalau diadakan di padang sekolah masing-masing...! Kalau buat di stadium, tempat duduk sudah tersedia, jadi jangan harap untuk duduk dalam khemah, apatah lagi untuk menghiasnya! Duduk sahajalah di tempat yang telah tersedia itu.... tak ada bendera, tak ada hiasan. Yang ada hanyalah bendera rumah sukan masing-masing. Merah, biru, kuning dan hijau. Itupun satu sahaja. Saiznya agak besar, sama saiz dengan bendera Malaysia atau bendera sekolah. Dikibarkan terutamanya apabila peserta rumah masing-masing menang dalam sesuatu acara yang dipertandingkan. Semasa upacara penyampaian hadiah., nampaklah meriah sikit.

Selain itu, kini piala dalam bentuk "mangkuk perak" hanya satu, iaitu hadiah @ Piala Pusingan untuk Johan Keseluruhan...! Yang lainnya berupa pingat yang dikalungkan ke leher pemenang.... sesetengahnya diperbuat daripada plastik bersadur warna emas, perak dan gangsa mengikut kategori. Ringan dan nipis ! Kalau ada bajet lebih sikit, dapatlah tempah pingat yang lebih baik kualitinya. Walau apapun, itulah simbol kejayaan @ kemenangan dalam sesuatu acara yang dipertandingkan.

Yang penting ialah semangat kesukanan yang tinggi yang ditunjukkan oleh semua peserta setiap kali acara sukan dan permainan di pertandingkan. Nampak semua murid bersatu untuk memberi sokongan kepada pasukan masing-masing. Benarlah, sukan dapat menyatukan semua bangsa.... !

Menurut wilkipedia, sejarah sukan kemungkinannya bermula sejak kewujudan manusia sebagai tujuan bersukan dan makhluk aktif. Sukan merupakan cara berguna bagi manusia meningkatkan kelebihan mereka terhadap alam semulajadi dan persekitaran. Sejarah sukan mampu mengajar kita banyak perkara mengenai perubahan kemasyarakatan dan mengenai sifat semulajadi sukan itu sendiri.

Dalam bersukan, semangat kesukanan merupakan elemen yang amat penting. Semangat kesukanan menggambarkan aspirasi atau etos yang aktiviti sukan itu akan dinikmati semata-mata kerananya tetapi selalunya tekanan pertandingan, kejayaan individu, atau pengenalan pada teknologi akan menyebabkan perkara yang sebaliknya berlaku kepada peserta. Dengan kata lain, dalam sesuatu pertandingan, tidak dapat dielakkan kekalahan akan menyebabkan rasa kecewa dan kesedihan.

Selain itu, terdapat macam-macam nama untuk rumah sukan. Masa sekolah dulu, selain menggunakan warna, ada juga menggunakan nama-nama tokoh, misalnya semasa bersekolah di SIC dulu antara nama rumah sukan ialah IBRAHIM, BAKER, MUHYIDEEN, (satu lagi dah lupa)... semasa mengajar di SMTM, KL (1989 - 2000) dulu berdasarkan warna bunga - MAWAR (Merah), DAHLIA (kuning) ANGGERIK (Biru), dan KENANGA (hijau). Manakala semasa mengajar di SMKJ2 pula, nama rumah sukan mengikut nama pahlawan Melayu. Semasa di SMSI (2004 - 2005), saya menjadi guru rumah GLOBAL (biru).

Umumnya, orang ramai menganggap konsep SUKAN = OLAHRAGA yang biasa dikenali sebagai olahraga trek (balapan) dan padang, iaitu satu koleksi acara sukan yang melibatkan larian, balingan dan lompatan. Nama "olahraga" berasal daripada perkataan Greek "athlos", bermaksud "bertanding". Olahraga mula disertakan dalam pertandingan Olimpik pertama pada tahun 1896 dan masih diteruskan sehingga kini. Wanita hanya dibenarkan untuk menyertai acara trek dan padang pada tahun 1928.

Mulai musim ini, ada pekeliling meminta pihak sekolah menggantikan KEJOHANAN SUKAN @ OLAHRAGA TAHUNAN SEKOLAH kepada KEJOHANAN PADANG DAN BALAPAN TAHUNAN SEKOLAH. Rupa-rupanya, tahun ini merupakan kejohanan Padang dan Balapan Tahunan SMK Tanah Putih untuk kali ke-41... !

Foto : 1) di Stadium Darul Makmur (2010); 2) di Kompleks Sukan Kampung Pandan, KL (1996); 3) di Stadium Bola Sepak KL, Cheras (1992)

Wednesday, June 23, 2010

renungan


Kita mungkin menjadi insan yang baik apabila kita diuji dengan kesusahan tetapi ramai yang gagal mengawal dan mengurus minda serta iman apabila diuji dengan kesenangan.

Tetamu Senja

Kita datang ini sebagai tetamu senja

Bila cukup detik kembali kita kepadaNya

Kita datang ini kosong tangan kosong dada

Bila pulang nanti bawa dosa dan pahala

Pada tetamu yang datang dan kenal jalan pulang

Bawalah bakti kepada Tuhan kepada insan

Pada tetamu yang datang dan lupa jalan pulang

Usahlah derhaka kepada Tuhan kepada insan

Bila kita lihat manusia lupa tempat

Atau segera sesat puja darjat puja pangkat

Segera kita insaf kita ini punya kiblat

Segera kita ingat kita punya tekad

Bila kita lihat manusia terbiar larat

Hingga mesti merempak ke laut biru kekuningan darat

Harus kita lekas sedar penuh pada tugas

Harus kita tegas sembah seluruh rasa belas

Kita datang ini

Satu roh satu jasad

Bila pulang nanti

Bawalah bakti pada berkat


A. SAMAD SAID


Tuesday, June 22, 2010

ABE & Piala Dunia FIFA 1986



Pada 22 JUN 24 tahun yang lalu, pada usiaku hampir mencecah 24 tahun, aku mula bergelar 'Mak' dengan hadirnya Abe dalam hidup kami, yang kami namakan MOHD FARIS B. NAIN

Kami sangat bersyukur kerana dalam usia yang masih muda, kami sudah bergelar "Mak" dan "Ayah". Kehadiran Abe juga telah menceriakan lagi keluarga Papa dan Mama yang selama ini dikelilingi oleh 8 orang cahayamata yang kesemuanya puteri. Abe merupakan cucu pertama Tok Pa dan Tok Ma. Hadir seorang lagi putera dalam keluarga besar Papa, selain menantu pertamanya..., suamiku!


Abe hadir pada musim masyarakat dunia 'demam' bola sepak Piala Dunia. Kebetulan pada waktu itu, di Mexico berlangsung perlawanan Bola Sepak Piala Dunia kali ke-13 yang bermula dari 31 Mei hingga 29 Jun 1986. Aku masih ingat lagi, Abe selamat dilahirkan di rumah Mama tepat pukul 10.30 malam, beberapa jam sebelum perlawanan peringkat separuh akhir Piala Dunia 1986.

Ini bermakna, suamiku yang baru beberapa jam bergelar "Ayah" tidak lagi diselubungi resah gelisah menunggu 'orang baru'; dapat duduk dengan selesa, di depan kaca televisyen untuk menonton perlawanan separuh akhir antara Jerman dengan Perancis yang diadakan pada pukul 2.30 pagi (waktu Malaysia). Piala Dunia 1986 dimenangi oleh Argentina yang telah mengalahkan Jerman 3-2, dan Diego Maradona dinobatkan sebagai pemain terbaik pada musim itu.

Kini, FIFA Piala Dunia kembali lagi. Piala Dunia edisi ke-19 ini masih lagi di peringkat awal. Peminat bola sepak masih berteka-teki negara manakah yang akan menggungguli 16 pasukan ke pusingan seterusnya....

Untuk Abe,
Mak dan Ayah sentiasa mendoakan agar Abe terus tabah dan kuat menghadapi cabaran hidup. Perjalanan masih jauh dan panjang. Setiap yang Abe lalui merupakan ujian daripada Yang Maha Esa. Kita perlu redha dan bersyukur kerana masih diberi peluang untuk meneruskan kehidupan ini.

Abe, SELAMAT HARI JADI YANG KE-24,
Semoga Abe akan terus diberkati Ilahi. Jangan lupa berdoa kepada-NYA, selalu ingat Allah s.w.t dalam apa-apa jua keadaan, susah atau senang.... Tingkatkan usaha untuk menggapai cita-cita demi masa depan...


Monday, June 21, 2010

Di Padang Ilmu...


Sesi persekolahan penggal kedua tahun 2010 kembali lagi ... anak-anak didik mula melangkah ke sekolah untuk menimba ilmu... Cikgu-cikgu terus mengejar masa mencurah bakti... di padang ilmu....

Di padang ilmu
kita mestilah tangkas berlari
menuju hala
ke benua luas terbuka.

Di padang ilmu
kita tidak semestinya lupa
akan pesan ayah bonda
mengejar cita-cita :
- perlu banyak tenaga
- perlu banyak kerja
- perlu banyak tumpuan
- perlu banyak perhatian
- perlu banyak usaha
- perlu banyak mengingati Tuhan

... pesan ayah bonda lagi
ikhlas suci mengangkat pekerti
menggenggam ilmu
bukan mudah diperoleh.

Di padang ilmu
semerbak harum kembang minda
sisipkan di hati penuh yakin
pasti di hati penuh yakin
pasti mewangi taman kejayaan.

Di padang ilmu
kita mencapai acuan penuh iltizam
untuk nanti merangkul jaya
memeluk erat harapan keluarga
memeluk erat sejahtera negara....



Ilmu itu bagai bintang-bintang yang gemerlapan menyinari hati sanubari setiap insan yang mendamba kebenaran...

Iman memberi cahaya pada jiwa, ilmu memberi sinar pada wajah. Walaupun tiada pangkat, orang-orang yang beriman dan berilmu tetap dipandang mulia di sisi Allah s.w.t.

Semoga kita semua akan diberi sinar cahaya kebenaran....InsyaAllah...

Sunday, June 20, 2010

SELAMAT HARI BAPA


Hari ini, 20 JUN 2010 - hari minggu yang ke-3 bagi bulan Jun - HARI BAPA diraikan di seluruh dunia. Sebenarnya, kita tidak perlu menunggu tarikh tersebut untuk meraikannya... ibu dan bapa perlu diraikan pada setiap masa sementara masih ada ruang waktu...

Peranan dan tanggungjawab seorang insan yang bergelar bapa tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Walaupun bapa tidak pernah meminta balasan atas pengorbanannya, namun sebagai anak, sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk menghargai dan memberikan kebahagiaan kepada bapa yang dikasihi.

Insan yang bergelar bapa ini telah membesarkan kami dengan limpahan kasih sayang walaupun kehidupan kami sekeluarga agak sederhana...segala pengorbanannya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata..! TERIMA KASIH, PAPA.

Selamat Hari Bapa juga ditujukan istimewa untuk AYAHANDA kepada putera puteriku. Seorang AYAH yang sentiasa prihatin dengan keperluan anak-anak dan kaya dengan kasih sayang. Terima kasih kerana menjadikan kami sangat bermakna dalam hidupku.

Oleh itu, pada kesempatan sambutan HARI BAPA yang diraikan di seluruh dunia, anak-anak yang masih berpeluang menghargai BAPA mereka, jadikan hari istimewa ini antara hari yang membahagiakannya sepanjang hayat si bapa.... hargailah bapa kita pada setiap masa...


"...Papa, engkaulah segala-galanya untuk kami ...."

Thursday, June 17, 2010

Temu Janji yang Tertangguh



Bukan sehari dua, bukan 30 hari, bukan setahun dua, juga bukan lima atau sepuluh tahun, tetapi bertahun-tahun lamanya. Selama 30 tahun 'temu janji' kami tertangguh...!

Rabu lepas, selepas sarapan pagi di sebuah warung di belakang SMZ, aku terus menuju ke pejabat sahabatku ini yang letaknya di Kubang Kerian, KB. Di sepanjang perjalanan, dalam hati, aku berdoa agar tidak ada aral yang mendatang... berharap agar pertemuan ini diperkenan oleh-NYA.

Sebenarnya, aku sudah berada di KB sejak hari Khamis minggu lepas. Aku bercadang untuk bertemunya selewat-lewat pada hari Ahad. Setelah dihubungi menerusi sms, sahabatku menyatakan bahawa dia sedang bercuti di KL. Jauh di sudut hati tertanya-tertanya, adakah kami sempat untuk bertemu...

Sudah 6 hari aku berada di kampung. Pada tengah hari, hari Selasa, setelah tiada apa-apa perkhabaran daripada sahabatku itu, aku gagahkan hati untuk bertanya, "Bila T akan masuk kerja?". Menerusi SMS juga, sahabatku memberitahu bahawa dia baru bertolak dari KL untuk balik ke KB dan akan mula bekerja pada keesokan harinya, iaitu hari Rabu.

Tiba saat yang dijanji. Awalnya, hati agak tergugat setelah 2 kali panggilan telefon tidak terjawab. Hati kuat menyatakan bahawa, mungkin T sedang sibuk setelah beberapa hari bercuti. Aku memberitahu suami, jika tidak ada apa-apa jawapan dalam masa 10 minit, eloklah kita beredar. Kita jumpa apabila balik lain kali.

Beberapa saat berlalu. Tiba-tiba, ada panggilan masuk. T menelefonku. Sayup-sayup di talian, terdengar suaranya menjemput kami masuk. Aku keluar dari kereta dan melihat T sudah menungguku di pintu pejabatnya....

Pertemuan akhirnya terjadi juga antara aku dengan
HASMAWATI BT. HASHIM setelah sekian lama berpisah. 30 tahun yang ditinggalkan, banyak mengubah kami berbanding zaman awal remaja dahulu... Air mata yang sejak pagi lagi bermain di bibir mata sudah tidak dapat dibendung lagi. Kami berpelukan. Perasaan terharu dan gembira bercampur baur. T tetap ceria seperti dulu. Aku meminta izin untuk ke kereta, kononnya untuk memanggil suamiku... yang sebenarnya adalah untuk menyapu air mata yang sudah mula membasahi pipiku.

