Wednesday, June 2, 2010

Sepanjang Jalan Kenangan : Padang Pahlawan dan Memorial ...


Terapi untuk diri yang sibuk adalah menulis dan menulis. InsyaAllah, dalam diri sentiasa berfikir, moga coretan-coretan ini ada yang mungkin boleh dibuat kenangan untuk anak-anak. Ingin saya bercerita semua, selalu.... siapalah kita untuk begitu pasti yang kita akan masih bernafas sesaat lagi. Saya tinggalkan dalam bentuk tinta maya, mungkin satu hari anak-anakku akan baca dan akan berdoa buat ayah dan bonda... InsyaAllah.

Sepanjang jalan pulang... kenangan di Padang Pahlawan suatu ketika dahulu menggamit memori tanpa sedar....

Beberapa kali singgah dan bersantai di sini... kali pertama bersama rakan karib sejak zaman persekolahan, Maheram Hassan Nordin ketika masih bergelar siswi pada tahun 1982. Tahun berikutnya bersama Tuan Hasnah 'mengintai' kereta lembu di sini ketika berkunjung ke IPG Durian Daun... dan usai sahaja Peperiksaan Akhir Tahun terakhir di UM, aku bersama Nah dan Tuan Ilham sekali lagi berehat minda sambil menjejak warisan sejarah di bumi Hang Tuah ...

Akhir 1987, singgah seketika menghabiskan cuti sekolah di sini bersama suami dan 2 orang putera yang masih kecil. Keadaan masih sama seperti kunjunganku beberapa tahun sebelumnya.

Kunjunganku pada awal 1990-an bersama keluarga, sudah mula menampakkan sedikit perubahan pada lanskapnya. Perubahannya semakin pesat dari tahun ke tahun. Melewati Bandar Hilir setahun dua kebelakangan, dan yang terakhir pada hujung minggu lepas, menjadikan diri terpinga-pinga... mencari sesuatu yang sudah ghaib pada pandangan mata. Kini, kawasan di persekitaran Padang Pahlawan ini termasuk kawasan yang ditambak sudah bertukar wajah dengan sekelip mata. Padang Pahlawan sudah menjadi Dataran Pahlawan. Paling ketara, persekitarannya menjadi semakin sesak dan sempit !

PADANG PAHLAWAN juga dikenali sebagai PADANG MERDEKA, terletak di Bandar Hilir Melaka. Padang Pahlawan menyimpan banyak kenangan dan perisitiwa bersejarah yang mungkin tidak diketahui oleh anak-anak generasi baru hari ini... atau mungkin juga sudah hilang dalam memori segelintir generasi muda walaupun pernah disebut oleh guru Sejarah mereka ! Padang Pahlawan melalui beberapa fasa sejak sebelum merdeka sehinggalah ke hari ini. Banyak perubahan dialaminya seiring dengan perkembangan dan pembangunan Melaka Bandar Bersejarah...

Di sinilah pada 20 FEBRUARI 1956, bekas Perdana Menteri Malaysia, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj buat julung kalinya mengisytiharkan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Setelah pulang daripada rundingan selama 3 minggu dengan pihak British di London, YTM Tunku Abdul Rahman telah menaiki konvoi kereta dari Ayer Keroh ke Bandar Hilir, Melaka sebelum mengumumkan pada satu perhimpunan bertempat di Padang Pahlawan, Bandar Hilir Melaka bahawa kerajaan British bersetuju untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu secara rasminya pada 31 OGOS 1957.

Mengikut catatan sejarah, Allahyarham Tun Ghafar Baba telah melobi YTM Tunku Abdul Rahman supaya pengisytiharan bersejarah itu diadakan di Padang Pahlawan yang bersetentangan dengan Kota A Famosa sebagai simbolik tempat pertama yang ditawan oleh kuasa asing pada tahun 1511. Ghafar telah berjaya mengumpulkan bukan sahaja penduduk Melaka, bahkan penduduk seluruh negara. Hasilnya, telah berhimpun seramai 100,000 orang di Padang Bandar Hilir, yang kemudiannya dikenali sebagai PADANG PAHLAWAN bagi menyambut Tunku dan rombongannya dari London.

Datuk Panglima Bukit Gantang, Menteri Besar Perak mewakili Raja-raja Melayu, Tun Tan Cheng Lock wakil masyarakat Cina, dan Tun Sambanthan, wakil masyarakat India memberi ucapan alu-aluan sebelum Tunku mengisytiharkan tarikh kemerdekaan.
Di hadapan Padang Pahlawan tersergam Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan berhampiran dengan kesan-kesan sejarah yang lain, seperti A Famosa dan Istana Kesultanan Melaka. Bangunan Memorial ini pada asalnya ialah bangunan Kelab Melaka yang dibina pada tahun 1911. Bangunan ini juga digunakan untuk kegiatan sosial oleh golongan atasan dan pegawai-pegawai kerajaan pada zaman penjajahan British. Setelah merdeka, kelab ini dibuka kepada orang ramai. Kemudian, pada tahun 1985, bangunan ini dijadikan memorial memuatkan segala dokumen tentang kemerdekaan. Memorial ini ditubuhkan untuk menyimpan dokumen tentang kemerdekaan negara. Selain itu, pameran di bangunan ini meliputi Zaman Kesultanan Melayu Melaka sehinggalah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Barang-barang yang dipamerkan meliputi dokumen, gambar, peta, perjanjian, teks ucapan, pita rakaman, minit-minit mesyuarat, majalah, keratan akhbar dan bahan-bahan artifak yang berkaitan dengan perjuangan untuk mencapai kemerdekaan.
Sesungguhnya, sejarah mengajar kita supaya tidak mudah lupa akan liku-liku perjuangan bangsa. Kejayaan bangsa tidak terhasil dengan sendirinya. Kejayaan terhasil kerana tekad, perpaduan, dan kepintaran dalam menghadapi pelbagai cabaran perjuangan....

No comments: