CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Monday, June 28, 2010

Sejarah Kuantan (2) : Pusat Pengumpulan Hasil Bijih Timah


Semenjak pembukaannya pada pertengahan kurun ke-19, Kuantan terus berkembang walaupun perkembangannya tidak begitu pesat. Jangka masa antara 1860 – 1970 perkembangannya dan pembangunan Kuantan telah dipengaruhi oleh beberapa faktor, iaitu :
1. Pusat pengeluaran dan pengumpulan hasil bijih timah dan lain-lain bahan mentah.
2. Pemodenan dan perubahan dasar-dasar pentadbiran
3. Sistem perhubungan dan pengangkutan
4. Kemudahan pendidikan

Kuantan mula membangun apabila hasil bijih timah dijumpai di kawasan Sungai Lembing dan Gambang. Perlombongan bijih timah di Sungai Lembing telah diusahakan semenjak zaman pra sejarah lagi. Namun, tiada perlombongan secara intensif dijalankan sehinggalah pada abad ke-19 apabila kaum bumiputera dan Cina meningkatkan aktiviti mereka di kawasan-kawasan perlombongan tersebut. Kawasan perlombongan bijih timah di Gambang telah dibuka oleh kaum Cina pada awal tahun 1880-an sementara kawasan perlombongan Sungai Lembing pula dalam tahun 1868 oleh Lim Ah Sam dan kemudiannya diusahakan secara intensif oleh Syarikat "The Pahang Corporation Limited" pada tahun 1887.
Syarikat ini telah ditutup pada tahun 1896 dan digantikan oleh Syarikat Peterson Simon sehingga tahun 1901. Pada bulan Julai 1906, pengurusan Lombong Sungai Lembing telah diambil alih oleh Pahang Consolidated Company Limited yang ditutup pada September 1986.

Hasil bijih timah dari Gambang dibawa ke Kuantan melalui Sungai Belat di Gudang Rasau, manakala hasil dari Sungai Lembing pula dibawa ke Pasir Kemudi dengan trak (kereta api) dan kemudiannya diangkut dengan kapal wap (belangkas) ke Kuantan untuk dieksport melalui Pelabuhan Kuantan.

Bagi memenuhi keperluan aktiviti ini, beberapa kawasan di pinggir Sungai Kuantan telah dimajukan sebagai pusat pengurusan dan pengumpulan bahan mentah, seperti bijih timah. Di antaranya ialah kemudahan pelabuhan, pejabat kastam, pejabat pentadbiran daerah, kedai dan sebagainya yang terletak di kawasan sekitar Jalan Besar, Jalan Mahkota dan Pinggir Sungai Kuantan.

Dengan corak pembangunan ini, kawasan bandar mula didiami oleh orang-orang Cina, sementara orang Melayu yang mula membuka penempatan awal di tebing Sungai Kuantan telah berpindah ke kawasan pinggir bandar, seperti di Padang Lalang, Tanjung Lumpur, Beserah, TANAH PUTIH, dan sebagainya.

Foto :
1) Pekerja di lombong Sungai Lembing dan gerabak kereta api dalam tahun 1913 yang menyambungkan kawasan perlombongan dari Kuala Reman. Landasan ini telah dipanjangkan hingga ke Pasir Kemudi.

2) Salah sebuah kapal wap yang membawa bijih timah ke Pelabuhan Kuantan. Kapal wap yang kedua digunakan dalam tahun 1913, manakala jalan air ini dibuka dari kawasan lombong Kuala Reman dalam tahun 1892.

Sumber : monograf 'Pahang Dalam Sejarah'...bersambung lagi/

4 comments:

Waris Pahang said...

Tumpang tanya, ada tak dijual buku sejarah ini

roshanilawatey said...
This comment has been removed by the author.
roshanilawatey said...

Salam WP,

Buku ni ada dijual di Muzium Pekan tahun 2002. Ia dalam bentuk monograf. Mungkin ada juga di muzium lain di Pahang...

Banyak buku tentang Sejarah Pahang dijual di sana. Cth. Peristiwa Penculikan DYMM Sultan Pahang di Ladang Ng Tiong Kiat... tak ada di kedai buku biasa kerana ia diterbitan oleh Muzium Pahang.

PDA said...

Saya lihat tulisan asal saya bersama Gambar-Gambar yang saya kumpulan bertahan-Tahun pada 1986 ini banyak disalinkan dalam pelbagai blog dan tulisan, Alhamdulillah. Semuga ianya memberikan banyak manfaat