Kami gunakan masa yang singkat itu untuk menyingkap episod lama persahabatan kami, mengimbau kenangan manis kala usia remaja. Walaupun kami sempat bertemu hanya untuk seketika, tetapi rindu yang sudah sekian lama tersimpan terurai jua....


Kami berjanji akan bertemu lagi. Bertemu untuk menyambung hikayat yang tersimpan dan tersusun rapi dalam khazanah kenangan 30 tahun lamanya...

Syukur kepada-MU Ilahi. Kita hanya merancang, Allah s.w.t jua yang menentukannya...


Foto : tahun 2010, 1979, 1974...

Wednesday, June 16, 2010

Ceritera Klate (2) : nama negeri...

Negeri yang sekarang bernama "KELANTAN" dahulunya dikenali dengan berbagai-bagai nama. Sejarahnya amat lama dan tua. Ia lebih tua daripada negeri-negeri Melayu pantai barat seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka, malah ia mungkin lebih tua daripada Kedah dan Patani.

Pada zaman ribuan tahun yang lalu, negeri Kelantan dikatakan bernama Tidak lama sebelum abad yang pertama, ia bernama "Medang Kamulan". "Medang Gana" dan nama ini berlanjutan hingga abad ke-5 sebelum ia berubah kepada "Kalatana" atau "Tanah Kala".

Menurut cerita dahulu kala ada juga yang menyatakan bahawa nama Kelantan dipadankan dengan perkataan "hutan gelam", iaitu sejenis pokok yang terdapat di negeri ini. Selain itu, ada juga yang menyatakan bahawa nama Kelantan diambil daripada perkataan 'kilatan', iaitu cahaya yang memancar daripada cahaya kilat. Sementara itu, berdasarkan catatan sejarah, dalam abad ke-5M, sejarahwan China - Shen-Yao (414-512) dalam Sung Shunya sudah mencatat nama "Ho-lo-tan" atau "Ko'u-lo-tan" sebagai ibu kota di Semenanjung Tanah Melayu. Nama ini dipakai sehingga pada separuh bahagian kedua abad ke-6.

Pada akhir abad ke-6 Masehi, nama negeri Kelantan bertukar kepada "Raktamrittika" yang bererti Negeri Tanah Merah. Nama ini diberi oleh Raja Kelantan yang bernama Gautama selepas ia melancarkan pemberontakan terhadap Funan (Kemboja), lalu mendirikan ibu kotanya di daerah pedalaman Kelantan yang strategik dan kaya dengan emas. Ahli-ahli sejarah berpendapat bahawa Raktamrittika ini tidak lain ialah "Chi'ih-tu" yang disebut oleh Wei Cheng (581-643) dalam Shi-Shu. Dinyatakan dalam catatan China ini bahawa Chi'h-tu terletak di selatan Langkasuka (lebih kurang Patani sekarang). Ada digambarkan dalam catatan ini bahawa pantai negeri Chi'h-tu mengadap ke arah utara dan jarak antaranya dengan Champa adalah sejauh sepuluh hari perjalanan. Tidak syak lagi bahawa lokasi seperti ini ialah pantai negeri Kelantan sekarang.

Dalam abad ke-7 Masehi sebuah nama baharu, "Sri Wijaya Mala" muncul menggantikan Rakramittika. Pada tahun 677M, maharajanya, Sri Jayanaga, berjaya menakluk seluruh Semenanjung lalu mengisytiharkan nama "Sri Wijaya" bagi menjadi nama negara yang dibangunkannya. Negara ini kemudian meluas sampai ke luar Semenanjung Tanah Melayu hingga ke Malayu di Sumatera kira-kira pada abad ke-7. Di tempat baginda membangunkan sebuah ibu kota yang baharu, iaitu di kawasan sekitar Palembang sekarang. Negeri Kelantan (Sri Wijaya) diserahkan kepada puteranya, Sri Naharaja Dripantara, manakala Palembang (Sri Wijaya II) diberi kepada puteranya Sri Maharaja Diraja. Kedua-dua kerajaan ini kemudiannya disatukan oleh Sanjaya, cucu baginda, dalam sebuah empayar yang disebut oleh orang China San-Fo-tse (Tanah Indah Sekebun Bunga). Peristiwa ini terjadi dalam abad ke-8 Masehi.

Dari semasa ke semasa, negeri Kelantan dikunjungi oleh ramai pedagang, jauh dan dekat. Mereka datang dari Kepulauan Melayu, Siam, Kamboja, Champa, China, India, Parsi dan Arab. Kunjungan2 para pedagang ini membuktikan bahawa negeri Kelantan pada waktu itu telah menjadi kota dan pelabuhan perdagangan yang utama di rantau ini, sekaligus telah menyebabkan negeri Kelantan menjadi kuat sehingga mampu menakluki negeri-negeri lain.


Sumber : Ikhtisar SEJARAH KELANTAN, Abdul Razak Mahmud, 2005

Tuesday, June 15, 2010

Ceritera Klate (1) : Umum

Masih lagi bercuti di kampung kelahiranku... Kota Jelasin, negeri Cik Siti Wan Kembang, Tanah Serendah Sekebun Bunga....

Terpanggil untuk menulis catatan bersiri perihal asal-usul negeri ini berdasarkan beberapa sumber yang diperoleh. Semoga sedikit sebanyak dapat berkongsi pengetahuan...

Negeri ini merupakan salah sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia dan terletak di pantai timur Semenanjung Tanah Melayu.

Negeri ini bersempadan dengan Terengganu di sebelah Timur; dengan Pahang di sebelah Selatan; di sebelah Barat dengan Perak dan Selatan Thai (dahulunya Legeh) dan di sebelah utara ialah Pantai Laut China Selatan yang sepanjang 78.4 km itu. Luas negeri ialah 14,922 km persegi atau 1,492,200 hektar.

Negeri ini terbahagi kepada 10 buah jajahan dan 63 buah daerah. Daerah-daerah ini diketuai oleh Pengawa (dahulunya Tok Kweng) yang bertanggungjawab kepada Ketua Jajahan. Gabungan antara daerah2 ini membentuk sebuah jajahan, manakala gabungan antara jajahan2 pula membentuk sebuah negeri - NEGERI KELANTAN.

Negeri Kelantan bergelar "Darulnaim" atau Negeri Penuh Nikmat. Nama ini telah dicadang oleh Mufti Kerajaan Negeri Kelantan, Sahib al-Samahah Haji Wan Muhammad bin Abdul Samad, dalam State Council pada bulan Julai 1916 dan telah mendapat ampuni perkenan Baginda Sultan Kelantan pada waktu itu (Sultan Muhammad ke-IV) untuk dipakai menjadi nama timangan bagi negeri Kelantan. Sebelum nama timangan ini diberi, adalah dipercayai nama timangan negeri Kelantan ialah "Kelantan Darul Aman" (nama Darul Aman kini dipakai oleh Negeri Kedah).

Dalam abad ke-19, negeri Kelantan bersama-sama dengan negeri-negeri Melayu Kedah, Perlis, Terengganu dan Patani terletak di bawah kekuasaan Siam. Melalui Perjanjian Bangkok 1909 atau Perjanjian Inggeris - Siam 1909, negeri Kelantan bersama-sama dengan tiga buah negeri Melayu yang lain (Perlis, Terengganu dan Kedah), diserah oleh Siam kepada Inggeris, tetapi dengan mengekalkan Patani di bawah kekuasaannya sehingga sekarang.

Selepas penyerahan ini, Inggeris menubuhkan apa yang dipanggil"Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu" di Tanah Melayu. Di bawah sistem ini, NNMTB menerima seorang Penasihat British bagi menasihati kerajaan negeri masing-masing dalam urusan pentadbiran negeri, tetapi tidak dalam perkara-perkara agama Islam dan adat-istiadat Melayu. Penasihat British yang pertama bagi Negeri Kelantan ialah J.S.Mason. Beliau tiba di Kelantan pada bulan Julai 1909, tidak lama selepas Perjanjian Bangkok 1909 dikuatkuasakan.

Pada tahun 1948, negeri Kelantan menandatangani Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu bagi membentuk sebuah negara Persekutuan Tanah Melayu menggantikan Malayan Union yang telah dimansuhkan. Pada 31hb Ogos 1957, negara PTM ini mencapai kemerdekaannya daripada British, dan kemudiannya pada 16 September 1963, negara ini bersama-sama dengan Sabah, Sarawak dan Singapura membentuk sebuah persekutuan baharu bernama Persekutuan Malaysia atau Malaysia sahaja sebagaimana ia dikenali sekarang. (Singapura kemudiannya keluar daripada Persekutuan Malaysia pada bulan Ogos 1965).

... bersambung lagi....

Monday, June 14, 2010

JEJAK SAHABAT (1)


Seringkali ingatanku singgah kepadamu sahabat
Pernah sama-sama belajar, bermain dan bergurau
di bawah bumbung SRJK(I) Kota...
Tika sahabatku berlabuh di MRSM PC
Kita masih berjumpa kala cuti bertamu
pada setiap hujung musim persekolahan...

Masih kuingat sahabatku,
kali terakhir kita bertemu
sebelum keberangkatanmu
ke bumi Kanggaroo, awal 1980
hanya aerogram penghubung khabar dari Adelaide
...

Tiga dekad berlalu....
Rindu yang kian sarat tidak terkendong lagi
dibuai kenangan lama musim persekolahan
yang tetap kukuh dalam ingatan.

Sungguh tinggi harapanku
agar kita dapat bertemu semula
berbicara, berkisah hikayat yang telah lama tersimpan
denganmu sahabatku....


FAIZAH BT. JAAFAR.

Sunday, June 13, 2010

Tukang Cerita @ Bari

Sudah beberapa hari kami bercuti di kampung. Setiap kali apabila terdengar kami balik ke kampung, Pok Weil akan datang bertandang ke rumah kami.... Rumah Pok Weil dengan rumah kami tidaklah jauh sangat. Berjalan kaki ambil masa tak sampai 10 minit...! Ada-ada saja cerita @ bari yang akan disampaikan.

Dalam famili kami, orang yang paling suka bercerita kisah-kisah lampau ialah Pok Weil. Pok Weil ialah satu-satunya saudara kandung Papa seibu sebapa. Nama sebenarnya ialah ISMAIL B. HAJI DAUD. Walaupun sudah melewati usia 80 tahun, tetapi dia tidak begitu dimakan usia dan ingatannya masih kuat...

Menurut cerita Papa, masa Jepun menyerang KB, Pok Weil sudah berusia belasan tahun. Papa masa tu masih dalam kandungan Mok Meknga.

Cerita-cerita yang disampaikan amat menyeronokkan, walaupun diulang beberapa kali. Dari segi fakta sejarah semuanya tepat, biarpun kadang-kadang tu agaknya ditokok tambah untuk menyedapkan cerita. Cerita yang disampaikan melompat-lompat dari satu zaman ke zaman yang lain. Saya rasa fakta yang disampaikan tu digabungkan antara pengalaman dirinya sendiri dengan sumber bacaan...Justify Full

Pok Weil juga pernah bercerita bagaimana Che Daud (Atok)ke Singapura untuk membeli radiogram (peti nyanyian yang digabungkan dengan radio untuk memainkan piring hitam). Pok Weil kata rupa radiogram tu macam dalam cerita P. Ramlee - Anakku Sazali.

Menurut Pok Weil, perjalanan Atok ke Singapura pada akhir tahun 1930-an mengambil masa agak lama juga. Dari KB guna jalan darat sehingga ke Kuantan. Dari Kuantan Atok akan naik kapal laut terus ke Singapura, begitu juga semasa balik. Tak lama selepas tu, perang meletus di Tanah Melayu.

Masa tu tak banyak rumah yang memiliki radiogram. Orang-orang kampung akan datang beramai-ramai ke rumah Atok untuk mendengar lagu dan cerita sandiwara melalui radiogram itu...

Kata Pok weil, semasa pendudukan Jepun, radio tu jugalah yang menjadi penghubung dengan dunia luar. Atuk tidak diganggu oleh Jepun, malah bekalan makanan terutama beras di rumah Atuk tidak pernah berkurangan. Rumah Atuk menjadi tempat orang-orang kampung mendapat bantuan. Mungkin ini disebabkan pekerjaan Atuk dan juga hubungan rapat Atok dengan kerabat istana...

Kami juga banyak tahu mengenai susur galur keluarga melalui cerita yang disampaikan oleh Pok Weil. Begitu juga dengan pengalaman Atok sebagai Tok Mandur dengan Sanitary Board Kota Bharu (kini MPKB) sejak sebelum perang lagi sehingga Atuk pencen pada tahun 1970. Semuanya diceritakan oleh Pok Weil.

Terlintas juga dihati...berapa lama lagikah sempat kami mendengar celoteh Pok Weil...?

Tapi sejak akhir-akhir ni, rasanya sudah beberapa kali balik ke kampung, kami sudah jarang bertemu Pok Weil. Sudah lama tidak mendengar celoteh Pok Weil....mungkin kesuntukan masa membuatkan kami yang tidak sempat bertemu @ bertandang ke rumah Pok Weil...

Foto : Pok Weil (berbaju putih) dengan Papa

Friday, June 11, 2010

Musim Bekwoh Nikah Kahwin


Setiap kali musim cuti sekolah, banyak sekali majlis kenduri kahwin atau bekwoh @ 'big work'. Beberapa majlis kenduri kahwin kerabat terdekat sudah menunggu kepulangan kami di kampung halaman. Ada juga jemputan untuk 'berarak' @ menyertai rombongan bertandang ke rumah pengantin.... insyaAllah, jika tiada aral, akan kami penuhi undangan tersebut.

Semalam 10 JUN 2010, majlis perkahwinan sepupu terdekat, NUR DEKAWATY BT. SALLEH dengan pasangannya MOHD SAIZUL AZLAM B. ABDUL MANAF...

Cerita tentang musim bekwoh nikah kahwin ni, saya terpanggil untuk mencatat sesuatu tentang pernikahan dan perkahwinan...

Sebenarnya, pernikahan bukan sekadar menghalalkan yang haram tetapi ia lebih daripada itu.

"...Melihat perkahwinan sebagai medan untuk MEMBERI, akan menjadikan kita lebih memikirkan soal PERANAN dan bukannya HAK yang tidak berkesudahan..."

Perkahwinan datang bersama tanggungjawab di bahu. Jika dahulu hanya fikir tentang diri sendiri, apabila berkahwin kena fikir sekali tentang pasangan/anak2/keluarga kedua2 belah pihak. Bukan sedikit pengorbanan daripada pihak suami, isteri dan apatah lagi anak-anak. Apabila sudah tinggal bersama, segala kekurangan diri akan terserlah. Carilah titik persamaan yang akan mengukuhkan lagi ikatan yang ada, bukan masing2 mencari alasan untuk saling menjauhkan diri.

Begitulah kehidupan berumahtangga, saling lengkap melengkapi dan saling memerlukan antara satu sama lain. Perkahwinan datang bersama dengan tanggungjawab yang mesti digalas di bahu.

Sebaik-baik contoh kehidupan berkeluarga ialah rumahtangga Rasulullah s.a.w.
Baginda yang paling berlemah lembut pada keluarganya. Baginda menyayangi kanak-kanak dan tidak segan untuk mencium anak-anak dan cucu-cucu baginda.
Sesungguhnya banyak lagi yang kita boleh pelajari dari buku-buku yang baik yang bercerita tentang Sirah Rasulullah s.a.w. untuk kita jadikan pedoman.

Pelbagai cerita yang kita baca dan ada yang kita lihat dengan mata sendiri tentang perkahwinan. Perkahwinan adalah sunnah Rasulullah s.a.w. dan Rasulullah s.a.w. bersabda :

"... bukan dari kalangan umatnya sesiapa yang menentang perkahwinan. ... Jika seseorang itu berkahwin maka telah sempurna sebahagian dari agamanya. Besarnya nilai sesebuah perkahwinan...."

Malangnya apa yang kita lihat hari ini amat menggusarkan. Perkahwinan menjadi seperti permainan. Apabila suka, ambil, tak suka, lemparkan ke mana-mana sahaja. Ada yang berkahwin umpama menukar baju, baik lelaki atau perempuan. Bukan sedikit seorang suami yang mengabaikan anak isteri hanya untuk mengejar wanita lain.

Kepada adik-adik yang akan berkahwin, selalu saya ingatkan. Kadang-kadang jadi seperti leteran kepada mereka ....

Cantik atau kacak bakal pasangan kita, bukan menjadi keutamaan bila telah sah ikatan perkahwinan. Apa guna pasangan yang cantik atau kacak jika masing-masing tidak menjalankan tanggungjawab? Mungkin sebelum bernikah, adik-adik hanya mendengar umpama angin lalu apa yang saya katakan, tapi selepas bernikah mereka akan mengakui dan berhadapan dengan realiti kehidupan. Tambah lagi, apabila telah ada cahaya mata, tanggung jawab menjadi semakin besar !

"....perkahwinan itu akan menjaga kehormatan dan pandangan....tetapi jika agama tidak dijadikan landasan dalam sesebuah perkahwinan, maka jadilah perkahwinwn itu umpama barang yang tiada nilai..."
Untuk sepupuku, TIEY & AZLAM ... kami sekeluarga mendoakan agar kalian dikurniakan zuriat yang soleh & solehah dan ikatan perkahwinan berkekalan hingga akhir hayat.... TAHNIAH.

Thursday, June 10, 2010

SELAMAT HARI LAHIR


Dulu, semasa anak-anak masih kecil, mereka sentiasa teruja untuk meraikan hari jadi. Setiap tahun, pasti kena beli kek b'day. Tak buat majlis pun tak apa. Kek mesti ada. Kalau tak, ada yang 'mogok'!!! B'day Boy & B'day Girl sama saja.

Bila usia dah meningkat remaja, semuanya menjadi kenangan yang kadang-kadang mencuit hati. Hanya gambar yang dapat menceritakan segala-galanya...

Kenangan manis kami, pada tahun lepas dengan izin-NYA, Emi menyambut ulang tahun kelahiranya di Masjidil Haram dan sempat menyempurnakan umrahnya yang ke-7 pada hari tersebut...

Hari ini 10 JUN 2010, genaplah 23 tahun usia anakanda MOHD FAHMI NAIN...

"SELAMAT MENYAMBUT HARI LAHIR, Emi "

Doa kami agar Emi sentiasa diberi keberkatan dan akan menjadi seorang anak yang soleh, berjaya mengejar cita-cita di dunia dan di akhirat.

Wednesday, June 9, 2010

Zubir Ali - Balada Seorang Gadis Kecil

Lambaian Afrika Selatan 2010...




Demam Piala Dunia datang lagi...!
Kali ini buat julung kalinya negara dari benua Afrika, iaitu Afrika Selatan memahat sejarah tersendiri apabila berjaya diangkat menjadi penganjur sukan ini untuk kali ke-19. Sukan utama dunia ini bakal menyaksikan 32 pasukan berentap bagi merebut piala paling berprestij di dunia bermula pada 11 Jun hingga 11 Julai 2010. Tinggal beberapa hari sahaja lagi...

Sebagai penganjur pertama dari benua Afrika, negara yang terkenal dengan julukan Bafana Bafana ini memperuntukkan lebih AS$1 billion sebagai persiapan kejohanan ini. Peruntukan ini termasuklah AS$972 juta untuk kerja-kerja membaik pulih kemudahan sedia ada dan membina 5 buah stadium baharu, AS$75 juta diperuntukkan untuk keselamatan dan AS$25 juta bagi pembangunan kemudahan-kemudahan lain.

Bola rasmi kejohanan yang dikenali sebagai Adidas Jabulani diperkenalkan tepat sebelum pengundian kumpulan Piala Dunia 2010 pada 4 DISEMBER 2009 dan dirasmikan pada akhir APRIL lepas. Syarikat sukan Adidas yang menaja peralatan pusingan akhir pada setiap edisi Piala Dunia telah memilih perkataan Jabulani. Jabulani dalam bahasa Zulu bermaksud "membawa kegembiraan kepada semua".

Sebelas warna yang terdapat pada bola tersebut mempunyai makna yang tersendiri, iaitu :
# mewakili 11 pemain dalam satu pasukan,
# bola rasmi ke-11 sempena Piala Dunia,
# 11 bahasa rasmi Afrika Selatan, dan
# perlawanan yang bermula pada 11 JUN hingga 11 Julai 2010.

Maskot rasmi kejohanan tersebut ialah ZAKUMI. Zakumi merupakan seekor anak singa, berwarna kuning, dengan rambut "nyentrik" berwarna hijau, mengenakan baju bertuliskan "South Africa 2010", dan berseluar pendek berwarna hijau, sedang memegang sebiji bola. Zakumi lahir pada 16 JUN 1994, bertepatan dengan Hari Pemuda di Afrika Selatan. Zakumi ialah gabungan ZA (singkatan nama bagi Afrika Selatan) dan KUMI (bermaksud 10, iaitu pelbagai bahasa Afrika).

Kejohanan yang dianjurkan setiap 4 tahun ini bakal menyaksikan wakil daripada benua :
1) Eropah (13 pasukan)
2) Afrika ( 6 pasukan)
3) Amerika Latin (5 pasukan)
4) Amerika (3 pasukan)
5) Asia (4 pasukan)
6) Oceania (1 pasukan)

Yang menariknya, bagi pasukan yang bertanding pula, mereka bukan sahaja mengejar trofi yang mula diperkenalkan pada tahun 1974, tetapi mengintai sejumlah wang tunai yang disediakan oleh FIFA. Tahukah anda, setiap pasukan yang layak ke pusingan akhir diberikan AS$1 juta sebagai persiapan sebelum kejohanan bermula.

Pasukan yang terkandas di peringkat kumpulan yang dibahagikan kepada 8 kumpulan, tidak pulang dengan tangan kosong. Setiap pasukan bakal menerima AS$8 juta sebagai habuan
diikuti pusingan kedua (AS$9 juta), suku akhir (AS$18 juta), separuh akhir (AS$20 juta), naib juara (AS$24 juta) dan juara (AS$30 juta). Kesemuanya berjumlah AS$420 juta, iaitu 60% peningkatan berbanding kejohanan lalu pada tahun 2006 di Jerman.

Selain itu, kelab yang pemainnya berjaya tersenarai untuk beraksi pada perlawanan akhir akan turut menerima durian runtuh. Seperti yang dipersetujui pada tahun 2008, sejumlah AS$33.6 juta bakal dibayar kepada kelab-kelab di Eropah dan negara G-14. Berdasarkan pengiraan, seorang pemain bola sepak Piala Dunia dibayar AS$1292 sehari!

Pastinya kehadiran nama-nama besar pemain bola sepak dunia hari ini akan menghangatkan lagi kejohanan yang pasti ditunggu-tunggu oleh peminat bola sepak dunia.

Pasukan negara manakah yang bakal merangkul kejuaraan bagi edisi ke-19 ini? Adakah ramalan pemerhati bola sepak dunia yang beranggapan The Red Fury (Sepanyol) mampu membawa pulang Piala Dunia tepat...?

Andalah yang akan menjadi saksi pemenangnya....!